Archive | April 2009

Masalah Kawan Suka Bercakap

Why_me

salam k.nur..

moge k nur sekeluarga sentiasa di bawah rahmatNya..

kt sini sy ingin bertanyakan pendapat k nur mengena maslah yg sy sedang alami saat ini.sy masih lagi menuntut di salah sebuah ipt di m’sia.

sekarang ni sy diuji dengan masalah dengan seorang teman.

dulu kami xde lah rapat sgt n sy sangat respect ngn teman saya ni.dia merupakan pelajar yg blh dikatakan pandai jugak la. sy xpernah iri dengan die. tp sekarang hubungan kami semakin dingin kerana sy sangat tidak selesa dengan sikap die yg sangat suke bercakap.malah,masa lecture pun sempat die menganggu kami.walaupun ape yg diterangkan itu ade kaitan dengan ape yg lecturer sedang katakan,tapi die membuatkan sy hilang fokus pd lecture. semakin hari sy bersabar n xpernah menyuarakan maslah ini pdnya.sy cume diamkan diri n layan je sikap die yg suke bercakap.tp bile lame2,skang ni da nk abes sem da pun sy rase pandang muke die pun sy rase cam larikan diri,. saye dah xtau ape nak buat k.nur.. sy tau,die xsalah cume cara die yg buatkan sy xselesa n tension..tmbh2 lagi exam sgt dekat skang ni=(
mcmn ye k nur?

*********************

Assalamu’alaykum,

Moga adik juga berada dalam rahmat Ilahi sentiasa.

Setelah meneliti cerita adik berkenaan masalah dengan kawan itu, inilah pandangan Kak Nur berdasarkan apa yang Kak Nur faham;

1. Perbuatan kawan adik yang suka bercakap sehingga menganggu kuliah itu memang salah. Pelajar hendaklah menumpukan perhatian kepada guru yang sedang mengajar.

2. Sepatutnya adik terus sahaja menegur perbuatan kawan yang menganggu kelas setiap kali dia melakukannya. Teguran boleh dibuat dengan cara menulis nota meminta dia menghormati guru dan rakan yang sedang belajar. Juga boleh dibuat dengan meletakkan jari dimulut menandakan permintaan agar dia diam.

Menjadi sunnah Nabi Muhammad untuk terus menegur kesalahan sahabat-sahabat dengan cara yang sesuai.

3. Sikap sabar di sini tidak kena pada masanya. Melayan kawan adik bercakap semasa guru mengajar sama seperti menggalakkan lagi dia berbuat salah walaupun kita tidak berniat demikian.

4. Perasaan adik yang hampir tidak sanggup melihat wajahnya itu adalah kesan dari sikap adik sendiri yang tidak tegas dengan perbuatan salah rakan tersebut. Perbuatan yang tidak dinasihati itu berlarutan sehingga adik sendiri merasa ‘tension’.

5. Adik harus beristighfar di atas kelemahan adik kerana tidak menegur rakan dan cubalah kikis perasaan tidak senang itu.

Kak Nur ingin bertanyakan adik (mahu bahasakan why_me pun rasa pelik pula. Sebaik-baiknya membahasakan diri dengan nama yang mampu mendoakan kita menjadi semakin baik.),

Suatu hari seekor kala jengking merayap di atas baju kawan adik sedangkan dia tidak menyedarinya. Apakah adik akan membiarkan sahaja kala jengking itu terus merayap dan menyengat kawan adik?

Pasti jawapan adik, tidak. Bukankah begitu? Atas dasar kasihkan kawan, adik akan memberitahu dan membantu menyisihkan kala jengking itu daripadanya.

Jika dia seorang sahabat yang ikhlas dan merendah diri, pasti dia tidak marah adik membantu menyisih binatang berbisa. Sebaliknya dia akan berterima kasih pada adik.

Begitulah jua dalam menjaga silaturrahim dengan kawan kita. Kesalahan yang dilakukan ibarat haiwan berbisa tadi. Bila kita menyayangi kawan kita, seharusnya kita menegur perbuatan silap kawan kita. Moga-moga kesalahan itu tidak berpanjangan dan bakal membunuh dia di kemudian hari.

Mendiamkan diri dari menegur perkara munkar adalah satu kesalahan juga kecuali kita tidak mampu melakukannya dengan tangan dan lidah kita.

Moga respon Kak Nur ini dapat membantu adik.

Apa yang baik adalah dari Allah jua.

Apa yang kurang dari kelemahan Kak Nur sendiri sebagai hamba.

Mohon maaf andai terkhilaf bicara.

Ummu Abbas
8.56pm
4 Jamadil Awwal 1430H

Pelancongan Buku 3: Daie Wajib Jadi Ulat Buku

pbakl09-maskot

Pengunjung Muslim lebih Ramai

Alhamdulillah, antara perkara yang menarik perhatian saya dan suami ialah ramainya pengunjung muslim yang mengunjungi PBAKL. Dilihat secara rambang, jumlah mereka mendominasi setiap ruang pesta buku. Lebih-lebih lagi di ruang buku-buku agama dan buku-buku Melayu.

“Pengunjung Cina tidak ramailah,” kata suami saya.

“Ha….a lah. ….kebanyakan air muka pengunjung nampak seperti penyokong Pakatan Rakyat je,” sahut saya setelah suami mengulas tidak kelihatan wajah-wajah UMNO di situ.

Saya sempat juga menjeling baner besar yang menghimpunkan wajah-wajah tokoh di negara kita. Saya tersenyum dan berpuas hati melihat foto Tok Guru berada di atas di celah-celah tokoh-tokoh lain.

buku-yang-dibeli

Saya juga dapati fenomena biasa di pesta-pesta buku yang mana golongan perempuan lebih ramai berbanding lelaki. Ia mungkin dipengaruhi realiti hari ini yang mana memang perempuan lebih ramai dari lelaki.

Menjadi kebiasaan saya bila mengunjungi pesta buku, saya dan suami memerhati kelompok pengunjung. Kami mahu dan berharap mereka yang menggabungkan diri dalam gerakan Islam mendominasi kelompok ulat buku.

Hisham alTalib dalam bukunya, ‘Panduan Latihan bagi Petugas Islam’ halaman 22 menyebut,

Jika du’at (pendakwah/aktivis) banyak membaca, mereka akan memimpin ummah Islam.

• Jika ummah Islam lebih banyak membaca, ia akan menerajui tamadun manusia.

• Hari ini: Orang-orang Barat yang lebih banyak membaca, orang-orang Islam kurang membaca! Seterusnya kita belajar membaca, tetapi mereka membaca untuk belajar.

• Arahan: Golongan Islam mesti mempelopori kempen galakan membaca di kalangan orang-orang Islam.

Saranan Hisham alTalib diasaskan kepada wahyu pertama yang mengatakan, “Bacalah dengan nama Tuhanmu”.

Ulasan saya mengenai pengunjung ini berdasarkan dua hari saya mengunjungi PBAKL. Itu pun hanya sebentar sahaja saya berada di sana. Ia sebenarnya lebih adil di nilai oleh mereka yang berada di sana setiap hari.

Pasaran Buku Melayu Lebih Baik

Saya gembira bila Puan Ainon melaporkan jualannya tersasar jauh dari anggaran asal. Baca di web PTS.

Ia signifikan dengan pemerhatian saya yang mendapati pengunjung muslim (Melayu) lebih ramai. Mereka juga membuktikan bahawa mereka lebih suka bahan-bahan bacaan berbahasa ibunda (Bahasa Melayu) dibandingkan Bahasa Inggeris.

Rombongan sekolah juga banyak yang mana terdiri dari anak-anak kecil dan remaja Melayu. Kebanyakan mereka membeli buku-buku berbahasa Melayu.

Situasi ini menunjukkan ada peningkatan jumlah penggemar buku di kalangan warga muslim berbangsa Melayu. Ia juga memberi harapan kepada industri buku-buku Melayu untuk berkembang lebih baik di tanah air.

Beg plastik rasmi PBAKL09

Beg plastik rasmi PBAKL09

Syabas buat semua: Penganjur, peserta dan para pengunjung PBAKL09!

Ummu Abbas
11.54am
3 Jamadil Awwal 1430H

Pelancongan Buku 2

Mohd Isa Abdul Razak

Assalamualaikum wbt.

Saya berminat untuk membaca pandangan peribadi puan tentang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, penyertaan penerbit dan jenis buku yang dipamerkan. Mungkin puan ada pandangan tersendiri tentang ruang pameran DBP, PTS dan beberapa penerbit lain.
Benarkah pengunjung wanita (remaja) melebihi lelaki?
Benarkah mereka mengerumuni ruang pameran PTS untuk membeli novel?
Sesakkah ruang pameran yang mempromosikan bahan bacaan Islam?

Wassalam.

Saudara Mohd Isa Abdul Razak,

Wa’alaykum salam.

Respon kepada pertanyaan saudara saya muatkan dalam entri ini dan selepasnya. Terima kasih kerana bertanya.

Ummu Abbas.

*********************
Sejak kali pertama ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) pada tahun 2006, saya terfikir, alangkah bagusnya kerajaan mengadakan promosi agar rakyat melancong ke PBAKL. PBAKL sedikit berbeza dibandingkan dengan pesta-pesta buku di peringkat negeri. PBAKL disertai oleh penerbit dari pelbagai negara luar seperti dari Indonesia dan Timur Tengah.

Tahun 2006, saya terserempak dengan 1 keluarga yang sama-sama menaiki ‘flight’ di PBAKL.

“Rupa-rupanya mereka pun datang KL untuk ke pesta buku,” fikir saya.

Saya berjalan dengan Chik sambil menyorong anak saya yang belum berusia 2 tahun waktu itu. Tahun 2006, Aesya saya bawa kerana masih menyusu. Tahun 2009, kereta sorong bayi yang sama diisi pula dengan adiknya, Aqil yang belum berusia 2 tahun.

Sejak tahun itu, saya bercita-cita membawa anak-anak yang lain ke PBAKL. Saya bercerita pada suami suasana PBAKL yang sungguh meriah. Saya ceritakan juga ada famili yang membawa anak-anak bermusafir dari Kota Bharu ke PWTC semata-mata untuk ke pesta buku.

Bagi mereka yang berada di luar KL dan tidak pernah mengunjungi PBAKL di PWTC, saya ingin maklumkan kemudahan makan minum dan tempat solat disediakan. Terdapat kiosk yang menjual makanan dan minuman di setiap aras dengan harga berpatutan.

Pagi Sabtu, semasa berada di booth Anbakri Publika Sdn Bhd, saya bertemu dengan seorang anak buah yang bertugas sebagai Pegawai Pergigian di salah sebuah hospital di Kelantan. Dia datang bersama rakannya menaiki bas dari Kota Bharu pada hari Jumaat semata-mata untuk ke PBAKL09. Dia akan pulang malam Ahad menaiki bas sedangkan esok dia sudah bekerja semula.

Hmm…hebat juga penangan PBAKL kepada ulat-ulat buku ini ye…


Booth-booth di PBAKL09

PBAKL09

Nampaknya, antara tarikan PBAKL09 tahun ini ialah tiada lagi booth di seberang sungai. Sungguh letih dan jauh untuk berjalan ke sana. Saya sudah mendapat maklumat ini daripada web universitipts.com.

Oleh kerana saya parking kereta di tingkat 4, kami memasuki dewan yang dipenuhi booth yang menjual banyak buku-buku berbahasa Inggeris. Ruang tingkat 4 ini lengang sahaja pada petang Jumaat itu. Pengunjung tidak ramai. Saya menarik nafas lega. Mudah untuk kami meninjau buku-buku dan berpindah dari satu booth ke satu booth yang lain. Saya ingat juga pesanan Puan Ainon supaya elakkan datang pada hari Sabtu dan Ahad.

Suami saya merupakan pakar mikrobiologi kelihatan agak kecewa dengan buku-buku dari bidangnya. Tiada yang menarik perhatiannya.

Kemudian kami turun ke tingkat 3. Pengunjung lebih ramai di sini. Rupa-rupanya di sini terkumpul lebih banyak syarikat penerbitan Melayu dan India Muslim. Lagu-lagu Islami yang berkumandang menenangkan telinga mendengarnya. Hmm patutlah.. banyak penerbit bahan-bahan agama di tingkat 3.

Semasa melintas Syarikat Telaga Biru buat kali kedua, kelihatan Ustaz Zahazan sedang melayani peminatnya. Ustaz Zahazan hanya saya kenali namanya semasa sama-sama belajar di Jordan dahulu. Saya mengenali orangnya setelah melihat di kaca TV. Lagi pula saya belajar di Amman dan Ustaz Zahazan belajar di Irbid. Berdasarkan usianya, dia merupakan junior saya.

pbakl09-saba

Saya tidak melepaskan peluang bergambar di hadapan pembekal buku pertama saya yakni SABA Islamic Media Sdn Bhd. Pertama kali menjadi pengedar buku, saya ‘berkahwin’ dengan SABA yakni pada tahun 2002. Selepas itulah baru saya berkenalan dengan penerbit-penerbit buku lain.

Syarikat DAWAMA yang saya kunjungi masih gah berlokasi di tengah ruang dewan. Ruang booth yang selesa menonjolkan lagi fungsi DBP sebagai penerbit. Namun seperti mana-mana pesta buku yang saya kunjungi, buku-buku bacaan awam DAWAMA kurang menarik perhatian saya. Saya memasukinya kerana mencari Kamus Besar Dewan. Nasib saya baik kerana hanya tinggal 1 naskhah. Kamus itu berharga RM130. Selepas diskaun, saya membayar sebanyak RM92. Saya pernah mencarinya di kedai SMO berhampiran rumah namun stoknya sudah habis.

Berdasarkan pengamatan saya, DAWAMA hanya gah kerana ia bertumpang di dahan DBP. Namun dari sudut penerbitannya, banyak syarikat-syarikat lain mendahuluinya. Saya kira pendekatan PTS dalam menawan hati pelanggan dapat menyaingi DAWAMA. Begitu juga syarikat-syarikat bumiputra yang lain. Pandangan saya ini mungkin betul dan mungkin juga salah. Pihak penerbit sendiri yang lebih tahu berdasarkan perkembangan syarikat masing-masing.

pbakl09-dawama1

Saya tidak mampu bercerita banyak mengenai DAWAMA kerana ia kurang memikat hati saya. Justeru saya tidak begitu mengikuti perkembangannya. Anak-anak membeli satu set buku kanak-kanak dan juga VCD cerita animasi di sini. Suami saya gembira dapat menemui Azizi, penulis yang diminatinya. Sejak saya berkahwin, saya dapati banyak novel Azizi menjadi koleksinya.

Mencari Buku Sendiri

Sahabat saya, Kak Cik pernah memaklumkan, buku yang kami tulis bersama akan dijual di Syabab Media. Saya mencari-cari namun tidak berjumpa. Cetakan pertama sudah habis dijual namun saya belum lihat lagi buku itu.

Saya menghubungi Kak Cik. Kak Cik jelaskan, suaminya tidak sempat uruskan cetakan kedua. Jadi ia tidak sempat dijual sempena PBAKL09. Saya pasrah.

Anak-anak berusia bawah 6 tahun mudah jemu meronda di satu-satu kawasan. Nasib baik mereka diasyikkan seketika dengan satu persembahan di pentas. Persembahan itu khusus untuk anak-anak kecil.

Kami tidak mampu menghabiskan rondaan pada petang Jumaat itu. Naluri anak-anak yang mahu pulang terpaksa kami turuti. Kami keluar seawal jam 5.30 petang sedangkan kami baru berada di sana kira-kira jam 2 petang.

Kami bermalam di rumah Kak Cik. Baru saya dapat lihat wajah ‘anak sulung’ saya (buku pertama yang dicetak) dan juga penulisan bersama dengan Kak Cik.

Kami pergi semula ke pesta buku pada pagi Sabtu. Kami terus turun ke tingkat dua yakni aras pertama pesta buku. Hari ini memang padat dengan pengunjung. Aras satu ini disertai banyak penerbit-penerbit kecil yang sedang mengukuhkan tapak. Ia satu perkembangan menarik.

Antara syarikat yang saya kenali ialah Blue-T Publication, Anbakri Publika, Jundi Resources, Galeri Ilmu, HRP dan lain-lain.

Tok Guru Jadi Mangsa

Satu peristiwa menarik saat saya mampir di gerai Anbakri Publika. Terdapat foto Tok Guru Nik Abdul Aziz yang dicetak bersaiz besar. Tingginya foto itu kira-kira paras dada. Seorang remaja perempuan bersama rakan-rakannya menghampiri foto itu. Remaja itu lantas meletakkan tangannya di atas bahu Tok Guru sambil berkata, “Ini sahabat lama”. Saya tersenyum melihat gelagat mereka. Teringin juga mahu snap foto mereka beraksi demikian namun bimbang mereka menolaknya.

Naluri saya dapat merasakan kasih mereka pada Tok Guru. Walhal penampilan mereka biasa-biasa sahaja.

Kami tidak sempat meronda habis dek anak-anak yang mahu pulang cepat. Saya berpusing mencari gerai PTS namun tidak berjumpa. Setelah keluar dari ruang penerbit-penerbit kecil itu, seorang duta PBAKL mendengar perbualan saya dengan suami lantas menunjuk arah gerai PTS.

Pintu masuknya sahaja sudah dihias hebat. Asyik sekali saya melihat foto-foto yang dipamerkan.

Ahhh…anak-anak merungut lagi. Saya membawa mereka ke ruang legar di bahagian tengah. Semasa saya masuk mendapatkan kerusi, saya melihat susuk wajah seperti Puan Ainon namun saya tidak dapat menyapanya kerana ‘confuse’. Bimbang tersalah orang. Dia berpakaian sepasang berwarna hitam dan bertudung bercorak warna hitam putih. Wajahnya ceria. “Agaknya berpuas hati dengan kunjungan pelanggan,” fikir saya.

Suami saya menyuruh saya masuk seorang diri ke gerai PTS. 3 anak lagi bersama suami mengadap pentas. Waktu itu ialah sesi bersama Abu Saif saifulislam.com dan seorang lagi penulis. Encik Amran dari kumpulan Raihan menjadi moderatornya. Encik Amran merupakan sepupu kepada ibu saudara sebelah abah saya namun berlainan ibu. Dengan perkataan lain, dia anak saudara kepada allahyarham nenek tiri saya.

Saya ke gerai PTS bersama dua orang anak. Gerai PTS dipenuhi pengunjung. Novel-novel Islami untuk remaja diletak di bahagian hadapan. Jadi mudah pelanggan menyerbu dan memilihnya.

Saya hanya singgah sebentar di gerai PTS. Saya keluar untuk pulang tanpa membeli sebuah buku untuk diri saya.

Ruang Pameran Yang Lebih Adil

Saya tidak tahu kuota ruang untuk setiap penerbit diberi berdasarkan apa. Bila diteliti, saya dapati syarikat yang sudah lama seperti Al-Hidayah memiliki booth yang luas dan selesa. Begitu juga dengan DAWAMA dan beberapa syarikat lain terutama yang diisi dengan meja dan kerusi. Walhal kerusi meja itu banyak yang kosong semasa saya melintasinya. Manakala syarikat yang sudah memiliki banyak judul buku seperti PTS terpaksa menyempitkan ruang booth mereka dengan lambakan buku-buku. Pelanggan terpaksa berhimpit untuk melihat buku-buku di atas rak dek lorong yang sempit.

pbakl09-ana-muslim

Saya suka dengan lokasi booth seperti E-Media, Telaga Biru dan Blue-T Publication kerana pelanggan boleh masuk dari arah kiri dan kanan. Ia lebih lapang dan selesa untuk melihat buku-buku. Hiasan kreatif Blue-T Publication sesuai dengan konsep penerbitan mereka yang fokus pada komik kanak-kanak Islami. Ia sudah jauh lebih baik dari tahun 2006 dahulu.

Ummu Abbas
11.29am
3 Jamadil Awwal 1430H

Pelancongan Buku

Kami bertolak seawal jam 4 pagi dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur. Tujuan utama kami hanya satu: Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009.

Rancangan ‘on the spot’ itu lahir pada tengahari Khamis. Beberapa hari sebelumnya, saya tidak senang duduk setiap kali melihat iklan-iklan PBAKL09. Saya asyik mengira-ngira tarikh 17-26 April 2009. Bertambah tidak senang duduk bila mengetahui dua orang Tok Guru kesayangan saya (TGHH dan TGNA) telah mampir ke PBAKL09 untuk merasmikan buku dan booth.

Kali pertama saya ke PBAKL ialah pada tahun 2006. Saya mahu meninjau atas dasar saya mengurus kedai buku pada tahun itu. Oleh kerana lokasi tidak menarik, kedai buku saya hanya bertahan setahun. Sekarang, buku-buku yang berbaki dipamerkan di ruang tamu rumah saya.

Di sebalik takdir Allah itu, banyak perkara yang saya belajar. Biarlah saya simpan dahulu hikmah yang tersurat sepanjang pengalaman membuka kedai buku.

Sifat orang mukmin menerima semua takdir adalah baik untuknya. Sangka baik dengan Allah membawa bahagia dan tenang hati walaupun kita miskin harta. Alhamdulillah.

Cetusan Hati Ke PBAKL09

Jam 12.37 tengahari Khamis itu saya baru sahaja meninggalkan komen di blog Puan Ainon PTS;

Sedihnya…

Jasadku di Serambi Mekah
Hatiku di PWTC
Selagi PBAKL09 belum dihabisi

Cemburunya saya lihat manusia bersesak-sesak dalam dewan itu.

Sekali sahaja sempat ke PBAKL dengan Kak Chik maribaca.com. Kalau tidak silap tahun 2006.

Selepas azan Zohor berkumandang, fatwa hati (meminjam istilah Abu Saif saifulislam.com) mendorong saya menelefon suami,

“Bang, hari Jumaat Sabtu ini abang ada kerja tak?”

“Pagi Jumaat ada kerja sikit. Ada apa?,” tanya suami.

“Nur ingat nak ajak abang pergi pesta buku di KL,” beritahu saya.

Desahan suara suami di hujung sana seperti memberi jawapan ianya tidak mungkin.

Entah mengapa, saya tidak terkilan mendengar jawapan suami.

Hati saya kuat mengatakan, jika Allah sememangnya sudah takdirkan saya akan berada di PBAKL09, saya tetap akan berada di sana.

Allahlah yang menguruskan hati-hati manusia.

Prinsip saya, saya akan lakukan apa jua perkara selagi ianya mendapat reda Allah dan reda mereka yang berhak ke atas saya yakni suami. Saya tidak akan cuba mendesak atau memaksa suami menurut kehendak saya.

Jika Allah izinkan saya lakukan sesuatu, maka Dia akan memberi izinNya melalui suami saya. Begitulah jua sebaliknya. Jadi saya tidak perlu risau dengan apa jua ketentuanNya.

Sama ada kehendak Allah itu sesuai dengan kehendak saya atau tidak, saya menerima segalanya dengan senang hati.

Allah tahu apa yang terbaik untuk saya.

Saya segera menaip ‘sms’ (saya sudah padamkan isi ‘sms’nya, jadi tidak dapat disalin ke sini) dan menekan butang ‘send’. Antara yang saya ingat, saya tulis begini kepada suami, “Jomla bang, kita ke pesta buku. Sehari je nak round. Hari Sabtu kita balik. Bagus juga untuk anak-anak.”

Saya perlu mengadakan sebab-musabbab agar saya dapat ke PBAKL09.

Saya bukan Tuk Kenali yang berjalan melipat bumi. Maksud saya, saya bukan wali yang akan sekejap sahaja berada di tempat mana yang dia mahu.

‘Sms’ tidak berbalas.

Waktu itu merupakan masa rehat tengahari.

Tawakkal Mengundang Tenang

Saya bertawakkal kepada Allah. Saya tidak mahu lagi menganggu suami yang sedang berkerja. Oleh kerana tiada jawapan dari suami, saya tidak membuat apa-apa persediaan untuk bermusafir.

“Penting sangatkah aku mahu ke pesta buku? Perjalanan yang jauh itu berbaloikah,” fikir saya mencari justifikasi yang kuat untuk ke KL.

“Tapi kenapa naluri itu muncul tiba-tiba. Hatiku bagai digerakkan sesuatu tanpa aku merancangnya.”

“Apa yang Allah mahu berikan padaku sebenarnya. Aah… buku itukan ilmu. Iya… bermusafir untuk mendapatkan ilmu memang berbaloi,” saya bermonolog lagi.

Saya cuma dapat rasakan perasaan halus itu datang sepertimana saya mahu ke Jordan dan ke Mekah suatu ketika dahulu. Ia persis sekali. Sudah lama lambaian hati yang digerakkan oleh kebenaran itu tidak hadir dalam diri saya dek tenggelamnya saya dalam nikmat duniawi.

Oleh sebab itulah saya tenang sahaja bila mendapat respon yang tidak menggalakkan dari suami. Gerak hati itu dari Allah. Bukan saya memandai-mandai sendiri mahu berjalan tanpa tujuan. Lagikan ‘shopping’ biasa pun saya tidak gemar. Jarang-jarang saya ikut suami ‘shopping’ di pasar raya. Memadai saya wakilkan sahaja dengan mencatat senarai barang yang saya mahu.

Dalam tempoh suami membeli-belah dengan anak-anak yang dibawa bersama, saya mengisi waktu dengan perkara lain yang lebih berfaedah.

“Sesungguhnya kewajiban lebih banyak dari waktu yang ada,” itulah pesanan Hassan al-Banna yang menjadi pegangan saya.

Petang Membawa Khabar Gembira

Kira-kira jam 6.30 petang, kelihatan wajah suami lesu menaiki tangga. Dia berbaring di sisi saya yang sedang berehat ketika itu.

Waktu suami pulang tidak menentu setiap hari. Hari itu saya tidak mendengar bunyi kenderaan suami pulang. Jadi saya tidak menyambutnya di pintu. Saya berehat seketika sambil memerhati anak-anak yang sedang main air dan mandi.

Saya lihat mood suami dalam keadaan baik walaupun letih. Sambil membelai suami saya bertanya, “Bang, mahu tak pergi pesta buku?”

“Nak bertolak pukul berapa?” suami bertanya kembali.

Alhamdulillah, gembira saya mendengarnya.

“Kalau malam ni macam mana?”

“Pagi esoklah. Pukul 3,” suami memberi kata putus.

Saya akur dengan keputusannya. Lagi pun, perjalanan biasa dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur selama 7 hingga 8 jam. Kira-kira jam 11 pagi, insya Allah, kami sudah berada di PWTC. Sempatlah ‘round’ sehari di pesta buku. Hari Sabtu kami akan bertolak pulang.

“Abbas, Azzam, jom tolong Ummi berkemas. Abi nak pergi pesta buku,” saya memanggil anak-anak.

Anak-anak seronok. Tergesa-gesa saya menyiapkan apa yang patut. Ia tidak membebankan memandangkan kami hanya akan berada semalaman di KL.

Saya menunda satu usrah yang akan diadakan petang Sabtu ke Sabtu hadapan.

Ummu Abbas
2.22pm
2 Jamadil Awwal 1430H

Catatan: Jalan-jalan Cari Buku (PBAKL09)

Saya ke KL-PWTC pada hari Jumaat dan baru balik semalam. Jalan-jalan jamu mata dengan buku dan ‘shopping’ buku. Saya pergi satu keluarga- suami dan anak-anak. Best! Alhamdulillah.

Pagi ini baru buka blog. Insya Allah saya akan segerakan merespon 2 persoalan di ruang Kongsi Masalah setakat yang sempat dilakukan.

Ummu Abbas
30 Rabiul AKhir 1430H
7.50am

Nenek tiri Obama tolak anuti Kristian

kenya-map1

NAIROBI: Sebuah gereja Kenya cuba membawa nenek tiri Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, menganuti agama Kristian, cubaan mencetuskan kemarahan masyarakat Islam negara itu yang mendesak kerajaan menghalang usaha berkenaan.

Gereja Seventh Day Adventist di bandar Kisumu di barat Kenya bercadang menjadikan Mama Sarah, 87, seorang Kristian dalam satu majlis besar-besaran, Sabtu lalu.

Bagaimanapun, cubaan itu terhalang apabila Sarah, seorang Muslim, terkejut dan menolak jemputan ke majlis berkenaan.

“Apabila saya dengar ada rancangan menjadikan saya penganut Kristian, saya menolak,” katanya kepada akhbar The Standard.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Imam dan Pendakwah Kenya, Sheikh Mohamed Khalifa, kesal dengan cubaan gereja itu memaksa Sarah menukar agama.

sarah460

Sarah menjadi selebriti selepas cucunya itu melawat Kenya pada 2006. Rumahnya menjadi tarikan pelancong sejak Obama dipilih sebagai Presiden kulit hitam pertama Amerika Syarikat November lalu.

Obama, adalah anak kepada lelaki kulit hitam Islam Kenya dan wanita kulit putih Amerika. – Agensi

Sumber: Berita Harian Online.

Lagi berita dan foto Mama Sarah di http://news.yahoo.com/s/afp/20090420/wl_africa_afp/kenyareligionusobama

dan di sini http://www.alarabiya.net/articles/2009/04/20/71069.html
*********

Lagak gereja itu tidak ubah seperti UMNO yang suka membeli pemimpin Pakatan Rakyat. Kemudiannya isytihar lompat parti kononnya perjuangan UMNO lebih benar dan diterima rakyat.

Mereka adakan sidang media dan berbangga dengan acara pengkhianatan yang dilakukan.

Pihak gereja melihat potensi besar disebalik usaha menarik Mama Sarah kepada Kristian disebabkan Mama Sarah ialah nenek kepada seorang presiden bertaraf dunia. Meskipun ia nenek tiri sahaja yang sudah berusia 87 tahun.

Sama seperti UMNO yang suka target individu berpotensi besar masuk UMNO demi survival politik bertunjangkan akar yang rapuh.

Teringat pula cerita Senator Mumtaz bahawa dia ditawarkan jawatan tinggi dalam kerajaan dan wang 5 juta jika dia sanggup menjadi calon UMNO menjelang PRU 12 yang lalu.

Cuma usaha UMNO lebih hebat berbanding gereja kerana sanggup berhabisan wang merasuah orang.

************
Sama-sama kita doakan agar keluarga Obama yang sedia muslim itu terus kekal dalam Islam.

Ya Allah, wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati-hati manusia…

Tetapkanlah hati-hati kami dengan agamaMu dan mentaatiMu.

Amiin.

Dengan Nama Allah Yang Maha Penyayang lagi Maha Mengasihani.

[8] Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).

[9] Dialah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad s.a.w) dengan membawa hidayah dan agama yang benar (agama Islam), supaya Dia memenangkannya dan meninggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.

Surah al-Saf; 8 & 9

Ummu Abbas
26 Rabiul Awwal 1430H
12.12am

Faktor Cemerlang Nur Madihah

Dalam hambatan masa dan tanggungjawab yang sentiasa padat, saya senaraikan secara ringkas dahulu faktor-faktor yang menyebabkan Nik Nur Madihah mendapat keputusan cemerlang dalam SPM 2008.

Pengalaman Adik Madihah ini dikutip dalam ziarah pertama saya ke rumahnya. Saya paparkan di sini khusus buat para pelajar yang akan ambil SPM dan semua insan bergelar pelajar dari peringkat menengah hingga peringkat ijazah lanjutan.

Jika diizinkan Allah, saya akan beri huraian dalam entri-entri akan datang.

Para pembaca juga mungkin boleh mengutip tip-tip belajar Nur Madihah dari buku-buku yang sudah ditulis atau yang disiar dalam akhbar.

Saya bahagikan kepada 3 bahagian:

1. Faktor Agama dan Hubungan Dengan Allah (Habluminallah)

1.1. Maahad Muhammadi Perempuan yang khusus untuk pelajar perempuan menyumbang suasana tenang untuk belajar. Faktor pengasingan pelajar lelaki dan pelajar perempuan di sekolah berlainan ini menjauhi pelajar dari fitnah pergaulan bebas lelaki dan perempuan.

1.2. Menjaga hubungan hati dengan Allah. Dalam ertikata sentiasa membersihkan hati dari sifat mazmumah dan mengisi hati dengan sifat mahmudah.

1.3. Mengadu apa sahaja hanya pada Allah serta menahan diri dari meminta simpati sesama insan. Dalam ertikata hati sentiasa hadir sepenuhnya ketika berdoa kepadaNya.

Menjaga hubungan dengan Allah menyebabkan hati sentiasa tenang, sabar dan tabah dalam menghadapi ujian hidup.

2. Faktor Hubungan Sesama Manusia
(Habluminannas)

2.1. Memelihara hati kedua ibubapa dan sentiasa berusaha mendapat reda keduanya.

2.2. Memelihara hati guru-guru dan menghormati guru.
– Guru-guru memainkan peranan paling penting untuk mengajar ilmu dan memberi kefahaman kepada pelajar.

2.3. Memelihara hati insan yang ada di sekeliling seperti adik-beradik, kawan-kawan dan kaum keluarga.

Memelihara hubungan dengan insan-insan penting ini mengundang barakah dan melonjakkan daya motivasi belajar.

3. Faktor Usaha

3.1. Tumpu perhatian di dalam kelas semasa guru mengajar.

3.2. Terus bertanya guru apabila ada yang tidak faham.

3.3. Mengulangkaji dan menghafal pelajaran tanpa mengira waktu.

3.4. Mengadakan kumpulan diskusi pelajaran bersama rakan-rakan. Faktor diskusi bersama rakan-rakan perempuan sahaja ada kaitan dengan faktor sekolah agama sebelum ini. Apabila tiada percampuran bebas lelaki dan perempuan ajnabi, hati lebih tenang dan dapat fokus pada pelajaran.

3.5. Meninggalkan perkara yang tidak berfaedah seperti menonton cerita yang tidak perlu. Sebaliknya waktu diisi dengan mentelaah ilmu.
– Ibu Madihah menceritakan bahawa Madihah hanya menonton rancangan berita dan rencana yang bersifat ilmiah sahaja.

3.6. Guru-guru yang sentiasa bersedia melayani pertanyaan pelajar juga banyak membantu pelajar untuk berjaya dalam pelajaran.

3.7. Berusaha ke tahap maksimum untuk mendapat bahan-bahan belajar seperti menyalin kamus Bahasa Arab – Bahasa Melayu.

3.8. Jangan ada hubungan dengan mana-mana lelaki ajnabi tanpa ada keperluan yang diharuskan syarak. (Bagi lelaki adalah sebaliknya.)

Berdasarkan faktor yang disenaraikan di atas, banyak perkara yang boleh diulas sebenarnya. Saya buka kepada mana-mana pembaca untuk membuat ulasan.

Akhir kata, ISLAM membuktikan bahawa jika penganutnya benar-benar mengambil ISLAM sepenuhnya sebagai CARA HIDUP, penganutnya akan mampu mengatasi cabaran-cabaran yang ada disekeliling khususnya dari golongan yang memusuhi Islam.

Apa yang baik datangnya dari Allah. Apa yang kurang dari kelemahan saya sendiri sebagai hamba.

Ummu Abbas
25 Rabiul Akhir 1430H
10.37am