Archive | November 2009

Eidul Adha di Jordan & Cuti Raya Korban untuk Kelantan

Teringat alam belajar di Jordan.  Cuti Raya Fitrah hanyalah dua hari tetapi cuti Raya Adha adalah sepanjang hari- hari tasyriq – bermula 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah  setiap tahun.  Mereka membesarkan Eidul Adha sesuai dengan konsep Raya Korban itu sendiri yang amat besar di sisi Islam.  Eidul Adha datang mengiringi Eidul Fitr.  Setelah berhempas pulas berpuasa meningkatkan kualiti diri, maka Allah datangkan  pula ujian pengorbanan bagi menambah lagi taqwa di dada.  Apakah kita dapat rasakan peningkatan tersebut?

Eidul Adha di Jordan lebih meriah dari di Malaysia tetapi sama meriahnya di Kelantan.  Mungkin Kerajaan Kelantan boleh memberi cuti yang sama seperti di Jordan bagi meningkatkan lagi integriti Islam sebagai dasar pemerintahan.   Manfaat cuti itu boleh dimeriahkan dengan menambah jumlah lembu-lembu korban dan dibahagikan dagingnya ke seluruh pelusuk negeri.  Jika terdapat lebihan, maka ia boleh pula dieksport ke luar  negeri dan negara.

Amalan tradisi  yang meriah di kalangan warga Kelantan dalam menyambut Eidul Adha menyebabkan keluarga saya pernah menerima tetamu dari Johor yang mahu beraya di Kelantan.  Seorang sahabat saya dari Melaka juga pernah menyambut Raya Korban di Kelantan.  Dia yang belajar di sebuah sekolah YIK selama 7 tahun mengatakan menyambut Eidul Adha di Kelantan lebih meriah dan menyeronokkan walaupun berjauhan dari keluarga sendiri.  Ia menunjukkan konsep dan amalan menyambut Eidul Adha di Kelantan sesuai dengan pandangan syarak yang membesarkan perayaan ini. 

Peristiwa yang baru menimpa Tok Guru dan menantunya begitu signifikan dengan Eidul Adha yang menjelang tiba.   Tok Guru mengorbankan perkara bersifat peribadi demi kepentingan Islam dan jemaah.  Teladan telah ditunjukkan pada rakyatnya.  Apakah kita sanggup mengorbankan kepentingan peribadi demi kesinambungan pemerintahan Islam di Kelantan?   Apakah pengorbanan Tok Guru Nik Aziz terhadap menantunya sama seperti pengorbanan Nabi Ibrahim terhadap Nabi Ismail?  Apakah falsafah yang tersirat di sebalik semua kejadian tersebut?  Sama-sama kita fikirkan dan mengupasnya guna bekalan buat kehidupan kita sendiri.

Ujian bagi orang lain adalah salah satu cara Allah memberi ilmu kepada kita.  Terserah kepada kita mahu mengutip sebanyak mana hikmah yang ada.  Yang benar akan tetap teguh berdiri dan yang salah akan kecundang akhirnya.  Siapakah mereka?  Biarlah Allah yang tentukan.  Kurangkan persepsi pada perkara yang diluar  pengetahuan kita kerana Allah pasti tetap membela agamaNya melalui hamba-hambaNya yang ikhlas berkorban untukNya.  


Sempena Hari Raya Korban 1430H, saya mengambil kesempatan ini menghulurkan kad yang tidak seberapa buat pengunjung setia dan tidak setia blog ini.  Jazakumullah.  Kunjungan andalah menyebabkan saya sentiasa termotivasi untuk mencurah ilmu yang tidaklah sebanyak mana di sini.

Akhir kata, maaf zahir batin andai terkhilaf bicara tersalah kata.

Ummu Abbas

9 Zulhijjah 1430H

11.17am

Nik Aziz setuju nasihat Ariffahmi letak jawatan

Ini baru berita rasmi yang dikeluarkan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz.  Berita ini disiarkan oleh Harakahdaily yang mana pemberitanya adalah wartawan rasmi Harakah di Kelantan yakni Kak Salmah Mat Hussin.   Harakahdaily mempunyai wartawannya sendiri yang sudah dikenal pasti tahap amanah dan kejujurannya bagi melaporkan apa-apa berita rasmi dari PAS. 

Saya rasa mungkin akan ada yang terfikir Tok Guru berhelah dengan menafikan laporan Kickdefella.  Namun perlu difahami bahawa pada peringkat awal, Tok Guru sememangnya tidak mengeluarkan kenyataan demikian.  Apa yang dilaporkan oleh Harakahdaily itulah keputusan Tok Guru yang terbaru setelah berbincang dengan beberapa pimpinan PAS pusat.

Dalam dunia politik, macam-macam boleh jadi; provokasi, fitnah, putar belit dan pelbagai rencam lagi yang mana bapa kepada segala tipudaya tidak lain dan tidak bukan adalah iblis sendiri- musuh pertama anak-anak Adam.  Pengikut nombor satu iblis pula adalah Yahudi yang akan mempergunakan umat Islam sendiri bagi menghancurkan Islam dan pengikutnya. 

Wallahua’lam.

Ummu Abbas

4.42pm

6 Zulhijjah 1430H

*****************************************************************

Oleh Salmah Mat Hussin

KOTA BHARU, 23 Nov: Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz bersetuju untuk menasihati Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman melepaskan jawatannya sebagai Ketua Pegawai Ekselutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK). Persetujuan itu diumum Nik Aziz pada satu sidang media selepas pertemuan dengan pimpinan PAS di kediaman Menteri Besar, JKR 10 pagi ini. Pertemuan tersebut disertai Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Timbalan Mursyidul Am, Datuk Haron Din, Naib Presiden Salahudin Ayub dan Bendahari Dr. Hatta Ramli.

Mereka telah mengemukakan cadangan kepada Nik Aziz agar menasihatkan Ariffahmi melepaskan jawatan. Keputusan itu dibuat bagi menjaga kesinambungan perjuangan Islam di negeri itu dan sekaligus menyelesaikan kemelut politik yang sedang berlaku. Beliau dalam pada itu memberitahu akan meminta Ariffahmi yang juga menantunya berbuat demikian. Bagaimanapun, terserah kepada Ariffahmi bila dia mahu meletakkan jawatan tersebut.

Ariffahmi juga hadir mendengar sidang media tersebut. Dalam perkembangan berkaitan, Ariffahmi dilaporkan telah mengumumkan meletakkan jawatannya dalam satu sidang media sebentar tadi. Menurut laporan Malaysiakini, surat rasmi peletakkan jawatan tersebut bagaimanapun belum diserahkan.

Nabi Adam tidak bernikah dengan Hawa?

Tajuk lain bagi artikel ini:  Gadisku, di sini engkau bermula…

atau

Pemudaku, dari sini asalmu… (tapi kena pandai-pandai ambil point untuk huraian di bawah)

 

Keturunan kaum wanita yang pertama

Adam tinggal di syurga.  Syurga yang penuh dengan kemudahan dan kenikmatan. Walaupun begitu, Adam hanya seorang diri.  Tiada kawan-kawan. Tiada isteri.  Adam merasa kesunyian.  Sebenarnya Allah bukan sahaja menganugerahkan ruh dan ilmu pengetahuan kepada Adam yang baru diciptanya.  Bahkan Allah juga membekalkan keinginan tertentu pada Adam yang dinamakan fitrah atau naluri.  Fitrah mahu makan, minum, berkerja, berbual, tidur, seks dan lain-lain sama seperti yang kita rasa hari ini.  Allah sudah mengetahui sejak azali saat dan ketika mana Adam memerlukan seseorang sebagai teman.

Suatu hari, Adam tidur.  Setelah sedar, Adam melihat seseorang duduk di sebelah dekat kepalanya.  Adam bertanya,’ Siapa engkau?’  Continue reading

Tok Guru nafi minta CEO PMBK letak jawatan

Seorang blogger mendakwa seperti berikut;

Sementara itu Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan memberitahu wakil media, Tuan Guru akan membuat pengumuman besar dalam masa terdekat. Kita biarlah Tuan Guru membuat pengumumannya. Tetapi saya berharap Ariffahmi berfikiran waras dan faham bahawa Tuan Guru lebih penting daripada Ariffahmi di dalam perjuangan ini. (Sekarang saya nak berkemas, hehehe).

Pada 17 November 2009, Yang Amat Berhormat Tuan Guru Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat, Menteri Besar Kelantan telah meminta Abdul Ariffahmi Bin Ab. Rahman melepaskan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan.

Keputusan itu diambil Tuan Guru setelah menilai segala fakta dan hujah yang dibentangkan dihadapannya oleh semua pihak tidak kira Pimpinan PAS Pusat dan Negeri, Pegawai-pegawai Tinggi Kerajaan Negeri dan juga Pegawai-Pegawai Tinggi Agensi-Agensi Kerajaan.

Ariffahmi bagaimanapun menolak permintaan Tuan Guru dan hari ini berlepas ke Kuala Lumpur atas sebab-sebab yang tidak diketahui oleh sesiapa.”

 

Saya baru menziarahi salah seorang keluarga Tok Guru pagi tadi dan bertanya sendiri mengenai kenyataan di atas.  Tuan Guru Nik Aziz menafikan pernah meminta Ariffahmi meletakkan jawatannya sebagai CEO PMBK sebagaimana yang disebutkan oleh blogger berkenaan. 

Pemergian Ariffahmi ke Kuala Lumpur pula adalah untuk menemani isterinya yang mahu menghantar adik, Nik Asma Salsabila menunaikan haji.

 

Sekian. 

Harap maklum.

Psst… dekat-dekat raya korban ni… ada pula yang mahu mengorbankan maruah diri sendiri dan maruah orang lain.  

Hmm…..

 

Ummu Abbas

4.36pm

2 Zul Hijjah 1430H

Haji Hadi: Risiko Menyebar Maklumat Bohong

Di bawah adalah satu ucapan Tuan Guru Haji Abdul Hadi yang saya ambil untuk merenung diri sendiri, memuhasabah semula penulisan saya, meningkatkan motivasi dan juga penawar hati.  Di era ICT ini, ramai orang mahu dan bebas menulis dengan punya blog sendiri.  Namun pastikan di saat menulis dan up load foto-foto itu, kita sedar malaikat di kiri kanan sedang mencatat apa yang kita lakukan.  Pastikan juga hasil yang bakal diperolehi membawa ke syurga.  Jika banyak foto lucah dan tulisan-tulisan bohong yang kita muat dan penuhkan dalam blog kita, hakikatnya kita sedang membina rumah di neraka.  Jika kita mahu lalai dan tidak suka mengingati Allah, maka usah diheret para pengunjung untuk turut lalai bersama kita.

Continue reading

Pendarahan Semasa Hamil dan Air Ketuban

Disunting semula dengan membuang pengalaman penulis bersalin anak pertama.

Tarikh suntingan:  11 Jun 2013.

Harap Maklum.

**********************************


Seorang ibu mengalami pendarahan semasa hampir due date bersalin.  Ibu itu solat seperti biasa kerana ia dikira darah fasad (rosak) atau istihadah.  Darah itu cair dan berwarna merah terang.  Ia bukan keluar berterusan.  Bagi sesiapa yang mengalami perkara yang sama ketika hamil, hendaklah solat walaupun sudah ada tanda-tanda akan bersalin. 

Bagaimana pula dengan wanita yang mengalami pendarahan di tengah-tengah kehamilan?  Apakah hukum darah tersebut? Jom lihat serba sedikit huraian mengenai hal ehwal wanita bersalin.

Jenis Pendarahan Semasa Hamil

Darah yang keluar semasa hamil dikira sebagai istihadah.  Darah bercampur lendir ketika proses hendak bersalin juga dikira istihadah atau darah fasad (rosak).

Nifas ialah darah yang keluar dari rahim selepas melahirkan anak.  Bagi mazhab Syafie,   dikira darah nifas jika bersalin anak yang hidup, mati atau keguguran sama ada bersalin cara biasa atau pembedahan.

 

Nifas dari Sudut Saintifik

Ibu-ibu sudah tentu pernah mengalami rasa sakit seperti hendak bersalin sedangkan bayi sudah pun keluar.  Apakah sebenarnya yang berlaku di dalam rahim kita?

Pada peringkat akhir proses kelahiran bayi, otot-otot rahim mengecut untuk menolak keluar keseluruhan badan bayi.  Akhirnya kelahiran sempurna berlaku.  Pengecutan seterusnya berlaku menyebabkan tertanggalnya uri dari dinding rahim.  Sejurus berlakunya kelahiran bayi, pengecutan otot-otot rahim menyebabkan kontraksi berlaku pada otot-otot salur darah arteri lalu menekan salur-salur darah di uri yang akhirnya menyebabkan uri terpisah dari dinding rahim (desidua).   Aliran darah pula berlaku hasil dari hakisan pada bekas tempat lekatan uri di dinding rahim (desidua) yang dikenali sebagai nifas.  Ciri darah dan tempoh pendarahan adalah bergantung kepada saiz uri tersebut.

Dari sudut saintifik, nifas berbeza dengan darah haid yang berasal dari lapisan endometrium.  Secara jelas, darah nifas terhasil dari darah yang mengalir keluar disebabkan oleh bercerainya uri dari rahim selepas melahirkan anak.  Ia selaras dengan pandangan fuqaha’ mengenai definisi nifas.

diagram81

Hukum Pendarahan Semasa Hamil dan Air Ketuban

Pendarahan Semasa Hamil (tiada tanda hendak bersalin)

Perdarahan yang berlaku semasa hamil tanpa sebarang tanda untuk bersalin dalam Mazhab Syafii dihukumkan sebagai haid jika mematuhi kriteria tempoh haid.  Jika bersalahan dengan kriteria tersebut maka darah itu dihukumkan sebagai istihadah.

Sebahagian ulama pula menetapkan darah yang keluar ketika hamil bukanlah haid dan dihukumkan sebagai istihadah kerana haid tidak berlaku ketika hamil.  Pendapat ini bertepatan dengan kajian saintifik iaitu proses haid tidak akan berlaku kerana telah berlakunya persenyawaan dan kehamilan.  Pendarahan yang berlaku ketika hamil biasanya disebabkan oleh kemungkinan wanita itu menghadapi masalah keguguran pada peringkat awal kandungan.   Selain itu, wanita hamil mungkin mengalami masalah uri seperti uri pecah atau uri berada di bawah pada pertengahan dan akhir mengandung.

Darah Bercampur Lendir

Biasa juga para ibu mengalami darah bercampur lendir keluar dari rahim sebelum melahirkan.  Ia merupakan salah satu tanda awal seseorang ibu akan bersalin.  Darah ini keluar disebabkan terbukanya saluran ‘cerviks’ atau pangkal rahim dan juga pemisahan kantung tembuni bayi dari dinding rahim bahagian bawah.

Darah ini akan bercampur dengan lendir yang juga dihasilkan oleh kelenjar di bahagian pangkal rahim. Darah inilah yang dikatakan sebagai darah fasad (rosak) dari aspek fikah.  Oleh kerana ia bukan lagi darah nifas, maka wanita yang mengalaminya wajib menunaikan solat seperti biasa.  Dengan perkataan lain, kewajipan solat belum terangkat dari wanita tersebut.

Air Ketuban

Keluarnya air ketuban juga merupakan tanda awal proses kelahiran bayi.  Air ini keluar dari sarung tembuni bayi yang pecah ketika proses kontraksi rahim.  Pada asalnya, air ketuban bertindak sebagai kusyen yang melindungi bayi.  Subhanallah.  Maha suci Allah yang memelihara janin dalam kandungan.

فَجَعَلْنَاهُ فِي قَرَارٍ مَّكِينٍ

Lalu Kami jadikan air (air mani/zigot) itu pada tempat menetap yang kukuh (yakni rahim).

Surah al-Mursalat 77:21

Demikian hebat kurniaan Allah.  Masihkah kita sanggup mendustakan nikmatNya dan membalasnya dengan maksiat?

فَبِأَيِّ آلَاء رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka nikmat Tuhanmu yang manakah hendak kamu dustakan?

Ayat 13 Surah al-Rahman.

Apabila ia mengalir keluar, air ketuban membantu melicinkan proses kelahiran.  Allahuakbar!  Maha agung Engkau ya Allah yang tidak menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia.

Hukum air ketuban adalah najis.  Maka wanita itu perlu bersuci terlebih dahulu untuk menghilangkan najis tersebut dan berwuduk seperti biasa sebelum solat jika air ketubannya sudah kering.

Cara Menunaikan Solat Dalam Keadaan Darah dan Air Ketuban Masih Keluar

Cara bersuci ialah bersihkan terlebih dahulu darah atau air ketuban dari faraj. Kemudian pakai tuala wanita, mengambil wuduk dan terus solat.   Jika darah keluar dengan banyak diiringi rasa sakit berterusan, diharuskan solat jamak.

 

Nota:  Sebahagian isi mengenai Darah Semasa Hamil, Nifas dan Air Ketuban adalah dari buku Fikah Perubatan yang disediakan oleh Dr Rosediani Muhamad, Pakar Perubatan Keluarga, USMKK.

Ummu Abbas

9.20pm

21 Zul Qi’dah 1430H

Solat Wanita Sakit Hendak Bersalin

Assalamu’alaikum semua,

Lazimnya apabila saya fokus menulis buku, masa saya begitu suntuk untuk meng-update blog.  Saya sedang mengedit buku Fikah Perubatan setebal 264 halaman.  Buku ini ditulis oleh 4 penulis.  2 pakar perubatan dan 2 pakar Fiqh dan Usul Fiqh.  Saya diminta menyiapkan suntingan buku akhir November 2009.  Bukan mudah mengedit tulisan orang lain yang berbagai ragam.  Di bawah ini, merupakan sebahagian tulisan saya dari buku tersebut.  Mungkin akan ada perubahan lagi dalam edisi cetakan.  Insya Allah, saya akan mewar-warkan buku ini setelah siap sepenuhnya.  Tolong doakan agar Allah memudahkan urusan saya.  Jazakumullah.

Ummu Abbas

11.50am

18 Zul Qi’dah 1430H

 

Kaedah Solat Wanita yang Sakit Hendak Bersalin.

Saya membuat rumusan berkenaan solat wanita yang sakit hendak bersalin ini berdasarkan pengalaman sendiri.  Continue reading