Archive | Oktober 2011

Purdah: Ganaskah Saya?

Bismillah

Dua hari lepas, saya menziarahi Sydney bersama suami dan seorang bayi kami.  5 orang anak lagi ditinggalkan di rumah.  Alhamdulillah, perjalanan untuk berkongsi sedikit ilmu dengan para pelajar di sana dipermudahkan Allah.  Terdapat beberapa orang pelajar yang sanggup menolong  melihat-lihatkan anak-anak kami.

A hi-tech screening system - Pengimbas badan manusia moden di airport.

Dalam perjalanan Melbourne-Sydney, kami menaiki pesawat Qantas.  Perjalanan domestik ini tidak memerlukan pasport dan juga tidak perlu melintasi bahagian imigresen yang mengecop pasport.  Jadi saya tidak nampak keperluan membuka purdah.  Walaupun begitu, saya bersedia membukanya jika diminta oleh pihak keselamatan.  Saya mengambil langkah berjaga-jaga dan bersedia sambil melihat reaksi pegawai keselamatan yang ada di situ.

Jika perjalanan antarabangsa, biasanya saya membuka purdah ketika tiba di kaunter imigresen di mana-mana negara.  Meskipun di sebuah negara yang majoriti rakyatnya memakai niqab (purdah) seperti di Arab Saudi.  Ia satu keperluan dan satu keharusan bagi wanita yang memakai niqab.  Sama seperti harusnya membuka niqab ketika menjadi saksi dan lain-lain urusan muamalat.  Ia tidak menjejaskan nilai istiqamah menunaikan kebaikan berniqab.  Sama seperti seorang yang bermusafir menunaikan solat jamak-qasar dan kembali menunaikan solat penuh dalam waktunya sebaik habis tempoh bermusafir.  Juga, samalah seperti lelaki yang berserban dan berjubah, yang memakai seluar paras lutut dan bert-shirt sahaja ketika mahu mandi di tempat awam.  (Ke ada yang mandi kolam pakai serban?  Dahsyat betul nilai istiqamah dia kalau begitu).

Selepas habis tempoh pengecaman, saya mengenakan kembali purdah.  Secara peribadi, purdah menambah keyakinan diri saya untuk berkomunikasi dengan lelaki ajnabi.  Apatah lagi, secara fitrahnya, wanita lebih pemalu berbanding  lelaki.    Bagi wanita yang memilih mengenakan purdah ketika berkomunikasi dengan ajnabi, mereka masih menurut nas ayat 53 dari surah al-Ahzaab, meskipun wujud khilaf pendapat dalam menafsirkan ayat tersebut.   Oleh kerana menghijab wajah itu termasuk dalam perkara yang dibenarkan Islam, maka wanita yang memilih purdah masih dikategorikan sebagai menurut kesederhanaan yang dianjurkan Islam.

Semasa saya dan suami mahu beratur di bahagian pemeriksaan keselamatan, seorang pemuda mat saleh yang mahu masuk dalam barisan mempersilakan kami ke hadapan.  Dia memakai subang berwarna perak di telinganya.  Saya merasa sedikit lega melihatnya yang tidak prejudis terhadap saya yang memakai niqab.  Tidak seperti kebanyakan warga Islam di Malaysia.  Sebenarnya, selepas setahun berada di sini, saya dapati tidak sukar bergerak di tempat awam dengan berpurdah.  Bahkan seringkali juga disapa mesra baik dari lelaki atau wanita Inggeris.  Alhamdulillah.

Saya teringat pandangan seorang sahabat yang pernah berniqab di UK.  Katanya berniqab di sana lebih mudah dibandingkan di Malaysia, lebih-lebih lagi berada dalam keluarga berketurunan ulama.  Entahlah, saya tiada pengalaman berada dalam keluarga ulama kerana latar belakang keluarga saya adalah golongan bangsawan dulu-dulu berketurunan Wan.  Moyang perempuan sebelah Abah saya dikatakan masih kerabat dengan raja Melayu di selatan Thailand.  Moyang lelaki pula, Allahyarham Tok Wan Ali berkawan rapat dengan ayahanda Tengku Razali Hamzah.

Dalam perjalanan pulang Sydney-Melbourne, kami menaiki pesawat Tiger.  Di bahagian pemeriksaan keselamatan, seperti biasa,  barangan kami seperti beg sandang, handphone, kamera, handbag dan stroller di scan.  Stroller itu asyik mengeluarkan bunyi bila melintasi alat pengimbas.  Iyalah… sebahagian dari badannya diperbuat dari besi.  Cepat-cepat pegawai keselamatan memeriksanya.  Begitulah yang berlaku semasa kami ke Canberra beberapa bulan yang lepas.   Bayi wajib didukung dan tidak boleh melintasi bersama stroller (maksudnya duduk di dalam stroller semasa stroller ditolak).   Sama juga berlaku semasa kami datang ke Sydney malam semalam.

Saya memandang mereka dengan rasa kasihan dan juga gelihati.  Adakah kerana saya berpurdah, maka mereka ketakutan dek bimbang saya membawa bahan letupan?  Bagaimana dengan ramai lagi pengganas sebenar yang berseluar panjang dan bert-shirt atau memakai kemeja dan pelbagai fesyen lagi?  Kenapa saya tidak membuka sahaja purdah agar proses menjadi lebih mudah?

Sumber

Selepas barangan kami melintasi alat imbasan, kami pula perlu melalui ‘body scanner’.  Tiada sebarang bunyi dikesan.  Jika kita tidak buat salah, tiada apa yang perlu ditakutkan.  Saya sangka pemeriksaan sudah selesai sebagaimana yang saya lalui sebelum ini,  namun sebenarnya tidak. Seorang pegawai keselamatan menunjukkan satu nota dan saya membacanya.  Nota itu meminta izin saya untuk dibuat pemeriksaan sekali lagi menggunakan alat pengesan khas bahan letupan.  Hanya saya seorang.  Suami  tidak perlu.  Secara normal, saya merasa sedikit gugup namun alhamdulillah, ketenangan kembali merajai  hati.   Ada bisikan yang memujuk, “Biarkan mereka… runtuhkan persepsi negatif mereka secara praktikal.  Insya Allah, diharapnya selepas ini, lebih mudah muslimah berniqab melalui proses pemeriksaan keselamatan di negara-negara kuffar ini.”

Saya terus bersetuju untuk diperiksa sekali lagi.  Cuma saya diberi pilihan, sama ada mahu dibuat di tempat tertutup atau dibuat di situ sahaja.  Hmm… dalam mahu memeriksa isu keselamatan begitu pun, mereka masih meraikan hak asasi saya sebagai wanita berhijab, bila teringatkan hak asasi di Malaysia- speechless.  Astaghfirullah, astaghfirullah, astaghfirullah.  Daripada menyumpah seranah kerajaan korup itu secara tidak berkesan, lebih baik  saya beristighfar.  Astaghfirullah.

“Bagaimana proses pemeriksaan ini dilakukan?”  suami bertanya.

“Hanya begini dan begini”, beritahu pegawai polis itu sambil menunjukkan cara.

Oh… tidaklah sampai perlu membuka hijab.  Dia hanya akan mengimbas dengan alat tersebut di bahagian pergelangan tangan dan kaki tanpa menyentuh saya.  Boleh saja…

“Ok, kalau begitu, buat di sini sahaja”, suami memberi izin.

Pegawai tersebut segera melakukan pemeriksaan dengan wajah tanpa senyuman.  Saya kira dia berbangsa India.  Seusai pemeriksaan, suami segera mengucapkan terima kasih.  Saya meninggalkan dia sambil senyuman memanjang di wajah.  Namun saya tahu dia tidak  melihatnya.

Inilah kali pertama dalam hidup saya yang sudah berjalan di merata negara, saya diminta membuat sedikit pemeriksaan bahan letupan.

Biarlah ketakutan, kebimbangan dan persepsi negatif mereka diruntuhkan dengan jentolak praktikal saya.  Itulah yang saya fikirkan.

Ummu Abbas

12.58am

Melbourne

4 Zulhijjah 1432H

Antara H I M P U N dan Si Jelita Non Muslim

Bismillah.

Assalamu’alaikum warahmatullah.

Pagi ini ada kelas di Masjid Preston seperti biasa.  Dari semalam, saya plan untuk ke masjid.  Jadi pagi-pagi lagi,  nasi disediakan untuk  sarapan + makan tengahari.  Suami pula segera ke lab sehingga tidak sempat membantu menjemur kain.  Satu tugasan yang biasa dibuatnya.

Selepas menghantar anak-anak ke sekolah jam 9 pagi, bergegas pula menjemur kain.  Alhamdulillah, cuaca hari ini cerah.  Akibat demam yang sudah beberapa hari, seusai menjemur pakaian, badan terasa sangat penat.  Lantas mengambil bayi dan berbaring bersamanya.  Saya memandang jam di dinding.

Pukul 9.25 pagi.

Kelas dikatakan bermula 9.30 pagi.  Jarak perjalanan dengan kereta kira-kira 10 minit.  Saya tidak mampu bergegas ke masjid dalam keadaan begini.  Apatah lagi bayi minta disusukan.  Selepas bayi kenyang.  Saya bertawakkal dan terlelap.

Kira-kira 9.40,  saya terjaga dan berfikir-fikir, adakah harus ke masjid atau batalkan sahaja.  Teringat pada kali pertama ke sana, ramai juga muslimah yang datang lewat sambil membawa anak-anak kecil.  Oh… memang beginilah wanita.  Rutin yang serupa dan tanggungjawab yang sama dipikul setiap hari.  Tiada siapa yang dapat menafikannya kecuali yang mempunyai pembantu rumah.  Ringanlah sedikit beban di rumah.

Semasa menyediakan sarapan anak-anak, saya sudah diserang ‘stress’ .  Bila difikirkan, saya mengandaikan ia berpunca lewat membaca Mathurat.  Kalau baca pun, hati tidak khusyuk.  Situasi yang dialami pagi ini- jiwa yang stress dan badan yang kurang sihat seolah-olah mahu menghalang  dari meneruskan hasrat ke masjid.

Saya kebingungan sekejap.  Mahu pergi, sudah lewat.  Kalau tidak pergi, minggu hadapan baru berpeluang  ke masjid semula.  Sambil meneruskan kerja, saya berdoa, “Ya Allah! Jika aku akan mendapatkan kebaikan di masjid hari ini, berilah daku kekuatan untuk ke sana”.

Akhirnya saya memanggil Aqil, “Aqil, jom ikut Ummi.  Kita cari biskut gula nak?”

“Nak”

Ia satu usaha memujuk anak agar keluar bersama.  Sejak Aqil yang berusia 4 tahun pandai bermain game internet, dia menjadi asyik dan kadang-kadang susah mahu diajak ke mana-mana.

Saya segera menyalin pakaian Aleeya, mengambil kunci kereta dan kunci rumah, lantas keluar.  Sambil memandu, saya mengulangi bacaan Al Mathurat secara lebih khusyuk agar hati lebih tenang.

Berada di Taman Syurga

Alhamdulillah, buat kali kedua, saya dapat bersama ramai lagi muslimah dari pelbagai negara dan bermacam warna kulit di dewan yang khusus untuk wanita itu.  Hati tenang dapat bersama para muslimah bertudung labuh, berjubah /berabaya dan ramai juga yang berniqab.  Jarang-jarang sahaja yang bertudung singkat.  Ini baru Taman Syurga di dunia.  Belum lagi syurga betul di akhirat.   Benarlah sabda Nabi Muhammad s.a.w yang mengibaratkan majlis ilmu seumpama taman syurga.

Sumber foto.

Rasulullah saw pernah bertanya kepada para sahabat,”Jika kalian melewati taman-taman syurga, makan dan minumlah di dalamnya.” Para sahabat bertanya, “Apakah taman syurga itu, wahai Rasulullah?” Jawab beliau,”Majlis-majlis zikir.

(Hadis direkod oleh At-Tirmidzi)

Seperti biasa, Ummu Bilal, muslimah kelahiran Algeria itu melontarkan ceramah dengan bersemangat dan fasih sekali berbahasa Inggeris.   Cuba mendengar dengan teliti sambil melayan Aqil dan Aleeya bermain.

Beberapa lagi muslimah turut membawa anak-anak kecil.  Ada ruang untuk mereka bermain di dalam masjid.  Ada yang datang lebih lewat.

Setelah agak lama, seorang muslimah berjubah dan bertudung labuh membawa seorang wanita berseluar, berblouse dan bertudung kecil yang masih menampakkan rambut didahinya.  Dari iras wajahnya, saya kira dia berbangsa Arab.

“Mungkin wanita itu ahli keluarga muslimah yang membawa dia masuk.  Mungkin dia baru membiasakan diri dengan kelas-kelas pengajian begini”, fikir saya.

Wanita yang masih muda itu kelihatan tekun mendengar sambil mencatat.

“Bagusnya dia… “  hati berbisik.

Seperti bayi yang baru dilahirkan.

Kelas hampir ke penghujungnya.  Tiba-tiba muslimah tadi membawa wanita itu ke hadapan berjumpa dengan Ummu Bilal.  Berlakulah suatu peristiwa yang tidak disangka.

“Asyhadu an la ilaha illallah”

Ummu Bilal menggenggam tangan wanita itu.  Wanita jelita itu menurut lafaz keemasan tersebut.

“Wa asyhadu anna Muhammadar rasuulullah”

Wanita itu menurut lagi.

Bayi yang baru dilahirkan suci dari dosa-dosa.

Seusai menuturkan kalimah syahadah itu, rona pipinya mula memerah, lantas air mata tidak dapat ditahan lagi.

Saya cuba menahan air mata dari tumpah di bibir mata.  Malu rasanya jika orang lain melihat saya tidak dapat menahan emosi.  Rupa-rupanya, ramai lagi yang menonton peristiwa tersebut membiarkan sahaja air mata melimpah.

Ya Allah! Bahagianya kurasakan… melihat peristiwa yang turut disaksikan lebih dari 40 hadirin.

Kami terus merapati wanita bertuah itu, menyalami saudara baru kami, memeluknya sambil mengucapkan tahniah.  Saya berbisik di telinganya, “Congratulation!  Allah love you so much”.

Rasa stress di waktu pagi dan badan yang keletihan bagai disirami air mawar yang mewangi.  Alhamdulillah… Allahuakbar!  Ini kali pertama buat saya menyaksikan satu jasad seperti bayi baru dilahirkan semula.  Ramai di antara pembaca yang mungkin sudah kalih dengan suasana begini.  Bersyukurlah kerana mendapat nikmat yang besar ini.   Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah.

Nikmat melihat seseorang menjadi saudara baru Islam bagai meniup semangat agar terus berjuang menegakkan Islam dalam diri, berusaha menyampaikan kepada orang lain dan menegakkan dalam keluarga dan negara.

Catatan 20 Dzul Qi’dah 1432H/18 Oktober 2011

H I M P U N

Semasa sedang membuat catatan ini, hati teringat pada kempen HIMPUN yang disebarkan melalui Facebook.  Betapa berat ujian Allah buat umat Islam di Malaysia, dalam keghairahan segelintir non muslim di negara non muslim cuba mengenal Islam dan kembali ke agama fitrah ini, segelintir umat Islam yang mendapat nikmat teragung sejak dilahirkan ini begitu mudah mengorbankan nasib akhirat mereka yang kekal abadi.  Proses memurtadkan dan dimurtadkan bukan perkara kecil disisi Islam.  Murtad adalah jenayah terbesar- musuh nombor 1 (bukannya dadah), mengatasi jenayah bunuh, zina, riba, minum arak, mencuri dan sebagainya.

Himpunan yang bakal diadakan ini diharap dapat menggesa kerajaan Malaysia yang ada  sekarang agar;

1) Meluluskan Kanun Jenayah Islam yang mengandungi hukuman hudud di dalamnya.   Salah satu hukuman hudud ialah terdapatnya undang-undang pencegahan murtad.

2)Menggesa kerajaan mereformasikan sistem pendidikan negara agar bertunjangkan tauhid untuk rakyat beragama Islam.

3)Membina semula masyarakat bertamadun yang seimbang antara fizikal dan spiritualnya.  Apabila keseimbangan ini wujud, kita tidak perlu bimbang dengan ancaman memurtadkan orang Islam kerana Islam itu sendiri agama ketenangan, kebahagiaan dan kedamaian.  Sesiapa yang pernah merasa damai dengan Islam, sudah tentu tidak akan mencari yang lain lagi.  Baca pengalaman mubaligh Kristian mengunjungi rumah saya di sini.

Belum sempat saya melangsaikan artikel ini, terbaca pula satu posting di grup Facebook,

“Demo HIMPUN ni lebih mulia drp demo BERSIH. Demo HIMPUN ni pasal membantah usaha2 pihak kafir yg cuba memurtadkan umat Islam.
Puak2 PAS/PKR janganla tak join pulak. Demo BERSIH yg berimamkan Ambiga boleh korang join takkan yg ni tak boleh? Tunjukkanlah semangat Islami tu….”

Rasa ‘confuse’ pula pada objektif HIMPUN bila timbulnya ulasan sebegini.  Namun harapnya ia hanya pandangan individu berkenaan sahaja.  Secara ringkasnya, khalifah pertama Islam, Abu Bakar r.a melaksanakan hudud kepada mereka yang murtad.  Jadi perhimpunan sejuta ummah  tidak perlu diadakan pada waktu itu dan semua zaman khilafah Islam selepasnya.  Allah mencegah jenayah kepada hamba yang melaksanakan perintahNya.  Inilah yang diusahakan oleh Kerajaan Islam Kelantan sejak 20 tahun yang lalu.  Selain memperkasakan pendidikan Islam melalui sekolah-sekolah YIK (Yayasan Islam Kelantan), kita mahu tindakan yang berkesan berbanding laungan pidato atau perhimpunan yang tidak membawa ke mana-mana.  Bahkan jika tersilap langkah, ia boleh dieksploitasikan oleh pihak tertentu bagi menimbulkan permusuhan antara kaum dan antara agama yang mana kita sudah lama berada dalam situasi bertoleransi antara satu sama lain.  Moga Allah melindungi segala usaha yang baik dan ikhlas keranaNya.

Percaya dan yakin bahawa Allah ada bersama undang-undang yang telah digazetkan olehNya sendiri di dalam al-Quran.  Tunggu hamba-hambaNya melaksanakan sahaja perintahNya itu, akan berhujananlah segala rahmat, barakah dan perlindunganNya untuk bumi Malaysia yang tercinta.  Yakini dan percayalah kepada Allah yang mencipta diri kita dari tiada kepada ada.

Saya berharap semua yang mengaku Islam, tidak kira dari jemaah Islam mana, dan tidak kira dari ahli UMNO, PKR, DAP- terutama ahli parlimen yang beragama Islam dapat menyokong perlaksanaan Kanun Jenayah Islam bermula dari undian dalam dewan yang mulia (Parlimen) hingga kepada publisiti di media-media kerajaan.  Inilah yang lebih utama dilakukan sekarang bagi membendung gejala murtad.

Ma’qil Ibnu Yasar r.a berkata “ Saya mendengar Nabi SAW bersabda, “Tiada seorang hamba yang Allah serahkan kepadanya untuk memimpin segolongan rakyat lalu ia tidak memelihara rakyatnya itu dengan menuntut dan memimpin mereka kepada kemaslahatan dunia dan akhirat melainkan tiadalah ia mencium bau syurga.”  Hadis direkodkan Imam Bukhari 93:8 dan Imam Muslim 1:6.

Rasulullah SAW bersabda,  “Kamu semua begitu bercita-cita terhadap jawatan kepimpinan, ia akan menjadi penyesalan pada hari kiamat. Ia sesuatu yang nikmat pada permulaannya tapi keburukan pada akhirnya.” Direkodkan Imam Bukhari.

Wassalam.

 

 

Ummu Abbas

22 Dzul Qi’dah 1432H

Melbourne

Belajar dari Tulip

Bismillah.

15 September  bermula  The Tesselaar Tulip Festival di Monbulk Rd, Silvan, Victoria.  Saya merupakan salah seorang penggemar tulip.    Di Malaysia, walaupun tulip tidak ditanam kerana iklim yang tidak sesuai namun ia tetap menjadi hiasan di rumah-rumah kebanyakan penggemarnya.  Tidak dapat tulip tulin, dapat yang ‘copy paste’ (bunga plastik) pun jadilah… iya tak? Hehe…..

Saya mahu mengajak para pembaca melawat ladang tulip di sini melalui hidangan foto-foto di bawah.   Walaubagaimana pun,  saya mahu berpesan agar foto-foto di sini tidak di’copy paste’.   Hakcipta terpelihara.

Sampai di kaunter tiket… alhamdulillah, nasib baik tiket untuk dewasa sahaja.  Kanak-kanak bawah 16 tahun tidak dikenakan tiket.

Lihat dalam foto, ramainya orang beratur.  Tempat parking kereta yang luas pun penuh.

Kami menuju batas-batas tulip yang memanjang saujana mata memandang.  Melihat sebahagian sahaja tulip yang terbuka sedangkan yang lain masih banyak kuntum yang tertutup, suami berkata, “Eh… belum kembang semua lagi bunganya”.  Maksudnya lebih baik datang hari lain yang mana kuntum tulip semuanya sudah mengembang.

“Abang, tulip ini memang cantik bila masih menguncup.  Makin kembang, makin kurang cantik.  Yang orang jual bunga tulip plastik di Malaysia  pun dalam keadaan menguncuplah.”

Ini booth menjual pakaian dari bulu llama. Lembut kainnya dan mahal!

Masya Allah, ketibaan kami disambut hamparan 'karpet tulip' berwarna-warni.

Cuba perhatikan betul-betul, apa pelajaran yang dapat dikutip dari si tulip di bawah?

Lihat tulip yang kembang penuh.

Tulip yang sudah mengembang sedikit.

Mana lebih cantik, tulip yang terbuka atau yang masih menguncup?

Tulip Queen of The Night ini sedikit sahaja.

Si putih bersih yang mengimbangi warna-warna ceria tulip yang lain.

Antara daya tarikan, kincir air.

Pada pemerhatian saya,  zahir si tulip amat dekat dengan keperibadian wanita secara umum.

Wanita ibarat tulip, semasa tertutup iaitu yang masih menguncup, kelihatan cantik dan kemas, begitu juga wanita yang berhijab sebagaimana tuntutan syarak, indah dipandang mata serta sejuk mata memandang.  Wanita, makin tertutup bertambah indah!

Tulip bertambah kembang, serinya semakin kurang.  Hingga ia kembang penuh, kecantikan aslinya hilang dan rupanya menyerabutkan.  Begitu jugalah wanita yang membuka auratnya sedikit, bertambah kurang seri keimanannya.  Makin terdedah auratnya, semakin hodoh dan menyerabutkan hati orang-orang yang beriman.  Jika hamba Allah yang mukmin merasa serabut melihat penampilan kita, apatah lagi pandangan Allah dan RasulNya.  Jika wanita merasa cantik sedangkan dia melanggar perintah ALlah ataupun ambil separuh-separuh, kepala ditutup badan dibalut sehingga menampakkan bentuk badan… perasaan ‘syok sendiri’ yang mengundang dosa mazmumah itu harus dibuang.

Alternatifnya, kembalikan keyakinan bahawa yang cantik dan indah itu adalah selagi ianya indah pada pandangan Allah dan RasulNya. Meskipun dipandang hina serta  tidak up- to- date oleh hamba yang fasik dan munafik.  Wanita beriman mengutamakan pandangan Allah mengatasi pandangan manusia.

Kita mahu up -to- date dan moden menurut kacamata Islam agar di akhirat kelak kita mendapat syurga yang up- to- date dan moden juga, insya Allah.

Bertaubat sebelum terlambat ciri hamba yang cerdik.

Beristighfar jika masih  ‘tidak rasa apa-apa’ kerana mendedahkan aurat.  Ia tanda hati yang sakit kerana tidak mampu mengesan kepahitan dosa.  Penawarnya ialah memohon taufik dan hidayahNya seperti berkata,

“Ya Allah… lembutkanlah hatiku agar aku merasa sensitif dengan kemarahanMu…

Ya Allah… bimbinglah aku ke jalanMu…

Berilah sedikit rasa cinta kepadaMu hingga aku mampu menurut langkah-langkah muslimah solehah yang dikasihiMu…

Ya Allah…

Peliharalah daku dari hasutan syaitan dan iblis… yang mahu menjauhkan aku dariMu dan meramaikan teman mereka di neraka kelak…

Ya Allah… Yang Maha Gagah Perkasa…

Berilah kekuatan kepadaku untuk bermujahadah kembali kepadaMu…

Ya Allah yang maha pengampun…

Peliharalah daku dari kemurkaan dan azabMu…

Aku terlalu lemah ya Allah…

Aku hanya insan hina dan tidak berdaya menguasai hawa nafsuku kecuali mendapat pertolongan dariMu…

serta menumpang kekuatanMu…

Ya Allah yang maha penyayang…

Engkau mengasihiku melebihi kedua ibubapaku…

Maka ambillah daku yang hina dina ini ke dalam pelukan kasih sayangMu…

Bimbinglah daku sehingga daku selamat kembali kepadaMu dalam keadaan Engkau meredaiku…

Aku terlalu kerdil Ya Allah… untuk menanggung azabMu yang pedih…

Aku tidak berdaya ya Allah…

Tanpa pertolongan dan kekuatan dariMu…

Siapalah aku…

Ya Allah…

Pandanglah daku dengan kasih sayangMu

dan ampunilah segala dosa-dosaku, dulu, kini dan sehingga ke akhir hayatku.

Salam dan selawat buat junjungan Nabi Muhammad, ahli keluarga, sahabat-sahabat dan para pengikut semuanya.”

'Tulip' kesayanganku :), insya Allah.

Masih ada ibrah istimewa di sebalik ladang tulip ini.  Saya serahkan kepada para pembaca yang budiman dan beriman untuk menafsirkannya.

Dan berikan peringatan,  sesungguhnya peringatan itu berguna bagi orang yang beriman.” [Az-Zaariyaat, 51:55].

Ummu Abbas

7 Zul Qi’dah 1432H

10.09am

Melbourne