Archive | Mac 2008

Fikah Wanita: Perempuan Lebih Utama Mengajar

Jumaat lepas tanggal 21 Mac 2008 bersamaan 13 Rabiul Awwal, bertempat di Dewan Johor, penulis dijemput membentangkan tajuk Fikah Wanita. Pihak penganjur iaitu Jawatankuasa Induk Hari Terbuka 2008, Akademi Pengajian Islam Nilam Puri telah mengkhususkan kepada beberapa tajuk berikut;

1. Haid & Istihadah.
2. Mazi, Mani & Wadi.
3. Tabarruj.
4. Merubah Sifat Asal Kejadian.

Ustazah Anisah, pensyarah di APIUM Lembah Pantai sebagai panel 1 telah membentangkan tajuk 1 dan 2. Manakala penulis membentangkan tajuk 3 dan 4.

Alhamdulillah, segala puji dan kesyukuran kepada Allah melihat biah solehah (suasana yang baik) adik-adik pendengar. Ceramah waktu itu khusus untuk pelajar perempuan sahaja yang mereka namakan Daurah Muslimah. Justeru tiada suasana pergaulan bebas lelaki perempuan yang teramat biasa kelihatan di mana-mana sahaja sekarang ini. Hanya beberapa pelajar lelaki yang mundar-mandir di dalam dewan berurusan dengan jawatankuasa pelajar perempuan sebelum ceramah dimulakan. Setelah urusan selesai, mereka keluar. Tinggallah kami para perempuan sahaja di dalam dewan.

Melihatkan tajuk di atas, ia sangat relevan dengan situasi yang diwujudkan. Orang perempuan secara fitrahnya terkenal dengan sifat malu. Apatah lagi mahu bertanya hal-hal sulit berkenaan diri masing-masing di hadapan lelaki ajnabi (lelaki asing yakni bukan mahram).

Pengalaman penulis mengajar di masjid USMKK sejak tahun 2001 berkenaan Fikah Wanita juga amat menyenangi suasana ini. Kuliah Fikah Wanita itu hanya untuk pelajar perempuan. Sudahlah mereka terpaksa menurut sahaja sistem pembelajaran yang mencampurkan pelajar lelaki dan perempuan baik di dalam kelas-kelas maupun di dalam kumpulan diskusi, di sini mereka mendapat sedikit ketenangan belajar Fikah Wanita sesama mereka sahaja.

Mereka juga aktif bertanya tanpa segan silu. Lebih-lebih lagi yang mengajar pun perempuan juga.

Penulis masih ingat semasa belajar di MMP (Maahad Muhammadi Perempuan), semasa di tingkatan Dua, antara subjek awal yang kami belajar ialah fikah ibadat. Fikah Ibadat ialah berkenaan cara bersuci, solat, puasa dan sebagainya terdiri dari ilmu fardu Ain.

Seorang ustaz yang terkenal di kalangan pelajar sebagai ustaz yang ‘galak’ telah mengajar subjek tersebut. Desas-desus mengatakan ustaz tersebut memang mahu mengajar fikah tingkatan Dua dek sifat ‘galak’nya tadi menjadi kenyataan. Apa lagi, kami merasa kurang senang untuk belajar dengannya. Sudahnya tiada pelajar yang suka bertanya permasalahan mereka di dalam kelas. Bila sampai ‘part-part’ seperti perkara yang membatalkan wuduk antaranya tentang hubungan intim suami isteri, lagi naik ‘miang’ si ustaz ini.

Pelajaran fikah ini sangat terbuka dalam membincangkan apa permasalahan sekalipun. Contohnya bagi pelajar yang baru baligh seperti kami, istilah ‘hubungan intim antara suami isteri’ perlu dijelaskan secara terus terang. Kami terpaksa mendengar sambil menahan perasaan malu.

Sebenarnya kalau pun ustaz yang mengajar tetapi mengajar dengan etika yang betul, tiada masalah. Namun dalam konteks sekarang yang mana ramai perempuan berilmu tinggi terutama dalam bab Fikah Wanita, maka menjadi keutamaan perempuan mengajar sesama mereka.

P- Adik-adikku, kekalkan sifat malumu. Malu yang bertempat. Insya Allah, Allah senantiasa menyintaimu.

Salam Sayang.

Ummu Abbas © Kerana Cinta’s Weblog 2008
17 Rabiul Awwal 1429H/ 25 Mac 2008
10.16am

Purdah: Satu Pengalaman

Suatu hari di tahun 1998, Wafa keluar bersama 3 orang anak murid perempuan yang baru memasuki alam remaja. Semua mereka memakai purdah kerana pihak sekolah yang mendisiplinkan demikian. Sekolah tersebut merupakan sebuah sekolah tahfiz swasta. Belum pun setahun Wafa berada di Malaysia waktu itu setelah berkelana lebih kurang 5 tahun di Bumi Anbiya’. Wafa sendiri mula memakainya sejak 6 tahun yang lalu.

Mereka pergi ke sebuah pasar raya area Kuala Lumpur. Pasar raya kepunyaan bangsa Cina tentunya. Dalam pasar raya, mereka berselisih dengan pemuda Cina. Pemuda Cina itu lalu menegur sambil berkata, ‘Wah! Bagus…bagus… Pakai macam ni la bagus.’

Mereka berlalu tanpa menghiraukan teguran tersebut. Terkedu juga Wafa mendengar teguran demikian. Dalam ramai-ramai orang Islam sendiri tidak kira lelaki atau wanita, tua dan muda prejudis dengan pemakaian purdah, ada juga lelaki Cina yang kelihatan seperti non muslim yang menyukainya.

Wafa berfikir, ‘Apakah kaum muslimin yang prejudis itu menapis pandangannya dengan IMAN dan taqwa? Dan lelaki Cina itu tadi menyukainya semata-mata kerana ia sesuai dengan naluri?’.

Hanya Allah yang maha mengetahui.

Behind The Purdah

niqab3.jpg 

Behind The Purdah

I am a woman like any another,
Young and full of desires,
With the urge to live life to its fullest,
I want to be as free as a bird,
Who wishes to fly high in skies,
Swim like that jovial dolphin,
Prancing with the roaring waves,
And discover the colours of life,

I am a woman of few words and glances,
But many endless desires
You think I am imprisoned in black,
You think I cry with inferiority complexes,
But your so wrong O’ wayfarer,

Behind the purdah,
Is a woman who hopes to conquer this world,
With the power of her pen,
Although people ridicule her talent,
she holds firm faith in being patient,
The way she uses the pen,
That sharp sword of words awakening your rooh.
So don’t under estimate this black cloak,
It is far powerful than you can ever imagine.
There have been tales of my disgrace,
by those who failed to realise its value,
I have heard the wise Bulbul,
Singing songs of joy and hope,
She’s praising the purdah and its tales.
Several tears reside behind this veil,
yet a ray of light exists,

One day you will see me fly in the skies,
And the black ink of the pen flowing like that of my purdah
writing in the skies, bold words of wisdom,
till then I am patient and praying everyday…

Behind the purdah, is a story of a woman, living behind the veil and writing it…

Rabis

Glossary words:
Purdah- Muslim veil also known as Niqab or Burkha.

Rujukan:
http://www.flickr.com.

15 Tip Pemimpin Disukai Ramai

Bagi umat Islam, role-model terbaik ialah Nabi Muhammad SAW.  Dia contoh pemimpin yang baik dalam segenap aspek.  Memimpin diri sendiri.  Memimpin keluarga, para sahabat dan masyarakat.  Seterusnya memimpin kuasa rakyat.  Mandat yang diperolehi Rasulullah SAW di Madinah merupakan manifestasi kepimpinan (dakwah dan tarbiyah) fasa Mekah selama 13 tahun.                                         

Jika kepimpinan fasa Mekah menonjolkan Nabi Muhammad sebagai seorang suami, bapa, sahabat, pendakwah dan guru mursyid.  Maka kepimpinan fasa Madinah memperlihatkan kebijaksanaan beliau dalam politik, ekonomi, ketenteraan dan penyatuan kaum.   Kepimpinan Nabi Muhammad adalah untuk direalisasikan oleh tiap ummatnya yang memimpin.  Bukannya sekadar menjadi bahan yang dilagukan setiap kali menjelang sambutan Maulidur Rasul.  15 tip di bawah merupakan aplikasi daripada ciri-ciri asas kepimpinan Rasulullah SAW itu sendiri.  Selamat menghayati. 

< Ikhlas

Pemimpin yang ikhlas dekat di hati rakyat.  Keikhlasan pasti diuji Allah.   Hanya pemimpin yang diredai Allah sahaja yang akan berjaya melepasi ujian.  Buah keikhlasan yang tercerna seperti tidak mengharapkan pujian, mengabaikan kejian, tidak berdendam dan lain-lain lambat laun tetap dinilai oleh rakyat. 

< Berkata benar.

Pemimpin yang tetap berkata benar walau dalam apa jua keadaan merupakan seorang yang jujur.  Orang yang jujur disukai kawan dan lawan.     

Pepatah Melayu mengatakan,

‘Siakap senohong, Gelama ikan duri,

Bercakap bohong, Lama-lama mencuri.’     

Realiti ini disedari sejak dahulu.  Justeru terungkaplah pepatah seperti di atas.  Mutakhir ini, banyak sudah dibuktikan pemimpin yang suka berbohong dengan rakyat akhirnya mencuri dan merompak harta rakyat secara profesional.  Pemimpin yang suka berbohong walau sekali tidak boleh dipercayai untuk menjaga kebajikan rakyat.   

< Amanah & Bertanggungjawab

Ciri-ciri ini menyebabkan hak-hak rakyat ditunaikan dengan baik.  Rakyat yang dapat merasai ‘air tangan’ pemimpin mereka akan mengasihi pemimpin tersebut. 

< Cintakan Ilmu

Umar al-Khattab pernah berkata, ‘Berilmulah kamu sebelum kamu memimpin’.  Ilmu pengetahuan merupakan tonggak kepimpinan khususnya dalam bidang yang dipimpin.  Zaman kontemporari ini mengiktiraf ijazah sebagai pengukur keilmuan seseorang.  Namun yang lebih penting ialah buah kepada ilmu yang dipelajari dalam bentuk amalan dan pengalaman.  Ia juga dapat menjamin rakyat daripada teraniaya oleh sikap-sikap berlandaskan kejahilan. 

< Mahir berkomunikasi

Buku ‘Bakat Dan Kemahiran Memimpin’ tulisan Ainon Mohd & Abdullah Hassan, halaman 20 mendefinisikan kemahiran berkomunikasi ialah kemahiran menggunakan bahasa untuk menimbulkan kesan positif ke atas hubungan sesama manusia.  Khususnya antara pemimpin dan individu yang dipimpinnya.   

Kemahiran berkomunikasi memainkan peranan yang sangat penting dalam hubungan antara pemimpin dan rakyat.  Bahasa komunikasi yang tampan akan menyebabkan seseorang pemimpin dipandang menarik walaupun fizikalnya kurang menarik.   

< Menepati Janji

Lazim bagi pemimpin di era demokrasi berpilihanraya mengemukakan pelbagai janji.  Sesetengah pemimpin tidak suka berjanji namun melaksanakan apa jua projek yang menguntungkan rakyat.  Sesetengahnya pula suka berjanji.  Justeru bagi pemimpin yang sudah melontarkan janji, adalah penting mereka menepati janji-janji yang dibuat.  Pemimpin yang menepati janji dipercayai ramai seterusnya disukai oleh rakyat.  Rakyat tidak akan ragu-ragu untuk terus memberi mandat kepada pemimpin begini. 

Sikap menepati janji juga menyebabkan seseorang akan berfikir dahulu apakah dia mampu menunaikan janji yang akan dibuat.  Sekiranya tidak, mereka tidak akan menabur janji-janji kosong sehingga akhirnya rakyat merasa kecewa dan integriti pemimpin juga merudum. 

< Tetap pendirian

Tetap pendirian yang dimaksudkan ialah pada perkara kebenaran sahaja.  Kebenaran yang datangnya dari Allah dan bukannya menurut kemahuan manusia semata-mata.   

< Memahami waqi’ dan fleksibiliti

Waqi’ ialah persekitaran semasa yang senantiasa berubah.  Ia merangkumi suasana politik, ekonomi dan aspirasi majoriti rakyat.  Kemampuan memahami keadaan dan menyesuaikan diri dengan keperluan rakyat menjadikan pemimpin begini diterima ramai. 

< Berwawasan jauh

Pemimpin yang berwawasan jauh sama ada untuk duniawi, lebih-lebih lagi ukhrawi akan senantiasa terpimpin keputusan dan tindakannya.  Ia juga sentiasa mengambil kira keuntungan jangka panjang bagi rakyatnya sama ada di dunia mahupun akhirat.  Justeru maslahah umum menjadi keutamaan. 

< Berhati-hati

Berhati-hati dalam membuat keputusan atau bercakap menjadikan seseorang pemimpin dihormati.  Dia juga selalunya bertindak berdasarkan hujjah atau rasional yang jelas sahaja serta menjauhi perkara yang meragukan.  Sikap ini disukai ramai kerana ia menunjukkan pemimpin tersebut tidak mudah dimanipulasikan oleh mereka yang berkepentingan.   

< Mengutamakan hak rakyat lebih dari kepentingan diri

Justeru rakyat akan merasa hak-hak mereka terbela dan tenang melayari kehidupan seharian.  Sudah tentu bertambah kasih mereka kepada pemimpin yang mengambil berat hal ehwal mereka melebihi diri sendiri.  

< Zuhud 

Zuhud mampu memagari seseorang pemimpin dari mengambil atau mengguna hak rakyat tanpa kebenaran walau satu sen.  Justeru harta dan aset kepunyaan ramai akan dipelihara dengan baik.  Rakyat juga akan menyayangi pemimpin yang zuhud bahkan mengagumi mereka.     

< Sabar

Berhadapan pelbagai ragam orang ramai menuntut kesabaran yang tinggi.  Pemimpin yang penyabar mampu menangani setiap permasalahan rakyat dengan rasional.   

< Merendah diri

Merendah diri atau tawaduk dicintai Allah, disukai manusia.  Allah mengangkat darjat hamba yang tawaduk serta membayar ‘cash’ hamba yang sombong lagi bongkak.  Allah menyatakan melalui hadis Qudsi bahawa kesombongan dan takabbur merupakan pakaian zatNya.  Maka pasti dibalas sesiapa jua yang mengambil sifat khusus untuk Allah tersebut. 

< Banyak mengingati mati

Semua agama percaya pada kehidupan selepas mati.  Justeru pemimpin yang banyak mengingati mati dan takutkan Tuhan akan terkawal tingkahlakunya, produktif dalam memberi khidmat dan tidak berkira dengan rakyatnya.  Sentiasa ingat mati juga membantu pemimpin konsisten dengan kebajikan dan menjauhi perkara yang merugikan rakyat. 

Ummu Abbas©Kerana Cinta’s Weblog 2008

8 Rabiul Awwal 1429H/ 16 Mac 2008

9.45am

Hasil Eksperimen Di Kelantan: Kekalkan Kerajaan Islam Sekarang

Ani bersekolah di Maahad Muhammadi Perempuan (MMP), Kota Bharu pada tahun 1986-1992.  Dari tingkatan Peralihan hingga 6 Bawah.  Menjadi kebiasaan bagi sekolah-sekolah tajaan Yayasan Islam Kelantan (YIK), pelajar yang mengambil SPM terus belajar di tingkatan 6 Bawah sebagai persediaan mengambil STU (Sekarang STAM) walau keputusan SPM belum keluar.  Ini salah satu budaya ilmu yang wujud di Kelantan.  Ia sangat produktif buat para pelajar.  Pelajar tidak perlu menunggu satu tempoh yang lama untuk terus menuntut ilmu.   Minda tidak boleh di’vakum’ terlalu lama.  Nanti ia dijajah oleh anasir yang tidak sihat.  Luar dan dalam.  

Ani berulang alik menaiki bas SKMK (Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan) setiap hari.  Kedudukan MMP di tengah Bandar Kota Bharu serta berdekatan pula dengan stesen bas awam SKMK menyebabkan Ani dan ratusan pelajar hanya perlu berjalan kaki antara sekolah dan stesen bas tersebut.  Dari pintu pagar belakang (belakang supermarket Pantai Timur sekarang), Ani dan kawan-kawan sering melintasi Pasar Besar Buluh Kubu untuk ke stesen bas.   

Antara tahun 1986-1990, pemandangan harian di Kota Bharu tidak banyak berubah.  Kawasan setinggan yang kotor berjiran dengan Pasar Besar Buluh Kubu menjadi pemandangan harian.  Awal pagi, Ani dapat menyaksikan bagaimana ais di punggah dari kawasan setinggan tersebut untuk dibekalkan kepada peraih-peraih ikan.  Kawasan tersebut agak becak.   

Tiada bangunan baru atau hebat-hebat.  Paling hebat pun bangunan Wisma Persekutuan setinggi 14 tingkat.  Satu itu sahaja.   

Konsert-konsert hiburan juga sering berkunjung ke Kota Bharu.  Masa itu, zaman Rock.  Maka ramailah pemuda-pemuda berseluar ketat, berambut panjang berkeliaran di Kota Bharu.  Pernah juga berlaku adegan kejar-mengejar antara dua pemuda kerana berebutkan gadis dari stesen bas hingga ke Hankyu di tebing Sungai Kelantan (sekarang The Store).  Haru. 

Para pemudi pula berbangga dengan fesyen rambut pelbagai.  Juga fesyen pakaian yang ketinggalan zaman.  Memakai skirt paras lutut atau berseluar dipadankan dengan blause tanpa bertudung lumrah kelihatan pada gadis-gadis Islam.  Jarang kelihatan puteri-puteri Tanah Serendah Sekebun Bunga yang sanggup keluar berjubah dan bertudung labuh.  Macam orang tua.  Itu yang mereka rasa.  Ibu bapa pun lebih-lebih lagi tidak menggalakkan.  Bimbang anak dapat pangkat andartu.  Kalau mahu keluar rumah bertudung, nanti disindir dan dikata macam-macam.  Kalau pun ada yang sanggup menutup aurat dengan sempurna, kebanyakan mereka dari sekolah YIK.   

Setiap hari juga Ani dapat melihat premis-premis  judi, arak dan kelab malam ‘memakmurkan’ bandar Kota Bharu.  Melintasi Jalan Hamzah untuk ke sebuah kampung di seberang Sungai Kelantan, Ani dapat melihat setiap hari satu kedai tertulis Sport Toto di atasnya.   

Kampung Ani terletak kira-kira 5 km dari Kota Bharu.  Satu kawasan orang kampung di Pasir Pekan dijarah dijadikan padang untuk pertandingan vokal terbaik burung Tekukur.  Gadis seusia Ani tidak berapa faham kenapa tanah orang kampung tersebut diambil hanya untuk dipacakkan tiang bagi menaikkan burung Tekukur.  Sesetengah orang tua cakap ia sejenis perjudian juga.  Ani tidak faham.  Mungkin kerana sebahagian mereka bertaruh, burung mana yang akan menang.  Itu belum lagi diambil kira judi laga ayam dan laga biri-biri. 

Selain Si Tekukur, padang tersebut juga di isi dengan ekspo yang berlangsung sebulan lamanya.  Bermula waktu petang, para peniaga mula sibuk di gerai masing-masing.  Malamnya pelbagai jenis hiburan disajikan.  Rumah hantu.  Pelbagai jenis permainan.  Konsert nyanyian.  Pada masa itu, antara artis terkenal ialah Ogy Ahmad Daud, Noreen Noor,  M Daud Kilau dan lain-lain.  Para ibu bapa yang faham Islam tidak mampu menegah anak teruna dara mereka dari berkunjung ke tempat sedemikian.  Apatah lagi jika mereka boleh sampai dengan hanya berjalan kaki.  Lagi pula, selain hiburan, tiada apa-apa masalah pada gerai-gerai jualan.  Ani baru berusia 13 tahun pada masa itu.  Belum faham apa-apa tentang Islam.  Apatah lagi berhubung pemerintahan dan politik Islam.  Hanya yang jadi pengenalan keislaman ialah solat 5 waktu, puasa Ramadan dan pandai baca Quran.  Kelaziman yang sering dititipkan oleh para ibu bapa muslim. 

Jambatan Sultan Yahya itu, dari tahun 1986 Ani mula berulang ke sekolah menaiki bas memang sudah jem.  Penduduk di sekitar jajahan Rantau Panjang, Pasir Mas dan Tumpat berkongsi jambatan dua lorong itu setiap hari.  Menambah sesak di waktu pagi ialah peraih-peraih yang membawa masuk barangan dari Selatan Thai sama ada dari Golok atau Tak Bai ke Kota Bharu.  Sepanjang 4 tahun itu (1986-1990), tidak munasabah langsung UMNO yang memerintah Kelantan yang ‘obses’ dengan pembangunan tidak menyedari akan keperluan membesarkan jambatan tersebut.  Walaupun ramai pelajar yang turun dari rumah sebelum tanah disimbahi cahaya mentari pagi, namun lewat juga mereka sampai ke sekolah gara-gara kesesakan ini.  

Ani Dan Kuliah Tok Guru 

Seingat Ani sejak berusia 12 tahun, dia dibiasakan ke kuliah Tok Guru Nik Aziz (Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat) oleh kedua ibubapanya.  Kuliah diadakan setiap pagi Jumaat di Dewan Zulkifli, Pejabat Perhubungan PAS, Jalan Dato Pati, Kota Bharu.  Hati Ani yang masih suci mudah tersentuh dengan bicara Tok Guru yang bersifat Rabbani.  Paling Ani ingat, tatkala berusia 14 tahun, Ani semakin faham tentang erti kehidupan.  Seboleh-boleh, Ani tidak mahu ‘miss’ walau sekali ke Kuliah Tok Guru.  Kuliah Tok Guru benar-benar membebaskan minda dari terbelenggu dengan ideologi ciptaan manusia.  Lebih dari itu, ia mengisi hati yang baru mahu mengenal Allah.  Ani tidak lupa pada ibubapa yang merintis jalan supaya membesarkan kehidupan di akhirat kelak.  Mata dan telinga Ani mula peka dengan keadaan yang berlaku di sekeliling.  

 Namun ketika itu, Ani tidak berapa suka dengan PAS.  Walau sebaik sahaja Ani menjenguk dunia, tahu-tahu ibu dan ayah sudah ‘berbulan purnama’.  Memang pembohong besar sesiapa yang mengatakan Tok Guru mempergunakan Islam untuk kepentingan politik.  Yang betulnya, Allah memang suruh ambil Islam sebagai dasar apabila mahu berpolitik. 

APU Sapu Bersih 

Satu malam yang sungguh bermakna bagi rakyat Kelantan telah merubah banyak perkara dalam kehidupan mereka.  Tanggal 21 Oktober 1990, Ani begitu teruja menunggu keputusan pilihanraya di radio.  Televisyen tiada pada waktu itu.  TV lama rosak, Ayah tidak menggantinya.  Satu persatu keputusan diumumkan.  Kalau bukan PAS, Semangat 46 yang menang.  Bergilir-gilir.  Ani menanda setiap keputusan di halaman akhbar.  Hampir jam 5 pagi.  Tinggal 1 kerusi lagi belum diumumkan iaitu kerusi Tengku Razaleigh Hamzah.  Ani tidak mampu lagi menongkat mata.  Keesokan harinya, Ani mengucapkan syukur kepada Allah.  Angkatan Perpaduan Ummah menyapu bersih 39 kerusi DUN.  Apatah lagi, hari ketiga Tok Guru kesayangan ramai ditabalkan sebagai Menteri Besar (MB).  Kuliah pagi Jumaat pertama selepas kemenangan, orang ramai memenuhi dewan dan Jalan Dato Pati.  Sungguh berbeza Ani dan orang ramai rasakan bila MB memberi kuliah agama.  Seorang MB yang cintakan Allah dan RasulNya.  Islam itu hidup dalam dirinya. 

Sejak dari itu, Ani mula nampak perubahan di Kota Bharu khususnya.  Setinggan jiran Pasar Besar Buluh Kubu sudah tiada.  Kawasan itu telah dibersihkan.  Pasar itu mendapat jolokan baru, Pasar Besar Siti Khadijah.  Kedai-kedai arak dan judi juga dimansuhkan terus.  Kecuali untuk minoriti non muslim, mereka dibenarkan berjualan arak untuk sesama mereka sahaja.  Signboard Sport Toto di Jalan Hamzah tidak lagi kelihatan.  Tiada juga hiburan liar dan melalaikan muda mudi.  Bertambah wanita menutup aurat.  Tiada lagi wanita dieksploitasikan untuk melariskan jualan lewat papan-papan iklan.  Pantai Cinta Berahi yang sering Ani kunjungi juga berubah imej.  Memakai nama baru, Pantai Cahaya Bulan tidak lagi memaparkan gadis-gadis Mat Saleh yang berbikini.  Hati Ani dan para penduduk Negeri Tadahan Wahyu semakin tenang.  Terasa sangat negeri dipayungi rahmat Tuhan, diberkati reda Allah.  Baldatun thoyyibatun wa rabbun ghafuur’. 

Walaupun Ani hanya sempat 22 bulan bernaung di bawah kepimpinan ulama, namun  Ani menyaksikan banyak perubahan dilakukan menurut kemampuan kerajaan Islam Negeri Kelantan.  Ye lah… bukan calang-calang pengurusan dapat mengurangkan hutang kerajaan negeri dalam keadaan disekat bantuan dari kerajaan Persekutuan!.   Julai 1992, Ani masuk pra Akademi Pengajian Islam di Nilam Puri.  Seorang kawan baru dari Selangor, Ija bercerita pengalaman kali pertama sampai Kota Bharu.  ‘Eleh, ini je Kota Bharu.  Macam sebuah pekan di Selangor aje.’  Namun tanpa mengambil masa yang lama, Ija jatuh cinta dengan kepimpinan ulama di Kelantan.   Ija juga menjadi peminat setia Kuliah Tok Guru setiap pagi Jumaat.  Akhirnya Ija mengaku tidak sanggup rasanya menyambung tahun pertama di UM Lembah Pantai kerana sayangkan Kelantan.  Sirna sudah rasa bangga terhadap pembangunan material yang terdapat di negerinya.  Apa yang Ija tidak perasan ialah ‘pekan Kota Bharu’  yang disaksikannya itu adalah hasil 12 tahun UMNO dok jajak (memerintah) Kelantan.  September 1992, Ani menyambung pelajaran ke Timur Tengah buat bekalan menyambung perjuangan para nabi. 

Ani tetap mengikuti perkembangan Kelantan dari jauh.  Kelantan progresif dan dinamik dengan caranya tersendiri.  Tidak perlu ikut acuan orang lain.  Dasar Membangun Bersama Islam terus-terusan mengundang barakah.  Pembangunan jiwa yang menjadi raja dalam setiap diri manusia.  Pembentukan akhlak.  Kecemerlangan ilmu pengetahuan.  Keseimbangan pembangunan material yang dapat dimanfaatkan oleh majoriti rakyat.  Setiap penduduk Serambi Mekah dapat merasa kesegaran udara Islam kecuali di hati mereka yang ada penyakit.  Hati yang sakit umpama lidah yang sakit.  Diberi makan makanan sedap pun, dirasakan pahit.   

Banyak projek yang tergendala dimajukan semula.  Antaranya Padang Tekukur di Pasir Pekan.  Sekarang dipenuhi deretan rumah kedai dan perumahan.  Taman SBJ di Pasir Pekan-Jalan Pasir Mas.  Jambatan yang sudah ditambah ialah Jambatan Pasir Mas-Salor dan Jambatan Tendong.  Walaupun banyak juga bukan projek kerajaan negeri secara langsung, ia membuktikan bahawa pentadbiran Islam tidak pernah meminggirkan pembangunan material.  Bila sebut Islam, automatik ia merangkumi pembangunan spiritual, minda dan material.  Selain dari itu, bukan Islam namanya. 

Rakyat Kelantan tahu benar kelebihan PAS memerintah Kelantan.  Rakyat juga sudah beri peluang UMNO bereksperimen selama 12 tahun di Kelantan.  50 tahun di Malaysia.  Satu premis judi pun UMNO tidak mampu menutupnya.  Justeru, pade (padan) doh UMNO!  Perit doh kawe (kawan) dok bawah kekuasaan orang yang tak takutkan Allah dan Hari Pembalasan..  Ani luahkan secebis hasil eksperimen yang Ani telah lihat ini dan mereka yang celik mata hati untuk diteliti oleh rakyat Kelantan khususnya dan rakyat Malaysia amnya. 

Ummu Abbas © Kerana Cinta’s Weblog 2008

12.15pm.

5 Mac 08/ 27 Safar 1429H

Tip-tip Menjadi Sahabat Yang Baik

ÿ Memulakan memberi salam apabila bertemu. 

Motivasi: Memberi salam terlebih dahulu tanda merendah diri seseorang kepada Allah.  Allah sangat cinta pada hamba yang tawaduk. 

Memanggil nama sahabat dengan nama yang disukainya sama ada di depan atau di belakangnya.

Motivasi: Kita juga suka orang menyebut nama yang kita senangi sama ada di depan maupun di belakang kita.  Jadi lakukan perkara yang sama pada kawan kita.

ÿ Menumpukan perhatian tatkala sahabat bercakap serta elakkan memotong cakapnya.

Motivasi: Allah suka kepada seseorang yang fokus dan mengambil berat terhadap orang lain.  

Menyampaikan pujian orang terhadap sahabat.  Jika kita sembunyikan bererti kita sebenarnya menyimpan rasa dendam dan iri hati.

Motivasi: Allah suka kepada seseorang yang ikhlas dalam persahabatan.  Menyampaikan pujian di sini bertujuan menggalakkan sahabat kita konsisten menunaikan perkara yang baik.  Bukan bertujuan membodek. 

ÿ Tidak menceritakan kejian dan celaan orang terhadap sahabat.  Ini untuk mengelakkan rasa kurang senang dan tercetusnya krisis.

Motivasi: Allah suka seseorang yang mengelakkan perkara yang menggusarkan hati sahabatnya.   

Memberi pertolongan kepada sahabat yang memerlukannya tanpa menunggu dia memintanya.  Kalau dia memohon bantuan, wajib kita bantu setakat termampu.

Motivasi: Allah menolong seseorang selagimana dia menolong sesama insan dalam kebaikan.  

ÿ Mengutamakan keperluan dan kepentingan sahabat dari kepentingan diri. 

Motivasi: Allah mengasihi seseorang yang mampu mendahulukan keperluan orang lain mengatasi dirinya sendiri.  Allah sebaik-baik pemberi rezeki.  Apa yang kita berikan akan diganti dengan yang lebih baik. 

Memandang dan membuat anggapan positif terhadap sikap sahabat.  Elakkan prejudis pada mereka. 

Motivasi: Secara tidak disedari, orang yang suka bersangka buruk pada orang lain telah menghukum di atas perkara yang tidak diketahui dengan jelas.  Allah membantu seseorang yang suka bersangka baik dengan orang lain. 

ÿMemberi nasihat terhadap kesalahan dan kelalaiannya.  Jika melihat kawan kita mulai lalai atau melakukan kesalahan, tegur dan beri nasihat secara rahsia.

Motivasi: Umpama kita tersalah jalan mahu menuju ke suatu tempat.  Kemudian rakan kita menegur kita.  Pastinya kita suka dan berterima kasih kepadanya.  Kita juga suka kalau kesalahan kita tidak diperbesarkan dan ditegur tanpa diketahui orang lain.  Ia menunjukkan maruah kita dihargai. 

Sentiasa memaafkan kesalahan sahabat kita.  Bila melihat dia lakukan kesalahan, tidak ditempelak seperti kata pepatah, ‘memulangkan paku buah keras’.  

Motivasi: ‘Memulangkan paku buah keras’ bererti kita mendendaminya.  Apakah kita ikhlas bersahabat dengannya selama ini?  Allah bersama orang yang ikhlas. 

ÿ Sekiranya dia minta maaf, terima saja apa alasan yang diberikan tidak kira benar atau tidak. 

Motivasi:  Serahkan sahaja perkara yang tidak diketahui kepada Allah.  Lagi pula, Allah tidak akan bertanya pada kita apakah kawan kita berbohong atau tidak.  Yang pasti, Allah akan tanya kita apakah kita telah memaafkan sahabat yang telah meminta maaf. 

Tidak mengulang tayang kesalahan atau keburukannya yang pernah dilakukan pada kita.

Motivasi: Apakah kita suka kalau sahabat kita mengungkit kesalahan kita yang lalu sedangkan kita sudah menginsafinya. 

ÿ Elakkan berkelahi pada perkara remeh temeh.  Apatah lagi mengeluarkan kata-kata kesat.

Motivasi: Perkelahian pertama di dunia ialah antara dua anak Adam iaitu Qabil dan Habil.  Ia dicetuskan oleh Iblis yang memusuhi manusia hingga kiamat.  Justeru ingatlah, apabila kita berbalah tanpa didasari kebenaran, sebenarnya kita menurut jejak-jejak Iblis. 

Menyembunyikan segala rahsia sahabat  dan tidak menceritakan kepada orang lain walau kepada pasangan (suami/isteri) kita sendiri.

Motivasi: Allah menyembunyikan rahsia kita selagi kita menjaga rahsia sesama kita. 

ÿ Tidak mendesak atau memaksanya sehingga dia rasa terbeban dengan permintaan kita itu.

Motivasi: Apakah kita suka didesak atau dipaksa melakukan atau menunaikan sesuatu? 

Menjiwai apa yang dirasakannya sama ada senang atau susah.  Gembira dengan perkara yang menggembirakannya dan bersedih dengan sesuatu yang menyedihkannya.

Motivasi:  Apakah yang kita rasa bila kita sedang gembira, sahabat kita mengerut-ngerutkan mukanya?  Apakah yang kita rasa bila kita bersedih, kawan kita bergelak ketawa di hadapan kita? 

ÿ Memberi hadiah sempena hari lahir sahabat atau kerana apa sahaja yang bersesuaian.

Motivasi: Allah cinta kepada orang yang bermurah hati. 

Sentiasa memupuk kasih sayang dengannya hingga akhir hayat.

Motivasi: Allah cinta kepada orang yang saling berkasih sayang keranaNya.  Justeru Allah menegaskan bahawa salah satu dari dua doa yang tidak dimakbulkan ialah doa supaya diputuskan silaturrahim.  Memelihara silaturrahim serta mengekalkannya juga dapat memanjangkan umur. 

ÿ Mengucapkan terima kasih di atas kebaikan sahabat terhadap kita.

Motivasi: Allah berjanji kalau kita sentiasa berterima kasih dengan nikmat yang diperolehi sama ada pada manusia atau kepadaNya, maka Dia akan tambahkan lagi nikmat tersebut.  Ini janji Allah.  Nescaya ditepati.  

Sentiasa mendoakannya.  Doakan selalu sahabat-sahabat kita ketika dia masih hidup atau setelah dia meninggal dunia.

Motivasi: Para malaikat akan selalu mendoakan kita selagimana kita mendoakan kebaikan buat sahabat-sahabat kita. 

ÿMenziarahi sahabat tatkala dia sakit atau ditimpa bencana.

Motivasi:  Allah suka kepada hamba yang mengambil berat hal orang lain. 

Mengiringi sahabat ke pintu ketika dia hendak pulang setelah menziarahi kita.

Motivasi:  Sikap ini menandakan kita menghargai kunjungan sahabat.  Sahabat kita pula merasa dirinya dihormati dan dihargai.  Kesannya ia mampu menambahkan kasih sayang sedia ada. 

Lakukan semua perkara di atas kerana cintakan Allah.  Apa yang telah kita amalkan, sama-samalah kita berusaha untuk konsisten dengannya.  Mana yang kurang, sama-sama kita perbaikinya.  Insya Allah, persahabatan kita berkekalan dengan limpahan barakah dariNya.  

Ummu Abbas©Kerana Cinta’s Weblog2

4 Safar 1428H/ 3 Mac 2008

6.18pm