Archive | April 2011

Aku Mahu Pakai Purdah

Bismillah.

Assalamu’alaikum warahmatullah.

 

 

Alhamdulillah, segala puji hanya untukNya dan selawat serta salam adalah untuk Rasulullah, ahli bayt, para sahabat baginda dan tabi’in semuanya.  Semoga Allah beri ganjaran setimpal dengan usaha mereka menyampaikan ilmu Allah di muka bumi ini.

Alhamdulillah, antara perkara diluar jangkaan saya dalam memasuki era alaf baru ini ialah masih ramai anak-anak gadis atau wanita yang berminat dengan purdah dan berkeinginan pula memakainya. 

Selepas seorang demi seorang sahabat-sahabat saya menanggalkan purdah mereka, menyimpan jubah-jubah mereka, menyingkatkan tudung-tudung mereka bahkan me’make-up’kan wajah-wajah mereka dengan pelbagai rasional dan alasan, saya jangka saya akan bertambah sepi di dunia yang serba mencapah pelbagai tahap kemajuan ini.  Saya sangka saya akan semakin tersisih dalam masyarakat Islam saya sendiri.  Namun Allah memberi keterangan yang nyata kepada saya, jika sesuatu itu secara fitrah dan syariat memang ada hujjah di sisiNya, tiada siapa yang dapat menghapuskan amalan tersebut dari kalangan wanita yang mahu memilih purdah sebagai salah satu cara mendekatkan diri kepadaNya.

Sering juga saya mendapat soalan-soalan dari kaum wanita yang bertanyakan tentang purdah, tentang hasrat untuk memakainya dan cara bermuamalah dengan masyarakat serta kerjaya apabila berniqab.

 

Oleh kerana kita berada di zaman banyak restoran dan kedai-kedai makan, maka antara soalan yang dikemukakan ialah bagaimana cara wanita berpurdah mahu makan di tempat umum?  Jika di Arab Saudi atau setengah restoran di Jordan, mungkin tiada masalah bagi wanita berniqab kerana di sana terdapat restoran yang mengasingkan ruang makan muslimin, muslimah dan keluarga.

 

Sebelum saya memberi respon tentang persoalan-persoalan di atas, sukalah saya berkongsi sedikit info di bawah bagi mereka yang berminat memakai purdah.  Ia adalah hasil kajian Harlina dan sahabat-sahabatnya di KUIS.   Sudah tentu tulisan di bawah kelihatan tidak sempurna namun ia mampu menyempurnakan  lagi  perbahasan sedia ada mengenai niqab.  Oleh itu, dinasihatkan agar membaca juga perbahasan-perbahasan lain yang dinukilkan di dalam kitab-kitab salaf, buku-buku moden dan juga web serta blog. 

Sebenarnya, sebahagian persoalan saya sudah jawab di ruang komen itu sendiri dan sebahagiannya saya jawab melalui email.  Oleh kerana saya sering kesuntukan waktu menulisnya secara ilmiah, maka saya tidak paparkan di ruang hadapan blog ini. 

Walaubagaimana pun, pandangan Harlina dan sahabatnya di bawah tidak mewakili pandangan saya secara peribadi.   Oleh sebab itu,  sehingga saat saya menulis ini, saya konsisten dengan jawapan-jawapan yang pernah diberikan di ruang komen.  Seperkara lagi harus disedari, walaupun Harlina dan sahabat-sahabatnya berpegang kepada hukum wajib, namun mereka tidak menolak pandangan sebahagian yang berpegang kepada hukum sunat berpurdah.   Jadi hukum memakai purdah tetap terdapat khilaf pandangan mengenainya. 

Berdasarkan pengamatan peribadi saya, hukum memakai purdah sama ada wajib atau sunat berlandaskan nas-nas al-Quran dan hadis.  Jadi saya tidak dapati wujudnya ruang kepada mana-mana individu, organisasi atau kerajaan untuk menilai (judge) pemakai purdah sebagai ekstrim, syadid, kolot, ketinggalan zaman dan seumpamanya.

Bila kita memahami asas dan kaedah-kaedah matematik dengan baik, insya Allah kita mampu menjawab apa jua bentuk soalan yang dikemukakan.  Begitu juga dengan hukum memakai niqab, kita perlu memahami prinsip asas menutup aurat dan juga perbahasan-perbahasan pada perkara khilaf dengan baik, barulah kita akan merasa mudah melaksanakannya walau apa pun cabaran yang mendatang.  Selain prinsip mengenai hijab itu sendiri, kita berkewajiban memahami prinsip-prinsip Islam yang asas pada ilmu aqidah, syariat dan akhlak.  Ketiga-tiga struktur ilmu Islam ini jika difahami dengan baik, akan membantu kita menjadi muslim yang baik bukan sahaja pada penampilan, bahkan pada perkara yang menjadi akar dan buah pohon Islam itu sendiri yakni aqidah dan akhlak.  Justeru itulah Allah berkata di dalam surah al-A’raaf ayat 26,

 

Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu pakaian menutup aurat kamu serta pakaian perhiasan dan pakaian taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).

 

Insya Allah,  saya akan menyambung sedikit demi sedikit respon terhadap soalan mengenai pemakaian niqab di blog ini.

Wassalam.

Ummu Abbas

9 Jumadal Awwal 1432H

11.41am.

Melbourne, Victoria.

***************************************************

SAYA NAK PAKAI PURDAH, APA PANDANGAN AKAK ?

by Harlina Al-Hamra on Tuesday, April 12, 2011 at 10:24am

Bismillahirrohmaanirrohiim.

Segala puji hanya bagi Allah.

Kita memuji-Nya, memohon pertolongan kepada-Nya dan memohon keampunan

kepada-Nya. Kita juga memohon perlindungan Allah di atas segala kesilapan

dan kesalahan diri kita. Mereka yang diberikan petunjuk oleh Allah, maka tiada

siapa pun yang dapat menyesatkannya daripada petunjuk tersebut. Dan

barangsiapa yang disesatkan oleh Allah, maka tidak siapa pula yang dapat

memberikannya petunjuk. Aku bersaksi bahawa tiada Ilah (tuhan) melainkan

Allah dan tiada sekutu bagi-Nya. Dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah

hamba Allah dan Rasul-Nya.

Seringkali ana mendapat soalan begini, sama ada seseorang menemui ana face to face atau  menghantar SMS kepada ana.

SAYA NAK PAKAI PURDAH, APA PANDANGAN AKAK?

Ana suka mengingatkan ana dan sesiapa sahaja tentang beberapa perkara:

Selepas berbincang dengan Naqibah di sebuah institusi, alhamdulillah ana lebih mantap memahami hukum berpurdah setelah sama-sama mengkaji dengan Naqibah apakah sunat atau wajib yang sewajar-wajarnya menjadi pegangan kami? Oleh itu, kajian kami hendaklah berlandaskan pada kebenaran menurut al-Qur’an dan as-Sunnah.

Ana sebelum ini berpendapat wajib.

Begitu juga naqibah ana.

Oleh yang demikian, kami sama-sama menyatakan hasil kajian kami mengapa kami meyakini wajib berpurdah. Kami juga mengeluarkan hujah-hujah ulama’ yang mengatakan purdah ini sunat atau harus. Pelbagai hujah dikeluarkan daripada kitab Fiqh sampailah kepada buku-buku ringan tentang wanita dan auratnya. (Hujah yang tidak menghukum WAJIB purdah bagi wanita). Mengapa?

Ini adalah bagi memastikan kedua-dua kami bukan bertaqlid membuta tuli atau sekadar memahami pada surface sahaja. Alhamdulillah, kami boleh memahami kitab bahasa Arab dengan baik.

Ana tunjukkan hujah-hujah bahasa melayu yang telah ana simpan selama pengkajian ana.

Naqibah juga menunjukkan hujah yang diyakininya.

Ada tiga hujah yang kuat mengatakan seperti berikut: (Boleh rujuk pelbagai Kitab Fiqh): Hujah-hujah lain sengaja tidak disenaraikan di sini kerana tidak kuat untuk menyaingi hujah wajib.

AL-QUR’AN

Ana jelaskan bahawa Surah al-Ahzab (33:59) menunjukkan perkataan ‘jalabibihinna’ yang ditafsirkan ‘tudung’ bagi sesetengah ulama’ dan ‘purdah’ bagi sesetengah yang lain.

HADIS

Ana jelaskan bahawa ada tiga hujah yang kuat mengatakan seperti berikut: (Boleh rujuk pelbagai Kitab Fiqh):

  1. Dalil yang paling banyak dibentang dalam mana-mana buku tentang AURAT WANITA ialah hadis riwayat Saidatina Aishah bahawa Nabi bersabda kepada Saidatina Asma’, “ Wanita apabila sudah baligh seluruh tubuhnya adalah aurat kecuali ini dan ini”(Rasulullah s.a.w menunjukkan muka dan tangan).Boleh rujuk teks lengkap dalam Riwayat Abu Daud.

 

2.   Dalil yang mengatakan seorang wanita telah menemui Rasulullah s.a.w semasa

      ihram untuk bertanyakan soalan, kemudian Fudhail bin Abbas melihat wanita itu.

      Rasulullah memusingkan wajah Fudhail ke arah lain supaya tidak memandang  

      wanita itu. Ini adalah kerana wanita itu tidak memakai purdah.(Pertikaiannya 

      ialah Rasulullah tidak mengarahkan wanita itu berpurdah sebaliknya hanya 

      memusingkan wajah Fudhail). Boleh rujuk teks lengkap dalam banyak kitab.

  1. Dalil ketiga ialah selepas menunaikan Solat Hari Raya, Rasulullah berkhutbah,

     seorang wanita bangun dan bertanya soalan kepada Rasulullah, dalam hadis ini

      menyatakan bahawa wanita itu wajahnya kemerah-merahan. (pertikaiannya, 

       Rasulullah tidak menyuruh wanita itu berpurdah, sebaliknya hanya menjawab

      soalan-soalannya). Boleh rujuk teks lengkap dalam bnyak kitab.

Oleh yang demikian, kami berbincang tentang penjelasan ulama’-ulama’ bagi setiap hujah:

Bagi Surah al-Ahzab (33:59) menunjukkan perkataan ‘jalabibhinna’ yang ditafsirkan ‘tudung’ bagi sesetengah ulama’ dan ‘purdah’ bagi sesetengah yang lain.

Setelah berbincang, kami berpegang pada pendapat sahabat yang hidup pada zaman Nabi s.a.w iaitu Ibn Abbas yang menjelaskan bahawa perkataan ‘jalabibhinna’ ini bermaksud seluruh tubuh wanita wajib ditutup kecuali mata. Ini adalah kerana pada pendapat kami beliau adalah ulama’ tafsir yang paling memahami apa yang dimaksudkan dalam ayat al-Qur’an yang mulia ini kerana beliau hidup di zaman Nabi s.a.w.

Oleh itu, sebarang hujah ulama’ lain yang menghukum ia sebagai tudung tidak dapat dijadikan hujah memandangkan banyak ulama’ lain mentafsirkan bahawa ia bermaksud purdah juga. Oleh kerana pendapat ulama-ulama adalah pelbagai, tafsiran yang paling rajih sekali ialah melalui mufassir yang hidup pada zaman Nabi s.a.w. Oleh yang demikian,tafsiran yang paling rajih adalah tafsir Ibnu Abbas. Wallahua’lam.

Manakala bagi hadis pula:

Dalil yang paling banyak dibentang dalam mana-mana buku tentang AURAT WANITA ialah hadis riwayat Saidatina Aishah bahawa Nabi bersabda kepada Saidatina Asma’, “ Wanita apabila sudah baligh seluruh tubuhnya adalah aurat kecuali ini dan ini”(Rasulullah s.a.w menunjukkan muka dan tangan).

Setelah berbincang, kami berpendapat seperti berikut: Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Daud, oleh yang demikian kami rujuk kitab hadis Abu Daud dan mendapati bahawa Abu Daud mengatakan bahawa hadis ini mursal iaitu terputus sanadnnya, oleh yang demikian, tidak dapat dipastikan kesahihannya. Ini adalah kerana Khalid bin Duraik dikatakan tidak berjumpa dengan Saidatina Aishah r.ha. Oleh yang demikian, hadis ini tidak dapat menyangkal ayat al-Qur’an yang ditafsirkan oleh Ibnu Abbas dan tidak pula bertentangan dengannya. Ini adalah kerana tidak dapat dipastikan kesahihannya kerana Abu Daud sendiri yang meriwayatkannya dan tidak pasti kesahihannya.

Dalil yang mengatakan seorang wanita telah menemui Rasulullah s.a.w semasa ihram untuk bertanyakan soalan, kemudian Fudhail bin Abbas melihat wanita itu. Rasulullah memusingkan wajah Fudhail ke arah lain supaya tidak memandang    wanita itu. Ini adalah kerana wanita itu tidak memakai purdah.(Pertikaiannya ialah Rasulullah tidak mengarahkan wanita itu berpurdah sebaliknya hanya memusingkan wajah Fudhail)

Kami berpendapat seperti berikut: Hadis ini dipertikaikan oleh ulama’ yang menghukum tidak perlu menutup muka ialah kerana Rasulullah tidak memerintahkan wanita itu menutup muka sebaliknya hanya menolehkan wajah sahabatnya Fudhail. Manakala menurut ulama’ yang menghukum wajib menutup wajah mengatakan bahawa ini berlaku ketika ihram. Sebagaimana kewajipan memakai purdah adalah terkecuali ketika solat dan ihram, maka wanita ini tidak wajib berpurdah kerana sedang berihram. Sebab itu, Rasulullah hanya menolehkan muka sahabatnya dan tidak memerintahkan wanita itu menutup mukanya. Oleh yang demikian kedua-duanya mempunyai hujah yang seimbang. Wallahua’lam.

Dalil ketiga ialah selepas menunaikan Solat Hari Raya, Rasulullah berkhutbah, seorang wanita bangun dan bertanya soalan kepada Rasulullah, dalam hadis ini menyatakan bahawa wanita itu wajahnya kemerah-merahan. (pertikaiannya, Rasulullah tidak menyuruh wanita itu berpurdah, sebaliknya hanya menjawab soalannya)

Kami berpendapat seperti berikut: Hadis ini menjadi hujah bagi yang mengatakan pemakaian purdah tidak wajib kerana wajah wanita yang berdiri itu kemerah-merahan, oleh yang demikian ia jelas terbukti wajahnya kelihatan. Namun pendapat ini dipertikaikan oleh ulama-ulama’ yang menghukum wajibnya purdah kerana hadis ini tidak tercatatkan bila, oleh itu terdapat kemungkinan ia berlaku pada solat hari raya antara tahun-tahun sebelum tahun kelima hijrah. Ini adalah kerana kewajipan menutup aurat diperintahkan pada tahun kelima hijrah sedangkan kewajipan solat hari raya pada tahun kedua atau ketiga hijrah. Selain itu, wanita ini juga berkemungkinan telah tua bangka kerana wanita yang telah menopause atau tiada berkeinginan berkahwin diizinkan menanggalkan purdahnya berdasarkan ayat al-Qur’an Surah an-Nur ayat ke-60. Oleh itu kedua-dua hujah adalah seimbang. Wallahua’lam.

Kesimpulannya, kami berpegang pada aurat wanita yang wajib ditutup adalah seluruh tubuh kecuali mata di hadapan lelaki ajnabi kecuali ketika solat dan ihram.

 

Oleh yang demikian tiada pertikaian mengenai menutup dahi atau tidak dan memakai sarung tangan atau tidak. Bagi yang berpegang pada sunat, perlulah berdasarkan dalil yang rajih yang telah dikaji begitu juga bagi yang berpegang pada wajib perlulah didasari kajian dan penelitian dalil yang adil dan bukan ikut-ikutan.

Bagi mereka yang berpegang pada wajib, namun tidak mendapat restu ibu bapa. Wajib berpurdah kerana kita bertanggungjawab pada Allah bukan pada manusia. Walaupun ibu kita menangis dan memulaukan kita. Kita wajib taat pada Allah. Tidak ada ketaatan pada ibu bapa di atas perkara-perkara maksiat. Adalah kemaksiatan bagi seorang ibu menyuruh anaknya menanggalkan purdah sedangkan anaknya berhukum pada wajib berdasarkan dalil yang paling rajih yang telah dikajinya. Oleh yang demikian seseorang itu tidak boleh dipaksa untuk meninggalkan mazhab pegangannya. Jika dia berpegang pada wajib memakai purdah, maka tiada sesiapa boleh menghalang atau mengatakan ia wahabi atau ekstremis (berlebih-lebihan). Ini adalah kerana setiap orang ada mazhabnya sendiri dalam Fiqh, dan oleh itu tidak boleh mengatakan orang salah atau menuduh sembarangan atau menuduh orang lain berlebihan  hanya kerana ORANG LAIN YANG BERBEZA PANDANGAN sedangkan dia telah mengkaji tentang hukum tersebut. Maka, wajib atau sunat itu pendapatnya. Begitu juga apabila seseorang itu telah mengkaji bersungguh-sungguh tentang hukum purdah dan menghukum ia sebagai sunat, maka tiada sesiapa boleh memaksanya. Ini hanya dalam hal jika ia TELAH MENGKAJI DAN MENDALAMI ILMU MENGENAINYA.

Wallahua’lam bissowab.