Archive | Disember 2008

Cuti-cuti Malaysia

Alhamdulillah. Impian anak-anak mahu bercuti dipenuhi jua. Kami bertolak dari Kota Bharu pagi 26 Disember 2008 menuju Kuala Lumpur. Bermalam di rumah adik di Ampang. Keesokannya, bawa anak-anak melawat Petrosains di KLCC. Dulu adik yang kerja sebagai jurutera Petronas di KLCC dapat diskaun staf untuk beli tiket, sekarang tiada lagi. Masuk 9.30 pagi, jam 2.00 petang baru keluar. Itu pun lihat secara ringkas-ringkas sahaja. Banyak juga info yang tidak dapat dibaca, gara-gara anak-anak yang mudah jemu.

Rancangan untuk ke Planetarium selepas itu dibatalkan. Seusai makan tengahari di medan selera di tingkat yang sama, kami bertolak ke Melaka.

Semua hotel yang kami ‘survey’ sejak dari rumah penuh. Alhamdulillah, mantan jiran saya berasal dari Champa mempelawa kami bermalam di rumah mereka. Kampung warga Kemboja yang berhijrah itu terletak di Tanjung Minyak. Kami seronok berada di situ. Kebetulan, anak-anak Pak Mat juga berkumpul untuk mengadakan kenduri kesyukuran kecil. Dapatlah saya bertemu semula dengan mereka yang sudah bertahun tidak berjumpa. Cuma seorang anak Pak Mat tidak sempat kami temui kerana semasa kami mahu bertolak, dia belum tiba dari Kuala Lumpur. Ukhuwwah Islamiyah hangat terasa.

28 Disember 2008. Abbas mahu ke Zoo Melaka dan A Famosa Water World namun kami tidak mampu memenuhi permintaannya. Masa agak suntuk. Kami hanya sempat menaiki Eye On Malaysia Melaka. Bandar Melaka padat dengan pengunjung. Jalan jem dan masa kami banyak hilang kerananya. Selepas itu, kami ke rumah sepupu di Paya Rumput.

Jam 6 petang, kami bertolak dari rumah Pak Mat menuju Pasir Gudang, Johor. Adik saya baru mendiami rumah sendiri di Tanjung Puteri Resort. Jadi kami melawatnya untuk kenal rumah baru. Kami tiba jam 10 malam di Pasir Gudang. Esok, kami perlu bertolak awal pagi menuju Kota Bahru. Rumah abang di Taman Universiti Skudai tidak sempat diziarahi. Saya hanya telefon abang dan memaklumkan saya berada di Johor.

29 Disember 2008. Kira-kira jam 9.45 pagi, kami bertolak dari Pasir Gudang menuju Kota Bharu.

Sepanjang perjalanan ini, saya, suami dan anak-anak sering juga terkenangkan travel kami semasa di New South Wales, Australia.

Kami travel dari Sydney-Adelaide-Melbourne-Sydney selama seminggu. Banyak kenangan menyingkap iman di dada. Moga Allah berkati perjalanan kami.

Saya ingin kongsi sedikit pengalaman musafir saya yang menenangkan jiwa;

1. Setiap kali mahu bermusafir, perbaharui niat untuk mendekatkan diri kepada Allah.

2. Mohon kepada Allah agar menemukan kita dengan orang-orang yang dikasihiNya.

3. Sebelum keluar rumah, setelah berusaha memeriksa rumah dalam keadaan selamat dikunci, maklumkan pada jiran tentang pemergian kita dan sebagainya, serahkan kepada Allah untuk menjagaNya. Dialah sebaik-baik penjaga.

4. Sentiasa bertafakkur pada peristiwa yang dilihat, pemandangan yang indah dan sebagainya.

5. Menghubungkan silaturrahim dengan keluarga dan sahabat handai.

6. Meraikan keperluan anggota rombongan sama ada golongan tua dan kanak-kanak. Membawa kanak-kanak bererti kita terpaksa kerap berhenti.

7. Selain baca doa keluar rumah, doa naik kenderaan, baca ayat Kursi dengan 9 kali wakaf sebagai pelindung dari gangguan zahir dan batin.

Wallahua’lam.

29 Disember 2008. Kami tiba jam 12 malam di rumah.

Hijrah 1430 sungguh signifikan buat kami sekeluarga. Petang 30 Zulhijjah 1429H itu kami berada di lebuhraya Jasin-Johor Bharu. Iya, kami antara ribuan kenderaan yang menyambut I Muharram 1430 di lebuhraya itu. Kami mahu hijrahkan iman dan Islam kami kepada yang lebih baik insyaAllah.

Ummu Abbas.

Cermin Yang Baik

Oleh kerana ada pertanyaan mengenai persahabatan, saya sertakan artikel di bawah yang merupakan salah satu tulisan saya untuk buku ‘Dari Lubuk Hati Ibu’. Namun ia telah diedit semula dan ditambah sedikit isinya. Insya Allah, buku itu sekarang dalam proses menyiapkan layout dan akan segera dicetak. Sesiapa yang berminat mendapatkannya, boleh tempah dengan saya melalui email; ummuabbas@yahoo.com.

Masa kecil main bersama, sudah besar belum tentu hatinya sama.  Moga Allah pelihara hati-hati mereka untuk iman dan taqwa. Kelihatan di belakang ialah Sg Murray.  Kawasan anak-anak main ialah NSW.  Seberang sana Victoria.

Masa kecil main bersama, sudah besar belum tentu hatinya sama. Moga Allah pelihara hati-hati mereka untuk iman dan taqwa. Kelihatan di belakang ialah Sg Murray. Kawasan anak-anak main ialah NSW. Seberang sana Victoria.

Cermin yang Baik

Anakku,

Malam ini purnama mengambang penuh. Marilah sama-sama kita perhatikan cahayanya yang redup dan menawan sekali. Bulan itu dipagari pula oleh bintang yang berkelipan. Bertambah indahnya langit dihiasi ribuan lampu mengelip-ngelip.

Anakku,
Nabi Muhammad itu bagaikan purnama. Para bintang di langit pula ialah sahabat-sahabat baginda yang senantiasa mendampinginya. Kita dapat saksikan satu gambaran persahabatan yang indah terlukis di kanvas Sirah Nabi.

Jika Nabi Muhammad berstatus kekasih Allah yang maksum pun perlukan kepada sahabat, lebih-lebih lagi kita yang banyak kelemahan dan sering alpa ini. Nabi dan para sahabat saling mengasihi dan menasihati kerana Allah.

Anakku,
Semasa kecil iaitu semasa ibu bersekolah rendah, datuk menasihati ibu supaya memilih kawan yang suka belajar dan cemerlang pelajarannya. Ibu akur dengan pesanan tersebut kerana ibu dapati berkawan dengan orang yang rajin membuatkan ibu termotivasi untuk rajin belajar juga. Bahkan kami berlumba-lumba untuk dapat kedudukan cemerlang di dalam kelas.

Semasa di sekolah menengah, pesanan datuk itu terus ibu amalkan tapi bukan untuk dapatkan motivasi belajar sahaja, bahkan ibu luaskan skop untuk memilih kawan-kawan yang baik akhlaknya.

Alhamdulillah, sekolah ibu dulu punya persekitaran yang solehah. Sekolah ibu ialah sebuah sekolah agama untuk pelajar perempuan sahaja. Ibu masih ingat, hari pertama ibu di sekolah itu, ibu tertarik dengan perawakan seorang ustazah merangkap guru disiplin yang sedang memberi taklimat disiplin sekolah. Wajah ustazah itu begitu tenang dan mendamaikan jiwa yang melihatnya. Walaupun dia bercakap tentang disiplin sekolah namun dia sering melemparkan senyuman kepada kami.

Setelah berada di sekolah itu, ibu dapati ramai juga kakak-kakak yang berwajah jernih berseri. Terutama mereka yang memakai purdah. Airmuka mereka syahdu dan lembut. Ibu bertambah-tambah cinta pada sekolah itu. Sekolah yang pada mulanya ibu beriya-iya menolak untuk belajar di situ. Ia suatu permulaan bagi ibu mengenal dunia persahabatan kerana Allah.

Anakku,
Benarlah pesan Nabi Muhammad S.A.W yang mengatakan,

مثل الجليس الصالح والسوء كحامل المسك ونافخ الكير فحامل المسك إما أن يحذيك وإما أن تبتاع منه وإما أن تجد منه ريحا طيبة ونافخ الكير إما أن يحرق ثيابك وإما أن تجد ريحا خبيثة

Maksudnya;

Perumpamaan berkawan dengan orang yang baik dan orang yang jahat, adalah seperti pembawa minyak wangi dan peniup dapur tukang besi. Pembawa minyak wangi, mungkin dia akan memberikannya kepadamu atau kamu akan membeli darinya, atau mungkin kamu akan mendapati aroma harum darinya. Adapun peniup dapur, mungkin dia akan membakar pakaianmu, atau mungkin kamu akan mendapat bau busuk darinya.

Direkodkan oleh Bukhari dan Muslim

Dikelilingi oleh kakak-kakak yang solehah, ibu turut terikut-ikut dengan tabiat mereka. Mereka suka belajar, mereka menghormati guru, mereka suka menambah ilmu dengan mendengar kuliah-kuliah selain matapelajaran di dalam kelas, mereka juga berbangga untuk tidak berkawan dengan mana-mana lelaki ajnabi di luar sekolah, mereka berlumba-lumba untuk mengenal Allah dan memburu cintaNya, mereka bangga menjaga maruah dan kesucian diri, mereka suka menolong ibubapa ketika di rumah dan pelbagai lagi sikap yang baik. Ibu turut mendapat tempiasnya walau tidaklah sebaik mereka.

Semasa ibu di Tingkatan Dua, ibu punya sahabat rapat yang berusia 4 tahun lebih tua dari ibu. Ibu namakan dia sebagai Kak Ida sahaja. Pada waktu itu, ibu sengaja memilih dia dibandingkan rakan sebaya yang lain. Ibu mahu tumpang taqwanya. Ibu mahu kutip mutiara hikmah dari lisannya. Lebih menarik, Kak Ida mula mengenakan niqab atau purdah setelah selesai menduduki peperiksaan SPM. Wajahnya yang sedia putih bersih itu semakin bercahaya disimbah nur iman dari hati.

Suatu peristiwa yang ibu tidak dapat lupakan hingga ke hari ini ialah; suatu hari ibu terserempak dengan Kak Ida di lobi sekolah, masya Allah! Subhanallah! Hati ibu langsung teringat kepada Allah. Allahuakbar! Ibu tersentak anakku. Tidak pernah selama hayat ibu pada masa itu, tiba-tiba hati teringat Allah bila menatap wajah seseorang. Selepas itu dan sehingga sekarang pun, ibu masih sukar mencari airmuka yang mengingatkan ibu kepada Allah. Ia bukan jarang-jarang, bahkan nadir sekali. Pada masa itu, ibu berada agak jauh darinya. Jadi ibu tidak menegurnya. Inilah kali pertama ibu luahkan pengalaman tersebut. Kak Ida tidak tahu. Tiada siapa pun tahu kerana ibu tidak pernah kongsikan pengalaman itu sebelum ini.

Kita mungkin pernah melihat wajah yang menenangkan, wajah yang bersih namun untuk terus langsung teringat Allah, aduh sukarnya anakku. Agaknya hati Kak Ida pada masa itu tidak putus dengan zikrullah.

Anak-anakku,
Pesanan Nabi sebelum ini adalah untuk semua ummatnya lelaki dan wanita. Justeru ibu percaya apa yang ibu pernah alami dari kesan pengaruh berkawan adalah sama bagi kaum lelaki jua.

Ibu perhatikan kawan-kawan ibu yang agak nakal-nakal sedikit, mereka suka rapat sesama mereka sahaja. Mereka juga kurang pemalu, kurang menghormati guru, suka menyakiti hati kawan-kawan dan lain-lain lagi sikap yang kurang baik. Mereka ini agaknya merasa tidak cukup dengan jumlah syaitan yang ada, maka mahu ditokok tambah jumlahnya. Benarlah kata-kata Nabi Muhammad,

المرء على دين خليله فلينظر أحدكم من يخالل
Maksudnya;

Seseorang itu menurut agama rakannya. Maka perhatikan dengan siapa dia akan berkawan.

Hadis direkod oleh Abu Dawud, al-Tirmizhi dan Imam Ahmad.

Ummu Abbas© Islam Itu Indah 2008
10.05am
24 Zulhijjah 1429H/ 22 Dis 2008

Nikmat Terbaik Di Dunia

Musim tengkujuh sekarang sering ditemani awan yang tebal. Kadang-kadang mendung berarak hitam. Kadang-kadang ia memutih memenuhi langit. Sehingga cahaya mentari pun sukar menembusinya. Lebih-lebih lagi pabila malam menjelang tiba. Gelap pekat wajahnya. Senyuman manis rembulan pun mahu disapu mendung kelabu. Namun kekadang, berjaya juga purnama menjengah wajahnya. Maka tersebarlah cahayanya yang indah menerangi alam. Oh indahnya cahayamu… bulan!

Begitu jualah Islam datang ke bumi. Ia menyinar di celah kegelapan Jahiliyyah Quraisy yang memenuhi setiap pelusuk bumi Makkah. Ia datang melimpahkan cahaya di celah kelamnya keegoan kuasa Rom dan Parsi.

Kita telah saksikan Islam memberi rasa tenang dan bahagia kepada para wanita. Islam menghidupkan jiwa anak-anak perempuan yang tidak berdosa. Islam mendamaikan suku-suku bangsa Arab yang berbalah sepanjang masa.

**************************
وَإِذَا الْمَوْءُودَةُ سُئِلَتْ. بِأَيِّ ذَنْبٍ قُتِلَتْ
Dan apabila anak perempuan yang ditanam hidup-hidup: Ditanya. Dengan dosa apakah dia dibunuh?
[At-Takwir: 8,9]

***************************
Kita lihat Islam mengembalikan hak-hak suami isteri, ibubapa, anak-anak, kaum kerabat, jiran tetangga, pemimpin dan rakyat serta golongan non muslim.

Kita tahu Islam membebaskan para wanita dari dijual-beli, dijadikan bahan tontonan dan ada yang lebih teruk, dijadikan hamba pemuas nafsu seks semata. Namun kebanyakan wanita hari ini sukarela menjadi hamba syahwat lelaki ‘buaya’ dan membiarkan aurat [Baca: Rahsia] mereka dikomersialkan di media. Sedih dan kasihan benar bila melihat keadaan mereka.

Islam juga datang membebaskan perhambaan sesama manusia kepada menyembah Allah semata. Islam memerdekakan diri manusia dari bertuhankan nafsu kepada patuh kepada Allah Yang Esa.

Melihat pusaka Jahiliyyah yang diwarisi oleh ummah hari ini, tidakkah ianya membuatkan kita menghargai permata Islam? Di celah-celah kegelapan itu masih ada sinar cahaya yang menembusi. Kita sungguh bertuah. Alhamdulillah.

أَفَمَنْ شَرَحَ اللَّهُ صَدْرَهُ لِلْإِسْلَامِ فَهُوَ عَلَى نُورٍ مِنْ رَبِّهِ فَوَيْلٌ لِلْقَاسِيَةِ قُلُوبُهُمْ مِنْ ذِكْرِ اللَّهِ أُولَئِكَ فِي ضَلَالٍ مُبِينٍ

Jika demikian, adakah orang yang telah dilapangkan Allah dadanya untuk menerima Islam, lalu dia tetap berada dalam cahaya dari Tuhannya, (sama seperti orang yang tertutup mata hatinya dengan maksiat)? Maka celakalah bagi orang-orang yang keras hatinya daripada mengingati Allah. Mereka itu berada dalam kesesatan yang nyata.
[Al-Zumar: 22]

Ummu Abbas© Islam Itu Indah 2008
9.33am
24 Zulhijjah 1429H/22 Dic 2008

Tip Khusyuk Dalam Solat

Ummat Islam solat di sekeliling Kaabah

Ummat Islam solat di sekeliling Kaabah

Ini adalah sebahagian tulisan saya untuk buku kedua, ” Dari Lubuk Hati Ibu”. Moga beroleh manfaat.

 Memahami tujuan solat iaitu satu bentuk komunikasi formal dengan Allah. Justeru wajarlah kita menghadirkan hati dan fikiran semasa sedang berkomunikasi dengan Allah.
 Contoh: Kita menghadiri satu temuduga memohon pekerjaan. Lazimnya kita akan berpakaian kemas kerana mahu menjaga imej dan penampilan yang meyakinkan penemuduga. Kemudian kita akan jaga tata tertib masuk ke bilik temuduga, berdiri dan duduk. Seterusnya kita akan mendengar dengan teliti apa yang dikata dan ditanya. Kita juga akan menjawab dengan berhati-hati dan penuh mengharap. Pendekata, kita memusatkan seluruh perhatian kita pada proses temuduga tanpa berfikir lagi tentang perkara-perkara lain. Kalau sesama manusia pun begitu sekali kita berusaha agar memperolehi sesuatu, bagaimana dengan Allah yang kita harapkan hidayah, pertolongan dan perlindungan dariNya? Iya, kita harus menjaga tatatertib solat menurut sunnah Nabi Muhammad S.A.W.
 Bagi menambah penghayatan solat, kita perlu memahami makna bacaan solat serta memahami makna perbuatan (rukun dan wajib) solat.

 Selain menjaga tertib solat yang kita istilahkan dengan fikah ibadah, perkara lain yang mesti dijaga bagi mendapatkan solat yang khusyuk ialah meminimumkan dosa antara waktu-waktu solat. Segera beristighfar setiap kali tersalah atau terlupa melakukan perkara dilarang seperti memandang dan mendengar perkara yang diharamkan. Termasuk jugalah memohon maaf dari manusia yang berkecil hati dengan kita selagi kita menyedarinya. Dosa-dosa akan menghijab hati dari merasa kehadiran Allah di dalam solat.

Antara perkara yang sering dicuaikan oleh muslim yang mahu mendirikan solat ialah mengambil wuduk dengan air yang berlebihan. Sedangkan membazir itu sahabat syaitan.
Ayat 27 surah al-Isra’ memberitahu,
“ Sesungguhnya orang-orang yang suka membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”

 Mengelakkan dari makan terlalu kenyang. Nabi Muhammad S.A.W berpesan,

ما ملأ آدمي وعاء شرا من بطن بحسب بن آدم أكلات يقمن صلبه فإن كان لا محالة فثلث لطعامه وثلث لشرابه وثلث لنفسه
Maksudnya;

Tiada satu bekas dipenuhi anak Adam lebih buruk dari perutnya. Memadai bagi anak Adam beberapa suapan sekadar menyambung hidupnya. Jika ia tidak mencukupi, maka hendaklah sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minuman dan sepertiga lagi untuk pernafasannya.

Hadis direkod oleh Sunan al-Tirmizhi

 Sebagai alternatif meninggalkan perbuatan-perbuatan haram itu tadi, kita digalakkan membanyakkan zikrullah, bertasbih dan bertahmid. Apabila di luar solat, kita sudah melazimi mengingati Allah, maka lebih mudahlah bagi kita untuk khusyuk di dalam solat.

Ummu Abbas 2008

Buku Ketiga: Pengalaman menulis dalam masa 3 hari

Alhamdulillah, semua pujian hanya untukNya. Dia yang melorongkan peluang dan Dia jugalah yang melapangkan dada memenuhi peluang yang terbentang di depan mata. Apabila Allah tetapkan sesuatu itu rezeki kita, maka tiada siapa pun yang mampu menghalangnya atau memesongkannya ke arah lain… dan sebaliknya.

Pujian bagiMu Tuhan yang menzahirkan kekuatanMu saban masa padaku, selagi aku mahu berfikir dan menetapkan hati untuk menghadapMu hingga ke akhir hayatku. Juga menetapkan hati untuk tidak lagi memandang dunia dan segala isinya yang bagaikan fatamorgana.

Alhamdulillah, tanggal 14 Zulhijjah 1429H/ 12 Disember 2008, baru saya selesai menulis buku kedua. Ia melangkau ‘deadline’ yang saya dan Kak Cik sama-sama setujui. Namun oleh kerana kami merancang menerbitkan sendiri dengan biaya dari Tahfiz Darul Furqan, maka kami bebas menentukan bila ia akan berada di pasaran. Kami berusaha menjaga kualiti isi dan sumber rujukan yang muktabar, justeru kami rasa tidak perlu terburu-buru. Kami terpaksa membahagi masa yang sedia padat dengan buku ini. Insya Allah, apabila ia akan dipasarkan nanti, saya akan bagi intro buku tersebut di blog khusus untuk buku.

*****************

Sabtu 15 Zulhijjah, saya demam. Mungkin kesan saya menumpukan perhatian pada buku kedua. Saya mengejar masa untuk daftar PhD sebenarnya. Alhamdulillah, suami sudi membantu menyiapkan proposal.

Malamnya, datang sms dari Kak Cik meminta saya menulis satu ‘Kutaib’ – itu istilah bahasa Arab yang bermaksud buku mini atau ‘booklet’.
Melihat tajuknya saya spontan setuju apatah lagi hanya 50 mukasurat yang dikehendaki. Saya kemudian bertanya,

‘ Deadline nya bila?’

‘ 3 hari.’

Entah kenapa, dada terasa lapang untuk mencuba. Menyiapkan buku kecil setebal 50 halaman dalam masa 3 hari? Mampukah saya?

Saya mula membuat penyelidikan malam itu juga. Saya buat carian di internet isu-isu berkaitan tajuk. Keesokannya, saya mula menulis. Saya harapkan bantuan Allah semata. Memang ya… terasa benar pertolongan Allah itu sangat dekat. Saya berusaha untuk khusyuk dalam solat setakat terdaya dan memelihara hati dari lalai. Pun begitu, banyak juga terlalai. Segera istighfar dan kembali pada zikrullah. Saya mahu rasa kehadiranNya dalam kerja-kerja saya. Dialah pendamping terbaik saya. Hanya Dia satu-satuNya ‘Bank Ilham’ buat saya.

Rujukan yang diperlukan mudah dicari. Cuma ada satu buku Yusuf al-Qaradawi berjudul Pengantar Pengetahuan Islam agak lewat saya menemuinya. Ia sangat penting buat saya. Saya memuhasabah diri. Apakah dosa-dosa saya hingga ia agak terhijab sedikit. Sedangkan sebelumnya, mudah saja saya menemui fakta-fakta yang diperlukan. Bila saya buka indeks lafaz al-Quran (dalam bahasa Arab bertajuk al-Mu’jam al-Mufahris li Alfaaz al-Quran), selepas menemui huruf kepala perkataan, mata cepat menangkap ayat yang dikehendaki sedangkan berderet ayat-ayat lain yang menggunakan perkataan yang sama.
Alhamdulillah.

Sambil menulis, saya beristighfar memohon ampun di atas dosa yang disedari dan tidak disedari. Saya mahu juga buku itu. Puas juga saya mencarinya. Sambil mencari saya minta Allah bantu saya menemukannya. Akhirnya, setelah siap memasukkan isi ke dalam kutaib, baru saya temui buku tersebut.

Sebelum ini, jarang saya menerima tetamu. Namun dalam tempoh tiga hari yang gawat itu, Allah takdirkan ibubapa datang melawat. Dari kedua-dua belah pihak pula.

Petang Sabtu, Mak (ibu mertua) dan kakak ipar sekelamin datang. Sempat makan malam bersama. Keesokannya, Ma (ibu kandung) datang dengan dua orang adik perempuan. Pun sempat makan malam bersama. Alhamdulillah, Allah jua yang melapangkan hati buat saya. Saya berusaha memberi layanan terbaik sedangkan laptop sentiasa terpasang dan internet sentiasa online sebab saya buat rujukan hadis darinya.

Bapa saudara pula sedang membuat kerja-kerja menurap simen di laman yang lecah. Hari ketiga (deadline), bapa saudara datang untuk mengambil barang-barang pertukangan dan upah, ralitnya dia berbual dengan saya sedangkan saya sudah maklumkan saya mahu siapkan kerja. Mood saya agak terganggu namun masih berusaha melayaninya dengan baik. Walau begitu saya masih rasa terkurang dalam memenuhi haknya. Saya mahu mempraktikkan mengenai apa yang saya tulis yakni mengenai Islam ke tahap maksimum yang saya mampu.

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ وَاسْمَعُوا وَأَطِيعُوا
” Maka bertaqwalah kepada Allah setakat yang kamu mampu. Dengarlah dan patuhlah.” Al-Taghabun 64: 16

Saya juga perlu luangkan masa melayan keperluan 5 orang anak yang berusia dari 1 tahun 4 bulan hingga 9 tahun. Juga kerja-kerja rumah yang lain. Suami, seorang microbiologist, banyak masa berada di pejabat.

Alhamdulillah, hari ketiga buku siap ditulis namun belum siap diedit. Semalam Kak Cik sudah bagi tempoh lanjutan. Masa adik datang, sempat juga saya minta tolong dia semak gaya penulisan. Seorang lagi sahabat baik, Chik di keluargakusayang.blogspot.com pula sudi memantau dan memberi komen ‘on the spot’. Ia banyak membantu saya memperbaiki gaya penulisan. Terima kasih Chik.

Hari keempat, saya hantar manuskrip pada Kak Cik. Hari kelima, Kak Cik belum berkesempatan menyemaknya, jadi saya ambil peluang menambah dalil dan mengedit lagi isinya. Alhamdulillah, akhirnya saya berpuas hati dengan manuskrip 85 mukasurat itu pada 20 Zulhijjah 1429H/ 19 Disember 2008. Saya berpuas hati berdasarkan ia sebagai sebuah kutaib sahaja. Kalau ikutkan memang ada lagi mahu ditambah… tapi tidak mengapa, ia baru permulaan. Boleh baiki lagi bila mahu jadikan sebuah buku nanti.

Moga-moga ianya diberkati Allah.

Catatan pada 21 Zulhijjah 1429H
10.47AM

Tip Menghadapi Kerenah Sahabat

3 spesis burung liar sedang makan di koridor apartment kami di Meehan Street, Sydney.  Gambar diambil pada 27 Jun 07.

3 spesis burung liar sedang makan di koridor apartment kami di Meehan Street, Sydney. Gambar diambil pada 27 Jun 07.

Salam..saya ada seorang sahabat yang saya kenal ketika baru belajar di universiti. Hubungan kami agak rapat tapi lama kelamaan saya merasakan persahabatan makin renggang. Kami sudah jarang bertemu dan jika berjumpa pun hanya sekejap. Tolong lah Kak Nur… Saya tidak mahu kehilangan sahabat saya… Saya pun sudah anggap dia seperti adik beradik saya sendiri.

Assalamu’laykum,

Faris,

Kak Nur pun pernah alami perkara yang sama. Apa yang Kak Nur buat bagi mengatasi perkara sebegini ialah;

1. Kita mulakan untuk menghubungi dia. Sebaik-baik sahabat ialah yang memulakan memberi salam. Orang yang memulakan menghubungkan tali silaturrahim paling dikasihi Allah berbanding orang yang dihubungi. Yang penting ikhlaskan kerana Allah. Kita bersilaturrahim kerana Allah dan tidak berhubung juga kerana Allah.

2. Kalau berlaku sesuatu musibah padanya, kita segera menziarahi dia dan nyatakan simpati.

3. Kalau dia memperolehi sesuatu yang baik, kita ucapkan tahniah dan berikan hadiah.

4. Memohon maaf sekiranya sahabat-sahabat pernah tersinggung dengan kata-kata atau perbuatan kita.

5. Sentiasa doakan kebaikan dan rahmat Tuhan untuk sahabat. Malaikat akan mendoakan kita sebagaimana kita doakan sahabat kita dalam keadaan mereka tidak tahu.

Insya Allah, sekiranya Faris dapat melakukan tip-tip di atas, Faris akan sentiasa dapat merasakan kemanisan ukhuwwah bersamanya. Lebih besar lagi, kita akan dapat merasai indahnya kasih sayang Tuhan kerana kita lakukan semua itu semata-mata mengharapkan reda Allah.

Keadaan kita dan sahabat juga boleh mempengaruhi kekerapan berhubung dan berjumpa. Macam Kak Nur sekarang dan sahabat-sahabat Kak Nur yang lain, apabila sudah menempuh alam rumahtangga, kami tidak dapat berhubung sekerap seperti zaman bujang namun alhamdulillah, hati-hati kami senantiasa bertaut kerana Allah. Kami saling memahami dan bertolak ansur dengan keadaan masing-masing. Kami juga saling bersangka baik dan ingat-mengingatkan dengan cara lembut dan mesra.

Kami sedaya upaya menjauhi prasangka buruk pada sahabat-sahabat dan tidak mudah mengambil hati di atas kelemahan masing-masing. Inilah antara kenikmatan bersahabat kerana Allah. Kami mesra walaupun jauh di mata dan jarang berjumpa.

Moga sedikit pengalaman yang Kak Nur kongsikan di sini dapat membantu.

Wallahu’alam.

Al-Faqiirah ila Rabbiha,
Ummu Abbas
10.40am

Mereka rapat sesama jenis dan mengongkong spesis burung lain dari mendekati roti tersebut.  Manusia juga begitu, hati yang baik akan bersama hati yang baik dan sebaliknya.

Mereka rapat sesama jenis dan mengongkong spesis burung lain dari mendekati roti tersebut. Manusia juga begitu, hati yang baik akan bersama hati yang baik dan sebaliknya.

Salam. Terima kasih kepada Kak Nur yang memberi nasihat berguna untuk saya..Tetapi saya ada berasa sedikit kecewa dengan sahabat saya ini. Saya amat mempercayainya dan selalu berkongsi rahsia dengannya. Namun, baru-baru ini, terjadi peristiwa yang menyebabkan rasa percaya kepadanya berkurangan. Saya cuba menyedapkan hati saya dengan bersangka baik tetapi agak sukar.

Assalamu’alaykum,

Seorang sahabat Kak Nur diuji seperti Faris. Kak Nur namakan dia sebagai Lia sahaja.

Lia punya seorang sahabat bernama Fiza (nama samaran). Mereka memang akrab sehinggalah Fiza menghadapi masalah rumahtangga dengan suaminya. Dek memendam perasaan terlalu lama agaknya, bercampur dengan masalah gangguan makhluk halus, Fiza akhirnya mendedahkan semua masalah dalaman kepada ramai orang. Dalam usahanya meluahkan masalah sendiri, dia mengaitkan juga dengan masalah (rahsia) Lia yang pernah diamanahkan padanya. Kak Nur sendiri mendapat tahu hal tersebut memberitahu Lia agar berhati-hati dengan Fiza. Fiza sekarang bukan seperti dahulu.

Kak Nur lakukan itu untuk kebaikan semua. Bagi Lia agar rahsianya lebih terpelihara. Bagi Fiza, agar dia tidak dibebankan lagi dengan amanah menyimpan rahsia.

Rahsia adalah amanah. Cara terbaik menyimpannya ialah menyerahkan perkara yang diketahui kepada Allah. Itulah amalan Kak Nur hingga sekarang. Kak Nur sedar Kak Nur terlalu lemah untuk memelihara sebarang amanah kecuali dibantu oleh Allah. Alhamdulillah, ia adalah petunjuk dari Allah jua. Dengan petua begitu, alhamdulillah Kak Nur dapat menjaga rahsia kawan-kawan walau dari suami sendiri. Kak Nur serahkan kepada Allah menjaganya. Maka Allahlah memelihara rahsia tersebut dari lidah Kak Nur. Suami juga merahsiakan hal kawan-kawannya dari Kak Nur.

Kembali kepada masalah Lia dengan sahabatnya Fiza, Kak Nur amat kagum dengan jawapan Lia sebaik Kak Nur memberitahu hal tersebut.

Lia: Tak pe lah Nur. Mungkin Allah mahu kaffarah dosa-dosa Lia. Mungkin Lia sendiri ada terbocorkan rahsia atau aib orang lain tanpa disedari. Maka Allah takdirkan apa yang telah terjadi. Terima kasih Nur kerana beritahu Lia. Insya Allah untuk di masa-masa akan datang, Lia berhati-hati dengan Fiza.

Lia juga berkata; Lia juga bersalah pada Fiza kerana lama tidak bertanya khabar dia.

Tersentuh hati Kak Nur mendengar jawapan Lia. Begitu tawaduknya Lia dengan Allah. Segala takdir dikembalikan kepada Allah namun langkah berhati-hati dimasa akan datang tetap diberi perhatian.

Lia juga bercadang menemui Fiza untuk mendapatkan kepastian dan mungkin juga mengatasi masalah yang timbul.

Kak Nur setuju dengan tindakan Lia mahu bersemuka sendiri dengan Fiza. Moga-moga Allah rahmati pertemuan mereka dengan membuang yang keruh dan mengambil yang jernih.

Kak Nur berharap kisah yang dikongsikan di sini dapat memberi iktibar bermakna buat Faris. Faris lebih mengerti apa yang sedang dialami. Apa yang diluahkan Faris agak umum jadi Kak Nur berusaha membantu sekadar terdaya.

Kepada Allah jua dikembalikan segala kebaikan dan pujian.

Al-Haqiirah ila Rabbiha,
Ummu Abbas.
12.01pm
14 Zulhijjah 1429H

Siapa Hebat?

Minggu lepas.

Pagi itu mood Aziz agak kurang baik. Nasi goreng kegemaran sekeluarga tidak dapat menarik seleranya. Biasanya dia suka tetapi pagi itu ada sesuatu yang lain lebih menarik. Dia sudah cek dalam peti sejuk sebelum kami mula sarapan.

Seusai menghidang, kami mengadap rezeki dari Allah bersama-sama. Aziz dengan muka ‘moyok’ mengasingkan diri. Dia duduk sahaja di atas sofa di bawah tangga, wajahnya menghala ke arah kami di ruang makan bersebelahan ruang tangga.

Sambil menyuap nasi dan melayan anak-anak, saya mencuri pandang melihat Aziz. Saya memang tidak selesa jika ada anak-anak yang tidak berselera untuk makan. Abbas yang duduk di antara saya dengan Aziz bertanya;

“Kenapa Ummi tengok Abbas?”

“Walaupun wajah Ummi mengadap Abbas tapi anak mata [Pupil] Ummi melihat Aziz.”

“Abbas nampak Ummi tengok Abbas.”

“Kita melihat menggunakan anak mata yang kecil dalam mata hitam. Anak mata Ummi fokus pada Aziz.” Jelas saya lagi.

Baiknya Allah yang memberikan mata untuk kita melihat.  Namun berapa ramaikah yang melihat sesuatu untuk mengingatiNya?

Baiknya Allah yang memberikan mata untuk kita melihat. Namun berapa ramaikah yang melihat sesuatu untuk mengingatiNya?

“Anak mata kita ni akan mengecil di waktu siang dan membesar di waktu malam bergantung pada kadar cahaya yang ada.” Saya menambah keterangan mengenai mata.

Abbas dan Azzam tekun mendengar syarahan saya sambil makan.

“Hebatkan kejadian mata kita?”

Abbas dan Azzam mengangguk sambil tersenyum.

“Siapa sebenarnya yang hebat?” Pancing saya lagi.

“Mata kita hebat.” Beritahu Azzam yang berusia 8 tahun.

“Tuhan.” Abbas yang berumur 9 tahun menjawab perlahan seperlahan suapannya untuk kali ini.

Alhamdulillah, Ya Allah…Engkaulah yang mencerdaskan minda anak-anakku. Moga kecerdasan itu dimanfaatkan untuk mengenali dan terus mengenaliMu secara lebih mendalam.

‘Iya…betul, Allah yang menjadikan mata itulah Yang Maha Hebat.” Saya mengesahkan jawapan Abbas.

Aziz sudah bangun dari kerusi. Aziz berdiri sambil menyandarkan bahu kanannya ke dinding. Wajahnya mencuka. Abi mereka yang suka bergurau menegur , “Kenapa Aziz? Moyok je ni?”

“Ummi, Aziz nak sosej.” Beritahu Aziz yang berusia 5 tahun.

“Ok. Nanti Ummi buatkan.”

Al-Faqiirah Ila Rabbiha,
Ummu Abbas
11 Zulhijjah 1429H
12.20am

This entry was posted on Disember 8, 2008, in Famili and tagged , .