Archive | Jun 2011

Buku Fikah Perubatan Sudah Terbit

“Kak Nur, saya datang haid 10 hari.  Selepas suci 10 hari, keluar darah lagi.  Begitulah berlaku setiap bulan.  Yang mana satu perlu dikira sebagai istihadah?”

“Kak Nur, saya datang haid 5 hari.  Kemudian saya mandi wajib.  Selepas 4 hari, keluar sedikit darah… adakah ia istihadah atau masih dikira haid?  Bagaimana dengan solat yang telah saya lakukan?”

Soalan di atas adalah yang biasa sampai kepada saya.

Ada juga yang seperti di bawah ini;

“Kak Nur, saya baru buang implan  tapi masalah sekarang,  sejak 3 bulan lepas, period satu hari banyak, lepas tu 7 8 hari tompok-tompok kecil sangat.  Saya kira itu period.

Lepas suci kurang 36jam, saya bersama suami.  Selepas bersuci, beberapa  jam lepas itu haid lagi.  Satu hari banyak, 7 8 hari tompok-tompok kecil.

Kekadang  tidak sempat pun nak bersama suami, sebab lepas dah suci sekejap period lagi 7 8 hari..

Sekarang ni fobia dan tertekan, bila masa nak solat dan bersama suami ni.  Akak tentu faham tanggungjawab isteri kan? Dan apa jadi bila suami asyik ‘tertahan’ je, tentu dia tensen..kita pun tensen gak bila dia tensen.   Anak2 pun jadi heran mak pak cam tensen2 je tiap hari.

So persoalan saya tentang situasi di atas, bagaimanakah nak kira status darah yg keluar akibat pemakaian implanon tu?  Jika kita istihadhah boleh ke bersama suami?”

Kalau macam kes pakai implan di atas, kasihan benar ye…

Dulu ada seorang kawan yang makan ubat perancang, kesannya dia turun darah berbulan-bulan lamanya.

Bagaimana cara mengatasi pelbagai permasalahan wanita seperti di atas?  Permasalahan ratusan bahkan ribuan wanita muslimah berkenaan hal ehwal khusus mengenai mereka seperti haid, nifas, istihadah, lendir-lendir dan lain-lain lagi begitu menganggu rutin hidup mereka.  Apatah lagi ia berkait rapat dengan kewajipan bertaraf fardu ain seperti solat fardu.

Sebagai agama yang memudahkan ummatnya, Islam mengatur prinsip-prinsip asas dalam mewajibkan ibadah kepada setiap muslim.  Ada prinsip-prinsip asas dan ada juga kaedah-kaedah dalam mengenal pasti masalah dan cara mengatasi masalah tersebut.

Apabila kita mahir dalam prinsip-prinsip dan kaedah-kaedah fikah, insya Allah, kita akan merasa lebih mudah menunaikan ibadah dan kewajipan sebagai hamba Allah.

Bila saya menyoroti soalan-soalan yang pernah dikemukakan kepada saya sendiri, di dalam media bercetak atau media maya seperti blog, website dan lain-lain berserta jawapannya, kebanyakan permasalahan tersebut bermula dari kurangnya pengetahuan am mengenai panduan asas dalam Fikah Islami.

Justeru itu, bagi menampung kekurangan pengetahuan am berkenaan Fikah Islami berserta kaedah- kaedahnya di kalangan orang awam, usaha menyusun ilmu tersebut telah dilakukan oleh 4 orang penulis di dalam satu buku yang dinamakan Fikah Perubatan.

Kenapa ‘Fikah Perubatan’?  Hukum fikah yang dibincangkan ialah topik yang berkait rapat dengan bidang perubatan itu sendiri.  Insya Allah, tuan-tuan, puan-puan, saudara dan saudari sekelian boleh mendalami lagi mengenainya daripada buku berkenaan.

Sebagai gambaran am, saya lampirkan di bawah ini Isi Kandungan buku tersebut;

Tajuk
Kata Pengantar
Isi Kandungan
Perubatan Islam
Definisi Perubatan IslamTibb Nabawi
Perubatan Arab Sebelum Kedatangan IslamPerubatan Yunani
Sejarah Perkembangan Perubatan dalam Dunia Islam
Tokoh-tokoh Perubatan Islam

  1. 1.    Ibnu Sina
  2. 2.    Al-Zahrawi
  3. 3.    Al-Razi
Asas  Fikah Perubatan
Pendahuluan
Pengertian Fikah
Pertama: Fikah perubatan berdiri di atas prinsip umum.
Kedua:  Asal dalam urusan perubatan, adalah diharuskan.
Ketiga: Fikah perubatan dibangunkan dengan mengambil kira illat (sebab) dan maslahah ( keperluan atau kepentingan).
Daruriyyat, Hajjiyat Dan Tahsiniyat.
Hukum Berubat
HUKUM   BERUBAT MENURUT ISLAM
Jenis  Rawatan Yang Diharamkan  Islam
1.  Rawatan menggunakan bahan-bahan yang haram.
  1. 2.    Rawatan menggunakan bahan-bahan najis.
    –       Syarat keharusan berubat dengan benda  najis
  1. 3.    Rawatan yang membawa mudarat besar dan  bencana yang dahsyat kepada pesakit.
  2. 4.    Rawatan berdasarkan sihir, khurafat  dan pemujaan.
  3. 5.    Perubatan menggunakan tangkal azimat.
-       Tangkal Yang Dijampi Dengan al-Quran.
6.  Rawatan berdasarkan jampi mentera.-  Jampi  yang dibenarkan syarak.
7.  Perubatan menggunakan jin (makhluk halus).
 HUKUM MENGGUNAKAN BENDA-BENDA HARAM DAN NAJIS DALAM UBAT-UBATAN
Definisi Ubat
Definisi Ubat Yang Halal
Sumber Ubat1. Berubat Menggunakan Arak.
2. Berubat Menggunakan Alkohol.Hukum Ubat-Ubatan Yang Mengandungi Alkohol.
3.  Berubat Menggunakan  Dadah.Definisi DadahJenis-jenis Dadah

Dadah Yang Digunakan Dalam Perubatan

Hukum  Menggunakan Dadah

4.  Berubat Menggunakan Gelatin Daripada Binatang Yang Tidak Disembelih.

Gelatin

Hukum Gelatin

Rasional Tidak Boleh Berubat Dengan Yang Haram
Bendalir  Badan , Aplikasi Hukum Dan Toharah
HAID

Haid yang  normal: Puberti (baligh) dan Menarke (haid pertama)

Tempoh  Haid

Kitaran  Haid

Putus  Haid

Masalah  Berkaitan Dengan Haid
Amenorea
(Tidak Datang Haid)
ISTIHADAH-       Dalil-dalil Wujudnya Istihadah-       Hukum  Istihadah

-       Bersuci  dan Ibadah Ketika Istihadah

-      Istihadah Dari Sudut  Saintifik (Perdarahan rahim yang
tidak normal)

Haid Semasa Hamil

Penetapan Hukum Terhadap Permasalahan Haid
RAWATAN BAGI MASALAH PERDARAHAN BERPANJANGAN

Permasalahan Yang Timbul Akibat Rawatan Ubat-Ubatan

NIFASPengenalan
Nifas Dari Sudut SaintifikNifas yang Normal
APLIKASI  HUKUM KE ATAS WANITA HAID DAN NIFAS.
HUKUM  PERDARAHAN SEWAKTU MENGANDUNG DAN AIR KETUBAN

Darah  bercampur lendir

Air  Ketuban

BENDALIR  BADAN YANG LAIN

Wadi

Mazi

Mani

CECAIR BADAN YANG LAIN DAN HUKUMNYA

Hukum Darah Manusia

Hukum Air Kencing

Hukum Nanah Dan Air Bisa

Hukum Air Liur Dan Muntah

Keluar Angin Melalui Faraj (Kentut Vagina)

Perlaksanaan Ibadah Ketika Sakit; Tayammum  dan Solat
IBADAH

Kepentingan Solat Semasa Sakit

Konsep Rukhsah Dalam Ibadah

TOHARAH
(Bersuci)Ringkasan  Mengenai Wuduk

Langkah-Langkah Bersuci Bagi Pesakit Menurut Keutamaan

Definisi Pembalut atau al-Jabirah

Hukum Menyapu di atas Jabirah dan ‘Ishabah

Tip Mudah Berwuduk Bagi Pesakit

TAYAMMUM

Objektif Tayammum

Syarat-syarat Tayammum

Alat Tayammum

Syarat-Syarat Sah Bertayammum

Rukun Tayammum

Perkara-Perkara Sunat Semasa Bertayammum

Perkara Yang Membatalkan Tayammum

PESAKIT YANG TIDAK DAPAT MENGELAK DARI NAJIS

Contoh Aplikasi Solat Wanita Yang Sakit Untuk Bersalin

Pesakit Tidak Mampu Berwuduk dan Tidak Mampu Bertayammum
KAEDAH SOLAT SEMASA SAKIT.
Solat Perawat Dalam Keadaan Darurah Menyelamatkan
Pesakit Dan Pembedahan Yang Panjang.

Hukum Solat bagi Perawat yang Terlibat dengan Operasi Pembedahan

Adakah Pesakit Boleh Melakukan Solat Jamak?
Puasa & Kaedah Rawatan Moden Yang Tidak Membatalkan Puasa
Puasa dan Puasa PerubatanHujjah di SyariatkanKeutamaan Puasa di Bulan Ramadan
Hikmah Puasa – Faedah Saintifik
Perkara yang membatalkan puasa

Kaedah Rawatan Moden Berhubung Perkara Yang Membatalkan Puasa

Puasa Pesakit
BIBLIOGRAFI
GLOSSARI

Buku ‘Fikah Perubatan’ berusaha memberi penjelasan dengan cara yang mudah difahami orang awam.

Beberapa artikel yang pernah disiarkan dalam blog ini, turut dimuatkan di dalam buku ini.

Contoh kes-kes yang ditanya di atas diberi penjelasan bukan sahaja dari sudut fikah,bahkan diberi keterangan dari sudut perubatan agar kita berada dalam keadaan sedar apa sebenarnya yang telah berlaku kepada tubuh kita.  Gambarajah dan foto-foto berkaitan tajuk juga dilampirkan untuk memudahkan lagi ia difahami.

Alhamdulillah, buku ini sudah berada di pasaran sekarang.

Ia diterbitkan oleh PTS Millennia dengan kerjasama PAPISMA.  Harganya RM22 sebuah bagi Semenanjung Malaysia dan RM25 bagi Sabah/Sarawak.

Di mana dan bagaimana saya boleh dapatkan buku ini?

Cara mendapatkan buku ini bagi mereka yang berada di Malaysia;

1. Hubungi Saudara Syakir di 019-9009321.

2. Semua rangkaian kedai-kedai buku yang menjadi pengedar PTS.  Untuk mengetahui kedai-kedai berhampiran tempat anda yang menjadi agen PTS, lihat Portal PTS dan klik pada ‘Pengedar’.

Bagi mereka yang berada di Australia, boleh membuat pesanan dengan menghantar email kepada saya di ummu_abbas@ymail.com atau wannor_ainon@yahoo.com.   Harga AUD15 tidak termasuk kos penghantaran bagi kiriman melalui pos.

*Jika berminat mendapatkan tandatangan penulis, sila maklumkan dalam email.  Tawaran ini
adalah mereka yang membuat pesanan terus melalui saya.

Setiap insan tidak dapat lari dari kelemahan, justeru itu kami sentiasa mengharapkan teguran dan cadangan terhadap kualiti penulisan dalam buku ini dari semua pembaca.

Apa yang baik itu datangnya dari Allah dan yang kurang itu dari kelemahan kami sendiri.

Selamat membaca!

Ummu Abbas

26 Rejab 1432H/ 28 Jun 2011-06-28

5.47pm

Melbourne.

Dilema dilamar dan Impian Memakai Tudung

Saya belum berkahwin. Hati belum terbuka sepenuhnya untuk berkahwin. Saya baru berusia 24 tahun dan seorang lelaki yang rapat dengan saya ada mengajak saya berkahwin tapi saya belum betul2 bersedia kerana perkahwinan alaf moden ini penuh dengan cabaran. Tapi saya berharap agar Allah s.w.t akan membantu saya dan membuka hati saya untuk menerima lamaran lelaki tersebut. Saya juga mempunyai impian untuk memakai tudung dan ingin menjadi seorang isteri dan ibu yang solehah seperti Puan. Doakan saya :)

Zati

****************************************

Bismillah.

Pertamanya, terima kasih kerana menulis dengan ejaan penuh. Ramai juga yang menulis dengan ejaan ringkas dan tatabahasa yang agak cacamarba bila bertanya.

Keduanya, alhamdulillah dan tahniah kerana sudah dilamar serta diberi inayah oleh Allah menuju kebaikan. Impian untuk mentaati perintah Allah serta menjadi isteri dan ibu solehah itu moga diperkenankanNya.

Mengenai lamaran tersebut, pada pandangan akak, adalah baik jika;

1. Merisik dulu melalui orang lain berkenaan peribadi pemuda tersebut.
2. Berbincang dengan keluarga.
3. Solat istikharah.

Buat keputusan selepas merisik, berbincang dengan keluarga dan istikharah. Jika petunjuknya berat ke arah menerima, maka terimalah pernikahan tersebut seadanya. Insya Allah ada kebaikan di sebaliknya. Jika petunjuk sebaliknya, sebaiknya jauhi pemuda tersebut dan beri kata putus agar dia tidak lagi tertunggu serta boleh mencari yang lain.

Lazimnya, usia seperti Zati sudah sesuai menjadi ‘permaisuri hidup’ seseorang :). Jadi akak kira ia bukan alasan kukuh untuk menolak lamaran seseorang atau menangguhkan pernikahan. Dari aspek biologi dan kesihatan, pada usia begini sangat sesuai untuk melahirkan, mengasuh serta mendidik anak-anak.

Perlu juga difikirkan, jika kita menolak lamaran seseorang yang baik agama dan akhlaknya, dibimbangi selepas itu tiada lagi pemuda soleh yang akan melamar.  Rasulullah s.a.w pernah berpesan,

إِذَا خَطَبَ إِلَيْكُمْ مَنْ تَرْضَوْنَ دِينَهُ وَخُلُقَهُ فَزَوِّجُوهُ إِلَّا تَفْعَلُوا تَكُنْ فِتْنَةٌ فِي الْأَرْضِ وَفَسَادٌ عَرِيضٌ

“Apabila datang kepadamu seseorang (untuk meminang) yang engkau reda pada agama dan akhlaknya, maka nikahkanlah dia. Bila tidak engkau lakukan, maka akan terjadi fitnah di muka bumi dan akan timbul kerosakan yang merata.”

Hadis direkod oleh At-Tirmidzi dan Ahmad

Cubalah pandang sekeliling dan perhatikan peristiwa yang berlaku pada keluarga, kawan-kawan dan masyarakat. Zati akan dapati ramai juga mereka yang pernah menolak lamaran pemuda yang baik tanpa alasan syarak menyesal di kemudian hari.

Kak Nur punya sahabat-sahabat yang menerima lamaran pemuda soleh semata-mata menurut sunnah yang Rasulullah s.a.w telah tunjukkan, meskipun pada awalnya mereka kurang menyenangi dengan rupa paras serta penampilan pemuda itu. Kak Nur perhatikan kehidupan mereka di kemudian hari begitu bahagia serta dilimpahi rezeki yang diberkati.

Untuk mendapatkan jodoh yang baik, kita perlu berusaha menjadi solehah terlebih dahulu.

Akan ku perolehi suami seperti Muhammad,
Jika ku berusaha menjadi seperti Khadijah.

 Akan ku dinikahi pemuda seperti Ali,
Jika ku menyulami akhlak Fatimah.

Berkenaan tudung bagi wanita, sukalah akak bawa contoh berikut;

“Bibik, selepas masak, bibik tolong cuci tandas. Kemudian buang sampah-sampah di dapur ke dalam tong besar”.

“Datin, nantilah dulu. Bila saya rasa sudah sampai masanya untuk saya lakukan, saya akan lakukan. Datin jangan risau”, jelas bibik selamba sambil tangannya menekan-nekan butang laptop di depan.  Bibik ini baru pandai ber’facebook’ gara-gara diajar oleh anak majikannya.  Laptop itu pula kepunyaan ‘big boss’, suami kepada Datin Maheran.

Apa pandangan Zati terhadap bibik di atas?

Jika bibik itu sedar akan tanggungjawabnya sebagai pekerja di rumah majikannya, sudah tentu dia tidak akan bersikap demikian. Sebaliknya, dia akan terus laksanakan arahan tuannya.

Begitulah hakikat diri kita Zati, yang mana Allah telah jelaskan di dalam Surah Al-Zaariyaat, ayat 56,

وَمَا خَلَقْتُ ٱلْجِنَّ وَٱلإِنسَ إِلاَّ لِيَعْبُدُونِ

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka memperhambakan diri kepadaKu.

Realitinya, sebaik usia sudah baligh, tanggungjawab kita ialah mengenakan hijab sepenuhnya tanpa bertangguh kerana hukumnya wajib.  Ia tanda kita percaya kepada kebaikan Allah pada hambaNya yang perempuan. Ia juga tanda kita menyedari hakikat diri dicipta hanya untuk menjadi hambaNya. Bila disebut hamba, apa saja disuruh tuan, akan dibuat dan apa saja dilarang, akan ditinggalkan. Tidak wajar seorang hamba menyatakan,”Tuan, tunggu saya sudah rasa mahu buat, baru saya buat”.

Kebaikan dari menutup aurat ini bukan sahaja sebagai pelindung diri kita dari kemurkaan Allah dan dari kejahatan manusia, bahkan membantu memelihara pandangan lelaki ajnabi dari melakukan dosa terhadap Allah. Bukankah kita suka jika ramai lelaki di luar sana menjadi soleh? Bila lelaki sekeliling kita menjadi soleh, kita serta bakal zuriat kita yang akan untung di dunia dan akhirat.

Insya Allah, bila syariat lahir dibuat kerana patuh pada Allah, kemanisan iman itu akan meresap ke dalam hati. Selagi tidak buat, tidakkan dapat kelazatan iman itu. Selepas merasai kemanisan iman itu, akan mendorong hati utk menambah kebaikan-kebaikan lain yang mana kebaikan-kebaikan itu akan mengangkat darjat kita menjadi solehah.

Isy Zati ini… kalau pun mahu jadi solehah, ambillah isteri-isteri Rasulullah s.a.w sebagai contoh. Akak ini banyak sangat kekurangannya. Cuma segala kekurangan itu, tidak bolehlah cerita lebih-lebih di blog ini.. Iya tak? Sikap yang kurang baik bukan boleh diikut pun… :).

Ok ye Zati, buat permulaannya, usahakan perbaiki solat 5 waktu dengan memahami makna bacaan dalam solat. Kemudian berdoa selepas solat sepenuh hati agar Allah beri kekuatan untuk mendekatkan diri kepadaNya. Insya Allah, Zati akan diberi kemampuan mentaatiNya dan menjauhi laranganNya.

Juga tambahlah ilmu didada yakni ilmu yang membawa kita mengenal Allah serta mendekatkan diri kepadaNya.

Salam sayang dari akak.

Wassalam.

Ummu Abbas
11.17am
14 Rejab 1431H/16 Jun 2011
Melbourne.