Archive | Disember 2011

Pengangkutan Awam Percuma Sehari Setahun

Bismillah.

Bila lagi mahu naik tram percuma, iya tak?

 

Dalam entry lepas saya ada sebut,  ‘Hujan air batu di negara orang’  bila mana kami merasai hujan ais yang berketul-ketul menimpa atap rumah.   Hujan ais tersebut datang tatkala kami sedang menikmati salah satu  ‘Hujan emas’ di negeri Victoria.  ‘Hujan emas’  ini tidak pernah dinikmati di Malaysia.  Kalau warga Malaysia mengimpikan perkara ini berlaku di tanah air, cubalah tukar kerajaan PRU13 nanti.  Insya Allah, jika bukan dalam setahun dua selepas kerajaan berkebajikan ambil alih, mungkin dalam 5 tahun mendatang atau lebih, hal ini boleh direalisasikan.  Jika mahu lihat perubahan berlaku dalam negara, kenalah berani berubah dan membuat perubahan.  Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum kecuali mereka berusaha untuk mengubahnya… betul, bukan?

 

Setiap 25 Disember, sempena menyambut Cristmas, Negeri Victoria sentiasa memberi khidmat pengangkutan awam secara percuma kepada semua rakyatnya tanpa mengira bangsa dan agama.  Pengangkutan awam itu meliputi bas, tram dan ‘train’ untuk semua perjalanan dalam kawasan Victoria.  Ini bermakna perkhidmatan keretapi ekspres ke luar Victoria seperti ke Sydney masih berbayar tiketnya.  Tram  tiada di Malaysia.  Secara personal, kali pertama saya menaiki tram ialah di kota metropolis, Kaherah, Mesir.  Namun network tram di Melbourne adalah yang terbesar di dunia dengan jaraknya meliputi 250km.

Map of Australia with  Victoria highlighted

Victoria- negeri terkecil di Australia.

 

Pada hari ini, ramai warga asing seperti kami dan lain-lain mengambil kesempatan bercuti bersama keluarga dengan menggunakan pengangkutan awam.  Petrol kereta dan kos membeli tiket untuk famili bolehlah dijimatkan sekali setahun.

 

Sejak tahun lepas kami berada di sini, ini kali kedua kami merasa perkhidmatan pengangkutan awam percuma.  Tahun lepas, kami menaiki ‘train’ ke Pantai St Kilda.  Sesampainya di St Kilda, kebanyakan yang ada terdiri dari bangsa-bangsa yang tidak menyambut Cristmas seperti Arab, India, China dan Melayu.

Bagaimana caranya mendapatkan 'free travel' ke syurga?

 

Sebahagian dari warga Melayu merancang dari awal setiap kali menjelang cuti perayaan Cristmas.  Untuk perjalanan jauh menggunakan keretapi ekspres, biasanya tiket perlu diambil lebih awal.  Dengarnya tahun ini ramai famili Melayu yang berpakat ke Pantai Warrnambool yang memakan masa kira-kira 3 jam dari Melbourne.  Kami tidak merancang mahu ke mana.  Sementelah kami baru pulang dari percutian musim panas di Grampians National Park yang terletak kira-kira 300km dari Melbourne.   Selepas menyediakan bekal ringkas, kami menuju ke stesen ‘train’ dan pilih di sana mana-mana tempat yang mahu dilawati.   Pada hari inilah kami membawa anak-anak bersiar-siar melihat suasana dan merasa menaiki tram atau ‘train’ sekitar Melbourne.

Stop 1 tram terletak di tengah Kota Melbourne. Bangunan yang mempunyai menara jam itu pula merupakan stesen keretapi Flinders St.

 

Destinasi kami tahun ini ialah ke Pantai Brighton.  Di pantai ini tiada pokok-pokok besar jadi tiada tempat sesuai untuk kami berteduh dari panas terik mentari di waktu Zohor.  Tidak mampu bertahan lama dan anak-anak juga menangis, kami mengambil keputusan untuk pulang segera.  Dalam perjalanan pulang inilah kami terserempak dengan hujan ais di Moreland.  Allahu Allahu… salah satu hikmah anak menangis mahu pulang sudah terpampang di depan mata.  Mengingatkan ini, kadang-kadang terasa kesal yang amat bila dirasakan saya kurang bersabar dengan kerenah anak.  Moga peristiwa ini menjadi penguat agar saya menjadi ibu yang lebih tenang serta optimis terhadap apa sahaja ketentuan Ilahi.

 

Ummu Abbas

6 Safar 1433H/30 Disember 2011

1.19pm

Melbourne

Hujan Air Batu Sebesar Bola Pingpong

Bismillah.

Pepatah ada menyatakan, ‘Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik negeri sendiri’.  Apa yang saya dan famili saksikan semalam menyaksikan bahawa kami mengalami ‘Hujan air batu di negara orang’ dan banyak juga yang ‘lebih baik’ di sini dibandingkan dari negara sendiri.  Dunia akhir zaman menyaksikan banyak perkara menjadi terbalik.  Eh… saya sedang bicara isu realiti, bukan sengaja menukar pepatah tersebut.  Cuba lihat foto-foto di bawah.  Kami mengalami fenomena hujan air batu di musim panas semalam.  Waktu ini kami berada di atas ‘train’.  Biasalah, setiap kali hari Krismas di sini, pengangkutan awam adalah percuma ke mana-mana sahaja dalam Negeri Victoria.  Entry mengenainya menyusul selepas ini, insya Allah.

Hujan ais sedang turun di stesen keretapi Moreland, Melbourne.

Air batu berwarna putih salju.

Saiz air batu ada sebesar bola pingpong.

Dalam perjalanan pulang dari Pantai Brighton semalam, tatkala sampai di Moreland, tiba-tiba kami dihujani air batu yang begitu kuat bunyinya.  Masya Allah!  Subhanallah yang menjadikan alam ini dan segala pergerakannya.  Kami teruja melihat air batu berketul-ketul melantun-lantun bila menimpa atap dan sebagainya.  

Ramai yang berada di atas ‘train’  tidak melepaskan peluang merakam gambar.  Pada mulanya saya menyangka ia fenomena biasa di sini.  Lagi pun kami baru bermastautin setahun lebih di Melbourne.  Setelah diselidiki, rupa-rupanya fenomena hujan air batu di musim panas agak luar biasa.  Ia mendapat liputan berita-berita di Australia.  Jika hujan air batu di musim dingin, ia biasa saya alami semenjak di Jordan.  Itu pun saiznya lebih kecil.

Suatu hari, saya dalam perjalanan dari kedai roti.   Tiba-tiba hujan air batu berserta ribut menampar-nampar muka.   Memang sakit bila terkena pipi.  Nasib baik saya memakai purdah.  Jadi tahanlah sedikit rasa sakitnya.  Itupun saya masih cuba melindunginya dengan helaian mafla yang sentiasa dipakai ketika musim dingin.    Dalam keadaan begini, payung adalah satu alat yang tidak efektif kerana biasanya ia akan patah ditiup angin kencang dan kita juga tetap basah kuyup.

Hujan ais ini pada mulanya berlaku di Moreland dan Coburg.    Alhamdulillah, cermin kereta kami yang diletakkan di kawasan parking terbuka tidak retak dan pecah.  Ketika kami sampai di rumah yang jaraknya kira-kira 5 km dari Coburg, kawasan rumah masih kering menandakan tiada hujan turun.  Kira-kira 10 minit selepas itu, barulah kedengaran berdentum-dentum hujan air batu menimpa atap rumah.  Ia turun dengan lebat diserta guruh dan kilat.  Nasib baik juga kereta sudah diparking di dalam garaj, alhamdulillah.  Ada cermin kereta yang retak dan ada atap rumah yang pecah di tempat lain.

Persembahan slaid ini memerlukan JavaScript.

 

Tidak lupa saya berdoa kepada Allah swt agar menyelamatkan kami dari segala malapetaka.  Saya bimbang juga kerana sudah banyak peristiwa bala menimpa umat sempena penganut Kristian menyambut Hari Krismas.  Semalam pula betul-betul hujan ais ini turun di waktu tengahari 25 Disember yakni antara waktu Zohor dan berlanjutan sehingga selepas Asar.   Sudah terlalu banyak peringatan-peringatan dari Allah datang akhir-akhir ini agar umat manusia kembali kepada Deen al-Hanif.  Peringatan-peringatan yang datang dalam bentuk akibat perbuatan manusia itu sendiri mahu pun berbentuk bencana alam.

Sementara menunggu Asar, saya membuka al-Quran.  Masya Allah… bergementar hati  tatkala melihat surah yang akan dibaca bernama al-Ra’d.  Maksudnya ialah ‘Guruh’.  Ayat-ayat yang dibaca ialah dari ayat 1 hingga ayat 18.

Ayat 11 hingga 15 dari surah Al-Ra’d berbunyi,

[11]
Bagi setiap individu ada malaikat yang menjaganya silih berganti dari hadapan dan dari belakangnya, yang mengawasinya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah.  Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.  Apabila Allah bermaksud  menimpakan  bala bencana

kepada sesuatu kelompok (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat  melindungi mereka selain daripadaNya.

[12]
Dia lah yang memperlihatkan kilat yang menakutkan (dari panahan petir),

kepada kamu,  serta memberi harapan (dengan turunnya hujan); dan Dia yang menjadikan awan tebal yang berat (dengan air).
[13]
Bertasbihlah guruh dan malaikat serta memujiNya, kerana takut kepadaNya.  Dia lah juga yang mengirim petir, lalu Dia mengenakan  panahannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya.  Dan mereka yang ingkar itu membantah (serta mendustakan Rasul) mengenai perkara yang berhubung dengan Allah (dan kuat kuasaNya) Walhal  Dia Amat keras azab seksanya.

[14]
Hanya bagiNya seruan kebenaran.  Orang-orang yang meminta kepada selainNya, tidak akan dapat memberikan sesuatupun kepada mereka, seolah-olah orang yang menadah kedua tapak tangannya kepada air supaya sampai ke mulutnya, padahal air itu sudah tentu tidak akan sampai kepadanya. Dan tiadalah doa orang-orang kafir itu melainkan berada dalam kesesatan.
[15]
Kepada Allah jualah sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi bersujud, sama ada secara sukarela atau terpaksa.  Demikian juga bayang-bayang mereka pada waktu pagi dan petang.

Masya Allah.  Benarlah kata-kata Allah swt.

Saya cuba upload video hujan air batu yang turun di belakang rumah kami namun tidak dapat.  Suami ada sertakan video tersebut di blognya di sini.  Boleh lihat hujan air batu melantun-lantun dan bunyinya yang membingitkan.

Ummu Abbas

6.15pm/ 1 safar 1433H

Melbourne

Hudud: Antara Molen (Gadis Kristian) dan Melayu

Laut beku di Sweden.

Islam itu Rigid?

Gadis itu bernama Molen [Nama sebenar].  Suatu hari, dengan berseluar jeans, berblouse melepasi punggung dan bertudung… saya lepak-lepak di biliknya bersama Ummi Rosiah.  Molen tinggal sebilik dengan rakannya seorang muslimah ‘non-hijabi’.  Seorang lagi ‘roomate’  Molen ialah gadis Austria beragama Kristian, sama seperti Molen.

Mereka bertiga ialah ‘classmate’ Ummi.  Ummi yang mengajak saya menziarahi mereka.  Saya apa lagi… memang berminat berkomunikasi dengan non-muslim selagi ada peluang menyampaikan Islam.

Untuk  sesi ziarah ini, Allah telah berikan peluang yang baik kepada saya menjelaskan Islam melalui praktikal.  Apa yang telah berlaku ya?

Sebaik  kami duduk, kami bertaaruf ringkas.   Seusai taaruf, Molen bertanya, “Apa yang awak dengar?”

“Lagu”.  Jelas saya sedangkan ‘earphone walkman’ masih di telinga.   Ini hanyalah ziarah santai-santai kami dalam kawasan asrama.  Bukannya ziarah formal ke rumah kawan.  Jalan-jalan dari bilik ke bilik.

Riak wajah Molen kelihatan sedikit terperanjat.  Melihat reaksi demikian, saya juga rasa terkejut sedikit dan tertanya-tanya.    Gadis manis dari Sweden itu teruja untuk bertanya lanjut.

“Boleh saya tanya sedikit…”

“Iya… boleh sahaja”

“Saya pernah bertanya orang Arab di sini, adakah Islam membenarkan mendengar hiburan seperti lagu-lagu.  Mereka kata tidak boleh sama sekali.  Lalu saya fikir Islam itu agak keras.  Bagaimana kamu pula boleh mendengar lagu?”

“Apa yang saya belajar, Islam mengharuskan mendengar lagu dengan syarat liriknya bagus dan tidak melalaikan dari mengingati Allah.  Manakala alat muziknya pula terhad kepada duf dan tabla”.  Saya memberitahu pendapat yang masyhur tentang alat muzik sambil tersenyum.

Pada masa itu, memang heboh jugalah di Fakulti Syariah tempat saya belajar mengenai khilaf fuqaha’ hukum menggunakan alat muzik selain duf.  Pernah sekali seminar mengenainya diadakan di fakulti kami.  Dalam menjawab soalan Molen, saya tidak perlu memanjangkan perkara tersebut.  Alhamdulillah, Molen sendiri tidak pula bertanya mengenai hukum menggunakan alat muzik lain.  Saya kira, penerangan mengenai harusnya mendengar lagu yang baik itu sudah menepati isu yang dikemukakan.

“Cubalah dengar ini…” Saya memasang semula ‘walkman’ dan menghulurkan ‘earphone’ kepada Molen.  Kebetulan pada masa itu, lirik lagu Raihan berbunyi,

“My heart is loving you…

my heart is just for you…

knowing you Allah…

I will try to get close to you…”.   

Bolehlah Molen faham liriknya.

Hakikatnya, Allah jua yang memudahkan usaha dakwah kami.  Saya tidak sengaja ‘pause’ pada lagu berbahasa Inggeris Raihan itu.  Saya juga tidak merancang untuk menjadikan ‘walkman’ dan lagu itu sebagai bahan dakwah.  Semuanya aturan Allah untuk Molen sendiri yang disampaikan melalui kami.  Allah yang maha mengetahui apa yang Molen masih keliru mengenai Islam dan Allah mahu menyempurnakan hidayahNya melalui cara ini.

Lihatlah betapa lemahnya usaha kita dalam menyampaikan hidayah kepada manusia tetapi Allah menyempurnakannya dengan cara yang dikehendakiNya.  Subhanallah… Masya Allah!

“Nur, sebenarnya Molen ini sudah banyak mengkaji pasal Islam.  Tinggal lagi beberapa perkara yang dia masih keliru.  Dia mahu bertanya lagi tu… boleh ye Nur.  Nur beritahu dari sudut ilmunya, biar Ummi yang terjemahkan padanya”.  Ummi memang fasih berbahasa Inggeris.  Ini pun satu bentuk pertolongan Allah sebenarnya.  Juga peluang berkongsi pahala menyampaikan Islam, insya Allah.  (Jika saya sendiri fasih berbahasa Inggeris, nanti saya bolot pahala sorang-sorang… hehe… )

Oh begitu.  Rupa-rupanya Molen sudah tahu banyak juga pasal Islam.  Saya dengan rasa senang hati bersetuju melayan lagi pertanyaan Molen.

Hudud juga Rigid?

“Satu lagi yang saya fikir Islam itu rigid kerana Islam ada hukuman hudud.  Boleh jelaskan?”

“Hudud adalah jenis hukuman yang ditentukan untuk kesalahan-kesalahan tertentu sahaja.  Syarat-syarat untuk membolehkan hukuman hudud dilaksanakan kepada pesalah juga ketat.  Jika tidak cukup syaratnya, hukuman hudud tidak boleh dilaksanakan.  Kadang-kadang ia berpindah kepada hukuman taazir sahaja.  Hukuman hudud adalah adil untuk pesalah dan juga mangsa disebabkan jenis jenayahnya yang berat.

Contoh kesalahan mencuri.  Ia harus cukup kadar nisabnya.  Individu itu mencuri dengan sengaja, bukannya kerana tekanan atau disebabkan situasi yang mendesak.  Pernah di satu masa di zaman Umar r.a, hukuman mencuri ditangguh buat sementara waktu kerana situasi rakyat yang susah.  Situasi tersebut menimbulkan syubhat.

Contoh yang lain pula, seorang hamba ditangkap kerana mencuri harta tuannya.  Lalu dia dibawa untuk diadili Umar.  Apabila disiasat, hamba itu memberitahu sebab dia mencuri kerana tuannya tidak memberi makan yang cukup.  Umar al-Khattab lantas memberi peringatan kepada si tuan, “Jika aku dapati hambamu ini mencuri lagi kerana engkau tidak memberi makan yang cukup kepadanya, akan ku potong tanganmu”.

Molen menganggukkan kepalanya.  Dia kelihatan berpuas hati dengan penjelasan saya.  Seronok juga melihat Ummi bersungguh-sungguh menterjemahkan ke  Bahasa Inggeris.  Alhamdulillah, saya boleh faham semula penjelasan Ummi tetapi tidak mampu mengungkapkannya sendiri dalam Bahasa Inggeris.

Dialog di atas berlaku kira-kira 15 tahun yang lalu.  Gadis Austria itu turut mendengar perbualan kami.  Dia tidak bangun dan meninggalkan kami.  [Saya lupalah namanya tapi foto saya memakai niqab bersamanya di hadapan asrama masih dalam simpanan.]

Kembali ke Agama Fitrah

Apabila yang kusut dirungkaikan, yang buntu dipecahkan dan yang keliru diluruskan, tiada sebab untuk seseorang yang masih waras berfikir dan ikhlas dalam pencariannya menolak lagi kebenaran di depan mata.  Alhamdulillah, tidak berselang lama selepas itu, Molen memeluk Islam di sebuah masjid ditemani Ummi dan beberapa muslimah yang lain.  Ummi menceritakan Molen memakai tudung ketika mengambil syahadah.   Ini membuktikan dia sebenarnya sudah memahami tuntutan berhijab itu.  Namun selepas itu dia membukanya semula kerana masih mahu merahsiakan keislamannya pada pengetahuan umum.  Bukan apa, dia mahu mengelakkan keluarganya tahu dia memeluk Islam dari orang lain.  Dalam situasi ini, sememangnya Islam belum memberati seseorang yang baru memeluk Islam untuk mengamalkan secara drastik semua yang diketahuinya.

Fasa-fasa awal keislaman seharusnya ditekankan ilmu fardu ain dan amalan asas terlebih dahulu seperti solat dan puasa.     Amalannya boleh ditingkatkan selaras dengan peningkatan ilmu aqidah dan keimanan di dalam hati.

Molen memilih nama Islam tetapi saya lupa nama Islamnya.  Penghujung musim panas, saya dan Ummi mengiringi Molen yang akan menaiki teksi ke lapangan terbang Queen Alia.  Kami masih ada kelas hari itu.  Sempat dihulurkan sekeping note Dinar Jordan buat saudara baru saya dalam Islam.  Kami bersalam dan memeluknya sambil mendoakan agar Molen istiqamah dan tabah menghadapi segala ujian  sekembalinya dia ke Sweden.

Laut beku di Sweden. Kredit to Anso. Klik foto untuk lihat sumber foto.

Saya pulang ke Malaysia kira-kira setahun selepas itu.  Suatu hari saya menerima poskad dengan visual laut membeku.  Ia dari Molen.  Laut membeku wujud di Sweden.  Ia berlaku pada musim sejuk.  Saya sangat gembira menerimanya kerana pertama, saya tahu Molen masih Islam.  Kedua dia selamat di sana.  Dia mengucapkan terima kasih atas perhatian yang diberikan.  Molen lebih tua dari saya kerana waktu itu dia sudah bergelar graduan dan bekerja (kalau tidak silap).  Dia ke Jordan kerana mahu belajar Bahasa Arab pada musim panas selama 3 bulan.  Saya ingin membalas kiriman tanda kasih dan ingat itu namun sayangnya, Molen mungkin terlupa mencatat alamatnya di poskad itu.

Hanya doa yang saya mampu kirimkan buat Molen.  Saya tidak tahu apa perkembangannya sekarang.  Semoga Allah tetapkan hatinya dalam Islam dan mengembalikan dia ke  sisiNya dalam keadaan yang paling diredaiNya.

Antara Molen dan Melayu [Sebahagiannya]

Molen yang belum Islam itu sekadar tertanya-tanya apabila melihat Islam diberi pelbagai persepsi.

Molen yang belum Islam itu mahu bertanya bila didapati seolah-olah ada hukum atau perundangan Islam kelihatan seperti keras.

Molen yang lahir dalam famili yang belum Islam itu keluar mencari Islam.

Molen yang membesar di kalangan non-muslim itu berhijrah menjejak cahaya kehidupan.

Molen yang bijak itu mencari jalan agar kebuntuan terungkai.

Akhirnya sirnalah kebatilan dan nyatalah kebenaran ISLAM nan indah lagi sempurna itu.  Islam sempurna kerana datang dari Yang Maha Sempurna.

Melayu [Sebahagian] yang dilahirkan diiringi azan dan iqamah pula seperti segan dengan Islam.

Melayu [Sebahagian] yang membesar dengan ibubapa muslim dan masyarakat muslim mula mencaci ajaran Islam tatkala mereka dewasa. [Moga mereka bertaubat.  Amin]

Melayu [Sebahagian] yang diberi nikmat hidup dalam cahaya, mencari kegelapan…

Melayu [Sebahagian] malas bertanya apa yang mereka tidak faham…

Melayu [Sebahagian] terus mengulas isu yang bukan bidang mereka…

dalam tulisan mereka…

di TV yang kononnya milik mereka…

dan gunakan nikmat teknologi IT untuk buat video…

Video yang memperlecehkan hukum Allah, sedangkan Allah yang  meminjamkan nikmat teknologi IT kepada manusia…

Hanya mereka yang tidak berapa sempurna cara berfikir dan menilai akan menyatakan Islam itu tidak sempurna atau sebahagian hukum Islam itu tidak sesuai dengan manusia dan zaman. [Minta dijauhkan Allah.]

Akhirnya pudarlah cahaya, kelamlah kehidupan mereka [Moga mereka bertaubat.  Amin]

Punah iman mereka…

Gugur akidah mereka…

Terkeluar mereka dari Islam kerana menghina hukum Islam… [Moga mereka bertaubat.  Amin- dan mengisi sisa hidup dengan belajar tentang Islam]

Ya Allah, tetapkan hati-hati kami dalam keimanan kepadaMu.

NOTA:   Apa yang tercatat dalam latar pengalaman di atas adalah berdasarkan pengetahuan penulis pada masa itu… dan mana yang ingat sahaja ya… Mungkin ada yang terkurang dan ada yang terlebih, astaghfirullah.  Moga Allah ampunkan.   Jika pembaca mengetahui fakta sebaliknya, boleh kemukakan di ruangan komen.  Bantuan anda didahului dengan ucapan jazakumullah.

Ummu Abbas

23 Muharram 1433H

Melbourne.

Majalah Baru untuk Muslimah di Pasaran

Bismillah.

Alhamdulillah, sebuah majalah baru untuk muslimah berada di pasaran sekarang.  Keluaran sulung Era Muslimah ini bermula pada bulan ini, Disember 2011.  Dulu majalah ini dikenali dengan nama ‘Muslimah’ sahaja.

Semasa remaja dulu, saya adalah peminat majalah ini.  Kini, sudah tersurat yang saya berjodoh dengannya… iya, saya dilamar oleh Ketua Editor untuk menjadi Penulis Tamu di Era Muslimah.  Alhamdulillah.

Pada saya, majalah ini lain dari yang lain kerana ‘cover’ majalah ditampilkan secara ‘natural’  yakni tanpa ‘make-up’ yang mengelirukan pandangan ramai.  Adalah jelas, ‘make-up’ pada wajah seseorang wanita adalah salah satu bentuk tabarruj yang diharuskan jika dipakai untuk suaminya atau di hadapan mahram.  Boleh juga pakai di luar rumah dengan syarat memakai purdah- kata seorang ustaz semasa saya di Tingkatan Dua.  Jika ber’make-up’, kemudian menunjuk-nunjuk kepada ajnabi di luar rumah, jadilah ia tabarruj yang dilarang.   Antara ciri wanita jahiliyah Arab dahulu digambarkan suka ber’make-up’ pada wajah mereka.

Semoga perkongsian ilmu dari semua penulis di dalam majalah ini memberi manfaat buat semua pembaca.

Apa yang baik, panjang-panjangkan…

Apa yang kurang, sampaikan kepada kami ya…

Buah cempedak di luar pagar

Ambil galah tolong jolokkan

Saya ‘ibu’ baru belajar

Kalau salah tolong unjukkan.

Semoga penerbitan majalah ini menyemarakkan lagi dunia bacaan ilmiah di negara kita.  Juga semoga ia istiqamah dengan ciri ‘syariah compliant’ sehingga diberkati Allah.

Ummu Abbas

17 Muharram 1433H/13 Dic 2011

Melbourne.

Komunikasi dengan Isteri cara Rasulullah s.a.w

BerBBQ di Geelong, Victoria. Foto hiasan.


Bismillah.

 

Assalamu’alaikum warahmatullah.

 

Alhamdulillah, hari ini saudara bangun dengan hasrat menjadi lebih baik dari semalam, kan…  Menjadi suami soleh menjadi cita-cita setiap lelaki – walau apapun latar belakang mereka.  Ini dikatakan fitrah manusia yang mahu menjadi baik dan terbaik – sekurang-kurangnya untuk diri sendiri.  Tinggal lagi usaha ke arahnya dengan menambah ilmu dan menambah pergaulan dengan watak-watak yang baik.  Jika di luar sana, terasa sukar mendapatkan ‘life uswah’ (teladan yang hidup), apa kata kalau kita ‘berkawan’ dengan mereka melalui cerita ini.  Moga terinspirasi dan termotivasi untuk menggerakkannya melalui praktikal.  Insya Allah, anda mampu mengubahnya.  Mohon kepada Allah agar diberi kekuatan tanpa putus asa.

Sesungguhnya ‘energy’ sebenar kita menjadi baik terletak pada taufik dan inayah dari Allah jua.  Bukannya pada ke’aliman’ diri atau berketurunan ulama.  Betapa ramai ulama menjadi ulama ul-suu’ – ulama yang jahat (na’uzubillah)… dan betapa ramai berketurunan ulama menjadi sampah ummah (na’uzubillah).  Ilmu hanya alat melaksanakan sesuatu dengan betul dan benar…selepas tahu, kita meletakkan ‘mahu’ dalam ‘raja diri’ yakni hati… yang menggerakkan ilmu tersebut dalam diri kita ialah ‘energy’ dari Allah.

 

Tanggungjawab isteri pula ialah mendorong suami dengan kata-kata yang baik dan doa nan tulus.  Kalau suami menjadi soleh, kita yang untungkan?  Bab ini saya bercerita lain kali, insya Allah.

Semoga anda semua dan saya :), mendapat ‘Baiti Jannati’ – rumahku syurgaku.

 

Kisah Benar [Watak Seorang Suami Soleh]

Suatu hari, si suami mengadap hidangan ditemani isteri nan setia.

Dikunyahnya satu- persatu makanan yang disediakan.

Senyap.

………………….
Selesai makan, lalu dia bangun dan keluar dari rumah.

Kembali ke rumah, dia serahkan garam kepada isterinya.

Rupa-rupanya, masakan isterinya tadi tidak bergaram.

Menjadi kelaziman keluarga tersebut, suami yang membelikan barang dapur. Hari itu, bila si isteri memasak, dia dapati garam sudah kehabisan. Dia teruskan memasak dan berdebar-debar menantikan respon suaminya. Si isteri pun solehah juga – tidak diberitahunya dia memasak tanpa garam. Bila suami makan, baru si suami tersedar yang dia terlupa membeli garam keperluan rumah. Si suami itu sekarang salah seorang tokoh agama terkenal di Kelantan.

 

Si isteri yang sangat teruja dengan reaksi suaminya begitu ghairah bercerita kepada kawan-kawannya.  Benar, mentaliti kebanyakan kita sebagai isteri ialah bila kita melakukan kesilapan, kita merasa ‘gerun’ suami akan marah-marah dan bereaksi dengan pongah.

Dalam kisah di atas, jika saya berada di tempat isteri tersebut, saya juga akan berdebar-debar, bimbang dimarahi suami.

Masakan yang sedap didiamkan sahaja.  Bila tidak sedap, baru kecoh mulutnya.  Jika tidak mampu memuji semasa diberi nikmat oleh Allah dengan masakan sedap isteri, adalah lebih baik diam sahaja jika sekali-sekala isteri tersilap dalam menunaikan tugasannya.

Sebagai isteri, kita sedar bila melakukan kesilapan yang tidak disengajakan.  Merasa bersalah itu merupakan satu bebanan emosi.  Kemudian apabila dimarahi pula tanpa rasa empati, emosi tambah terbeban.  Bila situasi ini berlaku, rasa hormat pada suami berkurangan dan juga mengakis sedikit rasa cinta padanya.  Namun, bila suami memberi respon seperti di atas, isteri merasa lega dan insaf.  Rasa hormat pada suami bertambah serta memandang suaminya benar-benar pelindung dirinya dan pemimpin berwibawa dalam rumahtangga mereka.

 

“Kegagahan suami terletak pada sikap lembutnya pada ahli keluarga”

 

Sebagai penutup, untuk sesiapa yang belum melihatnya, jom layan video 6 minit 51 saat ini demi menambah utuh rumahtangga.

 

Apa yang baik itu dari Allah.

 

Ummu Abbas

12 Muharram 1433H/ 8 Disember 2011

Melbourne