Archive | Ogos 2011

Mahu berpurdah dan berniaga

Assalamualaikum,

Alhamdulilah saya telah mula memakai niqab semula setelah sekian lama 20 thn lalu kerana dihalang oleh ibu dan pada ketika itu masih cetek ilmu dan keyakinan.

Awal Ramadhan ini mula kembali di atas rasa ingin kembali kehidupan yang amat bahagia menegakkan Islam dalam diri akan  perintah Allah. Perubahan diperlukan supaya keimanan akan terus meningkat untuk mencapai keredaan Allah.  Alhamdulillah suami, anak2 dan juga ibu bersetuju dengan keputusan berniqab. Mohon mendapat doa untuk menguatkan diri menghadapi masyarakat kerana saya adalah ahli perniagaan.

Sejauh mana kenyataan ini sesuai untuk seorang peniaga?

“Harus buka niqab bagi wanita berpurdah bila berjual beli, terlibat dalam urusan kehakiman seperti menjadi saksi, ketika dilamar, dalam ihram umrah atau haji dan lain-lain.”

Elani

—————–

Wa’alaikum salam warahmatullah Puan,

 

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah di atas perubahan yang Puan lakukan.

 

Benar Puan, bila kita pernah merasai kemanisan kerana mengamalkan sesuatu yang baik di sisi agama, kita akan merinduinya selepas meninggalkannya.  Sukar untuk menghuraikan perasaan itu dan sukar pula memahamkan kepada orang lain kecuali dapat difahami oleh mereka yang ikhlas mengamalkannya.  Paling tidak pun, kita perlu ‘ignore’ sahaja terhadap pelbagai persepsi manusia di sekeliling kita.  Yang penting, sesuatu bernilai yang Allah campakkan dalam diri kita tetap terpelihara.

 

Pandangan Allah adalah paling utama untuk diraih dan pandangan manusia yang tidak mendekatkan diri kepada Allah, perlulah diabaikan.  Saya sering mengingatkan diri sendiri tentang perkara itu.  Alhamdulillah, sehingga kini mendapat kekuatan dari Allah untuk istiqamah.  Tiada satu makhluk yang mampu memberi ketenangan ke dalam hati  kecuali Allah.  Jadi apa pentingnya mendengar dan menurut pandangan yang akhirnya akan membuat jiwa kita gelisah. Meskipun mereka bergelar ibubapa, suami, ustaz, pemimpin itu dan pemimpin ini.  Ketaatan kita kepada makhluk dan usaha-usaha kita mencari reda manusia terbatas dalam perkara yang diredai Allah jua.

 

Kadang-kadang, bahkan banyak keadaan, masyarakat sekeliling kita bersikap bias terhadap wanita berpurdah.  Perkara yang terangan haram seperti wanita yang tidak menutup aurat atau bertudung tetapi berbaju dan berseluar ketat, mereka boleh berdiam diri serta bertoleransi, namun bila melihat anak isteri atau mana-mana wanita berpurdah, mula mereka riuh rendah, “Ini pakaian sesuai di padang pasir”, “Tiada hukum menyuruh wanita berpurdah”, “majoriti ulama tidak mewajibkan purdah” dan pelbagai alasan lagi.    Lebih baik mereka menegur ramai wanita yang tidak berhijab sekarang dengan menyebut ayat-ayat Quran dan hadis yang secara mutlak memerintahkan wanita mukmin melabuhkan pakaian mereka sehingga tidak nampak segala bentuk badan, tidak berhias untuk menarik perhatian ajnabi dan tidak berpakaian seperti lelaki.

 

Walau apapun, kita tetap harus bersedia berdepan dengan perubahan yang mungkin memaksa kita bertoleransi pada sesetengah tempat dan bertegas pada tempat yang lain.  Sama seperti kita bersedia untuk solat dalam keadaan duduk ketika sakit walaupun asalnya solat wajib dilakukan dalam keadaan berdiri.  Apabila mampu berdiri, maka solat perlu ditunaikan dalam keadaan berdiri semula.

 

Bahkan saya percaya, jika mereka yang mempunyai kaitan rapat dengan diri kita tahu kita merasa bahagia serta tenang dengan apa yang kita amalkan, mereka pasti menyokongnya.  Ibubapa mana yang tidak mahu melihat anaknya bahagia?  Suami mana yang mahu lihat isterinya gelisah dan tertekan?   Hanya ibubapa dan suami yang tidak normal sahaja yang suka melihat anak dan isterinya hidup dalam kegelisahan, tidak bahagia dan tidak tenang.  Tinggal lagi, mereka juga seperti kita yang kadang-kadang merasa goyah dengan pelbagai persepsi dan tohmahan yang dilemparkan di luar sana.  Ditambah pula, sebahagian mereka yang bergelar ustaz juga tidak menyokongnya.  Memang itu hak mereka untuk memilih pendapat yang terdapat khilaf fahaman padanya, namun untuk mencegah para muslimah yang mencari ketenangan melalui purdah, saya kira ia sesuatu yang amat tidak wajar sama sekali.

Seorang muslimah berpurdah sedang menyiapkan gerainya. Kreatif betul cara dia menyimpan guntingnya!

Baiklah Puan,  berbalik kepada kenyataan berbunyi, “Harus buka niqab bagi wanita berpurdah bila berjual beli, terlibat dalam urusan kehakiman seperti menjadi saksi, ketika dilamar, dalam ihram umrah atau haji dan lain-lain.”

Saya kira Puan sudah mendapat kefahaman yang jelas mengenai  hukum fikah berkenaan memakai purdah dan juga perbahasan fuqaha’ mengenai isu tersebut.  Kenyataan tersebut dibina di atas khilaf fuqaha’ mengenai hukum memakai purdah sama ada sunat atau wajib.

Ia juga dibina di atas pendapat majoriti ulama yang menyatakan wajah dan tangan bukan aurat.  Wajah dan tangan ditutup untuk lebih menjaga kehormatan diri wanita serta melindungi  diri dari memberi fitnah dan difitnah apabila mereka keluar ke tempat awam.  Oleh sebab itu, menjadi keharusan membukanya apabila terdapat keperluan berbuat demikian.

Saya pernah berniaga dan memiliki premis menjual buku, Puan.  Saya juga mempunyai kawan-kawan yang memakai purdah dan berniaga.  Ada di antara mereka yang membuka purdah ketika berurusan dengan pelanggan dan ada yang tidak.  Ia bergantung kepada keperluan semasa muamalat itu berlangsung.  Saya rasa Puan membaca ayat berikutnya dalam kenyataan tersebut, Asasnya ialah dalam urusan yang perlu dibuat pengecaman untuk mengelak terjadinya penipuan. Walaubagaimana pun bergantung kepada reda antara dua pihak dalam kes yang ringan seperti berjual beli.

Jadi saya kira, kenyataan tersebut memang sangat relevan bagi seorang peniaga seperti Puan.  Puan juga boleh mengunjungi blog sahabat saya, Kak Chik  yang berpurdah dan juga berniaga.  Mungkin Puan boleh berkongsi pengalaman dengannya.  Saya turut mengagumi beliau yang lebih istiqamah berbanding diri sendiri meskipun Kak Chik bukanlah dari latar belakang sekolah agama.  Puan boleh bertanya kepada Kak Chik bagaimana dia menghadiri mesyuarat bersama kaum lelaki, bagaimana dia berkomunikasi dengan pelanggan dan pembekal lelaki pelbagai bangsa dan peringkat usia dan lain-lain lagi.    Yang penting Puan, selain purdah yang dipakai, sikap amanah, bertanggungjawab, kemahiran berkomunikasi dan usaha bersungguh-sungguh dilakukan untuk memberi khidmat terbaik kepada pelanggan.

Saya berharap respon di atas membantu Puan.

Segala yang baik datangnya dari Allah, yang kurang itu dari kelemahan diri sendiri.

Wassalam.

Ummu Abbas

2.33pm

15 Ramadan 1432H

Melbourne

Dari Lubuk Hati Ibu berada di pasaran

Alhamdulillah, buku Dari Lubuk Hati ibu, karya bersama sahabat baik saya, Ustazah Nurhafizah Musa sudah diterbitkan oleh syarikat Telaga Biru Sendirian Berhad.

Sinopsis mengenainya pernah dicatatkan di sini.

Boleh di beli secara online di sini dan di sini.

Boleh juga google ‘Dari Lubuk Hati Ibu’ untuk mendapatkan alternatif kedai online.

Buat masa sekarang, saya tidak dapat menawarkan perkhidmatan buku ini untuk dibeli terus dari saya kerana berada di luar negara.  Saya memohon maaf.

Selepas dimaklumkan akan diterbitkan dengan kadar segera oleh pihak penerbit, saya sering juga cek dalam web penerbit yakni Telaga Biru Sendirian Berhad untuk mengetahui adakah buku ini sudah berada di pasaran.  Saya berjanji untuk memaklumkan mengenainya dalam entry yang dilinkkan di atas.  Namun hanya mengetahuinya setelah di’mention’ oleh sahabat saya, Ummu Husna di Facebooknya.  Hampir sebulan buku ini diterbitkan, baru saya mengetahuinya.  Merasa teruja dengan perkembangan itu, saya menyimpan wall Facebook Ummu Husna mengenainya.  Jazakillah Ina!  Halalkan Kak Nur berkongsi di sini ye!

Harap maklum.

Wassalam.

Ummu Abbas

5 Ramadan 1432H/5 Ogos 2011.

12.16pm

Melbourne, Australia.

Ramadan al-Mubarak

Assalamu’alaikum  warahmatullah.

Para pengunjung yang dirahmati Allah:)

Alhamdulillah, akhirnya kita ditemukan dengan tetamu yang paling dirindui pada tahun ini yakni bulan Ramadan al-Mubarak.

Sempena Ramadan, bulan yang mempunyai mutiara Lailaltul Qadr ini, saya mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf kepada semua pengunjung sama ada yang mengenali saya di luar atau tidak.  Maafkan segala kelemahan saya dalam menulis dan berkomunikasi.  Komen dan teguran membina amatlah dialu-alukan.

Akhir kata, saya juga ingin mengucapkan;

Selamat Menyambut Ramadan.

Moga jiwa kita bertambah suci dan mendapat kenaikan pangkat di sisi Allah.


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini



Maaf Zahir dan Batin.

Ummu Abbas
1 Ramadan 1432H
10.27am.

Melbourne, Australia.