Archive | Jun 2010

Mahu lihat Melayu Bersatu? Jom ke sini…

Mahu lihat Melayu Bersatu? Jom ke sini...

Di bawah ini petikan berita dari Harakahdaily.

KOTA BHARU, 29 Jun: Setelah ura-ura Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyertai Umno bersama kelompok ulama muda tidak menjadi kenyataan, bekas Mufti Perlis itu akan dibawa ke Kelantan bagi menjelaskan perkara sebenar yang berlaku.

Orang ramai di sini dijangka berpeluang mendengar sendiri penjelasan Dr Asri, sejauh mana dakwaan terhadapnya konon berminat menyertai Umno.

Beliau diundang pada siri wacana perdana yang akan dianjurkan kerajaan negeri pada 10 Julai ini bertempat di Balai Islam, Lundang bermula jam 9 malam.

Wacana itu bertajuk ‘Bolehkah Melayu Bersatu?’ turut mengundang dua Exco Pemuda Umno Malaysia, Ustaz Afandi Yusof dan Lokman Noor Adam. Selain itu anggota parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa.

Manakala Prof Madya Dr Muhammad Agus Yusof akan bertindak sebagai moderator.

Pengarah program berkenaan, Ahmad Baihaki Atiqullah berkata, pemilihan tajuk tersebut sesuai dengan pelbagai tafsiran dibuat berkaitan kedudukan orang Melayu di negara ini sekarang.

”Ada tafsiran yang optimis, dan ada pula yang pesismistik, namun begitu negara ini telah melalui pelbagai bentuk perubahan politik, ekonomi, dan sosial yang memberi kesan kepada masyarakat Melayu,” katanya di sini.

Wacana tersebut merupakan beberapa siri forum diadakan di Kelantan sejak 2008. Wacana itu pernah mempertemukan Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa.

Bekas pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Datuk Nakhaie Ahmad juga pernah diundang ke wacana berkenaan sebelum ini.

Wacana itu dianjur dengan kerjasama Perbadanan Menteri Besar Kelantan, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan, Air Kelantan Sdn. Bhd. Selain itu Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam, Kelantan TV (KTV) dan Galeri Al-Mizan.

Sebelum ini Setiausaha Kerja Umno, Datuk Abdul Rauf Yusoh mendakwa kira-kira 100 ulama muda berkelulusan tinggi akan menyertai Umno termasuk Dr Asri.

Bagaimanapun beberapa hari selepas itu hanya 40 sahaja sahaja ulama muda dilaporkan menyertai Umno tanpa kehadiran Asri pada majlis yang dihadiri presiden parti itu, Datuk Seri Najib Razak.

Berdasar kepada jumlah itu hanya seorang sahaja iaitu Dr Fadlan Mohd Othman berkelulusan sehingga PhD.

Darwinism dan Keganasan

 

3.  Darwinism dan Keganasan

Asas kepada teori Darwin itu ialah tidak wujud tuhan dalam menentu dan mengawal proses kejadian hidupan dan kejadian hidupan ini adalah hasil dari proses evolusi dan survival yang panjang. Seorang penulis Islam, Harun Yahya banyak membuat kajian berhubung dengan Darwinism. Beliau menyatakan dengan tegas bahawa Teori Evolusi Darwin antara punca manusia menjadi ganas.  Menjadi asas kepada teori ini bahawa manusia berevolusi daripada binatang khususnya primates (monyet).  Sesetengah bangsa manusia dipercayai makhluk primitive dan setengah bangsa yang lain lebih terkedepan dari sudut evolusinya. Iaitu satu bangsa lebih tinggi (superior) dan bangsa lain lebih rendah (inferior).  Dalam ertikata lain, Darwin adalah ‘bapa perkauman’ sebab menyatakan satu bangsa lebih baik daripada bangsa lain.

Dalam alam haiwan, haiwan yang kuat akan mengatasi haiwan yang lemah. Haiwan yang kuat akan menang dan meneruskan kehidupan manakala haiwan yang lemah akan pupus. Tambahan pula Darwin tidak mempercayai tuhan, agama dan hari pembalasan. Manusia adalah binatang yang lebih terkedepan dalam evolusi. Bagi meneruskan kehidupan, manusia  yang  kuat  perlu  menindas dan memusnahkan manusia yang lemah.

Sumber: media-cdn.tripadvisor.com/

Ramai ahli-ahli sains sosial menjadi pengikut Darwin yang menghalalkan keganasan, pembunuhan dan penindasan kaum yang kuat ke atas kaum yang lemah. Antaranya adalah Friedrich Nietzche, Arthur Gobineau dan Houston Stewart Chamberlain. Friedrich Nietzche sebagai contohnya dengan jelas menyatakan bahawa satu kaum manusia adalah ubermensch (supermen) dan bangsa lain perlu berkhidmat dan menurut perintah bangsa agung supermen ini.  Nietzche menjadi sumber inspirasi kepada Adolf Hitler yang kemudiannya menjadikan teori ini ke dalam amali apabila Nazi memerintah German.

Harun Yahya menekankan lagi bahawa Darwin telah menghalalkan penindasan bangsa-bangsa yang lemah disebabkan hasil kajian saintifik beliau iaitu “perjuangan untuk hidup” dan “yang kuatlah akan terus hidup”. Konflik-konflik yang berlaku di atas nama rasisme, fasisme, komunisme dan imperialisme serta usaha gigih mereka untuk menghentam golongan yang dianggap lemah.  Kini amat mustahil untuk menghalang atau menyekat mereka yang melakukan pembunuhan berkelompok secara kejam, melayan manusia lain seperti binatang, melaga-lagakan manusia supaya saling bermusuhan, mereka yang menghina orang lain kerana bangsa mereka, mereka yang menutup perniagaan-perniagaan kecil di atas dasar persaingan dan mereka yang menolak untuk menolong orang-orang fakir. Mereka melakukan ini semua berdasarkan kepada undang-undang semula jadi yang “saintifik”. Ini jelas satu fahaman hutan rimba dan dunia binatang iaitu siapa kuat dia terus hidup.

Ia juga jelas bertentang dengan kepercayaan Islam yang menyatakan semua bangsa adalah sama.  Allah menerangkan dalam surah  al-Hujurat, ayat 13,

Maksudnya:

 

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan serta Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya.

 

Ayat di atas secara nyata menerangkan tujuan manusia dijadikan berbilang bangsa, pelbagai warna kulit dan bermacam-macam bahasa adalah agar mereka saling berkenalan antara satu sama lain.  Hasil dari perkenalan tersebut, manusia diharap dapat meneliti kebesaran dan kekreatifan Allah dalam mencipta sesuatu.  Ia juga menambah warna-warna kehidupan yang lebih menarik di bumi sementara ini.  Puncak kepada saling mengenali antara satu sama lain itu ialah ketaqwaan kepada Allah.  Allah menegaskan bahawa hanya taqwa di hati seseorang yang bernilai pada pandanganNya.  Allah sekali-kali tidak mengira warna kulit, bahasa dan paras seseorang sebagaimana nilaian sebahagian manusia.  ALlah tidak hairan dengan semua sifat-sifat lahir tersebut kerana Dia sendiri yang menciptanya.  Berbeza hati yang bertaqwa, maka ia adalah pilihan dan berdasarkan daya usaha individu.

Darwinism menjadi asas kepada kedua-dua fahaman pengganas iaitu fasis dan komunis. Dianggap bahawa fasis (dan Nazi) adalah sayap kanan Darwinism dan komunis sebagai sayap kiri Darwinism. Kedua-duanya seolah-olah bertentangan antara satu sama lain tetapi persamaannya adalah mereka sanggup membunuh orang lain yang bukan satu bangsa atau satu fahaman dengan mereka. Kedua-dua mereka adalah pengganas yang menjadikan rakyat dan orang awam sebagai bahan ujian.

Perang Saudara di Sepanyol tahun 1936-1939 membuktikan bahawa fasis dan komunis sanggup membunuh penduduk awam demi memastikan mereka mendapat kekuasaan. Dianggarkan 500,000-1,000,000 orang rakyat Sepanyol yang dibunuh oleh kedua-dua pihak untuk mendapatkan kekuasaan. Pembunuhan penduduk awam Sepanyol tidak terhenti setakat berakhirnya perang saudara tersebut.  Ini adalah kerana Francisco Franco, seorang fasis yang mendapat kemenangan dalam perang tersebut meneruskan dasar pembunuhan penduduk awam.  Hitler dan Mussolini telah menggunakan Sepanyol sebagai makmal senjata baru dan kapal terbang pengebom mereka sebelum Perang Dunia kedua.

4.  Kebodohan, Psikologi Pengganas dan Budaya Mengampu

Keadaan miskin, tertekan dan kebodohan merupakan asas paling utama bagi keganasan. Perkara ini boleh dilihat dari sudut kelahiran, perkembangan dan pengaruh Nazi German. Nazi dengan mudah menjadi parti utama German kerana keadaan ekonomi gawat selepas kekalahan perang dunia pertama.  Keadaan sangat tertekan dengan kematian orang terdekat dan kemusnahan harta benda yang banyak. Golongan remaja juga tidak dapat belajar dengan sempurna kerana sibuk membantu ekonomi keluarga. Nazi sendiri sangat gemar kepada kebodohan dan kejahilan masyarakat supaya senang dipengaruhi.  Justeru itu semasa perkembangan Nazi, mereka sering mengadakan kempen pembakaran buku yang dikatakan membawa idea bukan German.  Ilmu sains juga ditentang kerana ia dianggap sebagai tipu helah Yahudi. Apa yang mereka gemarkan adalah cerita dongeng dan khayalan atau cerita-cerita penglipur lara sahaja.

Pengganas ini biasanya akan baik dan mesra apabila berkeseorangan tetapi berubah menjadi bahaya apabila bersama-sama dengan pengganas lain. Mereka boleh membunuh dan menumpahkan darah tanpa apa-apa perasaan.  Mereka biasanya orang  jahil yang senang dimanipulasikan oleh individu berkepentingan.  Sedangkan Allah melarang kita mengambil sebarang tindakan tanpa pengetahuan atau hujjah yang kukuh.  Larangan ini ditegaskan dalam surah al- Isra’, ayat 36,

 

Maksudnya:

 

Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.

 

Tokoh-tokoh lagenda diperbesar-besarkan seolah-olah boleh menyelesaikan semua masalah kaum tersebut. Nazi sering mengadakan program mengagung dan mengampu pembesar dengan terancang. Banyak rapat umum diadakan untuk mengampu pemimpin. Sehingga satu peringkat Hitler dianggap sebagai insan suci dan semua perbuatan Hitler dianggap sebagai tepat walaupun bertentangan dengan naluri kemanusiaan.  Lihatlah semasa peristiwa Holocaust, orang German hanya melihat pembunuhan tersebut sebagai satu tindakan yang rasional kerana sudah dihijab oleh propaganda mengampu yang keterlaluan. Para doktor yang seharusnya menjadi penyelamat manusia dari kesakitan fizikal, telah bertukar menjadi pembunuh kejam dan pengendali ujian sains ke atas manusia.

Orang-orang bodoh yang tidak dididik dengan perasaan cinta dijadikan askar dan polis. Oleh itu mereka senang dimanipulasi untuk menjadi pengganas. Mereka tidak lagi mempunyai peri kemanusiaan dan belas ihsan dalam melakukan pembunuhan. Mereka menjadi pengampu pemimpin nombor satu dan sanggup berbuat apa sahaja seperti robot. Contoh yang paling dekat adalah pegawai Schutzstaffel (SS) Nazi. Mereka bekerja dan bertindak secara langsung atas arahan pemimpin, Hitler. Mereka dibayar gaji oleh negara untuk menyiasat, mendakwa, membunuh orang awam, membuat ujikaji, menjalankan provokasi dan apa-apa sahaja tindakan untuk memasikan Hitler terus menjadi pemimpin agung Nazi.

Budaya mengampu yang keterlaluan ini sangat merbahaya. Gelaran-gelaran hebat diberikan kepada pemimpin-pemimpin mereka. Contohnya ‘Der Fuhrer’ diberikan kepada Hitler mengambarkan sebagai pemimpin yang tahu segala-galanya. Seorang pemimpin Nazi, Herr Spaniol, berucap di Saarbruecken dalam bulan Januari 1935, menyatakan: “Saya tidak percaya Gereja akan berterusan dalam bentuk sekarang ini. Pada masa akan datang, agama (kristian) akan dipanggil National Socialism (Nazi).  Nabi, Pope, Jesus Christ akan dipanggil Adolf Hitler”. Manakala Mussolini di Itali pula digelar Il Duce (Pemimpin Agung). Propaganda yang dibuat pada masa itu adalah “Duce Sentiasa Betul”.

 Perkara ini juga dilihat berlaku semasa Kerajaan Pol Pot di Kemboja. Pada waktu tersebut setiap orang yang berkaca mata dibunuh kerana menggunakan teknologi barat. Beribu-ribu guru dibunuh dan selebihnya dipaksa menjadi petani. Masyarakat penuh dengan kejahilan. Kanak-kanak dipisahkan daripada keluarga, diajar dengan permaianan ganas dan dilatih menjadi perisik bagi kerajaan Khmer Rouge. Institusi keluarga runtuh kerana suami isteri serta anak-anak tidak mempercayai satu sama lain. Pembunuhan berleluasa dan berlaku dimana-mana. Suasana takut dan bimbang meliputi masyarakat.

Sumber: questgarden.com/


 
5.  Firaun Sebagai Tokoh Pengganas

Firaun adalah tokoh yang sukakan keganasan, kezaliman dan penindasan.  Sifat-sifatnya disebut dalam al-Quran menyamai tokoh pengganas dan diktator di zaman moden. Firaun yang memerintah Mesir di zaman Nabi Musa mengamalkan sikap perkauman dan penindasan terhadap Bani Israel.  Bani Israel dianggap sebagai hamba dan warganegara kelas kedua.  Dia telah membuat undang-undang yang zalim iaitu semua bayi lelaki Bani Israel mesti dibunuh.  Allah menukilkan sikap Firaun ini dalam surah  al-Qasas, ayat 4,

 

Maksudnya:

Sesungguhnya Firaun telah berlaku zalim di bumi (Mesir) dengan melampaui batas, serta dia menjadikan penduduknya berpuak-puak. Dia menindas sepuak di antaranya dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya dia adalah dari golongan yang membuat kerosakan.

Dalam surah al-Mu’minuun, ayat 47, kaum Firaun digambarkan sebagai golongan yang angkuh,

Maksudnya:

 

Sehingga mereka berkata (dengan angkuhnya): “Patutkah kita beriman kepada dua manusia seperti kita, sedang kaum mereka menjadi hamba-hamba kita?”

Allah menjelaskan pula dalam surah al-A’raaf, ayat 141,

Maksudnya:

Dan (Tuhan berkata): Ingatlah ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun dan kaumnya, yang menyeksa kamu dengan azab seksaan yang seberat-beratnya; mereka membunuh anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu. Dan (ingatlah bahawa) yang demikian itu mengandungi cubaan yang besar dari Tuhanmu.

Firaun tidak keseorangan.  Dia mempunyai tentera dan pengampu yang ramai.  Mereka juga sering membuat propaganda-propaganda yang mengagungkan Firaun. Firaun memperbodohkan rakyat dengan propaganda tersebut. Allah menerangkan hal ini dalam surah al-Zukhruf, ayat 51 hingga ayat 54,

Maksudnya:

 

Dan Firaun pula menyeru (dengan mengisytiharkan) kepada kaumnya, katanya: Wahai kaumku! Bukankah kerajaan negeri Mesir ini akulah yang menguasainya, dan sungai-sungai ini mengalir di bawah (istanaku)? Tidakkah kamu melihatnya? Bahkan bukankah aku lebih baik daripada orang yang hina keadaannya ini dan yang hampir-hampir tidak dapat menjelaskan perkataannya? (Kalau betul dia seorang Rasul) maka sepatutnya dia dipakaikan (oleh Tuhannya) gelang-gelang emas (yang menandakan dia seorang pemimpin) atau datang malaikat bersama-sama dengannya (sebagai saksi tentang kebenarannya)? (Dengan yang demikian), maka Firaun memperbodohkan kaumnya, lalu mereka mematuhinya; sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasik (derhaka).

Dia mewujudkan suasana takut dalam masyarakat.  Inilah juga sifat diktator lain seperti Hitler, Mussolini dan Stalin. Mereka membuat kezaliman dan kerosakan dalam masyarakat. Allah menjelaskan dalam surah Yunus, ayat 83,

Maksudnya:

 

Maka tiadalah yang beriman kepada Nabi Musa melainkan sebilangan kecil dari keturunan kaumnya, itupun dalam keadaan takut kepada Firaun serta ketua-ketua kaum mereka menyeksa mereka.  Sesungguhnya Firaun bermaharajalela di bumi dan sebenarnya dia dari golongan yang melampaui batas.

Perkara ini ditegaskan lagi oleh Allah tatkala menyuruh Nabi Musa berdakwah kepada Firaun.  Allah memerintah Nabi Musa dalam surah al-Naazi’aat, ayat 17,

Maksudnya:

 

Pergilah kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas (dalam kekufuran dan kezalimannya)

Di antara propagandanya adalah dengan cara membuat rapat umum yang besar untuk mengampu beliau sehingga Firaun mengaku tuhan dan insan suci.  Sama seperti anggapan pengikut  Hitler dan Mussolini.  Allah menerangkan dalam surah al-Naazi’aat, ayat 23 dan 24,

 

Maksudnya:

 

Lalu dia menghimpunkan orang-orangnya sambil menyeru. Maka dia berkata: Akulah tuhan kamu yang tertinggi.

Pengganas yang berupa diktator ini dikelilingi oleh pengampu. Pembesar-pembesar mengambil peluang untuk mengampu Firaun. Mereka menunjukkan keprihatinan terhadap kedudukan dan kesukaan Firaun. Allah menceritakan keadaan ini dalam al-Quran. Katanya dalam surah al-A’raf, ayat 127,

Maksudnya:

Dan berkatalah pula pembesar-pembesar dari kaum Firaun: Adakah engkau (wahai Firaun) hendak membiarkan Musa dan kaumnya untuk melakukan kerosakan di bumi (Mesir) dan meninggalkanmu serta apa-apa yang dipuja olehmu? Firaun menjawab: Kita akan membunuh anak-anak lelaki mereka dan kita biarkan hidup anak-anak perempuan mereka dan kita tetap menguasai (menundukkan) mereka.

Firaun dan pengikutnya cuba memberikan imej yang buruk kepada musuhnya iaitu Nabi Musa.  Firaun mengatakan Nabi Musa adalah ahli sihir dan pembohong.  Merosakkan imej musuh nampaknya menjadi sebahagian propaganda diktator setiap zaman.  Firaun cuba merasionalkan hukuman bunuh kepada Musa dengan menunjukkan keprihatinannya kepada orang-orang Mesir. Firaun tidak mahu orang-orang Mesir bertukar agama dan mengikut Nabi Musa.  Seterusnya bimbang Musa dan pengikutnya melakukan kerosakan di bumi.  Inilah yang disebut oleh Allah dalam Surah Ghafir,  ayat  23 hingga 26,

Maksudnya:

Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutuskan Nabi Musa membawa ayat-ayat Kami dan bukti (mukjizat) yang jelas.   Kepada Firaun dan Haman serta Qarun; maka mereka (menuduhnya dengan) berkata: Dia seorang ahli sihir, lagi pendusta! Setelah Nabi Musa datang kepada mereka dengan membawa kebenaran dari sisi Kami, mereka berkata (dengan marahnya): Bunuhlah anak-anak lelaki orang-orang yang beriman yang mengikutnya dan biarkan hidup anak-anak perempuan mereka. (Tetapi usaha) dan tipu daya orang-orang kafir itu hanya menyebabkan mereka tenggelam dalam kesesatan dan kebinasaan sahaja. Dan berkatalah Firaun (kepada orang-orangnya): Biarkanlah aku membunuh Musa, dan biarlah dia memohon kepada Tuhannya (meminta pertolongan)! Sesungguhnya aku bimbang dia akan menukar agama kamu atau dia menimbulkan kerosakan di muka bumi.

 

Kesudahan Tokoh Pengganas ini ialah dimusnahkan Allah dengan cara ditenggelamkan di Laut Merah.  Allah ceritakan kisah mereka dalam surah al-Anfal, ayat 54,

Maksudnya:

 

Samalah seperti keadaan Firaun dan kaumnya serta orang-orang yang terdahulu dari mereka.  Mereka mendustakan ayat-ayat Tuhan mereka, lalu Kami binasakan mereka disebabkan dosa-dosa mereka dan Kami tenggelamkan Firaun serta pengikut-pengikutnya (di laut), kerana kesemua mereka adalah orang-orang yang zalim.

Allah mengingatkan lagi tentang pembalasan kepada pengganas dalam surah Ghafir, ayat 45 dan 46,

 

Maksudnya:

 

Maka dia diselamatkan Allah dari angkara tipu daya mereka, sedangkan Firaun bersama-sama kaumnya ditimpa azab seksa yang seburuk-buruknya.  Mereka didedahkan kepada bahang api Neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada dalam alam Barzakh) dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): Masukkanlah Firaun dan para pengikutnya ke dalam seksa api Neraka yang seberat-beratnya!

Apakah kesudahan ini khusus untuk Firaun sahaja? Tidak! Kerana Allah mahu kita mengambil pelajaran dari kisah yang dikemukakan al-Quran.  Allah menyebut dalam surah al-Naml, ayat 14,

 

Maksudnya:

 

Dan mereka (Firaun dan kaumnya) mengingkarinya (mukjizat Musa) secara zalim dan sombong angkuh sedang hati mereka meyakini kebenarannya. Oleh itu, lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang melakukan kerosakan.

 

bersambung di lain rancangan…

Islam Tidak Menyukai Keganasan

Kehangatan serangan Zionis di perairan antarabangsa begitu mudah dipeti sejukkan dengan isu Jemaah Islamiyyah (JI)…..Yahudi Israel sedang hebat dikutuk oleh masyarakat antarabangsa, alih-alih timbul isu JI pula. Sasarannya mudah ditelah yakni para ulama dan pemimpin Islam.  Sejarah penipuan, manipulasi, putar belit Yahudi ini akan berulang dan berulang sehingga Nabi Isa a.s dikembalikan ke dunia.

Benarkah setiap yang berkait dengan nama I S L A M itu ganas dan dipenuhi dengan keganasan terhadap manusia? Mari kita lihat sejarah keganasan untuk mengetahui siapa pengganas.

I S L A M   Membenci K E G A N A S A N

Penulis: Ibn Idris dan Ummu Abbas

 

P E N G E N A L A N

 

Dewasa ini Islam sering dikaitkan dengan pengganas dan keganasan. Apabila satu malapetaka berlaku maka ia dikaitkan secara langsung dengan Islam atau kaum muslimin. Samada malapetaka yang berlaku secara fitrah semulajadi seperti keruntuhan jambatan atau yang dilakukan oleh manusia seperti pengeboman, maka Islam sentiasa diletakkan berada di kandang orang salah sehingga dibuktikan sebaliknya (until proven otherwise).

Sumber: cache.boston.com/

Bermula dengan peristiwa 11 September 2001 (dikenali sebagai 9/11), Amerika Syarikat mengisytiharkan Perang Melawan Pengganas.   Walaupun pada realitinya, Amerika melawan ‘pengganas’ sejak sebelum peristiwa 9/11.    Bukankah Amerika menganggap dirinya polis dunia?   ‘Pengganas’ pada pandangan Amerika ialah mereka yang berusaha menegakkan cara hidup Islam serta meniupkan ruh jihad di kalangan penganut Islam.

Pada 11 September 2001 beberapa tempat di Amerika Syarikat telah dirempuh oleh kapal terbang penumpang. Sebanyak empat buah kapal terbang penumpang telah digunakan untuk memusnahkan Twin Tower World Trade Centre di New York, Pentagon dan Washington D.C. Lebih tiga ribu kematian didakwa dalam serangan tersebut. Ia diikuti dengan peristiwa pengeboman stesen keretapi di London dan pengeboman hotel di Bali dan Jakarta. Peristiwa serangan ke atas Amerika Syarikat menjadi titik tolak kepada tuduhan pejuang Islam terlibat dengan keganasan.

Umumnya tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab dalam kejadian keganasan tersebut.   Namun dalam sesetengah keadaan, ada pula kumpulan yang mengaku pejuang Islam mendakwa bertanggung jawab melakukan kekacauan tersebut.  Samada mereka benar-benar bertanggungjawab atau hanya mendakwa untuk mendapat publisiti sahaja tidak dapat dipastikan.  Atau mungkin juga dakwaan mereka mengaku demikian juga adalah satu manipulasi berita.  Sebahagian yang lain pula mendakwa tindakan tersebut adalah jihad dalam Islam.  Bagi mereka yang memahami Islam dan syariatnya yang sempurna, serangan ke atas orang awam mustahil dilakukan kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam.

Kemudian media massa yang rata-rata dikuasai oleh golongan anti-Islam membawa berita tersebut ke seluruh dunia. Islam digambarkan sebagai agama yang sukakan keganasan. Bahkan ada sebahagian dari pemimpin agama lain turut mendakwa bahawa Islam sukakan permusuhan dan keganasan. Perkataan seperti ini disebut oleh Pope Benedict XVI semasa ceramahnya di University of Rogensburg, German pada 12 September 2006.

Katanya,

‘Show me just what Muhammad brought that was new and there you will find things only evil and inhuman, such as his command to spread by the sword the faith he preached’.

Maksudnya:  Ini menunjukkan kepada saya bahawa Muhammad membawa suatu yang baru dan di sana kamu dapati hanya kejahatan dan perasaan tidak berperikemanusiaan, contohnya ajaran beliau untuk menyebarkan agama dengan pedang.

 

Adakah kenyataan ini satu yang benar? Bahkan sekiranya ada orang mahu kembali kepada Islam, mereka dilihat seolah-olah sukakan pembunuhan, hukuman yang keras dan tidak bertolak ansur. Kumpulan Islam dianggap kumpulan pengganas.  Parti Islam adalah parti yang sukakan keganasan.  Ulama dan pemimpin Islam yang mukmin dilabelkan penganjur perbuatan ganas.  Anak-anak dan belia Islam seolah-olah telah mempunyai genetik untuk menjadi pengganas. Kalau dahulu istilah pengganas khusus untuk komunis namun sekarang istilah ini digunakan juga untuk orang yang cintakan agama yang penuh kedamaian ini.

Tulisan kecil ini sedikit sebanyak cuba menjawab persoalan tersebut. Kita akan bincangkan siapakah pengganas, sifat-sifat Islam yang anti kepada keganasan dan akhirnya kita akan lihat kenapa Islam dikaitkan dengan keganasan.

KEGANASAN DAN PERMULAANNYA

 

1.  Definisi Keganasan

Keganasan yang kita bincangkan dalam buku ini dimaksudkan dengan perlakuan ganas, pembunuhan diluar dari batas kemanusiaan, pembunuhan orang awam yang tidak berdosa, pemusnahan tempat-tempat awam atau individu dengan tujuan menakutkan orang ramai dan penindasan kaum atau bangsa lain atau orang yang berfahaman berbeza yang dianggap sebagai kaum yang terkebawah atau warganegara kelas kedua. Di dalam Bahasa Inggeris, ianya biasa disebut sebagai terrorism atau violence atau destructive force.  Wikipedia, ensaiklopedia bebas, memberikan ciri-ciri keganasan seperti berikut; perlakuan ganas yang memusnahkan, memberi kesan psikologi dan ketakutan dalam masyarakat, matlamat menghalalkan cara, pembunuhan orang awam tidak berdosa dan gerakkerja tidak mengikut saluran undang-undang biasa.

Harun Yahya pula menekankan dua sifat utama keganasan iaitu mensasarkan orang awam dan memusnahkan keamanan.  Al-Quran memberi definisi kepada pengganas sebagai al-Mufsidiin –  ‘orang-orang yang membuat kerosakan (di atas muka bumi)’.  Perkataan  al-Mufsidiin –  antaranya disebut dalam surah al-Baqarah ayat 60,  surah Ali Imran ayat 63, surah al-Maidah ayat 64, surah al-A’raf ayat 74, 86, 103 dan 142, surah Yunus ayat 40, 81 dan 91, surah Hud,ayat 85 dan lain-lain.

 

2.  Sejarah Keganasan

Keganasan dan pembunuhan adalah sifat haiwan.  Apabila Allah menjadikan manusia, malaikat sangkakan ia seumpama haiwan.  Allah menceritakan hal ini di dalam surah al-Baqarah, ayat 30,

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلاَئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الأَرْضِ خَلِيفَةً قَالُواْ أَتَجْعَلُ فِيهَا مَن يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاء وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لاَ تَعْلَمُونَ

Maksudnya:

 

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berkata kepada para malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah (pemimpin) di bumi”Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?” Tuhan berkata, “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang kamu tidak mengetahuinya”.

 

Hamka dalam tafsir al-Azhar menyatakan bahawa ilmu Allah mengatasi ilmu para malaikat.  Allah menciptakan manusia berlainan daripada binatang.  Penciptaan manusia juga berbeza daripada malaikat. Haiwan hanya menuruti naluri dan nafsu sahaja manakala malaikat sentiasa menuruti perintah Allah tanpa sebarang soalan. Sedangkan manusia mempunyai naluri dan nafsu serta pada masa yang sama dibekalkan akal fikiran.

Malangnya sebahagian manusia menuruti hawa nafsu dan naluri kebinatangan sehingga sanggup melakukan keganasan dan kerosakan di atas muka bumi. Lalu diutuskan para rasul untuk mengajar mereka.  Allah menjelaskan dalam surah al-Baqarah, ayat 213,

كَانَ النَّاسُ أُمَّةً وَاحِدَةً فَبَعَثَ اللّهُ النَّبِيِّينَ مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمُ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِيَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ فِيمَا اخْتَلَفُواْ فِيهِ وَمَا اخْتَلَفَ فِيهِ إِلاَّ الَّذِينَ أُوتُوهُ مِن بَعْدِ مَا جَاءتْهُمُ الْبَيِّنَاتُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ فَهَدَى اللّهُ الَّذِينَ آمَنُواْ لِمَا اخْتَلَفُواْ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِهِ وَاللّهُ يَهْدِي مَن يَشَاء إِلَى صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ

Maksudnya:

 

Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut agama Allah yang satu tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan nabi-nabi sebagai penyampai khabar gembira dan pemberi amaran; serta Allah menurunkan bersama nabi-nabi itu Kitab Suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan dan (sebenarnya) tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberi kepada mereka Kitab-kitab Suci itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. Maka Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan izinNya. Dan Allah sentiasa memberi petunjukNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus (menurut undang-undang peraturanNya).

 

                        Allah menjelaskan lagi dalam surah Yunus, ayat 19,

وَمَا كَانَ النَّاسُ إِلاَّ أُمَّةً وَاحِدَةً فَاخْتَلَفُواْ وَلَوْلاَ كَلِمَةٌ سَبَقَتْ مِن رَّبِّكَ لَقُضِيَ بَيْنَهُمْ فِيمَا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ

Maksudnya:

      

Dan (ketahuilah bahawa) manusia pada mulanya tidak menganut melainkan agama yang satu (agama Allah), kemudian (dengan sebab menurut hawa nafsu dan Syaitan) mereka berselisihan. dan kalau tidaklah kerana telah terdahulu Kalimah ketetapan dari Tuhanmu (untuk menangguhkan hukuman hingga hari kiamat), tentulah telah diputuskan hukuman di antara mereka (dengan segeranya di dunia) mengenai apa yang mereka perselisihkan itu.

 

Oleh itu kalau kita lihat sejarah Eropah sendiri, sangat jelas menunjukkan manusia hidup umpama binatang sekitar kedatangan Nabi Isa.  Pada waktu tersebut, perlawanan antara manusia yang dipanggil gladiator dengan haiwan ganas adalah satu perkara biasa. Sebahagian mereka berlawan sesama sendiri dengan pedang atau panah.  Pihak yang menang akan membunuh pihak yang tewas di atas pentas dipanggil arenas.  Perlawanan ini yang dipenuhi segala unsur keganasan menjadi tontonan dan hiburan kepada ribuan manusia dalam Empayar Rome pada satu-satu masa. Bahkan boleh dikatakan setiap bandar mempunyai arenas pertandingan dan pembunuhan manusia ini.  Inilah hasil daripada penyelewengan ajaran agama yang menyebabkan manusia menjadi seperti haiwan.

……bersambung…

Ummu Abbas

11.32pm

11 Rejab 1431H

Lantunan Wahyu Membuahkan Pernikahan

Suatu hari, si ibu menziarahi kenalan yang sama-sama menyintai dakwah ke jalan Allah. Sebelumnya bukan dia tidak biasa dengan keluarga tersebut. Sering juga dia melawat keluarga berkenaan. Namun hari itu dirasakan kelainan yang menusuk jiwa. Alunan merdu yang sedang membaca wahyu Allah itu menyapa hatinya untuk mengetahui siapakah gerangan empuya suara.

Lantas ahli keluarga memberitahu ia kepunyaan sekuntum bunga yang berada di taman Asy-Shuli. Namanya seindah dan selembut suaranya iaitu Lathiifah. Dalam hatinya mula terdetik rasa kagum pada keluarga Asy Shuli yang menghidupkan suasana keislaman di dalam rumahtangga mereka. Akhlak mereka terpancar dari suluhan-suluhan wahyu Allah dan sunnah Nabi s.a.w.

Bukan sekadar itu, si ibu berkesempatan menunaikan solat berjemaah dan beramah mesra dengan keluarga Asy Shuli. Akhirnya, si ibu bertemu juga dengan pemilik suara yang mengalunkan al-Quran tadi. Indahnya cahaya wajah Lathiifah memancarkan sinar keimanan yang sangat kuat… menggambarkan dirinya seorang yang beriman dan bertaqwa kepada Allah dengan setulusnya. Wajah yang mendamaikan itu tidak mudah dilupakan oleh si ibu. Si ibu bertambah yakin dengan persekitaran yang baik keluarga Asy –Shuli dan kesolehahan puteri mereka.

Si ibu tidak lama menyimpan rasa berkenannya dia pada calon menantu untuk anak kesayangannya. Segera dia menyampaikan hasrat pada suami tercinta dan sang putera yang soleh. Mereka bermusyawarah untuk sama-sama mencapai reda Allah. Sang putera yang soleh sememangnya memiliki sikap mulia dan hormat pada orang tuanya. Tidak susah untuk dia memberikan persetujuan. Baik pada pandangan orang tuanya yang soleh itu, baiklah pula pada dirinya.

Tidak lama berselang masa sejak peristiwa ‘lantunan alunan wahyu Allah’ itu, sang putera bersama ibunya kembali ke rumah penuh barakah itu untuk melamar ‘si mawar solehah’. Saat itu, seluruh yang hadir merasa gembira menerima sebuah lamaran dari jejaka soleh yang menafkahkan diri di jalan dakwah.

Jejaka itu bukan sebarang jejaka. Jejaka itu berusaha berdampingan dengan Rasulullah s.a.w dari segala aspek yang ada pada Khatamul Anbiya’ itu. Dia mencontohi Nabi Muhammad pada aqidahnya, akhlaknya dan syariatnya. Maka terbentuklah seorang jejaka hebat yang punya kekuatan peribadi yang luar biasa. Pada akhirnya, selepas ruhnya pulang ke pangkuan Ilahi barulah dia dinobatkan sebagai mujaddid abad ke 19. Jejaka itu tidak lain tidak bukan adalah al-Syahid Hassan al-Banna.

Fikir-fikirkan…

Lontaran kisah di atas adalah untuk sama-sama kita merenungi akan diri kita sendiri khususnya buat remaja lelaki dan perempuan di usia keemasan mereka sekarang.

Muda hanya sekali.

Setiap detik yang berlalu tidak akan kembali.

Bagaimana pertemuan kita dengan jodoh kita? Adakah ianya dipenuhi barakah dan ketaatan atau dikelilingi maksiat?

Bagaimana cara kita dipertemukan bergantung kepada cara kita mengisi kehidupan sehari-hari…

Bagaimana rumahtangga bakal dilayari bergantung kepada pandangan kita terhadap kehidupan dan bagaimana kita membentuk diri sendiri.

Hassan al-Banna dan keluarganya merupakan salah satu contoh kehidupan yang mendekati kehidupan Rasulullah s.a.w bersama ahli bait.

Dari 2 buah buku

Alhamdulillah, saya menemui 2 buah buku yang sungguh bernilai isinya. Buku pertama yang saya beli ialah ‘Persembahan Cinta Isteri Hassan al-Banna’. Buku ini merupakan sambungan kepada buku ‘Cinta di Rumah Hassan al-Banna’. Saya agak terkilan kerana belum menemui buku pertama yang sudah lama saya ingin membelinya. Buku ‘Cinta di Rumah Hassan al-Banna’ akhirnya saya temui di Pesta Buku Islam Antarabangsa yang diadakan di Balai Islam, Kota Bharu pada 20 Jun 2010.

Kisah pertemuan Imam Hassan al-Banna dengan isterinya saya tulis semula dalam versi Bahasa Malaysia yang dipetik dari buku ‘Persembahan Cinta Isteri Hassan al-Banna’.

Ummu Abbas
9.09am
10 Rejab 1431H

Foto 9 Syuhada Mavi Marmara

Setiap tahun, pelajar-pelajar di Kuliyyah al-Syari’ah (Fakulti Syariah), Al-Jaami’ah al-Urduniyyah akan sibuk membuat persiapan menyambut hari mengenang para syuhada’ Palestine.   Gambar-gambar mereka akan menghiasi dinding-dinding yang dipaparkan secara kreatif.    Ada antara para syuhada’ itu adalah pelajar University of Jordan sendiri. 

Abdullah Yusuf Azzam

Al-Syahid Abdullah Azzam, syahid yang tersohor dengan khutbah-khutbah seruan jihad pernah mengajar di fakulti ini.    Sehingga sebuah menara jam dibina di laluan utama dalam kawasan University of Jordan sempena memperingati kesyahidan beliau.  Itulah yang diceritakan kepada kami. 

Bumi Syam ini menjadi saksi kepada nyalaan api jihad sejak di zaman Rasulullah s.a.w yang mana ramai sahabat menemui syahid di Medan Mu’tah.

Apakah ruh dan semangat para syuhada’ itu dapat  kami jiwai atau tidak bergantung kepada apakah yang menjadi kecintaan kami.  Jika antara pelajar Malaysia itu niat belajarnya mendapatkan dunia… mereka akan kembali ke Malaysia untuk menjadi hamba kepada pemerintah toghut.  Andai langkah pengalaman mereka di bumi para nabi dan rasul itu kerana menjejaki kebenaran, maka mereka akan pulang ke Malaysia membawa obor perjuangan Islam.  Obor itu nantinya akan menyinari ummah yang sedang meraba-raba dalam kegelapan jahiliyyah.

Saya terkenangkan sahabat-sahabat Arab yang sentiasa hidup jiwa mereka dengan ruh Islam dan bersemangat mengangkat Islam ke persada agung tatkala melihat foto-foto syuhada’ Mavi Marmara.

Ramai lagi yang menyintai syahid namun ada di kalangan mereka, Allah perkenankan hajat mereka lebih awal. 

 Sebahagian yang lain pula sedang menunggu giliran mereka. 

مِنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ فَمِنْهُم مَّن قَضَى نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا

Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.                                                                                   

AL-AHZAAB 33; 23

 

 Adakah kamu berharap mereka yang sedang lalai dengan keasyikan dunia akan rindu kepada sebuah kematian?  Apakah  kamu berharap dari mat rempit-mat rempit, minah-minah murahan, blogger-blogger lucah, penggemar web lucah, kaki arak, kaki judi, kaki rasuah, kaki riba dan lain-lain jenis maksiat akan sanggup menumpahkan darah dan mengorbankan nyawa mereka demi Islam?   Fikir-fikirkan…

 

Mereka berlumba-lumba menuju syahid

Dalam jihad, hati mereka begitu tenang 

Mereka menjadi abid di malam hari

Di siangnya, mereka menerkam musuh penuh gagah perkasa

Tiada masa lagi melihat kejelitaan yang haram

Kerana hati  sudah menggapai kecantikan bidadari syurga

 

Keazaman mereka seperti gunung

Sedangkan hati mereka penuh kedamaian

 

Tahniah buatmu… para syuhada’

Isteri di dunia kau tinggalkan

Bidadari syurga sedia menanti

Rahmat Allah tidak bertepi

Doakan kami agar menyusulimu…

Dikau tidak mati… wahai pejuang agama Allah

Bahkan sentiasa hidup di sisiNya

Mendapat rezeki melimpah ruah

Tanpa perlu lagi memerah keringat

Tiada lagi air mata kesedihan dan kepayahan

Semuanya sudah bertukar menjadi nikmat dan kegembiraan…

وَلاَ تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُواْ فِي سَبِيلِ اللّهِ أَمْوَاتًا بَلْ أَحْيَاء عِندَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ

فَرِحِينَ بِمَا آتَاهُمُ اللّهُ مِن فَضْلِهِ وَيَسْتَبْشِرُونَ بِالَّذِينَ لَمْ يَلْحَقُواْ بِهِم مِّنْ خَلْفِهِمْ أَلاَّ خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلاَ هُمْ يَحْزَنُونَ

Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki.

(Dan juga) mereka bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati Syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka, dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai (saudara-saudaranya) orang-orang (Islam yang sedang berjuang), yang masih tinggal di belakang, yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka, (iaitu) bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

ALi Imran 3: 169, 170

Ummu Abbas

2 Rejab 1431H

9.00pm

 

 

 

KUALA LUMPUR, 15 Jun: Pada 31 Mei lalu, seramai sembilan sukarelawan dari Turki telah syahid sewaktu dalam perjalanan menghantar bantuan kemanusiaan kepada saudara seagama di Palestin.

Mereka dibunuh oleh tentera Israel laknatullah ketika angkatan kuffar itu menyerang kapal Turki M.V. Mavi Marmara yang sedang dalam misi menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza, Palestin yang sedang dikurung dalam sebuah penjara yang sungguh besar.

Berikut merupakan senarai syuhada yang telah gugur sepanjang misi menyampaikan bantuan tersebut sebagaimana laporan laman web Haluan Palestin:

1. Ibrahim Bilgen, 61, seorang jurutera elektrik dari Siirt, Turki. Ahli Chamber of Electrical Engineers di Turki, berkahwin dan mempunyai enam orang anak.

2. Ali Haydar Bengi, 39, dari Diyarbakir. Graduan Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir. Telah berkahwin dan mempunyai empat cahaya mata.

3. Cevdet Kiliçlar, 38, Seorang wartawan dari Kayseri, Turki. Telah berkahwin dan mempunyai dua orang putera.

4. Çetin Topçuoglu, 54, dari Adana, Turki. Pemain bola amatur dan jurulatih taekwondo yang melatih atlet taekwondo Turki. Berkahwin dan mempunyai seorang cahaya mata.

5. Necdet Yildirim, 32, dari Malatya, Turki. Berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan berusia tiga tahun.

6. Fahri Yaldiz, 43, seorang ahli bomba di Adiyaman, Turki. Telah berkahwin dan mempunyai empat orang anak.

7. Cengiz Songür, 47, dari Izmir, Turki. Berkahwin dan mempunyai tujuh orang anak.

8. Cengiz Akyüz, 41, dari Iskenderun, Turki. Berkahwin dan mempunyai anak berusia 14, 12 dan 9 tahun.

9. Furkan Dogan, 19, as-syahid termuda dalam kalangan yang syahid, Merupakan pelajar Kayseri High School. Anak kepada Dr. Ahmet Dogan, seorang professor di Erciyes University. Warganegara Turki-Amerika dan mempunyai dua adik beradik.

Semoga anak-anakku menjejaki langkah kalian semua!

Allahuakbar!

Yahudi perlu keluar dari Palestine

Benar!  Mereka perlu keluar dari Bumi Palestine kerana di sana bukan tempat mereka.  Kenapa mereka tidak tinggal sahaja di tanah-tanah yang ramai non -muslim seperti mereka seperti di Amerika Syarikat sendiri- negara yang telah ditunggang untuk kepentingan satu kelompok manusia yang penakut.   Itulah antara yang saya sebutkan kepada suami awal pagi ini.  Kami sentiasa berbincang isu semasa.  Apatah lagi isu yang berkait dengan maslahah dunia Islam dan umat Islam.  Continue reading