Archive | September 2008

Al-Fatihah Buat Moyangku, Wan Lijah

Allah memberitahu kita dalam surah Ali Imran ayat 185, “ Setiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke Syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya dan kehidupan di dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.“

Allah ingatkan lagi diri kita dalam surah al-Anbiya’ ayat 35, “Setiap diri akan merasai mati dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.”

Tanggal 14 Ramadan 1429H bersamaan 14 September 2008, kira-kira jam 2.30 tengahari, moyang saya meninggal akibat terjatuh di tangga hadapan rumahnya. Beliau jatuh kira-kira jam 9.30 pagi dan terus tidak sedarkan diri. Kepalanya pecah dan mengalami banyak pendarahan. Beliau di bawa ke Unit Kecemasan, Hospital Kota Bharu dan meninggal di situ juga. Abah saya membawa pulang mayat ke rumah kira-kira jam 6 petang.

Saya tiba untuk melawat jenazah seusai orang berterawih di masjid kira-kira jam 10.00 malam. Jenazah baru selesai dimandikan. Saya menatap wajahnya yang seperti tidur sahaja. Bibirnya seolah-olah menguntum senyum. Masih ada darah cair yang meleleh keluar dari hujung bibirnya. Masya Allah! Saya teringat berkenaan orang-orang yang mati syahid dikatakan darah mereka masih hidup walau selepas meninggal dunia. Saya belum sempat membuat rujukan buat masa ini untuk topik tanda-tanda mati syahid. Faktor-faktor syahid, kita mungkin biasa dengar antaranya ada kategori syahid dunia dan syahid akhirat.

Saya sedang sibuk mengemas kerana berpindah ke rumah baru. Buku-buku rujukan 99% sudah masuk kotak. Saya juga ingin merujuk tentang kelebihan orang yang meninggal dalam bulan Ramadan. Justeru Ramadan membelenggu para iblis dari menganggu anak-anak Adam beribadah. Kalau begitu, iblis tiadalah untuk memujuk rayu ruh di ambang sakaratul maut ye! Betul ke? Juga dikatakan, pintu-pintu syurga terbuka luas di bulan yang mulia ini.

Alhamdulillah, mudah sahaja moyang saya bertemu Tuhan. Saya memanggil dia dengan sebutan ‘Mok Joh’ (Mak Jah bagi orang luar Kelantan). Mok Joh merupakan moyang tiri saya tapi hubungan kami mesra. Lebih-lebih lagi Mok Joh tukang urut saya semasa saya bersalin anak sulung dan anak kedua. Semasa bersalin anak ketiga dan seterusnya, ingatan Mok Joh kurang baik walaupun beliau masih mampu mengurut. Jadi, ibu saya tidak menggalakkan saya mengurut dengan beliau lagi. Bimbang urat lain yang sakit, urat lain pula yang dipicitnya. Meskipun jauh di sudut hati, saya masih mahu bermanja dengan Mok Joh.

Beliau juga setiap hari keluar berjalan kaki ke sana ke mari di kampung itu. Dia ada 2 orang anak dengan moyang saya, Wan Ali tapi kedua-duanya meninggal semasa kecil. Hmm… dua orang anaknya sudah menanti di syurga, insya Allah. Hanya seorang anak angkat perempuan yang tinggal bersama beliau.

Saya mengucup dahi dan pipi jenazah sebelum bangkit untuk pulang. Itulah penghormatan terakhir yang sempat saya berikan. Sebelum ini, saya sempat tolong mandikan jenazah dua orang nenek saya. Ibu kandung kepada ibu saya namanya Maryam dan ibu tiri kepada bapa saya merangkap guru Quran saya namanya Wan Habsah. Moga-moga ruh kalian ditempatkan bersama ruh para nabi dan orang-orang soleh yang lain. Amin.

Ummu Abbas © Islam Itu Indah 2008
16 Ramadan 1429H/16 September 2008
5.00am

Tip-tip Mengenal Diri Mukmin Atau Munafik

Sesungguhnya orang mukmin itu tujuannya adalah di dalam solat dan berpuasa,
Sedangkan orang munafik disibukkan rakus dan panjang angan-angan.

Orang mukmin putus harapan dari setiap orang selain Allah.
Sedangkan orang munafik mengharapkan setiap orang kecuali Allah.

Orang mukmin menghulurkan hartanya kerana agama Allah.
Sedangkan orang munafik menghulurkan agamanya demi kepentingan hartanya.

Orang mukmin merasa aman dari semua orang kecuali dari Allah.
Sedangkan orang munafik takutkan semua orang kecuali kepada Allah.

Orang mukmin berbuat baik tetapi tetap menangis.
Sedangkan orang munafik berbuat jahat tapi masih boleh ketawa.

Orang mukmin suka menyendiri dan beruzlah.
Sedangkan orang munafik suka bercampur serta mengikut rombongan.

Orang mukmin menanam dan khuatir akan kerosakannya.
Sedangkan orang munafik mencabut dan mengharapkan hasil tuaiannya.

Orang mukmin memerintah dan melarang kerana agama serta mengerjakan kebaikan.
Sedangkan orang munafik melarang kerana kepimpinan serta memusnah,
Malahan dia menyuruh yang munkar dan menegah yang makruf.

• Madah Imam Al-Ghazali.

‘Bertanyalah orang yang berilmu sekiranya kamu tidak mengetahui’

ummuabbas© Islam Itu Indah 2008
8 Ramadan 1429H/ 8 September 2008
11.17pm

Engkau Dilahirkan Merdeka

Dua beradik dilahirkan 31 Ogos pada tahun berlainan
Dua beradik dilahirkan 31 Ogos pada tahun berlainan

 

 Abbas dan Azzam,

Engkau dilahirkan merdeka…

Sebagai seorang hamba…

 

Engkau dilahirkan merdeka…

Pada hari ulangtahun kemerdekaan tanah air tercinta…

 

Engkau dilahirkan merdeka…

Selepas negara sudah merdeka…

Dari jasad penjajah durjana…

 

Anak-anakku…

Engkau berkongsi tarikh lahir merdeka…

Abbas…31 Ogos 1999… melambai pergi alaf pertama…

Azzam…31 Ogos 2000…menggamit datang alaf kedua…

 

Engkau dilahirkan merdeka…

Pada ulangtahun kemerdekaan negara…

Jiwa sucimu masih merdeka…

Dari sebarang noda…

Fikiranmu masih merdeka…

Dari anasir lagha…

 

Namun engkau sebenarnya tidak bebas…

Di bawah cengkaman taghut durhaka…

 

Muslim yang mengambil tuhan selain Allah sebagai Ilah kuasa…

Muslim yang merampas hakimiyyah Allah yang maha Esa…

Muslim yang tunduk dan patuh pada hawa…

 

Bagaimana bisa engkau merdeka…

Tetapi…

                 …bebas…

 

Sebagaimana engkau bebas berenang di rahim bonda…

Sebagai hamba Allah yang mutlak… dan hakiki…

Lalu engkau meluncur keluar dengan izin Tuhanmu…

Sebagai insan merdeka…

Dalam keadaan sujud…

Membawa amanah khalifah…

                                         Wakil Tuhan…

                                             Memelihara buana…

                                                        Dengan hukumNya…

        Melalui guru sunnah RasulNya…

 

 

Tidak…sekali-kali tidak…

Engkau bukan dilahirkan berdiri tegak…

Sebagai tuan mutlak…

                 Menjarah bumi Tuhan…

                             Dengan akal cetekmu…

                                       Dengan syahwat jahat sebagai penasihat…

 

Cukuplah Allah sebagai teman…

Cukuplah Allah sebagai wali…

Cukuplah Allah sebagai pentadbir…

Cukuplah Allah sebagai penggubal undang-undang…

Cukuplah Allah sebagai Ilah…

 

‘Katakanlah Allah itu Esa… anak-anak merdekaku,

Allah tempat tumpuan segala… sayang-sayangku,

Dia tidak beranak…

Dan dia tidak diperanakkan…

Dan tiada suatu apapun… yang serupa denganNya.”

 

KEIKHLASAN AKAN MEMERDEKAKAN!

 

P/S:  Maafkan Ummi, semalam masa tidak mengizinkan Ummi hadiahkan satu entri sempena ulangtahun Abbas dan Azzam.

 

 Ummu Abbas © Kerana Cinta’s Weblog 2008

1 Ramadan 1429H

1 September 2008

4.04pm