Archive | Ogos 2008

Alahan Yang Menginsafkan 2

MENCARI AYYUB DAN SULAIMAN

 

  Letih betul pregnant kali ini.  Selalu tidak sihat dan sakit-sakit.  Tidak banyak perkara yang boleh dibuat padahal tanggungjawab begitu banyak.  Rasa macam manusia tidak berguna je!”

 

Begitulah bunyi mesej ringkas (SMS) yang saya terima sebentar tadi.  Saya rasa terharu bila membacanya.  Saya teringat pengalaman hamil anak ke lima yang begitu meletihkan.  Saya balas SMS sahabat saya itu,

 

 Alhamdulillah, kak masih punya pembantu.  Try baca artikel ‘Alahan Yang Menginsafkan’ di keranacinta.wordpress.com.”

 

 

Iya, benar… dalam artikel saya sebelum ini, saya jelaskan betapa Allah menegur kita yang kurang berterima kasih kepadaNya.  Walhal nikmatNya begitu banyak.  Bahkan tidak terhitung kalau mahu dikira.   Allah menyatakan kepada kita dalam Surah Al-Nahl, ayat ke18, Sekiranya kamu mengira nikmat-nikmat Allah,  kamu tidak mampu menghitungnya satu persatu.  Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

 

Rasa tidak berguna, rasa menyusahkan orang lain dan pelbagai perasaan negatif lain sering juga hinggap pada diri saya.  Namun, saya akan muhasabah semula apa yang sedang saya lalui dan telah lalui selama ini.  Iya, orang yang paling berguna di sisi Allah ialah orang yang punya HATI YANG HIDUP.  Apa sahaja yang dia tempuhi, semuanya dikembalikan kepada Allah.   Itu pun jika matlamat hidupnya sememangnya untuk meraih REDA ALLAH.  Cara-cara atau kaedahnya juga diselaraskan dengan aturan-aturan Allah. 

 

 

HATI YANG HIDUP tidak semestinya berada pada badan yang sihat dan kuat, harta yang banyak, kuasa yang besar dan pengaruh yang luas.  HATI YANG HIDUP bisa sahaja berada dalam apa jua situasi meskipun jasad lahirnya kelihatan tidak berguna langsung.  Kenang sahaja tokoh yang menderita sakit sehingga dihalau dari kampung halamannya sendiri, Nabi Ayyub.  Hanya isteri yang setia menemani Nabi Ayyub ke mana sahaja dia pergi dan walau apa pun keadaan dia;  Ketika kaya dan miskin,  saat sihat dan kuat atau sakit yang lama.  Isteri Nabi Ayyub tidak pernah melafazkan bahawa suaminya tidak berguna lagi.

 

 Bukan sahaja Nabi Ayyub disisihkan, orang ramai juga tidak mahu mengambil isterinya bekerja setelah dikenali bahawa dia ialah isteri Ayyub.  Pelbagai tanggapan buruk dilontarkan kepada Nabi Ayyub seperti menganggapnya tidak ikhlas dan lain-lain.  Namun Nabi Ayyub yakin pada diri sendiri.  Dia yakin HATINYA HANYA UNTUK ALLAH: tika senang, tika kaya, tika ramai kawan, tika ramai anak cucu, tika jatuh miskin, tika anak-anak semuanya ditarik kembali kepada Allah, tika badan luluh ditimpa penyakit, tika dihalau oleh orang-orang kampung, HATINYA tetap BERTASBIH, BERTAHMID dan BERSYUKUR kepada ALLAH.  Justeru, ALLAH menyebut berulang-ulang kali melalui mukjizat Al-Quran, “ Sangat sedikit dari kalangan hamba-hambaNya yang bersyukur.”

 

Betapa ramai orang yang kaya raya, badan gagah perkasa, kuasa yang ampuh, pangkat yang tinggi, pengaruh yang merata dan pelbagai nikmat lagi, namun HATINYA rapuh terhadap ALLAH.  Orang beginilah SEBENARNYA tidak berguna di sisi ALLAH.  Bukan dia tidak mampu menjadi hamba yang bersyukur dengan kelebihan nikmat duniawi yang secubit cuma.  Namun kalau dia memilih jalan kufur nikmat, maka kufurlah dia. 

 

Kalau dia rasa dia mahu bersyukur tapi tidak mampu, dia patut tahu  pernah ada manusia yang kuasanya meliputi manusia, jin, angin dan haiwan tapi HATINYA tetap PATUH dan TAAT kepada ALLAH.   Juga manusia yang sama diberikan kekayaan melimpah ruah serta pelbagai keistimewaan lain namun HATINYA tetap sahaja BERTERIMA KASIH kepada ALLAH.   Sehingga terlafaz doa, “Wahai Tuhan!  Jadikanlah daku tetap bersyukur atas nikmat yang Engkau kurniakan kepadaku dan kedua ibubapaku, juga agar aku senantiasa melakukan amal soleh yang Engkau redai.  Masukkanlah daku – dengan belas kasihanMu- dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.”  Siapakah insan bertuah itu?  Siapa lagi kalau bukan Nabi Sulaiman.   ÿ

 

Allah jua sebaik-baik teman.

 

 

Ummu Abbas © Kerana Cinta’s Weblog 2008

27 Syaaban 1429H/29 Ogos 2008

Selamat Ulang Tahun, Sayang!

‘EID MIYLAAD SA’IYD anakku!

Hari ini genap usiamu setahun. 

Moga dirimu ceria di dunia dan di akhirat!

 

Ya Allah…,

Didiklah anak-anakku sebagaimana Engkau mendidikku mengenalMu. 

 

Engkaulah pelindung iman dan taqwa

                                       cahaya mataku dan suami tercinta. 

 

Wahai Tuhan yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang,… 

 

Engkaulah waliku di dunia dan di akhirat,

Engkaulah wali bagi anak-anakku di dunia dan di akhirat,

 

Ya Allah, Ya Latif,

 

Aku senang sekali melihat wajah si kecilku tatkala dia sedang tidur,

Begitu tenang,

Begitu mendamaikan,

 

Ku mohon padaMu…

         Ya Allah…,

            Ya Quddus…,

 

Biarlah pada hari dia mengadapMu nanti,

Wajahnya sebening ini…

                        Sedamai ini…

                                    Sebersih sesuci masa kecilnya…

 

Ku mohon padaMu ya Allah ya Rahman,

Pilihlah anak-anakku menjadi tentera untuk agamaMu,

 

Justeru itu Ya Allah…,

 

Peliharalah aqidah mereka di dunia yang penuh fitnah ini….

Pandanglah wajah mereka dengan belas kasihanMu…

Iringilah hela nafas mereka dengan redaMu…

 

Ya Allah Ya Latif,

 

Ya Allah Ya Ghafur,

 

Ya Allah Ya Arhama Rrohimiin,

 

La ilaha illa anta, Subhanaka inni kuntu minazholimin.

 

La ilaha illallah, Muhammad Rasulullah.

 

Adik Aqil,

 

Selamat ulang tahun, sayang!

 

Mat Rempit: Allah Suruh Kita Berlumba!

Anak Berlumba Lari

Kanak-kanak juga suka berlumba

 

Pian, ingat malam ni… di Lokasi 1’

Ha..ah… apa hadiah malam ni..’ Pian menggaru-garu kepala yang tidak gatal sambil tangan ber’sms’ dengan seseorang.

Malam ni hadiah besar tau… ye lah malam Jumaat tentu lumayan.  $$$ dan pompuan ler… apa lagi.’

Set… nanti aku datang.’

 

Dialog seperti di atas mungkin satu kebiasaan di kalangan remaja lelaki kita yang suka berlumba motor.  Atau kita gelarkan mereka sebagai Mat Rempit.  Berlumba merupakan satu keseronokan bagi manusia.  Apatah lagi jika kita memenangi perlumbaan tersebut.  Dapat hadiah pula.  Sebut apa sahaja jenis perlumbaan, setiap insan tidak dapat lari dari kehidupan berlumba-lumba.  Lumba lari, lumba kuda, lumba renang, lumba kereta, lumba kumpul harta, lumba kumpul isteri, lumba mendapatkan pangkat dan pengaruh, lumba menjadi cantik dan ‘handsome’, lumba bergaya siapa paling anggun, lumba membesarkan rumah, serta seribu satu macam lagi perlumbaan. 

 

Sifat suka berlumba merupakan fitrah manusia.  Fitrah berlumba ini kali pertama dapat dikesan ialah di alam rahim yang mana beribu-ribu sperma berlumba-lumba mengejar satu ovum.  Beribu-ribu sperma ini Allah jadikan berekor yang mana ia dititipkan ke dalam sel pembiakan lelaki.  Manakala telur ovum dititipkan ke dalam ovari wanita.  Hanya sperma yang berjaya menembusi dinding ovum yang dapat melepaskan kromosomnya ke dalam ovum, yang mana kedua-dua kromosom akan bercantum untuk membentuk zigot.  Zigot ialah istilah bagi ovum yang telah dipersenyawakan oleh sperma.  Zigot ini seterusnya membesar dengan izin Allah hingga menjadi janin.  Janin yang dilahirkan itu akhirnya menjadi diri kita hari ini.  Maha suci Allah yang menciptakan.  Maha bijaksana Allah yang mengurniakan kehidupan pada kita saat dan ketika ini.

 

Allah yang menciptakan kita, manusia dalam keadaan lemah.  Terdiri daripada sel-sel halus yang hanya mampu dilihat menggunakan mikroskop.  Namun Allah yang maha kuat membekalkan daya kepada sel sperma berusaha memperjuangkan kehidupannya sendiri.  Seterusnya Allah tiupkan ruh.  Nikmat ruh yang maha agung itu menyebabkan kita berjaya dalam perlumbaan pertama kita untuk hidup.

 

Fitrah berlumba itu tidak terhenti setakat itu sahaja.  Manusia dengan segala kudrat yang terhad berlumba dalam pelbagai bentuk dan jenis sebagaimana yang disebutkan sebelum ini.  Jadi tidak hairan bila melihat Mat-mat Rempit begitu teruja menonjolkan gaya berlumba masing-masing.  Mungkin mereka dapati ibubapa, polis dan masyarakat sekeliling tidak memahami minat mereka.  Namun sedarilah Allah sangat tahu.  Allah amat memahami kegemaran kita dan kesukaan kita sebagai hambaNya kerana Dialah yang mencipta fitrah seiring terbentuknya jasmani kita. 

 

Allah yang bersifat maha penyayang tidak pernah menyekat secara mutlak fitrah yang dibekali dalam diri kita, hamba ciptaanNya.  Bahkan Allah membimbing bagaimana fitrah itu harus dimanfaatkan bagi mengelakkan kesan negatif pada manusia.  Sama ada pada tubuh badan, akal dan jiwa.  Dalam konteks fitrah suka berlumba, Allah menyebut dalam ayat 148 surah al-Baqarah, ‘Bagi setiap ummat ada kiblat yang masing-masing menghadapnya, maka berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan.  Di mana sahaja kamu berada, Allah akan menghimpunkan kamu semua (pada hari kiamat).  Sesungguhnya Allah maha kuasa atas tiap-tiap sesuatu.’

 

Seiring naluri semulajadi manusia, Allah berikan keinginan berbuat baik dan keinginan berbuat jahat bagi menguji manusia.  Allah sudah punya malaikat yang berterusan mentaatiNya.  Allah juga sudah punya iblis yang ‘confirm’ menderhaka sampai kiamat.  Jadi, satu lagi Allah jadikan manusia dan jin dengan keupayaan memilih antara dua jalan.  Taat atau derhaka.  Kalau taat, kita untung dunia akhirat.  Kalau derhaka, kita rugi dunia akhirat.  Allah tidak terkesan apa-apa dengan perbuatan kita.  Namun sebagai zat yang maha pengasih, Allah menyeru kita agar ‘berlumba’ mengumpulkan kebaikan.  Seorang kekasih tentunya mahu yang dikasihi bahagia selama-lamanya.  Begitu jua Allah yang amat sayangkan hambaNya yakni kita. 

 

Antara kebaikan yang utama ialah mendirikan solat dalam ertikata solat yang khusyuk.  Berpuasa bulan Ramadan.  Taat kedua ibubapa dalam perkara kebajikan.  Memelihara hubungan dengan jiran tetangga.  Seterusnya tidak membahayakan diri sendiri dan orang ramai dengan apa cara sekalipun.  Waimma dadah, arak, judi, mengumpat, menfitnah, mendedahkan aurat, rasuah, pergaulan bebas, berlumba motor di tengah jalan awam dan lain-lain.

 

Allah memotivasi lagi supaya berlumba dalam ayat 48 surah al-Maidah,

‘….. Kami adakan untuk tiap-tiap umat di antara kamu satu syariat dan satu jalan.  Kalau Allah kehendaki nescaya Dia jadikan kamu satu umat tetapi Dia hendak menguji kamu tentang apa yang disampaikan kepadamu.  Oleh itu berlumba-lumbalah kamu melakukan kebaikan.  Kepada Allah jua tempat kamu semua kembali, lalu Allah memberitahu kamu tentang apa yang kamu perselisihkan.

 

Sifat gemar memenangi perlumbaan juga merupakan fitrah atau naluri setiap insan.  Ayat 32 dari surah Faatir menyebut, ‘ Kemudian Kami jadikan Al-Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran Al-Quran) dan di antaranya ada yang bersikap sederhana dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata)’.  Mendahului orang lain di sini maksudnya memenangi perlumbaan berbuat baik.  Kawan-kawan belum buat.  Kita sudah laksanakan dengan rasa rendah diri kerana kemampuan tersebut adalah dengan izin Allah jua.

 

Kalau Mat Rempit berbangga dengan hadiah wang ringgit dan perempuan murahan.  Cuba lihat tawaran dan janji Allah bagi mereka yang juara berbuat baik melalui ayat 33 surah Faatir,’ (Balasan mereka ialah) Syurga-syurga “Adn”, yang mereka akan memasukinya; mereka dihiaskan di dalamnya dengan gelang-gelang tangan dari emas dan mutiara; dan pakaian mereka di situ adalah dari sutera.’ 

 

 

Lihatlah pula apa janji Allah untuk memenuhi fitrah lelaki yang sukakan perempuan di dalam ayat 25 surah al-Baqarah, ‘… dan disediakan untuk mereka dalam Syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya.’ 

 

‘Isteri-isteri yang sentiasa bersih dan suci.’  Isteri-isteri.   Maksudnya ramai.  Bukannya seorang.  Sesuai sangat dengan selera lelaki yang sukakan ramai perempuan. 

 Bersih dan suci.’  Maksudnya bukan perempuan murahan bekasan si fulan dan si fulan.  Bahkan semuanya dara sentiasa.  Kecantikannya pula yang tidak pernah dilihat.  Bahkan tidak pernah terlintas dalam fikiran.

Mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya.’  Maksudnya hadiah syurga itu akan digazetkan sebagai milik kekal kita selama-lamanya.  Bukannya sekadar menikmatinya seketika sebagaimana habuan dunia yang sementara. 

 

Kalau Mat Rempit mampu bersabar dikejar polis dan dicerca masyarakat sekadar mengejar sepicis habuan dunia yang sementara, sudah tentu mereka lebih sanggup bersabar berlumba-lumba melakukan kebaikan demi ganjaran syurga yang menanti! 

 

Lihat apa kata mereka yang jadi juara dalam perlumbaan taat, ‘ Dan (sebagai bersyukur) berkatalah mereka: Segala puji tertentu bagi Allah, yang telah menghapuskan perasaan dukacita dari kami. Sesungguhnya Tuhan kami Maha Pengampun, lagi sentiasa memberi balasan yang sebaik-baiknya (kepada orang-orang yang taat). Tuhan yang telah menempatkan kami di tempat tinggal yang kekal, dengan anugerahNya semata-mata. Kami tidak akan merasa penat lelah di situ dan Kami juga tidak akan merasa letih lesu.’ Ucapan ini dirakamkan di dalam ayat 34 dan 35 surah Faatir.

 

Fikir-fikirkan…!

 

Ummu Abbas©Kerana Cinta’s Weblog 2008

 3.00pm/ 4 April 2008

 

 

 

 

 

Bulan Berkasih

Orang yang sedang bercinta tentu sensitif dengan perkataan kasih, sayang, rindu dan sewaktu dengannya.  Tiada erti kasih tanpa rindu.  Siapa yang faham apa itu rindu tanpa cinta?  Bagaimana mahu rindu kalau hari-hari sudah berjumpa.  Setiap saat, minit dan jam pula asyik berSMS, MMS dan ber’chatting’.  Sayang begini tidak mengenal rindu.  Terlebih hubungan, jemu pula bertamu.  Justeru Islam mementingkan sederhana dalam semua perkara.

 

Kalau seantero dunia kenal dan tahu apa itu ‘valentine day’.  Ummat Islam pula sangat-sangat tahu apa itu Ramadan.  ‘Valentine Day’ memuja cinta sesama manusia dan melalaikan golongan bercinta dari cinta qudus.  Ramadan menggamit hati untuk kembali kepada Yang Maha Menyintai.  Bagi memastikan hamba-hambaNya dapat memadu kasih dan melepaskan rindu yang suci pada diri dan Rabbnya, maka Allah sediakan penjara buat musuh luaran nombor wahid manusia yakni iblis.  Kalau telenovela ‘Soleha’ yang sedang ditayangkan TV9 setiap petang Isnin-Sabtu menampilkan watak ‘Adel’ yang begitu iri dengan cinta Ervan dan Rendra terhadap Soleha.  Maka iblis adalah raja dengki nombor satu bagi cinta patuh manusia pada penciptanya. 

 

Orang bercinta yang terrasuk dengan aura ‘Valentine day’ sentiasa menunggu-nunggu hari tersebut sehari setiap tahun.  Ummat Islam yang sayangkan diri sendiri pula sentiasa merindui kedatangan sebulan Ramadan.  Ramadan bulan ‘spa membersihkan hati’ dan peluang mengikis karat dosa di minda dan jiwa.  30 hari Allah sediakan medan menundukkan hawa nafsu sendiri yang jahat dan sememangnya teramat jahat.  Tanpa iblis dan syaitan yang berjalan dalam aliran darah manusia pada bulan ini, ia satu peluang yang sangat besar kembali ke jalan yang benar dan lurus.  Tinggal lagi, tanya hati sendiri – ‘Kasih Allahkah yang aku dambakan selama ini atau cinta makhluk yang penuh debu dosa?’

 

Puasa: Kesan Positif Pada Jasmani, Rohani dan Intelektual

 

Ramadan menjanjikan pelbagai nikmat hidup. Nikmat pada kesihatan badan.  Nikmat pada kebersihan hati yang memberi impak kepada kestabilan emosi.  Nikmat pada meningkatnya potensi daya intelek [IQ].  Nikmat pada bertambahnya kasih sayang sesama manusia.  

 

Lapar, dahaga dan letih yang sedikit itu buat menyuci penyakit jasmani manusia.  Perubatan moden hari ini mengiktiraf puasa adalah kuasa penyembuh segala penyakit.  Lebih awal dari kuasa menyembuhkan penyakit ialah puasa sebagai pencegah datangnya penyakit.  Setiap ubat ada dosnya sendiri.  Begitu juga dengan puasa, ia perlu dilakukan dengan disiplin menurut sunnah doktor pakar rohani manusia yakni Nabi Muhammad (salam dan selawat ke atas beliau, ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya).  Barulah puasa menjadi penawar paling efektif bagi apa jua rawatan.  Sebagai contoh, bersahur dekat dengan waktu Subuh dan segera berbuka tatkala Maghrib menjelang.  Apabila berbuka, mengawal jenis dan kadar makanan yang diambil.  Dalam hal ini, peranan empunya badan ialah mendidik hawa nafsunya pula agar mengawal keinginan makan minum yang tidak baik.  Insya Allah, dijamin tiada kesan sampingan.  Bahkan kesan positif berganda pula akan diperolehi pada hati, akal dan emosi sekaligus. 

 

Sepanjang tempoh berpuasa di sebelah siang, kita dilarang makan, minum dan melakukan hubungan intim bagi mereka yang berkahwin.  Juga diperintahkan agar mengawal anggota badan agar senantiasa menahan diri dari melakukan maksiat.  Sebagai alternatif, banyakkan istighfar, membaca al-Quran serta tadabbur maknanya dan mengingati Allah.  Betapa besar kurniaan Allah pada ummat Muhammad bin Abdullah melalui universiti Ramadan.  Kalau manusia mudah terpengaruh dengan skim cepat kaya yang berlambak hari ini tetapi menipu, maka kenapa tidak merebut peluang menambah saham akhirat yang berlipat kali ganda di bulan Ramadan.  Sedang Allah pasti menepati janjiNya.  Setiap amal baik seperti solat, sedekah, berkata baik, menutup aurat, puasa, memudahkan urusan orang lain dan pelbagai lagi akan dibalas oleh Allah dengan peratus pelaburan yang sangat menguntungkan.  Faedah yang tidak mampu ditawarkan mana-mana agensi yang ada di dunia.    

 

Rasulullah SAW berkata, “ Sesiapa yang berpuasa penuh sebulan bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan reda Allah, maka diampunkan semua dosanya yang lalu.” Hadis direkodkan oleh Bukhari dan Muslim.

 

Imam Muslim dan Imam Bukhari juga merekodkan kata-kata Rasulullah SAW  yang berbunyi,  Apabila datang bulan Ramadan, pintu-pintu syurga dibuka.  Dan pintu-pintu neraka ditutup.  Para syaitan pula dibelenggu.

 

Persediaan Menyambut Ramadan 1429H.

 

Sudah menjadi sunnah hidup, kita perlu bersedia dan merancang apabila melakukan suatu perkara walau sekecil mana pun.  Contoh kita mahu masuk ke bilik air, setidak-tidaknya perlu ada kelengkapan seperti tuala dan sebagainya.  Contoh lain, Mat Rempit perlu sediakan motor sekalipun motor curi, baru boleh merempit.  Kemudian perlu dipastikan daya pecutan motor supaya dapat meraih juara.  Inikan pula mahu masuk ke sebuah universiti tarbiyah yang sungguh gah.  Persiapan perlu ada agar mendapat sijil yang memuaskan hati.  Berikut beberapa perkara asas sebagai garis panduan menerima tetamu Ramadan yang dirindui;-

 

1.  Kenal Pasti Tahap Diri

Tahap diri atau pencapaian peribadi yang dimaksudkan ialah apakah jenis nafsu yang kita miliki sekarang.  Al-Quran menyebut 3 tahap asas nafsu manusia iaitu nafsu ammarah [gagal/ rasib/ fail],  nafsu lawwamah [lulus / maqbul/ satisfactory] dan nafsu mutmainnah [cemerlang/ mumtaz / excellent].  Sebahagian ulama membahagi tingkatan nafsu ini kepada 7 peringkat iaitu;

1.       Nafsu Ammarah [Gagal/ rasib/ fail ]

2.       Lawwamah [ Lemah/ maqbul/ weak ]

3.       Mulhamah [ Lulus/ mutawassit/ satisfactory ]

4.       Mutmainnah [ Baik/ jayyid/ good ]

5.       Radhiah  [ Sangat baik/ jayyid jiddan/ very good ]

6.       Mardhiah [ Cemerlang/ mumtaz/ excellent ]

7.       Kamilah   [Sangat cemerlang]

 

Nafsu ammarah ialah nafsu yang sentiasa mengajak kepada melakukan perkara jahat adalah dominan.  Nafsu lawwamah pula lebih berhati-hati dalam memilih antara yang haq dan batil dan antara halal dan haram.  Nafsu mutmainnah merupakan tingkat tertinggi bagi manusia kerana ia berjaya memenjara nafsu jahat sehingga jiwa pemiliknya sentiasa tenang.  Allah berkata dalam surah al-Fajr, ayat 27 hingga 30, “ Hai jiwa yang tenang (mutmainnah)!  Kembalilah kepada tuhanmu dengan rasa reda lagi diredai.  Masuklah ke dalam kumpulan hamba-hambaKu dan masuklah ke syurgaKu.”

 

2. Meletak target.

Maksudnya ialah kita mesti ada target pencapaian setelah mengenal pasti tahap nafsu kita sekarang.  Kalau sekarang nafsu kita ialah ammarah, maka setidak-tidaknya kita mahu hasil lawwamah.  Bagi nafsu lawwamah, mahu capai tahap mutmainnah.  Sementara yang sedang menikmati nafsu mutmainnah, mahu tingkatkan lagi taqarrub kepada Allah serta berusaha agar dapat konsisten.  Peningkatan ini berdasarkan kepada pembahagian 3 tahap asas sebagaimana yang telah disebut sebelum ini.  Kalau mahu merujuk kepada pembahagian 7 marhalah, maka letak target menurut urutan nombor.  Kalau kita sekarang berada di tahap nombor 2, target kita paling tinggi pun 2 marhalah selepasnya yakni nombor 4.  Namun perlu diingatkan, tahap 7 di atas hanya dimiliki oleh para nabi dan rasul. 

 

3.  Memicu usaha dari sekarang.

Setelah ada target yang hendak dicapai, maka gerakkan usaha untuk mencapai target tersebut.  Bagi mereka yang menghidap gastrik, dari sekarang boleh melatih puasa berdikit-dikit.  Jaga makan minum dan dapatkan nasihat pakar perubatan.  Bagi yang suka berbual kosong, kurangkan sedikit demi sedikit.  Usaha membantu tindakan ini ialah kurangkan bergaul dengan insan yang melalaikan.  Sebaliknya cari sahabat yang berkualiti peribadinya.  Juga boleh bersahabat dengan buku-buku yang bermanfaat.  Mereka yang suka mengakhirkan solat 5 waktu , cuba-cubalah awalkan sikit tunaikan solat.

Bagi mereka yang masih segan menutup aurat dengan sempurna, boleh mula melatih rasa segan pada nasfu syahwat sendiri itu menjadi malu pada Allah.

 

Lagikan pelajar yang mahu periksa UPSR pun mesti bersedia dari seawal darjah lima bagi meraih keputusan cemerlang 5A, inikan pula kita yang mahu capai prestasi cemerlang di universiti Ramadan.  Tidak dapat tidak, kita mesti berjinak-jinak dari sekarang dengan perkara-perkara baik.  Sebaik mendengar pengumuman 1 Ramadan baru mula melangkah untuk bermujahadah secara serius, dibimbangi mujahadah itu membuatkan kita lesu dan jemu di akhir Ramadan.  Sedangkan akhir Ramadanlah, kita mahu perhebatkan amalan justeru untungnya bertambah besar.  Ibarat orang berlumba basikal, kalau permulaan garisan sudah buat pecutan, di garisan penamat sudah kehabisan tenaga untuk buat pecutan akhir. Rohani kita sama seperti jasmani kita.  Ia tidak boleh dipaksa-paksa untuk mencapai satu tahap dalam masa singkat.  Kelak mudaratnya lebih besar dari maslahah yang bakal diperolehi. 

 

Berbeza dengan nafsu jahat, ia perlu dipaksa dan ditekan untuk taat pada Allah tapi mestilah dengan ilmu dan faham.  Bukan diberus dengan amalan lahir dengan semangat jahil semata-mata.  Akhir sekali, jangan lupa pada penyudah yang cantik kepada target dan usaha kita iaitu hati yang mengharapkan pertolongan dan belas kasihan dari Allah.  Tanpa bimbingan dan inayahNya, siapalah kita.

 

Selamat berpuasa untuk mata yang membaca artikel ini.  Selamat berpuasa buat akal, jasmani dan rohani empunya mata yang menatap coretan ini.  Ramadan, kedatanganmu dirindui!

 

Ummu Abbas© Kerana Cinta’s Weblog 2008

 8.55am

 4 Syaaban 1429H bersamaan 6 Ogos 2008