Archive | Februari 2011

M A K L U M A N

Assalamu’alaikum warahnatullahi wabarakaatuh.

 

Insya Allah, saya dijangka bersalin pada 2 Mac 2011.  Sehubungan dengan itu, saya mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf kepada semua yang bertanya tetapi belum mendapat respon dari saya.

Jika saudara/saudari yang bertanya mengharapkan jawapan segera kepada persoalan yang dikemukakan, saya berharap saudara/saudari dapat kemukakan kepada ramai lagi sukarelawan agama yang menyediakan ruang untuk menjawab sebarang persoalan di dunia internet ini.

Jika masih berminat untuk mengetahui pandangan dari saya, harap dapat sabar menunggu sehingga saya selamat bersalin dan menghabiskan tempoh berpantang.

 

Sekian.

 

H A R A P  M A K L U M


 

Saya mengharapkan doa dari semua pembaca yang ikhlas mengunjungi dan mencari secebis ilmu di sini agar Allah mempermudahkan urusan saya bersalin di sini.

 

Segala doa dan jasa baik para pembaca, saya dahului ‘Jazakumullah’.  Semoga Allah membalas dengan kebaikan yang berganda. 

 

Amin.

 

Wassalam.

 

Ummu Abbas

12.15am

Melbourne.

Aku Mahu Pakai Jeans

Seluar denim feminin begini boleh pakai di luar - dipadankan dengan baju labuh longgar paras lutut + tudung besar labuh menutupi bentuk dada.

Bismillah.

Sekali dengar, tajuk di atas berbau ala-ala tajuk siri novel remaja terkenal hari ini, siri “Aku Mahu…” karya novelis yang sedang ngetop sekarang, Puan Ain Maisarah.   Saya sendiri tidak pernah membaca novel-novelnya.  Iye lah… saya bukan lagi remaja… tapi ibu kepada anak sulung di ambang remaja… namun teringin juga ambil tahu apakah pendekatan menulis yang Puan Ain gunakan.  Insya Allah, mahu juga saya dapatkan novelnya suatu hari nanti.

Agak lama saya berfikir untuk menulis entry seumpama di bawah. Bukan sekali dua. Malah berpuluh-puluh kali. Saya bimbang akan menggamit fitnah kepada diri sendiri. Jika blog ini tertutup hanya kepada para muslimah, tiada masalah. Namun ia terbuka kepada semua golongan.

Fikir punya fikir, tiba-tiba datang persoalan dari muslimah yang mahu menutup aurat dengan lebih baik namun masih tetap bergaya. Panjang lebar luahannya. Melihat kepada persoalannya, saya merasa terpanggil juga untuk bercerita pengalaman sendiri mengenai hal berfesyen. Kelebihan bercerita pengalaman sendiri ialah agar semua wanita tahu bahawa fitrah kita adalah sama- meskipun anda melihat sebahagian muslimah ada yang berpurdah serba hitam dengan abayanya. Sebahagian yang lain berjubah suram dan bertudung labuh dengan warna yang tidak menarik.

Saya dapat melihat maslahah yang lebih besar untuk meneruskan penulisan ini sesuai dengan arus semasa yang memberi gelombang fitnah bertahap tsunami kepada para muslimah hari ini. 

Harapnya, tiadalah khayalan palsu yang muncul dalam minda yang tidak tersuluh wahyu. Lebih-lebih lagi, saya berhijab sejak belum baligh dan berhijab sempurna sejak baligh sehingga ke hari ini. Alhamdulillah. Harapnya tiadalah gambaran fizikal yang dapat digarapkan ke dalam minda ajnabi hendaknya. Amin.

Tulisan ini hanya menjawab sebahagian persoalan yang dikemukakan oleh muslimah tersebut. Saya berharap dia dapat bersabar menunggu respon selanjutnya.

*****
Awal remaja- pengaruh dari USA.

Bila sebut USA, seringkali tergambar gaya hidup bebas dan pakaiannya yang ‘daring’ pada pandangan umum.  Adakah saya bermaksud saya juga pernah berpenampilan ‘daring’   sebagaimana yang sering ditampilkan mengenai wanita barat di media-media?

Kakak ipar yang sulung (Kak Long) pulang dari Amerika semasa saya berusia 12 tahun yakni pertengahan 80-an.  Dia pulang dulu bersama anak saudara sulung saya.  Abang sulung sedang menghabiskan sisa pengajian tahun akhirnya di Oklahoma State University.

Walaupun pulang dari Amerika tetapi Kak Long memakai jubah dan tudung. Tidak seperti hari ini, ada pelajar yang pulang dari Timur Tengah @ negara Arab/muslim @ Bumi Anbiya’ tetapi tidak memakai tudung atau ramai pelajar agama bertudung tetapi tidak berhijab.

Di dalam jubah, Kak Long memakai pakaian harian yang dipakai di dalam rumah. Rasa ingin tahu menyebabkan saya bertanya Kak Long mengapa ada muslimah yang memakai jubah dan ada yang memakai baju kurung sahaja. Saya memahami konsep memakai jubah dari Kak Long. Yang mana akhirnya saya mengambil keputusan untuk memakai jubah ketika berusia 14 tahun.

Berdasarkan apa yang saya faham waktu itu, saya nekad memakainya kerana mahu mendekatkan diri kepada Allah swt. Itu sahaja.

Meskipun mengenakan jubah, fitrah saya sebagai gadis awal remaja tidak dapat dikikis- mahu berhias dan menurut trend semasa. Sama seperti gadis-gadis lain juga.

Suatu hari, Kak Long mengemas pakaian lamanya. Dia tunjukkan dua helai jeans kepada saya- satu berwarna biru dan sehelai lagi berwarna hitam. Sudah tentu kedua-duanya ‘made in USA’ – bukan ‘made in Thailand’ atau ‘made in China’. Saya gembira menerima dua helai jeans tersebut. Bolehlah saya bergaya dengannya. Selain itu, saya mendapat sehelai kemeja feminin berlengan pendek dan beberapa helai pakaian lagi yang cantik-cantik.

Jeans yang asalnya berpotongan lurus itu, saya kecilkan pula di bahagian kakinya. Lebih ‘umph’ lagi pada pandangan saya.

Oleh kerana saya sudah memahami tuntutan hijab, saya hanya mengenakan jeans dan kemeja itu di dalam rumah sahaja. Jika mahu keluar rumah, saya sarungkan jubah di luarnya.

Jubah pada waktu itu kainnya jenis tebal ditambah pula dengan warna-warna gelap @ suram. Jadi kalau kita berseluar panjang dan ber’t-shirt’ atau ber’blouse’ labuh di dalamnya sudah memenuhi syarat hijab.

Bukan seperti kebanyakan jubah yang ada pada hari ini yang lembut fabriknya sehingga mudah melurut menurut bentuk badan atau nipis sehingga jika kita memakai seluar panjang yang ketat sedikit di dalamnya, bentuk punggung, paha dan kaki masih kelihatan.

Praktikkan Mahu dan Malu

 
Justeru itu, antara mahu dan malu, saya boleh praktikkan kedua-duanya sekali gus. Saya dahulukan mahu semasa di rumah bersama mahram dan melindungi mahu dengan malu bila di luar rumah.

Jika ada tetamu ajnabi, lazimnya saya tidak keluar menonjolkan diri jika tiada sebarang urusan. Lebih tenang begitu. Ia juga salah satu konsep hijab yang harus dimengerti.

Allah Maha Memahami

Allah itu Maha Adil kepada hamba-hambaNya. Apabila dicipta wanita dengan segala sifat gemar kepada perhiasan dan suka berhias, maka Allah jadikan pula perhiasan-perhiasan untuk digunakan- dari emas, perak, intan, berlian, pakaian yang indah, kenderaan yang bagus, rumah-rumah yang baik dan bermacam lagi.

Allah juga sangat memahami diri kita sebenarnya. Setelah dia ciptakan kita dan diberinya fitrah suka berhias, Dia jadikan pula perhiasan yang halal serta perlu berhias pada masa dan tempat yang sesuai sahaja.  Dalam masa yang sama, Allah jadikan perhiasan yang haram dipakai pada masa dan tempat tertentu kerana bimbangkan mudarat berlaku ke atas diri kita.

Sekali-kali Allah tidak mengharamkan kita dari menurut fitrah suka berhias itu. Sebaliknya Dia beri panduan bagaimana fitrah itu harus disalurkan sehingga kita benar-benar dapat mengecapi kemanisan pada minda, jasmani dan rohani.

Saya mahu berhias dan menurut trend, maka saya boleh lakukannya tetapi dalam masa yang sama, saya dapat memelihara fitrah malu dengan melindungi perhiasan tersebut dari pandangan mereka yang tidak berhak menikmatinya.

Jika kita berhias kemudian mahu menunjuk-nunjuk kepada orang lain terutama lelaki ajnabi, ia sebenarnya bukan menurut fitrah tetapi realitinya menyongsang fitrah  serta mengundang fitnah.  Fitnah pada diri sendiri ialah kita mencetak noda-noda mazmumah dalam hati dan fitnah pada orang lain ialah kita mencipta dosa percuma kepada ajnabi yang tertarik kepada perhiasan kita.

Jika seorang yang memandang, maka dosanya kita turut sama menanggungnya. Bayangkan jika kita keluar ke tempat awam, berapa ramai lagi dosa mereka yang fasik harus kita tanggung? Itu dari mereka yang fasik…bagaimana pula dengan para mukmin yang sebenarnya sudah berusaha menundukkan pandangan mereka, tetapi dek ‘gedik’ kita yang tidak bertempat, mereka tersalah pandang dan sebagainya… Kasihan mereka, bukan? Jika kita sendiri memelihara maruah kita, tidak akan timbul lagi masalah tersalah pandang begini. Hati kita selamat dan kita juga menyelamatkan hati (iman) orang lain.

Itulah yang sering saya fikirkan bila datang syahwat mahu melawa sebelum keluar rumah. Kerana apa dan untuk siapa? Apa yang saya akan dapat? Saya mahu berhias dan dalam masa yang sama mendapat pahala.  Bukannya berhias yang mendapat dosa.  Kita ada pilihan sebenarnya untuk memanfaatkan fitrah itu menuju syurga atau neraka.

Ingat ye… tiada golongan atas pagar di akhirat sana… Tidak di syurga dan tidak di neraka…

Saya merasa kasih pada kaum lelaki sama seperti saya kasihkan diri sendiri.  Justeru itu, lebih baik saya menahan diri dari menampilkan diri dengan cara membuatkan perasaan mereka tidak keruan. Tambahan pula, perkara yang paling melemahkan lelaki adalah wanita… dengan segala kecantikan yang ada pada mereka, senyuman mereka , lenggang- lenggok bicara dan nada suara yang dilunakkan.

Nabi s.a.w pernah bersabda:

“Aku tidak tinggal cubaan yang lebih hebat ke atas lelaki lebih dari wanita”

Hadis direkodkan oleh Imam Bukhari dan Muslim.

 

Benar… kita sebagai perempuan akan merasa seronok melihat lelaki tertarik kepada kita dan lemah segala sendi bila berdepan dengan kita … namun apa gunanya membina keseronokkan di atas kebinasaan orang lain? Itu pun tanpa disedari, kita membinasakan diri sendiri juga dengan himpunan dosa-dosa.  Berbaloikah semua itu sedangkan hidup ini hanyalah sementara dan tempat ujian memilih manakah hamba yang terbaik di sisi Tuhannya?

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلَابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَنْ يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا

 
Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Al-Ahzaab 33:59

 

Ummu Abbas
4.16pm

15 Rabi’ul Awwal 1432H

Perginya Seorang Ulama Buta: Dr Fadhl Hasan Abbas

Dr Fadhl al-Abbas dalam satu majlis Maulid Rasulullah s.a.w.

 

Pemuda itu cuba melangkah perlahan-lahan untuk masuk ke kelas. 

Kehadiran pelajar sudah selesai diambil.   Biasanya seorang pelajar lelaki akan menolong mencatat kehadiran pelajar.  Tidak seperti mana di muhadharah (kelas-kelas) bersama pensyarah lain yang mana pensyarah sendiri yang membaca nama pelajar serta mencatat kehadiran.

Tiba-tiba, pensyarah yang sedang duduk di hadapan menegur sama ada bertanyakan siapa atau bertanya kenapa datang lewat. 

Itulah antara gelagat yang pernah saya saksikan semasa mengambil maddah (subjek) bersama Al-Fadhil Syeikh Dr Fadhl Hasan Abbas.

Usaha pemuda itu agar kehadirannya yang lewat itu tidak disedari pensyarah tidak menjadi…

Rasa lucu bila teringatkan peristiwa itu. 

Saya maklum bahawa insan yang buta biasanya tajam telinganya.  Itulah yang berlaku kepada satu-satunya pensyarah kami yang buta itu.

Semasa muhadharah beliau juga, tiada pelajar yang ambil kesempatan untuk bermain-main di dalam kelas.  Semuanya tertumpu kepada syarahannya.

 Air mukanya gemilang dan tenang sekali melihatnya.   

Kelebihan insan sepertinya ialah matanya terpelihara dari melakukan dosa.  Apabila mata selamat dari melakukan dosa, maka hati lebih mudah dijaga.  Bukankah ada pepatah mengatakan, ‘Dari mata, turun ke hati…’.

Di kalangan kami para pelajarnya, Al-Fadhil disebut dengan Dr Fadhl Abbas sahaja.  Dia antara para pensyarah yang dikenali sebagai ‘syadid’ di Kulliyyah al-Syari’ah (Fakulti Syariah), University of Jordan.  Setelah belajar dengannya baru saya faham kenapa dia dikatakan ‘syadid’…  Salah satu darinya mungkin kerana dia tidak suka pelajar hadir lewat ke kelasnya.   Perkara lain pula, sebagai seorang yang buta namun mampu menjadi ulama’sepertinya seringkali mencabar kami pelajar yang celik untuk belajar bersungguh-sungguh. 

Jika ‘syadid’ dimaksudkan sebagai ‘keras’, maka pada pandangan saya, istilah ‘syadid’ agak melampau dilabelkan kepada ramai pensyarah di sini.  Saya pernah ambil maddah bersama beberapa orang pensyarah yang dikatakan ‘syadid’ .  Realitinya mereka adalah individu yang tegas dengan disiplin ilmu dan mahu para pelajar mereka mengambil serius terhadap mata pelajaran yang diambil.  Biasanya mereka juga ‘tiada markah kasihan’ untuk para pelajar ‘ajanib’ (pelajar asing) seperti kami- sama ada pelajar Malaysia, Filipina,  Indonesia, Bosnia, Turky dan lain-lain.   Jadi, kalau mahu markah yang baik, kenalah rajin belajar, menghafal dan menulis jawapan yang baik. 

[Semasa belajar di Jordan, saya sendiri kurang rajin menghafal- maklumlah kitabnya tebal-tebal.  Kalau dapat markah kurang baik pun, salah saya sendiri... bukan salah pensyarah yang dikatakan 'syadid'.  Kita yang malas, janganlah mahu salahkan orang lain dengan melabel mereka macam-macam... iye tak?  Tambahan pula, kita bangsa asing yang tidak menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa rasmi atau sebagai bahasa komunikasi, jadi usaha kena lebih dari pelajar Arab itu sendiri.]

Catatan di atas adalah sedikit memori saya bersama Dr Fadhl Abbas.

Sesungguhnya saya  tersentak dan tersentuh sebaik melihat satu tajuk berita di wijet sebuah blog, “Perginya Seorang Ulama’ Tafsir Jordan yang Buta”.  Saya dapat mengagak siapa yang dimaksudkan kerana dia salah seorang guru saya di University of Jordan dulu.  Bila disemak kepada link yang disertakan, memang benar dia tidak lain dan tidak bukan adalah bekas pensyarah saya dahulu, Al-Fadhil Syeikh Dr. Fadhl Hassan Abbas, seorang ulama buta yang celik hatinya.

Satu perasaan halus lantas mengusik hati… air mata mula bergenang di bibir mata sebaik mengetahui pemergiannya ke sisi tuhannya.

Inna lillahi wa ‘inna ilayhi raji’uun.

Terpadamnya salah satu nur ummah dari muka bumi… ia satu khabar yang memeritkan bagi sesiapa juga yang memahami pentingnya kehadiran ulama di muka bumi ini.

Ketahuilah bahawa perginya setiap ulama, tiada gantinya lagi. Allah mengangkat ilmuNya sedikit demi sedikit di akhir zaman ini dengan mematikan para ulama.

Sesiapa jua yang masih berkesempatan dan berpeluang belajar dengan ulama bertaqwa,… pergilah cari mereka dan duduklah bersama mereka walau sesaat.

Barakah yang ada pada mereka lebih mahal dari dunia dan segala isinya.

Usahlah lalai dengan kehidupan dunia yang sementara; makan minum untuk perut setiap hari kita cari namun sebanyak mana kita memberikan makan minum yang cukup kepada akal dan rohani kita?

 
 
 
Saya mula teringat perasaan halus yang sama mengusik jiwa tatkala mengetahui pemergian Al-Fadhil Syeikh Abu Hassan ‘Ali Hasani al-Nadwi pada 31 Disember 1999.  Walhal saya tidak pernah bertemu dengannya, apatah lagi belajar dengannya.  Abu Hassan al-Nadwi merupakan ulama terkemuka India yang dikatakan mempunyai nasab bersambung dengan Rasulullah s.a.w. 
 
Semoga Allah merahmati para ulama’ dengan menempatkan mereka bersama para anbiya’.

للَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ، وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ، وَوَسِّعْ مَدْخَلَهُ، وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ، وَنَقِّهِ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا نَقَّيْتَ الثَّوْبَ اْلأَبْيَضَ مِنَ الدَّنَسِ، وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ، وَأَهْلاً خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ، وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ، وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ، وَأَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ

 

************************

Al-Marhum guruku, Syeikh Dr Fadhl Hassan Abbas.

 

 

 

Perginya seorang alim dan mufassir Jordan yang buta, Syeikh Dr Fadhl Hasan Abbas sekitar waktu zohor (waktu Jordan) 9 Februari 2011 pada usia 79 tahun. Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun.  Jenazahnya  dikebumikan  pada hari berikutnya di perkuburan di Sahab Islam, insya Allah.  Syeikh Dr Fadl Hasan ialah salah seorang ulama’ yang paling menonjol di Jordan dan pakar dalam ilmu tafsir, ilmu bahasa dan balaghah. Dr Fadhl Hasan muncul sebagai salah seorang ulama’ yang paling penting dari tafsiran dan tilawahnya yang direkodkan pada tahun 70-an ketika radio Jordan bersiaran 400 episod dalam membaca al-Quran dan tafsirannya.

 Dilahirkan di Saffuriyya, Palestin pada tahun 1932M.  Tamat menghafaz al-Quran ketika berusia 10 tahun.  Mendalami ilmu agama sejak kecilnya. 

Menyambung pelajaran ke Fakulti Usuluddin, Universiti al-Azhar dan tamat belajar peringkat ijazah Sarjana Muda pada tahun 1952.  Usianya baru 20 tahun dan merupakan pelajar termuda yang menamatkan pelajaran di peringkat tersebut.   Seterusnya memperolehi ijazah PhD pada tahun 1972 dari universiti yang sama.

الدكتور فضل حسن عباس في ذمة الله

الأربعاء, 09 شباط 2011 13:52

السبيل – انتقل إلى رحمة الله تعالى الدكتور العالم فضل حسن عباس عن عمر يناهز 81 عاماً، وسيشيع جثمانه بعد صلاة ظهر الخميس في مسجد الزميلي بالشميساني، ويدفن في مقبرة سحاب الاسلامية. وكان الشيخ أحد أبرز العلماء في الأردن وأحد العلماء المعدودين في علوم التفسير وعلوم اللغة والبلاغة، عرفه الناس من خلال كتبه ودروسه ومحاضراته في حلقات العلم وفي المساجد وفي المنتديات العلمية، وعرفه طلاب العلم في رحاب المعاهد العلمية والجامعات، برز الدكتور فضل عباس كأحد أهم علماء التفسير والتلاوة وكان ذلك في السبعينات حين سجلت له الإذاعة الأردنية 400 حلقة إذاعية في تلاوة القرآن الكريم وتفسيره، كانت باكورة مسيرته العلمية التي أثمرت فيما بعد نتاجاً كبيراً وهاماً من المؤلفات والنظرات الجديدة في تفسير القرآن الكريم

مولده ونشأته
ولد فضل حسن عباس سنة 1932م في بلدة صفورية في فلسطين، ونشأ على العلم منذ صغره، فقد كان بيت والده مكاناً للعلماء الذين يرسلهم خاله الشيخ يوسف عبد الرزاق المدرس بكلية أصول الدين في الأزهر، وكان رجلاً صالحاً حيث أثنى عليه محمد زاهد الكوثري. أتم فضل عباس حفظ القرآن الكريم في بلدته وهو ابن عشر سنين، ثم حفظ من المتون العلمية: متن الغاية والتقريب في الفقه الشافعي، ومتن الرحبية في الفرائض، وجوهرة التوحيد في العقائد، والألفية، لابن مالك.

تحصيله العلمي
انتقل بعد ذلك إلى الدراسة في عكا، ودرس في المدرسة الأحمدية بجامع الجزار وبقي فيها بين عامي 1946م، و1947م. وبعد ذلك قرر التوجه إلى مصر عام 1948م ودخل المرحلة الثانوية فيها. بعد ذلك نجح في دخول كلية أصول الدين في الأزهر وتخرج فيها سنة 1952م وكان عمره آنذاك عشرين سنة، فكان أصغر طالب يتخرج فيها.

حصل على درجة الدكتوراة من الأزهر سنة 1972م، وكانت رسالته بعنوان “اتجاهات التفسير في مصر والشام”.

Sumber:   Al-Sabeel.net.

Juga di sini:  Heil News.

Terjemahannya di sini:  Awe -Donde.

 

 

Ummu Abbas

3.11pm

8 Rabi’ul Awwal 1432H. 

23A dalam O Level; Cabaran buat Nik Nur Madihah

Bismillah.

Membaca berita di bawah, mengingatkan saya kepada adik Nik Nur Madihah  yang mendapat 20A dalam SPM 2008.  Selepas meraih hasil cemerlang di peringkat nasional tersebut, cabaran seterusnya adalah untuk mengekalkan rekod kecemerlangan tersebut di peringkat A Level dan universiti.

Ramai pelajar cemerlang di peringkat menengah tidak mampu mengekalkan kegemilangan di peringkat universiti.  Pelbagai ujian yang tidak diduga boleh menggugat tumpuan belajar.  Namun saya percaya, jika Madihah boleh konsisten dengan amalan baik yang sering dilakukan seperti puasa sunat, mendekatkan diri kepada Allah dan usaha keras tanpa jemu, dia bakal mengekalkan kegemilangan sampai ke peringkat PhD sekalipun.  Dengan izin Allah.

Amalan yang sudah sebati itu sebenarnya menjadi teras kepada amalan ramai cendikiawan muslim sejak dahulu.  Bahkan kebanyakan mereka menyimpan al-Quran 30 juzuk di dalam dada mereka sebagai asas yang teguh dalam menimba ilmu Allah swt.

Cemerlang dalam akademik bukanlah penentu seseorang itu adalah terbaik di sisi Allah, namun jika betul niatnya, kejayaan itu nanti akan memberi pulangan yang baik untuk Islam.  Saya percaya, Madihah masih lagi dengan azamnya untuk memanfaatkan kebolehannya demi nama baik Islam itu sendiri.

Semoga nur tarbiyah yang pernah dikutip di Serambi Mekah itu akan terus ditebarkan di mana jua beliau singgah di dunia ini.  Biar dia berbeza dari ramai genius sebelum ini yang terlibat dengan pelbagai skandal.   Madihah harus menjadi contoh genius yang cemerlang pada akademik, kemas pada ibadahnya, gemilang pada akhlaknya, memiliki emosi yang stabil, membuat keputusan dengan matang dan pergantungan kepada Allah yang tidak pernah putus.  

Semoga Allah menetapkan hatimu di jalan yang diredaiNya.

Ummu Abbas

29 Safar 1432H

4.20pm

Remaja Pakistan cipta rekod dapat 23A dalam O Level

IBRAHIM SHAHID ditemuramahwartawan agensi berita AFP di Sekolah Beacon House di Islamabad, Pakistan semalam.


 

ISLAMABAD – Seorang pelajar lelaki di Pakistan telah memecahkan rekod dunia apabila dia memperoleh 23A dalam peperiksaan Cambridge O Level.

Remaja itu, Ibrahim Shahid, 17, anak kepada seorang profesor kejuruteraan elektrikal mendapat pendidikan di sekolah swasta Beacon House di Islamabad.

Ibrahim berjaya mencatat rekod kerana mendapat 23A dalam 24 mata pelajaran dalam peperiksaan Cambridge itu.

Dia mendapat 23A selepas memperoleh ihlam daripada kisah bapa bom atom Pakistan, Abdul Qadeer Khan yang diangkat menjadi hero negara.

Abdul Qadeer dikritik negara-negara Barat selepas dia mengaku menjual rahsia nuklear kepada Iran, Libya dan Korea Utara pada 2004.

“Ini satu pengiktirafan kepada negara saya. Ia belum pernah dilakukan di peringkat O Level,” kata Ibrahim yang berterima kasih kepada ibu bapa dan guru-gurunya.

Dia masih belum membuat sebarang keputusan mengenai bidang apa yang hendak diikutinya di universiti.

Namun, dia mengaku meminati bidang fizik dan ekonomi selain mahu memberi sumbangan kepada negaranya yang mundur akibat kemiskinan.

“Saya kagum dengan Doktor Qadeer Khan. Saya mahu berkhidmat kepada negara. Generasi akan datang perlu percaya dengan kerja keras dan tidak berputus asa. Mereka mesti bekerja keras untuk menjadikan sesuatu yang mustahil itu menjadi kenyataan,” katanya.

Gurunya, Qurat-Ul-Ain menyifatkan kejayaan Ibrahim sebagai berita baik yang jarang berlaku.

Peperiksaan Cambridge 0 Level diiktiraf di peringkat antarabangsa untuk pelejar berusia 14 dan 16 tahun.

Ia merupakan sebahagian daripada persediaan untuk kemasukan ke universiti. – AFP

Tunisia dan Mesir; Rakyat Ibarat Spring

Harapnya sejarah UBN tidaklah dikenang seperti ini. Sumber foto: weirdstuff.com.au

Berada dalam sebuah negara demokrasi tanpa demokrasi tulen sentiasa mengasak fikiran untuk membebaskan diri dari kepungan pemerintah yang zalim.  Pemimpin yang adil tidak akan takut dan bimbang untuk melaksanakan demokrasi tulen.

Sering juga saya berbual dengan suami lama dahulu, “Para pemerintah harus sedar wujudnya fitrah manusia yang akan melawan perkara yang menekan mereka.  Ia hanya menunggu masa yang sesuai untuk diledakkan segala perkara yang membelenggu mereka.”

Saya merasakannya dan anda juga merasakannya setiap kali disuakan dengan isu yang mencabar aqidah, merobekkan maruah, rompakan-rompakan harta kita @ harta rakyat untuk segelintir nafsu yang berkuasa, sistem kehakiman yang dicabul berterusan, jenayah yang meningkat dan kebajikan yang diabaikan.

Akhir-akhir ini, dalam suasana hidup bertambah payah, pihak penguasa menambah tekanan lagi kepada rakyatnya.  Bertambah banyak doa rakyat yang dianiaya, bertambah cepatlah tersungkur sebuah kerajaan.  Semoga diperkenankan Allah.

Setiap manusia dilahirkan merdeka.  Setiap manusia berakal dan baligh dan cukup pancainderanya bebas memerhati, menuntut ilmu dan memilih.  Justeru jika fitrah merdeka itu dikepung, ditekan, di’ikat mata’, ditulikan dan dibisukan, maka akan sampai masanya ‘spring’ yang ditekan melantun semula objek yang menekan mereka. 

Kekuatan lantunan itu bergantung sekuat mana momentum yang dibekalkan.  Bertambah zalim sesebuah kerajaan, bertambah kuat penolakan akan dibuat.  Cara lembut tidak menjadi, kekerasan pun boleh jadi. 

Jika sistem pilihanraya yang adil tidak diusahakan, tiada pilihan lain bagi rakyat marhaen kecuali turun ke jalan raya.

Situasi inilah yang sedang melanda Tunisia, Mesir dan dikatakan merebak lagi ke beberapa buah negara Arab seperti Syria, Yaman dan Jordan.

Jika pemerintah Malaysia sekarang mahu elakkan perkara sebegini terjadi, sebaiknya pulihkan segera sistem demokrasi di sini.  Bebaskan SPR.  Bebaskan media.  Berikan padang yang sama rata dan adil untuk semua pihak. 

Lebih baik jatuh secara terhormat daripada jatuh tergolek kerana digulingkan.

Sejarah telah memberi pengajaran sejak ribuan tahun yang lampau.  Tiada pemerintah yang zalim akan kekal hidup selesa di tampuk kuasa.  Imma pemerintah kafir mahu pun dari kalangan umat Islam sendiri.   Juga tanpa mengira dari parti mana sekali pun.  Sesiapa yang zalim, wajib dijatuhkan.

Saya gembira membaca berita kerisauan pemimpin Israel berhubung nasib pemerintah boneka mereka di Mesir.  Kebimbangan mereka akan menjadi berita gembira buat saudara-saudara kita di Palestine dan Gaza khususnya.  Semoga kebimbangan itu berterusan dengan peralihan kuasa kepada pejuang Islam Ikhwanul Muslimin di Mesir. 

Israel tidak akan berdiam diri.  Mereka akan terus berusaha mencatur bidak-bidak agar kemenangan Islam dapat ditangguhkan untuk beberapa waktu lagi.  Siapa pernah percaya dengan sistem demokrasi ciptaan Zionis?  Apabila sistem itu memakan diri mereka semula, mereka sudah menyediakan segala tipu helah lain untuk memperdayakan Islam dan Arab.   Bukan Malaysia sahaja yang punya APCO… Mesir lagi besarlah APCOnya kerana kepentingan Israel terhadap sempadan Mesir-Gaza sepanjang 15 km yang dikongsi bersama .

Hati saya bersama rakyat Mesir yang mahukan pemerintah yang adil serta bersih.  Mereka adalah saudara saya seaqidah dan hanya mahu hakimiyah Allah dikembalikan semula ke persada kuasa.

وَلاَ تَرْكَنُوۤاْ إِلَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ فَتَمَسَّكُمُ ٱلنَّارُ وَمَا لَكُمْ مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِنْ أَوْلِيَآءَ ثُمَّ لاَ تُنصَرُونَ

Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.

Hud 11:113

 

Buat ‘adik-adik’ saya di sana, mohonlah dengan sabar dan solat agar  Allah sentiasa membantu memudahkan segala urusan.  Sekurang-kurangnya, saya pernah dua kali menjejakkan kaki ke Ardhu Kinanah tersebut.  Bagaimana kawasan-kawasan penempatan pelajar di hayyu-hayyu sekitar Kaherah?  Adakah rusuhan merebak sampai ke sana?

Cinta saya adalah untukmu wahai para pejuang Islam!

Ummu Abbas

28 Safar 1432H

12.32pm