Adakah Kaki Wanita Aurat?

2010/01/10 at 6:44am

Assalamualaikum

Seperti yang Ummu Abbas ketahui Azie tinggal di Asia Barat dan di sini mazhab dan amalan yg diamalkan amat berbeza dgn kita di Malaysia.  Azie tak berapa pasti mazhab mana yg diikuti di sini…. kalau solat, terutama kaum wanitanya x menjaga aurat seperti kita..kaki tidak ditutup elok, memakai pewarna kuku yg boleh menghalang air dan bermcm2 lagi perkara yg bertentangan dgn amalan kita.  Betul ke ada mazhab yg membenarkan perkara2 seperti itu ?

Azie

**************************************

Wa’alaikum salam warahmatullah Azie,

Persoalan Azie sebelum ini adalah pelbagai topik.   Kak Nur jawab satu persatu supaya tajuknya boleh diasingkan.

Untuk lebih memahami, saya kemukakan contoh perbahasan fuqaha’ mengenai aurat wanita semasa solat.

Aurat wanita semasa solat ialah seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan.  Hal ini disepakati fuqaha’ berdasarkan dalil-dalil berikut;

Allah berkata,

وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا

…dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya. 

An-Nur 24:31

 

Maksud ‘kecuali yang zahir’ dalam ayat ini sebagaimana yang ditafsirkan Ibnu Abbas r.a. ialah wajah dan dua tapak tangan wanita. 

Aisyah melaporkan,

أَنَّ أَسْمَاءَ بِنْتَ أَبِي بَكْرٍ دَخَلَتْ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَعَلَيْهَا ثِيَابٌ رِقَاقٌ فَأَعْرَضَ عَنْهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَالَ يَا أَسْمَاءُ إِنَّ الْمَرْأَةَ إِذَا بَلَغَتْ الْمَحِيضَ لَمْ تَصْلُحْ أَنْ يُرَى مِنْهَا إِلَّا هَذَا وَهَذَا وَأَشَارَ إِلَى وَجْهِهِ وَكَفَّيْهِ

Asma’ bint Abu Bakr telah masuk ke tempat Rasulullah s.a.w berada sedangkan dia memakai pakaian nipis.  Rasulullah s.a.w lalu berpaling  daripada memandangnya sambil berkata, “Wahai Asma’ sesungguhnya seorang wanita itu apabila telah baligh (haid) maka tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini, seraya menunjukkan wajah dan telapak tangannya.”

Hadis direkodkan olah Abu Dawud.

 

Hadis di atas menunjukkan bahawa kaki termasuk aurat tatkala Nabi s.a.w mengecualikan hanya wajah dan tangan.

Dalil lain yang menunjukkan dua kaki adalah aurat ialah hadis yang dilaporkan oleh  Ummu Salamah.  Dia pernah bertanya Rasulullah s.a.w ,

Apakah seorang wanita boleh menunaikan solat di dalam pakaian labuh dan tudungnya jika dia tidak mempunyai sarung?  Nabi s.a.w menjawab,

إِذَا كَانَ الدِّرْعُ سَابِغًا يُغَطِّي ظُهُورَ قَدَمَيْهَا

 

“Asal pakaian labuh (jubah) itu sempurna dan menutupi zahir kedua kakinya.”

 

Hadis direkodkan oleh Abu Dawud.

 

Abu Dawud menyatakan sesetengah perawi hadis ini tidak menyebut ia daripada Rasulullah s.a.w tetapi dari Ummu Salamah sendiri. 

Jika ia lafaz Ummu Salamah sekalipun, ia tetap menjadi dalil yang kuat memandangkan Ummu Salamah adalah isteri Rasulullah s.a.w.  Sudah tentu Ummu Salamah mengamalkan perkara yang telah diketahui benar dari Rasulullah s.a.w itu sendiri.

Abu Dawud dan Al-Tirmizhi merekodkan hadis daripada Aisyah r.a yang mengatakan, bahawa Rasulullah s.a.w berkata,

لَا يَقْبَلُ اللَّهُ صَلَاةَ حَائِضٍ إِلَّا بِخِمَارٍ

“Allah tidak menerima solat wanita yang telah haid kecuali dengan mengenakan tudung”.

 

Hadis ini menunjukkan wanita yang telah baligh wajib menutup seluruh kepalanya ketika mahu solat. 

Imam Tirmizi mengulas hadis ini di dalam Jami’nya (kitab karya beliau), “Apabila wanita yang telah baligh dan mukallaf melakukan solat dan ada bahagian rambutnya terdedah,  maka solatnya dianggap tidak sah”.

Berdasarkan rasional yang telah dikemukakan, adalah jelas aurat wanita ketika solat ialah seluruh badan kecuali muka dan dua tapak tangan.  Fuqaha’ sepakat menyatakan demikian kecuali kaki, ada fuqaha’ yang mengatakan ia dimaafkan jika terbuka.   

Rasional pendapat yang mengatakan kaki bukan aurat ialah,

“Menutup dua kaki semasa solat adalah disunatkan (digalakkan) serta bukan kewajipan yang tiada tawaran (rukhsah).  Ini adalah kerana dua kaki bukan aurat yang wajib ditutup.  Takwilan seperti ini dikuatkan oleh sebab adanya keperluan wanita membuka kedua kaki jika wanita berjalan.  Sekiranya mereka menutup kaki, maka keadaan itu akan menyusahkan.  Disamping itu, sesungguhnya kaki wanita bukan merupakan daya tarik bagi lelaki ketika dia melihat kakinya, tidak seperti ketika melihat wajahnya.  Kalau wajah sahaja bukan aurat, walhal ia lebih banyak menjadi daya penarik lelaki, maka apatah lagi kaki.  Justeru itu, kaki bukanlah aurat wanita”.

 

Secara peribadi, saya melihat hujjah yang mengatakan kaki bukan aurat agak lemah dibandingkan dengan hadis-hadis  yang telah dinyatakan di atas.   Hujjah yang digunakan lebih kepada lojik akal.  Sedangkan lojik akal bila bertembung dengan nas, maka nas perlu diutamakan.

Berapa banyak perkara agama yang tidak boleh disandarkan kepada lojik akal semata-mata disebabkan terbatasnya akal manusia untuk berfikir.   Alasan sukar berjalan jika menutup kaki tidak boleh lagi dipakai pada zaman sekarang.  Lebih-lebih lagi di zaman teknologi moden semakin berkembang, wanita masih boleh memakai stokin yang pelbagai fesyen sekarang.

Saya pernah membaca kisah seorang wanita yang meremehkan menutup kaki semasa menunaikan haji.  Banyaklah rungutannya akibat terpaksa memakai stokin, lebih-lebih lagi ketika stokinnya basah terkena air.  Akibatnya dia ditimpa bala oleh Allah swt.  Setelah sedar punca bala tersebut, wanita itu bersungguh-sungguh menjaga aurat kakinya. 

Mengambil iktibar dari kisah wanita itu, saya sendiri memakai stokin ketika menemani anak-anak bermain air di taman tema air.  Taman tema air seperti di Bukit Merah dan The Lost World of Tambun merupakan kawasan umum yang mencampur aduk lelaki dan wanita.  Jadi pilihan yang ada ialah tetap memelihara aurat kaki.  Biar stokin dibasahi air asalkan diri tidak dibasahi dosa.    

Seorang lelaki menyarankan dalam blognya agar wanita tetap menutup kaki di rumah jika terdapat tetamu lelaki. 

Sebelumnya, saya meringankan juga dari menutup kaki seperti ketika ada tetamu lelaki di rumah atau ketika bermain air di pantai dengan alasan rukhsah dan memakai pendapat yang mengatakan kaki bukan aurat.   Namun sekarang saya berusaha melakukan yang terbaik setakat termampu.  Dunia hanya sementara.   Masa kita terlalu singkat untuk beramal dengan ajaran Islam.  Oleh sebab itulah Allah bersumpah dengan masa dalam surah al-‘Asr.  Kemudian dikatakan manusia ini memang sentiasa rugi kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh.

Suami sendiri bertegas dalam hal menutup kaki.  Dia pernah menegur saya menutup wajah tetapi membuka kaki.  Kaki lebih aula ditutup berbanding wajah berdasarkan hujjah-hujjah yang ada.

Mengenai situasi yang Azie alami di sana, ia adalah perkara biasa berlaku sekarang di mana-mana negara ummat Islam.  Masyarakat Arab Jordan dulu pun begitu juga.  Meskipun di Fakulti Syariah, melihat gadis-gadis Arab bersolat dengan rambut terjurai di dahi dan menampakkan kaki adalah perkara biasa.  Sebagai pelajar yang memahami ibadah berdasarkan ilmu, kami tidak mengikut tabiat yang tidak baik itu.  Kita dianjurkan Islam untuk beramal dengan perkara yang diyakini dan meninggalkan perkara yang diragui kebenarannya. 

Walau bagaimana pun, dalam kes aurat kaki ini, meskipun kita memilih pendapat yang mempunyai hujjah yang kuat dan apa yang menenangkan hati kita.  Namun kita tetap perlu meraikan pandangan orang lain yang berbeza.  Justeru itu, kita tidak boleh memaksa para wanita di Asia Barat  solat sama seperti kita yakni menutup kaki.  Kita hanya boleh beritahu mereka hujjah yang kita tahu.  Terserahlah kepada mereka mahu menerimanya atau tidak.  Adapun amalan wanita Malaysia yang menutup kaki semasa solat wajar diteruskan secara istiqamah kerana ia paling tepat dengan petunjuk Nabi s.a.w.

Untuk perkara-perkara lain yang disebutkan atau tidak dinyatakan, garis panduan memilih pendapat untuk diamalkan  ialah yang mempunyai hujjah yang kuat.  Ini termasuklah memakai pewarna kuku yang boleh menghalang air.  Ia menyebabkan wuduk tidak sah.  Bukanlah bila dikatakan Arab, maka semuanya alim dan memahami secara mendalam mengenai Islam.   Mereka sama seperti umat Islam di Malaysia, mana yang belajar akan tahu dan yang tidak belajar akan tetap jahil.

Arab yang tahu, beriman dan beramal akan menjadi muslim yang baik.

Arab yang tahu tetapi tidak mahu beriman dan tidak mahu mengamalkan tetap menjadi muslim yang jahat.

Islam membekalkan kepada ummatnya prinsip-prinsip yang jelas dalam beramal yakni rujukannya al-Quran, Sunnah, Ijma’ dan Qiyas.  Kita sekali-kali tidak dibenarkan mengikut amalan kerana bangsa mereka atau keturunan mereka dan lain-lain yang berunsur taqlid.

Semoga Azie dapat bersabar dan berlapang dada menghadapi situasi masyarakat yang berbeza dengan kefahaman kita selama ini.  Pengalaman adalah satu ilmu yang amat berharga dari Allah swt. 

Apa yang baik datangnya dari Allah, apa yang kurang dari kelemahan penulis sendiri.

Buah cempedak di luar pagar

Ambil galah tolong jolokkan

Saya ibu yang terus belajar

Jika salah tolong tunjukkan.

Wassalam.

Ummu Abbas

11.11am

5 Safar 1431H

About these ads

15 thoughts on “Adakah Kaki Wanita Aurat?

  1. Assalamualaikum.
    Minta maaf, baru berkesempatan membaca penerangan ini. sejak 2 minggu lepas, azie terlalu sibuk dgn pelbagai urusan termasuk dgn keadaan kesihatan suami..sekarang alhamdulillah semakin beransur pulih.
    T/kasih atas jawapan yang diberikan. InsyaALLAH segala ilmu yang dipelajari akan dipraktikkan. Semoga ALLAh melindungi dan merahmati kita semua..

    Wa’alaikum salam Nojie.

    Moga Allah beri kesihatan yang baik pada Nojie, suami dan seluruh keluarga. Allah sebaik-baik penyembuh.


  2. Salam K.Nur…

    Saya berminat jugak dgn topik kaki itu aurat ni..

    Bukan apa, sebab macam susah sikit nak jaga bahagian ni. especially macam k.Nur kata, bila kat tempat berair.. contohnya kat pantai, laut.. berenang, menyelam maybe..

    Dan satu lagi macam mana kalau seseorang tu tinggal dgn keluarga mertua yang mana terdapat ipar duai lelaki?

    Secara ringkasnya, aurat di hadapan ipar duai agak lebih ringan. Ada pendapat yang mengatakan boleh menampakkan lengan dan kaki. Apa pun, Kak Nur akan cuba bentangkan secara ilmiah bila masa mengizinkan.

  3. assalamualaikum, kak nur. saya ingin bertanya, bagaimana jika seseorang berpendapat memakai stokin kaki menyukarkan baginya. contohnya, bila bermusafir, dan singgah surau untuk solat. selepas ambil wuduk saya perlu melalui jalan yang juga dilalui oleh lelaki. dan saya rasa sukar kerana jika saya pakai stokin lepas berwuduk, stokin saya akan basah. demikian juga apabila tetamu ajnabi datang rumah. di rumah, wanita akan bekerja di dapur yang biasanya lantainya lembap dan ada kala perlu ke bilik air. pakai stokin akan menyebabkan stokin basah dan akan menyebabkan kesukaran(banyak dibasuh, tidak selesa, dsb)..bagaimana saya boleh menyeledaikan masalah ini? Saya berharap dapat menenangkan hati saya selepas ni.

    Wa’alaikum salam Ana. Insya Allah, Akak beri respon setelah masa mengizinkan. Harap bersabar.

    satu lagi persolaan saya, adakah nas yang mengharuskan wanita berjunub berada dalam masjid?

    syukran.

  4. salam alaik ya ukhti.

    ana terlibat dgn taekwondo sekolah .
    tetapi semasa latihan kami semua dikendaki membuka stokin.

    hurrmm

    saya pun tak tahu la
    saya dah bincang dgn instructor.
    katanya kalau pakai stokin semasa latihan membahayakan
    takut licin~
    syukrann:P

    Wa’alaikum salam qalamhazin,

    Beberapa perkara yang perlu dijelaskan lagi;

    Adakah belajar taekwando sesama perempuan sahaja?

    Tidak harus belajar taekwando jika bercampur dengan pelajar lelaki.

    Guru harus diusahakan dari kalangan wanita terlebih dahulu. Jika tidak ada, maka harus berguru dengan guru lelaki.

    Mengenai stokin, setahu saya ada stokin jenis kasar tenunannya.

    Mungkin boleh cuba dulu. Jika terbukti licin dan membahayakan, mungkin boleh ambil pendapat yang mengharuskan membuka kaki dalam situasi tersebut.

    Mungkin boleh juga dicuba kasut penari ballet yang lembut itu.

    Apa pun, cuba dapatkan alternatif kepada stokin seperti cadangan kasut penari ballet di atas dan lain-lain sebelum memilih untuk membuka stokin.

    Wallahua’lam.


  5. Assalamualaikum..saya puan Noor disini ingin bertanya soalan yang sama berkenaan aurat kaki ketika solat. saya telah sah bernikah dengan suami saya yang ber mazhab kan Hanafi. ketika saya menunaikan solat,saya melihat wanita wanita disini hanya menutup badan dengan menggunakan selendang sahaja. Juga tidak menutupi kaki. kebanyakan ahli keluarga suami saya telah menunaikan hajji. saya juga kadang kadang terikut menunaikan solat tanpa menutupi kaki setelah suami saya juga berkata bahawa aurat kaki sunat jika ditutup sedangkan di malaysia lain sama sekali..adakah sah solat saya sekiranya kaki tidak di tutup?

    Wa’alaikum salam warahmatullah,

    Puan Noor, saya berminat untuk tahu Puan Noor tinggal di negara mana. Itu pun jika Puan Noor tidak keberatan untuk memberitahu.

    Mengenai persoalan Puan Noor, secara ringkasnya… fuqaha’ berbeza pendapat dalam menentukan batas aurat wanita ketika solat. Jumhur fuqaha’ mengatakan aurat wanita di dalam solat adalah selain muka dan tangan. Mazhab Maliki yang mengatakan aurat wanita di dalam solat selain wajah, tangan dan kaki.

    Berdasarkan pemerhatian saya kepada dalil-dalil yang dirujuk (boleh rujuk kitab Al-Fiqh al-Islamiy wa Adillatuh karya Dr Wahbah al-Zuhayli) , saya dapati pendapat jumhur adalah kuat yakni kaki termasuk aurat yang wajib ditutup semasa solat. Jadi saya berpendapat lebih baik kita menurut pendapat jumhur fuqaha’ berdasarkan dalil-dalil yang digunakan meskipun persekitaran kita tidak mengamalkannya. Perkara utama harus diikut ialah ilmu berdasarkan hujjah yang ada dan bukannya berdasarkan amalan masyarakat di sekitar kita. Apatah lagi jika pendapat yang kuat itu kita sudah terbiasa beramal dengannya dalam suasana masyarakat Islam Malaysia.

    Lebih baik terlebih buat dari terkurang. Itulah prinsip yang patut ada dalam setiap muslim tatkala berhadapan masalah khilaf pendapat. Ijtihad fuqaha’ itu sendiri terbahagi kepada dua yakni betul dan salah. Jika betul mendapat dua pahala dan jika salah mendapat satu pahala. Untuk mendekati perkara yang betul, hendaklah kembali kepada dalil yang lebih kuat.

    Insya Allah, saya akan menulis secara ilmiah apabila mempunyai waktu terluang.

    Wassalam.


  6. assalamu alaikum.W.W.
    apabila sy diizinkan untuk bergabung sy mengucapkan terimakasih.
    apabila menggunakan kaos kaki menurut sy sangatlah susah,karna segala aktivitas kita trhambat,tapi sy tau bahwa kaki adalah sebagian dari aurat.
    mohon tips-tipsnya agar memakai stoking ini tidak susah buat sy,karena sy ingin skali…………..mnggunakannya tapi ya itu,sy masi merasa sngat susah.
    terimakasih…………..

    Wa’alaikum salam wbh :)

    Pada pandangan saya, hanya aktiviti tertentu yang akan terganggu dengan memakai stokin ini. Contoh penanam padi di sawah yang perlu turun ke dalam lumpur. Namun biasanya mereka memakai kasut but yang tinggi hingga ke betis. Jadi kaki tetap terlindung walau tidak memakai stokin.

    Apakah aktiviti yang Santi biasa lakukan hingga merasa susah?

    Pepatah Melayu ada mengatakan, “Alah bisa, tegal biasa”… bila sudah dibiasakan, ia tidak akan merasa susah lagi.

    Saya tidak ada tip-tip khusus mengenai hal ini. Semua bergantung kepada keinginan kita untuk mencapai reda Allah. Saya rasa yang susah itu bukanlah pada memakai stokin tetapi kita sendiri kadang-kadang rasa malas. Rasa malas itu adalah tuntutan nafsu sendiri. Jika inilah sebenarnya yang Santi rasakan, maka berusahalah mengatasi rasa malas tersebut demi memenuhi kehendak agama.

    Jika saya silap faham, tolong betulkan ye mbak…

    Terima kasih kerana sudi berkunjung ke sini.

  7. Salam.

    Saya ada satu kemuskilan mengenai memakai stokin. memakai stokin di kaki tetap menampakan aurat kerana stokin mengikut bentuk kaki kita. jika pakai pakaian yang ketat dikira tidak menutup aurat kerana menampakan bentuk tubuh..mengapa pula memakai stokin sudah dikira menutup aurat sedangkan apabila kita memakai stokin..stokin itu melekat di kaki kita dan menampakan bentuk kaki kita. kalau memakai kasut ‘penuh’ baru la aurat kaki dikira ditutup kerana tidak menampakan bentuk kaki kita. kalau memakai stokin lalu basah kerana terkena air…lagi la stokin itu menampakan aurat kaki kerana sesetengah stokin jarang. kalau nak memakai stokin yang tidak jarang kenalah memakai stokin bola yang tebal tu…saya akui kaki itu aurat tetapi memakai stokin sahaja tidak memadai untuk menutup aurat kaki. jadi saya harap sama sama kita fikirkan sesuatu ‘benda’ yang boleh digunakan untuk selesaikan isu ini.
    selain itu

    ‘Tidak harus belajar taekwando jika bercampur dengan pelajar lelaki.’

    ayat ini sungguh weird. boleh jelaskan lagi.

  8. salam,
    berkenaan soalan sdri rohaila ariffin, sbnrnya aurat pada kaki lebih kepada kecantikan kaki tersebut. walaupun perempuan memakai kain yang labuh hingga ke buku lali, tetapi bila melihat kemulusan kaki seorang wanita itu pun sudah boleh menaikkan nafsu lelaki. jadi seorang wanita perlu memakai stokin yang tidak jarang agar kemulusan, keputihan dan kecantikan kakinya tidak terserlah.

    tentang stokin mengikut bentuk kaki tidak menjadi sebarang masalah kerana bentuk kaki sahaja tidak mempengaruhi nafsu, melainkan jika terlihat bentuk betisnya sekali. jadi bila telah memakai kain yang labuh atau seluar panjang itu telah melengkapi syarat menutup aurat.

    tentang taekwando pula, syariat islam tidak melarang penganutnya belajar seni mempertahankan diri kerana byk kebaikannya. tetapi islam meletakkan garis panduan dalam urusan ikhtilat iaitu percampuran antara lelaki dan prmpuan. dlm latihan taekwando yg memerlukan byk gaya pergerakan, adalah tidak sesuai bila ada lelaki yg berpeluang menonton aksi kita. jd usahakan agar diri kita terjaga. sdri boleh merujuk yg lebih arif berkenaan ikhtilat, perlu diingatkan perlu berguru dgn yg benar2 alim krn ada juga ustaz atau ustazah yg meringan-ringankan ikhtilat.
    wallahualam, sekadar pendapat dari saya.

  9. ****tentang kemulusan kaki boleh menarik perhatian lelaki hanya pendapat saya. tidak menjadi alasan untuk orang yang kakinya ‘biasa-biasa’ tidak memakai stokin. syariat islam ada hikmah yang tersendiri mengapa perlu dipelihara aurat itu. insyaallah semoga kita yang mengamalkan dapat merasai hikmahnya =)

  10. salam,kak..ipar duai boleh ke nmpak kaki kita,hrp akk reply..terima kasih

    Wsalam. Aurat di hadapan ipar duai (mahram sementara) lebih ringan. Yang akak faham, ia diharuskan.

  11. persolan yg sering diambil dan dipandang ringan oleh kaum wanita… marilah kita sama2 sebarkan….

  12. Sebahagian ulama mengatakan wajib. Sebahagian lain mengatakan sunat berdasarkan hujjah masing-masing.

    Azmariana boleh search perkataan purdah untuk cari artikel berkenaan dalam blog ini.

  13. kadang2 saya tengok ustazah pun tak pakai stokin,so bila saya nak pakai stokin saya rasa macam tak nak je..ustazah yg banyak ilmu agama tu pun tak pakai,inikan saya seorang remaja yg masih cetek dgn ilmu2 agama..patutkah saya rasa mcm tu??

  14. Nurul,

    Kita diperintahkan Allah beramal dengan ilmu, kefahaman dan niat yang ikhlas.

    Sekali-kali kita tidak akan ditanya tentang amal perbuatan orang lain.

    Jika kita faham menutup kaki itu wajib dan hati merasa tenang berbuat demikian, teruskan menutup kaki walaupun ramai ustazah tidak melakukannya. Dalam masa yang sama, kita menghormati pilihan orang lain jika pilihan itu masih dalam daerah halal.

    ‘Ustazah’ bukan bererti wanita beriman. ‘Ustazah’ ialah gelaran yang diberikan kepada mereka yang mendapat pendidikan agama di sekolah dan universiti.

    Beramallah dengan keyakinan dan mahu mendapat reda Allah, bukan kerana menurut manusia tanpa faham.

    Cetek ilmu agama boleh diperdalamkan. Peluang sentiasa terbuka luas. Tinggal lagi meletakkan mahu di hati dan usaha di kaki melangkah ke majlis-majlis ilmu atau di tangan menekan keyboard melayari blog, web dan youtube berkenaan pengajian agama.

    Nurul membaca enrty ini pun salah satu cara menambah ilmu dan kefahaman. Tahniah!

    Semasa remaja dulu, Ummu juga masih cetek ilmu agama. Bila sentiasa belajar, ilmu bertambah insya Allah.

    Kita beramal dulu apa yang kita tahu walaupun sedikit. Insya Allah, amal bertambah sejajar dengan bertambahnya ilmu.

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s