Archive | Februari 2009

Badan Undang-undang Antarabangsa Iktiraf Keunggulan Sistem Perundangan Islam

Berikut adalah artikel lama saya yang pernah disiarkan akhbar Harakah pada tahun 2003. Saya edit sedikit untuk disesuaikan dengan suasana hari ini.
Cuma pihak Harakah pada masa itu telah tersilap menulis nama samaran bagi artikel tersebut. Pihak editor telah memohon maaf kepada saya di atas kesilapan teknikal itu.

Selamat membaca!

Badan Undang-undang Antarabangsa Iktiraf Keunggulan Sistem Perundangan Islam

Keghairahan majoriti kerajaan di dunia hari ini mempertuhankan sistem dan ideologi manusia sudah sampai ke kemuncaknya. Kemuncak celaru halatuju hidup yang menyedarkan setiap insan berjiwa bahawa tiada jalan penyelesaian terbaik kecuali kembali kepada Islam.

Allah Yang Maha Mengetahui telah menyediakan prinsip-prinsip asas untuk menyelesaikan sesuatu perkara serta menggubal undang-undang yang sesuai dengan fitrah kejadian manusia lelaki dan wanita tanpa perlu mereka mencipta undang-undang sendiri. Akibat membelakangi sistem perundangan yang disediakan Pencipta manusia, boleh dikatakan apa yang kita buat seolah-olah tikus membaiki labu. Politik kotor, pentadbiran korup, ekonomi merudum, pencabulan institusi kehakiman oleh tangan yang rakus, pendidikan yang melahirkan manusia robot dan lain-lain.

Kes-kes jenayah semakin meningkat dan menggila melibatkan kes rasuah, curi, bunuh, rogol, rompak, zina dan jenayah yang terbesar di sisi Islam iaitu murtad yang kian dilupakan oleh sebahagian manusia yang buta mata hatinya. Rompak pun ada pelbagai spesis. Bukan sahaja harta yang mahu dirompak, bahkan kuasa@amanah rakyat pun mahu dirampok. Penyakit yang menular dalam masyarakat bagaikan virus yang tiada vaksin untuk menahannya. Ia merebak, membiak sehingga menakutkan rakyat yang tidak berdosa. Terlalu banyak kes-kes jenayah yang tidak pernah berlaku 30 tahun yang lalu dapat disaksikan hari ini. Jenayah yang dilakukan oleh kanak-kanak dan remaja di peringkat menengah begitu membimbangkan para ibubapa yang waras. Kanak-kanak berusia 12 tahun sudah pandai merogol atau melakukan seks bebas.

Cukuplah penulis menyebut perkara tersebut secara ringkas dan umum kerana masyarakat boleh mengetahuinya sendiri melalui paparan media elektronik dan bercetak setiap hari. Dalam situasi sedemikian, sebahagian rakyat masih lagi leka dan memberi sokongan kepada parti atau individu yang hanya meletakkan Islam sebagai label, bukannya Islam yang dilaksanakan sepenuhnya.

Islam sebagai manhaj kehidupan yang sempurna telah menggariskan dasar umum di dalam syariatnya iaitu “Lijalb al-Masalih wa Dar’ al-Mafasid” – untuk merealisasi manfaat dan menolak kerosakan. Teori Islam seringkali mengembalikan masalah kepada asalnya dan mengaitkan antara yang parsial dengan yang universal. Prinsip yang bersifat universal biasanya memberi panduan umum di samping melahirkan prinsip yang bersifat parsial untuk masalah yang lebih spesifik. Prinsip-prinsip asas itu tidak mengikat masalah-masalah khusus bahkan ia bersifat anjal bagi memudahkan ummah mencari penyelesaian kepada sebarang masalah. Ia juga tidak menentukan hukum kepada sesuatu perkara tetapi memberi jalan keluar kepada permasalahan yang timbul.

Sifat toleransi yang wujud dalam syariat Islam adalah toleransi yang berprinsip serta mempunyai maruahnya yang tersendiri. Justeru, bagi para pemimpin di sebuah negara umat Islam yang kebanyakannya terdiri dari kalangan intelektual tidak perlu bimbang dan mencari jalan memutar-belitkan keunggulan sistem Perundangan Islam. Atau mengatur langkah ke arah menghalang perlaksanaan Islam sebagai cara hidup negara, masyarakat dan individu oleh mereka yang benar-benar faham serta ikhlas melakukannya.

Sejarah telah membuktikan, al-Quran dan syariat yang terkandung di dalamnya telah berjaya melahirkan sebaik-baik ummah. Satu ummah yang pernah memimpin 1/3 dunia dengan aman, adil, inovatif dan progresif. Dunia yang dihuni oleh pelbagai bangsa, kaum, warna kulit, bahasa dan budaya. Kemajuan yang dikecapi bukan sahaja dalam bentuk material pelbagai bidang, bahkan ianya selari dengan pembentukan moral insan yang membangunkan material itu sendiri. Kesannya, masyarakat dapat menikmati semaksimum mungkin segala teknologi dan pembaharuan material yang dibangunkan pada masa tersebut tanpa merasa diri terancam oleh anasir korup di kalangan pemerintah. Juga merasa aman dari sebarang jenayah. Keyakinan masyarakat terhadap Islam sebagai benteng atau ‘penjaga’ mereka telah memberi pulangan yang baik kepada daulah dan individu.

Dalam menghadapi cemuhan dan fitnah yang dilontarkan oleh para orientalis dan sekutunya terhadap keunggulan Islam hari ini, hakikatnya Badan Undang-undang Antarabangsa pernah mengakui kesempurnaan sistem hidup dan perundangan Islam sejak lama dahulu walaupun mereka berbeza akidah dengan umat Islam. Antara perakuan mereka seperti berikut;-

1. Seorang pakar undang-undang iaitu ‘ Santaliana’ menegaskan; “Dalam fiqh Islam terdapat apa yang mencukupi untuk orang-orang Islam dan perundangan sivil mereka. Walaupun kita tidak nyatakan hakikatnya ia mencukupi untuk manusia keseluruhannya”.

2. Seorang pakar undang-undang menyebut kepada orang-orang Islam; ”Perundangan Islam kamu amat luas sehingga saya merasa hairan apabila memikirkan kamu (sebagai penganut Islam) tidak memetik daripadanya peraturan serta hukum yang sesuai dengan masa dan negara kamu”.

3. Salim Baz seorang pakar undang-undang berbangsa Lubnan yang menganut Kristian berkata;” Saya percaya sepenuhnya bahawa di dalam fiqh Islam terdapat segala keperluan manusia dari segi kontrak, jual-beli, kehakiman dan komitmen”.

4. Seorang pakar undang-undang berbangsa Jerman bernama Kohler pula berkata;” Bangsa Jerman darjatnya mengatasi bangsa-bangsa lain kerana mewujudkan teori kezaliman dan membuat peruntukan undang-undang sivil Jerman. Ia diwujudkan pada tahun 1787M. Akan tetapi, setelah muncul karya Dr. Mahmud Fathi yang menghuraikan prinsip tersebut secara terperinci melalui tokoh-tokoh perundangan Islam yang mana beliau menjelaskan bahawa ahli-ahli fiqh Islam telah menyentuh perkara tersebut dengan panjang lebar sejak kurun kelapan Masihi, maka adalah wajar bagi ilmu undang-undang Jerman menyerahkan perlaksanaan prinsip tersebut kepada orang-orang yang lebih awal mengenali prinsip tersebut sepuluh abad sebelum ia diketahui oleh bangsa Jerman. Mereka ialah para pendukung Perundangan Islam.”

5. Seorang Profesor Undang-undang di Universiti Harvard bernama Ho Kinch dalam bukunya: ‘Semangat Politik Antarabangsa’ (1932M) secara terang-terangan menyebut;

Cara bagi negara-negara Islam untuk maju bukan dengan mengambil cara Barat yang mendakwa agama tidak berhak berkata apa-apa dalam kehidupan seharian individu, juga mengenai undang-undang dan sistem langit, tetapi ia wajib bagi seorang yang mendapati di dalam agama sebagai sumber untuk perkembangan dan kemajuan. Kadangkala ada pihak yang bertanya: Apakah peraturan Islam dapat melahirkan hukum-hukum baru dan mengeluarkan hukum-hukum berasingan yang selaras dengan kehidupan moden? Sebagai jawapannya; Dalam peraturannya terdapat segala persediaan dalaman untuk berkembang. Malah dari segi kesediaannya untuk berkembang lebih baik dari peraturan-peraturan yang serupa dengannya. Kesukaran bukan kerana tiada cara untuk berkembang dan meningkat dalam Perundangan Islam, tetapi sebenarnya kerana tiada kecenderungan untuk menggunakannya (melaksanakannya). Saya rasa saya berada dalam kebenaran apabila saya menyatakan bahawa Perundangan Islam mengandungi seluruh prinsip-prinsip yang diperlukan untuk berkembang”.

6. Profesor Shira, Dekan Fakulti Undang-undang Viana telah mengisytiharkan dalam persidangan pakar-undang-undang pada tahun 1927M;

Manusia merasa bangga kerana mempunyai hubungan dengan insan seperti Muhammad. Meskipun baginda seorang yang buta huruf tetapi telah mampu, sejak berbelas abad dahulu, membawa satu perundangan yang kita bangsa Eropah akan merasa bertuah jika kita dapat sampai kepada kemuncaknya selepas dua ribu tahun”.

7. Begitu juga dengan Profesor Lamber yang telah mengisytiharkan dalam Persidangan Undang-undang Perbandingan Antarabangsa yang diadakan di kota ‘Hague’ pada bulan Ogos 1923M, mengenai penghargaannya kepada perundangan Islam dari sudut ilmu fiqh.

8. Sementara itu, Persidangan Antarabangsa yang diadakan di ‘Hague’ pada bulan Ogos 1937M telah mengisytiharkan perkara berikut;

a. Mengiktiraf Perundangan Islam sebagai salah satu punca perundangan umum. Ertinya Perundangan Islam telah dijadikan sumber kepada mahkamah-mahkamah dunia dan unadang-undang antarabangsa bukan kerana kegagalan Islam, tetapi sebaliknya kerana kesesuaiannya dan kekuatan dirinya yang menonjolkan kedudukannya.

b. Perundangan Islam adalah tegak secara bersendirian, bebas dari perundangan lain dan tidak mengambil yang lain.

9. Persidangan Peguam-peguam yang berlangsung di Lahai pada tahun 1948M membuat resolusi mengesyorkan supaya dibuat kajian terhadap Perundangan Islam secara kajian perbandingan.

10. Persatuan Undang-undang Am Antarabangsa telah memutuskan bahawa Muhammad bin al-Hassan al-Syibani, sahabat imam Abu Hanifah sebagai Pelopor Undang-undang Am Antarabangsa.

11. Dalam Minggu Perundangan Islam yang telah berlangsung di Paris, Pengerusi Persatuan Guaman Perancis menyebut;

Saya tidak tahu bagaimana untuk menyesuaikan antara apa yang digambarkan kepada kita tentang kebekuan Perundangan Islam, dan juga kebekuan fiqh Islam dan ketidak- sesuaian kedua-duanya sebagai asas kepada perundangan yang maju dengan apa yang saya dengar yang membuktikan tanpa ragu-ragu keberkesanan Perundangan Islam secara mendalam, tulin dan teliti serta kepelbagaian pecahannya serta kesesuaiannya untuk menghadapi segala kejadian”.

Persidangan tersebut telah membuat resolusi berikut:

a. Prinsip-prinsip Fiqh Islam mempunyai nilai mengkagumkan dan darinya Fiqh Islam dapat memenuhi segala keperluan kehidupan.

b. Perbezaan aliran atau mazhab fiqh mengandungi Perbendaharaan Perundangan yang mengkagumkan dan darinya Fiqh islam dapat memenuhi segala keperluan kehidupan.

Inilah akuan-akuan secara rasional dan realistik yang pernah dilontarkan oleh ahli akademik dari seluruh dunia. Ia berlaku sebelum Malaysia merdeka. Namun selepas 50 tahun Malaysia merayakan kemerdekaannya, para pemerintahnya yang menganut Islam itu sendiri masih ragu, bahkan sebahagian mereka mempersendakan Islam secara terbuka di media massa. Rasionalkah mereka? Atau sebenarnya mereka menghidap penyakit yang menyebabkan mereka tidak berselera memakan hidangan yang lazat?

Sebagai contoh Undang-undang Jenayah Hudud dan Qisas seringkali menimbulkan keraguan kepada mereka yang tidak mendalami ajaran Islam. Mereka menganggap hukuman Islam itu zalim, ortodok dan sebagainya. Di sinilah pentingnya peranan tauhid mendasari setiap fikiran dan tindakan manusia. Sekiranya manusia benar-benar beriman dengan Allah S.W.T sebagai Tuhan yang bersifat Maha Adil lagi Bijaksana, sudah tentu tidak timbul persoalan yang meragui kemampuanNya mengatur hukum bagi manusia kerana Allah itu bersifat dengan segala sifat kesempurnaan serta sunyi daripada sifat zalim, lemah, kurang serta mengikut hawa nafsu. Berbeza dengan peraturan yang disusun oleh manusia yang banyak mengikut hawa nafsu dan bersifat tidak sempurna. Kita dapat saksikan sendiri peraturan manusia sentiasa berubah-ubah tanpa ada dasar yang tetap untuk memimpinnya. Mengkritik ajaran dan dasar-dasar Islam samalah dengan mengkritik kerja-kerja Allah S.W.T yang menurunkan Islam sebagai cara hidup manusia sehingga ia boleh membatalkan iman seseorang itu.

Adakah kita masih mahu mencontohi segolongan manusia yang mahu mentadbir dunia dengan akal mereka semata-mata sebagaimana yang berlaku di seluruh pelusuk dunia hari ini, namun akhirnya hasil yang diperolehi tidak seimbang bahkan seolah-olah kembali ke alam jahiliah. Semakin tinggi pencapaian teknologi moden yang diperolehi, jati diri insan semakin menjunam menuju kehancuran peribadi serta keruntuhan moral. Kesempurnaan hidup juga semakin jauh meninggalkan mereka. Masalah-masalah sosial semakin kronik sehingga mengundang bala Allah S.W.T ke atas ummah sama ada disedari atau tidak. Justeru itu, mereka seharusnya meyakini bahawa perundangan mantap dan unggul yang tidak dapat dijejaskan oleh perkembangan masa telah berjaya membawa ketenangan, kebahagiaan dan keadilan kepada manusia di setiap zaman dan tempat. Bukan setakat itu sahaja, bahkan menjadi tanggungjawab para pemerintah melaksanakan sistem perundangan yang lengkap dan sempurna demi pembangunan yang seimbang dan sihat.

Akhir-akhir ini, umat Islam di Malaysia diancam pula dengan perkosaan ganas terhadap segala bentuk perundangan yang ada. Ibarat haruan makan anak. Pemerintah yang bikin. Kemudian, mereka jugalah yang merogol anak sendiri. Usah kata Undang-undang Islam mahu dilaksanakan, undang-undang lojik akal mereka sendiri pun dipijak-pijak. Justeru setiap individu seharusnya memainkan peranan bagi memastikan negara kita dapat hidup dengan sihat serta panjang usianya dalam erti kemerdekaan yang sebenar. Merdeka bukan sahaja daripada pemerintahan orang asing, bahkan merdeka dari cara hidup dan sistem perundangan taghut. Apa yang perlu dilakukan ialah menukar kerajaan yang sudah jelas tembelangnya kepada kerajaan yang lebih telus dan ikhlas memimpin rakyatnya dengan undi rahsia anda!

Ummu Abbas,
8 September 2003.
Edit: 26 Februari 2009

Eid Miylad Sa’eed, Aesya!

sany0089

Assalamu’alaykum Aesya…

Hari ini 23 Februari, genap usiamu 4 tahun, sayang!

Sempena ulangtahun ke empat ini, Umi mahu ceritakan satu kisah mengenai Aisyah r.a, isteri kesayangan Rasulullah s.a.w.

Nama penuhnya ialah Aisyah binti Abu Bakr al-Siddiq. Abu Bakr al-Siddiq merupakan sahabat Rasulullah s.a.w yang paling akrab.

Aisyah dilahirkan di Makkah kira-kira 8-9 tahun sebelum hijrah. Dia dilahirkan ketika Islam sudah disebarkan. Aisyah lebih muda 8 tahun dari Fatimah binti Muhammad s.a.w.

Suatu hari Aisyah berkata kepada suaminya, “Wahai Rasulullah! Semua kawan-kawanku mempunyai gelaran”.

Suaminya lalu berkata, “Ambillah gelaran sempena nama anak saudaramu, Abdullah”.

Abdullah yang dimaksudkan ialah Abdullah bin al-Zubayr. Maka Aisyah digelar dengan nama Ummu Abdullah.

Menjadi tradisi orang Arab menisbahkan nama seseorang ibu kepada anak lelaki pertama mereka. Oleh kerana Aisyah tidak dikurniakan cahaya mata bersama suaminya, maka suaminya membenarkan Aisyah menyandarkan namanya dengan nama anak saudara lelakinya.

Inilah sejarah Aisyah semasa kecilnya dan bagaimana dia mendapat gelaran.

Insya Allah…Ya Aesya… Ummi akan mengisahkan lagi kisah Aisyah sedikit demi sedikit menurut perkembangan usiamu. Moga Allah izinkan…ya anakku.

Aesya ya binti …(Aesya anakku)

Aesya tahu tak? Ummi sangat mengagumi Aisyah isteri Rasulullah kerana dua sebab utama;

1. Aisyah sangat mencintai ilmu pengetahuan. Aisyah juga merupakan salah seorang ulama di zamannya. Aisyah menjadi rujukan para sahabat Nabi s.a.w setelah Nabi meninggal dunia.

2. Aisyah sangat menyintai Allah dan RasulNya. Cinta Aisyah kepada Allah mengatasi cintanya kepada suaminya sendiri. Peristiwa al-Ifk (Fitnah) itu sungguh-sungguh membantu Aisyah meningkatkan keimanannya kepada Allah. Nanti Ummi ceritakan hal ini di lain masa ye!

Sejak Ummi hamil yang kedua dan yang ketiga, Ummi simpan nama Aisyah untuk bakal anak perempuan Ummi. Rupa-rupanya Aisyah itu hadir dalam rahim Ummi untuk kehamilan ke empat.

Besar harapan Ummi, Aesya anak Ummi dapat menjadikan Aisyah zaujah Rasulullah s.a.w sebagai ikon. Juga para sahabiyyat yang lain.

Berat sungguh bagi dirimu untuk mencapai impian mukminah salafussoleh di zaman Islam dipandang asing. Namun ketahuilah anakku, 2 sebab utama yang Ummi sebut diatas itulah bekalan penting buatmu menuju matlamat. Dunia dan akhirat. Ummi ringkaskan ‘point’ nya ye…ilmu, iman dan amal!

Aesya Widaadi… (Aesya sayangku)

Masa tidak mengizinkan Ummi berceloteh lagi. Ummi mesti berusaha menepati masa menyiapkan 2 bab untuk buku Fiqh Perubatan. Ummi bimbang barakahnya hilang bila Ummi mendahulukan perkara yang sepatutnya dikemudiankan. Maafkan Ummi…sayang…

Insya Allah… lain kali, Ummi bacakan lagi kisah-kisah Aisyah untukmu.

Wassalam.

Ummu Abbas
28 Safar 1430H/ 24 Februari 2009
10.54am

Seloka AURAT

Rujuk http://ambuyatel-binangkit.blogspot.com/2007/11/sebuah-seloka-kita-dan-aurati.html

07112007017

Sebuah Seloka: Bertajuk : “KITA DAN AURAT(I)”

Tutup aurat satu tuntutan,
Dalam keluarga wajib tekankan,
Kalau tak ikut gunalah rotan,
Demi melaksanakan perintah Tuhan.

Aurat ditutup mestilah lengkap,
Tudung litup termasuk skap,
Mini telekong pun orang cakap,
Elok dipandang tak payahpun ‘make up’.

Sekurang-kurangnya berbaju kurung,
Lebih elok jubah mengurung,
Kaki pula mesti bersarung,
Ditumit kaki syaitan bertarung.

Kalau wanita menutup aurat,
Orang jahat tak berani ngorat,
Bahkan boleh menjadi ubat,
Orang memandang boleh bertaubat.

Pakaian modern(?) memanglah hebat,
Harganya mahal walaupun ketat,
Walaupun cantik tetapi singkat,
Orang memakaipun nampak pusat.

Berseluar ketat bajupun ketat,
Jarangnya pulak boleh dilihat,
Orang yang memakai terus dilaknat,
Oleh Allah, Rasul dan Malaikat.

Apa yang aneh bila dipandang,
Lengan pendek tapi bertudung,
Nampak seperti orang yang kudung,
Mata terpandang kaki tersandung.

Lagilah aneh bila di fikir,
Baju kebaya tudung berukir,
Nampak dada iman terjungkir,
Kain terbelah peha terukir.

Bila ditanya kenapa begitu,
Dia kata fesyennya dah macam tu,
Di dalam hati niat tertentu,
Menggoda jantan sudahlah tentu.

Menutup aurat boleh berfesyen,
Tetapi jangan menunjuk eksyen,
Sesuaikan diri ikut profesyen,
Kalau dilaknat tak guna sesen.

Kalau nak “Make Up” biarlah padan,
Jangan terlebih bila berdandan,
Minyak wangi cuba elakkan,
Bedak dan gincu sekadar keperluan.

Kasut tinggi cuba jauhi,
Kerana ia melahirkan bunyi,
Boleh menarik perhatian lelaki,
Perbuatan ini dibenci Ilahi.

Apatah lagi menghentakkan kaki,
Menarik perhatian orang laki-laki,
Melenggok punggung menggoda hati,
Ustaz melihat pun separuh mati.

Buat apa nak tayang jambul,
Kecantikan tak usah ditonjol-tonjol,
Mahkota disimpan tak jadi bisol,
Memakai tudung Islam tersimbol.

Selokaku ini bukanlah jahat,
*****a saja mahu peringat,
Kepada semua para sahabat,
Terutama sekali rakan sejawat.

Kalau nak ikut nasihat ini,
Jangan bertangguh ubahlah diri,
Benda yang baik tak payah diuji,
Akan terserlah akhlak terpuji.

Kepada semua kawan lelaki,
Jangan tergelak wanita diperli,
Keluarga kita tak terkecuali,
Terutama sekali anak dan bini.

Sudahkah kita tanamkan iman,
Menutup aurat sepanjang badan,
Ke sana sini dilindungi Tuhan,
Keluarga menjadi contoh teladan.

Setakat ini seloka kami,
Harap dapat menghibur hati,
Yang baik bolehlah anda ikuti,
Kalau boleh besok mulai.

Sekian Terima(lah) Kasih,

Oleh: Azhari(s)

Dihasilkan pada:
23 Julai 2002
Abu Edda Soyiddeeqa El-Binangkit

hijab

Suami Teladan

Seorang suami mengadap makan tengahari seperti biasa. Ditemani isteri tercinta.

Isteri yang baik itu tertunggu-tunggu reaksi suaminya. Hari itu, semasa sedang memasak, baru si isteri sedar bahawa garam sudah habis.

Suaminya terus menyuap makanan tanpa apa-apa respon. Diam sahaja.

Selesai makan, suami tersebut keluar untuk membeli garam. Dia tidak marahkan isterinya apa lagi merungut-rungut masakan tidak sedap.

Sebenarnya, menjadi kebiasaan keluarga ini, suami yang akan membeli keperluan rumah.

Cerita ini saya dapat dari isteri itu tadi. Mengetahui hal itu, saya teringat kembali buku karangan yang ditulis oleh suami yang baik itu berjudul, ‘Tuntunan Jiwa’. Memang sesuai sangat penulisnya dengan apa yang ditulisnya.

Ummu Abbas
10.56am
27 Safar 1430H/ 23 Februari 2009M

Belajar Qiyamullail

Malam kelmarin, malam Jumaat.

Abbas kena tidur di sekolah. Semua tahun 4 diarahkan berpuasa sunat hari Khamis 23 Safar 1430H/ 19 Februari 2009. Waktu sekolah habis jam 2.15pm. Pukul 5.30pm, berkumpul semula di sekolah menanti iftar jama’ie.

Malamnya, ada qiyamullail.

Program ini dinamakan Katibah.

Saya gembira menghantar Abbas ke sekolah semula petang itu. Mana tidaknya… saya sudah lama merancang… bila anak-anak masuk usia 10 tahun, saya mahu latih mereka bangun malam untuk Solat Tahajjud.

Saya menimba pengalaman mengajar di Tahfiz Darul Furqan sebelum ini. Pelajar di situ semuanya diwajibkan bangun solat Tahajjud. Usia pelajar paling muda ialah 9 tahun. Itu pun ibubapa yang beriya-iya mahu hantar anak yang masih kecil belajar di situ.

Namun, saya mahu berpegang kepada hadis Nabi berikut sebagai permulaan melatih anak-anak bertahajjud.

solatlah-anak1

Puasa sunat dan solat Tahajjud adalah elemen penting dalam membina jiwa yang teguh. Ia amalan para nabi dan ulama.

Dalam memo sekolah yang dikirimkan kepada ibubapa pelajar tertulis;

Semoga katibah ini dapat meningkatkan bekalan ruhiyyah pada semua anak-anak tahun 4 dan juga guru-guru yang terlibat.”

‘Moga Allah menetapkan hatimu di atas IMAN dan TAQWA wahai guru-guru yang sabar dan tabah mentarbiyah anak-anak kami.’

Abbas Seronok Qiyam

Setelah Abbas balik ke rumah pagi Jumaat tersebut, saya terus bertanya,

“Suka tak tidur dan qiyam di sekolah?”

“Suka”. Kemudian dia terus bercerita apa yang berlaku.

Alhamdulillah.

Ummu Abbas
2.10pm
25 Safar 1430H/ 21 Februari 2009

Doa Main ‘Game’

Semalam.

Aziz baru selesai mandi. Seusai dia memakai baju, saya menegur,

“Ziz, doa pakai baju pun ada”. Saya mengatakan demikian kerana dia sudah ingat sendiri untuk berdoa ketika makan.

Aziz tersenyum-senyum. “Aziz lupa la Umi”.

“Bukan Aziz lupa… Aziz belum tahu dan ingat lagi bacaan doa tu”. Saya menjelaskan.

Sebenarnya salah saya yang tidak mengingatkan dari awal. Walau sudah selesai pakai baju, saya ajar juga doa itu padanya. Dia sendiri suka belajar membaca doa. Alhamdulillah.

“Allahumma inni…”. Saya memulakan.

“Allahumma inni…”. Aziz mengikut.

“ As aluka…”

“ As aluka…”

“Khoyrihi…”

“Khoyrihi…”

“Wa khoyruma huwalah”.

“Wa khoyruma huwalah”.

“Wa a’uuzubika…”.

“Wa a’uuzubika…”.

“Min syarrihi…”.

“Min syarrihi…”.

“Wa syarrimaa huwalah”.

“Wa syarrimaa huwalah”.

Selesai membaca doa, Aziz berkata,

“Umi, semua ada doa kan Mi…(ringkasan Umi) Nak makan, nak tidur… nak main game je tak payah baca doa kan?”

Saya ketawa mendengar ayat terakhir. Suami turut tersenyum.

“Haa.. tahu pun. Itu maknanya tak berapa eloklah main game kan?” Saya bertanya kembali.

Aziz masih tersenyum-senyum.

“Tanya Mu’allimah kat sekolah Aziz. Ada tak doa main game?” Abinya menyarankan.
ps2
“Betul tu… nanti Aziz tanya cikgu… ada tak doa main game.” Ulang saya pula.

Aziz yang akan genap usianya 6 tahun Julai nanti bersekolah di PASTI berhampiran rumah.

Ada sesiapa yang mahu berikan pandangan tentang hal di atas?

Menurut syariat Islam, sesuatu perkerjaan akan menjadi ibadah apabila ia memberikan manfaat kepada pengamalnya. Manfaatnya mestilah memberi kesan positif kepada fizikal, minda dan spiritual. Jika ia mempunyai manfaat tersebut, maka bacaan paling minimum untuk melakukan sesuatu ialah ucapan Basmalah.

Apakah manfaat ‘game’ kepada kanak-kanak? Anak-anak saya memiliki PS2. Selain itu, mereka juga bermain ‘game’ dalam internet.

Setakat ini, saya meninjau jenis permainan anak-anak. Mana yang tidak baik, saya menegah mereka dari memilih jenis ‘game’ tersebut.

Ummu Abbas
25 Safar 1430H/ 21 Februari 2009
12.42pm

Jam… Masa!

Semasa saya tingkatan 2, ada seorang ustaz yang disayangi ramai murid. Fizikalnya tidaklah hebat namun sentiasa tersenyum, menyimpan janggut, sentiasa berserban, warak dan lucu.

Pelajar-pelajar yang nakal pun ‘respek’ kat ustaz ni. Lemah lembut percakapannya dan empati sifatnya.

Suatu hari dia masuk ke kelas kami. Dia mengajar subjek Akhlak (sesuai dengan orangnya). Antara perkara yang dia pernah ajar kami ialah dia mencadangkan agar memakai jam di tangan kanan.

Kebanyakan orang pada masa itu memakai jam di tangan kiri. Sekarang pun mungkin macam tu kot ye… Saya dah lama tak pakai jam. Guna jam handphone sahaja.

Alasan dia ialah Islam menggalakkan membuat perkara baik menggunakan tangan kanan seperti mengambil makanan dan sebagainya. Jam adalah penunjuk kepada masa. Masa pula adalah emas bagi orang mukmin untuk memenuhkannya dengan amal soleh. Jadi eloklah dipakai di tangan kanan.

Ketika sedang mengajar, dia melihat jam di tangan kanannya, tiba-tiba dia berkata,

“Inna lillahi wainna ilaihi raaji’uun”

“Kenapa Ustaz… ada sesiapa yang mati ke?” Tanya seorang rakan kelas kami.

Kami yang lain pun teruja mahu tahu. Mungkin ada saudara mara Ustaz terdekat sedang sakit tenat dan sedang nazak sebelum Ustaz masuk ke kelas kami tadi.

“Jam ana ni yang mati”, jelas Ustaz selamba.

Kami tergelak. Suspen dibuatnya. Baru kami perasan, Ustaz seorang yang menepati masa. Jadi dia selalu cek jam sebelum habis waktu kelas dia. Dia bimbang terambil waktu guru-guru lain.

Ummu Abbas
23 Safar 1430/19 Februari 2009
9.25am