Archive | Mac 2011

31 Kisah Nabi sudah terbit

Bismillah.

Assalamu’alaikum.

Dalam entry ‘Kelahiran Aleeya’, saya menyelitkan pengalaman mendapat inspirasi dari kisah Nabi Ayyub dan Nabi Yunus.  Saya terkenang sejarah nabi-nabi dan akhlak baik mereka kerana baru sahaja membaca semula manuskrip 31 Kisah Nabi beberapa hari sebelum bersalin.  Membaca sejarah atau kisah orang-orang baik seolah-olah berkawan dan bersahabat dengan mereka.  

Saya merasa terpegun dan kagum pada perwatakan insan-insan mulia di sisi Allah.  Rasa kagum itu meresap jauh ke sudut hati yang melahirkan kemahuan untuk menjadi seperti mereka.  Walaupun terasa sukar untuk berperwatakan seperti mereka sepenuhnya, namun sekurang-kurangnya usaha ke arah itu tetap dimulakan.  Selepas berusaha, kepada Allah jua kita bertawakkal agar Allah membantu kita menjadi baik. 

Kekaguman itu tidak terhenti setakat itu, memegang jawatan sebagai ‘pemimpin’ dan ‘guru’ kepada anak-anak, saya bertanggungjawab menunjukkan role-model yang baik kepada anak-anak.  Siapakah yang paling layak menjadi role-model kepada anak-anak kita?

Dr Mahathir?

Barack Obama?

Siti Nurhaliza?

Justin Bieber?

Mark Zuckerberg?

Tuan Guru Nik Abdul Aziz?

Role-model terbaik buat mereka ialah insan maksum seperti para nabi dan rasul.  Percaya kepada nabi dan rasul itu sendiri merupakan salah satu rukun iman yang penting. 

Lalu saya meneliti kisah-kisah nabi untuk si kecil yang terdapat di pasaran buat tatapan anak-anak.  Bila mendapati bahan kisah nabi-nabi untuk si kecil masih kekurangan di pasaran, saya berusaha menambah jumlahnya dengan karya sendiri, dengan izin Allah jua.

Insan pertama yang saya tunjukkan manuskrip ini ialah anak sulung saya.  Kisah pertama dari siri ini ialah “Asal usul Manusia”.   Pada tahun saya menulis dan siap menulisnya yakni 2008, Abbas berusia 9 tahun.  Seusai dia membacanya, saya bertanya, “Abbas faham tak?”

“Iya…faham”. 

Selepas itu, dia sering bertanya jika saya sudah menyiapkan kisah-kisah nabi seterusnya.

Saya gembira kerana dia faham dan saya berharap ramai lagi anak-anak seusianya boleh memahami. 

Semasa menulisnya, saya mendapat banyak manfaat dari kisah nabi-nabi.  Selepas menulisnya dan mengulang baca, saya tetap mendapat manfaatnya.  Justeru harapan saya, jika ibubapa atau abang kakak membacanya dahulu untuk dibaca kepada anak-anak atau adik-adik, para ibubapa dan abang kakak yang akan mendapat manfaatnya terlebih dahulu, sama seperti saya sendiri.

Alhamdulillah, pada 25 Mac 2011, buku ini diterbitkan jua oleh PTS Islamika.  Bak kata Tuan Azlin kepada saya, “Buku 31 Kisah Nabi ini merupakan hadiah kelahiran daripada umminya,”  merujuk kepada kelahiran Aleeya.  Tuan Azlin aka jOnOs merupakan Editor Kreatif Senior di PTS Islamika yang bertanggungjawab mendesain buku ini sehingga nampak comel :)  serta penuh warna-warni.

Terima kasih kepada semua staf yang menjayakan buku ini. 

Buku 31 Kisah Nabi boleh didapati di sini (diskaun 15%) dan juga di booth PTS, PBAKL 2011 (diskaun 30%).

Insya Allah, buku-buku PTS juga boleh didapati di seluruh negara termasuk Singapore.  Lihat link untuk mengetahui rangkaian kedai buku yang menjadi pengedar PTS di kawasan anda. 

Untuk menjimatkan masa, dinasihatkan agar menelefon dahulu bagi memastikan stok buku sudah ada atau belum.

Wassaalam.

Puan Wan Nor Ainon Wan Abdullah

@Ummu Abbas

5.00pm

26 Rabi’ul Thani 1432H/ 31 Mac 2011

[PS; Hari ini Aleeya berusia genap sebulan.  Alhamdulillah]

RALAT:  Semasa menyemak semula web Portal PTS hari ini, 15 April 2011, saya dapati buku 31 Kisah Nabi dikategorikan senarai buku akan terbit.  Ia dijangka terbit pada 22 April 2011.  Sekian.  Harap Maklum.

Ketahui Hak Anda Sebagai Pengundi

Bismillah.

Assalamu’alaikum warahmatullah.

Tolong sebarkan video di bawah kepada semua warga Malaysia yang layak mengundi dan mendaftar sebagai pengundi.  Ia sebagai usaha menegakkan proses demokrasi yang adil di Malaysia.

(Ummu Abbas: Kepada para muslimin, pandai-pandailah ‘ghaddul bashar’ kerana ada watak yang tidak menutup aurat dalam video ini. Apa yang penting ialah mesej yang ingin disampaikan. Jika ada pihak yang berkemampuan menyediakan video lain yang boleh memelihara syariat, ia sangatlah dialu-alukan.)

Kelahiran Aleeya

Royal Women's Hospital tempat Aleeya dilahirkan.

Kira-kira jam 3.05 am, kami tiba di kaunter emergency, Royal Women’s Hospital (RW), Melbourne.  Selepas mendaftar, saya terus dibawa ke ‘birthing suite’ nombor 20 di tingkat 3.  Midwife yang bertugas melayan saya dengan sopan.  Hanya seorang midwife dan hubby yang menemani.  Sama seperti beberapa pengalaman bersalin sebelum ini di Malaysia. 

Melihat suasana bilik yang luas, sebuah katil yang selesa, dua buah sofa, skrin TV yang digantung di atas siling, sebuah bilik air yang luas lengkap dengan ‘bathtub’, tandas dan sinki, saya bertanya suami, “Kat sini ke bilik bersalin”.

“Ya… kat bilik ni,”  jawab suami ringkas.

Saya memang sedia maklum gambaran bilik bersalin di RW ini namun kerana belum pernah melihatnya sendiri, saya rasa ‘confuse’ juga.

Beberapa orang kawan pernah bercerita tentang pengalaman bersalin di RW. Bila saya sebut ‘labour room’ sebagai merujuk istilah bilik bersalin yang biasa digunakan di Malaysia, kawan saya beritahu, “Di sini mereka tidak panggil ’ labour room’  tetapi  ‘birthing suite’ kerana biliknya yang luas”.

Bilik bersalin di sini memang luas dan selesa serta dilengkapi pelbagai peralatan untuk menyambut kelahiran bayi.   Patutlah ia disebut dengan ‘birthing suite’.  Ini taraf hospital kerajaan, bukan hospital swasta.

Polisi mengutamakan keselesaan serta ‘privacy’ pesakit amat dititik beratkan di sini.  Kita diberi pilihan untuk bersalin cara mana yang dirasakan selesa; duduk, dalam air, baring dan lain-lain.

Kalau hospital kerajaan di Malaysia, kita boleh dengar orang sebelah yang mengerang atau meraung kesakitan hendak bersalin.  Kita juga boleh mendengar suara-suara doktor , misi atau bidan yang sedang memujuk atau memberi galakan kepada pesakit yang hendak bersalin.  

Di sini pesakit boleh ‘request’ untuk dirawat doktor perempuan.  Namun oleh kerana saya tidak mempunyai masalah kehamilan dan boleh bersalin cara normal, maka memadai midwife sahaja yang kendalikan.

Seketika kemudian, midwife bertanya jika kami mahu minuman panas. Suami meminta minuman coklat.  Saya ikut sahaja.

Antara jam 4 pagi hingga 6 pagi itu, saya mengalami kontraksi yang putus-putus.  Kontraksi juga tidak begitu kuat.  Midwife pun sekali-sekala keluar dari bilik bila melihat keadaan saya yang belum serius.  Seorang midwife yang lain datang mengambil darah.  Nampaknya dia kurang mahir memasukkan ‘drip set’ menyebabkan dia terpaksa memasukkan dua kali.  Kali pertama di tangan dan kali kedua di lengan.  Cara dia mengambil darah juga kurang teliti menyebabkan lengan saya berlumuran darah.  Suami kelihatan kurang puas hati dengan cara kerjanya.  Midwife hanya mengelap sedikit dengan tisu dan berlalu pergi.

“Bang,tolong bersihkan lagi… sudah hampir Subuh.  Nanti Nur mahu solat jika sempat.”  Suami membantu membersihkan darah di lengan dengan tisu basah.

Seperkara lagi yang saya dapat perhatikan ialah mereka mengutamakan perkara ‘nature’ dalam mengendalikan pesakit.  Maksudnya, mereka cuba mengelak dari menggunakan apa-apa kaedah untuk mempercepatkan kelahiran.    Begitu juga tatkala suami bertanyakan spirit untuk membersihkan darah, juga tidak ada dan lain-lain.

Jam 6 am, saya bangun menuju ke bilik air untuk membersihkan diri, menukar pakaian yang kotor dan berwuduk.  Bila kontraksi datang, saya berpaut pada gagang pintu atau di mana yang sempat untuk menahan sakit.  Saya berdoa dalam hati, “ Ya Allah, bantulah aku menunaikan ibadah fardu kepadaMu… aku ingin solat Ya Allah… permudahkanlah Ya Allah…”.

Menunaikan ibadah fardu yang wajib dalam keadaan sakit bukan perkara mudah.  Ia memerlukan kesedaran dan tanggungjawab yang tinggi terhadap konsep ubudiyyah dan matlamat kita dijadikan.  Bila kita kenal diri sendiri dan hakikat kita dicipta, tiada alasan-alasan yang akan bersimpang siur dalam kepala dan hati kita untuk meringankan tuntutan Allah swt.  Bahkan perlaksanaannya  akan diusahakan  sebaik mungkin.

Saya mengenakan jubah, tudung serta menutup kaki dengan kain sarung.  Kemudian duduk di atas kerusi.  Isyarat GPS tidak dapat diakses dari dalam ‘birthing suite’ itu, jadi saya solat sahaja mengadap arah yang paling diyakini ianya adalah arah kiblat.  Suami mengambil sebuah meja kecil dan meletakkan di hadapan saya sebagai tempat sujud.  Dalam keadaan begitu pun, saya tidak mampu sujud rapat ke meja.   Apatah lagi sujud ke lantai.  

Allah swt berfirman,

فَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ مَا ٱسْتَطَعْتُمْ

”Bertaqwalah kamu menurut kemampuanmu”.

 At-Taghabun 64: 16

 

 Nabi Muhammad s.a.w  bersabda, “Jika saya memerintahkan kamu dengan suatu perkara, maka lakukan perkara itu sesuai dengan kemampuanmu.”

 Hadis direkodkan oleh Bukhari dan Muslim

 

 Mengenai hal mengadap kiblat,  Allah berfirman,

وَللَّهِ ٱلْمَشْرِقُ وَٱلْمَغْرِبُ فَأَيْنَمَا تُوَلُّواْ فَثَمَّ وَجْهُ ٱللَّهِ إِنَّ ٱللَّهَ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

“ Dan kepunyaan Allah-lah timur dan barat, maka ke mana pun kamu menghadap di situlah wajah Allah, sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmatnya) lagi Maha Mengetahui.”

 al-Baqarah 2: 115

 

 At-Tobari menyatakan bahawa ayat ini turun disebabkan suatu kaum yang tidak  dapat memastikan arah kiblat yang tepat, sehingga mereka solat ke arah yang berbeza-beza.

 

Midwife masuk ke bilik semasa saya sedang solat.  Suami memaklumkan apa yang sedang saya lakukan.

Selesai solat Subuh, saya bersyukur kepada Allah swt yang membantu saya menunaikan ibadah fardu kepadaNya.  Saya turut berdoa agar Allah memudahkan  untuk melahirkan anak.  Kemudian terus duduk semula di atas katil. 

Kontraksi saya masih seperti sebelumnya… putus-putus dan tidak cukup kuat untuk menyegerakan kelahiran.  Alhamdulillah, saya ingat sejak bersalin anak ke 3, 4 dan 5, begitulah keadaan kontraksi yang saya alami.  Suami tidak begitu yakin saya akan melahirkan dalam waktu terdekat.  Saya mengingatkan, “Bukankah semasa melahirkan Aqil, macam ini jugalah kontraksi Nur.  Tiba-tiba sahaja datang rasa mahu meneran.”

Kontraksi bertambah kuat.  Saya berbisik pada diri, “Aku reda ya Allah dengan kesakitan ini.  Dalam kesakitan ini ada rahmatMu agar seorang lagi hambaMu dapat dilahirkan.  Dalam kesakitan ini ada rahmatMu untuk menghapuskan dosa-dosaku yang lalu.”

Sehari dua sebelumnya, saya baru sahaja menyemak semula manuskrip 31 Kisah Nabi yang akan diterbitkan oleh PTS Islamika.  Saya teringatkan Nabi Ayyub.  Besar sungguh ujian yang dihadapinya.  Saya kira sakit yang dialaminya jauh berganda dari sakit yang saya alami sekarang.  Nabi Ayyub diuji dengan sakit yang tiada ubatnya pada masa itu dan lama pula.  Air mata berlinangan.  Sakit saya hanya akan memakan masa sekejap cuma.  Saya cuba bertahan. 

لا ا له الا أنت , سبحا نك اني كنت من الظالمين

Maksudnya: “Tiada tuhan melainkan engkau.  Maha suci engkau!  Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang zalim.”

 

Tasbih Nabi Yunus sentiasa diamalkan sejak usia kandungan 7 atau 8 bulan.  Tasbih itu jugalah yang dijadikan peneman semasa bersalin.  Orang cakap tasbih itu adalah untuk memudahkan kelahiran.  Sumbernya saya tidak tahu dan belum cari lagi.

Saya agak, ia mungkin disandarkan kepada faktor terlepasnya Nabi Yunus dari penjara perut ikan nun berkat tasbih ini, maka dikaitkan dengan amalan untuk memudahkan kelahiran.  

Melihat tanda bersalin semakin dekat, midwife bertanya jika suami mahu menyambut bayi.  Mula-mula suami nampak keberatan.  Saya lalu berkata, “ Bang, tolonglah sambut bayi kita dan terus laungkan azan”. 

Seboleh-bolehnya, saya mahu elakkan tangan non-muslim menyambut bayi saya kerana mereka tiada imunisasi dari musuh Allah yang halus.  Apatah lagi mampu memberi imunisasi kepada orang lain dengan lafaz ayat-ayat suci al-Quran.

Midwife itu seolah-olah faham permintaan saya kepada suami lalu mempelawa sekali lagi agar suami menyambut sendiri.  Suami lalu bersetuju.  Midwife segera mengambil sepasang lagi ‘glove’untuk suami saya.

“Adakah awak pernah sambut anak awak sebelum ini?”

“Iya,  pernah.  Saya rasa ini kali kedua saya akan lakukannya.”

Hampir jam 7 am, midwife yang bertugas berkata , “Ayuh Nur… syif saya akan habis jam 7 am.”

Saya merasa kasihan juga kepada midwife tersebut yang sudah agak lama menunggu. Alhamdulillah, selepas midwife menyebut demikian… datang rasa sakit hendak meneran.  Saya berzikir sebanyak mungkin dan sentiasa mengucap kalimah syahadah… saya paling takut semasa bayi sedang keluar.   Saya takut pada rasa sakit melahirkan.  Hakikatnya, rasa sakit hendak meneran tidaklah sekuat kontraksi sebelumnya.  Yang penting ialah kita perlu bertenaga untuk meneran. 

Aleeya semasa berusia 6 hari.

 

Alhamdulillah,tanggal 1 Mac 2011 bersamaan 26 Rabi’ul Awwal 1432H, jam 6 am, minit ke 58, seorang bayi perempuan selamat dilahirkan.  Hubby menyambutnya sambil melaungkan azan.

Bayi itu berpindah tangan dan midwife segera meletakkannya di atas dada saya. 

“Congratulation”, kata midwife sambil tersenyum.

Masya Allah… subhanallah…  berakhirnya sebuah lagi perjuangan melahirkan khalifah Allah di muka bumi ini… buat memakmurkan dunia ini dengan kalimahNya, insya Allah.   

“Thank you very much”, ucap saya kepada midwife.

“Bukan saya tapi suami awak”, kata midwife itu lagi. 

Lalu saya memandang suami sambil terseyum.

**************

Alhamdulillah, hari ini Aleeya berusia 24 hari.  Kakaknya, Aesya (6 tahun) gembira kerana baru mendapat kawan perempuan. 

Ummu Abbas

1.26pm

19 Rabi’ul Thani 1432H/24 Mac 2011

Melbourne.