Archive | Mac 2009

Catatan: Pesta Buku Kelantan 2009 & Bercuti

29 Mac 2009 yang lepas merupakan hari saya beruzlah dari menulis untuk blog. Bersambung pula dengan 2 hari cuti am di Kelantan, jadi 3 hari saya tidak dapat update blog.

Alhamdulillah, semalam dan hari ini adalah dua hari untuk anak-anak.

30 & 31 Mac setiap tahun merupakan cuti am di Kelantan sempena hari keputeraan Sultan Kelantan.

UZLAH

Semenjak saya aktif berblog ini, saya menetapkan untuk diri saya hari-hari tertentu setiap minggu untuk tidak menjenguk dan update blog.

Saya mengambil pengajaran dari kisah-kisah para nabi semasa menulis kisah-kisah mereka untuk si kecil.

Saya menemui amalan beruzlah pada hari dan waktu tertentu ini diamalkan secara serius oleh nabi-nabi.

Para nabi merupakan orang yang paling sibuk dan berat tanggungjawabnya membimbing ummah. Justeru, uzlah merupakan mekanisme penting untuk ‘renew’ jiwa agar ‘maintain’ sihat dan cergas.

Saya tidak bermaksud bercerita panjang mengenai uzlah kali ini. Sekadar makluman umum sahaja.

PESTA BUKU KELANTAN 2009

Aqil di Pesta Buku Kelantan 2009

Aqil di Pesta Buku Kelantan 2009

Tengahari semalam, kami bawa anak-anak ke Pesta Buku Kelantan 2009 anjuran Syarikat Muda Osman. Bertempat di Dewan Badminton Kota Bharu, kami hanya pusing-pusing sekejap sahaja sebab Aesya masih demam sedikit.

Sudut buku-buku PTS Publications Sdn Bhd

Sudut buku-buku PTS Publications Sdn Bhd

Dari pintu masuk utama, saya sudah mencari-cari label PTS. Di hujung dewan berhampiran pintu keluar, baru saya jumpa sudut buku-buku PTS. PTS merupakan antara penerbit yang saya suka kerana etika kerjanya yang Islami. Apa sahaja jenis bukunya, insya Allah bercita rasa Islam.

Saya hanya meninjau tajuk-tajuk baru. Sebagai pengedar, saya dapat beli dengan harga diskaun untuk pengedar dari PTS sendiri, alhamdulillah.

Walaubagaimanapun, saya kurang aktif sekarang kerana beberapa hal yang tidak dapat dielakkan. Saya hanya memesan buku yang diminta pelanggan sahaja.

Di luar dewan, ada pasar lambak buku-buku lama. Saya dapat beli buku untuk anak-anak dengan harga berganda murah! Pesta buku ini bermula dari 29 Mac dan akan berakhir pada 4 April 2009.

SUDARA BEACH RESORT

Pulang dari PBK 2009, petang hari yang sama kami bertolak ke Sudara Beach Resort yang terletak di Mukim Telong, Jalan Tok Bali.

Ini kali kedua kami menginap di sana. Foto matahari naik di atas blog ini di ambil di sana semasa kali pertama menginap di Sudara Beach Resort.

Banyak resort atau challet di sepanjang pesisir pantai daerah Bachok ini. Sudara Beach Resort menjadi pilihan kerana mempunyai kolam renang dan kawasan yang menarik.

Seronoknya main air!

Seronoknya main air!

Saya turut mengajak kakak dan 3 orang anak saudara datang bercuti di sini.

Alhamdulillah, hati tenang melihat pantai, ombak, laut dan langit terbentang luas. Namun sayangnya ramai pengunjung yang tidak menghargai nikmat Allah ini dengan menjaga kebersihan kawasan.

Ummu Abbas
1.50am
5 Rabiul Akhir 1430H

Catatan: Kepada Yang Bertanya

Assalamu’alaykum,

Ada 3 persoalan yang belum sempat saya beri respon.

3 persoalan tersebut ialah mengenai cara berhenti mengumpat, masalah pergaulan dengan kawan-kawan dan tentang hati.

Saya mohon berbanyak maaf kepada yang bertanya kerana belum sempat melayan pertanyaan anda.

Insya Allah, saya akan beri respon seberapa segera yang boleh dan menurut keutamaan.

Apa yang baik dari Allah jua.

Catatan ini hanya untuk sementara sahaja. Harap maklum.

Ummu Abbas

Rasa Bersalah Merupakan Nikmat Dari Allah

Saya pernah membuat kesilapan besar dalam hidup saya..saya rasa sangat menyesal…rasa bersalah selalu menghantui hidup saya …kini saya menjadi seorang yg pendiam dan xda semangat nak teruskan hidup

Rashela

Jawapan:

Assalamu’alaykum wbh adik Rashela,

Seseorang yang melakukan kesalahan kemudian merasa dirinya bersalah lebih baik dari mereka yang beramal soleh kemudian merasa dirinya suci bersih.

Yang terbaik di antara keduanya ialah mereka yang beramal soleh, kemudian merasa dirinya lemah tidak berdaya kecuali dengan pertolongan dan kekuatan dari Allah semata. Mereka juga sentiasa beristighfar dari dosa yang disedari mahupun tidak disedari.

Adik Rashela yang dikasihi Allah,

Tatkala terdetik rasa bersalah dan menyesal dalam diri yang telah melakukan dosa, di sana Allah sedang memandangmu dengan penuh kasihan belas dan kasih sayang.

Rasa menyesal itu merupakan taufik dari Allah agar dirimu tidak meninggalkanNya jauh dan semakin jauh.

Rasa bersalah yang menghantui itu pula merupakan dorongan dari Allah agar segera bertaubat kepadaNya.

Syaitan amat takut pada setiap hamba yang menyedari kesalahannya. Iblis tidak mahu manusia bertaubat dari perbuatan salah yang pernah dilakukan. Iblis tahu bahawa Allah itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang pada setiap dosa-dosa kecuali dosa syirik.

Adik Rashela yang disayangi Allah,

Daripada benih ‘menyesal’ dan ‘rasa bersalah’ itu, Allah mahukan pohon taubat dari kita.

img_2416

Mari sama-sama kita hayati pesanan dan bujukan dari Allah ini pada kita, makhlukNya. Dengan lemah lembut Allah berkata,
يا ابن آدم إنك ما دعوتني ورجوتني غفرت لك على ما كان فيك ولا أبالي، يا ابن آدم لو بلغت ذنوبك عنان السماء ثم استغفرتني غفرت لك ولا أبالي، يا ابن آدم إنك لو أتيتني بقراب الأرض خطايا ثم لقيتني لا تشرك بي شيئا لأتيتك بقرابها مغفرة .
Maksudnya:

Wahai Anak Adam!

Selagimana engkau merayu padaku dan mengharapkan daku, Aku ampunkan segala kesalahanmu dan Aku tidak pedulikannya lagi.

Wahai Anak Adam!

Sekiranya dosa-dosamu memenuhi langit, kemudian engkau memohon maaf kepadaKu, nescaya Aku maafkan dirimu serta Aku tidak pedulikannya lagi.

Wahai Anak Adam!

Sekiranya engkau datang kepadaKu dengan kesalahan sepadat isi bumi, kemudian engkau menemuiKu dalam keadaan tidak menyekutukan Aku dengan yang lain, nescaya Aku datang kepadamu dengan keampunan sepenuh isi bumi pula.

Hadis direkodkan oleh Imam al-Tirmizi. Dia mengatakan hadis ini Hasan Sahih.

Syarat-syarat Taubat Diterima di Sisi Allah

1. Menyesal bersungguh-sungguh terhadap dosa yang pernah dilakukan dan berazam untuk tidak kembali lagi melakukan dosa tersebut.

2. Memohon ampun walau sebesar mana dosa yang pernah dilakukan dengan penuh harapan agar Allah memaafkan.

Allah berjanji mengampunkan dosa-dosa melalui ayat 110 Surah al-Nisa’,

وَ مَنْ يَّعْمَلْ سُوْٓءًا اَوْ يَظْلِمْ نَفْسَهٗ ثُمَّ يَسْتَغْفِرِ اللّٰهَ يَجِدِ اللّٰهَ غَفُوْرًا رَّحِيْمًا‏

Maksudnya:

Sesiapa yang melakukan perkara buruk atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian dia memohon ampun kepada Allah, nescaya dia akan dapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Allah berjanji mengabulkan doa melalui ayat 60, Surah Ghafir,
وقال ربكم ادعوني أستجب لكم إن الذين يستكبرون عن عبادتي سيدخلون جهنم داخرين

Maksudnya:

Allah telah berkata; Berdoalah kepadaKu, nescaya Aku perkenankan doamu.

Syarat doa diperkenankan ialah dengan berdoa sepenuh hati.

ادعوا الله وأنتم موقنون بالإجابة، واعلموا أن الله لا يستجيب دعاء من قلب غافل لاه

Maksudnya:

Berdoalah kepada Allah dalam keadaan
kamu yakin Allah akan memperkenankannya. Sesungguhnya Allah tidak menerima doa dari hati yang lalai dan tidak bersungguh.

Hadis direkodkan oleh Imam al-Tirmizi.

3. Tauhid yang benar. Maksudnya akidah kita betul dengan mengesakan Allah sebagai Tuhan yang layak disembah.

Adik Rashela yang dikasihi Allah,

Bagaimana Rashela rasa setiap kali selepas mandi? Apatah lagi jika Rashela mandi menggunakan sabun dan syampu yang aromanya semerbak wanginya?

Badan terasa segar dan cergas kembali, bukankah begitu?

Begitulah hidup kita adikku, dosa-dosa ialah kotoran yang menggelapkan hati menyebabkan hidup terasa tidak ceria dan bersemangat.

Basuhlah dosa-dosa dengan solat dan taubat.

Hargailah nikmat ‘menyesal’ dan ‘rasa bersalah’ yang Allah campakkan dalam diri Rashela. Sambutlah lambaian Allah tersebut dengan kembali kepadaNya dengan sebenar-benar kembali.

Taubat yang bersungguh dan doa yang penuh mengharap itu akan menyegarkan jiwamu semula.

Pedulikan apa kata orang padamu. Apa yang penting Allah sangat luas rahmat dan keampunanNya.

Ingatilah, saat sakaratulmaut menjemput kita, Allah satu-satunya zat yang dapat menyelamatkan kita.

Walau sejuta pujian atau sejuta kejian manusia terhadap kita sedikit pun tidak dapat membantu kita saat penuh debaran itu.

Pandanglah hari ini dan hari yang akan datang kerana Allah sudi mengampunkan dosa-dosamu.

Selaklah lembaran ‘Surat Cinta Ilahi’ yakni al-Quran setiap hari.
Di sana, akan kau temui siraman demi siraman kasih Allah padamu yang tidak bertepi.

Akhir kata, Allah yang Maha Mengetahui tahu bahawa akan ada saat-saat manusia dihambat rasa putus asa dan lemah semangat. Justeru awal-awal lagi Allah rakamkan dalam al-Quran ayat 53 hingga ayat 54 Surah al-Zumar,

قُلْ يٰعِبَادِىَ الَّذِيْنَ اَسْرَفُوْا عَلٰٓى اَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوْا مِنْ رَّحْمَةِ اللّٰهِ‌ؕ اِنَّ اللّٰهَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ جَمِيْعًا‌ؕ اِنَّهٗ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ‏

Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Ayat 53

وَاَنِيْبُوْۤا اِلٰى رَبِّكُمْ وَاَسْلِمُوْا لَهٗ مِنْ قَبْلِ اَنْ يَّاْتِيَكُمُ الْعَذَابُ ثُمَّ لَا تُنْصَرُوْنَ‏
Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah sepenuh hati kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan lagi. Ayat 54

وَاتَّبِعُوْۤا اَحْسَنَ مَاۤ اُنْزِلَ اِلَيْكُمْ مِّنْ رَّبِّكُمْ مِّنْ قَبْلِ اَنْ يَّاْتِيَكُمُ الْعَذَابُ بَغْتَةً وَّاَنْتُمْ لَا تَشْعُرُوْنَۙ‏
Serta turutilah sebaik-baik apa yang diturunkan kepada kamu dari Tuhanmu (yakni al-Quran sebagai panduan hidup), sebelum kamu didatangi azab secara mengejut, sedangkan kamu tidak menyedarinya.
Ayat 55

Saya mencadangkan Rashela baca penerangan Hadis 42 dalam buku Syarah Hadis 40 Imam Nawawi. Pengarangnya ialah Dr Mustafa al-Bugho dan Muhyiddin Misto.
Terdapat syarahan panjang lebar berkenaan taubat dan keluasan rahmat Allah.

Insya Allah, dengan ilmu mengenal Allah, kita akan lebih dekat denganNya dan semakin berwaspada dengan bisikan-bisikan iblis. Iblis hanya mahu menambah kawan di neraka sedangkan Allah mahu kita menikmati ketenangan hidup di dunia dan bahagia di akhirat.

Apa yang baik milik Allah jua.

Ummu Abbas
6.08pm
1 Rabiul Akhir 1430H

Memahami Al-Quran Di Rumah

Assalammuaalaikum ummuabbas,

Saya ingin sekali meminta pandangan ummuabbas tentang bagaimana caranya untuk kita memahami ayat2 Al quran secara sendirian di rumah. Selama ini saya cuma membaca terjemahan dari Tafsir Pimpinan Ar-Rahman. Tapi ada masanya saya tak dapat memahami bahasanya, kadang2 keliru dengan cerita2 dalam ayat2 tertentu. Saya pula belum berkesempatan menghadiri mana2 kelas tafsir. Kadang2 cuma sempat mengikuti program di TV9 hari Jumaat.

Ummu Hakim

Jawapan:

Wa’alaykum salam wbh Ummu Hakim.

Tahniah saya ucapkan kepada Ummu Hakim kerana berusaha memahami ayat-ayat al-Quran yang dibaca. Menurut Fiqh Keutamaan, memahami ayat yang dibaca walaupun sedikit lebih baik dari membaca banyak ayat namun langsung tidak difahami.

Bagi menambah kefahaman ayat-ayat al-Quran, saya sarankan Ummu Hakim memiliki beberapa jenis kitab tafsir dalam Bahasa Melayu.

Ada beberapa kitab tafsir lengkap 30 Juzuk seperti;-

1. Terjemahan Tafsir Fi Zhilal al-Quran karya al-Syahid Syed Qutb.
Terjemahan dalam Bahasa Malaysia dihasilkan oleh Yusuf Zaki Yaakub. Tajuk yang diterjemahkan berbunyi ‘Di Bawah Naungan Al-Quran’. Harganya agak mahal yakni RM3000/set.

Penerbitnya dari Kelantan.

Kawan saya seorang doktor telah membelinya dengan cara bermain kutu. Dia mengumpul 10 orang kawan-kawannya yang mahu memiliki tafsir tersebut dan mengutip RM300/seorang sebulan. Setiap bulan, seorang daripada ahli akan memiliki tafsir tersebut.

fi-zilal

Alternatif kepada terjemahan edisi Bahasa Malaysia ialah terjemahan dalam Bahasa Indonesia. Suami saya membeli edisi Bahasa Indonesia semasa berkunjung ke sana kerana ia jauh lebih murah. Kalau tidak silap saya tidak sampai RM500. Kalau beli di Malaysia, mungkin lebih mahal tetapi belum sampai RM1000 rasanya.

Kalau mampu, sebaik-baiknya dapatkan terjemahan Bahasa Melayu kerana lebih mudah difahami.

Antara keistimewaan tafsir ini ialah pengarangnya tidak mengutip kisah-kisah Israiliyyat yang diragui kebenarannya.

Sesiapa yang memahami Bahasa Arab, lebih baik baca dalam Bahasa Arab kerana antara ciri istimewa tafsir ini ialah pada kesusasteraan Arab yang menjadi bidang kepakaran Syed Qutb. Ia juga boleh dibaca di web http://www.altafsir.com/ .

2. Tafsir Al-Azhar karya HAMKA (Bahasa Indonesia).

3. Tafsir Ibnu Kathir (Bahasa Indonesia)
Harga RM170/set.

Tafsir yang tidak lengkap 30 Juzuk pula antaranya ialah;

1. Tafsir Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.
1.1. Tafsir Surah Hud
1.2. Tafsir Surah Nuh
1.3. Tafsir Al-Furqan

2. Tafsir Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
2.1. Tafsir Surah al-Fil (Gajah) dan Surah al-Hasyr (Pengusiran)

3. Terjemahan Tafsir al-Munir karya Dr Wahbah al-Zuhayli.
Sehingga kini, hanya Juzuk 28 dan Juzuk 29 yang sudah diterjemahkan dan diterbitkan. Insya Allah, ia diterjemahkan dalam Bahasa Melayu moden oleh sekumpulan pakar-pakar tafsir tempatan.

Saya memiliki stok kedua-dua juzuk Tafsir al-Munir edisi kulit keras. Juzuk 29 berharga RM45 dan Juzuk 28 berharga RM40.

4. Tafsir Surah An-Nur (Kehidupan dan Pergaulan Dalam Rumahtangga Islam) karya Ahmad Sonhadji Mohamad.

Mengenai Tafsir Pimpinan al-Rahman (TPR), saya akui Bahasa Melayu (BM) yang digunakan merupakan BM era 80-an. Ditambah pula kaedah terjemahannya yang agak terikat dengan nahu (tatabahasa) Bahasa Arab. Justeru terdapat ayat-ayat atau cerita yang sukar difahami.

Disiplin Memahami Al-Quran

Selain kitab-kitab tafsir, saya cadangkan juga Ummu Hakim dapatkan buku-buku berkaitan Al-Quran seperti;

1. Buku Pengantar Usul Tafsir (Ulum al-Quran) karya Dr Fauzi Deraman dan Mustafa Abdullah.

2. Buku berkenaan sebab-sebab turunnya ayat al-Quran (Asbab al-Nuzul).

Saya tidak mempunyai maklumat kiranya terdapat buku Asbab al-Nuzul dalam Bahasa Melayu. Namun dalam kitab tafsir seperti Tafsir al-Munir ada diterangkan tentang sebab turun satu-satu ayat.

Kedua-dua ilmu ini harus difahami bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai maksud ayat-ayat al-Quran.

Walaubagaimanapun, sekiranya Ummu Hakim atau mana-mana pembaca berpeluang belajar melalui guru, ia adalah yang TERBAIK dan menepati sunnah dalam memahami ajaran Islam.

Membaca adalah sebagai wasilah menambah ilmu di dada.

Saya harap maklumat di atas membantu Ummu Hakim.

Mohon maaf di atas segala kekurangan.

Hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Ummu Abbas
3.31pm
30 Rabiul Awwal 1430H

Hukum Pakai Cincin Semasa Solat

Assalamualaikum..

Kak, apa hukum pakai cincin waktu solat?
Sebab cincin itu kan halang jari kita sentuh sejadah masa sujud..

Syukran

Sakinah

cin

Jawapan

Hukumnya harus dan sah solat berdasarkan amalan Nabi Muhammad s.a.w sendiri yang memakai cincin.

Anas bin Malik memberitahu, “Rasulullah S.A.W memakai cincin perak di tangan kanannya dan batunya dari Habsyah. Beliau meletakkan mata cincinnya bertentangan dengan tapak tangannya.”

Hadis direkod oleh Imam Muslim.

Selain hadis yang menyebut Nabi Muhammad s.a.w memakai cincin, tiada pula hadis-hadis yang melarang memakai cincin semasa solat. Jika ianya ditegah, sudah tentu Rasulullah s.a.w akan melarangnya sebagaimana beliau melarang memakai cincin di jari tengah dan jari telunjuk.

Ali r.a telah berkata, “Rasulullah s.a.w melarangku memakai cincin di jariku yang ini atau yang ini” sambil dia menunjuk ke jari hantu dan jari telunjuk.

Hadis direkod oleh Imam Muslim.

Sekiranya para pembaca menemui pendapat yang bertentangan dengan apa yang dinyatakan di sini, harap dapat beritahu saya.

Wallahua’lam.

Ummu Abbas
28 Rabiul Awwal 1430H
1.03pm