Archive | Mei 2009

Catatan: Alhamdulillah, Selamat dibedah tapi…

Kalau minggu lepas saya diuji agar buka tudung untuk x-ray. 2 hari lepas (tanggal 26 Mei 09), saya diuji pula dengan baju lengan pendek dan tudung bagai ‘melepas batuk di tangga’ sebelum melangkah masuk ke bilik pembedahan. Macam teruk sangat bunyinya- bilik pembedahan…walhal saya menjalani minor oral surgery (MOS) sahaja untuk buang geraham yang tumbuh menyerong. MOS, MOS lah… saya yang tidak pernah hadapi apa-apa rawatan yang teruk-teruk, rasa seperti bersemuka dengan malaikat maut.

Kalau ikut ranking sakit paling teruk, sakaratulmaut menduduki tangga pertama. Tangga kedua jatuh kepada sakit bersalin (kata ramai orang). Tangga ketiga ialah sakit gigi. Dengan persediaan mental begitu, tambahan pula saya berpengalaman 5 kali bersalin, saya cuba relaks tapi rasa gemuruh tidak dapat dielakkan. Berkenaan sakit-sakit itu, tidaklah penting sangat. Alhamdulillah, hari ini hari ketiga saya selesai menjalani MOS. Hari ini juga baru boleh makan nasi biasa (makanan pepejal). 2 hari pertama dinasihati doktor agar makan makanan lembut yang tidak perlu dikunyah. Gusi dan pipi masih bengkak. Lepas seminggu, jahitan akan dibuka.

Yang saya belum dapat lupakan ialah saya diminta bersalin pakaian sebelum masuk ke bilik pembedahan. Baju yang disediakan berlengan pendek dan tudung pula sangatlah jarang. Apa pula tindakan saya kali ini? Apakah saya berjaya mempertahankan aurat saya? Kalau semua staf bertugas perempuan tidak mengapalah. Ini ada seorang pembantu lelaki yang masih muda.

Gigi yang mahu dirawat, baju lengan pendek pula yang kena pakai. Apa kena-mengena dengan rawatan tersebut? Insya Allah, saya cerita lain kali ye! Esok saya akan bermusafir sekeluarga ke luar negeri (bukan luar negara) selama tiga hari. Tolong doakan kami.

Wassalam.

Ummu Abbas
3.06am
4 Jamadil Akhir 1430H

Catatan Hati Madihah Sangat Laris di Pasaran

Madihah

Alhamdulillah, buku kedua yang saya habiskan membacanya sebaik melancong ke PBAKL09 ialah Catatan Hati Nik Nur Madihah. Sebenarnya buku ini yang saya belek dahulu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu. Saya baca melangkau tajuk-tajuk kerana mahu tahu bentuk persembahan dan isi yang di’highlight’kan.

Sambil suami memandu, saya memetik beberapa cerita dan saya kisahkan pada suami. Saya membaca sambil menahan sebak. Saya benar-benar tersentuh dengan riwayat hidup Nik Nur Madihah. Hmm…sampai satu saat saya tidak mampu lagi membendung titisan air. Banjir juga dibibir mata. Lantas melimpah di wajah saya yang semakin dimamah usia.

Saya melayan perasaan sendiri. Seusai emosi dapat dikawal, saya menyambung kisah yang terputus dek esakan hati tadi.

Pengalaman saya belajar di Maahad Muhammadi Lilbanat sedikit sebanyak membantu saya ‘membaca’ perwatakan junior saya, Nik Nur Madihah ini. Saya menyentuh secara ringkas dari awal entry saya mengenai pelajar cemerlang MMP (Lihat entry bertajuk, “Catatan: Pelajar Terbaik SPM Kelantan). Pada masa itu saya hanya tahu namanya yang terpampang di media dan wajahnya melalui foto yang disertakan.

Jenis saya ini hanya suka pada individu yang warak dan mementingkan iman dan taqwa dalam hidupnya. Saya tidak hairan dengan kejayaan bersifat duniawi semata-mata. Justeru Allah akan memberikan nikmat duniawi kepada siapa sahaja yang Dia mahu seperti kuasa pemerintahan, kekayaan, pengaruh, keilmuan, kepakaran dan apa sahaja.

Jika kita menelusuri sirah nabi-nabi, di zaman mereka tamadun dunia sudah berkembang hebat. Kaum Aad, Thamud, umat Firaun dan lain-lain disebut al-Quran tentang teknologi dan ilmu duniawi yang mereka kuasai. Namun apalah gunanya jika kecemerlangan ilmu duniawi itu membuatkan mereka kufur kepada Allah?

Usah berbangga dengan rupa paras, harta dan pangkat di hadapan saya, pasti saya akan memandang rendah individu berkenaan kecuali mereka menjadikan semua itu alat mencapai mardatillah.

Saya berusaha memandang dan menilai sesuatu menurut kacamata Allah. Apa yang Allah muliakan, saya pandang mulia. Begitulah sebaliknya.

Sedar Rumah Buruk Selepas Disiar dalam Akhbar

Halaman 71 buku ini menceritakan bagaimana ibubapa Madihah dan Madihah diminta ber’posing’ di hadapan rumah. Hal ini juga diceritakan bapa Madihah kepada kami semasa liqa’ di rumah YB Mumtaz. Menurutnya, mereka sanggup bergambar untuk menunjukkan bahawa kesederhanaan hidup bukanlah penghalang meraih kejayaan. Jauh sekali daripada mahu mendamba simpati dari orang ramai. Namun, sebaik keluar di akhbar, lain pula yang ditonjolkan.

Bapa Madihah berkata sambil ketawa, “Bagi saya, rumah ini sudah cukup selesa buat kami sekeluarga. Saya baru sedar rumah saya buruk selepas melihatnya dalam akhbar tapi iyalah, rumah tu rumah sewa je”. (Ha…ha…ha…)

Sudah berbelas tahun dia menyewa rumah itu. Rosak sedikit terus dibaikinya. Tidak dibiarkan air hujan menitis masuk mendinginkan ahli keluarga yang dikasihinya.

Catatan Penting Yang Kurang Ditonjolkan Oleh “Catatan Hati Nik Nur Madihah”

Teknik bercerita yang digunakan membuatkan buku ini mudah dibaca dan difahami. Di celah kesibukan, saya mampu habiskan dalam masa sehari sahaja buku setebal 114 halaman itu, alhamdulillah.

Buku ini sesuai dibaca oleh ibubapa, guru dan remaja. Banyak aspek penting dalam kehidupan manusia berlandaskan Islam disebut dalam buku ini. Dari soal mencari nafkah yang halal oleh pihak bapa, ibu yang prihatin dengan perkembangan dan kebolehan anaknya, guru-guru yang ikhlas hingga kepada mekanisme tarbiyah di sekolah MMP.

Tarbiyah melalui usrah dan tamrin itulah yang berjaya membentuk jatidiri Madihah. Dia yakin pada diri sendiri dan mengenepikan rasa hina diri di samping anak-anak orang berada.

Dalam banyak catatan penting yang dihidangkan , saya dapati 2 perkara penting tidak diberi penekanan dalam buku ini. 2 perkara itu ialah apa yang pernah disebutkan dalam entry sebelum ini yakni faktor sekolah agama dan pengasingan jantina di sekolah. Boleh rujuk entry bertajuk, “ Faktor Cemerlang Nik Nur Madihah”.

Ia disebut secara tidak langsung di halaman 26 dan 27 namun kurang menonjol. Secara peribadi, ia wajar di’highlight’kan dengan lebih berkesan agar kerajaan dan masyarakat am tidak lagi memandang rendah sekolah-sekolah agama rakyat (SAR). Bukankah satu ketika dahulu SAR pernah ditekan dengan ditarik bantuan perkapitanya? SAR juga dituduh melahirkan pengganas Islam. (Cuba tanya mereka yang terlibat dengan pembunuhan Altantuya, berapa orang lepasan SAR?)

Sebenarnya SAR dianak-tirikan sejak dahulu. Saya sendiri pernah melaluinya. Namun berkat sekolah agama itulah, Allah banyak membantu para pentadbir, guru dan pelajarnya untuk mencapai kecemerlangan demi kecemerlangan. Meskipun ia tidak diiktiraf pemerintah ‘Malaysia Boleh’.

Saya berharap dua perkara penting itu ditonjolkan dengan lebih berkesan dalam Edisi Kedua nanti.

Cetakan Pertama Laris Lebih 10,000 Unit

Saya mendapat maklumat dari pihak penerbit, Hijjaz Records Publishing bahawa cetakan pertama lebih dari 10,000 unit habis dijual. Ia laris kira-kira dalam tempoh sebulan. Cetakan kedua baru sahaja tiba di stor menjadikan ia mencecah angka 20,000 unit. Bagi industri penerbitan buku, jumlah tersebut merupakan satu angka yang sungguh memberangsangkan. Tahniah buat HR Publishing selaku penerbit buku dan juga buat Ummu Hani Abu Hassan selaku penulisnya.
Buku ini berharga RM25.90.

Sebuah buku lagi berkenaan Nik Nur Madihah yang ditulis oleh Ummu Sakinah belum berkesempatan lagi saya memilikinya. Tajuknya dari ‘Nik Nur Madihah: Permata Parang Puting’ (sebagaimana yang dilaporkan akhbar) telah bertukar kepada ‘Nik Nur Madihah: Permata Generasi Rabbani’.

Moga usaha kalian semua menjadi amal jariah untuk mengembangkan dakwah di jalan Allah.

Amin. Ya Rabbal alamin!

Ummu Abbas
Catatan pertama:
12.33AM
8 Mei 2009
Catatan kedua:
25 Mei 2009/ 30 Jamadil Awwal 1430H
12.11pm

Menentukan Destinasi Hati

Siapakah yang menjadikan alam nan indah ini?

Siapakah yang menjadikan alam nan indah ini?

Azie.

Assalamualaikum.

Saya ada sedikit pertanyaan tentang hati dan keikhlasan. Macamana nak membentuk hati supaya menjadi lembut, penyabar, penyayang dan istiqamah ?

Bercakap tentang keikhlasan, hanya individu itu sendiri yg mengetahui tentang keikhlasan hatinya, org lain tdk blh mengukur sejauh mana keikhlasan seseorang itu. Yg menjadi persoalannya ialah, saya tdk tahu dimana tahap nilai keikhlasan saya. Saya melakukan sesuatu bukan kerana seseorang, tetapi tdk juga ikhlas kerana ALLAh. Malah saya rasa kosong seperti tiada apa2 makna.

Saya harap sangat agar ummu dpt membantu saya di dalam membentuk jiwa dan hati saya supaya menjadi seorang yang lebih dekat kepada Yang maha Pencipta. WaSsalam.

***************

Pastikan sumber makanan yang halal dan berkhasiat bagi membentuk hati yang sihat.

Pastikan sumber makanan yang halal dan berkhasiat bagi membentuk hati yang sihat.

Wa’alaykum salam wbh,

Azie yang dikasihi Allah,

Persoalan Azie di atas sebenarnya boleh dijawab secara lebih ringkas dan ber’point’. Namun Kak Nur lebih suka mengajak Azie dan para pembaca bertafakkur sebelum menemui jawapannya. Bukankah Allah menyuruh kita bertafakkur dalam banyak firmanNya?

Tafakkur kerana mahu mencari dan mengenal Allah itu sendiri merupakan salah satu mekanisme melembutkan hati.

Cuba renung sejenak… bilakah masanya Azie pernah merasa tenteram dan lembut hati? Lembut hati yang dilimpahi kasih sayang. Kalau Azie pernah merasa dikasihi oleh ibubapa atau mungkin insan yang bernama lelaki, Kak Nur percaya pada masa itu Azie dapat rasakan hati Azie lembut dan penuh kasih sayang.

Azie yang dimuliakan,

Tatkala kita mengingati insan yang mengasihi dan menyayangi kita pun hati kita sudah menjadi lembut dan mendamaikan, apatah lagi bila kita mengingati Allah yang mengurniakan kasih sayang kepada para ibubapa dan juga kekasih.

Allah menyatakan sifat orang beriman dalam Surah al-Ra’du ayat 28,

ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَتَطۡمَٮِٕنُّ قُلُوبُهُم بِذِكۡرِ ٱللَّهِ‌ۗ أَلَا بِذِڪۡرِ ٱللَّهِ تَطۡمَٮِٕنُّ ٱلۡقُلُوبُ

“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang hati mereka dengan “zikrullah”. Ketahuilah dengan mengingati Allah itu, tenteramlah hati manusia.”

Azie tidur di atas tilam jenis apa? Kalau Azie tidur di atas tilam ‘dreamland’ contohnya, Azie akan dapat menikmati tidur yang aman tenteram kerana tilam yang lembut dan selesa.

Begitulah jua dengan hati kita, Azie. Hati lembut dek zikrullah akan membuatkan kita merasa tenang dan selesa.

Azie, mari kita merenung lagi…

Allah yang menciptakan dirimu dengan penuh kasih sayang dan belas kasihan.

Allah jua yang memelihara dirimu hingga kau dewasa kini.

Allah yang memberi akal untukmu berfikir.

Allah jua yang meletakkan kornea di matamu sehingga terungkap keindahan alam.

Allah yang menjadikan gegendang telinga sehingga dapat kau hayati merdunya bunyi.

Allah yang mencipta hati sebagai raja diri manusia.

Baik raja, tenteramlah rakyat.

Jahat raja, binasalah rakyat.

Di samping hati, Allah ciptakan nafsu yang cenderung kepada perbuatan maksiat.

Sifat nafsu itu malas, keras, ego dan sebagainya lagi.

Tiada siapa yang mampu menundukkan nafsu manusia kecuali Allah.

Maka ingatilah Dia adikku… sebanyak-banyaknya.

Secara fisiologi, nafsu itu perlu dipugar dengan menjaga perut. Berpuasa sunat, makan ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang, makan makanan halal dan jauhi syubhah. Sekiranya kita tidak menitik beratkan hal ini, ia akan menyukarkan hati berzikir kepada Allah.

Allah jua jadikan musuh bagi manusia yakni iblis.

Iblis meniup rasa benci di hati insan.

Iblis tidak suka pada sifat pengasih dan penyayang.

Tiada siapa yang mampu melemahkan iblis kecuali Allah.

Maka ingatilah Dia adikku.

Hanya Allah yang bisa melembutkan hatimu.

Hanya Allah empunya kasih sayang yang dapat mengurniakan hati yang pengasih dan penyayang buatmu.

Adikku mahu jadi penyabar?

Tiada siapa yang sanggup bersabar kecuali diizinkan Allah.

Allah berkata dalam Surah Al-Nahl ayat 127,

وَٱصۡبِرۡ وَمَا صَبۡرُكَ إِلَّا بِٱللَّهِ‌ۚ

“Dan bersabarlah dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah.”

Maka ingatilah Dia adikku.

Adikku mahu istiqamah?

Hanya Allah jua yang dapat membantu.

Lakukan sesuatu kerana mahu reda Allah, nescaya engkau tidak sanggup meninggalkanNya lagi…

Kelak perhatian Allah beralih dari dirimu…

Azie yang dikasihi Allah,

Tahukah Azie apakah perkara terbaik di dunia ini?

Hati yang mengingati Allah.

Azie,

Suatu hari Azie mahu berpergian…

Apa yang Azie buat terlebih dahulu?

Menetapkan arah tujuan seperti ke Kuala Lumpur, Shah Alam, Johor Bharu.

Tetapan itu tidak terhenti setakat itu… ada yang lebih khusus; hadir seminar,ziarah keluarga yang sakit dan sebagainya.

Bolehkan Azie keluar dengan mengatakan tidak tahu hendak ke mana?

Azie akan berjalan mengikut langkah kaki sahaja?

Menaiki bas tanpa mengambil tahu apa destinasi bas tersebut?

Sebagai insan normal, mustahil ia berlaku pada Azie.

Azie sendiri yang dapat memastikan semula apa tujuan perjalanan Azie dalam hidup ini.

Di akhirat sana hanya ada dua tempat pilihan: Syurga atau neraka. Tiada tempat berkecuali selain keduanya.

Azie yang dikasihi Allah,

Azie perlu menetapkan hati untuk mendapat reda Allah dalam setiap tindakan, barulah jiwa dan hidup Azie akan terisi. Inilah yang dikatakan IKHLAS.

Apabila kita melakukan perkara kerana Allah semata, hati kita kalis dengan pujian maupun kejian makhluk.

Hati juga kalis sama ada orang tahu atau tidak tahu kebaikan yang dilakukan.

Kita juga tidak mengharapkan apa-apa balasan dari makhluk.

Kita tidak peduli lagi apakah manusia menghargainya atau tidak usaha-usaha kita itu.

Kita akan ‘ignore’ semua itu. Cukuplah Allah sebagai saksi bagi amal hati kita.

Jika Allah reda, tenanglah jiwa meskipun dirimu dicaci di pelusuk dunia, hartamu susut, engkau tidak dikenali dan wajahmu tidak sudi dipandang manusia.

Jika Allah murka, gelisah dan sempitlah dada meskipun hartamu bertimbun, pujian menggunung, pengaruhmu mencengkam jutaan manusia dan wajahmu jelita bagai bintang kejora.

Tatkala engkau merasa sedih, kau jadikan Allah hanya tempat mengadu dan meluahkan rasa.

Bagai aduan Ya’akub a.s dalam ayat 86 Surah Yusuf yang berbunyi,

إِنَّمَآ أَشۡكُواْ بَثِّى وَحُزۡنِىٓ إِلَى ٱللَّهِ

“Sesungguhnya aku adukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah”

Semua perbuatan di atas memberi maksud praktikal dari kalimah syahadah yang dilafazkan saban waktu di dalam solat.

La ilaha illallah, Muhammad Rasulullah”- Tiada tuhan melainkan Allah, Muhammad utusan Allah.

Azie,

Setakat ini dulu nukilan Kak Nur buat kali ini. Azie juga boleh menelusur entry-entry yang lain kerana Kak Nur banyak berbicara tentang hati- tempat jatuhnya pandangan Allah. Moga Azie mendapat pencerahan dalam perjalanan menuju Allah.

Maafkan Kak Nur andai jawapan tidak memuaskan hati.

Apa yang baik itu datangnya dari Allah

Apa yang kurang itu datangnya dari kelemahan Kak Nur sebagai hamba.

Wallahu’alam.

Ummu Abbas
6.47pm
29 Jamadil Awwal 1430H

Santai: Lemang Durian

Lemang Durian

Lemang Durian

Pagi Jumaat 22 Mei 09, suami beli sebiji durian di Dataran Ilmu, Kota Bharu.

Tengahari dia bergegas ke Kuala Krai untuk solat jenazah Allahyarham Pak Su Weil, mantan ADUN Manik Urai. Tok Guru Nik Aziz menjadi imam solat. Bertuah pula dia kerana dapat makan tengahari sehidangan dengan Tok Guru.

Petang, baru suami balik ke rumah. Dia bawa balik lemang pula. Kedengaran di dapur, anak-anak riuh rendah mahu makan lemang. Suami yang uruskan.

Suami yang baik memang macam itu. Suka bawa balik buah tangan untuk keluarga dan membantu isteri melayan anak-anak. Alhamdulillah.

Selesai urusan saya, saya turun ke bawah langsung ke dapur. Saya lihat satu pinggan masih bersisa lemang. Di sisi lemang ada sisa isi durian, sambal daging (serunding) dan manisan cair (gula melaka yang dicairkan).

“Siapa yang makan lemang dengan durian ni?”, saya bertanya kepada Abbas.

“Azzam”.

“Siapa pula yang makan dengan sambal daging?”.

“Abbas”.

“Sedap ke?”.

“Sedap.”

Saya cuba merasa makan lemang dengan durian. Hmm…memang sedap. Sambal daging pula sudah habis. Tidak dapatlah saya ambil fotonya.

Biasanya lemang sedap dimakan bersama rendang ayam atau rendang daging.

Selamat mencuba resepi anak saya ini!

Lemang Durian 002

Ummu Abbas
10.48pm
29 Jamadil Awwal 1430H

Jangan Buka Tudung Semasa X-Ray

Pagi Isnin 18 Mei 2009, kira-kira 3 hari lepas saya ke klinik gigi HUSM. Gigi geraham bongsu yang tumbuh menyerong harus dibuang kerana telah merosakkan gigi di sebelahnya. Untuk tujuan itu, struktur gigi perlu di x-ray.

Sebenarnya pada pertengahan tahun lepas, saya sudah melakukan pemeriksaan. Saya dimaklumkan oleh perawat saya waktu itu kena buka tudung semasa x-ray. Saya bertanya kalau-kalau ada juru x-ray perempuan. Perawat itu (pelajar perempuan tahun-tahun akhir) memberitahu ada.

Pada hari itu, juru x-ray perempuan tidak bertugas. Jadi saya minta untuk datang x-ray waktu juru x-ray perempuan itu ada.

Tunggu punya tunggu, saya tidak dipanggil untuk x-ray. Pelajar itu pun sudah habis belajar (agaknya sebab saya lupa dia tahun 4 atau tahun 5).
Oleh kerana pada waktu itu, saya hanya sakit sikit, saya tidak terburu-buru untuk membuat rawatan.

Ia belum memenuhi kaedah fiqh yang mengatakan,

Darurat mengharuskan perkara yang dilarang.”

Keadaan yang saya alami belum masuk ke tahap darurat yang mengharuskan saya membuka tudung untuk x-ray.

Lagi pun saya masih punya pilihan untuk ke klinik swasta yang dikendalikan oleh perawat wanita jika saya mampu.

Mesin Panoramic Dental X-Ray seperti inilah yang digunakan kepada saya.

Mesin Panoramic Dental X-Ray seperti inilah yang digunakan kepada saya.

Selidik sebelum buat keputusan

Sambil itu, saya selidik maklumat mengenai prosedur x-ray daripada suami yang juga doktor. Juga melalui rakan-rakan doktor yang lain. Ada juga doktor gigi. Namun saya tidak mendapat jawapan memuaskan daripada mereka.

Saya tanya apakah kain tudung akan memberi kesan pada hasil x-ray. Saya perlu mengkaji semua itu sebelum memutuskan bahawa ianya keadaan darurat yang membolehkan para muslimah membuka tudung di hadapan juru x-ray lelaki, sekiranya tiada juru x-ray wanita.

Semua persoalan tiada jawapan konkrit, sehinggalah gigi saya semakin sakit kebelakangan ini. Saya minta izin suami untuk ke klinik swasta. Lagi pun kos rawatan dia yang akan tanggung.

Doktor swasta beritahu kos MOS (minor oral surgery) yang saya akan jalani ialah RM200. Mak oi… untuk golongan macam saya ia satu harga yang agak mahal. Bila saya beritahu suami, dia pun kurang setuju. Namun untuk rawatan status swasta, agaknya ia berpatutan.

Saya diberi tarikh temujanji sama ada 18 Mei atau 24 Mei. Malam 18 Mei, saya mula rasa takut untuk dibedah. Alhamdulillah, seumur hidup, saya tidak pernah alami pembedahan. 5 orang anak saya bersalin secara normal.

Pagi 18 Mei itu saya kembali ke klinik HUSM dan tidak ke klinik swasta.

Sebelum ke bilik x-ray, saya bertanya,

“Ada juru x-ray perempuan?”

“Hari ini, juru x-ray perempuan bertugas,” pembantu lelaki memberitahu.

Alhamdulillah, saya menarik nafas lega. Allah telah memudahkan.

Di pintu bilik x-ray tertulis nama perempuan. Saya bertambah yakin. Bila saya masuk ke bilik x-ray, hanya seorang lelaki yang ada. Dia memasukkan maklumat ke dalam komputer. Saya sangka dia pembantu kepada juru x-ray yang bertugas hari itu.

Seorang kawan menelefon. Jadi saya berbual sebentar.

Kemudian, pemuda itu mengendalikan pula mesin x-ray. Saya masih menunggu akan ada perempuan yang masuk ke bilik itu. Tiba-tiba pemuda itu berkata,

“Kak, kena buka tudung”.

Saya terperanjat.

“Hmmm…ada tak perempuan yang boleh x-ray?”. Wajah saya sudah ‘moyok’ waktu itu.

“Hari ini saya seorang sahaja yang ada. Pembantu perempuan tu adalah tapi dia tidak pandai kendalikan mesin ini. Saya kena ada sekali juga.”

“Saya tengok nama perempuan yang bertugas di pintu itu.”

“Oh…yang itu bertugas kelmarin.”

Serba salah saya dibuatnya sama ada mahu keluar dari bilik itu atau terus menjalani x-ray serta membuka tudung.

Alhamdulillah, Allah beri idea. Setahu saya benda-benda berlogam sahaja yang tidak boleh di bawa masuk x-ray.

“Boleh tak saya pakai tudung? Lagi pun saya tidak pakai pin (jarum peniti).”

Pemuda itu kelihatan ‘boring’ melayani kerenah saya. Saya tidak kira, yang penting saya mahu reda Allah dan saya tidak nampak adanya situasi darurat untuk saya membuka tudung.

“Baiklah kak. Akak ada pakai rantai tak?”

“Ada. Nanti akak buka.”

Saya membuka rantai dari bawah tudung. Kemudian melangkah ke mesin x-ray. Alhamdulillah. Boleh pun…

Di Bilik Doktor

Di ruang menunggu saya dipanggil untuk mengambil filem x-ray. Saya bimbang juga mereka akan komen filem x-ray jadi tidak jelas dan sebagainya.

Alhamdulillah, no komen.

Saya bawa filem x-ray ke bilik doktor. Doktor memasang filem itu untuk dilihat bersama. Saya masih bimbang.

Alhamdulillah, ok sahaja imej x-ray itu. Jelas dan terang. Mana ada imej tudung kat situ.

Geram betul saya.

Luah perasaan pada suami

Malam itu, saya luahkan pada suami.

“Apa lah dia orang ni. Benda mudah macam tu pun nak suruh orang buka tudung. Ini melibatkan halal haram. Kalau melibatkan perkara harus tidak mengapalah. Ok je filem x-ray itu. Tiada kesan tudung dalam tu.

Nur nak tulis dalam blog supaya muslimah yang lain pun boleh pertahankan hijab mereka,” saya mengomel. Geram memang geram. Hampir setahun saya tunggu untuk melalui perkara semudah ini.

Saya tidak dapat jawapan konkrit sebelum ini walaupun mereka doktor kerana mereka bukan pakar di bidang radiology. Bila mahu filem x-ray, orang yang tolong buatkan.

Suami saya tersenyum-senyum sahaja. Saya dapat rasakan dia pun berpuas hati dengan tindakan saya.

Semua itu adalah pengalaman yang Allah telah takdirkan saya melaluinya untuk memberi sedikit ilmu kepada saya.
Juga untuk saya kongsikan dengan para muslimah yang cintakan HIJAB!

Allahuakbar!

hijab

Ummu Abbas
26 Jamadil Awwal 1430H
10.50am