Archive | Februari 2012

Bagaimana Allah Bergerak?

Aesya: Ummiii….. Allah bergerak macam mana?

Saya: Hmmm…

Belum pun saya temui jawapan yang sesuai…

Aesya: Adakah Allah bergerak seperti ini (sambil berlari) tanpa tangan dan kaki…?

Saya: (ketawa) Tak pe Aesya… Aesya solat dulu.

Sebenarnya saya belum temui jawapan yang sesuai. Aesya pula sedang bersiap untuk solat Asar sambil bertanya itu dan ini.

Saya perhatikan Aesya solat pada perbuatan dan bacaannya. Saya menyuruhnya membaca dengan kuat agar saya boleh semak bacaannya serta memperbetulkan mana yang salah. Sambil itu bolehlah saya fikir lagi apa jawapan yang sesuai.

Selesai solat, Aesya menyalami tangan saya dan saya menciumnya sambil memeluknya.

Saya: Aesya bertambah cantik bila Aesya solat.

Aesya tersenyum.

Saya: Aesya mahu tahu jawapan pada soalan Aesya tadi?

Aesya: Apa dia Ummi?

(La… sudah lupa pula)

Saya: Tadi Aesya tanya macam mana Allah bergerak.

Aesya: Ya… macam mana Allah bergerak?

Saya: Allah bergerak menurut caranya sendiri. Kita tidak tahu.

Aesya: Hmm… ok.

Alhamdulillah, mudahnya dia menerima penjelasan ringkas saya.

 

Saya:  Aesya, pergilah letak  bunga atau butterfly…

Aesya:  Aesya sudah letak Ummi.

Saya:  Untuk solat Asar tadi?

Aesya:  Ya.

 

Cepatnya dia.  Insya Allah… entry akan datang saya berkongsi salah satu cara saya menggalakkan anak-anak untuk solat 5 waktu di awal latihan mereka solat.  Bunga dan rama-rama itu ialah pelekat yang ditampal pada jadual solat Aesya setiap kali dia berjaya menunaikan solat.

 

Ummu Abbas

7 Rabiul Awwal 1433H

7.24pm

Melbourne

Usia Terbaik Latih Anak Mula Solat

Semalam ulangtahun kelahiran ke 7, anak perempuan sulung.  Aesya merupakan anak ke 4 dari 6 adik beradik.  Usia 7 tahun merupakan umur mumaiyyiz menurut Islam.  Ada beberapa perkara asas yang perlu diterapkan dalam usia begini;

1) Menyuruh anak solat.

2) Mengasingkan tempat tidur dari kedua ibubapa.

3) Mengasingkan tempat tidur dari adik-beradik lelaki yang berusia 7 tahun dan ke atas.

Sejak beberapa bulan lepas, saya mula mengajaknya solat sekali-sekala.  Juga melatih Aesya tidur di biliknya sendiri.  Alhamdulillah, Aesya sudah mampu berwuduk dengan sempurna dan juga tahu pergerakan dan bacaan asas dalam solat.

Latihan amali solat semasa berusia 5 tahun.

Beli Telekung Comel Untuk Galak Anak Solat

Saya belikan telekung solat untuk Aesya sejak dia berusia 4 tahun.  Bukan sebab usianya 4 tahun saya belikan telekung tetapi kerana saya terpandang telekung solat yang comel untuk kanak-kanak.   Saiz telekung itu pula sesuai dengan Aesya waktu itu dan paling penting, saya nampak ia boleh dipakai sehingga Aesya berusia 7 atau 8 tahun.  Lagi pun saya perlu bersedia sebelum bertolak ke Melbourne yang mana pada masa itu suami dalam proses menyambung pelajaran.  Bimbang juga bila sampai di Melbourne, susah pula mencari telekung solat untuk kanak-kanak.

Sejak dibelikan telekung, Aesya rajinlah solat pada masa itu.  Mengaji Quran pun pakai telekung solat.

Kehangatannya untuk solat sekadar sementara.  Namun saya membiarkan sahaja.  Begitulah yang saya lakukan pada abang-abangnya dahulu.  Saya mengingati pesan Nabi s.a.w,

Perintahlah anak-anak kamu mendirikan solat ketika berusia tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkan solat ketika berumur sepuluh tahun dan asingkanlah tempat tidur di antara mereka (lelaki dan perempuan).

(Hadis direkodkan Abu Dawud).

Semoga menjadi 'Qurratu 'Aini' dan anak solehah!

Pendidikan Menurut Sunnah Adalah Yang Terbaik

 

Saya meyakini setiap ajaran Islam adalah yang terbaik dari segi kualitinya kerana Islam datang dari Allah, pencipta alam dan pencipta manusia.  Selain al-Quran, Allah mengajar kita mengabdikan diri kepadaNya melalui Nabi Muhammad s.a.w.

Allah yang bersifat al-Latif sangat memahami psikologi manusia.  Jadi saya meyakini setiap langkah atau kaedah mendidik yang diberikan adalah bersesuaian dengan fitrah kejadian manusia.  Dalam konteks melatih anak-anak solat, saya mula menyuruh anak-anak solat setelah mereka berusia 7 tahun.  Sebelum berusia 7 tahun, memadai kita sentiasa solat di hadapan mereka.  Biasanya dapat dilihat tingkah laku manis mereka meniru perbuatan kita solat selepas anak-anak mula pandai berdiri meskipun kita tidak menyuruhnya.

Kadang-kadang, saya ajak mereka solat bersama namun jika mereka enggan dan mahu bermain-main, saya biarkan sahaja.  Saya pernah perhatikan seorang makcik yang bertegas pada kanak-kanak yang belum berusia 7 tahun agar menunaikan solat.  Saya agak tersinggung apabila dia bukan sahaja bertegas agar solat tetapi membanding-bandingkan pula dengan kanak-kanak lain yang mudah menunaikan solat sebelum berusia 7 tahun.

Saya bimbang jika bertegas sebelum masanya, anak-anak akan merasa jemu dan ‘tersiksa’ kerana kemampuan akal mereka untuk memahami dan emosi mereka untuk menjiwai belum mencukupi.  Akibatnya, tatkala mereka dewasa, mereka akan merasa bahawa agama adalah sesuatu yang menekan dan mengongkong kehidupan serta kebebasan mereka.  Jika mereka lakukan secara sukarela, alhamdulillah.  Pujilah mereka dan bersyukurlah kepada Allah.  Namun jika ada masa-masa mereka tidak mahu lakukan, biarkan sahaja kerana Allah lebih memahami fitrah mereka dibandingkan saya walaupun saya adalah ibu kandung.

Kadang-kadang saya mendengar cerita kawan-kawan mengenai anak mereka yang sejak kecil rajin mengikut orang tua bersolat.  Alhamdulillah jika ianya kehendak anak itu sendiri.  Namun saya sekali-kali tidak akan menyuruh anak-anak kecil solat sebelum tiba masanya semata-mata kerana mahu menyaingi anak-anak kawan.  Jika saya lakukannya, bererti saya melatih anak-anak solat kerana manusia (menandingi anak-anak orang lain), bukannya kerana melaksanakan perintah Allah.  Na’uzubillah.  Saya mahu anak-anak menikmati zaman kebebasan mereka sebagai kanak-kanak kerana apabila baligh, Islam telah menyediakan tanggungjawab yang berat untuk digalas sebagai khalifah Allah di muka bumi.

Tidak perlu risau jika anak-anak yang belum berusia 7 tahun belum mahu bersolat dan juga tidak perlu berbangga jika anak-anak suka bersolat sedangkan mereka masih kecil.  Rasa bangga atau ujub ibubapa dibimbangi akan merosakkan anak-anak itu tatkala mereka dewasa nanti.  Contohnya sudah banyak kes zina yang saya temui datangnya dari mereka yang mendapat pendidikan agama yang baik sejak kecilnya.  Mereka sudah melazimi solat dan pandai membaca al-Quran sejak kecil namun tetap terjerumus ke lembah dosa.   Ertinya, didikan yang baik dari kedua ibubapa di rumah belum menjamin keselamatan anak-anak dari ancaman maksiat yang besar di luar rumah.  Keikhlasan ibubapa mendidik anak-anak adalah paling utama bagi mendapat penjagaan dari Allah.

Pengalaman-pengalaman orang lain itu saya jadikan iktibar dan lebih bimbangkan masa depan zuriat sendiri.  Hanya Allah sebaik-baik penolong.

 

Sebelum Berusia 7 Tahun…

 

Saya berusaha agar mereka mengenal al-Quran, mengajar berwuduk, membaca al-Fatihah, mengenalkan mereka kepada Allah, konsep dosa pahala, percaya kepada perkara ghaib, akhlak yang baik seperti berdoa setiap kali mahu lakukan sesuatu, meninggalkan akhlak yang tidak baik dan sebagainya.

Mana yang sesuai diberi penerangan secara praktikal, saya praktikkan.  Contoh mengajak anak melihat saya berwuduk.  Mana yang perlu diberi penjelasan secara teori, maka bercerita sehingga mereka mampu memahami menurut kadar akal mereka.  Contoh bercerita tentang keesaan Allah, adanya nabi-nabi, wujudnya malaikat dan iblis dan lain-lain.

Video di bawah ini adalah salah satu kaedah yang baik menerangkan tentang ilmu Islam pada anak-anak. Biasanya saya ajak anak-anak menonton bersama.  Saya perhatikan kefahaman mereka dan akan menokok nambah mana-mana yang perlu ditambah penjelasannya.

Ummu Abbas

12.45pm

3 Rabi’ 2 1433H

Melbourne

Menepis Salah Faham Mengenai Purdah [Kajian Kitab di Pesantren]

Alhamdulillah, saya menemui tulisan yang amat baik mengenai rasional berpurdah dari saudara seislam dari tanah seberang, Indonesia.   Walaupun Ummu Ashhama Zeedan menulis dalam suasana yang berlaku di Indonesia namun realitinya, cabaran yang sama dihadapi oleh para muslimah yang mencari sedikit bahagia dengan berpurdah di Malaysia.

Saya hanya sempat melihat rujukan asal  Tafsir Al-Tobari dan kitab Al-Umm seperti yang dikemukakan di dalam tulisannya di bawah ini.   Benarlah apa yang dicatatkannya.   Kitab-kitab lain yang disebutkan juga sebenarnya tidak asing di kalangan pelajar aliran ugama di Malaysia.

Saya merasa terpanggil lagi untuk memaparkan hujjah ulama mengenai hukum berpurdah setelah diasak  dengan pelbagai soalan dari para akhawat/muslimat sama ada  di dalam blog ini, melalui email dan juga mesej di Facebook.  Untuk lebih memahami pada permasalahan cabang hukum, maka perkara pokok haruslah dipelajari dan difahami terlebih dahulu.

Ada yang bertanya bolehkah pakai purdah on-off (apa yang dimaksudkan on-off itu sebenarnya ya…) , bolehkah bergaya meskipun berniqab, bolehkah pakai untuk ke program tertentu sahaja,  bagaimana mahu disesuaikan dengan pekerjaan dan sebagainya.

Islam bangga bila setiap penganutnya beramal dengan sesuatu setelah memahaminya dengan dalil dan hujjah.  Islam juga bangga jika setiap muslimahnya beramal dengan sesuatu semata-mata menurut kehendak Allah dan rasulNya, bukannya kerana bertaqlid buta pada amalan orang lain.

Jadi untuk kesekian kalinya, fahami terlebih dahulu rasional di sebalik hukum berpurdah sebelum beramal dengannya.    Bacalah juga perbahasan yang mengatakan purdah itu tidak wajib di dalam mana-mana buku yang berbicara tentang hijab.  Setelah meluaskan pembacaan dan melihat pro kontra antara keduanya, baru buat pilihan yang sesuai dengan kefahaman dan keperluan diri.

Tulisan di bawah juga sudah diedit untuk disesuaikan dengan Bahasa Malaysia bagi memudahkan ia difahami oleh warga pembaca Malaysia.

Entry kali ini juga merupakan kesinambungan entry bertajuk ‘Aku Mahu Pakai Purdah‘.

Semoga Allah merahmati Ummu Ashhama Zeedan dan memberkati usaha yang baik ini.

Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu pakaian menutup aurat kamu serta pakaian perhiasan dan pakaian taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).

Al-A’raaf:  26

Ummu Abbas

28 Rabi’ul Awwal 1433H

5.36pm

Melbourne.

********************************************************************************************

Untuk ke sumber asal artikel, klik tajuk di bawah.

Menepis Salah Faham Purdah Kajian Kitab di Pesantren

Masih ramai orang Islam di Indonesia yang memandang purdah sebagai perkara aneh dan cenderung menilainya secara negatif.  Muslimah yang mengenakannya sering dituduh secara ekstrim sebagai pengikut aliran sesat atau aliran sempalan yang eksklusif.  Padahal terminologi purdah sudah diketahui secara umum di kalangan penuntut-penuntut di pondok-pondok pesantren kita yang menunjukkan bahawa purdah bukanlah perkara baru, asing, apalagi dikatakan sebagai bukan ajaran Islam.

Hanya saja banyak dari mereka yang membaca, namun tidak mau menyampaikan (menjelaskan) hal ini kepada umat. Atau juga banyak dari mereka yang membaca namun tidak mahu mengamalkannya.

Memang ulama berbeza pendapat tentang hukum purdah ini, dari yang mewajibkan hingga yang mengatakan mandub (dianjurkan) bila wajah perempuan itu dapat menimbulkan fitnah syahwat.  Namun tidak ada satupun yang mengatakan bahawa pemakai purdah adalah aliran sesat atau melampau batas sederhana.

[Sederhana menurut Islam ialah selagi mana amalannya berdasarkan wahyu al-Quran dan sunnah.  Dalam isu purdah, ia termasuk dalam hukum Islam yang terdapat nas dari Quran, sunnah dan amalan mukminat di zaman Rasulullah s.a.w itu sendiri.  Jadi berhati-hatilah dalam membuat penilaian melampau terhadap pemakai niqab atau purdah.  Dibimbangi kita menghina salah satu cabang hukum Islam yang mana boleh membawa kepada gugurnya aqidah. Na’uzubbillah.-ummu abbas]

Berikut ini adalah terminologi purdah di dalam sebahagian kitab-kitab yang sering digunakan ramai muslimin Indonesia, iaitu:


1.  KITAB TAFSIR AL-QUR’AN DAN TERJEMAHNYA. (hal. 678) dikeluarkan oleh Tim Tashhih Departemen Agama RI.

Tafsir Surah Al-Ahzaab: 59 tentang makna jilbab , (…Hendaklah mereka menghulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka . ..), iaitu: Jilbab adalah sejenis baju kurung yang lapang yang dapat menutup kepala, muka dan dada.

2.  KITAB TAFSIR ATH-THOBARI ditulis oleh Al-Imam Muhammad bin Jarir bin Yazid bin Katsir bin Ghalib ath-Thabari رحمه الله .

Kitab tafsir ini adalah kitab rujukan yang terkenal di dunia Islam.

Pembahasan purdah di dalam kitab ini di antaranya dalam:

a. Tafsir Surah An-Nur ayat 31 tentang  إِلاَّ مَا ظَهَرَ مِنـْهَا(… kecuali yang (biasa) nampak daripadanya.), iaitu :

Allah berkata, “Janganlah menampakkan perhiasan mereka kepada manusia selain mahramnya”.  Perhiasan itu ada dua: yang disembunyikan seperti: gelang kaki, dua gelang tangan, dua anting-anting dan kalung. Dan yang kedua adalah yang biasa tampak – ada perbezaan pendapat tentang makna ayat dalam hal ini, dan sebahagiannya mengatakan ianya adalah PAKAIAN LUAR.

Ibnu Mas’ud berkata, ”Perhiasan ada dua macam: yang biasa tampak yaitu pakaian luar. Dan perhiasan yang disembunyikan yaitu: gelang kaki, dua anting-anting dan dua gelang tangan”.

Dari Abu Ishaq dari Abu al-Ahwash dari Abdullah berkata,” { إِلاَّ مَا ظَهَرَ مِنـْهَا } yaitu : pakaian.”

Berkata Abu Ishaq,”Apakah engkau tidak melihat firman Allah: “Pakailah perhiasanmu (pakaianmu) yang indah setiap memasuki masjid.” ?” (Surah Al-A’raf : 31)

b. Tafsir surat Al-Ahzab: 59 tentang makna jilbab, يُدْنِــينَ عَلَيْهِنَّ مِن جَلاَبِـيــبِهِنَّ (…Hendaklah mereka menghulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka . . .), iaitu:

Allah berkata kepada nabiNya Muhammad: “Hai Nabi!  Katakanlah kepada isteri-isterimu dan wanita mukminah, janganlah menyerupai budak-budak di dalam berpakaian tatkala keluar rumah untuk suatu keperluan, mereka menampakkan rambut dan wajah-wajah mereka.

Akan tetapi hendaklah menghulurkan jilbab-jilbab mereka, sehingga orang-orang fasiq dapat mengenali mereka sebagai wanita merdeka dan terhindar dari gangguan dalam satu pendapat.

Ahli ta’wil berbeda pendapat di dalam cara mengulurkan jilbab yang diperintahkan Allah.  Maka sebahagiannya mengatakan: yaitu MENUTUPI WAJAH-WAJAH dan kepala-kepala mereka dan tidaklah menampakkannya KECUALI HANYA SATU MATA SAJA.

”Ali melaporkan bahawa Ibnu Abbas berkata, “Allah telah memerintahkan wanita-wanita muslimah jika keluar dari rumah mereka untuk satu keperluan agar MENUTUP WAJAH-WAJAH MEREKA (mulai) dari atas kepalanya dengan jilbabnya dan menampakkan HANYA SATU MATA SAJA.”

Ibnu Ibnu Sirrin berkata,“Aku bertanya kepada Ubaidah tentang firman Allah tentang ayat { قُلْ ِلأَزْوَاجِك وَبَنَاتك وَنِسَاء الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلاَبِيبهنَّ}, maka iapun (mencontohkan) dengan pakaiannya, kemudian MENUTUP KEPALA DAN WAJAHNYA serta HANYA MENAMPAKKAN SALAH SATU MATANYA.

”Dan berkata yang selainnya, ”Bahkan diperintahkan kepada mereka agar mengikat (mengencang) jilbab- jilbabnya itu di dahi-dahi mereka.”

3.  KITAB TAFSIR IBNU KATSIR ditulis oleh Al-Imam ‘Imaduddin Abu al-Fida’ bin ‘Umar bin Katsir ad-Dimasyiqi al-Qurasyi as-Syafi’i رحمه الله .

Kitab tafsir ini adalah rujukan yang sangat terkenal di seluruh dunia dan di pondok-pondok pesantren Indonesia sejak dahulu. Pembahasan purdah di dalam kitab ini di antaranya dalam:

a. Tafsir Surah An-Nur ayat 31 tentang إِلاَّ مَا ظَهَرَ مِنـْهَا(… kecuali yang (biasa) nampak dari padanya.):

Iaitu, tidak menampakkan sesuatu apapun dari perhiasannya kepada laki-laki asing (bukan mahram) kecuali apa-apa yang tidak mungkin lagi disembunyikan. Berkata Ibnu Mas’ud , ”iaitu seperti RIDA’ dan PAKAIAN , yakni seperti yang dipakai di kalangan wanita Arab berupa mukena’ – yang menyelubungi pakaiannya dan menutupi apa yang terlihat di bagian bawahnya – , maka tidak mengapa hal tersebut (mukena’) terlihat kerana memang tidaklah mungkin disembunyikan lagi sebagaimana kain sarung.

”Dari Ibnu Abbas berkata,”kecuali wajah, kedua telapak tangan dan cincin.” …Dan kemungkinan bahawa Ibnu Abbas dan mereka yang mengikutinya memang menghendaki penafsiran “apa yang biasa tampak” sebagai wajah dan kedua telapak tangan.”

– pendapat ini masyhur di kalangan jumhur – dan didengar pula dari hadits yang diriwayatkan Abu Dawud di dalam Sunan-nya…dari Aisyah رَضِيَ اللَّه عَنْهَا bahawa Asma’ binti Abu Bakar masuk menemui Nabi dengan pakaian yang jarang.  Maka Nabi berpaling darinya sambil berkata,”Wahai Asma’, sesungguhnya seorang wanita bila telah haidh maka tidak boleh terlihat darinya kecuali ini.” Dan beliau mengisyaratkan wajah dan telapak tangannya.

- Abu Dawud dan Abu Hatim ar-Razi berkata bahawa hadith ini MURSAL.

Hal ini kerana Kholid bin Duraik tidak pernah mendengar dari Aisyah رَضِيَ اللَّه عَنْهَا . Wallahu ‘alam.

b. Tafsir Surah Al-Ahzab: 59 tentang makna jilbab , يُدْنِــينَ عَلَيْهِنَّ مِن جَلاَبِـيــبِهِنَّ (…Hendaklah mereka menghulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka…), iaitu:
Jilbab ialah rida’ yang dikenakan di atas khimar (kerudung), demikian perkataan Ibnu Mas’ud, Ubaidah, Qatadah, Hasan al-Bashri, Sai’d ibn Jubair, Ibrahim an-Nakha’i dan Atha’ al-Khurasani.

Dan ada selainnya mengatakan jilbab itu kedudukannya sama seperti kain sarung di masa kini.

Berkata Ali bin Abi Thalhah dari Ibnu ‘Abbas: “Allah telah memerintahkan wanita-wanita muslimah jika keluar dari rumah mereka untuk suatu keperluan agar MENUTUP WAJAH-WAJAH MEREKA (mulai) dari atas kepalanya dengan jilbabnya dan menampakkan HANYA SATU MATA SAJA”.

Berkata Muhammad Ibnu Sirrin: “Aku bertanya kepada Ubaidah as-Salmani tentang firman Allah : يُدْنِيــنَ عَلَيْهِنَّ مِن جَلاَبِيبِهِنّ , maka ia pun (menunjukkan contoh dengan ) MENUTUP WAJAH dan kepalanya serta MENAMPAKKAN MATA KIRINYA.

”Dan berkata Ikrimah,”menutupkan celah lehernya dengan jilbabnya yang terjulur dari atasnya.”

”Dari Ummu Salamah berkata,”Ketika turun ayat ini يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلاَبِيبهنَّ , keluarlah wanita-wanita Ansar seolah-olah kepala mereka ada burung gagak karena HITAMNYA PAKAIAN yang mereka kenakan.

“Di dalam Tafsir at-Thobari dan Tafsir Ibnu Katsir terlihat ADA PERBEZAAN antara Ibnu Mas’ud dan Ibnu Abbas ketika menafsirkan An-Nur ayat 31 tentang إِلاَّ مَا ظَهَرَ مِنـْهَا (… kecuali yang (biasa) nampak dari padanya…).

Ibnu Mas’ud menyatakan bahawa yang ditampakkan HANYALAH PAKAIANNYA saja sedangkan Ibnu Abbas MENGECUALIKAN WAJAH DAN TELAPAK TANGAN sebagai bahagian yang tidak ditutup.

Namun ketika menafsirkan Al-Ahzab ayat 59 tentang makna jilbab, Ibnu Abbas TIDAK mengecualikan wajah dan telapak tangan! Beliau bahkan hanya mengecualikan SATU MATA SAJA yang boleh ditampakkan!

Maka dengan demikian kedua sahabat Nabi -yang keduanya didoakan Nabi sebagai ahli tafsir al-Qur’an < 1 > – sama-sama SEPENDAPAT bahawa wajah perempuan itu termasuk yang ditutup kecuali mata saja!

4. KITAB TAFSIR JALALAIN ditulis oleh Syaikh Jalaluddin ibn Muhammad Al-Mahalli رحمه الله dan Syaikh Jalaluddin ibn Abi Bakrin as-Suyuthi رحمه الله.

Kitab tafsir ini digunakan di hampir seluruh dunia dan pondok-pondok pesantren di Indonesia sejak dahulu. Pembahasan purdah di dalam kitab ini di antaranya dalam:

a. Tafsir surat An-Nuur ayat 31 tentang زِينَتَهُنَّ إِلاَّ مَا ظَهَرَ مِنْـهَا (… perhiasan mereka kecuali yang (biasa) nampak dari padanya.), yaitu: ” wajah dan kedua telapak tangan, maka DIBOLEHKAN terlihat lelaki asing jika tidak takut terjadi fitnah; pada satu pendapat.

Pada pendapat kedua DIHARAMKAN terlihat (wajah dan kedua telapak tangan) kerana dapat mengundang fitnah dan (pendapat ini) kuat untuk memutus pintu fitnah tersebut.” < 2 >

b. Tafsir surat Al-Ahzaab : 59 tentang makna jilbab, يُدْنـِينَ عَلَيْهِنَّ مِن جَلاَبِيبـهِنَّ (…Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka…):

“Bentuk jamak dari jilbab, iaitu pakaian besar yang menyelubungi perempuan, yaitu MENURUNKAN SEBAGAIANNYA KE ATAS WAJAH-WAJAH MEREKA ketika keluar untuk suatu keperluan hingga TIDAK MENAMPAKKANYA KECUALI HANYA SATU MATA SAJA.”
< 3 >

5. KITAB TAFSIR AISAR AT-TAFASIR ditulis oleh Syaikh Abu Bakar Jabir al-Jazairi رحمه الله, semasa hidup adalah Imam Besar Masjid Nabawi Madinah, seorang ulama yang dikenal oleh kaum muslimin Indonesia khususnya bagi jamaah haji yang berkunjung ke Madinah dan penulis kitab Minhajul Muslim (Pedoman Hidup Seorang Muslim) yang banyak dibaca kaum muslimin di Indonesia. Perbahasan purdah di antaranya dalam:

a. Tafsir Surat An-Nur ayat 31 tentang إِلاَّ مَا ظَهَرَ مِنْـهَا (… kecuali yang (biasa) nampak dari padanya…), iaitu :  “Apa saja yang tidak mungkin ditutup lagi atau disembunyikan lagi seperti KEDUA TELAPAK TANGAN ketika menerima atau memberi sesuatu atau kedua MATA untuk melihat.

Dan apabila di tangannya terdapat cincin dan pacar (pemerah kuku) dan pada kedua matanya terdapat celak dan pakaian yang memang sudah tampak dari kerudung-kerudung di atas kepala dan pakaian ‘abaya yang menutupi seluruh tubuh, maka hal demikian adalah dimaafkan kerana memang tidak bisa ditutup lagi”. < 4 >

Tafsir Surah Al-Ahzab: 59 tentang makna jilbab , يُدْنِيـنَ عَلَيْهِنَّ مِن جَلاَبِيبِهِنَّ (…Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka…), iaitu : “menurunkan jilbab-jilbab mereka ke atas WAJAH-WAJAH MEREKA sehingga tidak terlihat lagi dari seorang perempuan KECUALI SATU MATA untuk melihat jalan jika ia keluar untuk suatu keperluan.” < 5 >

RUJUKAN

1. Rasulullah صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ bersabda untuk Ibnu Mas’ud, “Sesungguhnya ia (Ibnu Mas’ud) pentalkin (pengajar, pembimbing) yang mudah difahami.” Dan untuk Ibnu Abbas, Beliau صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ bersabda,” Ya Allah, jadikanlah dia (Ibnu Abbas) faham terhadap agama ini dan ajarkanlah dia ta’wil (penafsiran Al Qur’an)”. Lihat Kasyfu al-Qina’ : 62, Shahih Bukhari 4:10, Muslim 2477 dan Ahmad 1:266, 314, 328, 335.
2. Tafsir Jalalain : 257.
3. Tafsir Jalalain : 307.
4. Tafsir Aisar at- Tafasir 3 : 566.
5. Tafsir Aisar at- Tafasir 4 : 290.

6. KITAB FIQH AL-UMM ditulis oleh al-Imam Muhammad bin Idris asy-Syafi’i رحمه الله , ulama besar di dalam fiqh yang menjadi anutan para ulama lainnya. Purdah di antaranya disinggung di dalam:

a. Al-Umm Kitab Thoharoh Bab Mengusap Kepala :

“(Berkata asy-Syafi’i  ”Dan ketika Allah membolehkan mengusap kepala saja (adalah Rasulullah benar-benar melepas serbannya) maka hal ini sudah cukup tegas menunjukkan bahawa mengusap kepala itu dilakukan tanpa mengusap serban. Dan aku menyukai bila seseorang itu mengusap serbannya beserta kepalanya. Dan jika meninggalkan hal itu maka tidak mengapa. Namun jika ia mengusap serbannya saja tanpa kepalanya maka tidaklah sah wuduknya. Hal ini seperti hanya mengusap BURQA (purdah) saja, atau kedua sarung tangan saja tanpa mengenai wajahnya dan kedua hastanya maka tidak sah wuduknya.” < 6 >


Adanya perkataan al-Imam asy-Syafi’i رحمه اللهtentang burqa (purdah) dan sarung tangan sudah cukup untuk menunjukkan bahawa menutup muka dan sarung tangan telah menjadi kebiasaan wanita muslimah pada masa itu.

b. Al-Umm Kitab Haji Bab Pakaian Apa yang Dipakai Seorang Perempuan :

“Perbedaan antara perempuan dengan laki-laki di dalam ihram adalah perempuan pada wajahnya dan laki-laki pada kepalanya. Laki-laki boleh menutup wajahnya setiap saat tanpa ada hal darurat, akan tetapi hal ini terlarang bagi perempuan”.

“Adapun seorang perempuan (dalam ihram) bila wajahnya dalam keadaan terbuka dan ia ingin menutupinya dari manusia; maka hendaknya ia menurunkan jilbabnya atau sebagian kerudungnya atau kain lainnya dari pakaiannya dari atas kepalanya ke depan wajahnya (tidak menempel) sehingga MENUTUPI WAJAHNYA seperti penutup pada wajah namun tidak seperti niqob (yang menempel pada wajah). ” < 7 >

Kita tahu bahawa di dalam ihram wanita tidak boleh menutup mukanya sehingga kebanyakan ulama berpendapat, wanita yang ihram wajib membuka wajah dan tangannya. Larangan ini juga mengindikasikan bahawa menutup wajah telah menjadi kebiasaan dan kewajaran bagi wanita muslimah pada masa Nabi .

Namun demikian, anehnya Imam asy-Syafi’i رحمه الله tetap membolehkan wanita menutupi wajahnya dari pandangan laki-laki bila dikhawatirkan terfitnah syahwat dengan cara wanita itu menutupi wajahnya dengan jilbabnya, kerudungnya atau kain dari pakaiannya di depan mukanya (tidak ditempelkan ke wajahnya).

Larangan yang keras tidak dapat digugurkan dan dilanggar kecuali dengan perbuatan penentang yang kekuatan hukumnya sepadan dengan larangan itu.  Sedangkan perkara yang wajib tidaklah dapat dilawan kecuali dengan perkara yang wajib pula. Maka kalau bukan kerana kewajiban menutup wajah bagi wanita, nescaya tidak boleh meninggalkan kewajiban ini (yakni membuka wajah bagi wanita yang ihram). < 8 >

7. KITAB FIQH KIFAYATUL AKHYAR ditulis oleh al-Imam Taqiyuddin Abu Bakr bin Muhammad al-Husaini al-Hisni ad-Dimsyaqi asy-Syafi’i رحمه الله , seorang ulama’ masyhur mazhab Syafi’i .

Kitab fiqh Kifayatul Akhyar ini digunakan di hampir seluruh dunia, di seluruh daerah dan pondok-pondok pesantren di Indonesia sejak dahulu. Pembahasan purdah sentiasa menghiasi kitab ini ketika membahas tentang aurat wanita; di antaranya:

a.  Pada Kitab Shalat Bab Syarat-Syarat Shalat Sebelum Mengerjakannya, iaitu :

“{Dan menutup aurat dengan pakaian yang suci, dan berdiri di tempat yang suci}. –

Adapun perkara pakaian dan tempat harus suci dari najis, telah diterangkan sebelumnya. Adapun menutup aurat hukumnya wajib secara mutlak bahkan di tempat sepi sekalipun, menurut pendapat yang kuat. . . .

Bagi wanita hukumnya WAJIB dia mengenakan PENUTUP MUKA (purdah), kecuali jika berada di dalam masjid. Jika di masjid itu banyak laki-laki yang tidak mau menjaga matanya dari melihat wanita dan dikhawatirkan dapat menarik kepada kerosakan maka wanita itu HARAM MEMBUKA WAJAHNYA .

Dalam hal ini banyak sekali wanita yang membuka penutup wajahnya terutama di tempat-tempat ziarah seperti di Baitul Maqdis,-semoga Allah menambah kemuliaannya-, maka perbuatan semacam itu (membuka wajah) harus dijauhi.”
< 9 >

b. Pada Kitab Haji Bab Hal yang Haram di Dalam Berihram, yaitu :

“Dan diharamkan atas orang yang berihram melakukan 10 perkara, yaitu (1) memakai pakaian yang berjahit, (2) menutup kepala bagi laki-laki dan (3) menutup muka bagi wanita.

“… dan itu semua bagi laki-laki, adapun wanita, maka hukum wajahnya sama dengan hukum kepala bagi laki-laki. Wanita boleh menutupi seluruh badannya dan kepalanya dengan pakaian yang berjahit.

Dan juga bagi wanita agar MENUTUPI WAJAHNYA dengan kain atau secebis kain, dengan syarat kain tersebut tidak menyentuh mukanya. Baik menutupi wajahnya itu kerana suatu hajat, seperti kepanasan, kedinginan, atau karena takut terjadi fitnah (syahwat) dan lain-lain ataupun juga tanpa sebab hajat apapun.” < 10 >

Kita tahu bahawa di dalam ihram wanita tidak boleh menutup mukanya. Larangan ini mengindikasikan bahawa menutup wajah telah menjadi kebiasaan dan kewajaran bagi wanita muslimah pada masa Nabi.  Namun demikian para ulama tetap membolehkan wanita menutup wajahnya sebagaimana tertulis di dalam kitab Kifayatul Akhyar ini.

Hal ini berdasarkan hadith dari Aisyah رضي الله عنها yang tertulis di dalam Musnad Ahmad 6/22894 dan Sunan Abu Dawud Kitab Manasik Bab Wanita Ihram Menutup Wajahnya, berikut ini:

“Para pemandu kenderaan biasa melewati kami, di saat kami (para wanita) berihram bersama-sama Rasulullah.  Maka jika mereka mendekati kami, salah seorang di antara kami menurunkan jilbabnya dari kepalanya kepada wajahnya. Jika mereka telah melewati kami, kami membuka wajah.” < 11 >

8.  KITAB FIQH FATHUL QARIB ditulis oleh al-Imam al-Alaamah as-Syaikh Syamsuddin Abu Abdillah Muhammad bin Qasim asy-Syafi’i رحمه الله, seorang ulama’ masyhur mazhab Syafi’i .

Kitab Fiqh Fathul Qarib ini adalah kitab fiqh kecil yang digunakan di hampir seluruh dunia, di seluruh daerah dan pondok-pondok pesantren di Indonesia sejak dahulu. Purdah menghiasi kitab ini ketika membahas tentang aurat wanita; di antaranya :

a. Pada Kitab Shalat Pasal Syarat-Syarat Shalat Sebelum Mengerjakannya , yaitu

“Aurat perempuan merdeka DI DALAM SHALAT, yaitu sesuatu yang ada selain dari WAJAHNYA dan KEDUA TELAPAK TANGANNYA, baik bagian atas ataupun dalamnya sampai kedua pergelangannya. Adapun auratnya perempuan yang merdeka DI LUAR SHALAT ialah SELURUH BADANNYA dan di tempat sunyi auratnya sama dengan laki-laki.” < 12 >

b. Pada Kitab Shalat Pasal Perkara-Perkara yang Berbeda di Dalam Shalat antara Laki-Laki dan Perempuan.

“(Seluruh badan perempuan merdeka adalah aurat KECUALI WAJAH dan TELAPAK TANGAN). Ini adalah aurat perempuan DI DALAM SHALAT. Sedangkan aurat perempuan merdeka DI LUAR SHALAT ialah SELURUH BADANNYA.” < 13 >

RUMUSAN

Sebenarnya bila kita teliti satu persatu di dalam kitab-kitab yang telah disebut di atas, kita akan dapati lagi terminologi purdah di dalam bab-babnya dan fasal-fasalnya.

Selain itu masih banyak lagi  kitab-kitab para ulama yang membahas masalah purdah, seperti di dalam kitab Raudhah ath-Thalibin oleh Imam an-Nawawi, Shahih Bukhari, Shahih Muslim, Fathul Bari oleh Ibnu Hajar al-Asqalani, Bulughul Maram, Naylul Authar, Jami’ Ulum wal Hikam, Tafsir al-Qurthubi dan sebagainya.  Namun pastilah akan berlembar-lembar bahkan ribuan lembar bila seluruhnya harus ditulis di sini.

Dari penjelasan kitab-kitab di atas kita tahu bahawa tidak ada satu pun dari para ulama yang mencela, menuduh ataupun menganggap bahawa purdah adalah barang baru (bid’ah), aliran sesat bahkan justeru yang ada adalah sebaliknya: purdah telah dicontohkan para isteri Nabi dan perempuan muslimah di zaman Nabi.

Bila kita perhatikan tampaklah bahawa para ulama tafsir dan ulama mazhab Syafi’i telah memberikan status hukum purdah dari sesuatu yang wajib hingga mandub (dianjurkan). Bahkan bila dikhuatirkan terjadi fitnah syahwat maka cenderung mewajibkannya walaupun dalam keadaan wanita itu sedang berihram.
Oleh kerana itu jika telah diketahui kedudukan purdah di dalam Islam ini namun ternyata masih ada orang yang bersikap sinis, mencela, memperolokkan, melarang atau menuduh aliran sesat maka ketahuilah bahawa orang tersebut adalah orang yang hatinya kotor, picik, sempit dan dengki terhadap Islam. Allah berkata melalui surah Al-Baqarah ayat 10,

“di hati mereka ada penyakit, lalu Allah tambah penyakitnya; dan bagi mereka siksa yang pedih, disebabkan mereka berdusta”

13. yang apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami, ia berkata: “Itu adalah dongengan orang-orang yang dahulu”
14. sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka.

(Al-Muthaffifiin: 13-14)

Bahkan mereka selalu memperolok orang beriman yang mengamalkan syariat Islam.  Allah berkata,

29. Sesungguhnya orang-orang yang berdosa, adalah mereka yang mentertawakan orang-orang yang beriman.
30. dan apabila orang-orang yang beriman berlalu di hadapan mereka, mereka saling mengedip-ngedipkan matanya.
31. dan apabila orang-orang yang berdosa itu kembali kepada kaumnya, mereka kembali dengan gembira.
32. dan apabila mereka melihat orang-orang mukmin, mereka mengatakan: “Sesungguhnya mereka itu benar-benar orang-orang yang sesat”,
33. Padahal orang-orang yang berdosa itu tidak dikirim untuk menjadi penjaga bagi orang-orang mukmin.
34. Maka pada hari ini, orang-orang yang beriman mentertawakan orang-orang kafir,
35. mereka (duduk) di atas dipan-dipan sambil memandang.
36. Sesungguhnya orang-orang kafir telah diberi ganjaran terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan.

(Al-Muthaffifiin : 29-36)

Maka dari itu hendaklah setiap orang berhati-hati di dalam bertindak dan bersikap sehingga tidak melakukan pelarangan, tuduhan atau celaan dengan tanpa ilmu.  Kerana bisa terjadi yang dilarang, dituduh dan dicela itu adalah ajaran agama kita sendiri yang telah disyari’atkan oleh Allah dan RasulNya .

63. Maka hendaklah orang-orang yang menyalahi perintah Rasul takut akan ditimpa cobaan atau ditimpa azab yang pedih.

(An-Nuur : 63)

Ingatlah, Allah senantiasa akan meminta pertanggungjawaban atas pendengaran, penglihatan dan hati kita,

36. dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta bertanggung jawab.

(Al-Isra” : 36)

Semoga kita senantiasa diberi petunjuk dan tambahan ilmu oleh Allah.  Semoga kita diberi kekuatan oleh Allah di dalam mengamalkan agama yang mulia ini sehingga senantiasa tegar di atas jalanNya dan tidak takut atau gentar terhadap celaan orang yang suka mencela.

Semoga Allah mengokohkan persatuan kaum muslimin sehingga tidak tercerai berai. Amin.

Selesai ditulis di Jakarta, pada hari Jumaat, 7 Dzulhijjah 1429 H / 5 Desember 2008.

Ummu Ashhama Zeedan (Mrs. Novita Kartikasari) < 14 >

RUJUKAN :

6. Al-Umm,.
7. Al-Umm,.
8. Lihat penjelasan Syaikh Muhammad bin Shalih Al-’Utsaimin , Risalah Al Hijab, hal 18-19, penerbit Darul Qasim.
9. Kifayatul Akhyar , Kitab Shalat
10. Kifayatul Akhyar , Kitab Haji B: 221-222.
11. HR. Ahmad 6 / 22894, Sunan Abu Dawud no.: 1835
12. Fathul Qarib : 13.
13. Fathul Qarib : 15.
14. Penulis adalah guru di Ar-Rahman Islamic School Cinere Depok


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~ ~~~

Banyak terjadi keluhan wanita yang sudah memakai purdah, dicemuh, dituduh baahwa apa yang ia lakukan itu salah dan lebih baik buka purdah dengan dalil bahawa jumhur ulama tidak mewajibkan purdah. Atau yang lebih menyinggung perasaan, dituduh merasa suci, dituduh paling benar dalam agamanya…..padahal yang saya tahu, wanita yang pakai purdah masih dalam tahap belajar mempraktikkan,…..belajar mengamalkan al Quran surah al Ahzab 59.

Memang dalam hal purdah, ada dua pendapat yang masing masing mempunyai hujah dan dalilnya sendiri.  Akan tetapi, bagi wanita yang sudah terbiasa memakai purdah, alangkah baiknya diberi tarbiyah tentang kesabaran dan kekuatan iman, bukannya dicemuh.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Ulasan yang bijak dan manusiawi dari Dr. Yusuf Al-Qaradhawi حفظه الله :

“Bahkan seandainya wanita muslimah tersebut tidak menganggap wajib menutup muka, tetapi ia hanya menganggapnya lebih wara’ dan lebih takwa demi membebaskan diri dari perselisihan pendapat, serta dia mengamalkan yang lebih hati-hati, maka siapakah yang akan melarang dia mengamalkan pendapat yang lebih hati-hati untuk dirinya dan agamanya? Dan apakah pantas dia dicela selama tidak mengganggu orang lain, dan tidak membahayakan kemaslahatan (kepentingan) umum dan khusus?

Sungguh menghairankan! Mengapa wanita-wanita yang berpakaian tetapi telanjang, yang berlenggang-lenggok dan bergaya untuk memikat orang lain kepada kemaksiatan dibebaskan saja tanpa ada seorang pun yang menegurnya? Kemudian mereka tumpahkan seluruh kebencian dan celaan serta caci-maki terhadap wanita-wanita berpurdah, yang berkeyakinan bahawa hal itu termasuk ajaran agama yang tidak boleh disia-siakan atau dibuat sembarangan?“

Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, Fatwa-Fatwa Kontemporer Jilid II, Pasal Apakah Memakai Purdah Itu Bid’ah? , Gema Insani Press, Depok, 2002.


Mendorong Anak Dengan Memuji

 

Entry kali ini sebenarnya merupakan sambungan kepada entry “Tip Mendorong Anak Menyahut Segera Panggilan Ibubapa”.  Namun teknik yang diaplikasikan merupakan perkara asas yang boleh diserapkan untuk mendidik perilaku baik yang lain juga.

 

Prinsip dan Teknik Islam diaplikasikan di Barat

Beberapa tahun yang lalu, seorang sahabat, Nikmah pernah membentangkan nota kuliah cara mendidik anak-anak di dalam usrah kami.  Kertas kerja itu didapatinya dari kursus yang dihadiri di UK dahulu.  Banyak prinsip dan teknik mendidik anak-anak yang diaplikasikan di sana rupa-rupanya berasal dari prinsip dan teknik Nabi Muhammad s.a.w dalam berkomunikasi sesama manusia.  Semasa Nikmah membentangkan, saya sudah nampak sedikit sebanyak prinsip dan teknik yang selari dengan ajaran Islam.

 

Selepas saya mengikuti kajian aplikasi Cikgu Khairulaniza dan juga Kajian Hadis Psikologi, lebih jelas diminda saya bahawa lebih banyak teknik yang mereka gunakan sebenarnya datang dari sunnah Nabi Muhammad s.a.w.  Subhanallah!  Inilah antara perkara yang pernah dipesan oleh Nabi Muhammad s.a.w,

الحكمة ضالة المؤمن فحيث وجدها  فهو  أحق  بها

Maksudnya: Kebijaksanaan (hikmah) adalah perkara yang hilang dari orang mukmin, maka di mana saja ia dapati, dia adalah orang yang paling berhak terhadapnya. (Direkodkan oleh Imam Tirmizi).

 

Salah satu teknik mendorong yang diberikan ialah teknik memuji kebaikan yang ada pada anak-anak.

 

Mendorong Anak Iltizam Dengan Kebaikan

[Iltizam:  Membiasakan diri atau melazimi]

Dalam entry lepas, saya menyatakan saya berusaha mengubah sikap menangguhkan permintaan anak kepada segera menyahut dan melayani keperluan mereka.  Penat memanglah penat.  Ini adalah kerana rutin seharian pun sudah cukup banyak yang hendak dibuat.  Ditambah pula permintaan mereka tidak berkala dan tidak mengira waktu.  Namun tatkala melihat hasilnya, memang berbaloi.  Alhamdulillah.  Inilah antara perjuangan para ibu di rumah.  Bukan mudah ya…

 

Selain berusaha menunjukkan contoh yang baik, saya juga memuji anak-anak sebaik sahaja mereka menunjukkan sikap yang baik.

 

Sebagai contoh:  “Bagusnya Aqil menyahut segera panggilan Ummi.  Ummi suka dan sayang Aqil.”

 

“Bagusnya Aqil” :  Perkataan memuji.

“Menyahut segera panggilan Ummi” :  Menyebut perbuatan yang dipuji agar dia tahu yang mana satu kebaikan yang telah dilakukan.  Seterusnya dapat mengulang-ulang perbuatan baik itu.

“Ummi suka dan sayang Aqil” :  Menyatakan impak dari perbuatan.  Kadang-kadang saya gosok kepalanya atau memeluknya.  Menggosok kepala atau pelukan merupakan ganjaran sosial.

 

Cabaran Utama

 

Cabaran utama buat ibu punya anak 6 seperti saya ialah untuk istiqamah memuji setiap kebaikan anak-anak.  Sementelah saya mengetahui teknik memuji ini selepas mempunyai  lima orang anak.   Tidak terkejar rasanya untuk mencari kebaikan dari setiap anak lantas memujinya.  Sering juga perbuatan baik mereka berlalu begitu sahaja tanpa apa-apa respon dari saya.

 

Bertuahlah mereka yang masih  baru menjadi ibu mendapat ilmu ini.  Bolehlah mereka terus mulakan dengan seorang anak.

 

Kesilapan Yang Harus Dielakkan.

 

Apabila kita berbicara tentang mendorong dengan memuji, maka perkara yang harus dielakkan ialah sifat berlawanan dengan memuji itu tadi.

 

Saya sedang memasak di dapur.  Tiba-tiba terdengar anak-anak berkelahi sesama mereka.  Pada masa itulah baru saya tinggalkan kerja memasak, lantas menuju ke tempat anak-anak bermain dan menegur perbuatan mereka berkelahi.  Selain menegur, saya juga marahkan mereka jika mereka masih terus berkelahi.

 

Kesilapan saya di sini ialah tatkala anak-anak bermain dengan baik, saya tidak segera memuji mereka.  Sebaliknya tatkala mereka berkelahi, saya boleh pula tinggalkan pekerjaan, datang kepada mereka, menegur dan memarahi mereka.  Secara tidak langsung, anak-anak memahami jika mahu dapatkan perhatian segera dari saya, mereka perlu berkelahi!

 

Fitrah anak-anak kecil mahukan perhatian lebih dari kedua orang tuanya.  Jadi untuk meraikan fitrah tersebut ke arah kebaikan, beri perhatian dan pujian tatkala mereka sedang lakukan kebaikan.

 

Apa yang pernah saya perolehi dalam usrah dahulu rupa-rupanya merupakan sunnah Nabi Muhammad s.a.w yang tidak menegur kesalahan, sebaliknya terus memberi penjelasan apa yang perlu dilakukan.

 

Penambah baikan Dalam Mendidik

 

Selepas memperolehi tip dari usrah, saya cuba aplikasikan teknik memuji anak semasa mereka lakukan kebaikan.

 

Anak-anak bermain dengan baik dan gembira.  Saya mendekati mereka lalu memuji, “Bagusnya anak-anak Ummi bermain dengan baik dan tidak berkelahi.  Macam inilah yang Ummi suka.”

 

Ringan Mulut dan Rajin Memuji

 

Teknik dan aplikasi yang dilaksanakan oleh Cikgu Khairulaniza dan Kajian Hadith Psikologi banyak membantu memotivasikan saya untuk meneruskan usaha mendidik yang baik ini.

 

Penerangan secara visual Cikgu Khairulaniza dan feedback yang diberikan Puan Ainon (Sifu penulisan saya) pada setiap entry beliau menambahkan lagi pencerahan ilmu psikologi yang digali dari sunnah Nabi Muhammad s.a.w.

 

Saya bertambah jatuh cinta dengan Nabi Muhammad s.a.w dan makin mendalam rasa sayang kepada Islam.

 

Indahnya Islam.

***********************************************

Ya Allah, ampunilah segala kejahilanku, maafkanlah segala kesilapanku dalam mendidik anak-anak serta tambahlah ilmu dan hikmah di dadaku.

Semoga Allah berikan sebaik-baik ganjaran kepada Cikgu Khairulaniza (yang saya panggil Kakza), Puan Ainon dan tim Kajian Psikologi Hadith di atas usaha mereka memandaikan bangsa.

 

Ummu Abbas

11.21pm

17 Rabiul Awwal 1433H

Melbourne

 

Jutaan Rakyat Syria Bersumpah Untuk Syahid!

Bismillah.

Kita panjatkan doa qunut nazilah untuk saudara-saudara kita di Syria. Semoga Allah terima amalan kita sebagai usaha membantu saudara-saudara kita yang teraniaya di sana.

Nu’man bin Basyir r.a melaporkan bahawa Nabi s.a.w. berkata:

“Kemesraan, kasih sayang, dan saling berbelas kasihan antara orang-orang beriman diibaratkan seperti satu jasad; apabila satu anggota mengadu kesakitan seluruh jasad akan turut serta berjaga malam serta merasa panas dan gelisah.”

Riwayat al-Bukhari dan Muslim

FATWA ULAMA SYRIA

Kenyataan ulamak terkenal Syria, Syeikh Muhammad Abul Huda Al-Ya’aqubi yang menyeru kebangkitan rakyat menentang kezaliman rejim Basyar:

Wahai rakyat Syria! Sesungguhnya rejim telah melakukan penyembelihan terbaru setiap hari di Homs dan di tempat-tempat lain yang dikepung, maka sudah sampai masanya untuk tidak harus kita duduk berdiam diri. Demikian itu kerana wajib kita membantu golongan yang lemah, mengharamkan mereka dari meneruskan pembunuhan, mempertahankan hak manusia. Ini kerana rejim hari ini sudah hilang kelayakan memerintah, maka kami mengeluarkan fatwa bahawa wajib bagi kita memikul senjata dan meniup semboyan bagi menghapuskan mereka yang membunuh secara berluluasa demi menyelamatkan nyawa-nyawa lelaki dan wanita, kanak-kanak dan warga tua di Homs, Zabdani, Dir Zur, Lazaqiyah, pinggir Halab dan semua bandar-bandar Syria. Ramai penduduk yang sudah disembelih, rumah-rumah dimusnahkan dan manusia yang dibunuh oleh skuad penembak. Oleh itu, kami mengeluarkan fatawa bahawa:

Pertama: Wajib bagi tentera dan polis rejim keluar dan menyelamatkan diri

Kedua: Wajib bagi pasukan tentera simpanan untuk menyertai tentera yang berpaling tadah dan tidak boleh bagi mereka menyertai tentera rejim. Wajib bagi rakyat memberikan bantuan sedaya mungkin kepada pasukan tentera yang berpaling tadah ini dari sudut perlindungan dan apa jua bantuan.

Ketiga: Wajib bagi para peniaga dan usahawan mengumpulkan sumbangan kewangan bagi membantu daerah yang dikepung.

Keempat: wajib bagi para ulamak dan khatib menyeru kepada kebangkitan selain mendirikan solat ghaib untuk roh mereka yang terkorban.

Kelima: Kami menyeru kepada penduduk Damsyik dan Halab menyertai kebangkitan ini

Keenam: Kami menyeru kepada para pegawai tinggi kerajaan, ahli-ahli politik dan pegawai diplomatik kerajaan untuk keluar dari pentadbiran rejim

PUISI UNTUKMU, SYRIA

Saudara-saudara Islamku di Syria,

Hatiku bersama hatimu
Jantungku berdegup bersama jantungmu

Aqidahku bersama aqidahmu
Tuhan kita hanya SATU… Allah!
Nabi untuk kita hanya satu…Muhammad s.a.w

Akhawatmu akhawatku
Ikhwanmu ikhwanku
Anak-anak lelakimu, anak-anak lelakiku
Anak-anak perempuanmu, anak-anak perempuanku
Ibubapa kamu, ibubapaku

Kita adalah satu jasad
Kita adalah satu ummah

Perjuangan kita hanya satu
Membebaskan bumi ini dari para taghut
Menyebar keadilan ke seluruh benua

Kutangisi pemergianmu
Namun
Aku berbangga
Sekaligus…
Aku cemburu
Menyaksikan impian Rasulullah s.a.w yang tidak tercapai
Dianugerahkan Allah buatmu

Itulah SYAHID.

Ya Allah,
Ampunilah segala dosa kami
Maafkanlah segala kelemahan kami
Dalam mentaatiMu

Ummu Abbas
1.26pm
21 Rabi’ul Awwal 1433H
Melbourne

Nasyid indah sempena kebangkitan rakyat Syria.