Archive | Februari 2008

Ayah! Ibu! Bawalah Anakmu Ini Mengenal Allah

Wahai Ayahku yang pengasih, Wahai Ibuku yang penyayang 

Kamu melahirkan anakmu ini seputih awan di langit biru.  Maka janganlah dikau biarkan ia mendung kelabu sehingga menitis air mata mereka lantaran tidak mengenal Allah.  Awan yang mendung apabila berarak dalam kumpulan yang besar maka ia mampu menghalang bumi dari disinari cahaya mentari yang terik.  Apatah lagi cahaya purnama yang indah dan tidak menyakiti setiap mata yang memandang.  Begitu jualah kami, wahai ayahku, wahai ibuku.  Mendung kejahilan yang dititiskan oleh ayah dan ibu, mampu menghalang cahaya hidayah dari tersimbah ke jiwa kami. 

Kasihanilah kami wahai ayah, wahai ibu.  

Wahai Abi, Wahai Umi,  

Kami akui kamu sangat prihatin akan makan minum buat jasmani kami, namun kamu lupa mengisi minda kami dengan ilmu mengenal Allah.  Kamu juga lupa menitiskan wahyu penyegar kalbu buat bekalan musafir kami di bumi Allah ini. 

Kami akui dan kami amat berterima kasih di atas sensitiviti Abi dan Umi yang segera merawat kami tatkala kami sakit.  Sanggup berbelanja habis-habisan demi mengembalikan kesihatan badan kami.  Juga tidak pernah jemu berubat ke sana ke sini demi kesejahteraan hidup kami, namun minda kami yang kekosongan, apakah pengisiannya?  Bagaimana pula dengan ruh kami yang kelaparan, kehausan, apakah makanan terbaik yang Abi dan Umi hidangkan untuknya?  

Wahai Papaku yang bertanggungjawab, Wahai Mamaku yang prihatin 

Kami bangga punya mama dan papa yang sanggup bekerja keras memerah keringat demi keselesaan kehidupan dunia kami.  Namun apakah pengorbanan papa dan mama untuk melihat jiwa kami bahagia hingga akhirat?   

Kalau api mancis pun papa dan mama  tidak sanggup membiarkannya menyentuh kami, inikan pula api neraka yang azabnya berganda-ganda dari azab di dunia?  Tegar kamu membiarkan kami terkontang-kanting sendirian mencari Tuhan buat mendapat sedikit ketenangan hidup di dunia? 

 Wahai Ayahandaku, Wahai Bondaku,  

Cubalah renung kembali, sebelum anakandamu ini menderhakaimu dengan menconteng arang ke mukamu;  menjadi penagih dadah, mat rempit, bohsia, bohjan, memberi cucu ‘segera’, berpakaian seperti pelacur… apakah pernah kalian menderhakai Allah?   

Pepatah menyatakan Sebelum anak-anak menderhaka kepada ibubapa, ibubapa terlebih dahulu menderhakai Allah. Sudah tentu ia tidak melibatkan semua ibubapa.  Namun ibubapa perlu mengoreksi diri terlebih dahulu sebelum melemparkan kesalahan kepada anak-anak.

Apakah Ayahanda dan Bonda sedar bahawa kami hanya pinjaman dari Allah?  Allah menggalaskan amanah di bahu ‘mukallaf’mu buat membimbing kami supaya mengenali zatNya yang esa dan maha agung… apakah kamu telah menunaikannya? 

Mampukah sehelai kain putih bersih mencorakkan dirinya sendiri atau perlu kepada manusia yang men’canting’ di atasnya?   Kami adalah apa yang ayahanda dan bonda corakkan kerana itulah pesan Nabi. 

Sekarang bukan masanya, Ayah dan Ibu saling menyalahkan antara satu sama lain kerana cuai mendidik kami, namun gunakan kesempatan yang masih ada untuk kembali kepada Allah seiring sejalan.  Kemudian selaraskan kefahaman dan saling membahu membawa diri dan kami kepada Allah.    

Wahai Ayahku yang bijaksana, wahai ibuku yang penuh kasih sayang, 

Pendidikan kami tidak memadai setakat menyuburkan budaya solehah di dalam rumah, bahkan hendaklah dipanjangkan kepada jiran-jiran dan orang kampung. 

Tiada gunanya juga sekadar Papa dan Mama menjadi baik, jiran-jiran dan orang kampung baik tetapi membiarkan kepimpinan kerajaan yang rosak moralnya menguasai kami.   

Mereka tidak memerlukan kami bersusah payah keluar rumah bagi mempengaruhi kami kerana agen-agen mereka berada hampir di setiap buah rumah mutakhir ini.  Apalagi kalau bukan media elektronik seperti televisyen dan radio yang saban masa menyogok kami dengan bahan-bahan yang melalaikan kami dari mengingati Allah.  Media mereka mempengaruhi minda dan merangsang nafsu jahat kami di dalam rumah.  Sebaik sahaja kami melangkah kaki keluar, kami seolah-olah dijanjikan impian menjadi realiti.  Premis arak dan judi.  Pusat hiburan dan konsert-konsert nafsu syahwat.  Bukankah itu semua wujud kerana  kerajaan yang berkuasa meluluskan aktiviti sedemikian?  Juga mengatur sistem pendidikan yang memisahkan Islam dari kehidupan duniawi.   

Kami diajar pergaulan bebas tanpa batasan.  Sekolah-sekolah kami dicampur lelaki dan perempuan.  Kolej-kolej kami dicampur.  Fakulti kami dicampur.  Tempat-tempat kerja kami juga bercampur lelaki wanita tanpa batasan syarak.  Tempat kami beriadah, tempat kami bersantai, kenderaan awam yang kami naiki, tempat kami membeli belah barangan keperluan- semuanya diasak dengan ransangan-ransangan seks sama ada disedari atau tanpa disedari.  

Bapaku yang kukasihi,  Mamaku yang kusayangi, 

Siapakah yang berkuasa mengatur dan menentukan semua itu kalau bukan sebuah kerajaan?  Dan apakah sesebuah kerajaan mampu  memiliki kuasa dalam arena demokrasi kalau tidak rakyat yang memandatkan kuasa tersebut?  Dan siapakah rakyat itu kalau bukan terdiri dari bapa, ibu, belia dan muda-mudi yang sudah cukup usianya?   

Apakah baba dan mama sanggup memberi amanah kepada individu yang tidak takutkan Allah mendidik kami di luar rumah?  Bukan itu sahaja,  mereka juga menyuapi kami dengan sumber-sumber syubhat melalui akaun kerajaan yang tidak suci dari cukai-cukai arak dan judi.  Walhal semua agama mengutuk keburukan arak dan judi.  

Sia-sia sahaja baba dan mama mendidik kami mengenal Allah di dalam rumah namun memilih sebuah kerajaan yang tidak takutkan Allah menyambung tarbiah kami sebaik kami melangkah ke luar rumah.   

 Fikir-fikirkan… dan buatlah keputusan terbaik demi masa depan kami dan cucu cicit papa dan mama.  Bukan setakat masa depan di dunia, bahkan berpanjangan hingga akhirat.  

Ummu Abbas © Kerana Cinta’s Weblog 2008

21 Safar 1429H/ 28 Feb 08 

11.46am

Manisnya Menundukkan Pandangan

Sedapnya makanan di sini’.  Kita memuji sambil menyuapkan nasi ke mulut.  Persekitaran yang bersih dan nyaman menambahkan lagi keselesaan kita menjamu selera.  Bukan itu sahaja, terdapat perkara yang lebih utama menyebabkan kita dapat menikmati kelazatan sesuatu makanan.  Iya! Badan yang sihat dan lidah tiada masalah. 

Begitulah perumpamaan kalau kita punya hati yang sihat.  Bersih pula.  Sudah tentu apa sahaja perintah dan larangan Allah dapat dirasai kelazatan melaksanakannya.  Hati yang sihat dapat merasakan manisnya iman.  Indahnya taqwa.  Berdebar-debar hati tatkala disebut nama Allah.  Itulah tanda cinta.  Selagi kita tidak merasakan demikian, percayalah bahawa jiwa kita sedang sakit.  Apatah lagi apabila mendengar suruhan dan larangan Allah, hati memberontak.  “Susahlah…”.  ‘Malaslah…’  Itu simpton hati kita yang sudah dijangkiti virus.   

Bila badan tidak sihat, sudah tentu kita akan mencari ubatnya.  Ubatnya pula mesti sesuai dengan jenis penyakit.  Tersilap ubat, menambahkan lagi penyakit.  Tak pun… terus KO!.  Na’uzubillah.  Begitu juga hati kita.  Kenal pasti dulu penyakitnya.  Kemudian baru dapatkan kaedah rawatan dan ubat yang sesuai. Sebagai contoh;  Kita punya penyakit kedekut.  Kita pun mulalah bangun tahajjud setiap malam untuk membuang penyakit tersebut.  Sedangkan kita tidak pula cuba-cuba ‘transfer’ akaun kepada individu atau badan yang memerlukannya.  Natijahnya penyakit kedekut kekal melarat pada diri kita.  

 Ambil cara mudah, kalau kita ternampak iklan mohon derma atau datang si fakir meminta sedekah, hulurkan sahaja apa yang ada di tangan.  Mula-mula memang kena paksa dulu.  Alah bisa tegal biasa.   

Penyakit Seks 

Akhir-akhir ini, kita sering dihadapkan dengan masalah dan penyakit berkait zina.  Dari sekecil-kecil skandal seperti yang menimpa orang awam (kena tangkap khalwat) hinggalah sebesar-besarnya (dapat VCD percuma aksi seks menteri).  Hebat.  Memang cukup hebat.  Kalau dulu terpaksa cari secara sembunyi-sembunyi pita video atau VCD lucah.  Hari ini diberi percuma tanpa diminta.  Kalau dulu hanya pelacur kelas bawahan yang berlakon (?) aksi seks.  Hari ini profesional bertaraf menteri pun mahu merasa kerjaya yang jelik itu.  Belum lagi dikira acara bebas melayarinya di internet.  

 Islam mempunyai kaedah  ‘mencegah lebih baik dari berubat’.  Justeru dalam merawat penyakit zina ini, Islam menganjurkan ummatnya lelaki dan wanita supaya menundukkan pandangan.  Menundukkan pandangan bukan bererti menundukkan kepala sehingga berjalan terlanggar tiang! 

   Allah perintahkan kita melalui ayat 30 surah an-Nur,

Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.’ 

Ayat seterusnya yakni ayat 30 surah yang sama menitahkan pula kepada kaum wanita,

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka serta janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya’ 

Allah perintahkan kaum lelaki dahulu supaya menjaga pandangan.  Kemudian barulah diperintahkan kaum wanita supaya memelihara pandangan mereka serta menutup aurat.  Ia membuktikan bahawa lelaki sebenarnya mampu mengawal pandangan mereka walaupun terdapat wanita yang tidak menutup aurat di hadapannya.  Allah tidak membebankan hambaNya dengan perkara yang tidak mampu dilakukan.  Selebihnya bergantung pada hati kita sendiri, mahu atau tidak.   

Menundukkan pandangan ialah mengalihkan pandangan daripada melihat perkara yang diharamkan Allah.  Lagi pula, seperkara yang kita perlu sedari mata kita bukan milik kita.  Pinjaman sahaja dari Allah.  Ibarat kita meminjam barang orang.  Bolehkah kita menggunanya sesuka hati kita?.  Selepas pinjam, kita hantar sambil mengucapkan terima kasih.  Begitu juga dengan mata. Kita guna ikut cara yang diredai Allah.  Itu tanda terima kasih kita sebagai peminjam.  Sampai masanya, kita terpaksa pulangkan semula nikmat tersebut.  Sama ada di dunia lagi seperti menjadi buta (minta dijauhkan Allah) atau setelah hayat berpindah ke alam barzakh. 

Pintu masuk kepada ‘kawah api’ zina ini bermula dari pandangan.  Dari mata jatuh ke hati.  Sebab itu Rasulullah menegah kita mengulangi pandangan pada tempat yang diharamkan.  Haram bererti ‘penyakit’ atau dosa.  Kalau pun kita merasa ‘lazat’ pandangan tersebut… hakikatnya ia adalah simpton bahawa hati  kita sedang sakit.  Keseronokan syahwat bersifat sementara dan mengundang pelbagai bala.  Bala pertama ialah hilang ketenangan jiwa.   Hati yang sihat secara automatik menolak perkara-perkara jelik dan hina.  Tiada rasa ‘syok’ atau ‘best’.  Sebaliknya merasa benci, loya atau mual.  Seperti kata Tok Guru Nik Abdul Aziz suatu ketika dahulu (lebih kurang beginilah bunyinya),  

Perempuan yang keluar tidak menutup aurat dan berhias-hias tidak menurut syarak hakikatnya iblis.’ 

Jangan salah sangka pula.  Kata-kata di atas hanya perumpamaan Tuan Guru yang bersifat ‘mursyid’ dan ‘murabbi’ agar kita tidak merasa seronok melihat perkara yang diharamkan.  Bayangkan di sebalik wajah dan bodi yang tidak menutup aurat itu, iblis sedang menjelirkan lidahnya menyorak kebodohan kita mengenepikan larangan Allah.  Manusia hanya alat iblis untuk melalaikan kita dari mengingati Allah dan mengabdikan diri kepadaNya. 

  Allah yang mencipta kita mengetahui dan sangat memahami kegemaran kita.  Justeru Dia menjanjikan nikmat atau kelazatan yang jauh lebih umph!  Allah menyebut dalam ayat 40 dan 41 surah al-Naa’ziaat, ‘  Sesiapa yang takut akan kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari menuruti hawa nafsunya.  Maka sesungguhnya syurgalah tempatnya. 

Di syurga itu ada bidadari.  Kalau kita diperlihatkan dengan seorang sahaja dari bidadari itu, nescaya semua perempuan di dunia ini kelihatan hodoh belaka.  Yang cantik hanya perempuan solehah.  Hanya perempuan beriman dapat mengalahkan kecantikan bidadari syurga.  Fikir-fikirkan…

 

Berikut adalah kelazatan, kenikmatan, keseronokan, keindahan, kemanisan akibat menundukkan pandangan;

  1. Menunjukkan bahawa seseorang patuh pada perintah Allah.  Akibatnya dia dapat merasa puncak kebahagiaan seorang hamba di dunia dan di akhirat.   Allah akan mengganti keseronokan syahwat dengan ketenangan jiwa, kesenangan dan kegembiraan hati yang sangat lazat.
  2. Dapat menangkis anak panah berapi syaitan dan sangat beracun, yang mana semuanya mengakibatkan kemusnahan moral manusia.
  3. Dapat menghiasi hati dengan cahaya serta melenyapkan kegelapan pada wajah dan anggota badan.
  4. Menyuci hati dari akibat sedih.  Orang yang tidak mahu menundukkan pandangan di dunia akan kekallah dia dalam kesedihan.
  5. Mewariskan firasat yang sihat dan benar yang dapat membezakan antara yang baik dan buruk.
  6. Membuka pintu pengetahuan, iman dan makrifat kepada Allah serta peraturanNya.
  7. Mewariskan keteguhan hati dan keberanian.
  8. Menyucikan hati dari syahwat yang tersembunyi.  Seterusnya menawan nafsu untuk disalurkan pada tempat yang betul dan diredai Allah.
  9. Membebaskan hati dan minda dari berangan-angan tinggi.
  10. Menguatkan dan meningkatkan daya berfikir.  Seterusnya mewarisi sikap waspada terhadap akibat buruk yang akan berlaku dalam setiap tindakan.
  11. Mengurangkan sikap lalai.  Sekaligus dapat meningkatkan hubungan dengan Allah dan cintakan kampung akhirat.



 Ummu Abbas© Kerana Cinta’s Weblog 2008

1047am

3 Safar 1429H/ 1o Februari 2008 

Coretan: Tak Sempat Menulis

Sejak Khamis  (31 Januari 2008) lalu saya tidak dapat buka internet melalui laptop.  Hanya boleh layari melalui handphone N70 (hadiah suami Ramadan 1428H lepas.  Suami melanggan Celcom 3G WAP untuk kegunaan kami sekeluarga.  Jazakumullah).  Terkedu juga saya dibuatnya.  Saya berusaha menulis setiap hari  untuk blog saya yang masih bayi ni.  Namun apakan daya…  Kita berusaha, Allah jua yang menentukan.  Pasrah. 

Paginya Jumaat 1 Februari 08, saya punya sedikit urusan di luar.  So saya dah standby untuk tinggalkan laptop (pun hadiah suami pada tahun 2007.  Jazakumullah) dan hp pada Abbas dan 3 lagi adiknya buat mengisi masa sepeninggalan saya nanti.  Saya tumpangkan di nursery seorang sahabat. Ini kali pertama saya tinggalkan anak-anak di situ.  Jadi saya merancang apa yang patut supaya mereka boleh bertahan.  Selain laptop, saya minta Afif (sekelas dengan Abbas) turut bermain di situ.  Kebetulan mamanya punya hala yang sama dengan saya pagi tersebut.  Aqil si  kecil berusia 5 bulan, saya bawa bersama.  Sebelum meninggalkan mereka, saya berusaha sambung internet tapi masih cam tu juga.  Kesuntukan masa, saya tinggalkan mereka usahakan sendiri .  Entah dapat…entah tidak…

Selepas 2 jam setengah, saya kembali untuk mengambil mereka.  Laptop sudah ditutup.  Hairan juga.  Biasanya kalau main ‘game’ sampai berjam-jam.  Rupa-rupanya masih tak dapat sambung.  Abbas dan Azzam agak hampa.  Nasib baik Kak Ima pandai melayan.  Afif dan 2 orang adiknya juga membantu menjadi rakan bermain.  Alhamdulillah.  Anak-anak tidak merungut.

Semalam 3 Feb, baru saya dapat melayari semula internet di laptop.  Rupa-rupanya saya terlupa mengguna kaedah tutup hp dulu.  Buka balik kemudian try sambung semula.  Itu pun, hp tertutup kerana habis bateri.  Aduhai..

Walaupun begitu, saya tidak dapat masuk ke blog ini semalam.  Jem lagi.   Hanya sekejap dapat buka email, kemudian dia asyik keluar, ‘Internet Explorer Cannot Display The Webpage’.  Saya buka tab baru pun sama aje hasilnya.  Sekali lagi.  Pasrah.  Inilah kelemahan saya dalam bab internet ni.  Bila jem, tak tahu nak buat apa.  Last sekali tutup dulu. 

Masa sangat cemburu.  Anak-anak kecil perlu dipenuhi hak-hak mereka.  Urusan rumah menunggu untuk dilangsaikan.  Hmm… tahap kesihatan juga tidak menentu.  Minat menggebu untuk menulis dan mencatat.  Saya sentiasa mengintai masa terluang untuk mengadap laptop.  Akhirnya, saya terpaksa akur pada realiti rutin harian. 

Setiap hari, tidak sama buat saya.  Ada masa anak tidak sihat.  Banyak masa juga, saya sendiri kurang sihat.  Namun alhamdulillah, kurangnya kesihatan di paras masih boleh menguruskan anak-anak sendiri. 

Hari ini 4 Feb, tanpa disedari saya agak tertekan.  Saya asyik memikirkan masa yang amat terhad untuk saya menulis sedangkan minat saya begitu tinggi dalam bidang ini.   Alhamdulillah, saya teringat apa yang saya tulis sebelum ini.  Iya, kembali kepada Allah.  Sememangnya, apabila ilmu dikongsi, kita lebih mengingatinya tatkala terleka.  Paling penting, kita niatkan untuk kita sendiri dahulu kemudian barulah kepada orang lain.

Pesanan Dia dalam surah al-Baqarah, ayat 286 terngiang di hati, ‘ Allah tidak membebankan seseorang kecuali menurut kemampuannya’.  Emosi saya kembali tenang mengenangkan ayat tersebut.  Setelah keluar dari tekanan, baru saya fikirkan semula apa jalan terbaik agar saya punya masa yang lebih banyak untuk menulis.  Setakat ini, saya perlu berusaha meningkatkan tahap kesihatan dan istiqamah menulis walau sedikit.  Moga dipermudahkan Allah.

Alhamdulillah, hari ini 5 Feb jam 12 malam baru saya dapat menjenguk blog saya semula.    Di keheningan pagi ini, saya masih perlu melayan anak kecil yang mahu menyusu dan juga Aziz berusia 4 tahun setengah yang sering bangun malam untuk ke bilik air.   Begitulah rutin hidupku. 

Ummu Abbas ©Kerana Cinta’s Weblog

2.59am

27 Muharram 1429H/ 5 Februari 2008