Batas Aurat Dengan Sepupu Lelaki

Salam Kak.

Saya ada sepupu lelaki (sebelah bapa) yang sememangnya rapat dengan saya. Saya ingin bertanya,

- Adakah sepupu lelaki saya itu muhrim saya?

- Apakah batas aurat saya dengan sepupu saya?

- Adakah sepupu saya itu boleh menjadi wali saya?

Harapan saya, Kak Nur boleh membantu.

Salaam.

Calin

   

Assalamu’alaykum,

Adik Calin yang dikasihi Allah, 

Terima kasih kerana sudi berkongsi masalah di sini.  Keinginan mengetahui hukum-hakam di dalam Islam merupakan hidayah Allah.  Moga jawapan yang diberikan di bawah dapat dimanfaatkan bersama.  

1.  Sepupu lelaki tidak termasuk mahram.   

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan  janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.  

Surah al-Nur (24), ayat 31   

 2.  Oleh kerana sepupu tidak termasuk mahram, maka batas aurat adalah semua anggota badan kecuali muka dan tapak tangan.  Menurut Ibnu Abbas, pakar tafsir al-Quran, hadis berikut menafsirkan ayat 31 dari Surah al-Nur yang berbunyi ‘kecuali yang zahir daripadanya’  

Aisyah melaporkan bahawa Asma’ binti Abu Bakr  masuk menemui Rasulullah S.A.W sedangkan dia berpakaian nipis.  Lalu Baginda berpaling sambil berkata; “ Wahai Asma’!  Sesungguhnya seseorang perempuan apabila sudah datang haid, tidak boleh lagi dia dilihat kecuali ini dan ini”- sambil Baginda menunjukkan wajahnya dan dua tapak tangannya.” 

Direkodkan oleh Abu Dawud.  

3.  Iya, sepupu lelaki sebelah bapa boleh menjadi wali kepada perempuan setelah wali-wali berikut sudah tiada atau tidak mencukupi syarat asas;

·         Anak lelaki, cucu lelaki dan seterusnya

·         Bapa kandung

·         Datuk lelaki sebelah bapa kandung (sebahagian ulama meletakkan datuk di turutan ke empat iaitu selepas adik beradik lelaki seibu sebapa atau sebapa sahaja)

·         Adik beradik lelaki seibu sebapa kemudian adik beradik lelaki sebelah bapa kandung

·         Anak saudara lelaki sebelah adik beradik lelaki seibu sebapa kemudian anak saudara lelaki sebelah adik beradik lelaki sebapa

·         Bapa saudara sebelah bapa kandung 

Berikut adalah syarat wali yang disepakati pakar fikah (ulama’ atau fuqaha’);

·         Sempurna keahlian;  yakni baligh, berakal dan merdeka.

·         Agama wali sama dengan agama perempuan yang akan diwalikan iaitu Islam.    

Kak Nur cuba menjawab persoalan secara ringkas dan hal yang disepakati ulama sahaja.  Sekiranya masih terdapat kekeliruan, harap dapat dipanjangkan lagi persoalan. 

Di sini, Kak Nur ingin mengambil peluang menyentuh batas pergaulan perempuan dengan sepupu lelaki.  Lumrahnya di kalangan orang Melayu, sepupu dianggap seperti adik-beradik.  Apatah lagi mereka seringkali bersama sejak kecil berikutan ibu atau bapa mereka berhubung rapat sebagai adik-beradik.   Hakikatnya, kita perlu membataskan pergaulan dengan sepupu lelaki sama seperti lelaki ajnabi (bukan mahram) yang lain juga.   Situasi ini bergantung kepada didikan ibubapa masing-masing.   

 Moga kita diberikan kekuatan oleh Allah untuk melaksanakan kebaikan serta menjauhi kemungkaran.  

Kak Nur

8 Muharram 1429H/ Jan 17 

Hakcipta Terpelihara Kerana Cinta’s Weblog 2008

About these ads

11 thoughts on “Batas Aurat Dengan Sepupu Lelaki

  1. Assalamualaikum kak Nur,
    Saya ingin meminta pendapat dan pandangan kak Nur tentang masalah yg saya hadapi kerana saya sudah tidak tahu apakah cara saya untuk menyelasaikan masalah ini.
    Saya mendirikan rumahtangga pada bulan Februari 2007 atas dasar suka sama suka. Semasa tempoh pertunangan kami sering bergaduh sampai ada satu ketika tunang saya pun hairan kenapa kami sering selisih faham pasal perkara2 kecil. Kadang2 kala dia memberitahu saya yg apabila berjumpa atau bercakap dgn sy dia akan rasa nak marah aje dgn saya.Walaupun sering bergaduh akhirnya kami dapat juga berkahwin. Selepas bernikah, kami tak dapat bersama kerana sy tidak bernafsu langsung dgnnya dan menyebabkan sy mengalami kesakitan dan suami tak dpt nak meneruskan niat untuk bersama dgn saya. Pada masa yang sama, setiap kali ingin bersama, sy ternampak bayangan lelaki yg sy tak kelihatan wajahnya. Setelah 2 minggu mencuba, akhirnya suami saya mengamuk dan marah kerana tidak dapat bersama dgn sy, dan enggan memberi nafkah kepada sy. Di awal perkahwinan, kami tinggal berasingan, suami di KL dan sy tinggal bersama keluarga di Perak.Suami tidak pulang, tetapi sy yg pergi ke KL utk berjumpa dgnnya. Setiap kali mencuba utk bersama, sy akan menjerit kesakitan, dan suami tak dapat nak meneruskan niatnya sampai pernah suami memukul sy kerana tidak dapat nak melepaskan tuntutan batinnya.Perkara ini berlanjutan sehingga 4-5 bulan.Saya pergi berubat ke merata2 tempat, yang kebanyakkan mengatakan yg nafsu sy dikunci utk suami dan suami juga telah dibomohkan org. Suami semakin dingin dgn sy dan tidak mahu pulang ke rumah mertua dan menyebabkan keluarga sy marah dan mula membencinya. Akhirnya pada bulan Julai 07, kami dapat bersama tetapi suami seakan2 tidak puas dan masih bersikap dingin dgn sy. Saya semakin tertekan dan kami selalu bergaduh. Saya minta diceraikan tetapi suami enggan Terjadi satu peristiwa di mana, sy telah pergi ke rumah jiran utk majlis pertunangan tanpa izinnya. Suami marah dan sy enggan menjawap panggilannya lalu dia menelefon ayah sy dan telah terjadi pergaduhan di mana dia telah memarahi bapa sy. Sejak kejadian itu, bapa dan keluarga sy semakin membencinya. Sehingga pada suatu hari, sy membaca mesej daripada seorang perempuan pada handphone suami.Suami tidak mengaku mempunyai apa2 hubungan dgn perempuan tersebut. Sy tidak puas hati lalu menelefon perempuan tersebut.Perempuan tersebut mengaku hubungan mereka rapat, dan sy telah pergi ke rumah ibu mertua sy (pada masa itu suami ada di sana) selepas habis kerja (Waktu malam, dalam pukul 11.00 malam) minta suami ceraikan saya. Dia tidak mahu ceraikan sy dan menafikan ada hubungan istimewa dgn perempuan tersebut dan bertindak balik ke KL pada malam itu juga. Setelah itu bapa sy masuk ke rumah ibu mertua sy dan meluahkan segala perasaannya termasuk mengeluarkan kata-kata kesat yang telah melukakan hati ibu mertua sy. Malah sy akui ada kata-katanya yg tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang lelaki matang sepertinya. Keesokan harinya, bapa membawa sy berjumpa peguam untuk memfailkan cerai. Saya hanya menurut sahaja.Selepas kejadian itu, permohonan pertukaran sy diluluskan ke KL.
    Setelah menfailkan permohonan perceraian, suami menghubungi sy utk bertemu dan berbincang. Suami bersumpah di depan saya dengan memegang Al Quran, yg dia tidak ada apa2 hubungan dgn perempuan tersebut. Sy ragu2 untuk mempercayainya, Sy meminta suami menelefon bapa dan seterusnya meminta berjumpa dan memohon maaf.
    Tetapi suami tidak jadi menghubungi bapa kerana keluarga terutama kakak2nya tidak mengizinkan kerana pada mereka bapa sy telah menghina keluarga mereka pada malam itu.Mereka juga tidak mahu suami menghubungi sy dan tak dapat nak menerima sy dan keluarga. Keluarga saya juga melarang kami bertemu dan tidak mahu menerima suami sy lagi.
    Kami bertemu secara sembunyi2 kerana tentangan keluarga. Kami masih saling menyayangi satu sama lain. Saya menggugurkan permohonan cerai tersebut dan meminta suami supaya tinggal bersama walaupun keluarga kami menghalang.Suami enggan kerana bapa sy telah menghina keluarganya tambahan pula kakaknya sering memantau pergerakannya dan sering menghantar sms mengingatkan dia agar jgn teruskan hubungan dgn saya. Keluarga sy semakin mendesak untuk sy menfailkan balik permohonan cerai kerana suami masih tidak mahu menjalankan tanggungjawabnya di samping perasaan benci yg semakin menebal. Sy semakin tertekan dan memberi kata dua pada suami, samada dia failkan perceraian atau sy yg akan failkan semula perceraian. Setelah berbincang, kami telah bersetuju utk bercerai,
    Saya ingat setelah bercerai segala-galanya akan berakhir, tetapi sy tak dapat nak melupakan suami saya. Bahkan sy merinduinya. Suami juga mengkui masih sygkan sy dan tidak dapat melupakan sy. Suami mengajak rujuk semula, sy enggan kerana tahu yg keluarga sy dan keluarganya tidak akn dapat menerima kami lagi. Tetapi setelah berpisah, jiwa sy rasa begitu tersiksa, sy tak dpt nak melupakannya. Sy ada melakukan solat istikharah, dan sy rasakan sy mahu menerimanya kembali.Dua hari sebelum habis idah, kami telah rujuk semula tanpa restu dan pengetahuan kedua2 belah pihak. Sejak rujuk semula, dua bulan yg lalu, kami berjumpa secara sembunyi2, dan sy perhatikan yg suami sudah mula berubah.Beberapa hari menjelang hari raya aidilfitri yg lalu, suami ada menyatakan hasrat utk berjumpa keluarga sy dan meminta maaf dan berharap keluarga sy dapat menerima dia kembali.Kami berhasrat untuk membina perkahwinan kami yang telah hancur. Sy menyatakan hasrat tersebut kepada ibu sy.Pada mulanya ibu tidak setuju kerana takut dia mensia-siakan sy lagi tapi akan cuba berbincang dengan bapa. Bila ibu sebut aje nama suami, bapa sy menjadi terlalu marah sampai tak mahu lagi nama tersebut disebut dalam keluarga kami dan jika sy kembali kepada suami sy, sy akan dibuang keluarga.Saya rasa begitu kecewa.Adakah sy tidak wajar memaafkannya dan memberi peluang untuk dia membuktikan yg dia suami yg bertanggungjawab?
    Pada saat ini, sy rasa betul2 tertekan.Tak tau apa yg perlu sy lakukan.Sejak kecil, sy tak pernah melawan ckp ibubapa sy dan sekarang, sy terpaksa membuat pilihan yg sy tak mampu lakukan.Saya tak nampak jalan keluar dari masalah ini.Selepas kami rujuk kembali, sy sering solat hajat dan istikharah utk dpt petunjuk dan setiap kali selepas solat perasaan sy tetap tidak mahu berpisah dgn suami.Tetapi apabila melihat kepada reality yg berada di hadapan sy, perkahwinan kami tidak mungkin direstui. Saya benar2 keliru, adakah istikharah sy itu tidak benar, maksud sy adakah dipengaruhi oleh perasaan sy atau adakah sy patut teruskan dgn perkahwinan ini? Atau adakah lebih baik kami berpisah? Tapi bagaimana dengan penerimaan keluarga sy? Sy tak sanggup kehilangan kedua2nya.Buat pengetahuan kak Nur, ibu mertua sy masih sygkan sy Cuma dia tidak dapat menerima tindakan bapa sy yg menghinanya.Saya harap Kak Nur dapat membantu sy kerana sy dah tak mampu nak tanggung masalah ini lagi.Saya berterima kasih pd Kak Nur kerana sudi membaca masalah ini dan minta maaf kerana email ini terlalu panjang dan mengambil masa Kak Nur utk membacanya.

    Wassalam

  2. Wa’alaykum salam wbh,

    Muslimah yang dikasihi Allah,

    Pertamanya Kak Nur mohon maaf kerana hari ini baru buka blog dan terlihat persoalan yang dikemukakan di sini. Insya Allah, Kak Nur akan memberi pandangan berdasarkan sedikit ilmu yang ada dan juga pengalaman kawan-kawan yang hampir serupa dengan masalah Muslimah.

    أبغض الحلال إلى الله تعالى الطلاق

    ” Perkara halal yang paling dibenci oleh Allah ialah Talak.” Maksud hadis yang direkodkan oleh Abu Dawud. Islam juga membataskan talak sehingga tiga kali. Dua kali talak yang pertama boleh dirujuk semula kerana Allah mahu memberi peluang suami isteri bermuhasabah, memperbaiki kelemahan diri seterusnya menghadapi masa depan dengan lebih optimis.

    Setiap insan tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan. Namun setiap insan juga mampu memperbaiki diri dengan menambah ilmu di dada serta senantiasa mengharapkan pertolongan dari Allah. Allah juga menganjurkan kita supaya saling memaafkan antara satu sama lain. Lebih-lebih lagi orang yang pernah melakukan kesilapan pada kita memohon maaf dan menzahirkan penyesalannya. Lagikan Allah Maha Pengampun dan Penyayang.

    Surah Ali Imran, ayat 133 dan 134 menyebut,

    ” Dan bersegeralah kamu menuju keampunan dari Tuhan kamu dan syurga yang keluasannya meliputi seluruh langit dan bumi. Ia disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.”

    ” Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya semasa senang dan susah, orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Allah mengasihi orang-orang yang beramal perkara-perkara yang baik.”

    Berdasarkan prinsip perkahwinan dan konsep persaudaraan yang dinyatakan di atas, Kak Nur setuju Muslimah meneruskan ikatan perkahwinan sedia ada.
    Lebih-lebih lagi Muslimah sendiri nyatakan bahawa Muslimah sudah solat hajat dan solat istikharah memohon petunjuk dari Allah.

    Anas bin Malik melaporkan, kata Rasulullah SAW,
    ” ما خاب من استخار ، ولا ندم من استشار ”

    Maksudnya; Tidak akan binasa sesiapa yang beristikharah dan tidak akan menyesal sesiapa yang berbincang (bermesyuarat) “

    Muslimah sudah pun memenuhi anjuran pertama hadis di atas. Adapun anjuran kedua, persoalan yang dikemukakan kepada Kak Nur ini termasuk dalam kategori berbincang. Cuma dengan keluarga Muslimah, Kak Nur lihat ia perlukan sedikit masa untuk meredakan rasa kecewa dan marah terhadap perkara yang sudah pun berlaku. Lagi pun, perkahwinan itu direstui dari awal sehinggalah timbul masalah seperti yang dinyatakan.

    Sebenarnya, setiap orang yang pernah menyinggung hati orang lain perlu bersikap merendah diri kepada Allah dengan memohon maaf sesama insan yang pernah disakiti. Tidak hilang bisa ular yang menyusur di bawah akar. Kak Nur sendiri biasa memohon maaf dari anak-anak walau usia mereka 9, 8, 5 dan 3 tahun apabila terlebih marah dan sebagainya, yang mana Kak Nur sedar ia adalah kesalahan Kak Nur sendiri. Tidak tenang hidup dengan dosa terhadap manusia, lebih-lebih lagi kepada Allah.

    Setiap orang yang wujud di sekeliling kita adalah amanah dari Allah. Mereka ada hak ke atas kita dan kita juga ada hak ke atas mereka. Sebaik-baik manusia ialah yang memainkan peranan masing-masing ke tahap terbaik dan memaafkan kelemahan orang lain dalam memenuhi hak-haknya.

    Ada lagi yang Kak Nur ingin sentuh di sini namun masa kurang mengizinkan. Kak Nur utamakan permasalahan yang paling akhir dihadapi oleh Muslimah. Berkenaan dengan penyakit yang pernah timbul, Kak Nur syorkan sentiasa berubat dan mencari penawar sehingga ia benar-benar pulih seperti sedia kala. Ramai juga sahabat-sahabat Kak Nur yang pernah menghadapi masalah yang sama. Alhamdulillah, setakat ini mereka berjaya mengatasinya dan masih bahagia hingga sekarang dengan perkahwinan masing-masing.

    Kak Nur harap Muslimah berpuas hati dengan respon yang tidak seberapa ini. Jika masih ada kekeliruan, boleh anjurkan lagi persoalan.

    Oh ya…sebelum terlupa, bersumpah (al-Yamin) dalam Islam hanya dengan lafaz Wallahi, Wabillahi dan Watallahi. Tidak sah sumpah dengan al-Quran kerana ia tiada dalam prinsip kehakiman Islam. Apa pun, yang penting lazimi bercakap benar dan jauhi dari sikap suka bersumpah. Bimbang sumpah memakan diri.

    Wallahu’alam.

    al-Faqiirah ila Rabbiha,
    Ummu Abbas

  3. assalamualaikum kak Nur,

    Keluarga saya mmg tak mahu menerima suami sy lg.Apakah cara terbaik untuk sy menyatakan hasrat untuk bersama dgn suami kembali kerana keluarga sy sudah menganggap yg kami sudah bercerai dan sudah tiada apa2 hubungan lagi.Hati saya rasa begitu tersiksa kerana tidak dapat hidup bersama-sama suami walaupun pada hakikatnya hubungan kami sah.kami juga tak dapat hidup seperti pasangan suami isteri yg lain.
    Melihat kepada wajah kedua-dua ibu bapa, saya tak sampai hati rasanya utk melukai hati mereka. Tapi jika berterusan begini, sy sendiri yg merana.

  4. Waalaykum salam wbh,

    Kak Nur kasihan pada Muslimah namun percayalah Yang Maha Mengasihani sedang menguji iman dan taqwa Muslimah, sejauh mana Muslimah mahu mendekatkan diri padaNya.

    Seringkali Allah tonjolkan kelemahan insan terutama yang rapat dengan kita untuk menzahirkan bahawa hanya Dia yang sempurna. Agar dengan itu, hati kita lembut dan sentiasa mahu mengingatiNya, beristighfar kepadaNya dan melipat gandakan amal soleh.

    Adapun berkenaan perkembangan masalah Muslimah sekarang, bolehkah Muslimah jelaskan semula, adakah sebenarnya suami sudah merujuk Muslimah secara sah?

    Kalau Muslimah sekarang berada dalam ikatan perkahwinan yang sah, maka haramlah keluarga menyuruh Muslimah berpisah dengan suami tanpa ada alasan yang dibenarkan syarak.

    Sekiranya ada, Muslimah boleh rujuk masalah ini ke bahagian kaunseling Mahkamah Syariah berhampiran untuk mendapatkan kepastian dan nasihat. Setakat ini, itu sahaja pandangan yang Kak Nor dapat berikan.

    Moga dipermudahkan Allah segala urusan.

  5. Assalamualaikum Kak Nur…

    Terima kasih kerana sudi meluangkan masa membaca persoalan saya. Saya berumur 26 tahun dan insyaAllah akan mendirikan rumahtangga bersama bakal suami pada tahun hadapan. Dalam meniti hari-hari menuju ke alam rumahtangga, hati ini semakin bimbang memikirkan hati dan jiwa yang dirasakan belum cukup ilmunya untuk menjadi isteri yang solehah serta hambaNya yang taat.

    Kak Nur, saya sedar saya dan bakal suami tidak dalam pengetahuan agamanya.Mungkin ini tidak menjadi isu yang sangat besar bagi bakal suami saya tetapi sejak kebelakangan ini timbul masalah-masalah melibatkan rakan-rakan yang pada fikiran saya, ia boleh diatasi dengan kematangan, keimanan dan kefahaman yang lebih luas tentang tanggungjawab sesama suami dan isteri kelak yang di antaranya ialah menjaga maruah si isteri atau suami di hadapan orang lain.

    Hanya kerana kesilapan saya yang cemburukannya apabila bersama rakan-rakan (kerana trauma hal silam) telah membuatkan rakan-rakannya berfikir saya adalah ‘queen control’ dan ini telah menyinggung perasaannya. Saya yakin jika bakal suami benar-benar memahami, pasti beliau akan lebih bijak melindungi maruah saya di depan rakan-rakannya di sebalik membiarkan mereka berfikir dan berkata yang tidak baik tentang saya.

    Tolonglah Kak Nur, saya ingin menjadi isteri yang baik dan solehah. Apa tindakan yang terbaik harus saya lakukan untuk memberi contoh kepada bakal suami agar dapat menginsafkannya tanpa mengguris hatinya?
    Serta, saya ingin sekali mendalami Islam dan menghambakan diri pada Allah serta memberi contoh yang baik terhadap keluarga dan rakan-rakan. Saya pernah mendengar bahawa untuk dekat pada Allah, berkawanlah dengan orang-orang muslim yang taat. Namun tiada di kalangan rakan-rakan saya yang dapat membimbing serta membawa saya ke jalan yang lurus dan sederhana. Bantulah saya Kak Nur… moga Allah memberkati Kak Nur sekeluarga.

  6. assalamualaikum Kak Nur,

    Semasa dalam idah suami ada rujuk dgn saya. Saya telah mendapatkan khidmat nasihat daripada pihak JAKIM dan ternyata lafaz tersebut sah, cuma saya dan suami tidak menfailkan rujuk tersebut di pejabat agama kerana kami takut diketahui oleh keluarga kedua-dua belah pihak.Kalau mereka tahu yg kami telah rujuk semula, sy pasti mereka akan merasa sgt kecewa dan takkan dapat menerima kami lagi.Sy dan suami berpendapat untuk memberitahu mereka yg kami ingin nikah semula dan memohon restu mereka.Kami tak mahu mereka merasakan kami membelakangi mereka dgn telah rujuk semula tanpa persetujuan mereka.
    Apa pendapat Kak Nor? Bolehkah kami nikah semula, sedangkan kami mmg masih suami isteri untuk menjaga hati keluarga?

  7. Wa’alaykum salam wbh,

    Adik Nur Aqidah yang dikasihi Allah,

    Alhamdulillah, tiadalah yang paling menggembirakan orang mukmin selain melihat saudara sesama Islam mahu mengambil Islam sebagai cara hidupnya.

    Dan tiadalah yang menyedihkan iblis kecuali melihat para hamba bertaubat kepada Allah.

    Sebelum Kak Nur memberi pandangan, ada perkara yang perlu dijelaskan lebih lanjut oleh adik Nur. Ia berkenaan siapakah yang dikatakan teman-teman suami tersebut? Mereka itu sesama lelaki kah atau teman-teman perempuan?

    Kak Nur juga kurang jelas tentang sifat cemburu yang dinyatakan sehingga menimbulkan tanggapan ‘queen control’ tersebut. Kalau yang dikatakan teman-teman itu perempuan, adalah normal kita cemburu.

    Kak Nur harap adik Nur dapat beri penjelasan lanjut.

    Mengenai harapan adik Nur untuk mendalami ajaran Islam dan menjadi contoh yang baik, ia memang cita-cita yang terpuji.

    Bagi mencapai tujuan tersebut, tidak dapat tidak adik perlu menambah ilmu sepanjang masa. Luangkan masa mendengar kuliah agama, membaca buku agama dan berkawan dengan mereka yang berilmu. Penting adik jaga batas pergaulan dan memilih hanya rakan-rakan perempuan yang baik sahaja. Perhatikan di sekitar kediaman adik dan hampirilah mereka yang warak dan ikhlas. Insya Allah, orang yang ikhlas tidak akan menolak salam silaturrahim yang dihulurkan. Nyatakan dengan jelas tujuan adik mahu berkawan dengan mereka. Insya Allah, mereka dapat membantu.

    Insya Allah, Kak Nur akan tambah lagi artikel berkenaan memilih sahabat dan juga tip mendekatkan diri kepada Allah. Boleh ikuti perkembangan melalui blog ini.

    Terima kasih kerana sudi berkunjung ke sini.

    Al-Haqiirah ilallah,

    Ummu Abbas
    10.02pm
    21 Zulhijjah 1429H

  8. Wa’alaykum salam wbh,

    Adik Muslimah,

    Kak Nur telah berbincang dengan 2 orang sahabat yang warak tentang persoalan akhir yang dikemukakan. Kedua-dua sahabat Kak Nur itu juga seperti Muslimah yang amat menitik beratkan hubungan dengan ibubapa.

    Pada pandangan kami, Muslimah dan suami perlu berterus terang tentang status rujuk yang sah itu. Apatah lagi ia sudah diperakui oleh JAKIM, yakni satu badan bertauliah untuk memberi kaunseling dan pandangan tentang hal ini.

    Cuma, Muslimah dan suami, terutama suami Muslimah pandai-pandailah mahu berkias dengan orang tua untuk sampai kepada maksud. Setakat yang Kak Nur tahu, orang-orang tua kita dari bangsa Melayu ini banyak berlapik cakap-cakap mereka. JMereka juga suka pada kiasan.

    Niat baik suami dan Muslimah untuk terus memelihara hati kedua orang tua itu bagus. Namun dalam masa yang sama, terdapat hal-hal peribadi yang perlu diraikan. Apatah lagi ia sah di sisi syarak.

    Tentang status Muslimah sebagai isteri, sebenarnya dalam hal rujuk, suami memiliki hak penuh merujuk isterinya sama ada isterinya setuju atau tidak. Justeru kedua ibubapa isteri tidak boleh mempengaruhi anak perempuan mereka untuk menolak rujuk suaminya.
    Apabila menyentuh soal hukum-hukum Allah, maka kita harus ingat kepada satu hadis Nabi Muhammad S.A.W yang berbunyi,

    لا طاعة في معصية الله إنما الطاعة في المعروف
    Tiada perlu patuh pada perkara maksiat kepada Allah. Akan tetapi kepatuhan hendaklah pada perkara baik.

    Hadis direkodkan oleh Bukhari dan Muslim.

    Kak Nur syorkan agar Muslimah dan suami berpakat untuk solat hajat di tengah malam dan doakan agar Allah melembutkan hati ibubapa. Doakan juga agar Allah mempermudahkan urusan. Mengadulah pada Allah apa sahaja berkenaan masalah yang sedang dihadapi sekarang, berusaha untuk berterus terang dengan ibubapa,kemudian bertawakkallah kepadaNya.

    Bukankah Allah berkuasa melembutkan hati-hati manusia?

    Seperkara lagi, ulangi memohon maaf dengan ibubapa di atas kesilapan lalu sehingga 3 kali. Ikhlaskan niat dan berjanji pada diri sendiri untuk memperbaiki amalan agar mendapat reda Allah.

    Bukankah Allah berkata,

    “ Sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan menunjukkan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya dan (Ingatlah). Sesiapa berserah diri sepenuhnya kepada Allah, maka cukuplah Allah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).”
    [Al-Talak: 2-3]

    Hanya itu sahaja pandangan yang dapat diberikan secara ringkas.

    Apa yang baik itu dari Allah jua.

    Ummu Abbas 2008
    12.o2am

  9. assalamualaikum ,
    adakah bedosa jika kita membuka aurat kita dgn tidak memakai tudung dihadapan sepupu lelaki sebelah bapa?
    adakah juga aurat kita tebatas?
    bagaimana juga dgn pergaulan kita dgn sepupu belah ayah?

    Wa’alaikum salam wbh Aina.

    Iye…berdosa tidak memakai tudung di hadapan sepupu lelaki sama ada sebelah bapa atau sebelah ibu. Batas2 aurat adalah sama seperti lelaki ajnabi yang lain juga.

    Pergaulan dengan sepupu juga perlu dibataskan pada keperluan yang penting sahaja.

  10. Assalamualaikum :D,sy baru brumur 16 tahun dan masih kabur akan selok belok agama ni harap dapat prtolongan..saya x faham akan perbezaan SAUDARA DAN SEPUPU ..anak kepada adik EMAK kita adalah SAUDARA atau SEPUPU ? :(

  11. Wa’alaikuk salam warahmatullah Zarith :)

    Saudara ialah adik beradik seibu sebapa atau adik beradik seibu atau sebapa sahaja.

    Adik emak kita dipanggil ibu saudara kalau perempuan dan bapa saudara kalau lelaki.

    Anak2 kepada adik beradik emak atau adik beradi bapa dipanggil sepupu.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s