Archive | Januari 2008

Petunjuk Mendekati Tuhan

‘UMAR AL-KHATTAB BERKATA; 

Aku berpesan kepadamu; 

Hendaklah engkau takut kepada Allah tentang urusan manusia tetapi janganlah engkau takut kepada manusia tentang urusan Allah. 

SALMAN AL-FARISI BERKATA; 

Solat itu bagaikan timbangan, maka barangsiapa menepati timbangannya maka ia diberi cukup dan siapa yang mencuri timbangan maka kamu mengetahui ancaman Allah terhadap pencuri timbangan. 

LUQMAN HAKIM BERKATA KEPADA ANAKNYA; 

Sesungguhnya dunia ini lautan yang sangat dalam, dan di dalamnya telah tenggelam kebanyakan manusia.  Oleh itu jadikan bahteramu di dunia TAQWA kepada Allah. 

TIGA PERKARA YANG MENJADIKAN KERAS HATI;

  • Tertawa tanpa sesuatu yang boleh mentertawakan.
  • Makan tanpa rasa lapar.
  • Bicara yang tidak perlu.

 KALAU MEMILIH SAHABAT, PILIHLAH YANG MEMPUNYAI SIFAT BERIKUT;

  1. Jika kamu melihat kepadanya teringat kamu kepada Allah
  2. Jika kamu bercakap dengannya bertambahlah ilmu agamamu
  3. dan Jika kamu melihatnya beramal teringat kamu kepada mati.

  RASULULLAH SAW BERSABDA; 

Wanita solehah ibarat gagak putih di tengah-tengah kumpulan gagak hitam dan terlalu sukar untuk kita mencarinya.

Petua Asas Atasi Stress

img_2413.jpgKebiasaan kita apabila ditimpa masalah atau mengalami tekanan perasaan, antara kaedah berikut mungkin menjadi pilihan untuk meringankan beban.  Ada yang positif dan ada yang negatif;

 a)     Meluahkan masalah pada individu yang dipercayai. E

b)    Keluar ‘makan angin’ atau bersiar-siar. E

c)     Mencoret di atas kertas atau di laman maya. E

d)     Menangis atau meraung seorang diri. E

e)     Mengambil pil penenang.  E

f)     Tidur.  E

g)     Melampiaskan tekanan pada individu yang tidak bersalah seperti staf bawahan, pembantu rumah, anak-anak, pasangan dan lain-lain dengan cara memarahi mereka atau membentak tanpa rasional.  D

h)     Mencampak barang-barang yang ada di sekeliling.  Ada barang yang selamat dan ada yang rosak.  D

i)       Minum arak, ambil dadah dan seumpamanya. D

j)      Bunuh diri. D (minta dijauhkan Tuhan) 

k)     Lain-lain. 

 Kaedah negatif hanya menambah kekusutan jiwa kerana ia satu dosa.  Contoh kaedah h kerana ia membazirkan tenaga, masa dan barang yang dirosakkan.  Membazir wang lagi bila kena beli semula untuk menggantinya.  Pendek kata, banyak rugi dari untung.   

Kaedah paling berkesan yang pernah saya gunakan untuk mengatasi stress ialah dengan mengambil Vitamin Z.  Vitamin Z tidak perlu dibeli.  Cukup dengan sedikit konsentrasi pada minda dan hati.  Kita akan dapat manfaat yang sangat besar dari Vitamin Z ini.  Vitamin Z yang dimaksudkan ialah ‘Zikrullah’ atau mengingati Allah.  Ia terbukti berkesan.  Bahkan memberi keuntungan bukan setakat di dunia fana, bahkan berpanjangan hingga akhirat sana.

 Orang-orang yang beriman dan tenang hati mereka dengan “zikrullah”. Bukankah dengan mengingati Allah dapat menenangkan hati.

Kenyataan di atas merupakan jaminan Allah melalui ayat 28 surah al-Ra’d.

 Apa jua permasalahan yang dihadapi hingga mendatangkan stress, boleh ambil Vitamin  Z ini.  Noktah penting yang kita perlu ada dalam diri ialah ikhlas.  Justeru jangan takut dan bimbang walau punca stress adalah amalan negatif seperti kalah judi, mencuri dan pelbagai lagi.  Kalau pil penenang pun ada cara menggunakannya supaya manfaat diperolehi.  Begitu juga dengan Vitamin Z ini.  Betul cara menggunakannya, pasti berjaya!  J  

Kaedah pengambilan Vitamin Z secara berkesan:

 Langkah 1 Ê Abaikan dahulu minda anda dari memikirkan apa jua masalah yang sedang dihadapi.  Dengan lain perkataan kosongkan fikiran terlebih dahulu.  

 Langkah 2 Ê Kemudian perlahan-lahan hadirkan hati untuk mendapatkan khasiat Vitamin Z.  Ingatilah Allah dengan fikiran dan hati anda.  Bukankah Allah yang mengurniakan minda dan hati pada kita?  Justeru, tidak susah mengembalikan ingatan minda dan tumpuan hati pada Yang Maha Mencipta. 

Langkah 3 Ê Setelah fikiran anda dapat rehat dan hati tenang dengan mengingati Allah.  Barulah anda fikirkan semula masalah yang menjadi punca stress dalam keadaan tenang.

Berfikir dalam keadaan tenang membuatkan kita lebih rasional dalam menentukan tindakan.  Apatah lagi ketenangan yang datangnya dari Allah.   

Bagi mengekalkan ketenangan yang diperolehi, usahakan kaedah penyelesaian yang diredai Allah.  Rujuk kepada mereka yang pakar dalam permasalahan yang dihadapi. Kalau kita mengguna pakai cara yang tidak diredai Allah, ketenangan akan menjauh semula dari kehidupan kita.  Fikir-fikirkan…  

Ummu Abbas©Kerana Cinta’s Weblog 2008

5.41am

20 Muharram 1429H/29Januari 08 

Mahu Belajar Tajwid Dalam Keadaan Sibuk

Assalamu’alaikum Kak Nur, 

Saya mahu bertanya kepada Kak Nur,

Saya sudah berumur 22 tahun tapi saya masih bermasalah untuk mengaji al-Quran dengan betul.  Kalau setakat mengeja tiada masalah tapi saya bermasalah dari segi tajwid dan makhraj. 

Kadang-kadang bila nak baca al-Quran pun serba salah.  Hendak baca banyak salah tapi kalau tidak baca, rasa rindu sangat mahu baca.  Jadi saya baca juga. Walaupun saya tahu saya membaca al-Quran dengan cara tidak betul. Tambahan sekarang dengan jadual harian saya sangat padat dengan ‘exam’ dan ‘study’. 

Diharapkan Kak Nur boleh memberikan pandangan bagaimana caranya untuk saya membaiki bacaan saya. 

Salam. 

Kindaichi86

  JAWAPAN;  

Wa’alaykumussalam warahmatullah, 

Adik yang dikasihi Allah, 

Syukur kepada Allah yang melimpahkan rasa cinta pada al-Quran di sanubari adik.  Lalu adik memanfaatkan kecintaan itu dengan membacanya walaupun adik sedar kekurangan diri.  Allah menyatakan ganjaran yang bakal diberikan kepada para pembaca al-Quran di dalam surah Faatir, ayat 29 dan 30,   

Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan tetap mendirikan sembahyang serta menderma dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian.  Supaya Allah menyempurnakan pahala mereka dan menambahkan lagi limpah kurniaNya kepada mereka.  Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepadaNya).  

Sebelum Kak Nur mengutarakan pandangan terhadap masalah pokok iaitu cara membaiki bacaan al-Quran, terlebih dahulu Kak Nur ingin mengambil peluang menjelaskan berkenaan hukum membaca al-Quran dengan makhraj dan tajwid yang betul.  Ia bertujuan dikongsi pengetahuan mengenainya oleh para pembaca yang lain.  

Ilmu tajwid ialah ilmu berkenaan cara melafazkan kalimah (perkataan) al-Quran dengan betul.  Objektif belajar ilmu tajwid ialah memelihara diri dari tersalah menuturkan Kalam Allah yakni al-Quran.  Ia juga merupakan ilmu yang paling mulia berkaitan dengan al-Quran.                                                                                           

 Ilmu tajwid terbahagi kepada 2 bahagian iaitu secara teori dan amali.   

Ilmu tajwid secara teori ialah pengetahuan mengenai kaedah dan cara memperelokkan sebutan huruf sebagaimana yang telah disusun oleh pakar tajwid: seperti tempat keluar (makhraj) setiap huruf, sifat-sifatnya, hukum memanjang bacaan (hukum mad), tempat berhenti dan tempat memulakan bacaan  dan lain-lain.  Ilmu tajwid secara amali pula ialah menuturkan huruf al-Quran dan membacanya dengan betul menurut teori yang ada.  

Hukum mengetahui ilmu tajwid secara teori ialah fardu kifayah.  Maksudnya memadai ada sebahagian ummah pakar mengenainya.  Maka gugurlah tanggungjawab tersebut pada sebahagian ummah lagi.  Namun jika tiada seorang pun yang mengetahuinya, semua umat Islam menanggung dosa. 

Manakala hukum mengamalkan cara bacaan yang betul adalah wajib (fardu ain) ke atas setiap mukallaf (muslim yang sudah baligh dan berakal) yang membacanya.  Allah memberi petunjuk akan hal ini melalui ayat 4 surah al-Muzammil, ‘ Bacalah al-Quran secara tartil.  Maksud tartil  ialah membacanya dengan menunaikan hak-hak huruf al-Quran secara jelas menurut ilmu tajwid. 

Petunjuk lain yang mewajibkan bacaan yang betul ialah Allah telah menurunkan al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantara Jibril.  Rasulullah telah mengajar para sahabat sebagaimana malaikat Jibril mengajar beliau.  Para sahabat memindahkan pula kepada generasi selepasnya sehinggalah ia sampai kepada kita hari ini.   

Para ulama juga sepakat  (ijma’ ) menyatakan wajib membacanya dengan tajwid yang betul sejak zaman Nabi Muhammad SAW.

  Kembali kepada persoalan adik, sebenarnya adik sedar bahawa adik tidak akan mampu membaca al-Quran secara tartil kecuali berusaha untuk belajar ilmu tajwid terlebih dahulu.  Masalah adik sekarang bagaimana mahu memperuntukkan masa mempelajarinya sedangkan jadual harian sudah padat.  Berdasarkan pengalaman Kak Nur sebagai mahasiswi yang bukan sahaja belajar di bilik kuliah sahaja, bahkan aktif dalam persatuan, sebenarnya ‘masa’ untuk adik belajar itu masih ada.  Apa yang penting, bagaimana kita menguruskannya dengan adil.   

Adik perlu tahu keutamaan sesuatu perkara dalam melakukan sesuatu tindakan menurut waktu-waktunya yang sesuai.  Sebagai contoh, keutamaan melakukan solat fardu dalam waktunya berbanding urusan lain.  Keutamaan mengambil wuduk terlebih dahulu sebelum solat kerana wuduk syarat sah solat walaupun hukum asalnya adalah sunat.  Meskipun waktu solat hampir luput.  Contoh adik terbangun dari tidur pukul 7 pagi.  Waktu subuh habis pukul 7.05 pagi.  Adik tidak boleh bergegas bangun mencapai telekung dan terus solat tanpa berwuduk semata-mata mahu mengejar waktu. 

Kak Nur cadangkan agar adik cari dahulu rakan-rakan yang tahu dan mengamalkan bacaan al-Quran bertajwid.  Kemudian adik minta daripada mereka untuk mengajar adik secara individu pada selang waktu yang mana kedua-dua belah pihak mempunyai kelapangan.  Antara waktu-waktu yang sesuai ialah selepas subuh dan selepas maghrib.  Hadkan masa sejam atau setengah jam atau selama masa yang ada antara maghrib dan isyak.  Kalau boleh setiap hari agar adik dapat mencapai tahap pembacaan yang diterima di sisi syarak.  Selaraskan dengan jadual harian sedia ada.  Jika hari belajar, adik tidak sempat belajar selepas subuh, maka boleh pilih selepas maghrib atau bangun waktu tahajjud atau sejam sebelum subuh.  

 Kak Nur percaya, terdapat rakan-rakan yang mampu mengajar adik secara personal.  Lebih-lebih lagi ramai juga dari generasi adik yang berlatar belakang sekolah agama.  Atau mungkin juga terdapat rakan yang baik bacaannya hasil didikan orang tua di rumah.  Adik juga boleh memanfaatkan masa berbual yang kurang penting untuk belajar tajwid secara tidak formal.  Bacalah walau satu ayat yang pendek dan minta rakan betulkan makhraj dan tajwid.   

Mohonlah kepada Allah agar melapangkan hati dan jalan untuk adik berusaha.  Kemudian berusahalah tanpa rasa jemu.  Insya Allah, adik akan berjaya memperbaiki bacaan sesuai dengan tuntutan syarak. Wallahua’lam.  

Ummu Abbas©Kerana Cinta’s Weblog 2008

10.27am

18 Muharram 1429H/27 Januari 2008 

Dialog Dengan Si Kecil

Semalam, sebelum tidur… Abbas anak sulung saya yang akan menyambut ‘birthday’ ke lima tahun 31 Ogos nanti merungut; (Loghat keanakannya telah diedit agar dapat difahami)

Abbas:  Kenapa la nyamuk ni suka gigit orang.  Sakitlah…

Ummi:  Dia nak hisap darah tu, sebab tu kita rasa sakit.  Nanti Ummi pasang ubat nyamuk.

Abbas:  Kenapa dia hisap darah kita, mi…

Ummi:  Sebab dia lapar.

Abbas:  Biarlah dia minum air, mi… Kenapa dia suka hisap darah?

Ummi:  Allah jadikan dia begitu. 

(Kebetulan Abi & Umminya sering juga membacakan buku “Allah Makes”, jadi dia boleh faham sikit dengan jawapan begitu)

Abbas:  Kenapa Allah jadikan dia hisap darah?  Dia boleh minum air oren…

(Aih… ada lagi soalan dia…)

Ummi:  Dia tak minum air oren, Allah jadikan darah kita sebagai makanan dia baru nyamuk tu boleh kenyang.

Azzam (yang akan menyambut birthday yang ke empat pada 31 Ogos nanti menyampuk):  Ha, biar dia minum air oren…

 Abbas (masih tak puas hati): Kenapa Allah jadikan dia hisap darah kita, mi…?   

Ummi (sementelah saya tidak mendalami bidang sains: kehabisan idea nak beri jawapan lojik akal spontan menjawab…): Liyabluwakum ayyukum ahsanu ‘amala’. {terj: Untuk menguji kamu siapakah yang terbaik amalannya. al-Mulk(67): 2}

Diam.  Tiada lagi soalan.

Saya tidak terjemahkan ayat al-Quran di atas.  Abbas Azzam pun tidak bertanya apa maksudnya.  Saya tidak sangka dia boleh berpuas hati dengan jawapan tersebut.  Mula-mula saya teragak-agak mahu berikan jawapan sedemikian. Bimbang dia tidak mampu memahaminya dan akan bertanya lagi… Masya Allah.  Inilah yang dinamakan al-Quran itu mukjizat.  Kanak-kanak seusia 4,5 tahun boleh tertunduk dengannya walaupun tidak faham apa maksudnya.  Atau mungkin dia faham tapi kita yang tidak menyedarinya.  Hmm…kebetulannya saya sendiri sering memberi jawapan tersebut kepada diri sendiri apabila berhadapan dengan masalah…justeru spontan sahaja teringatkan ayat tersebut.

  

Ummu Abbas

13 Jun 2004

Hakcipta Terpelihara Kerana Cinta’s Weblog 2008

Petunjuk Untuk Pemimpin

Jika engkau ingin mengikuti petunjuk para imam (pemimpin);
maka kuatkanlah dirimu untuk menerima musibah-musibah dengan jiwa yang tabah
di waktu menghadapi tiap kepahitan;
dan dengan hati yang sabar walaupun dadamu bergoncang.
Lisanmu dikunci, matamu dikendalikan,
rahsiamu disembunyikan untuk hanya diketahui oleh Tuhanmu saja.
Namamu biar tidak terkenal, pintu rumahmu tertutup,
mulutmu tersenyum, perutmu lapar,
hatimu luka, pasarmu tiada sambutan,
pangkatmu dipendam dan keaibanmu ditonjolkan.
Saban harimu menelan perasaan pahit daripada pengaruh zaman dan teman,
sedangkan hatimu menurut dalam kesedaran.
Siangmu sibuk mengislahkan manusia tanpa berkira-kira.
Malammu tenggelam dalam keasyikan pada Tuhan.
Ambillah kesempatan pada malam hari,
jadikanlah ia jalan dan persiapan untuk hari kiamat yang padanya sulit sekali untuk mencari jalan.

- Imam Al-Ghazali rm. Dipetik dari Kitab Minhajul Abidin.-

Puasa Sunat ‘Asyuraa’

Assalamu’alaykum,

Kak Nur,

Adakah sunat berpuasa pada hari ‘Asyura’? Ada orang kata kena puasa 3 hari berturut-turut iaitu pada 9, 10 dan 11 Muharram. Adakah ia benar?

Pelajar USM, Kubang Kerian
9 Muharram 1429H/ 18 Januari 2008

Wa’alaykum salam warahmatullah,

Hari ‘Asyuraa’ bermaksud hari ke 10 dari bulan Muharram. Benar disunatkan berpuasa pada hari 10 Muharram berdasarkan hadis yang dilaporkan oleh Ibnu Abbas, ‘ Jika aku masih hidup sampai tahun yang akan datang, nescaya aku akan berpuasa pada hari ke sembilan dan ke sepuluh’.

Para ahli fikah berbeza pendapat berhubung jumlah hari yang disunatkan. Sebahagian berpendapat sebaik-baiknya berpuasa pada hari ke 9 dan ke 10 Muharram. Bagi mereka yang ketinggalan berpuasa pada hari ke 9, maka disunatkan berpuasa hari ke 11 Muharram. Boleh juga berpuasa 3 hari iaitu hari ke 9, 10 dan 11 Muharram atau berpuasa pada hari ke 10 Muharram secara tunggal.

Wallahua’lam.

Kak Nur
10 Muharram 1429H/ 19 Januari 2008

Hakcipta Terpelihara Kerana Cinta’s Weblog