Gadisku, dunia fisiologi dan psikologi dirimu…

Gadisku,

Percayakah kita bahawa kita sebenarnya belum memahami erti cinta, kasih dan sayang selagi kita belum mengenal Allah swt. Mari sayangku, kita menjelajah lagi di alam rahim bonda. Siapakah gerangan diri kita sebenarnya…

Sebelum ini, ku bicara tentang bagaimana diri kita tercipta sebagai zigot (ovum yang telah dipersenyawakan oleh sperma) sebelum ia berkembang menjadi janin dalam ‘qarar’ (rahim) yang hebat itu.

'qarar' atau rahim-tempat tinggal pertama manusia. Subhanallah!

Sekarang, mari kita menyusur galurkan bagaimana sikap dan sifat kewanitaan kita terbentuk dari aspek fisiologi dan psikologi.

Secara asasnya, Allah swt telah membezakan fisiologi dan psikologi antara kita, golongan wanita dan lelaki semenjak penciptaan Adam dan Hawa. Intipati tersebut dapat kita kutip dari maksud hadis berikut,

استَوصوا بالنساءِ، فإِن المرأَةَ خُلقِتْ من ضِلَع، وإِن أعْوَجَ شيء في الضلَع أعلاه، فإِن ذهبتَ تقيمه كَسَرْته، وإِن ترَكتَه لم يَزَل أعْوَج، فاستوصوا بالنساء

    Maksudnya:
    Saling nasihat-menasihatilah untuk berbuat baik kepada perempuan, kerana mereka diciptakan dari tulang rusuk yang bengkok. Dan sesungguhnya sebengkok-bengkok bahagian tulang rusuk itu ialah di bahagian atasnya. Sekiranya kamu ingin meluruskannya, kamu akan mematahkannya, sekiranya kamu biarkan ia, ia akan terus bengkok. Maka saling berpesanlah mengenai perempuan.

    Hadis direkodkan oleh Bukhari dan Muslim.

Memang diakui, ulama berselisih pendapat dalam menafsirkan erti ‘tulang rusuk’ sama ada ia memberi makna literal atau majazi, namun tidak dapat dinafikan bahawa ia membawa maksud bahawa realiti kejadian wanita dari sudut fisiologi dan psikologi adalah berbeza dengan lelaki.

Ada pendapat fuqaha’ yang mengatakan maksud ‘tulang rusuk’ ialah secara literal iaitu dari tulang rusuk Adam a.s. berdasarkan Surah al-Nisa’ (4): 1. Pendapat ini dinyatakan oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani di dalam kitab syarah Sahih Bukhari. Al-Nawawi pula memberikan makna secara majazi iaitu yang dimaksudkan dengan ‘bengkok’ ialah bengkoknya akhlak perempuan dan lemah aqalnya. Dr. Quraish Shihab mengulas hadis tersebut dengan berkata,

    Tulang rusuk yang bengkok harus difahami dalam pengertian majazi, dalam erti bahawa hadis tersebut memperingatkan para lelaki agar menghadapi perempuan dengan bijaksana. Kerana ada sifat, karakter dan kecenderungan mereka yang tidak sama dengan lelaki, hal mana bila tidak disedari akan dapat mengantar kaum lelaki untuk bersikap tidak wajar. Mereka tidak akan mampu mengubah karakter dan sifat bawaan perempuan. Kalaupun mereka berusaha akibatnya akan fatal, sebagaimana fatalnya meluruskan tulang rusuk yang bengkok’.

Lelaki tidaklah sama dengan wanita. Ayat 36, Ali 'Imran.

Gadisku,

Kajian sains juga menemui asas perbezaan psikologi antara dua jantina berkait rapat dengan faktor fisiologi. Perbezaan sifat yang wujud antara lelaki dan perempuan ini bermula di alam sel jantina yang masih belum bercantum iaitu sel ovum dan sel sperma.

Ovum didapati tidak banyak bergerak, pasif dan reseptif berbanding tingkahlaku sperma yang aktif, cergas, menghadapi bahaya, bersifat agresif dan dominan, sama ada ia mencapai matlamatnya ataupun mati. Sperma ini menuju ke permukaan ovum seumpama roket turun ke permukaan bulan. Sperma ini menembusi dinding serta melepaskan kromosomnya ke dalam ovum, di mana kedua-dua kromosom bercantum untuk membentuk zigot. Lebih-lebih lagi sifat sperma yang membawa Kromosom Y dan Kromosom X juga adalah berbeza sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini.

Fenomena ini telah diterangkan oleh al-Quran sejak 14 abad yang lalu melalui Surah al-Insan (76): 2 iaitu pada lafaz Nutfah al-Amsyaj yang memberi erti hasil percampuran dan penyatuan di antara nutfah lelaki (sperma) dan nutfah perempuan (ovum) (zigot).

Satu ovum dihurungi beribu sperma. Subhanallah!

Allah telah mengatur sifat-sifat semulajadi inilah yang menentukan jantina embrio. Seterusnya melahirkan bayi yang akan membesar dengan fitrah yang telah ditentukan sejak azali. Perkara ini boleh berlaku kerana kromosom-kromosom yang terdiri daripada DNA (Deoxyribonucleic Acid) menyimpan gen-gen yang menentukan setiap ciri yang dimiliki oleh tubuh dan sel-sel.

Tatkala kita sama-sama dewasa, Allah menentukan kadar pengeluaran benih juga berbeza antara lelaki dan wanita. Sperma lelaki dihasilkan 100 juta sehari semenjak akil baligh (12-16 tahun) sehinggalah usia 60 tahun atau lebih; berbanding hanya satu ovum yang dihasilkan setiap bulan daripada salah satu ovari perempuan semenjak akil baligh (12-16 tahun) sehingga putus haid (45-55 tahun).

Sistem reproduktif lelaki mengandungi tubul-tubul berkonvolut (atau dikenali juga dengan tubul-tubul seminiferus) yang bukan sahaja menghasilkan sperma tetapi juga hormon testosteron (hormon seks lelaki) yang bertanggungjawab menzahirkan ciri-ciri kelelakian seperti janggut, misai, tubuh maskulin dan libido seks.

Manakala sistem reproduktif perempuan mengandungi ovari yang menghasilkan telur (ovum) setiap bulan dan hormon-hormon seks perempuan (estrogen dan progresteron). Hormon-hormon tersebut bertanggungjawab menzahirkan ciri-ciri feminin pada gadis-gadis yang sedang meningkat dewasa. Tumbesaran buah dada (kelenjar mamari), pengagihan rambut pubis dan aksila, suara feminin, pengagihan lemak yang tertumpu pada bahagian abdomen dan punggung dan banyak lagi ciri-ciri yang halus dan jelas seperti libido seks, sifat pendiam dan pemalu wanita, semuanya dipengaruhi oleh hormon-hormon seksual wanita yang dihasilkan oleh ovari.

Perbezaan yang wujud antara lelaki dan wanita amatlah ketara bukan sahaja pada anggota lahir bahkan meliputi tisu-tisu dan sel-sel yang paling kecil di dalam tubuh mereka. Perbezaan dari sudut fisiologi itu pula didapati mempengaruhi psikologi lelaki dan wanita samada dari sudut mental maupun emosi. Inilah antara maksud firmanNya yang berbunyi:

وَلَيْسَ الذَّكَرُ كَالأُنثَى

    Maksudnya:
    “………Dan anak lelaki tidaklah seperti anak perempuan….”

    Surah Ali ‘Imran (3): 36

Setiap sesuatu berkait dengan yang lain serta mempunyai sebab musabbabnya yang tersendiri. Namun begitu, kudrat dan iradat Allah S.W.T mengatasi sebab-musabbab apabila Dia menginginkan demikian. Kemudiannya fitrah tersebut diturunkan melalui jalan keturunan hasil kaedah hubungan antara keduanya yang telah ditentukan oleh Allah S.W.T sejak azali. Inilah antara maksud ayat 1 Surah al-Nisa’. Faktor-faktor fisiologi dan psikologi manusia berkembang dan berubah menurut tahap usia manusia.

Gadisku, Engkau dicipta untuk dilindungi...

    Gadisku,
    Tidakkah kamu telah menyaksikan kebesaran Allah dalam penciptaan dirimu?
    Tidakkah kamu berfikir zat yang mencipta dirimu sedemikian hebat begitu mengambil berat tentang dirimu dan perkembangan dirimu dalam ‘comfort zon’ ibumu?
    Siapa yang mengurniakanmu rezeki tatkala kamu begitu lemah tidak berdaya dalam rahim kandungan ibumu?
    Dimana lelaki pujaanmu tatkala kamu belum mengerti apa-apa?
    Dimana jejaka idamanmu tatkala kamu belum melihat dan mendengar?
    Kemudian,
    Setelah kamu menjengah dunia…
    Masihkah kamu tergamak membelakangkan zat yang benar-benar menyintaiMu…
    Zat yang benar-benar menguasai dirimu…
    Untuk sebuah cinta serpihan dari makhluk bernama lelaki?

Aku telah menyaksikan…
Betapa ramai gadis yang kecewa kerana bergantung didahan nan rapuh…

Dan Aku telah menyaksikan…
Betapa gadis bahagia itu…
Tetap teguh bergantung pada zat yang maha tinggi…

Gadis itu….
Buta….
Buta dari menjajah wajah-wajah tampan lelaki ajnabi…
Disimpan pandangan mempesona untuk yang halal..

Gadis itu….
Tuli…
Tuli dari mendengar seruan yang menjauhkan dirinya dari kalimah Allah…
Allah…Allah…Allah…

Gadis itu…
Bisu dari menuturkan kalam lagha…
Mengumpat…mengeji…menghukum..
memfitnah…mengadu domba… memujuk rayu lelaki bukan mahramnya…
Lidahnya hanya menuturkan kata yang diredai Pencipta lidah itu sendiri…

Gadisku..
Tenang dan bahagia hanya ada padaNya… 

Yang mengasihi dirimu…

Ummu Abbas
4.42pm
22 Zulhijjah 1430H

About these ads

2 thoughts on “Gadisku, dunia fisiologi dan psikologi dirimu…

  1. salam ummu abbas. Alhamdulillah sye terbuke web ini ketika sye btol2 sdang mncari pembacaan yg dpat menenangkan fikiran saya ketika ini. Saya adalah salah seorang drpda remaja yang hampir hanyut. Terjebak dengan cinta palsu lelaki. tetapi kami telah memutuskan hubungan kami. Dan sekarang saya amat menyesal dengan apa yang saya telah lakukan. Mungkin kami tidak pernah berzina fizikalnya, tapi berzina hati, telinga dan mata. Saya merasakan seperti harga diri saya sudah tercalar. Apatah lagi bekas teman lelaki sendiri pernah menasihati saya kurangkan berhubungan dengan lelaki, tunjukkan diri sebagai seorang yang bermaruah. saya merasa benar-benar malu. Dan terasa diri ini berdosa. Saya cuba berubah secara perlahan-lahan. Tetapi kadang-kadang masih bergurau senda dengan lelaki apabila ditegur. dan masih teringat bekas teman lelaki. Sepatutnya saya bersyukur dia meninggalkan saya kerana mahu mengelakkann dosa. tetapi kadangkala saya lemah. Bagaimana mahu saya kuatkan hati saya.

  2. salamu’alayk.., ummu abbas Alhamdulillah3x,, secara kebetulannya sy terbuka blog ummu.., sewaktu nkl cr bahan utk siapkan asaimen feminisme dan islam..,
    subhanallah.. coretan ummu sgt ilmiah dgn adanya hujahan dalil2 qat’ei.., dan sy ske puisi tue..best=)
    keep it up the good job!! wallahu’alam..

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s