Archive | November 2011

Hijrah ‘kerana cinta’

Bismillah.

Assalamu’alaikum warahmatullah.

Alhamdulillah, bermula di hari Jumaat penuh barakah semalam… bersempena pula di ambang awal Muharram 1433H, blog Islam Itu Indah dengan URL keranacinta.wordpress.com turut berHIJRAH ke domain sendiri, sayangIslam.com.

Dulu keranacinta… kerana cinta Tuhan, saya berdiri di sini hari ini.  Setelah melalui pelbagai mehnah dan tribulasi bagi mematangkan fikiran dan tindakan.  Lebih dari itu, meningkatkan keimanan kepada Yang Maha Menyintai para hambaNya.  Kerana cintaNya padaku, aku mencari Dia dan berusaha mengenalinya dengan lebih dekat.  Tak kenal maka tak cinta!  Cinta itu datang dari Tuhan… melimpahi sanubari… dari cinta yang suci itu… ia mahu menyucikan cinta kita kepada Pencipta Cinta!

Keranacinta, para nabi dan rasul gigih berjuang di jalanNya… menyampaikan cinta Tuhan pada setiap makhlukNya.

Ada yang menerima cinta itu…

Ada yang menolak …

Keranacinta, para nabi, rasul dan ulama pewaris nabi… berkorban masa, menumpahkan peluh, air mata dan darah demi menyelamatkan ummat manusia dari tipudaya iblis yang mahu meramaikan rakyatnya di neraka kelak.

Namun, berapa kerat sangatlah yang mahu dirinya diselamatkan oleh bahana cinta itu dari azabNya… yang maha pedih.

Apakah sekarang, keranacinta itu semakin sirna… maka ia perlu berhijrah…?

Keranacinta itu bertapakkan aqidah yang murni ‘La Ilaha Illallah dan Muhammad itu Pesuruh Allah’ menuju satu matlamat yang jelas, ISLAM.  Sesekali cinta suci begini tidak perlu lagi kepada hijrah… ia hanyalah proses ‘rebranding’ bagi meningkatkan rasa sayang Islam di hati ummah.  Akarnya di bawah masih bertunjangkan keranacinta Allah itu… yang mana buahnya adalah sayangkan Islam.

Bacalah… sayang Islam atau sayangi Islam… yang penting, siapa pun kita dan sebanyak mana pun dosa-dosa kita, perasaan sayang Islam tetap terpahat kukuh di hati.    Setelah kita dianugerahi ‘tali yang kukuh’ itu… kalimah syahadah… imma melalui orang tua – Islam yang diwarisi atau asbab hidayah tertentu – revert to Islam, sama-sama  kita bergantung teguh padanya… usah biar ia terlucut lagi… kerana ia merupakan pembatas iman dan kufur… yang bererti sempadan antara syurga dan neraka yang kekal abadi.  Jika saudara-saudari terjatuh di  dunia fana ini, masih bisa bangkit kerana peluang sentiasa terbuka luas, namun di akhirat kelak, terjatuh ke lembah neraka dek terlucutnya iman- pintu taubat sudah tertutup rapat.  Na’uzubillah.

Saya doakan buat diri saya, suami, ibubapa, zuriat keturunan kami,  muslimin dan muslimat semuanya agar ditetapkan iman dan Islam di hati.

Saya doakan para pembaca website ini walau siapa pun anda agar dikurniakan hati yang ikhlas dan sentiasa sayangkan Islam.

Kerana cinta Ilahi, kita bersilaturrahim… Kerana ISLAM, kita menjadi satu ummah.

Domain ini juga menjadi hadiah ulangtahun perkahwinan kami ke -13 tahun ini.  Semoga Allah tetap menyatukan hati-hati kami di atas jalan yang diredaiNya.  Amin ya Rabb…

Wassalam.

Ummu Abbas – bernikah pada 26 November.  Alhamdulillah atas segala nikmatNya.

7.57am, Melbourne.

1 Muharram 1433H/26 November 2011

Mohon Izin Berzina

 

 

Ditakdirkan suatu hari, seseorang datang kepada kita dan menyatakan, “Saya ingin berzina.”  Apakah respon kita terhadapnya?

Mungkinkah kita akan mengatakan, “Haram hukumnya.   Bukankah Quran sudah berpesan agar jangan dekati zina… apatah lagi berzina… bla…bla…”

Atau, “Tidak malukah kamu… orang lain jika mahu berzina, buat sahaja senyap-senyap.”

Atau, “Kamu akan dikenakan hukuman sebat 100 rotan jika belum bernikah dan direjam dengan batu sampai mati, jika kamu sudah bernikah.”

Atau, “Haram.  Ia termasuk salah satu dosa-dosa besar.”

Realitinya hari ini, pernahkah seseorang meminta izin membuat maksiat dari seorang yang lain?  Pengalaman saya sendiri, individu yang mengaku sudah berzina dan mahu bertaubat itu adalah.  Jika minta izin kerana baru mahu melakukannya, belum lagi setakat ini.  Minta dijauhkan Allah.

Sebuah kisah benar [kira-kira lebih 1000 tahun yang lampau]…

Pada suatu hari, seorang pemuda datang mengadap seorang tokoh agama dan masyarakat di zamannya lalu berkata, “Tuan, aku memohon izinmu untuk berzina”.

Orang ramai yang ada bersama tokoh itu mengherdik pemuda itu, “Pergilah! Pergilah!”

Tokoh itu berkata kepada pemuda itu tanpa mempedulikan herdikan orang ramai di sekitarnya, “Marilah hampiri diriku…”

Pemuda itu pun menghampiri tokoh tersebut kemudian dia duduk.

Tokoh itu bertanya, “Apakah kamu suka jika ibumu dizinai?”

Pemuda itu menjawab, “Demi Allah, aku tidak suka! Allah menjadikan diriku sebagai tebusanmu.”

Tokoh itu lantas mengulas, “Begitu juga orang lain tidak akan suka jika ibunya dizinai.”

Tokoh itu berkata lagi, “Apakah kamu suka jika anak perempuanmu dizinai?”

Pemuda itu menjawab, “Demi Allah, aku tidak suka! Allah menjadikan diriku sebagai tebusanmu.”

Tokoh itu lalu berkata, “Begitu juga orang lain tidak suka jika anak perempuannya dizinai.”

Beliau bertanya lagi, “Apakah kamu suka jika adik beradik perempuanmu dizinai?”

Pemuda itu menjawab, “Demi Allah, aku tidak suka! Allah menjadikan diriku sebagai tebusanmu.”

Tokoh itu menjelaskan, “Begitu juga orang lain tidak suka jika adik beradik perempuannya dizinai.”

Beliau bertanya lagi, “Apakah kamu suka jika ibu saudara sebelah ayahmu dizinai?”

Pemuda itu menjawab, “Demi Allah, aku tidak suka! Allah menjadikan diriku sebagai tebusanmu.”

Tokoh itu berkata, “Begitu juga orang lain tidak suka jika ibu saudara sebelah ayahnya dizinai.”

Beliau bertanya lagi, “Apakah kamu suka jika ibu saudara sebelah ibumu dizinai?”

Pemuda itu menjawab, “Demi Allah, aku tidak suka! Allah menjadikan diriku sebagai tebusanmu.”

Tokoh itu berkata, “Begitu juga orang lain tidak suka jika ibu saudara sebelah  ibunya dizinai.”

Perhatikan pula bagaimana kaedah komunikasi yang dizahirkan tokoh agama yang tidak asing lagi di sisi kita, Rasulullah s.a.w terhadap pemuda tersebut.  Rasulullah menggunakan pendekatan yang sesuai dengan situasi pemuda itu.  Oleh kerana pemuda itu sudah memahami hukum berzina dalam Islam dan akibatnya, maka Rasulullah s.a.w tidak perlu mengulangi perkara yang ia sudah ketahui.  Sebaliknya Rasulullah s.a.w menggunakan pendekatan lojik akal dan menyentuh emosi.

Rasionalnya, apa yang diharamkan oleh Islam, kita juga tidak suka jika ia dilakukan oleh orang lain terhadap diri kita.  Sebagai contoh;  pencuri tidak suka barangnya dicuri.  Perompak mana yang suka barangnya dirompak pula orang lain.  Pengumpat mana yang suka dirinya diumpat.  Adakah pembunuh suka dirinya dibunuh?

Rawatan Jiwa  Dengan  Doa

Akhirnya, setelah memberi penjelasan yang bernas lagi tepat, pemuda itu kelu tidak dapat berkata apa-apa lagi.  Rasulullah s.a.w  meletakkan tangan beliau di kepala anak muda itu lalu berdoa “Ya Allah, ampunilah dosa-dosanya, bersihkanlah hatinya, dan jagalah kemaluannya.”

Sejak hari itu, anak muda tersebut tidak pernah sedikit pun menoleh kepada perbuatan zina.  Kisah di atas dinukilkan semula dari hadis yang direkodkan oleh Imam Ahmad.

Dapat difahami dari perbuatan Rasulullah s.a.w ini, bahawa Baginda bukan sahaja memberikan kekuatan hujjah akal yang melunakkan emosi, bahkan menggunakan senjata doa bagi membantu menguatkan keimanan pemuda tersebut.

Kasih Sayang Allah Pada HambaNya.

Abdullah bin Abbas r.a. melaporkan bahawa Rasulullah s.a.w berkata, “Sesungguhnya Allah mencatat segala hasanat (kebaikan) dan sayyiat (kejahatan) kemudian menjelaskan keduanya.   Maka sesiapa yang berniat akan melakukan kebaikan lalu dikerjakannya maka dicatat untuknya sepuluh hasanat.  Mungkin ditambah hingga tujuh ratus kali ganda atau lebih dari itu.  Apabila ia berniat mahu melakukan sayyiat (kejahatan) lalu tidak dikerjakannya maka Allah mencatat baginya satu hasanat.  Sekiranya niat itu dilaksanakannya maka ditulis baginya satu sayyiat.”

Hadis direkodkan oleh Bukhari dan Muslim.

Ummu Abbas

1.03am, Melbourne.

29 Zulhijjah 1432H/25 November 2011

Komunikasi dengan kanak-kanak cara Rasulullah s.a.w

Bismillah.

Suatu hari, saya sedang sujud. Tiba-tiba, terasa ada sesuatu menggelunsur di atas belakang. Rupa-rupanya, Aqil yang berusia 4 tahun menjadikan belakang saya sebagai ‘papan gelunsur’ mainannya.

Marahkah saya kerana anak mengganggu solat? Tidak, tidak sesekali saya marah kerana Rasulullah s.a.w pun tidak marah ketika cucunya memanjat belakangnya semasa Baginda s.a.w sedang solat.

Suami pula boleh bergurau senda dengan anak-anak, membacakan buku untuk mereka, berbelanja makanan dan mainan kegemaran anak-anak. Kadang-kadang, saya pula yang menjadi ‘guard’ meletakkan kembali makanan dan mainan yang diambil anak-anak di supermarket. Makanan dan mainan yang tidak sesuai atau mainan sedia ada masih baru dibeli.

Dalam usaha kami menjadi ibubapa terbaik, masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki. Ia bukan mudah. Apatah lagi ilmu ‘parenting skill’ itu dipelajari sambil melayan anak-anak yang sudah wujud ketika itu.

Menurut pengalaman saya, sewajarnya ilmu keibu-bapaan dan ilmu psikologi anak-anak ini dipelajari sebelum menempuh alam rumahtangga. Zaman sekarang, ilmu dihujung jari sahaja. Ia menjadi lebih mudah. Google sahaja, insya Allah, akan berduyun-duyun keluar pelbagai entry dan artikel berkaitan. Persediaan mental ini penting agar anak-anak kelak lebih selamat dari menjadi mangsa ‘kejahilan’ ibubapanya. Jika berpeluang mempraktikkannya kepada adik-adik dan anak-anak saudara, ia lebih baik.

Tidak bercadang berceloteh panjang di sini, saya lampirkan satu video menarik mengenai cara Rasulullah s.a.w melayan kanak-kanak. Video dirasakan lebih berkesan kerana contohnya dihidupkan di depan mata. Antara mendengar sahaja dengan mendengar sambil melihat, mendengar sambil melihat lebih mudah difahami dan ditanggapi. Justeru itulah Rasulullah s.a.w pada zamannya menjadi role model terbaik ummat dalam memahami Islam secara menyeluruh.

Bagi mendapat hasil terbaik pula, kekuatan diri mengawal cara berfikir dan membendung emosi adalah penting. Akhirnya pugari usaha dengan senjata doa. Sesungguhnya kita hanya berusaha membentuk acuan pada lahirnya, Allahlah yang membentuk pada batinnya.

Sama-sama kita beristighfar atas dosa-dosa kita terhadap anak-anak disamping usaha menambah baik ‘parenting skill’.

Astaghfirullah… astaghfirullah… astaghfirullah.

Jom layan video 6 minit 50 saat ini. Sekejap sahaja demi emosi dan jiwa  positif anak-anak yang berpanjangan sehingga mereka dewasa.

Ummu Abbas
11.09am, Melbourne.
25 Dzul hijjah 1432H
21 November 2011

Piagam Keluarga Dalam Islam

[Nota:  Untuk melihat entry terbaru, sila skroll ke bawah.  Harap maklum]

Bismillah.

Assalamu’alaikum

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang memberi kelapangan hati dan juga ruang masa untuk menyiarkan sesuatu yang amat berharga buat kita semua.

Saya memerapnya sejak Julai 2009.  Namun setelah melihat perkembangan masyarakat hari ini, yang mana institusi rumahtangga semakin hari, semakin merudum, saya merasa terpanggil untuk berkongsi ilmu-ilmu dasar kekeluargaan dalam Islam.

Bukankah Islam itu bererti selamat, tenang dan membahagiakan?  Jika anda yakin begitu, ayuh… kita sama-sama merujuk piagam lengkap dari Yang Maha Sempurna untuk membina ‘Rumahku Syurgaku’ [Baiti Jannati].  Jam Melbourne sekarang menunjukkan 12.55 am, hari ini waktu Subuh ialah jam 4.12am…  awalnya!  Iya memang awal… sebab sekarang musim bunga di sini.  Siangnya bertambah panjang.  Jadi catatan saya ringkas sahaja dahulu.  Ada masa, kita jumpa lagi di lain rancangan ya…

Tuan-puan pembaca yang berminat dan rasa memerlukan, bolehlah ke halaman baru yang diwujudkan di atas; PIAGAM KELUARGA ISLAM.  Saya siarkan mana yang sempat diedit dahulu.  Insya Allah, akan menyambungnya lagi dan berceloteh sedikit mengenai sinopsisnya.  Agaknya ramai yang tidak menyedari, dalam Islam ada piagam sehebat ini.

Ok… hamba beransur dahulu.

Wassalam.

Ummu Abbas

Melbourne.  1.04am

24 Dzulhijjah 1432H

20 November 2011

Hukum Nikah Dua Beradik Serentak dan Nikah Tanpa Pengantin

salam kak nur…

sy skrg berada dlm dilemma…sy masih belum bersedia utk berkahwin..ttapi keluarga pihak lelaki telah mnetapkan prkahwinan ini..mngikut janji…kami sepatutnye berkawin tahun depan…namun disebabkan adat keluarga pihak lelaki..anak lelaki tidak boleh kahwin serentak pada tahun islam yg sama(memandangkan si ibu pihak lelaki mahu menikahkan kedua-dua anaknya tahun ini)…maka sy dipaksa bernikah selewat-lewatnye pada 26 nov ini sebelum masuk waktu asar…iaitu sehari sebelum awl muharram….sy berasa sangat tertekan kerana masih belum bersedia dari segala segi..

saya seolah2 telah membelakangkan keluarga kerana mengikut semua rancangan pihak lelaki..pada hakikatnya…hati saya sangat tertekan…saya telah menyatakan kepada bakal suami bahawa sy masih belum bersedia berkahwin secara tergesa-gesa tetapi tidak dihiraukan.

saya ingat bertanya pemdapat kak nur..adakah adat ini wujud dr segi islam…dan adakah sy akan bahagia sekiranya berkahwin tanpa rasa rela…

terima kasih

Ros

*****************************

Wa’alaikum salam warahmatullah.

Pertamanya, mohon maaf kerana terlewat membalas persoalan penting ini. Terlepas pandang adanya.

Dua orang adik beradik lelaki memang tidak boleh nikah serentak pada tahun yang sama jika dengan orang yang sama. Eh…eh… melalut pula. Jangan marah ye… nanti cepat tua, lari pula tunangan tu karang

Saja mahu bagi Ros tersenyum sedikit.  Moga berkuranglah rasa tension tu , insya Allah.

Oklah… realitinya, tiada satu nas al-Quran atau hadis atau qiyas yang menghalang pernikahan dua orang adik beradik serentak sama ada kedua-duanya lelaki atau kedua-duanya perempuan atau seorang lelaki atau seorang perempuan. Juga tiada kaitan sama ada dibuat serentak pada tahun Hijrah atau tahun Masihi atau tahun Cina dan lain-lain.

Apa yang dipercayai orang tua itu sekurang-kurangnya usah dibiarkan hinggap di dalam sanubari kerana ia menjadi khurafat jika mengaitkan takdir yang berlaku selepasnya dengan amalan tersebut. Jika berlaku juga sesuatu yang tidak diingini, maka kembalikan semuanya pada qada dan qadar Allah yang telah tersurat sejak azali.

 

Imam Bukhari merekodkan satu hadis dari Al-Mughirah bin Syu’bah,

“Telah terjadinya gerhana matahari pada hari Ibrahim meninggal dunia.   Orang ramai pun berkata, “Matahari gerhana disebabkan Ibrahim wafat”.   Lalu Rasulullah s.a.w berkata, “Sesungguhnya matahari dan bulan merupakan dua tanda dari tanda-tanda kebesaran Allah.  Tidaklah gerhana kedua-duanya disebabkan mati atau hidupnya seseorang.   Sekiranya kamu melihat keduanya gerhana, maka berdoa dan solatlah sehingga ia nampak semula.”

Hadis 1000, Kitab Jumaat, Bab Berdoa Saat Terjadinya Gerhana.

Hadis di atas memberi panduan agar tidak mengaitkan sesuatu bencana atau sesuatu yang tidak diingini berlaku dengan sebab-sebab yang tiada nas padanya.   Ia juga menunjukkan bahawa Islam menolak segala prasangka dan bentuk khurafat yang masih tersisa dalam masyarakat.

 

Allah berkata di dalam surah At Taubah ayat 51,

“Katakanlah (Wahai Muhammad) tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami.  Dialah pelindung yang menyelamatkan kami dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakkal.”

 

Sebolehnya, sampaikan pandangan Ros pada kedua orang tua atau mana-mana ahli keluarga yang punya autoriti dalam urusan pernikahan ini. Kemudian biarlah mereka memutuskan bagaimana hal ini harus diselesaikan.

 

Nikah Tanpa Pengantin

Berkenaan soal bahagia atau tidak, mari kita susuri kisah benar di bawah ini;

Suatu hari, seorang sahabat baik berkata kepada Akak, “Kak Nur, ayah ana telah menerima lamaran seseorang di Malaysia”.

“Eh… betul ke Maya (nama samaran)…”

“Betul.”

“Maya sudah tengok atau belum jejaka itu.”

“Belum.  Ana ikut sahaja keputusan ayah.”

Berdebar-debar juga jantung Akak mendengarnya. Bukan calang-calang anak di zaman moden ini mampu menurut kehendak ayah sedemikian rupa.

Hari-hari selepasnya…

“Kak Nur, ana sudah dinikahkan ayah…nak buat macam mana ni

Jantung Akak juga yang berdegup tidak sudah mendengar khabar terbaru itu. Ayah sahabat Akak itu telah menikahkan Maya di Malaysia. Pernikahan itu sah walaupun pengantin perempuan nun berada beribu batu jauhnya.

“Ana sudah jadi isteri orang…huwaa…”

Sudah jadi isteri orang tetapi tidak seperti isteri orang.  Mana tidaknya, akad nikah tidak disaksikan dan pengantin lelakinya juga tiada.

“Maya pernah lihatkah jejaka itu?”

“Tidak pernah. Ana serah semua pada ayah”

“Mintalah foto dari keluarga…” saya menyarankan.

“Tak naklah… “

Masya Allah! Hati Akak pun tidak se’power’ itu.  Betul-betul anak bertuah si Maya ini.

 

Sementara Akak pulang bercuti ke tanah air. Tinggallah Maya bersama sahabat-sahabat yang lain yang tidak pulang. Maya pernah pulang bercuti pada tahun sebelumnya.

 

Musim Panas di Jordan tahun itu menjadi saksi pertemuan antara dua pasangan kekasih yang sudah termateri cintanya nun jauh di Malaysia.

Sebagaimana diceritakan semula pada Akak, oleh kerana beberapa orang rakan karibnya tiada saat itu, maka Maya pergilah seorang diri ke airport untuk menyambut suaminya.

Maya gabra habis… mana tidaknya, rupa suami pun tidak dikenali. Tiba-tiba akan menyambut suami seorang diri, tanpa keluarga mengiringi… tanpa sahabat di sisi.

Maya gagahkan diri ke airport… tiada kelibat pemuda Melayu di sana. Maya cuba cari di hotel transit… pun tiada juga. Akhirnya Maya pulang semula ke rumah.

Tiba di rumah, satu nota ditinggalkan di muka pintu,

“Suami enti ada kat rumah ana”.

Seorang ustaz yang sudah bernikah menulis nota itu.

[hahaha... sampai di sini, Akak memang tergelak mendengar cerita sahabat Akak ini... macam barang pula...hehehe..]

Bagus juga ye… bertemu kali pertama, terus berbulan madu, di Bumi Anbiya’ pula. Mana-mana drama dan filem cinta pun kalah kalau begini.

Ringkas cerita, Maya dan suaminya hidup bahagia sekarang. Mereka juga sudah jadi jutawan selepas melalui asam garam perkahwinan dan pahit maung mengusahakan rezeki dalam keadaan nikah semasa belajar. Alhamdulillah. Pokoknya, reda Allah pada reda orang tua selagi mana ia tidak bertentangan syarak. Bila reda Allah bersama kita, bahagia sentiasa bertamu tiba, dalam seluruh kehidupan kita, insya Allah.

 

[Psst... tau tak?  Suaminya handsome...cukup lengkap dengan dua mata, satu hidung, dua telinga dan mulut di bawah hidung ]

Banyak lagi persoalan yang perlu diambil kira dan mungkin masih ada pertanyaan serta kekeliruan yang berlegar-legar di kepala. Namun apa yang Akak highlightkan ialah pada perkara asas dalam isu pernikahan ini.

Dipersilakan tanya jika masih ragu-ragu.

Malu bertanya sesat jalan:)

Apa yang baik datangnya dari Allah.

 

Wassalam.

Foto hiasan.

Ummu Abbas- pun nikah pada 26 November:)

Melbourne
11.40pm
20 Zulhijjah 1432H/ 16 Nov 2011