Archive | Julai 2010

Ragam Ibu Hamil

Assalamu’alaikum warahmatullah.

Saya agak kurang sihat sekarang… simptom yang dialami ialah pening, muntah dan sering keletihan, demam…dan juga… rasa tidak berminat untuk membuka ‘laptop’… :)

Bau-bau masakan jiran yang dahulunya membuatkan saya tertanya-tanya apa yang dimasak mereka… sekarang ini terasa begitu menyakitkan… uwek…uwek…uwek… apa lagi, kalau tidak dimuntahkan kembali apa yang ada di dalam perut meskipun sekadar air dan angin apabila terbau bauan yang menyucuk hidung…

Mula-mula alahan datang, mengidam makan Nasi Kerabu… dua tiga hari selepasnya… dek asyik teringat… semasa mahu memohon terjemahan lesen memandu di JPJ Panji, saya berpusing mencari Nasi Kerabu Hitam kegemaran. Kedai berhampiran rumah yang saya suka Nasi Kerabunya sudah lama tidak menjual Nasi Kerabu Hitam dengan rasa serainya. Jadi terpaksa ‘round’ tempat lain untuk mendapatkannya. Biasanya saya minta suami carikan apa-apa yang saya mahu makan… namun kali ini, dia begitu sibuk… saya pun seboleh-bolehnya kena kurangkan bermanja dan kurang membebankan dia.

Haa… Alhamdulillah jumpa juga Nasi Kerabu Hitam…

“Makcik… Nasi Kerabu dua bungkus”

Itu dia… dua bungkus sekali pesan… ada keropok tapi ikan celup tepungnya sudah habis…

“Makcik… letakkan sekali ‘habuk’ ikan goreng tu ye…”

Dua bungkus Nasi Kerabu dalam genggaman… mahu segera makan, tiada tempat yang sesuai untuk ‘landing’… Hmmm… tak apa lah… selesaikan urusan di JPJ dulu. Nasib baik tidak lama… sebab dokumen yang diperlukan tidak cukup. Selepas ambil borang… segera kembali ke rumah. Alhamdulillah… dapat ‘pekena’ Nasi Kerabu pagi sekali dan tengahari sekali. Puas hati…

Betul kah kata-kata orang tua yang menyatakan jika ibu hamil mengidam itu tandanya janin dalam perut yang mahukan semua itu… jika tidak dipenuhi… selepas lahir… bayi itu akan selalu berair mulutnya? Entahlah saya rasa semua itu khurafat… saya yang hamil… saya yang mengidam… sayalah yang mahu makan semua itu.

Selepas itu, tidak ingat lagi Nasi Kerabu… hai… perasaan lain pula yang datang… mahu Nasi Arab pula… di Kelantan hanya ada dua restoran makanan Arab yang saya tahu… pertama Tarbus dekat Billion dan kedua Arabesque di Jalan Dato’ Lundang. Namun kedua-duanya saya rasa makanan Arabnya tidak seasli yang saya pernah makan di Jordan walaupun chefnya orang Arab sendiri. Saya mahu masak sendiri… lagilah jauh dari rasa aslinya… jadi nasi ayam bolehlah…

Akhirnya, kerana asyik teringat… saya mencemar duli juga berkunjung ke Arabesque. Selepas melihat menu, saya menempah Nasi Mandi Kambing, Nasi Mandi Ayam dan syawarma daging campur ayam. Ada humus sekali. Jika ikutkan, di Tarbus, harga makanan lebih murah… tapi Arabesque lebih dekat dengan rumah. Ok… selepas ‘pekena’ Nasi Mandi… sudah boleh lupakan nasi Arab… selepas ini saya tidak tahu apa lagi yang akan saya mengidam… lazimnya ia tidak akan berakhir sehinggalah bayi keluar dari ‘rumahnya’. Masya Allah…

Itulah sedikit sebanyak kerenah ibu hamil yang dapat dicoretkan di sini.

Alhamdulillah dan insya Allah… anak kelima saya, Aqil akan dapat adik lagi. Kandungan baru berusia 8 minggu. Bagi memujuk hati agar sabar dan reda pada situasi alahan yang di alami sekarang, saya selalu teringatkan perkataan Allah, wahnan ‘ala wahnin”… hmmm benar… Allah yang paling memahami diri saya saat ini…bukan saat ini sahaja… malah dulu, kini dan selamanya…
Pengalaman hamil sebanyak 5 kali sebelum ini dengan ragam alahan yang pelbagai menyebabkan saya begitu menghargai ayat 14 dari Surah Luqman yang berbunyi,

وَوَصَّيْنَا الْإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْنًا عَلَى وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).

 

Buat semua anak-anak, sama-sama kita berbakti kepada kedua ibubapa selagi hayat mereka dikandung badan. Usah tunggu sehingga mereka meninggal dulu baru mahu menyesal.

Buat anak-anak gadis yang masih tinggal bersama ibubapa, rajin-rajinlah menolong ibubapa di rumah tanpa perlu disuruh… lakukan kerana Allah dan dengan wajah yang manis… kelak hidupmu akan diberkati Allah dan sentiasa mendapat perlindungan dariNya. Rezekimu juga mudah mendekatimu. Jodoh yang baik juga akan didekatkan Allah kepadamu… tentu kamu suka begitu… bukan?

Jika anak-anak gadis hanya tahu membuta di pagi hari, membiarkan ibu yang sudah tua memasak untuk mereka setiap hari, membiarkan ibu mengurus rumah seorang diri dan hanya tahu melepak di luar rumah dengan rakan-rakan… tunggulah masanya Allah menyempitkan rezekimu… segala usaha duniamu menjadi sukar… jodohmu semakin jauh… dan jika ia datang sekalipun, suamimu itu bakal menggoncangkan kehidupanmu… pada saat itu, jangan kau mencari salah orang lain KECUALI dirimu sendiri…

Buat anak-anak lelaki, kedua ibubapamu lebih utama dari rakan-rakan dan isterimu sendiri… maka peliharalah hati kedua mereka selagi dalam perkara mentaati Allah swt. Ziarahilah mereka secara berkala dan hubungilah mereka selalu jika tidak berkesempatan menghadirkan jasad di hadapan mereka. Kelak hidupmu akan bahagia dan sentiasa dimurahkan rezeki serta diberkatiNya.

Jika engkau melebihkan isterimu dari ibumu… tunggulah Allah memporak porandakan kehidupanmu… segala usahamu menemui jalan buntu… isteri dan anak-anakmu mungkin akan menderhakaimu… rezekimu disempitkan… pada saat itu… jangan kau cari salah orang lain KECUALI dirimu sendiri…

Ingatlah… menyakiti hati kedua ibubapa berdosa besar di sisi Allah… Apabila mereka merasa kurang senang denganmu… Allah juga kurang menyenangi dirimu… saat itu… meskipun mereka tidak pernah mendoakan keburukan buatmu… namun Allah tetap akan menjadi pembela bagi kedua mereka…

Ingatlah… jika kamu menderhaka kedua ibubapa… sebenarnya kamu menderhakai Allah dan sedang berperang dengan Allah itu sendiri… lalu tali pergantungan mana lagi yang akan menyelamatkan kamu di dunia dan di akhirat kelak???   Meskipun kamu solat 5 waktu dan berpuasa penuh di bulan Ramadan… semua itu tidak bererti jika ibadah itu tidak memberikan kesan kepadamu untuk mentaati kedua ibubapamu setulus hati.

Carilah dunia dengan reda Allah dan kedua ibubapamu…
DAN
Burulah akhirat dengan reda Allah dan kedua ibubapamu…

Wassalam.

Ummu Abbas
8 Syaaban 1431H/ 20 Julai 2010
11.37am

Ancaman Terhadap Keluarga Muslim Kini

Penulis: Rosiah Salleh

 

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.

Surah Ar-Rum: 21

Terbentuknya keluarga Islam tentu merupakan idaman setiap orang Islam. Sesiapa pun akan berharap rumahtangga yang dibina dipenuhi suasana sakinah mawaddah dan rahmah, dengan pasangan yang soleh dan solehah serta anak-anak yang cergas dan berbakti. Apatah lagi jika berbagai keperluan hidup mampu disediakan dengan mudah, atau sekurang-kurangnya tidak sesulit yang dirasakan kebanyakan umat Islam kini. Tentulah kehidupan yang dijalani akan begitu indah dan bahagia.
Sayangnya, untuk mewujudkan keluarga ideal seperti itu bukan sesuatu yang mudah. Sistem sekular yang membelenggu masyarakat kita kini membuat kehidupan serba sempit. Berbagai krisis terus mewarnai kehidupan masyarakat; dari krisis politik yang meruncing hingga kepada krisis ekonomi, moral dan budaya, sosial dan lain-lain. Hal ini bertambah parah dengan adanya krisis nilai akibat berkembangnya pemikiran-pemikiran yang bertentangan dengan Islam.

Kenyataan ini mahu tidak mahu terkesan pula pada kehidupan keluarga muslim. Tidak ramai ditemui keluarga muslim yang benar-benar mampu menegakkan nilai-nilai Islam, bahkan ramai yang terjebak dengan kehidupan yang materialistik dan mementingkan diri. Tidak sedikit pula keluarga muslim yang turut goyah, hingga angka perceraian dan trend single parent terus meningkat. Keruntuhan moral anak dan remaja juga menjadi gambaran buruk umat Islam saat ini yang tentu saja akan menjadi ancaman serius bagi nasib masa depan umat Islam..

Punca masaalah

Sekurang-kurangnya ada dua faktor kenapa perkara ini terjadi. Pertama, faktor dalaman umat Islam yang lemah dari segi akidah sehingga tidak memiliki visi dan misi hidup yang jelas. Ini berpunca lemahnya kefahaman mereka terhadap hukum-hakam Islam, termasuk tentang pernikahan dan konsep keluarga, fungsi dan hukum-hakam utama di dalamnya.

Kedua, faktor luaran, iaitu konspirasi asing untuk menghancurkan umat Islam dan keluarga muslim melalui serangan berbagai aliran pemikiran dan budaya sekular yang rosak dan merosakkan, terutama fahaman liberalisme yang menawarkan kebebasan individu, baik dalam pemikiran, berperilaku, beragama maupun dalam hal pemilikan harta. Fahaman ini secara langsung telah mengenepikan peranan agama dari sistem kehidupan manusia, sekaligus menjadikan manusia bebas mutlak menentukan arah dan cara hidupnya antara laki-laki dan perempuan dalam kehidupan berkeluarga.

Dengan kefahaman ini, umat Islam akan ‘merasa malu’ terikat dengan hukum-hukum Islam. Apatah lagi apabila hukum-hukum Islam memang sengaja didakyahkan oleh musuh-musuh Islam sebagai undang-undang yang kolot, anti kemajuan, ekslusif, bias gender dan gambaran-gambaran buruk lainnya. Sebagai alternatifnya, umat Islam harus menuntut penerapan berbagai undang-undang yang menjamin kebebasan individu, sekalipun mereka tahu, bahawa undang-undang itu bertentangan dengan syariat agama mereka.

Mengapa konspirasi penghancuran ini dilakukan, tidak lain kerana Islam dan umatnya memiliki potensi ancaman terhadap hegemoni peradaban Barat. Selain potensi sumber tenaga, Islam dan umat Islam juga memiliki potensi ideologi yang jika semua potensi ini disepadukan akan mampu menandingi bahkan mengatasi sistem kapitalisme global Barat.

Di samping itu, keluarga muslim kini masih berfungsi sebagai benteng pertahanan terakhir, yang menjaga saki baki hukum Islam berkenaan kekeluargaan dan individu, setelah hukum-hukum Islam lainnya berkaitan aspek sosial dan kenegaraan berjaya mereka hancurkan. Terpeliharanya saki baki hukum-hukum Islam di kalangan keluarga muslim ini pun masih mempunyai potensi besar dalam melahirkan generasi pejuang yang menjadi harapan umat di masa depan. Dari keluarga-keluarga muslim ini, akan lahir pejuang muslim yang akan menghancurkan hegemoni mereka. Inilah yang musuh Islam takutkan.

Mereka berusaha bersungguh-sungguh menghancurkan keluarga muslim dengan berbagai cara. Antara lainnya, dengan berusaha menjauhkan para muslimah dari cita-cita menjadi ibu yang mampu menyempurnakan peranannya. Secara sistematik, diciptakanlah struktur kemiskinan melalui penerapan sistem ekonomi kapitalis yang memaksa para ibu bekerja untuk menampung keperluan keluarga dan akibatnya peranan ibu tidak mampu dilakukan sepenuhnya. Selain itu, mereka racuni pemikiran muslimah dengan berbagai pemikiran yang merosak seperti idea emansipasi wanita atau keadilan, kesamaan gender dan kebebasan, sehingga para muslimah lebih tertarik menampilkan diri dan pada masa yang sama merasa rendah diri dengan peranan menjadi suri rumahtangga. Kesan selanjutnya, lahirlah generasi tanpa bimbingan dan perhatian para ibu.

Apa Yang Harus Dilakukan?

Berdasarkan faktor-faktor tersebut, jelas bahawa gerakan liberalisasi berlangsung secara begitu sistematik yang melibatkan berbagai pihak bermula dari pihak negara-negara kapitalis Barat sebagai dalangnya dan para kapitalis sebagai penaja dananya. Maka strategi yang harus dilakukan untuk menghadapi berbagai konspirasi itu adalah dengan mengajak umat untuk bersegera meninggalkan sistem liberal sekular ini, dengan cara melakukan pencerdasan umat dengan Islam kaffah sebagai cara hidup muslim. Matlamatnya adalah untuk membangun peribadi muslim dan muslimah yang siap berjuang melakukan perubahan sistem hidup sekular itu.

Dalam konteks muslimah, kecerdasan membangun peribadi muslimah yang sedia melahirkan generasi pejuang, menjadi isteri solehah, pendamping para pejuang sekaligus yang sedia mengajak dan memimpin para muslimah untuk perubahan ke arah Islam. Pada masa yang sama, diusahakan pemerkasaan fungsi keluarga muslimagar menjadi keluarga-keluarga yang tegak atas dasar ketakwaan dan ketaatan kepada Allah, menjadikan syariat Islam sebagai pegangan sehingga setiap keluarga muslim mampu berfungsi sebagai masjid, madrasah, rumah sakit, benteng pelindung dan tonggak perjuangan yang siap melahirkan generasi pejuang dan pemimpin umat, yang berkualiti mujtahid sekaligus mujahid. Kesemuanya itu diarahkan untuk mewujudkan masyarakat yang mentaati syariat Islam dimana pemikiran, perasaan dan sistem masyarakatnya diikat oleh sistem Islam yang berteraskan aqidah tauhid.

Strategi Pendekatan.

Adapun strategi pendekatan yang diperlukan untuk mencapai matlamat ini tidak lain adalah dengan menyebarkan dakwah Islamiah di tengah-tengah masyarakat, tidak terkecuali muslimah, hingga Islam difahami secara menyeluruh sebagai penyelesai masalah-masalah kehidupan mereka. Dengan cara ini, akan muncul para muslimah unggul yang memiliki kecerdasan politik yang tinggi dan siap memperjuangkan Islam secara berjamaah.

Usaha besar ini pastinya menuntut adanya sokongan dari semua komponen umat yang sudah sedar, khususnya dari kalangan para tokoh masyarakat, baik dari peringkat bawahan hingga ke peringkat pimpinan. Di tangan merekalah terletak potensi perubahan, disamping terbeban tanggungjawab besar membawa umat ini meraih kemuliaan mereka kembali sebagai khaira ummah.

Sesungguhnya, kewajiban memperjuangkan Islam adalah natijah keimanan yang akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT kelak. Sedangkan kita semua tidak akan dapat menghindarkan diri dari misi mulia ini, kecuali kita siap menghadapNya tanpa hujjah di akhirat kelak. Semoga kita semua termasuk golongan yang mampu kembali ke hadapanNya dengan membawa hujjah yang nyata. Diakhirat kelak, kita layak bersama-sama dengan Rasulullah SAW tercinta dan barisan para pejuang radhiyallahu anhum di sisinya. Amin.

Qailulah@ Tip Elak Mengantuk Selepas Waktu Zohor

Saya percaya ramai para guru dan pensyarah universiti atau pun ustaz-ustazah yang mengajar di masjid atau rumah-rumah mempunyai murid yang sering ‘mengangguk faham’ di dalam kelas-kelas mereka. Lebih-lebih lagi jika waktu mengajarnya ialah selepas waktu Zohor.

Ramai para pelajar pula, secara terpaksa ‘mengangguk-ngangguk’ [baca:tersengguk-sengguk] semasa sesi belajar. Iya… benar… kebanyakannya berlaku tanpa disengajakan. Pelbagai usaha dilakukan untuk mengelakkan rasa mengantuk namun cara manakah yang paling berkesan?

Jika dalam seminar-seminar, peserta dibekalkan gula-gula berangin bagi menghilangkan rasa mengantuk. Tidak kurang juga, para penceramah yang minta peserta buat senaman ringkas seperti berdiri seketika.

Daripada permasalahan yang sering berlaku tanpa sempadan ini, Islam sekali lagi menonjolkan kesempurnaannya sebagai ‘The Way of Life’ dalam mengatur perkara ini.

Apakah ubat mengantuk di siang hari yang paling berkesan? Kopi radix secawan? Nescafe panas segelas? Jawapannya ialah T I D U R.

Tidur yang dimaksudkan ialah tidur sebentar di waktu tengahari sebelum masuk waktu Zohor. Tidur ini tidak memerlukan masa yang panjang. Memadai sekadar 10 hingga 15 minit, ia sudah cukup memberi kekuatan dan kesegaran pada tubuh badan, malah ia juga menjadi rahsia badan cergas di malam hari untuk seseorang muslim bangun bertahajjud. Tidur ini menjadi kebiasaan kepada sesetengah individu yang mementingkan kesihatan, produktiviti dan kesegaran. Amalan ini merupakan sunnah Rasulullah s.a.w yang telah diiktiraf oleh ahli sains di zaman ini. Amalan tidur begini dinamakan ‘Qailulah’.

Kitab ‘Misykatul Masabih’ menyebut salah satu amalan sunnah yang pernah dilakukan oleh Nabi,

“Tidur yang sedikit di waktu tengahari (qailulah) tidaklah keji. Rasulullah SallAllahu Alaihi wasallam ada melakukannya.”

 

Imam Al Ghazali di dalam kitab ‘Ihya Ulumuddin’ pula berkata,

“Hendaklah seseorang tidak meninggalkan ibadah di malam hari sebagaimana sahur membantu puasa di siang hari. Sebaik-baiknya ialah bangun sebelum tergelincir matahari untuk solat zohor.”

Seorang muslimah menceritakan pengalamannya menjadi pelajar di pusat pengajian tinggi. Katanya,

“Saya sering mengantuk di dalam kelas selepas waktu Zohor. Suatu hari, saya mengetahui tentang tidur sekejap sebelum waktu Zohor. Ia dinamakan qailulah. Saya mendapat tahu bahawa ia adalah amalan Rasulullah s.a.w. Saya meyakini setiap sunnah Nabi s.a.w adalah baik diikuti oleh ummahnya dan tentu ada kebaikan pada amalan tersebut.

Lalu saya cuba amalkan tidur sekejap yakni sekitar 10 hingga 15 minit sahaja sebelum waktu Zohor. Alhamdulillah, selepas itu saya dapat hadir ke kelas dengan rasa cergas dan tidak lagi mengantuk seperti selalunya”.

Amalan Qailulah ini bukan sahaja memberi kecergasan kepada jasmani dan minda, bahkan ia sangat efektif dalam menguruskan masa kerana ia tidak memerlukan tidur berjam-jam sebagaimana tidur siang kebanyakan orang hari ini.

Cikgu Nor Red (Nama asalnya Mohd Nor bin Merah, tapi dikenali sebagai Nor Red di sekolah), seorang guru sejarah pernah berpesan kepada kami di dalam kelas,

“Kalau tidur petang-petang tu… kali pertama sedar kena terus bangun. Kalau sambung lagi tidur selepas itu, mata akan sering mengantuk dan badan juga terasa letih dan lesu”.

Pengalaman penulis sendiri mengakui kebenaran nasihat Cikgu Nor Red di atas dan juga Qailulah sunnah Rasulullah s.a.w. Tidur petang terutama dekat waktu Asar dan selepas Asar bukan sahaja akan memaksa kita tidur lebih lama, bahkan akan membuatkan badan terasa letih tidak bermaya untuk meneruskan rutin harian. Fikiran juga seperti kosong dan hambar sahaja.

Berbeza dengan Qailulah, ia benar-benar tidur yang sekejap tetapi sangat efektif untuk otak dan badan. Kadang-kadang tidak sampai pun 10 minit terlelap. Apa yang penting, selepas sedar terus bingkas bangun dan sambunglah tugasan harian anda.

Ada pandangan yang menyatakan waktu Qailulah ialah selepas Zohor namun menurut pengalaman penulis, tidur sebelum waktu Zohor dan selepasnya ada perbezaan. Waktu untuk Qailulah ini adalah selepas masuk waktu Dhuha hingga sebelum Zohor.

Waktu Kerja dan Persekolahan di Malaysia

Mungkin ada antara kita yang mahu amalkan Qailulah ini namun terikat dengan waktu kerja atau belajar. Pelajar muslimah yang melakukan Qailulah dalam cerita di atas mengatakan dia akan mengambil sedikit masa untuk tidur sementara menunggu masuk waktu Zohor. Kelas yang perlu dihadiri ada di waktu pagi dan ada selepas Zohor. Lagi pun, biasanya waktu itu adalah masa rehat bagi pekerja amnya. Daripada berbual kosong, lebih baik Qailulah, pahala dapat, badan pun cergas.

Memasukkan Qailulah Dalam Tentatif

Saya ingin mengingatkan diri sendiri agar menerapkan amalan Qailulah ini pada anak-anak. Jika hari persekolahan, tidak mungkin mereka berbuat demikian, maka hari cuti adalah pilihan terbaik.

Ok… sama-sama kita manfaatkan petua yang baik ini, insya Allah.

Ummu Abbas
10.23am
23 Rejab 1431H