Archive | Julai 2011

Catatan Melbourne 1

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah atas nikmat kurniaan Ilahi yang memberi kesempatan kepada saya sekeluarga untuk menitip pengalaman hidup di Melbourne.  Tentu banyak hikmah yang mahu dikurniakan kepada saya sebelum saya dipanggil bertemu denganNya.

Allah menetapkan sesuatu perkara sesuai dengan diri kita walaupun mungkin kita sendiri tidak begitu menyukainya pada awalnya.  Justeru, bersangka baik dan berusaha berlapang dada apabila dihamparkan ujian hidup.  Mutiara berkilau indah  hanya dapat dijamu mata setelah menyelam ke dasar lautan, dibawa naik ke atas dan dipecahkan kerangnya.   Iya benar, mutiara kehidupan yang indah juga hanya dapat dinikmati oleh mereka yang sanggup menyelam ke lautan cinta Ilahi, bertahan dengan ujian hidup dan dipecahkan panggilan nafsu syahwat yang tidak baik.

Menjelang Ramadan 1432H, memberi makna hampir setahun sudah kami bermastautin di Bumi Koala ini.  Seribu makna sejuta hikmah sedang dikutip hari demi hari.

Ketibaan kami di lapangan terbang antarabangsa Melbourne disambut cuaca dingin musim sejuk yang menyelimuti.    Akibat tersalah mengisi borang, kami terkandas agak lama di bahagian imigresen.  Seperti biasa, saya membuka purdah semasa berada di atas kapalterbang  sehingga melepasi imigresen.   Ia adalah untuk memudahkan urusan.   Semasa berada di Jordan dulu, muslimah berniqab akan membuka purdahnya semasa melintasi hudud (sempadan) Arab Saudi bila mahu ke Tanah Suci, sama ada melalui jalan darat atau jalan laut.   Ia merupakan satu keperluan yang mengharuskan muslimah berniqab membuka niqabnya.    Bezanya pada masa itu, kami hanya membuka purdah di hadapan pegawai yang memeriksa pasport kami sahaja.

Di bahagian ketibaan, kelihatan dua orang berwajah Melayu sedang menunggu kami.    Kami mengenali Ustaz Haznizul namun pada waktu itu dia belum tiba di airport.    Dia mewakilkan Ustaz Nushi dan Yahya untuk menyambut kami.  Isteri Ustaz Haznizul merupakan junior saya di Maahad Muhammadi (P).    Nurhafilah menyambung pelajarannya di peringkat PhD sejak tahun 2008 di Universiti Melbourne.  Setelah suami bertaaruf, rupa-rupanya Ustaz Nushi juga merupakan junior saya di Jordan dahulu.  Saya hanya tahu namanya tetapi tidak kenal tuannya.  Ustaz Nushi satu ‘bacth’ dengan Abu Saif, pendakwah selebriti itu.

Kemudian baru dapat tahu,  Yahya pula merupakan anak bekas majikan.  Bapanya, Encik Shakur pernah mengupah saya menjadi salah seorang editor Transkripsi Tafsir Tuan Guru Nik Abdul Aziz.   Waktu itu saya baru pulang dari Jordan.  Saya menjadi editor sambilan.  Selepas waktu sekolah, saya akan ke pejabat kira-kira 3 hari seminggu.

Masya Allah!  Kecilnya dunia ini.  Ke mana pun kita pergi, ada sahaja bertemu dengan kenalan atau kenalan atas kenalan.

Rumah Transit di Melbourne

Kami dibawa ke Malaysia Hall Melbourne.  Ustaz Haznizul merupakan Pembantu Warden di situ.  Semasa catatan ini dibuat, jawatan tersebut sudah berpindah tangan.  Ustaz Haznizul bertugas buat kali terakhir pada 15 Julai 2011.  Mereka akan pulang ke Malaysia akhir Ogos nanti.

Sebelum datang, kami diberi pilihan mendapatkan penempatan sementara sama ada di Malaysia Hall atau rumah transit.   Rumah transit ialah rumah pelajar post-grad yang pulang bercuti ke Malaysia.

Sepanjang perjalanan, saya menikmati pemandangan kota Melbourne yang dipenuhi dengan ‘hutan konkrit’.  Pelbagai desain (design) replika moden menghiasi bandar ini.  Tahun 2007, kami pernah singgah sekejap pada waktu malam di Melbourne ini yakni dalam perjalanan pulang dari Adelaide ke Sydney.  Jadi saya tidak tahu wajah sebenar Melbourne.  Kami sempat melawat rumah Dr Monica, kenalan suami semasa Dr Monica dijemput menyampaikan ceramah di sebuah hotel di Kelantan.    Dr Monica bertugas di Royal Children’s Hospital, Melbourne  antara hospital kanak-kanak terbaik dunia.

Pada mulanya, suami membuat keputusan tinggal di Malaysia Hall sementara kami mendapat rumah sewa sendiri.  Ia untuk menjimatkan kos.   Namun baru sekerat hari berada di Malaysia Hall,  saya merasa tidak selesa berlamaan di sana.  Bukan kerana biliknya, tetapi kerana kurang privasi bagi seorang muslimah seperti saya dan juga ruang untuk anak-anak bermain yang terhad.

Dengan anak-anak kecil yang sedang lasak seramai 5 orang, kami menyewa dua bilik berhadapan.  Oleh kerana anak-anak asyik keluar masuk dari bilik mereka ke bilik saya, saya tiada peluang membuka tudung dan berehat.  Pintu tidak boleh dikunci sedangkan lorong yang memisahkan bilik kami menjadi laluan awam.  Bilik air juga berkongsi di luar.  Jadi perlu menutup aurat dengan lengkap untuk ke bilik air.

Anak-anak kecil mula kelaparan.  Saya dan suami bersahur di atas kapalterbang dan meneruskan puasa walaupun ada rukhsah untuk berbuka.  Alhamdulillah, dengan adanya kenalan di sini, mereka banyak membantu kami mendapatkan penginapan dan mencari makanan sementara.

Ummu Abbas

27 Shaaban 1432H/28 Julai 2011

11.33am


“Cunnya dia!”

Bismillah.

Ketawa begini layak untuk kanak-kanak yang belum baligh.

Suatu hari di Beijing… (2010)

 

Gadis itu bernama Maggie.  Maggie menjadi pemandu pelancong kami di Beijing.  Maggie merupakan salah seorang gadis China di Kota Beijing. Dia fasih berbahasa Melayu Indonesia.

Maggie sedikit mengeluh ketika menyambut kami di Lapangan Terbang Tianjin.

“Kenapa lambat?”

“Maafkan kami, kami singgah di bilik air sebelum melintasi imigresen.  Ada yang mahu ke bilik air dan mengambil wuduk.”

“Oh… tak apa-apa”

Perjalanan dari Tianjin ke Beijing kira-kira 2 jam menaiki bas.  Jaraknya 112km.  Sepanjang perjalanan itu, saya berkenalan sedikit sebanyak dengan Maggie.

Maggie tidak menganut apa-apa agama pada asalnya.  Dia sama seperti kebanyakan penduduk China yang masih terkesan dengan fahaman komunis yang tidak beragama.  Sekarang dia menganut agama Kristian.

Maggie seorang yang peramah, sopan dan bersungguh-sungguh melayani keperluan kami sepanjang kami berada di sana.

Setiap hari, Maggie akan sentiasa memberi penerangan mengenai tempat-tempat yang dilawati.  Kadang-kadang dia bercerita pengalamannya membawa pelancong yang lain.

Semasa memberi penerangan, Maggie akan berdiri mengadap kami.  Kadang-kadang kami bertanya apa-apa yang dilihat dan juga mengenai hal ehwal setempat.  Nasib baik waktu itu musim dingin.  Jadi meskipun Maggie tidak bertudung, namun pakaiannya masih boleh dikategorikan sopan bagi penganut Kristian sepertinya.

Kadang-kadang juga, kami mengajar Maggie istilah-istilah Bahasa Malaysia yang agak berbeza dengan istilah Bahasa Indonesia yang digunakannya.

Suatu hari, satu perkara yang menarik hati mencatat kenangan manis di dalam memori travelog saya.  Maggie bercerita seperti biasa secara santai dan harmoni.  Sekali, salah seorang dari kami menerangkan satu istilah Bahasa Indonesia yang memberikan maksud lain jika digunakan dalam
Bahasa Malaysia.  Maggie tidak dapat menahan gelak.  Sambil ketawa, Maggie menutup mulut dengan tangannya.  Biasanya dia tergelak kecil sahaja.

Masya Allah!

Saya terpegun menyaksikan fitrah malu seorang wanita yang masih tersisa pada gadis Kristian itu.  Kebanyakan anggota rombongan kami adalah lelaki.  Hanya 3 orang perempuan dari 13 orang.   Bukankah gadis yang bersikap sepertinya kelihatan begitu ‘cun’?

Suatu hari di sekolah… (Akhir 80-an)

“Datuk aku beritahu, tidak elok bagi gadis-gadis bergelak ketawa di tepi-tepi jalan”, ujar seorang sahabat saya suatu hari.

Sahabat saya itu, Adlina sentiasa berulang alik ke sekolah dihantar oleh datuknya.  Datuknya berkata demikian selepas melihat gadis-gadis sekolah yang berselisih dengannya bergelak ketawa  sesama mereka di pinggir-pinggir jalan.  Sekolah kami sekolah agama.  Zaman saya bersekolah menengah ialah akhir tahun 80-an.  Itu dulu.

 

Muslimah kampus    (90-an)

 

Kami sedang bermesyuarat.  Kaedah yang kami gunakan pada masa itu ialah meletakkan tabir antara ahli mesyuarat syabab (pemuda) dan akhawat (pemudi).  Menjadi amalan kami di kalangan akhawat untuk menahan gelak jika ada sesuatu yang lucu terjadi.   Kami ketawa sesama kami tanpa mengeluarkan suara.   Syabab tidak mengapa jika suara gelak mereka kedengaran.

Suatu ketika, terjadi perkara lucu.  Seorang muslimah tidak dapat menahan gelaknya lalu pecah suaranya ketawa.  Salah seorang syabab menyampuk dengan nada selamba, “Haa.. pecah tempayan budu!”  Tiba-tiba sahaja muslimah itu berhenti dari ketawa seraya menutup mulutnya dengan rasa malu.

Gadis Melayu di pinggir air terjun… (awal 2000 an)

 

Ahli usrah mengadakan  “family day” di satu kawasan air terjun terkenal di Kelantan.

Suatu ketika, kami terdengar suara nyaring gadis-gadis bergelak ketawa nun berada jauh dari kami.

Salah seorang remaja lelaki yang berada berhampiran kami waktu itu berkata, “Eeei… takutnya aku… macam hantu!”

 

 

Gadis Melayu Musim Kedua… (2009)

 

Saya sempat mengikuti sedikit rancangan Gadis Melayu musim kedua.  Tujuan untuk mengetahui kriteria apa penerbit siri tersebut titik beratkan pada Gadis Melayu.

Pada satu segmen, gadis-gadis itu disuruh menjual di tepi jalan.  Terdapat satu adegan, gadis-gadis Melayu itu (bukan semua) ketawa terbahak-bahak.  Mulut ternganga luas.  Aduhai… gadis Melayu!

 

Rasulullah s.a.w… (Lebih 1400 tahun yang lalu)

 

Melihat wajahnya yang sering tersenyum sudah tentu membahagiakan hati.  Ditambah pula air muka beliau yang jernih dan bersinar terang dihiasi cahaya ketaqwaan.  Ketawa Rasulullah hanyalah berupa senyuman.  Paling tinggi pun,  hanya menampakkan deretan gigi beliau yang rapi serta gusi saat tertawa.  Ketawa Rasulullah s.a.w memiliki karisma, tidak mengeluarkan suara dan tidak terbahak-bahak.

Jabir bin Samurah r.a. berkata, “Rasulullah saw. tidak pernah tertawa selain dari senyuman.” (dilaporkan oleh Ahmad dan Al Hakim).

Dia termasuk orang yang paling banyak tersenyum di antara manusia, juga yang paling baik jiwanya di antara mereka.  Thabrani melaporkan hadis ini dari Abu Umamah.

Dia juga tidak pernah menceritakan sesuatu, kecuali dengan tersenyum.  Hadis dilaporkan oleh Ahmad.

Ibnu Abbas r.a menyifatkan Rasulullah sebagai orang yang paling banyak tersenyum dan menangis.

Aisyah ra. pernah ditanya seseorang,

Bagaimana keadaan Rasulullah saat berada dirumahnya?” Aisyah menjawab, “Beliau adalah orang yang paling lemah lembut, paling murah hati dan beliau tidak berbeza dengan salah seorang lelaki di antara kalian.  Hanya saja beliau banyak tertawa yang berupa senyuman.”

Hadis dilaporkan Ibnu Sa’d dan Ibnu Asakir.

Abu Sa’id berkata, “Nabi s.a.w  sangat pemalu daripada seorang gadis dalam pingitannya.”  Hadis direkodkan oleh Bukhari.

Imran bin Hushain  r.a melaporkan bahawa  Nabi s.a.w  berkata, “ Malu itu tidak datang kecuali dengan membawa kebaikan.   Direkodkan oleh Bukhari.

“Malu dan amanah adalah perkara yang mula-mula sekali hilang dari dunia ini, sebab itu mintalah dengan Allah untuk kedua-duanya.”  Direkodkan oleh Bukhari.

Ketawa dan menangis adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah.  Allah berkata di dalam surah al-Najm, ayat 43,

 “Dan bahawa Dia-lah yang menjadikan orang tertawa dan menangis.”

Rasulullah s.a.w merupakan manusia ideal yang sempurna sifat-sifatnya sehingga dijadikan teladan bagi kita semuanya, sebagaimana firman Allah di dalam surah al-Ahzab, ayat 21,

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) rasulullah itu suri teladan yang baik bagi kalian (yaitu) bagi orang-orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.”

 

Cara ketawa dan senyuman pilihan kita?

Sifat malu menambah nilai anggun bagi wanita.

Malu perhiasan utama kaum wanita

Sekarang, melihat para gadis muslimah, ibu-ibu muslimah bahkan aktivis muslimah ketawa besar dengan mulut ternganga luas adalah perkara
biasa.   Kalau sesama mereka di tempat tertutup, boleh tahan lagi.  Namun apa yang berlaku ialah di khalayak ramai yang wujud bersama mereka para lelaki ajnabi.

Muslimah yang indah menarik itu akan menahan suara gelak mereka agar tidak kedengaran pada pendengaran ajnabi.  Apatah lagi untuk ketawa dengan mulut ternganga luas.

Muslimah pemalu itu secara automatik akan menutup mulutnya yang terbuka sekiranya tidak dapat menahan gelak di hadapan ramai.  Jika dia sudah memakai purdah, maka purdahnya itu sudah memadai menutup mulutnya.

Betapa cunnya seseorang gadis atau wanita yang masih terpelihara dalam fitrahnya yang suci yakni pemalu.  Jika Rasulullah s.a.w digambarkan lebih pemalu dari anak gadis yang berada dalam pingitan, maka siapalah kita untuk bersikap lebih sudu dari kuahnya?

NOTA;

Tulisan ini didedikasikan buat diri penulis sendiri yang merasa begitu payah berusaha membentengi diri dengan sifat malu di dunia yang penuh
fitnah ini.

Persekitaran yang semakin mengikis rasa malu,  jika tidak diberi peringatan, dibimbangi akan merobohkan prinsip, “Jadilah seperti ikan di laut.  Tetap tawar walau airnya masin”.

Aku mencari jatidiriku sebagai hamba yang diredai Allah.

Ummu Abbas

17 Syaaban 1432H

18 Julai 2011

12.47pm/Melbourne