Suami berzina: Apa yang perlu isteri buat?

Submitted on 2009/05/26 at 5:52am

assalamualaikum…

saya ada masaalah berkaitan rumahtangga… sebelum ini rumahtangga saya aman bahagia,. untuk pengetahuan kak, baru 4 tahun saya berumahtangga dan anak masuk 2 orang. Sekarang saya mengandung 8 bulan.. baru-baru ini suami saya berterus terang bahawa dia telah terlanjur dengan bekas teman wanitanya di universiti dulu.. dan dia ingin mengambilnya sebagai isteri.. saya sedih yang teramat sangat. sukar menerima kenyataan.. setiap kali solat saya pohon allah beri petunjuk apa yang harus saya lakukan, perlukah saya menberi izin sedangkan saya terlalu sedih dengan keputusan ini. kini saya redha dan memberi izin suami berkahwin lagi. bagaimana saya ingin mengubat hati ini. sebenarnya saya takut suami akan mengabaikan saya dan anak2. saya pohon kak berikan saya nasihat berkaitan poligami.

***************
Wa’alaykumussalam warahmatullahi wabarakatuh,

Mai yang dikasihi Allah,

Pertama kali, akak mohon maaf kerana lambat memberi respon pada persoalan Mai. Keadaan akak yang agak sibuk dan kurang sihat menyebabkan ia tertangguh.

Mai yang dihormati,

Sebagai perempuan, akak faham perasaan Mai yang berhadapan dengan masalah suami sekarang. Sebelum akak memberi pandangan lanjut, akak mahu Mai fahami terlebih dahulu bahawa semua takdir Ilahi sama ada baik atau buruk adalah kerana Allah mahu kita kembali kepadaNya. Kembali dengan ertikata kita mengabdikan diri kepada Allah sepenuh jiwa raga.

Mai,

Kalau kita sedih dan cemburu bila suami memberi perhatian pada perempuan lain, Allah lebih cemburu bila para hambaNya memberi perhatian kepada urusan duniawi lebih dari urusan mencari redaNya. Ini kerana Allah telah menetapkan objektif Dia mencipta kita melalui surah al-Zaariyaat, ayat 56,

Tidak Aku jadikan jin dan manusia kecuali untuk menyembahKu”

Allah akan sentiasa menguji kita sehingga kita benar-benar bertaubat. Allah tidak mencipta kita kecuali untuk menjadi hambaNya.

Mai,

Berhubung persoalan Mai, apakah jalan terbaik untuk berhadapan situasi suami yang ingin berkahwin lagi. Sementelah pula suami sudah terlanjur berzina dengan bekas teman wanitanya.

Untuk pengetahuan Mai, menurut peruntukan hudud, seseorang yang telah dan pernah berkahwin apabila sabit melakukan zina, maka pesalah harus direjam sampai mati. Dalam kes ini, suami Mai sendiri mengaku dia telah berzina. Pengakuan yang kita sebut ikrar dalam prinsip pembuktian Islam adalah salah satu kaedah yang diterima pakai untuk mensabitkan kesalahan. Justeru itu, nyawa suami Mai dalam konteks ini sudah menjadi halal untuk dibunuh dengan cara direjam dengan batu.

Hukuman rejaman dengan batu sehingga mati ini tidak didatangkan melalui nas al-Quran. Sebaliknya datang melalui sunnah Rasulullah s.a.w.

Rasulullah s.a.w berkata,

Tidak halal darah seseorang muslim kecuali dengan salah satu 3 perkara: Kufur setelah beriman (yakni murtad), berzina setelah berkahwin dan membunuh seseorang bukan kerana balas bunuh”.

Rasulullah s.a.w telah melaksanakan hukuman bunuh kepada penzina yang sudah berkahwin dengan merejam menggunakan batu sampai mati. Amalan ini terus ditunaikan oleh para sahabat selepasnya.

Jika kita menurut tentang konsep kehakiman Islam di atas, pada pandangan akak, adalah lebih baik Mai membuat tuntutan fasakh sahaja di Mahkamah Syariah. Ia bukan lagi menyentuh isu mengizinkan suami kahwin lagi atau tidak. Itulah jalan yang ada dalam keadaan Negara tidak melaksanakan hukum hudud. Perlu difahami juga, menjadi tanggungjawab pemerintah atau pihak berkuasa melaksanakan hukum hudud. Individu tidak boleh mengambil tanggungjawab tersebut.

Pandangan di atas adalah berdasarkan zahir maklumat dan persoalan yang dikemukakan. Selain daripada pandangan di atas, di sana ada beberapa perkara lagi yang harus difikirkan yakni,

1) Adakah suami Mai benar-benar terlanjur dengan bekas kekasihnya itu atau ia hanya satu helah untuk mendapat restu mudah bagi berkahwin lagi?
2) Mai juga harus mengoreksi diri adakah Mai pernah mengabaikan hak suami untuk melakukan hubungan intim. Sekiranya ada, anggaplah ujian ini sebagai penghapus dosa tersebut. Namun demikian, bagi pihak suami, ia bukan alasan untuk berzina dengan orang lain. Masih ada ikhtiar selain berzina yakni memberi didikan pada Mai menurut landasan Islam, berpuasa dan berkahwin dulu dengan calon yang sesuai.
3) Mai juga harus muhasabah diri adakah Mai pernah melayani lelaki selain suami sama ada layanan dalam pergaulan biasa atau lebih dari itu. Jika pernah, maka apa yang Mai lalui sekarang adalah satu teguran dari Allah agar Mai memperbaiki diri untuk berakhlak dengan akhlak muslimah sejati. Jika Mai bukan begitu, maka lebih baik Mai solat hajat dan solat istikharah untuk membuat keputusan. Jika Mai mendapat petunjuk fasakh itu sebagai jalan keluar, bertawakkallah kepada Allah bahawa Allah akan memberi kehidupan yang lebih harmoni seperti menggantikan pasangan yang lebih baik buat Mai dan anak-anak.

Mai yang dikasihi,

Akak berpandangan Mai perlu mengambil keputusan tegas dalam hal ini. Ia melibatkan hukum Allah dan masa depan pendidikan anak-anak. Mai hanya boleh berlembut sekiranya suami Mai bertaubat dengan taubat nasuha serta memperbaiki amalannya dengan sungguh-sungguh. Itu pun Mai masih berhadapan dengan risiko seperti mendapat penyakit kelamin dan kesan pada hubungan intim yang akan dilakukan bersama suami kelak.

Dalam kes penyakit kelamin, Mai perlu minta dari suami agar melakukan pemeriksaan kesihatan. Jika suami masih sihat, bolehlah Mai bertolak ansur dan memberi dorongan agar suami bertaubat dan berubah. Jika sebaliknya dan Mai pula belum dijangkiti sebarang jangkitan, maka menurut pandangan Islam, kita sepatutnya tidak membiarkan diri terjun ke lembah yang memusnahkan diri kita.

Kaedah Islam menyatakan,

Tidak boleh memudaratkan (orang lain) dan tidak boleh dimudaratkan (oleh orang lain).”

Mai,

Jika Mai mahu menyintai Allah dan dicintai Allah, lakukan sesuatu keranaNya semata. Mai harus berani dan yakin pada janji-janji Allah.

Indahnya hidup kita bila kita mengabdikan diri sepenuhnya di bawah kekuasaan Allah.

Taat dan patuh kita pada manusia patuh bersyarat dan bukannya patuh mutlak. Apabila manusia berani mencabar hukum Allah, maka berpalinglah dari mereka dan hadapkan wajah untuk Allah semata.

Inilah akidah kita dan inilah janji kita sejak sebelum kita dilahirkan oleh kedua ibubapa kita.

Allah berpesan kepada kita melalui ayat 28 surah al-Kahf,

Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta dia menurut hawa nafsunya dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.”

Mai,

Akak mohon maaf jika jawapan di atas kurang memuaskan hati Mai. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Allah tidak membebankan seseorang kecuali menurut tahap kemampuannya.

Teruskan bersabar Mai dan mintalah pertolongan dari Allah. Akak nasihatkan Mai merujuk juga masalah ini ke pejabat syariah berdekatan. Apa yang penting ialah kita mahu penyelesaian yang diredai Allah. Apabila Allah reda, hati akan tenang meskipun pahit menghadapi kenyataan.

Mai,

Jika terdapat lagi kemusykilan, bolehlah bertanya lagi.

Apa yang baik itu dari Allah, dan apa yang kurang dari kelemahan akak sendiri.

Sekian, wassalam.

Yang benar,
Ummu Abbas
2.53pm
8 Jun 2009

About these ads

21 thoughts on “Suami berzina: Apa yang perlu isteri buat?

  1. Assalammuaalaikum ummuabbas, akak ingat,ummuabbas akan kata pada Mai “alhamdulillah tindakan mai itu tepat iaitu mengizinkan suami kahwin lagi.”Tapi rupanya lain jawapannya.. Abang akak berpoligami, adik akak dipoligamikan. Masing-masing menguruskan rumahtangga dengan cara sendiri.Maklumlah masalah berbeza tapi tak pernah terfikir pulak akak penyelesaian seperti ni.. emm dapat lagi ilmu baru. Kenapa penting untuk Mai menuntut fasakh dari membiarkan saja keadaan yang sedia ada?

  2. Berada di benua eropa, Islam tetap tumbuh dan berkembang di kawasan itu.
    Walaupun menjadi Minoritas Di Kawasan Eropa, Umat Muslim tetap memiliki
    Masjid – Masjid yang luar biasa dengan corak arsitektur yang berbeda dengan
    Masjid pada umumnya di Kawasan Timur Tengah maupun Asia.
    Berikut ini koleksi Foto Masjid yang berada di Inggris, Belanda, Belgia, Perancis,
    Spanyol dan Italia.
    Dapat di Download di http://www.ziddu.com/download/5155299/Koleksi_Foto_Masjid2_Eropa.zip.html

  3. Wa’alaykum salam ummuafiq,

    Semoga Ummu Afiq sekeluarga sentiasa berada di bawah naungan rahmat dan ampunan Allah.

    Berkenaan persoalan Ummu Afiq, untuk selain kes suami berzina, lain pula cara penyelesaiannya. Kes yang dikemukakan ini menunjukkan secara jelas suami melakukan dosa besar. Dalam keadaan dia mempunyai ‘kebun’ yang sudah dihalalkan dengan nama Allah, dia memilih cara yang haram untuk melepaskan nafsunya. Itulah asas yang kuat untuk memohon fasakh.

    Saya percaya mana-mana isteri yang normal, memahami agama dan menjaga kehormatan dirinya akan tercabar dengan perilaku suami begini. Saya tidak tahu jika masih ada isteri yang sanggup melakukan hubungan intim dengan suaminya yang pernah ‘berkebun’ di tanah yang haram setelah mengetahuinya. Sedangkan di sisi Allah sahaja, nyawa suami yang berzina menjadi halal untuk dibunuh, maka apakah hak kita untuk melayani suami menjadi lebih besar dari hak-hak Allah? Secara peribadi, saya sebagai wanita akan merasa jijik. Jijik untuk membiarkan diri disentuh oleh suami yang tidak menjaga kesucian dirinya sebagai muslim.

    Sekiranya dia bertaubat sekalipun, itu urusan dia dengan Allah. Dia sudah melampau batas-batas hukum Allah, maka biarlah dia selesaikan sendiri urusannya dengan Allah. Hukuman hudud itu sendiri adalah satu mekasnime menghapus dosa besar tersebut. Selain mencegah masyarakat dari melakukan perkara jijik yang sama. Biarlah suami tersebut malu di dunia dan merasa azab direjam, asalkan di akhirat kelak dia mampu menuju Allah dalam keadaan dosanya telah diampunkan. Azab di akhirat berganda-ganda dibandingkan sedikit balasan di dunia. Apa pilihan kita?

    Andaikata hudud dijalankan, suami tersebut akan mati juga. Usahkan untuk mengamalkan poligami, perkahwinan sedia ada pun akan termansukh sebaik sahaja hukuman rejam dilaksanakan. Itulah asas saya menyarankan agar permohonan fasakh dibuat dalam keadaan negara tidak melaksanakan hukum hudud.

    Setelah permohonan fasakh diluluskan, urusan bekas suami untuk berkahwin atau tidak dengan teman berzinanya itu bukan lagi perkara yang perlu difikirkan. Kalau dia berkahwin pun, dia memang mendapat calon yang paling sesuai dengannya.

    Buktikan kita membesarkan hak-hak Allah dengan cara yang kita mampu. Beritahu suami pendirian kita dalam hal ini.

    Inilah antara maksud kita mengasihi suami semata-mata kerana Allah. Kita bertegas dalam perkara yang menyentuh hak-hak Allah dan berlembut selagi suami tidak mengarahkan kita melakukan perkara yang dimurkai Allah.

    Allah sendiri menegaskan dalam surah An-Nur ayat 3,

    ” Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik dan perempuan yang berzina itu pula (lazimnya) tidak ingin berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik dan perkahwinan yang demikian itu terlarang kepada orang-orang yang beriman. ”

    Allah menegaskan bahawa calon yang layak untuk mereka yang berzina sama ada lelaki atau wanita adalah calon yang pernah berzina juga atau orang musyrik. Inilah hukuman Allah untuk mereka di dunia atas perbuatan yang mereka sendiri usahakan. Peribadi yang bersih dan menjaga maruah dirinya hendaklah mengelak diri dari menerima calon penzina sebagai pasangan hidupnya. Ayat ini menceritakan tentang penzina yang belum pernah berkahwin.

    Kembali kepada keadaan negara yang tidak menunaikan perintah Allah agar melaksanakan undang-undang hudud, maka adalah wajar sekali isteri yang suci memohon fasakh daripada suami yang ‘confirm’ berzina. Suami itu sudah jatuh fasik. Golongan fasik terhalang lagi dari beberapa hak yang besar seperti menjadi wali bagi anak perempuannya, tidak boleh menjadi saksi dan lain-lain. Bagi sesetengah topik , mungkin ada khilaf pendapat dalam menerima atau menolak muamalah golongan fasik. Itu adalah kes fasik disebabkan kesalahan yang tidak perlu dihukum bunuh.

    Saya berharap Ummu Afiq dapat memahami huraian di atas. Ia adalah pengulangan dan sedikit penambahan keterangan kepada isi entry sebelum ini.

    Hanya Allah yang maha mengetahui.

    Ummu Abbas
    21 Jamadil Awwal 1430H
    12.00pm

  4. Assalamualaikum..

    Saya ada satu pertanyaan mengenai Surah An Nur Ayat 3

    ” Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik dan perempuan yang berzina itu pula (lazimnya) tidak ingin berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik dan perkahwinan yang demikian itu terlarang kepada orang-orang yang beriman. ”

    Ada seorang kenalan yang mmg sy kenal benar tentang peribadi dan pegangan agamanya..Dgn izin Allah, beliau bertemukan jodoh dgn seorang hamba orang yang buruk akhlaknya, sampai melakukan perkara2 yang menghampiri pada zina sebelum perkahwinan mereka. Selain mengabaikan tggungjwb sebagai suami, suaminya juga jarang menunaikan solat fardhu..
    tapi jodoh mereka tidak panjang..mereka telah bercerai. Persoalan sy adalah, apakah penjelasan yang boleh diberikan terhadap situasi di atas? Kerana sy pernah mendapat soalan ini daripada seorang rakan yang lain..

    Soalan yang kedua, mengenai cerai melalui sms. Jika seseorang suami menghantar sms berbunyi “mulai saat ini, kita dah takde apa2 hubungan lagi”.
    Setelah itu, si isteri membalas “adakah abang menceraikan saya”. suami pula membalas dgn “Ya. Abang lepaskan ida”. Setelah itu tidak menghubungi si isteri tersebut. Setelah sebulan lamanya, si suami menghantar satu lagi sms
    “Abang ceraikan Ida talak satu, maafkan abang”. Sahkah kedua-dua talak tersebut?

    Harap kak Nur dapat membantu,

    Terima kasih.

  5. Wa’alaykum salam warahmatullah,

    Salwana,

    Insya Allah, Kak Nur akan memberi respon setelah keadaan mengizinkan.

    Terima kasih kerana sudi berkunjung ke sini.

    Ummu Abbas

  6. Assalamualaikum,

    Saya juga ada masalah rumahtangga yang menyatakan suami saya juga telah mengaku melakukan zina disepanjang tempoh perkahwinan kami selama 8 tahun berumahtangga dan dikurniakan sepasang cahaya mata lelaki dan perempuan. Saya faham yang saya boleh membuat tuntutan fasakh dengan alasan suami mengaku zina dan ini telah mencalarkan kepercayaan saya terhadap suami. Masalahnya, demi menjaga keaibannya untuk tidak mahu keluarganya atau keluarga saya tahu akan perangai dan kesalahan yang suami saya lakukan, saya mengambil inisiatif untuk bercerai secara damai yakni menyatakan alasan kepada mahkamah yang kami tidak sehaluan lagi. Adakah ini tindakan yang wajar saya lakukan untuk mencapai keredaan Allah di mana saya tidak mahu lagi menerima suami saya dalam kehidupan saya sekarang dan akan datang. Semoga jalan ini boleh membantu. Bagaimana pendapat puan/tuan?

    Merana…
    Melati bangi

    Wa’alaikum salam wbh,

    Saya setuju dengan tindakan Puan.

    Ummu Abbas

  7. Assalamualaikum Ummu,

    Sekiranya suami yang dah berzina itu bertaubat, bagaimana pula? Untuk bercerai lebih sukar untuk urusan keluarga. Tiadakah kemaafan dan taubat yang boleh dilakukan?

    Lagi satu soalan saya, ada tuntutankah yang boleh menyokong perempuan yang berzina meminta lelaki yang berzina dengannya untuk mengahwininya?

    Dua-dua dilema ini saya lihat banyak dalam masyarakat dan menolong mereka membaiki adalah lebih baik daripada meruntuhkan moral terus-terusan dan menyebabkan keluarga porak peranda.

    Wa’alaikum salam wbh. Bergantung kepada isteri itu sendiri juga. Namun pastikan suami belum dijangkiti penyakit kelamin yang serius. Jadi harus melakukan pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu. Jika hasilnya positif, menurut kaedah fikah, haram seseorang memberi mudarat kepada orang lain. Dalam kes ini, suami tidak boleh melakukan hubungan kelamin dengan isterinya kerana akan menyebabkan isteri dijangkiti penyakit tersebut.

    Bagi pihak isteri, kaedah fikah menegah seseorang menjerumuskan dirinya kepada kebinasaan. Jadi isteri juga tidak boleh melakukan hubungan intim bersama suami tersebut meskipun isteri mahu memaafkan suaminya dan mahu mengekalkan rumahtangganya.

    Maslahah jangka masa panjang terutama pendidikan anak-anak harus diletakkan di hadapan. Jadi seorang isteri harus memelihara kesihatannya agar anak-anak dapat dielakkan menjadi yatim piatu sedangkan mereka belum pandai berdikari.

    Kecuali suami puan belum dijangkiti penyakit kelamin, maka terserahlah pada puan sendiri. Cuma pastikan suami puan benar-benar bertaubat nasuha dan menjaga batas pergaulannya dengan wanita ajnabi.

    Persoalan kedua, pada pendapat saya, walaupun wanita itu tidak menuntut sekalipun, lelaki yang telah berzina dengannya harus bertanggungjawab terhadap wanita tersebut dengan mengambilnya sebagai isteri. Ia adalah tanggungjawab sosial dalam memelihara keharmonian hidup bermasyarakat.

    Pendapat di atas adalah berdasarkan realiti negara kita hari ini yang tidak melaksanakan undang-undang hudud.

    Jika hudud dilaksanakan, ada perkara lain pula yang harus diketahui yakni mengenai adab menyembunyikan aib diri sendiri.

    Wallahua’lam.


  8. Maksudnya tiada nas-nas atau rujukan untuk menuntut lelaki yang berzina mengahwini perempuan yang dizinanya selepas bertaubat?

    Ini bermaksud itu adalah atas budi bicara lelaki itu sendiri lah ye?

    Setakat pengetahuan yang saya ada begitulah maksudnya. Jika saya menemui nas mengenainya, saya akan menulisnya dalam blog ini. Insya Allah.


  9. Ramai kawan-kawan saya masih nak tahu jika ada jawapan untuk persoalan saya ni kerana ia tidak dibincangkan selama ini :

    1)adakah mana-mana rujukan untuk seorang wanita itu menuntut lelaki yang berzina dengannya mengahwininya?

    2) Lelaki yang sudah banyak menabur kata janji yang membuat wanita-wanita ini terpedaya terlalu ramai yang lepas lari terutama yang sudah berkahwin dan rasa tidak ada keperluan menambah tanggungajwab yang sedia ada.

    Bagaimana kita nak membela nasib-nasib wanita yang begini? Selain berdoa untuk Tuhan memberi petunjuk, wanita-wanita ini mahu tahu jika ada rujukan untuk mereka bertitik tolak dalam doa mereka untuk bertaubat dan meminta lelaki itu sama-sama melakukannya sebagai sepasang suami isteri yang sah.

    Insya Allah, Kak Nur akan tulis satu entry untuk persoalan ini. Harap dapat bersabar kerana mungkin Kak Nur juga perlu berbincang dengan mereka yang lebih arif.

  10. Assalamualaikum ummu,

    Setelah membaca persoalan Mawar – 22 Februari 2010 Saya terpanggil untuk bercerita apakah kesan dari menjadi isteri kepada seorang suami yang telah mengaku melakukan zina.

    Pada Disember 2005, saya telah didatangi seorang wanita (janda) mengaku yang beliau telah melakukan perkara jijik bersama suami saya dan meminta izin untuk bermadu. Dan ianya diakui sendiri oleh suami. Beliau ingin bertaubat dan memilih saya setelah saya minta suami saya memilih satu antara dua. Dalam keadaan tertekan, saya melakukan solat istikharah dalam keadaan saya ingin berpisah. Tetapi, setelah selesai solat, gerak hati saya ke arah untuk memberi peluang kepada suami saya untuk membaiki keadaan. Hidup kami seakan kembali kepada asal.

    Hakikatnya, sehingga kini hati saya tidak lagi seperti dulu. Kepercayaan saya sudah tiada lagi. Kecintaan saya sudah ranap… dan yang tinggal hanyalah tanggungjawab. Saya hanya berpegang kepada ‘Syurga di bawah tapak kaki suami..’ dan saya membuat tugasan seorang isteri sekadar untuk saya tidak berdosa dan tidak keluar dari redha suami. Setelah membaca ulasan ummu yang memang ada benarnya, saya menjadi keliru kerana keputusan yang saya buat 5 tahun lepas semata-mata berasaskan istikharah dan kini saya merasakan saya telah silap membuat pilihan.

    Persoalannya berdosakah saya tidak lagi mencintai suami saya? Hati saya sudah tiada padanya?

    Wallahu’alam.

    Isteri Terperangkap.

  11. Assalamualaikum ummu,

    Setelah membaca persoalan Mawar – 22 Februari 2010 Saya terpanggil untuk bercerita apakah kesan dari menjadi isteri kepada seorang suami yang telah mengaku melakukan zina.

    Pada Disember 2005, saya telah didatangi seorang wanita (janda) mengaku yang beliau telah melakukan perkara jijik bersama suami saya dan meminta izin untuk bermadu. Dan ianya diakui sendiri oleh suami. Beliau ingin bertaubat dan memilih saya setelah saya minta suami saya memilih satu antara dua. Dalam keadaan tertekan, saya melakukan solat istikharah dalam keadaan saya ingin berpisah. Tetapi, setelah selesai solat, gerak hati saya ke arah untuk memberi peluang kepada suami saya untuk membaiki keadaan. Hidup kami seakan kembali kepada asal.

    Hakikatnya, sehingga kini hati saya tidak lagi seperti dulu. Kepercayaan saya sudah tiada lagi. Kecintaan saya sudah ranap… dan yang tinggal hanyalah tanggungjawab. Saya hanya berpegang kepada ‘Syurga di bawah tapak kaki suami..’ dan saya membuat tugasan seorang isteri sekadar untuk saya tidak berdosa dan tidak keluar dari redha suami. Setelah membaca ulasan ummu yang memang ada benarnya, saya menjadi keliru kerana keputusan yang saya buat 5 tahun lepas semata-mata berasaskan istikharah dan kini saya merasakan saya telah silap membuat pilihan.

    Persoalannya berdosakah saya tidak lagi mencintai suami saya? Hati saya sudah tiada padanya?

    Wallahu’alam.

    Isteri Terperangkap.

    Wa’alaikum salam wbh.

    Saudari boleh mengemukakan tuntutan fasakh di Mahkamah Syariah atas sebab suami berzina tersebut. Saudari tidak berdosa kerana tidak lagi mengasihi suami kerana ia bukan perkara yang boleh dibuat-buat. Apa guna hidup berumah-tangga jika mawaddah dan rahmat sudah tiada dek keangkuhan salah seorang atau kedua-dua pasangan suami isteri terhadap larangan Allah SWT. Salah satu objektif perkahwinan dalam Islam ialah mewujudkan mawaddah dan rahmah berlandaskan keredaan Allah SWT.

    Ummu Abbas


  12. Saya mengharapkan agar segala yang telah tersurat daripada Allah adalah kekuasaannya, maka bagi insan yang dilahiirkan kedunia ini (perempuan) ini adalah ketentuan yang telah dicatatkan oleh Allah, biarlah perjalanan ini diredha agar perhitungan yang sebenar akan diadil diakhirat.Persoalan adakah dengan membawa perkara ini keMahkamah akan memberikan satu kemenangan dan kebahagiaan? , tapi kalau sisuami jenis yang suka memukul,membunuh atau yang boleh memudaratkan daripada keselamatan ya! jawapannya perlulah dibawa kes ini kepihak yang berkuasa.

  13. asalamualaikum, saya ingin tahu apakah hukum nya sekira suami menghina istri yang gemuk dan hitam ?? saya lebih tua dari suami saya 10 tahun dia lebih kacak … saya juga ingin tahu apakah salah sekira saya larang suami saya berkawan dengan perempuan seperti dia mengaku dirinya belum kahwin apakah hukum nya ????

    Wa’alaikum salam wbh. Haram suami menghina isteri sedemikian kerana ia adalah kejadian yang sudah ditentukan Allah. Ia seolah-olah menghina perbuatan Allah itu sendiri. Kalau pun dia handsome, ia tetap ketentuan Allah padanya yang hanya dipinjamkan. Pinjaman itu nanti akan disoal oleh Allah adakah dia bersyukur atau dia bertambah ego.

    Isteri boleh menasihati suami untuk membataskan pergaulannya dengan wanita ajnabi dengan niat nahi munkar kerana perbuatan tersebut dilarang oleh Allah, bukannya kita menegah kerana kita cemburukan dia.

    Pergaulan dengan wanita ajnabi tanpa urusan yang disyarakkan sahaja sudah haram, apatah lagi membohongi wanita berkenaan dengan mengatakan belum berkahwin lagi.


  14. Assalamualaikum Ummu….

    Saya ada sedikit pertanyaan. Berdosakah seorang isteri meninggalkan suaminya dan kembali ke rumah orang tua setelah terjumpa gambar-gambar suaminya berzina dengan isteri orang.

  15. saya telah berkawin dgan seorang duda anak dua 4 thn lepas dan telah mrmpunyai 2 orang cahaya mata,saya baru lepas habis pantang ,dan suami sya telah berzina dengan seorang gadis ketika saya mengandung 7 bln ,itu pun mengaku selepas didesak dgan kekerapan melayan sms,apakah harus saya lakukan?suami sya tidak penah memberi nafkah zahir pada saya dan anak2,sebab gaji saya lbh besar dari dia.

    Puan mempunyai hak untuk menuntut fasakh berdasarkan sebab2 yang diberikan di atas. Terserah pada Puan untuk membuat keputusan.

  16. Assalamualaikum… puan.

    Saya adalah seorang isteri yg telah berkahwin selama 13 tahun dan mempunyai 2 orang anak. sekarang saya menghadapi masalah dengan suami yang mempunyai hubungan dengan isteri orang. isteri orang tersebut sanggup msg dan maki say dan menceritakan kisah cinta dia dengan suami saya serta telah mencabar saya supaya mengadakan perjumpaan diantara kami bertiga dan dia mahu dengar jawapan dari suami sy mengatakan tidak menyayangi saya lagi. saya buntu dan tidak tahu hendak buat apa. dia adalah kekasih lama suami saya zaman sekolah dahulu dan mereka berjumpa dalam FB. Saya telah bawa kes ini ke pejabat agam untuk mendapat kaunseling dan mencari jalan penyelesaian. semua keluarga suami saya menyokong tindakan saya. saya kecewa dengan suami saya kerana semua masalah rumahtangga kami diceritakan kepada wanita ini. saya tidak perrnah membuka aib suami saya. saya mohon puan memberi pandangan kerana saya amat buntu buat masa ini. saya melakukan solat hajat agar suami saya diberi hidayah dan dia sedar dengan segala perbuatan dia. tapi puan hati saya amat terluka……

  17. Assalamualaikum Ummu Abas,

    Saya sangat tertarik dgn perbincangan di atas. Saya mempunyai seorang anak lelaki berumur 2 tahun. Dan kini sedang sarat mengandung anak kedua mendekati 9 bulan. Suami saya masih menghubungi kekasihnya yang juga isteri orang (indonesia). Buat masa ini mereka sedang merancang untuk berjumpa dan juga merancang utk melakukan hubungan seks. Bagaimana saya tahu? Itu kebetulan saya dapat membaca melalui email. Hati saya sedih kecewa tidak dapat nak digambarkan lagi… dah mcm jeruk yang dah lama disimpan.
    Untuk pengetahuan kekasihnya itu pernah berjumpa ketika saya mengandung anak pertama dan ketika saya berpantang hari kedua/ketiga kebetulan saya terjumpa gambar mesra mereka berdua. Namun saya tiada bukti mereka melakukan hubungan intim. Berlaku pergaduhan ketika saya hendakkan jawapan kepastian dari suami saya tentang hubungan mereka. Dan jawapan nya adalah itu gambar lamanya dan bukan terkini. Pergaduhan hebat berlaku kerana emosi saya tidak tenang. Dan saya dipukul ditumbuk dilipas dengan tali pinggang dan mcm2 lagi.. Ketika itu saya masih berpantang. Cuma ketika itu saya sedar pergaduhan ini spt kedua2nya dirasuk syaitan. Kerana ketika kunjungan di Al-Syifa’, dimaklumkan saya dan suami terkena buatan sihir utk kami sentiasa bergaduh dan berpisah dari pihak ketiga. Jadi saya beranggapan segala pahit yg berlaku kerana sihir dan saya menerima dgn baik suami saya spt biasa.
    Cuma kini saya tidak tahu apa tindakan yang harus saya lakukan apabila melihat mereka masih nak berjumpa dan membuat hubungan. Bantu saya memberi pendapat. Saya sangat buntu. Saya tak sanggup melihat sahaja perkara keji berulang dikala saya mengandung kali kedua ini.

  18. Ya Allah kak ummu, ngerinya saya baca semua komen di atas. Saya masih bujang lagi dan dalam proses untuk ke arah mendirikan rumah tangga. Saya suka komen kak ummu dalam masalah ini dan saya rase sebagai seorang isteri kita perlu bijak dalam ilmu-ilmu agama. Dalam kursus pra perkahwinan pun dah ditekankan hak suami dan isteri, Cinta manusia boleh berubah-ubah tetapi cinta Allah tetap kekal abadi. Kita semua ni hanya pinjaman di atas dunia ini, suami isteri kita juga hanya pinjaman. Abdikan diri benar2 kepada Allah insyaAllah hidup akan lebih tenang dan diberkati.

  19. Assalamualaikum kak ummu, berdosakah saya tidak mampu mencintai suami sy sedangkan sudah 3 tahun sy berkahwin..perkahwinan kami juga berlaku secara tidak sengaja,diatur Oleh keluarga suami.. Sejak sy mengenali suami x pernah terdetik pun perasaan cinta @syg kepadanya, ditambah lg dgn gangguan dr bekas isterinya Dan pujian terhadap bekas isterinya yg melambung..sampai ke suatu tahap tiada apa2 perasaan lg dlm diri sy..apa yg saya lakukan kerana Allah sahaja.. Betulkah apa yg saya lakukan @sy masih punya jalan untuk buat yg lebih baik, kerana wlupun sy lakukan kerana Allah,kdg2 sy rasa seperti hipokrit yg amat pedih..sy juga telah berterus terang dgn suami namun dia tidak mahu melepaskan saya..

  20. Wa’alaikum salam warahmatullah.

    Insya Allah, ummu cuba respon segera.

    Asasnya, jika dari awal pernikahan ini tidak diredai oleh pihak perempuan, maka tidaklah berdosa jika dia tidak mampu menyayangi suaminya. Cuma perlu juga berusaha menunaikan hak2 suami sebaik mungkin.

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s