Archive | Jun 2009

Al-Fatihah buat Datukku, Wan Ahmad@Muhammad (update)

Wan bermain dengan anak bongsu saya, Aqil pada Syawal 1429H.  Saya buat jamuan naik rumah baru.  Sempat juga Wan ke rumah saya sebelum jatuh sakit.  Alhamdulillah.

Wan bermain dengan anak bongsu saya, Aqil pada Syawal 1429H. Saya buat jamuan naik rumah baru. Sempat juga Wan ke rumah saya sebelum jatuh sakit. Alhamdulillah.

Bulan bersembunyi di balik awan.

Sembunyi bagai dara pemalu,

 Betapa kami kasihkan Wan,

Allah lebih menyayangi dirimu.

 

 Tanggal 7 Rejab 1430H bersamaan 30 Jun 2009, awan tebal putih menapis cahaya mentari di pagi hari.   Hari yang mendung seolah-olah mengetahui satu ruh sedang berdepan dengan sakaratul maut untuk kembali kepada Tuhannya. 

 

Kira-kira jam 9 pagi, saya menerima panggilan dari Ma (ibu kandung saya),”Wan sudah nampak lain ni”.

 “Lain macam mana?  Macam yang dia tenat Sabtu lepas ke?”

 “Tak.  Tak sama.  Sekarang sudah lain.  Tidak macam biasa”.

 

Ma saya menerangkan secara ringkas.  Itulah bahasa orang-orang tua.  Bahasa beralas.  Ma tidak sampai hati menyebutnya secara terang-terangan.

 

 Saya meletakkan telefon dan dapat merasakan Wan berhadapan saat nazaknya.  Saya tahu benar dengan pengalaman Ma berhadapan dengan orang yang nazak.  Ma memang kenal dan tahu mana yang tenat-tenat biasa dan mana yang sedang ditunggu Izrail.

 

2 orang anak baru ke sekolah Pasti.  Saya berkira-kira sendiri agak-agaknya sempat atau tidak menunggu mereka habis sekolah jam 12 tengahari.

 

Pukul 10 pagi, hati semakin tidak sedap.  Ma berjanji akan beritahu perkembangan keadaan Wan. 

 

Saya telefon adik, Siti yang berada bersama Ma di rumah datuk.  Telefon tidak berjawab. 

 

Saya tidak dapat bertangguh lagi.  Saya maklumkan pada suami bahawa saya mahu pulang ke kampung melihat Wan.  Saya mandikan Aqil dan tukar pakaiannya, kemas pakaian anak-anak untuk mereka bersalin selepas sekolah dan memberesi sedikit kerja rumah.  Hampir jam 11 pagi, saya bergegas turun dari rumah dan mengambil 2 anak di Pasti.  Sejak dua hari lepas, saya teringat untuk menjenguk Wan lagi namun keadaan tidak mengizinkan.  Oleh kerana tidak sempat ke rumah Wan, saya hanya menelefon Abah dan Ma untuk bertanyakan keadaan Wan.

 

Dalam perjalanan, saya terima panggilan Siti menggesa saya agar pulang segera.  Saya maklumkan sedang memandu pulang.

 

Saya berfikir-fikir sama ada mahu singgah di SRI Aman, Telipot untuk mengambil dua orang anak di situ.  Hati saya ditarik kuat untuk segera sampai ke rumah Wan.  Saya singgah membeli sedikit kuih-muih dan sebungkus nasi untuk anak.  Boleh juga saya jamu kanak-kanak yang biasanya ramai di rumah Wan.

 

Saya teruskan perjalanan ke rumah Wan.  2 orang anak di SRI Aman boleh ambil kemudian.  Lagi pun waktu sekolah mereka habis jam 2.15pm.  Gerak hati saya belum tentu benar.  Mungkin usia Wan masih panjang hingga ke petang.

 

Jarak rumah saya dengan kampung Wan yang juga kampung asal saya kira-kira 20 minit.  Kalau semua lampu isyarat hijau setiap kali melaluinya, dalam 10 hingga 15 minit sahaja. 

 

Sebaik saya turun dari kereta, tetamu yang berada di laman menunjukkan isyarat Wan sudah tiada.

 

Tangga rumah Wan bertiang tinggi itu saya panjat.  Saya membawa Aziz, Aesya dan Aqil bertemu Wan yang sudah terpejam rapat matanya.  Mulutnya terkatup kemas.  Wajahnya kekuningan dan kelihatan bersih. 

 

“Pukul berapa Wan habis umur?” saya mengajukan pada Ma yang sibuk menguruskan mayat.

 “Baru sakni”.  (Baru sekejap tadi)

  

Hati saya tenang melihat Wan.  Saya lihat ramai ahli keluarga yang lain juga tenang.  Inilah hikmahnya Allah berikan petanda Wan tenat pada petang Sabtu yakni 3 hari lepas.  Ahli keluarga lebih bersedia berhadapan kemungkinan Wan akan kembali ke rahmatullah.

 

Saya kucup dahi Wan yang baru berpisah dengan ruhnya.  Hangat masih terasa dan bau badan Wan masih ada.   Saya keluar dari ruang jenazah untuk bertemu tetamu yang datang.  Seketika kemudian, saya lihat 2 orang adik saya pulang.  Rupa-rupanya Siti ambil Afifah di sekolah.  Afifah mengajar di sekolah YIK.

 

Saya menjenguk Wan lagi.  Kali ini saya berseorangan kerana Ma mendokong Aqil.  Dua lagi anak ke rumah sepupunya yang berhampiran.  Adik saya, Siti duduk di sisi saya.  Kami duduk di samping Wan.  Saya menyingkap kain bawal berwarna krim yang menutupi wajah Wan.  Hanya kami bertiga.  Saya dan Siti tidak dapat lagi menahan rasa sedih.  Kami terisak-isak juga tanpa mengeluarkan suara.   Saya menyandarkan wajah di bahu Siti.  Kami berkongsi rasa kasih dan pilu. Kemudian adik bongsu saya, Afifah datang dan duduk bertentangan dengan kami.   Dia juga sudah merah matanya dan asyik mengelap dengan tuala kecil.

 

Lama juga kami tiga beradik perempuan bertafakkur sambil menatap wajah Wan tanpa diganggu sesiapa. 

 

Rasulullah s.a.w pernah menangis semasa cucunya meninggal dunia.  Air mata beliau  mengalir deras.  Sa’ad lalu bertanya kepada Rasulullah s.a.w, “Apa yang berlaku ini?”

Rasulullah s.a.w menjawab, “Ini adalah tanda kasih sayang yang dikurniakan Allah dalam hati para hambaNya.  Sesungguhnya Allah mengasihi para hambaNya yang pengasih dan penyayang”.

 

Hadis direkod oleh Imam Bukhari

 

Saya bacakan Fatihah.  Saya berdoa agar Wan ditempatkan bersama orang-orang soleh. 

 

“Ya Allah, terimalah ruhnya dengan kasih sayangMu”.

 

Saya sayangkan Wan.  Wan satu-satunya datuk kandung kami yang tinggal.  Usianya sebaya Dr Mahathir, mantan Perdana Menteri. 

Ya Allah, kumpulkanlah kami bersama-sama di akhirat kelak bersama hamba yang diredaiMu”.

 

Saya merenung burung tekukur Wan di dalam sangkar yang tergantung di tingkap berhampiran jenazah.  Burung itu kelihatan asyik memandang Wan juga sambil bersenandung sayu.  Saya teringat Wan memberikan burung itu kepada anak saya, Aziz kira-kira seminggu yang lalu tatkala kami menziarahinya. Namun saya tidak mengambilnya kerana tidak dapat berikan komitmen untuk memeliharanya.  Kalau saya ambil pun, saya akan lepaskan burung itu.  Saya lebih suka burung itu bebas menggunakan kepaknya untuk terbang.

 

Saya teringat lagi bahawa setiap haiwan mendengar seruan-seruan malaikat kepada si mati.  Hanya manusia dan jin yang tidak dapat mendengarnya. Mungkinkah si tekukur itu sedang mendengar seruan-seruan itu?

 

 Saya pernah membaca tentang wujud seruan-seruan itu namun saya tidak pasti adakah ia bersumber dari dalil yang sahih.   Apa yang saya temui dalam rekod Imam Bukhari ialah hadis yang dilaporkan oleh Abu Sa’id al-Khudri berkenaan kata-kata mayat semasa berada di keranda.  Juga temuduga malaikat kepada mayat setelah ditinggalkan di liang lahad.   Saya akan ceritakan dalam sambungan tulisan ini nanti, insya Allah.

 

 Saya kembali merenung wajah Wan.  Tidak puas rasanya menatap wajah Wan.

 

Cahaya mentari jam 12 tengahari itu begitu mendamaikan.  Biasanya ruang tamu rumah Wan yang beratap edek (asbestos) itu akan membahang walaupun kipas dipasang.  Namun siang tadi, kami tidak merasa panas dan tidak pula merasa sejuk.  Nyaman sekali.  Panas tidak hujan pun tidak.     

 

Titih Baris

 

 Saya bertanya pada diri, apakah Wan sudah bahagia di alam sana.  Saya teringat pula Wan mempunyai 8 anak yang menyambutnya di alam sana.  7 orang anak Wan meninggal semasa kecil.  Seorang darinya mati ketika remaja. 

 

Nabi s.a.w memberitahu kita bahawa sesiapa yang kematian anak semasa kecil, maka anak itu akan menjadi pendinding dari api neraka.  Wan dianugerahkan Allah sebanyak 7 orang pendinding, alhamdulillah.

 Abu Hurayrah berkata, “ Seorang wanita datang kepada Nabi s.a.w dengan membawa seorang anaknya yang masih kecil. 

Wanita itu berkata,’Wahai Nabi Allah, doakanlah anakku ini.  Sesungguhnya telah tiga orang anakku meninggal dunia’.

Nabi s.a.w bertanya, ‘Tiga orang telah meninggal?’

Wanita itu menjawab, ‘Iya’.

Nabi berkata, ‘Maksudnya saudari telah membina sebuah dinding yang sangat kuat dari azab neraka’.

 

Hadis direkodkan oleh Imam Muslim.

 

Satu lagi hadis menarik berkenaan hal ini ialah seperti berikut;

Abu Hassan bercerita pengalamannya kematian anak.  Abu Hassan bertemu dengan Abu Hurayrah lalu berkata, “Sesungguhnya kedua orang puteraku telah meninggal dunia.  Pernahkah awak mendengar sesuatu dari Rasulullah s.a.w yang dapat menghibur diriku disebabkan kematian anak-anakku itu?

Abu Hurayrah menjawab, “Iya, yakni Rasulullah s.a.w berkata,’Anak-anak kecil mereka merupakan simpanan-simpanan syurga.  Salah seorang dari mereka akan menemui ayahnya.  Dia akan berkata kepada kedua orang tuanya sambil memegang pakaian mereka dengan tangannya, seperti aku memegang hujung pakaianmu sekarang ini.  Dia tidak akan melepaskannya sehingga Allah memasukkan ayahnya ke dalam syurga’.

Hadis direkodkan oleh Imam Muslim.

  

8 orang anak menyambut di sana dan 8 orang anak ditinggalkan di dunia fana.  Anak Wan 16 orang dari 5 orang isteri. 

 

Kali pertama Wan berkahwin ialah dengan ibu kepada Abah saya.   Abah saya anak sulung Wan.  Adik kepada Abah, Wan Ibrahim meninggal semasa kecil.  Semasa adik ketiga Abah, Wan Abdul Rahman masih menyusu, ibu Abah meninggal dunia.  Pada masa itu Abah berusia 7 tahun.

 

Saya teringat Wan bercerita, semasa isterinya meninggal, adik Abah yang masih menyusu waktu itu menghampiri jenazah ibunya dan meraba-raba kerana mahu menyusu.  Sedihkan. 

 

Oleh kerana punya anak yang masih bayi, Wan berkahwin kali kedua.  Wan tidak susah menjaga Abah kerana Abah sudah berusia 7 tahun.  Wan akan bawa Abah ke bendang dan boleh di bawa ke mana sahaja.  Dengan isteri kedua, Wan mendapat seorang anak namun anak itu juga meninggal.  Wan bercerai dengan isteri kedua. 

 Wan berkahwin buat kali ketiga dan mendapat 2 anak.  Kedua-dua anak Wan meninggal semasa kecil dan isteri Wan juga meninggal. 

Kemudian Wan berkahwin dengan adik iparnya iaitu adik kepada isteri ketiga.  Istilah orang tua di Kelantan untuk kes begini ialah ‘bersalin tikar’ maksudnya berkahwin dengan dua orang adik beradik.  Sudah tentu bukan serentak.  Isteri keempat Wan melahirkan 7 orang anak.  2 meninggal semasa kecil dan seorang mati kemalangan semasa bersekolah menengah.    Isteri keempat inilah yang setia menemani Wan sehingga akhir hayatnya.  Kami panggil nenek tiri kami sebagai Mek. 

Dengan isteri keempat, Wan berpoligami.  Anak pertama dengan isteri kelima Wan meninggal semasa kecil.  Kemudian lahir lagi dua orang anak.  Mereka bercerai semasa saya masih kecil.

 

….bersambung…….

 

Ummu Abbas

8 Rejab 1430H/ 1 Julai 2009

(Seminggu lagi ulangtahun saya-  semakin dekat ke alam barzakh)

Edit:  10 Rejab 1430H/ 3 Julai 2009

Bonda YB Mumtaz Nawi Kembali ke Rahmatullah

Ibu YB Mumtaz Nawi meninggal dunia pagi tadi akibat penyakit  kanser yang dihidapi sejak sekian lama.  YB Mumtaz merupakan  senator Kerajaan Negeri Kelantan.  Beliau juga baru sahaja diamanahkan dengan tugas Naib Ketua Muslimat PAS Pusat.   Saya turut merasa sayu di atas pemergian bonda kepada salah seorang sahabat saya itu.  

Alhamdulillah saya sempat menziarahi bonda Mumtaz semasa beliau di rawat di Hospital Pakar Perdana Kota Bharu pada 23 Mei 2009.   Saya mengambil peluang menitip sedikit ilmu darinya terutama ilmu mendidik anak-anak.   Alhamdulillah, menjadi rezeki saya hari itu yang mana ibu Mumtaz sudi berkongsi pengalaman walaupun dalam keadaan sakit.  Beliau rancak bercerita seolah-olah beliau tidak sakit.  Kami saling menitiskan air mata, bersalaman dan berpelukan.  Ibu bercerita sambil mengenggam erat tangan dan lengan saya.  Ibu kelihatan begitu tabah mengharungi kesakitan.  Semoga saya diberikan ketabahan yang sama di saat berhadapan dengan kesakitan.

Saya ingin mengambil sedikit ruang di rumah maya saya ini untuk mengucapkan takziah kepada Kak Mumtaz sekeluarga. 

Semoga ruhnya ditempatkan bersama ruh orang-orang yang beriman. 

Al-Fatihah.

 

Menuju Allah,

Ummu Abbas

12.30am

6 Rejab 1430H

Kasih Tok Guru Nik Aziz pada rakyatnya

Suatu hari, Tok Guru menghadiri majlis jamuan. Seorang lagi tokoh agama di negeri Kelantan duduk bersebelahan Tok Guru.

Sebaik hidangan diangkat, tokoh agama itu segera menyuapi makanan di depan mata. Telah beberapa suap dia makan namun Tok Guru di sebelah hanya diam tanpa menyentuh makanan.

Tokoh agama itu bertanya Tok Guru kenapa beliau belum juga menyentuh makanan.

Tok Guru menjawab bahawa dia teringatkan rakyatnya yang tiada makanan. Mungkin di saat dia makan itu, ada rakyat yang kelaparan.

Tokoh agama itu tersentuh hatinya dengan jawapan Tok Guru. Dia lantas menangis teresak-esak di sisi Tok Guru. Tokoh agama itu juga seorang YB namun dia terasa betapa berbeza dirinya dengan Tok Guru. Begitu halus perasaan Tok Guru pada rakyatnya.

************

Tawaduk seorang hamba (...hu...hu... sedihnya tengok Tok Guru)

Tawaduk seorang hamba

Saya peminat kuliah Tok Guru dan tokoh agama itu (yang saya tidak sebut nama) sejak awal remaja. Saya sering mengikut Ma dan Abah ke kuliah-kuliah mereka di masjid-masjid. Saya mengenali dan dapat rasakan kelembutan hati tokoh agama itu lewat kuliahnya yang menyentuh rasa. Saya juga cinta dan rindu pada nasihat dan kalam ulama seperti Tok Guru. Bila mengetahui kisah di atas yang disampaikan oleh seorang ulama muda yang hafiz pula, saya agak tersentak juga. Dalam saya mengagumi kedua ulama itu, rupa-rupanya masih wujud perbezaan yang ketara di antara keduanya.

Saya tidak bermaksud merendahkan tokoh agama yang saya tidak sebut namanya itu. Bahkan saya mahu tonjolkan betapa hati dan jiwa Tok Guru yang sangat akrab dengan peribadi Rasulullah s.a.w. Itulah yang tersirat di sebalik amanah maha berat yang dibebankan Allah pada Tok Guru sebagai Mursyidul Am sebuah gerakan Islam di Malaysia.

Tok Guru berusaha sedaya upaya yang mampu mencontohi Nabi Muhammad s.a.w dalam segenap aspek. Pada peribadi, hubungan dengan anak isteri dan hubungan dengan orang ramai.

Tahukah saudara-saudariku? Dalam kempen sekelompok Melayu yang tidak mahu Islam di Manik Urai sekarang yang mahu menjatuhkan peribadi Tok Guru itu, hati Tok Guru sentiasa risau dan bimbang tentang keselamatan mereka di dunia dan akhirat.

Tahukah saudara-saudariku? Antara amanah sebagai Menteri Besar dan Mursyidul Am, Tok Guru merasa sangat berat dengan amanah sebagai Mursyidul Am. Ia bukan calang-calang tanggungjawab. Tanggungjawab memimpin roh dan akal manusia menuju Allah. Tanggungjawab mendekatkan manusia kepada Tuhan yang mencipta langit dan bumi dan yang hanya berhak disembah di dunia ini secara mutlak.

Pandangan Tok Guru bukan sekadar terhenti di dunia, bahkan merenung jauh ke akhirat. Tok Guru tidak mempunyai Syafaat Kubra seperti Nabi Muhammad s.a.w untuk membantu rakyat dan umat Islam di Malaysia khususnya. Tok Guru hanya mampu menyampaikan ilmunya pada kita dan memberi peringatan demi peringatan agar kita bersedia menghadapi hari hisab di akhirat kelak.

Kasih Tok Guru kepada kita sebagai rakyat dan ummah amat besar sekali. Justeru itu hati Tok Guru tidak lekang dari Allah. Bagaimana bisa Tok Guru mewarisi amanah para nabi dan rasul ini jika Tok Guru tidak cuba memiliki hati para nabi dan rasul?

Kalian dapat lihat pada khusyuk dan tawaduknya Tok Guru… bak kata seorang anak usrah saya, “Tengok wajah Tok Guru pun sudah rasa insaf”. Apa yang kita nampak di sebalik khusyuknya sosok yang disegani ramai ini? Iya…jawapannya hanya satu… sifat MURAQABAH pada seorang ulama bertaqwa.

MURAQABAH ialah merasa Allah itu hadir dan hati seolah-olah dapat melihat Allah yang maha melihat. Justeru hamba yang mencapai tahap ini merasa dirinya bagai dipenjara di dunia fana. Setiap tindakan dan percakapan perlu diperhalusi adakah akan mendapat reda Allah atau murkaNya.

Jika kita sayangkan Tok Guru, sukakah kita melakukan perkara yang dapat menggembirakan hati Tok Guru? Lakukan sesuatu dengan meletakkan Allah dan Rasul di hadapan kita. Jiwa Tok Guru akan tenang jika setiap rakyatnya mendahulukan perintah Allah dan menjauhi laranganNya.

Bila melihat peribadi Tok Guru, saya teringat pujian Allah pada Nabi Muhammad s.a.w dalam surah al-Taubah ayat 128,

Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w) yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat inginkan kebaikan bagi kamu dan dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.”

Ayat 129, “Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka katakanlah (wahai Muhammad): Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku berserah diri dan Dialah yang mempunyai Arasy yang besar.”

Ya Allah… kembalikan kami kepadaMu dengan rahmatMu sebagaimana Engkau menghidupkan kami dengan belas kasihanMu.

Hamba yang faqir,

Ummu Abbas
5 Rejab 1430H
8.30pm

Ahli Kelab Penyokong PAS Mimpi Jumpa Nabi

Seorang ahli kelab penyokong PAS, Kannan (nama samaran) memberitahu Ustaz A bahawa dia bermimpi jumpa Nabi Muhammad s.a.w.

Ustaz A bertanya bagaimana dia boleh tahu individu yang datang jumpa dia itu adalah Nabi?

Kannan beritahu individu itu memakai serban dan berjubah serta mengakui bahawa dia adalah Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w lalu memberikan satu nama muslim kepada Kannan.

Berkenaan mimpi bertemu Rasulullah s.a.w ini, Abu Hurairah r.a. melaporkan bahawa Nabi s.a.w berkata, “Sesiapa yang melihatku dalam mimpi, bererti dia benar-benar melihatku. Sesungguh syaitan tidak mampu menjelma rupaku“.

Hadis direkodkan oleh Imam Muslim.

Masya Allah, selepas selesai suami bercerita tentang hal itu, saya berfikir, ” Non-muslim pun boleh jumpa Nabi. Namun kita yang sedia Islam ini bukan mudah mahu dapat mimpi jumpa Nabi”.

Saya mendapat cerita ini semalam. Sehingga semalam, saya dimaklumkan Kannan belum lagi memeluk Islam. Ustaz A merupakan Pesuruhjaya PAS di sebuah negeri.

Berdasarkan pengalaman ramai non muslim yang revert sebelum ini, mimpi sebegini adalah lumrah dialami oleh mereka sebelum kembali ke agama fitrah mereka. Insya Allah, mimpi itu merupakan hidayah dari Allah untuk menambah keyakinan mereka terhadap kebenaran Islam.

Sama-samalah kita doakan mereka agar hati kita dan mereka tetap dengan Islam di masa-masa akan datang.


Mengenai lintasan fikiran saya di atas, saya gembira dengan khabar itu namun sedikit rasa cemburu menyelinap juga. Cemburu kerana mahu turut bertemu Nabi s.a.w.

Apa pun bila teringatkan bahawa ummah yang berpegang teguh dengan syariat Allah dan sunnah Nabi s.a.w tetap akan bersama Rasulullah s.a.w di akhirat kelak, maka cukuplah hal itu menjadi penawar untuk saya terus berusaha meneladani Rasulullah s.a.w sedaya mampu.

Dengan nama Allah yang Maha Penyayang lagi Maha Mengasihani.

1] Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Mekah);

[2] Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai;

[3] Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.

Surah al-Nasr (Kemenangan)


Hamba yang faqir,
Ummu Abbas
12.10pm
27 Jamadilakhir 1430H

Rancang Kehamilan dan Ibadah Wanita Istihadah

Ratna. 10:45:37

Kak nur, saya ada persoalan. saya dah mempunyai 2 orang anak. jadi kami ingin merancang kehamilan seterusnya. apakah syariat agama kita dalam merancang kehamilan?
buat pengetahuan, sekarang saya sudah merancang dengan mengambil suntikan setiap 3 bulan sekali. Kesannya haid saya tidak teratur disebabkan hormon dalam badan. Kadang-kala haid hingga lebih dari 14 hari. bagaimana hukumnya sebab saya tidak dapat bersolat disebabkan haid terlalu panjang.

**************
Assalamu’alaykum Ratna,

Persoalan Ratna ini seharusnya dijawab secara ilmiah namun keadaan Kak Nur belum mengizinkan untuk Kak Nur buat rujukan. Namun oleh kerana persoalan kedua Ratna memerlukan jawapan segera, Kak Nur jawab dulu secara ringkas berdasarkan pengetahuan yang ada;

1. Islam mengharuskan merancang kehamilan yakni menjarakkan anak bertujuan memberi didikan terbaik kepada setiap anak. Juga bagi menjaga maslahah kesihatan ibu.

Terdapat sahabat Nabi Muhammad (salam dan selawat ke atas baginda, ahli keluarga dan sahabatnya) yang menggunakan kaedah anzal iaitu suami melepaskan mani di luar rahim tetapi keadaan tersebut dibenarkan sekiranya mendapat persetujuan isteri.

Jabir r.a melaporkan, “Kami mengamalkan al-azl (coitus interruptus) ketika zaman Rasulullah. Baginda mengetahuinya namun baginda tidak menegah kami melakukannya. Sahabat yang mengamalkan al-azl termasuk Ali Abi Talib, Hassan bin Ali, Abu Ayyub al-Ansari, Abdullah bin Abbas dan Saad ibn Waqqas.

Perbuatan sahabat itu menjadi dalil dibenarkan merancang kehamilan namun perlu mendapat persetujuan dari kedua belah pihak suami dan isteri.

Jika kita merujuk kepada tempoh menyusu dalam Islam yakni 2 tahun atau 2 tahun setengah bagi setiap bayi, maka dapat difahami jarak yang paling sesuai antara dua kelahiran ialah berdasarkan tempoh tersebut.
Berdasarkan kajian saintifik juga, amalan menyusu penuh dari ibu kepada bayi akan membuatkan ibu kurang subur untuk melahirkan anak dalam tempoh tersebut.

Menurut pemerhatian Kak Nur berdasarkan pengalaman sendiri dan juga rakan-rakan, ada hikmahnya tempoh 2 tahun atau 2 tahun setengah jarak usia antara dua anak. Antaranya ialah emosi anak-anak lebih stabil kerana mendapat perhatian yang secukupnya bagi awal usia mereka. Jika lebih dari tempoh itu, emosi anak-anak akan menjadi terlebih manja dan agak mementingkan diri sendiri. Jika kurang daripada itu, emosi anak-anak cenderung merasa hina diri dan kurang diberi perhatian.

Ratna boleh rujuk kajian psikologi kanak-kanak jika mampu berbuat demikian.

Selain kesan emosi, bayi yang menyusu dalam tempoh yang ditentukan syariat juga lebih sihat tubuh badannya.

Ratna boleh rujuk dari sumber-sumber lain mengenai hal ini terutama tentang kebaikan bayi menyusu dari ibunya hasil kajian perubatan.

Apa yang perlu dielakkan ialah merancang kehamilan kerana takut miskin. Ia disebut di dalam al-Quran. Setiap rezeki manusia sudah ditetapkan oleh Allah. Jadi kita tidak perlu risau akan hal ini.

Allah menyebut di dalam surah al-An’am, ayat 151,
Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka. (yakni anak-anak)”

Kesimpulannya hukum merancang keluarga adalah harus dengan alasan yang dibenarkan syarak. Jika sebaliknya maka hukumnya menjadi haram.

2. Berkenaan haid yang datang tidak teratur, tempoh maksimum haid ialah 15 hari. Jadi Ratna perlu mandi janabah dan bersolat selepas 15 hari. Darah yang keluar selepas 15 hari dikira istihadah. Kemudian kira 15 hari untuk tempoh maksimum suci. Jika selepas tempoh itu masih keluar darah, maka ia dikira haid semula. Begitulah seterusnya.

Cara melakukan solat dalam keadaan keluar darah ialah, bersihkan dahulu darah yang keluar selepas masuk waktu solat. Pakai tuala wanita yang bersih, ambil wuduk dan terus solat. Darah yang keluar dalam tempoh menyucikan diri untuk menunaikan solat itu dimaafkan. Ia juga tidak membatalkan solat tersebut. Untuk kes seperti ini, satu wuduk untuk satu solat fardu sahaja.

Selesai solat fardu, Ratna boleh melakukan perkara sunat seperti solat sunat, memegang mashaf al-Quran, membaca Quran dan lain-lain tanpa perlu mengulang wuduk. Kecuali terdapat perkara yang membatalkan wuduk yang biasa seperti membuang air kecil, qada hajat, kentut dan lain-lain, maka Ratna perlu mengulang wuduk untuk melakukan perkara sunat tersebut.

Izinkan Kak Nur memberi sedikit pandangan berkenaan kaedah merancang yang diambil.
Pada pandangan Kak Nur, apabila kaedah yang diambil memberi kesan sampingan begini yang mana ia menyukarkan kita menunaikan ibadah fardu, lebih elok bertukar kepada kaedah lain pula.

Seorang sahabat Kak Nur yang bertugas sebagai doktor (perempuan) mengamalkan kaedah al-‘azl. Doktor sendiri mengelakkan makan pil atau kaedah-kaedah lain bimbang mudarat sampingan jika tersalah mengamalkannya. Sahabat Kak Nur itu tidak menyebut ‘al-‘azl” tetapi menyebut “pandai-pandai sendiri”. Dia maksudkan al-‘azl itulah. Mungkin segan mahu sebut secara terang-terangan.  Menggunakan kondom termasuk dalam kategori al-‘azl.

 

Seorang lagi yang Kak Nur kenal mengaku mengamalkan al-‘azl namun termengandung juga. Sudah rezeki dia, apa boleh buat.

Seorang lagi sahabat karib pula, guna pelbagai kaedah: implan, IUD dan lain-lain namun dalam tempoh guna kaedah-kaedah itu, dia hamil juga. Subur sungguh.

Apa yang penting, di sebalik pelbagai ikhtiar kita, takdir Allah jua yang terbaik untuk kita.

Kita hanya merancang, Allah yang menentukan. Sabar ajelah!

Moga Allah murahkan rezeki dan membantu kita mendidik anak-anak menjadi soleh dan solehah.

Amin.

Wallahua’lam.

Ummu Abbas
24 Jamadil Akhir 1430H
6.34pm

Kenapa perlu fasakh suami yang berzina?

Entry ini merupakan respon kepada persoalan bagi tajuk “Suami berzina: Apa yang perlu isteri lakukan?”

Semoga mendapat pencerahan.

Ummu Abbas.

************************************

Submitted on 2009/06/12 at 1:03am

Assalammuaalaikum ummuabbas, akak ingat, ummuabbas akan kata pada Mai “alhamdulillah tindakan mai itu tepat iaitu mengizinkan suami kahwin lagi.”Tapi rupanya lain jawapannya.. Abang akak berpoligami, adik akak dipoligamikan. Masing-masing menguruskan rumahtangga dengan cara sendiri.Maklumlah masalah berbeza tapi tak pernah terfikir pulak akak penyelesaian seperti ni.. emm dapat lagi ilmu baru. Kenapa penting untuk Mai menuntut fasakh dari membiarkan saja keadaan yang sedia ada?

ummuafiq

http://ummuafiq.blogspot.com

++++++++++++++++++++

Wa’alaykum salam ummuafiq,

Semoga Ummu Afiq sekeluarga sentiasa berada di bawah naungan rahmat dan ampunan Allah.

Berkenaan persoalan Ummu Afiq, untuk selain kes suami berzina, lain pula cara penyelesaiannya. Kes yang dikemukakan ini menunjukkan secara jelas suami melakukan dosa besar. Dalam keadaan dia mempunyai ‘kebun’ yang sudah dihalalkan dengan nama Allah, dia memilih cara yang haram untuk melepaskan nafsunya. Itulah asas yang kuat untuk memohon fasakh.

Saya percaya mana-mana isteri yang normal, memahami agama dan menjaga kehormatan dirinya akan tercabar dengan perilaku suami begini. Saya tidak tahu jika masih ada isteri yang sanggup melakukan hubungan intim dengan suaminya yang pernah ‘berkebun’ di tanah yang haram setelah mengetahuinya. Sedangkan di sisi Allah sahaja, nyawa suami yang berzina menjadi halal untuk dibunuh, maka apakah hak kita untuk melayani suami menjadi lebih besar dari hak-hak Allah? Secara peribadi, saya sebagai wanita akan merasa jijik. Jijik untuk membiarkan diri disentuh oleh suami yang tidak menjaga kesucian dirinya sebagai muslim.

Sekiranya dia bertaubat sekalipun, itu urusan dia dengan Allah. Dia sudah melampau batas-batas hukum Allah, maka biarlah dia selesaikan sendiri urusannya dengan Allah. Hukuman hudud itu sendiri adalah satu mekasnime menghapus dosa besar tersebut. Selain mencegah masyarakat dari melakukan perkara jijik yang sama.

Biarlah suami tersebut malu di dunia dan merasa azab direjam, asalkan di akhirat kelak dia mampu menuju Allah dalam keadaan dosanya telah diampunkan. Azab di akhirat berganda-ganda dibandingkan sedikit balasan di dunia. Apa pilihan kita?

Andaikata hudud dijalankan, suami tersebut akan mati juga. Usahkan untuk mengamalkan poligami, perkahwinan sedia ada pun akan termansukh sebaik sahaja hukuman rejam dilaksanakan. Itulah asas saya menyarankan agar permohonan fasakh dibuat dalam keadaan negara tidak melaksanakan hukum hudud.

Setelah permohonan fasakh diluluskan, urusan bekas suami untuk berkahwin atau tidak dengan teman berzinanya itu bukan lagi perkara yang perlu difikirkan. Kalau dia berkahwin pun, dia memang mendapat calon yang paling sesuai dengannya.

Buktikan kita membesarkan hak-hak Allah dengan cara yang kita mampu. Beritahu suami pendirian kita dalam hal ini.

Inilah antara maksud kita mengasihi suami semata-mata kerana Allah. Kita bertegas dalam perkara yang menyentuh hak-hak Allah dan berlembut selagi suami tidak mengarahkan kita melakukan perkara yang dimurkai Allah.

Allah sendiri menegaskan dalam surah An-Nur ayat 3,

” Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak akan berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik dan perempuan yang berzina itu pula (lazimnya) tidak akan berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik dan perkahwinan yang demikian itu terlarang kepada orang-orang yang beriman. ”

Allah menegaskan bahawa calon yang layak untuk mereka yang berzina sama ada lelaki atau wanita adalah calon yang pernah berzina juga atau orang musyrik. Inilah hukuman Allah untuk mereka di dunia atas perbuatan yang mereka sendiri usahakan. Peribadi yang bersih dan menjaga maruah dirinya hendaklah mengelak diri dari menerima calon penzina sebagai pasangan hidupnya. Ayat ini menceritakan tentang penzina yang belum pernah berkahwin.

Kembali kepada keadaan negara yang tidak menunaikan perintah Allah agar melaksanakan undang-undang hudud, maka adalah wajar sekali isteri yang suci memohon fasakh daripada suami yang ‘confirm’ berzina. Suami itu sudah jatuh fasik. Golongan fasik terhalang lagi dari beberapa hak yang besar seperti menjadi wali bagi anak perempuannya, tidak boleh menjadi saksi dan lain-lain. Bagi sesetengah topik , mungkin ada khilaf pendapat dalam menerima atau menolak muamalah golongan fasik. Itu adalah kes fasik disebabkan kesalahan yang tidak perlu dihukum bunuh.

Saya berharap Ummu Afiq dapat memahami huraian di atas. Ia adalah pengulangan dan sedikit penambahan keterangan kepada isi entry sebelum ini.

Hanya Allah yang maha mengetahui.

Ummu Abbas
21 Jamadil Awwal 1430H
12.00pm

Catatan: Travelog Penang

Assalamu’alaykum warahmatullah,

Saudaraku dalam Islam khususnya mereka yang meninggalkan komen dan soalan sejak 3 hari yang lalu seperti Ummuafiq, Shafa, Azie, Joko dan pembaca secara amnya,

Saya baru ‘approve’ semua komen memandangkan baru pulang dari musafir ke Penang. Saya menemani suami yang ada urusan di Georgetown. Kami bertolak pada 12 Jun dan baru pulang tadi yakni pada 14 Jun.

Alhamdulillah, beberapa perkara sempat saya lakukan sepanjang musafir. Antaranya menghubungkan silaturrahim dengan 2 orang sahabat, singgah di Kg. Semanggol juga kerana silaturrahim dengan seorang sahabat, melihat serta merenung kebesaran Allah, memerhati gaya hidup masyarakat Penang dan lain-lain.

Melihat iklan arak yang begitu gah mengambil ruang di ‘signboard’ terutama di Batu Feringgi, saya terfikir,”Setahu saya ia bukan budaya bangsa Cina. Lagi pula arak boleh menghilangkan akal manusia. Bila akal manusia tidak berfungsi, maka jadilah ia waktu itu seperti haiwan. Manusia berbeza dari haiwan kerana akal. Akal merupakan anugerah agung dari Allah. Justeru itu, Islam sangat menitik beratkan penjagaan akal manusia. Walau sesaat, ‘Tiada maaf bagimu’ untuk mengambil sesuatu yang boleh meluputkan fungsi akal.”

Ok. Setakat itu sahaja dahulu.

Ilalliqa’.

Ummu Abbas
20 Jamadil Akhir 1430H
11.20