Archive | Oktober 2008

Tip Mudah Menjadi Kaya

Suatu hari Hassan al-Basri dikunjungi seorang lelaki yang mengadu mengenai keadaan daerahnya yang kering kontang kerana dilanda kemarau. Hassan menjawab, “ Mohonlah ampun kepada Allah.”

Selepas itu, datang lagi seorang rakan yang mengadu bahawa dirinya ditimpa kemiskinan. Sekali lagi, Hassan menjawab, “ Mohonlah ampun kepada Allah.”

Tidak lama kemudian datang pula seseorang meminta didoakan agar dikurniakan anak dan reaksi Hassan ialah, “ Beristighfarlah kepada Allah.”

Kemudian datang lagi orang yang lain mengadukan tentang kebunnya yang tandus, Hassan juga memintanya supaya beristighfar.

Jawapan Hassan itu menimbulkan rasa tidak puas hati para sahabatnya, lalu mereka bertanya mengapa semua masalah itu hanya dapat diselesaikan melalui istighfar.

Hassan berkata, “Saya tidak mengatakan semua itu secara suka-suka. Tetapi, berdasarkan janji Allah dalam Surah Nuh ayat 10 hingga 12 yang bermaksud, ‘ Maka aku katakan kepada mereka, mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun. Nescaya Dia mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai.’

- Dipetik dari Majalah NUR Oktober 2003, hlm 34 dengan sedikit pembetulan ayat.

Abu Hurayrah pernah melaporkan dari Nabi Muhammad (SAW) bahawa beliau berkata, “ Kaya itu bukan kerana banyak harta, tetapi kaya itu adalah kaya jiwa.”

Seorang penceramah berbangsa India yang belum Islam menyebut di dalam ceramahnya di Kota Bharu, “ Orang yang paling kaya di dunia ialah Tuan Guru Nik Abdul Aziz kerana dia tidak tamakkan harta rakyat dan merasa cukup dengan rezeki yang ada.” Pada masa itu zaman awal reformasi.

Penceramah berbangsa India itu sekarang sudah pun menjawat jawatan Ahli Parlimen. Pandai sungguh dia mentafsir sesuai dengan ajaran Islam. Konsekuen pula dengan hadis yang disebutkan di atas. Betul kata-kata dia itu yang mana dia huraikan lagi orang yang banyak duit atau harta tetapi masih merasa tidak cukup dan mengharapkan harta orang lain sebenarnya orang miskin. Hanya orang miskin yang sentiasa merasa tidak cukup dengan apa yang ada padanya.

Ummu Abbas © Islam Itu Indah 2008
3.13pm
29 Syawal 1429H/ 29 Oktober 2008

Kenapa Tutup Muka?

Gambar di ambil di www.flikcr.com/

Gambar di ambil di http://www.flikcr.com/

Kenapa tutup ini?” Tanya seorang lelaki tionghua sambil tangannya menunjukkan ke arah mukanya sebentar tadi. Dia bertanya kepada saya dengan nada positif mahu tahu rasional di sebalik pemakaian purdah di kalangan muslimah. Ini kali pertama saya ditanya oleh seorang lelaki non-muslim sepanjang tempoh saya memakai purdah.

Usianya saya agak di pertengahan abad.

“ Supaya lebih selamat.” Jelas saya.

“Ooo…ada orang cakap sebab muka lawa kena tutup.” Dia tergelak kecil.

“ Tidak semestinya.” Beritahu saya lagi. Saya sendiri pun bukannya membuat keputusan memakai niqab kerana merasa diri saya cantik. Jauh sekali. Saya bukan tergolong wanita sebegitu pun. Ada perkara lain yang lebih besar dari sekadar menjaga sesuatu yang bersifat material.

“ Tidak semestinya ya…” Lelaki yang belum Islam tadi mengulangi.

“Iya, yang penting lebih selamat. Orang pun tidak kacau.” Saya menjawab ringkas dan lojik yang mudah difahami.

Dalam hati saya meyakini sesuatu yang lebih mendalam dari apa yang saya lafazkan namun saya tidak mampu menyatakannya. Sesuatu yang saya yakini dan telah pun merasai kemanisan mengamalkan menutup wajah sejak 16 tahun yang lalu. Memadai saya berikan penjelasan sesuai dengan tahap dia. Pengalaman kerohanian sukar dijelaskan kecuali oleh mereka yang merasai sendiri pengalaman tersebut. Saya teringat pepatah Al-Syahid Syed Qutb, “ La yazuquha illa man zaaqaha.” Maksudnya lebih kurang, “Seseorang itu tidak dapat menikmati sesuatu kelazatan kecuali setelah dia sendiri merasakannya.”

“Ooo…supaya orang tidak kacau.” Sahutnya lagi bagai setuju dengan lojik saya. Kemudian dia diam dan tidak bertanya lagi.

Kira-kira 20 minit yang lalu, saya singgah di kedai hardware untuk membeli cat. Sepanjang tempoh menyiapkan rumah kira-kira 2 bulan yang lalu, saya kerap juga membeli keperluan rumah di kedai tersebut. Sambil menunggu seorang stafnya mencampur cat yang dikehendaki, lelaki tionghua tadi mengambil peluang bertanya. Agaknya dari tadi dia memerhatikan saya yang ramah menawarkan harga cat hingga saya dapat kurang RM12 dari harga standard. Bolehlah tampung kos petrol yang masih mahal walaupun telah diturunkan harganya.

Kebetulan Sabtu 18 Syawal yang lepas, salah seorang anak buah bertanyakan tentang pemakaian niqab menurut syariat. Kami baru selesai membincangkan sebahagian bab dari buku Fiqh al-Awlawiyyat karya Prof Dr Yusuf Qaradawi. Dia langsung bertanya perkara yang dia anggap mempunyai kaitan dengan tajuk. Saya melayani kemusykilannya sepintas lalu dan menggalakkan dia membuat kajian sendiri berkenaan perbezaan pendapat yang wujud. Saya juga tegaskan, agar dia mantapkan dulu pengetahuannya sebelum mengambil sebarang keputusan dan tindakan. Justeru di sana terdapat pujian Rasulullah SAW berkenaan cantiknya sikap istiqamah dalam beramal perkara-perkara sunnah.

Saya nyatakan demikian kerana saya saksikan ramai muslimah berpurdah tidak sanggup menghadapi badai serta kurang ilmunya untuk menyesuaikan diri dengan situasi dan tuntutan semasa. Jika mahu pakai, fahami betul-betul hujjah yang ada, risiko yang bakal dihadapi serta tahap ketahanan jiwa dan mental. Jika tidak mahu pakai, maka perlu faham juga kenapa tidak mahu pakai.

Jawapan saya kepada lelaki tionghua tadi sebenarnya bertepatan dengan maksud ayat 59 dari surah Al-Ahzab, “ Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan para wanita yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar). Cara yang demikian itu lebih sesuai agar mereka dikenali sebagai perempuan yang baik-baik. Justeru itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Daripada 2 persoalan yang ditimbulkan oleh dua orang yang berlainan jantina dan agama itu, saya terfikir adakah wajar saya menulis sedikit berkenaan tajuk purdah atau niqab?

Sebagai individu aliran Fiqh dan Usul Fiqh dari peringkat Sarjana Muda hingga Sarjana, secara peribadi saya lebih suka berbincang perkara-perkara dasar dan prinsip-prinsip asas yang mana masih ramai ummah belum memahaminya. Ini termasuklah mereka yang menggelarkan diri mereka sebagai aktivis Islam serta pernah melalui pelbagai tahap tarbiyah di kampus. Justeru perkara-perkara khilaf hanya saya akan terangkan jika terdapat pertanyaan dari mana-mana pihak.

Ummu Abbas©Islam Itu Indah 2008
21 Syawal 1429H/ 21 Oktober 2008
4.36pm

10 Akhir Ramadan Di Jordan

Tajuk ini sudah terlewat dari tarikhnya. Namun saya fikir ia akan memberi manfaat buat ummat menyambut Ramadan akan datang. Saya pun tidak tahu adakah saya berkesempatan menghirup udara Ramadan 1430 Hijrah nanti. Kemungkinan saya dijemput tunangan (baca: mati) saya sebelum sempat saya mencoret tajuk ini. Justeru biarlah saya melakarkan secebis pengalaman baik menyambut Ramadan bersama warga Bumi Anbiya’, Jordan.

Dalam entri saya sebelum ini, saya singgung sedikit berkenaan keadaan saya yang dalam proses berpindah rumah. Bagi suri seperti saya yang punya anak-anak yang masih kecil, sebulan rupanya terlalu singkat untuk selesaikan urusan mengemas rumah seorang diri. Dalam menguruskan kerja harian (Insya Allah gajinya hanya Allah yang layak membayarnya), pelbagai judul artikel dan juga buku menerjah di kepala. Belum lagi dicampur dengan soalan-soalan melalui SMS dari anak-anak gadis saya di USMKK. Teringin benar melayan persoalan mereka dengan penuh ilmiah dan isi yang tersusun rapi namun masa saya sering dicemburui. Aduh! Panjang pula mukaddimah saya.

Hmm… menyaksikan gaya warga muslim Malaysia meraikan 10 akhir Ramadan, saya terkenangkan warga Jordan khususnya para mahasiswa Universiti of Jordan, Amman, Jordan. Orang kita masih istiqamah dengan pelbagai persiapan menyambut raya dari baju barunya, langsir dan perabot barunya, duit baru untuk di’tauzi’ (dibahagi) kepada kanak-kanak hinggalah kuih-muihnya. Gaya ini tidak berubah walau negara dilanda bencana ekonomi gawat. Mungkin yang berubahnya hanyalah bajet yang dikurangkan.

Rumah-rumah kita juga bertambah ceria untuk menyambut Aidilfitri. Berbeza di Amman, Jordan, pada 10 akhir Ramadan, muslim di sana berkampung di masjid-masjid. Mereka membawa bekal sekali untuk bersahur dan sebagainya. Masjid-masjid di sana meriah dan ceria hebat menjelang 10 akhir Ramadan.
Mereka lelaki dan perempuan, tua dan muda pakat-pakat beriktikaf sepanjang malam sambil bertahajjud, membaca al-Quran dan berzikir. Mereka benar-benar maksudkannya yakni merebut malam Al-Qadr (Lailatul Qadr). Kelaziman binaan masjid di sana pula menyediakan ruang solat wanita di tingkat atas dan untuk lelaki di aras bawah. Maka mereka dapat privasi masing-masing tanpa berlaku ikhtilat yang diharamkan oleh Islam.

Saya pernah menyertai mereka di Jami’ Jami’ah (Masjid Universiti of Jordan). Seronok dan meriah sekali. Ruang masjid penuh dengan mereka yang mahu menghidupkan 10 akhir Ramadan dan mencari Lailatul Qadr.

Alhamdulillah di Malaysia, sedikit sebanyak terdapat perubahan di masjid-masjid terutama di Kelantan yang menganjurkan solat tahajjud pada 10 akhir Ramadan. Masjid di belakang rumah baru saya sekarang tidak ketinggalan dari menurut arus positif ini. Jam 4 pagi, saya dapat mendengar suara imam membaca ayat-ayat al-Quran di keheningan Ramadan yang qudus.

Moga sinar rumah Allah (masjid-masjid) di Bumi Malaysia bertambah gemilang dan cemerlang kemilaunya. Sinar yang menjanjikan cahaya Islam yang bakal memenuhi hati setiap penghuninya yang sedang bertranformasi pemegang tampuk khalifah. Allahuakbar! Walillahilhamd.

Ummu Abbas© Islam Itu Indah 2008
12.45am.
16 Syawal 1429H/ 16 Oktober 2008