Archive | Julai 2009

Peruntuh Masjid Babri Peluk Islam

Masjid Babri sebelum dirobohkan

Masjid Babri sebelum dirobohkan

Artikel di bawah yang menyentuh rasa. Saya kutip dari Utusan Online. Terima kasih kepada penyusunnya. Moga Allah berkati hidup saudari hingga ke akhir hayat.

Peristiwa menyayat hati ini sudah lama berlalu. Musim sejuk di Jordan waktu itu tidak mampu mendinginkan hati-hati kami ummat Islam. Saya di Tahun Pertama waktu itu. Baru 2, 3 bulan menjejakkan kaki di sana.

Berita gembira seperti ini begitu signifikan dengan implikasi peristiwa 11 September di Amerika. Selepas peristiwa itu, dikhabarkan al-Quran habis terjual di kedai-kedai buku di Amerika. Semakin ramai yang mahu tahu apa itu Islam? Kenapa ia dicemuh sedemikian rupa? Salah seorang yang terkesan dengan peristiwa tersebut ialah Jermaine Jackson (Muhammad Abdul Aziz), abang kepada Michael Jackson. Continue reading

Ujian Allah datang lagi: ADUN Permatang Pasir Meninggal Dunia

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

[1] Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat) dan memanglah Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

[2] Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu; Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)

Surah al-Mulk

*********************************

Belum hilang penat lelah berpilihanraya di Manek Urai, Allah datangkan lagi ujianNya buat Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional. Pagi ini, ADUN Permatang Pasir, Dato Hj Mohd Hamdan Abdul Rahman telah kembali kepada penciptaNya, pencipta kita semua Allah swt. Beliau meninggal di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur.

Kelihatannya, selepas PRU 12 … Allah tidak membiarkan kita lama berehat menikmati kemenangan yang realitinya belum menang. Peristiwa Perak, peralihan kuasa Perdana Menteri, pilihanraya kecil yang bertali arus, isu masyarakat setempat, penyakit yang merebak, kenaikan kos hidup dan lain-lain. Ia tidak terhenti setakat itu, isu tempatan diiringi dengan isu-isu antarabangsa yang mendidihkan darah ummat Islam seperti pembunuhan saudara muslim kita di masjid Selatan Thailand, pembunuhan sahabat kita seaqidah di Urumqhi, Xinjiang, pembunuhan Dr Marwah kerana hijabnya, konspirasi pembunuhan Mikaeel Jackson yang ramai muslim sendiri tidak pasti kesahihan status Islamnya dan pelbagai lagi.

Kebanyakan kawasan PRK itu pula pada asalnya dimenangi oleh Pakatan Rakyat. Apakah yang tersirat di sebalik yang tersurat?

Tok Guru Nik Aziz dalam ucapannya di Kuliah Jumaat selepas PRK Manek Urai menyinggung tentang Perang Hunain dan Perang Uhud yang signifikan dengan apa yang telah berlaku di Manek Urai. Sudah tentu ia adalah taujihat buat para pendokong dan pekerja parti khususnya. Berapa ramai yang dengar dan mengambil iktibar? Berapa ramai pula yang bertaubat dari kelemahan yang disedari atau tidak disedari?
Muhasabah diri dan berapa banyak kita melangkah kembali kepada Allah dan syariatNya akan menentukan kejayaan kita di masa hadapan.

Allah tidak datangkan sesuatu ujian kecuali untuk mengenal pasti siapa yang ikhlas di antara hamba-hambaNya.

Allah tidak datangkan satu ujian kecuali untuk kita mengoreksi diri sendiri dan saling bermuhasabah sesama saudara kita dengan penuh rasa ukhuwwah kerana Allah.

Benarkah wujud saling menyinggung perasaan sesama sahabat di Manek Urai hanya kerana isu ‘Kerajaan Perpaduan’ yang realitinya bukan subjek sebenar? Apakah objektif sebenar yang Allah mahukan di sebalik ujian ‘Kerajaan Perpaduan’? Dan adakah keretakan ukhuwwah implikasi kepada isu akan berulang di Permatang Pasir?

Allah tidak datangkan satu ujian kecuali agar kita membersihkan diri dengannya serta melangkah penuh gagah dengan iman yang semakin mantap.

Allah juga tidak mengutuskan Muhammad s.a.w kecuali untuk memperbaiki akhlak manusia.

Islam punya adab khilaf pendapat.

Islam punya adab berjemaah.

Justeru, setiap permasalahan yang sedang dihadapi, akhlak diri yang perlu diteliti terlebih dahulu, bukannya kesalahan dan kelemahan orang lain.

Wajarkah aku bertindak begini?

Wajarkah aku bercakap begitu?

Apakah tingkahlaku dan percakapanku bersesuaian dengan kehendak Allah dan RasulNya?

Apakah bila aku menulis begini atau komen begitu, Allah reda padaku atau Allah murka kerana aku menulis tanpa landasan ilmu?

Apakah bila aku melihat sesuatu yang menaikkan kemarahanku, aku ingat bagaimana kesalahanku kepada Allah?

Besar sangatkan dosa orang lain terhadapku dibandingkan kesalahanku yang sering lalai dari mengingati Allah?

Adakah kita merasa bertambah nikmat dengan kemanisan iman setelah ujian demi ujian dibentangkan kepada kita? Atau kasih kita sesama sahabat sejemaah semakin pudar dan hambar?

Hakikat perjuangan kita benar atau tidak, tanyalah pada hati sendiri… semakin tenangkah jiwa kita atau semakin serabut?

Sekadar renungan di hari Jumaat.

Ummu Abbas
11.40am
9 Syaaban 1430H

Bila Si Kecil menggali kubur…

Nabi Muhammad s.a.w berkata,

Perumpamaan berkawan dengan orang yang baik dan orang yang jahat, adalah seperti pembawa minyak wangi dan peniup dapur tukang besi. Pembawa minyak wangi, mungkin dia akan memberikannya kepadamu atau kamu akan membeli darinya, atau mungkin kamu akan mendapati aroma harum darinya. Adapun peniup dapur, mungkin dia akan membakar pakaianmu, atau mungkin kamu akan mendapat bau busuk darinya.”

Direkodkan oleh Bukhari dan Muslim

********

Saya mengorek pasir itu lagi. Belum kelihatan apa-apa. Eh…dalam juga anak-anak kecil ini buat kubur ye…

Kemudian, saya menguis lagi… Ya Allah… kelihatan perut yang kemerah-merahan masih bergerak-gerak. Saya cepat-cepat mengeluarkan si comel yang tercungap-cungap bernafas itu. Continue reading

Mudahnya Kahwin…

Saya tertarik dengan satu perkongsian pengalaman pengunjung blog saya mengenai mas kahwinnya. Ia adalah respon kepada artikel saya bertajuk, “…dengan mas kahwinnya satu set komputer tunai…”. Empunya pengalaman berpesan kepada saya agar tidak menyebut namanya di sini. Catatannya seperti berikut (saya sudah edit agar lebih sedap dibaca. Catatan asal ada dalam ruangan komen di bawah entry “Email baru saya (update)”;


Salam Kak Nor :)

Arwah abah saya minta pihak lelaki bawa 1/10 dari jumlah mas kahwin yg disebut oleh Tuan Guru dan syarat abah lagi tiada sebarang barang hantaran tambahan. Sampai keluarga saya sendiri (ibu-ibu saudara) bising-bising, tidak pernah dibuat dek orang lain dan mereka bising mahu jaga title keluarga dan sebagainya…lagilah orang Kelantan yang mana mas kahwinnya memang tinggi. Suami saya kata, tidak sangka sungguh. Ingatkan susah mahu masuk meminang saya. Tambahan pula saya baru habis masters. Faktor kedua, arwah abah juga dipandang tinggi disebabkan bisnes. Rupanya mudah sangat dan sedikit pun dia tidak rasa terbeban. Betapa gembira abah bila saya kahwin, sampai 3 ekor lembu tumbang untuk majlis kesyukuran.

Abah kata dia mahu ubah pemikiran. Saya pun tidak rasa ia perkara luarbiasa malah saya sungguh terharu banyak segi dan alhamdulillah ala kulli hal… Alhamdulillah dikurniakan ibubapa seperti abah dan umi. Dan alhamdulillah dikurniakan suami yang amat baik.

Oh, saya lupa nak sebut kenapa arwah abah minta 1/10 dari jumlah itu. Ini kerana ia adalah mahar terendah bagi negeri Kelantan yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam pada tahun saya kahwin. Oleh kerana mahu supaya angka itu nampak cantik, pak mertua saya minta tambah lagi seringgit – maka jadilah RM101 :) Saya ada dua orang lagi adik perempuan yang belum kahwin. Dua-dua mereka pun bercadang untuk teruskan sunnah yang telah ditunjuk oleh arwah abah. Insya Allah. Moga-moga mereka pun akan mendapat keberkatan nanti.

Oo sebenarnya banyak kesan positif dan keberkatan perkahwinan kami suami isteri ini. Nantilah bila-bila saya cerita.

Ummu An

**********
Semasa saya menulis pengalaman mahar saya sebelum ini, saya memang mengharapkan ada pengunjung yang mahu berkongsi pengalaman ‘mas kahwin’ yang mudah di sini. Apabila saya berterus terang menyebut tentang mahar saya sebagaimana berterus terangnya Tok Guru Nik Aziz tentang mahar anak-anak gadisnya, di sana saya percaya ramai lagi yang lebih baik dari saya.

Saya juga sebenarnya tidak merasakan bahawa apa yang saya alami itu yang terbaik untuk dijadikan teladan. Fokusnya ialah pada maksud hadis , ‘murah mas kahwinnya’ sebagai salah satu tanda barakah seseorang gadis. Nilai dan jumlah itu bergantung pada famili dan zuruf setempat. Paling penting adanya ‘al-Taradi’ antara kedua belah pihak. ‘Al-Taradi’ ialah saling meredai antara bakal suami isteri. Bakal isteri setuju dengan iman yang terdidik dan bakal suami tidak rasa terbeban dengan rasa tanggungjawab yang tinggi.

Jika pihak isteri ‘demand’ dan tidak boleh bertolak ansur, perkara asas sebegini akan memberi kesan kepada rumahtangga untuk jangka masa panjang. Inilah salah satu punca hilangnya barakah dalam sesebuah rumahtangga.

Pengaruh Negatif Media Dalam Isu Perkahwinan

Dalam arus media memaparkan kos perkahwinan yang ‘gila-gila’ mewahnya, maka kisah-kisah benar berdasarkan tuntutan Islam sebegini wajar menjadi alternatif bagi mengimbangi pengaruh media tersebut.

Situasi sekarang yang menyaksikan banyak kes rumahtangga yang runtuh atau perzinaan yang berleluasa, laman phorno yang diusahakan oleh individu Islam itu sendiri, kes rogol kanak-kanak, maka pengalaman-pengalaman indah mengamalkan ajaran Islam itu lebih wajar bersaing untuk menempati media elektronik, bertulis dan maya. Moga masyarakat dapat melihat nur dalam kegelapan jahiliyyah yang entah ke berapa di alaf baru ini.

Setiap idea dan teori Islam yang digarapkan dalam al-Quran dan Sunnah adalah yang terbaik dan paling sempurna untuk diaplikasikan oleh individu, famili dan daulah.

Kita mahu idea Islam yang kuat mempengaruhi masyarakat kerana Islam itu Indah.

Saya juga berharap Ummu An sudi berkongsi lagi pengalaman rumahtangga barakah yang dilaluinya hasil mudahnya mahar beliau. Saya juga telah merasa barakahnya rumahtangga saya (alhamdulillah) dan akan bercerita mengenainya apabila tiba masa yang sesuai. Moga dengan pengalaman kami, masyarakat terdorong untuk sama-sama menikmati barakah dengan menyusur jalan Islam yang Indah!

Saya bercerita untuk mendorong masyarakat dan saya menulis kerana kebolehan menulis ini adalah pinjaman dari Allah yang akan dipersoalkan di akhirat kelak.

Jika ada pembaca yang mahu berkongsi pengalaman mereka dalam topik mas kahwin ini tetapi tidak tahu menulis, saya pelawa mereka agar menghubungi saya melalui email dan tulislah kisah saudara saudari secara santai seolah-olah saya adalah sahabat anda sendiri. Insya Allah, saya akan edit semula berdasarkan kemampuan saya agar ia dapat dinikmati bersama pembaca yang lain. Kita sama-sama berharap ia menjadi saham di akhirat dengan keuntungan berlipat kali ganda. Amin,…insya Allah.

Sekadar catatan persinggahan.

Ummu Abbas
4 Syaaban 1430H
1.10pm

…dengan mas kahwinnya sebuah komputer tunai…

Foto INTERNET

Setelah saya memutuskan menerima lamaran pemuda itu, saya berbincang dengan Kak Long mengenai persiapan yang harus dibuat. Kak Long ialah isteri kepada Abang Zul, abang sulung saya.

Antara perkara penting yang harus difikirkan ialah mengenai mas kahwin. Mas kahwin ialah hak wajib bagi bakal isteri yang ingin dinikahi. Hal ini disebut ayat 4 surah al-Nisa’. Mana-mana perempuan yang akan bernikah berhak menentukan mas kahwinnya sendiri.

Saya bertanya Kak Long, “Kak Long dulu minta apa dari Abang Zul sebagai mas kahwin?” Continue reading