Archive | Mac 2012

Di Bumi Anbiya’, Memakai Purdah Adalah Mudah

Bismillah.

Di bawah ini merupakan sambungan entry, “Disambut Dingin Bayu Musim Luruh”. Juga sudah dibuat penambahan dari coretan asal.

Semoga bermanfaat.

Ummu Abbas
11.53pm
3 Jumadal 1 1433H

Melbourne.

~~~~~~~~~~~~~~~

Fesyen purdah yang dipakai kebanyakan muslimah Urdun aka Jordan

Sebelum bertolak ke Amman, Jordan, sempatlah juga berdepan dengan Surat Pekeliling yang melarang pelajar perempuan berpurdah di kawasan universiti.  Surat Pekeliling itu diedarkan ke Akademi Islam Nilam Puri waktu itu.   Terdetiklah, baru sahaja mula pakai purdah, ada-ada sahaja halangan dari pihak berkuasa.

Saya pakai macam biasa dan merasa bersyukur kerana dapat menyambung pelajaran ke Jordan pula.  Dapatlah saya mengelak dari tekanan tersebut.   Kalau tidak silap, ada seorang lagi senior yang berpurdah waktu itu.   Biliknya berselang satu dari bilik saya di Asrama al-Malik Khalid itu.

Agak pelik rasanya bila hukum berniqab disebut jelas di dalam kitab-kitab tafsir muktabar, tetapi pihak berkenaan boleh pula menghalang pemakaiannya di fakulti yang namanya disandarkan kepada Islam.  Sumber utama Islam itu pula ialah al-Quran.

Jika fakulti itu namanya Fakulti Pengajian Nasrani, mungkin ada munasabahnya larangan sebegitu.  Ataupun andainya fakulti itu memisahkan kawasan belajar untuk lelaki dan perempuan, maka wajarlah ditegah memakai niqab.  Memang ajaib jika muslimah berniqab di kawasan untuk perempuan sahaja.

Selepas saya ke Jordan, saya mendapat khabar ada beberapa orang lagi teman di AIUM yang memakai purdah.  Alhamdulillah, halangan manusia tidak dapat memadamkan hasrat sebilangan kecil wanita menambah ketenangan di dalam hati  dengan berpurdah.  Saya kagum dengan mereka kerana sanggup berhadapan tekanan penguasa universiti.

Okaylah… kita tinggal dulu bab-bab yang menyinggung perasaan dan menyekat kebebasan individu tersebut.  Kita menjelajah khabar menggembirakan hati pula.

Di Bumi Anbiya’, Memakai Purdah Adalah Mudah

Alhamdulillah, boleh dikatakan cabaran memakai purdah di sini hampir tiada.  Tiada larangan khusus dari kerajaan agar rakyatnya tidak memakai purdah, begitu juga dengan pihak universiti.  Meskipun kebanyakan wanita Islam Urdun sama seperti di Malaysia yakni tidak menghijab aurat mereka dengan lengkap namun ramai juga muslimah Urdun berniqab di dalam kawasan universiti dan juga di tempat umum.  Dapat dirasakan barakah para Nabi yang masih tersisa dari amalan ini.  Masyarakat mereka pun tidak pelik dengan para niqabi (pemakai purdah).

Dalam salah satu kelas yang saya hadiri pada semesta pertama,  seorang pelajar Arab memakai tudung labuh hitam dan niqab hitam duduk di sebelah saya.  Nama dia Abeer Bisyuni.  Dialah rakan Arab pertama saya di sana.

Ada dua perkara yang saya tidak dapat lupakan mengenai Abeer.  Pertama ialah satu ketika, di hadapan satu dewan kuliyah, saya ingin berbicara dengannya.  Tiba-tiba Abeer menarik tangan saya agar beredar agak jauh dari kawasan itu.  Ia disebabkan di kawasan yang kami berdiri tadi ramai pelajar lelaki.   Saya memahami tindakannya dan amat menghargai sikap ambil berat ‘Abeer dalam hal begini.

Benar, kurang manis kita bercakap-cakap di tengah khalayak lelaki ajnabi walaupun sesama wanita.  Lainlah jika ada keperluan berbuat demikian.  Selagi boleh, elakkan suara kita kedengaran pada lelaki ajnabi selama mana tiada keperluan.  Pada asasnya, suara wanita bukan aurat.  Ia menjadi aurat tatkala dilunakkan dan dimerdukan sebagaimana pesanan Allah dalam surah al-Ahzab ayat 32.  Lazimnya, bila kita berbual sesama wanita, nada suara  lebih lembut dan lenggok bercakap juga lebih mesra.  Perkara beginilah yang ingin kita elakkan daripada sampai ke pengetahuan ajnabi.

Salji di Jordan.

Perkara kedua yang masih diingati ialah tatkala kali pertama melihat salji turun yakni dalam kampus.  Masya Allah, ia bagaikan kapas yang lembut membuai turun dengan perlahan menyelimuti bumi.  Dalam perjalanan menuju asrama tempat tinggal Abeer, kami berjalan bersama-sama.  Sambil berjalan kami bermain salji.  Abeer turut kelihatan ghairah menyepak-nyepak salji dengan kasutnya.

“Ini kali pertama saya melihat salji kerana di Malaysia tiada salji,” ujar saya.

“Oh… saya juga kali pertama melihat salji,” beritahu Abeer dengan nada girang.

“Eh… Apa maksud awak… bukankah awak berasal dan tinggal di sini?”

“Di Aqabah lebih panas dan tiada salji turun di sana”.

“Oh begitu rupanya”.

Aqabah ialah kawasan pantai yang terletak kira-kira 336km dari Amman.  Pada masa itu, saya belum lagi melawat Aqabah.

Disambut Dingin Bayu Musim Luruh

Bismillah.

 

Di bawah adalah sebahagian catatan buku Travelog Muslimah yang dalam proses pembikinan dengan sedikit penambahan.   Penambahan adalah khusus untuk perkongsian bersama pembaca blog.  Moga bermanfaat kepada sesiapa yang memerlukan.

 

Ummu Abbas

2 Jumada 1 1433H

6.57pm

Melbourne

~~~~~~~~~~~~~~~~~~

 

Disambut Dingin Bayu Musim Luruh

 

Terasa sepoi-sepoi bahasa kedinginan bayu musim luruh menyapa wajah di sebalik purdah sebaik menjejakkan kaki di Amman. Nasib baik pakai purdah, kedinginan kurang menyengat kulit wajah.  Ini kali pertama menjejakkan kaki ke sebuah benua para rasul dan nabi.  Ketibaan di Amman disambut oleh kakak-kakak senior.  Semuanya berjubah dan bertudung labuh.  Alhamdulillah, sejuk mata memandangnya.

 

Pelajar baru perempuan diraikan kakak-kakak.  Manakala pelajar baru lelaki disambut abang-abang.  Suasana pergaulan terkawal.  Batas ikhtilat antara lelaki dan wanita dapat dijaga.  Hati kami juga menjadi tenang.  Ketenangan akan terlimpah di sanubari jika sempadan-sempadan Allah dapat dijaga.  Sempadan atau hudud Allah ialah perkara yang diharamkanNya.

 

Perjalanan dengan bas dari Lapangan Terbang Queen Alia ke penempatan pelajar di bandar Amman kira-kira 45 minit.  Pemandangan di sepanjang jalan nyata jauh berbeza dari Malaysia.  Jika di Malaysia, suasana menghijau menguasai suasana.  Di sini, padang pasir nan tandus menjadi santapan mata.  Secara zahirnya ia agak menjemukan.  Namun saya percaya sejuta hikmah tersembunyi di sebaliknya.

 

Taklimat ringkas kepada pelajar baru diberikan di dalam bas.  Satu ketika, seorang pelajar baru lelaki diminta berucap.  Saya masih ingat antara ungkapan indah pelajar tersebut, “Antara perkara menarik buat saya di sini ialah jika dulu, kita hanya membaca mengenai buah Tin dan Zaitun di dalam al-Quran.  Maka hari ini, saya berasa gembira kerana berpeluang melihat buah yang disebut al-Quran itu di depan mata”.

 

Subhanallah dan alhamdulillah.  Segala syukur hanya untukNya yang memberi rezeki kami memijakkan kaki di Bumi Anbiya’.  Sebelumnya, kami hanya belajar sejarah para nabi dan rasul di sekolah atau menatapnya lewat tulisan yang digarapkan di dalam buku-buku.  Sekarang kami berpeluang merasai suasana geografi dakwah para rasul dan nabi ribuan tahun yang lampau.  Bentuk muka buminya sahaja tampak ada unsur mendidik jiwa serta melatih jasmani menjadi tahan lasak.

 

Kelihatan pintu rumah ke Bait Mubarak. Bait Mubarak terletak di atas kedai. Dulu tiada kedai di bawahnya. Foto ihsan YB Ustaz Ahmad Baihaki.

Hampir memasuki Amman, baru kelihatan rumah-rumah pejal berbentuk kotak.  Semua bangunan dibina daripada batu-batu konkrit.  Tiada rumah kayu seperti yang masih banyak terdapat di kampung. Pelajar baru ditempatkan sementara di rumah senior.  Saya bersyukur kerana ditempatkan di rumah senior satu sekolah dahulu, Kak Nik Farhan namanya.  Sekarang Kak An menjadi pensyarah di Universiti Putra Malaysia.

 

Kedinginan beransur menghilang tatkala menyantap hidangan panas dan lazat masakan kakak-kakak.  Rumah pertama yang menyambut saya ialah Bait Mubarak yang terletak di Sweileh.

 

Bait Mubarak bermaksud ‘Rumah yang diberkati’ merupakan nama rumah tersebut.  Menjadi kebiasaan pelajar Malaysia di sana memberi nama rumah agar mudah dikenali.  Kampung ”Sweileh’ pula merupakan isim tasghir dari perkataan ‘soleh’.  Maksudnya Kampung ‘Orang-orang Baik’.

 

 

 

Mencari Rumah Sewa di Melbourne

Artikel di bawah ialah yang disiarkan di dalam Era Muslimah bil 2.  Sudah diedit dan ditambah dari yang asal.

Ummu Abbas

27 Rabi’ 2 1433H/19 Mac 2012

Melbourne.

Penginapan 'homestay' kami sementara mencari rumah sewa.

Mencari Rumah Sewa di Melbourne

Bismillahirahmaanirrahiim.

“Berjalan bermusafirlah.

Melihat keagungan Allah.

Meninjau menitilah. Rahsia ciptaan Allah,”  senikata lagu itu masih terngiang-ngiang di telinga.

Jika bermusafir untuk sementara sahaja mengundang banyak kelelahan, pengorbanan masa dan wang, inikan pula berpindah tempat bermastautin.  Tempat baru yang bakal didiami nun beribu batu jauhnya, melangkau benua dan lautan.  Kaedah atau prosedur mendapatkan rumah sewa juga berbeza dari Malaysia.  Kami menyelidik laman web agen perumahan dan hartanah seperti Real Estate dan Domain bagi melihat lokasi, kadar sewa dan spesifikasi rumah.  Selain itu, tarikh ‘inspection’ diberikan.  Selepas memilih rumah, perlu hubungi wakil agen dan maklumkan tarikh pilihan untuk melihat rumah dari dekat.

Di Australia, penyewa wajib hadir sendiri ke rumah sewa untuk buat ‘inspection’.  Selepas memeriksa keadaan rumah dan bersetuju dengan kondisi yang ada, kami perlu mengisi borang.  Antara maklumat yang perlu dinyatakan ialah anggaran sewa yang mahu dibayar, bilangan penghuni dewasa dan kanak-kanak, slip simpanan wang dalam bank dan pendapatan bulanan.  Agen akan memaklumkan jika tuan rumah bersetuju menerima kita sebagai penyewa.  Jika tuan rumah tidak bersetuju, mereka tidak akan menghubungi kita.  Ringkasnya, tidak boleh mewakilkan orang lain untuk tolong sewakan rumah sebelum kita sendiri sampai ke Australia.

Antara jenis rumah moden di Melbourne. Kebanyakan rumah di sini memiliki landskap menarik walaupun lamannya terhad.

Alhamdulillah, hari pertama sampai di Melbourne, kami melihat sebuah rumah yang sudah ditempah sejak di Malaysia.  Rumah tersebut mempunyai 3 bilik dan benar-benar di hadapan sekolah.  Ada beberapa orang lagi yang turut melihat bersama kami.  Jika ramai pemohon, kita perlu ‘mark-up’ kos sewa yang diberikan andai benar-benar berhajatkan rumah tersebut.

“Kamu anak ramai.  Lebih baik usahakan rumah yang mempunyai laman yang luas”.

Itulah rasional penolakan diberikan oleh wakil agen.  Rupa-rupanya, warga Australia mementingkan keselesaan seluruh penghuni rumah.  Apakan daya walaupun kami tidak berkira soal laman itu.

Lazimnya, ‘landlord’ agak berkira dengan jumlah anak penyewa.  Antara faktor utama ialah kerana mahu menjaga rumah agar sentiasa berkeadaan baik sehingga tamat tempoh menyewa.

Oleh sebab itu, kami dinasihatkan oleh kawan-kawan post-grad agar mengisi jumlah anak maksimum 3 orang anak sahaja.  Boleh dikatakan hampir semua pelajar post-grad yang memiliki anak melebihi 3 orang (kebanyakannya 4 orang) akan mengisi jumlah anak seramai 3 orang di dalam borang permohonan.  Dalam keadaan kami mengisi 3 orang anak pun, agak sukar mendapatkan rumah sewa di sini.

Dek kerana tidak biasa berbohong, semasa mengisi 3 orang anak, kami niatkan 3 anak yang bersekolah sahaja.  Itu dianggap berhelah, bukannya bohong hidup-hidup.  Lagi pun, soalan dalam borang itu dari sudut bahasanya soalan berbentuk umum.  Pada masa itu memang anak kami 3 orang yang sudah bersekolah.  Dua lagi belum.  Sekarang sudah bertambah seorang, jadi 6 orang semuanya.

Jenis rumah ini dipanggil unit di sini. Ia berkembar dengan rumah-rumah lain. Di Malaysia dipanggil rumah teres.

Hari pertama di Melbourne, kami tinggal di Malaysia Hall namun melihatkan suasana yang ada tidak mesra keluarga dan kanak-kanak, kami memutuskan berpindah ke ‘homestay’.

Homestay ialah rumah pelajar Malaysia yang pulang ke Malaysia dalam tempoh yang pendek atau panjang.  Biasanya mereka pulang untuk mengumpul data-data kajian.  Pada masa itu, kami mempunyai 3 pilihan homestay.  Atas nasihat kawan, kami bersetuju tinggal di rumah satu famili yang mempunyai 4 orang anak.  Benar, rumah tersebut sesuai dengan kondisi kami.  Mempunyai 3 bilik dan laman belakang yang luas untuk anak-anak bermain.  Kereta tuan rumah jenis wagon 7 tempat duduk itu juga termasuk dalam pakej.  Alhamdulillah, ia memudahkan urusan kami.

Pada masa itu, musim dingin dan bulan Ramadan.  Musim dingin siangnya pendek.  Jam 5 lebih sudah waktu berbuka.  Masa ‘inspection’ rumah pula lazimnya setiap Sabtu antara jam 5 hingga 6 petang.  Jadi sering juga kami berbuka di atas kereta dek kesuntukan waktu.  Kadang-kadang kita boleh buat ‘inspection’ pada hari bekerja tetapi perlu buat permohonan melalui agen.  Wakil agen akan datang membawa kunci rumah.

Minggu-minggu pertama di Melbourne itu, urusan seharian tertumpu pada mencari rumah; melawat laman web agen perumahan, menanda pilihan dan buat temujanji untuk melihat rumah.  Banyak juga rumah yang kami tidak berkenan.

Tuan rumah ‘homestay’ menawarkan rumah mereka untuk kami ambil alih. Ini salah satu cara mudah mendapatkan rumah di Melbourne. Oleh kerana rumah jenis ‘weatherboard’ itu sangat sejuk, tiada ‘ducted heating’ dan juga agak gelap, kami menolak tawaran tersebut.

Anak-anak sedang berkelah di belakang rumah.

Bagi sesetengah orang, mencari rumah sewa di Melbourne ini bagai satu igauan ngeri; memenatkan dan urusan yang cerewet.  Sambil mencari, kami tidak putus berdoa agar Allah permudahkan urusan, “Ya Allah, berikanlah kami rumah yang baik dan jiran yang baik”.

Bukan mudah membuat keputusan memilih rumah di rantau orang begini.  Jika negara umat Islam pun, kita harus memilih jiran, inikan pula negara non muslim.  Lokasi sekolah, tempat membeli-belah dan lain-lain prasarana, kita mudah lihat secara zahir jaraknya dari rumah. Namun jiran-jiran di sebelah, tiada siapa yang tahu dan kenal.  Kita boleh merisik jika ada kenalan di kawasan tersebut. Jika tiada kenalan, hanya kepada Allah kita mampu memohon petunjuk.

Seperkara lagi, kami mahu mengelak berpindah banyak kali akibat memilih rumah yang tidak sesuai sejak dari awal.  Kurang berpindah memberi erti menjimatkan tenaga, masa dan wang. Itulah yang kami lakukan sejak di Malaysia dan Allah perkenankan hasrat kami.  Segala puji bagiMu ya Allah.

Ada pokok ros pelbagai warna di halaman rumah. Salah satunya ros oren ini.

Berkat Silaturrahim

Alhamdulillah, ada beberapa kenalan lama dan baru yang membantu suami meninjau rumah.  Inilah berkat silaturrahim kerana Allah yang dijalinkan seawal tiba di Melbourne.  Para pelajar post-grad di sini solat terawih berjemaah secara bergilir-gilir rumah.  Suami pula aktif mengikutinya.  Jadi dia mudah mendapat kawan dari program tersebut.  Benarlah sabda Nabi s.a.w yang mengatakan, “Sesiapa yang suka agar dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan usianya, maka hendaklah ia menyambung tali silaturrahim.” Hadis direkod oleh Imam Bukhari.  Pertolongan manusia adalah sebahagian dari rezeki.

Lambaian akhir Ramadan menggamit pergi.  Seorang ustaz yang menolong suami berkata, “Sebaiknya, tinggal di rumah sendiri hari raya nanti”.  Tuan rumah ‘homestay’ pula berkata, “Tinggallah lagi di situ.  Kami lambat lagi pulang ke Melbourne”.  Saranan ustaz, kami terima dengan baik.  Kami juga sudah jemu mencari rumah selepas 3 minggu berada di sini.  Akhirnya, kami mendapat rumah idaman dengan harga yang diturunkan dari kadar yang ditawarkan.  Sudah menjadi rezeki kami, rumah banglo 3 bilik tidur itu berhalaman luas di bahagian belakang.  Alhamdulillah.

Selepas membuat keputusan, barulah kami tahu jiran di hadapan rumah merupakan satu famili pelajar post-grad Melayu.  Jiran sebelah kanan rumah, Muhammad berbangsa Arab Lubnan. Dia seorang mekanik yang mana rumahnya dijadikan bengkel kereta.  Ramai pelajar Malaysia suka mendapatkan khidmatnya dek sifatnya yang ramah dan mudah berkira.  Jiran sebelah kiri rumah berbangsa Inggeris warga Australia yang peramah dan suka menolong.  Jiran di belakang rumah berbangsa Greek dan Holand yang prihatin dengan keadaan rumah kami.

Selain jiran yang baik, kami dapati banyak lagi kemudahan berhampiran rumah yang tidak terfikir pun sebelum ini.  Kedai buah, sayur dan barang runcit milik muslim Arab Lubnan yang menawarkan harga yang lebih murah dari kedai-kedai biasa, kolam renang yang mempunyai jadual khusus untuk wanita, masjid yang diuruskan kumpulan tabligh, klinik yang mempunyai doktor muslimah dan banyak lagi.

Laman Klinik Dr Luma (Doktor muslimah) iaitu klinik berhampiran rumah kami. Kira-kira 2km dari rumah.

Rasulullah s.a.w berkata, “Empat perkara yang membawa kebahagiaan; wanita yang solehah, rumah yang lapang, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa”.

-         Direkodkan oleh Ibn Hibban

Travelog Iman 1 – Pra ke Melbourne

Bismillah.

Kewajiban lebih banyak dari waktu yang ada.

Di bawah adalah artikel saya yang disiarkan di dalam Majalah Era Muslimah keluaran sulung.

Ladang gandum di Victoria.

Travelog Iman 1

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah yang menggerakkan ilham untuk menulis.  Dari menulis blog, menjadi penulis buku.  Selepas menulis buku, dilamar menulis untuk sebuah majalah yang diminati sejak remaja.

Tiada siapa menyangka, suatu hari nanti, saya akan menulis di sebuah majalah yang dahulunya dicari setiap bulan.  Saya menabung sendiri untuk membeli beberapa majalah kesayangan.  Biasanya saya mencari sesuatu yang dapat mendekatkan diri kepada Pencipta.  Baru terasa berbaloi berhabisan wang kerananya.  Jadi, untuk sedikit ‘makanan rohani’ yang dapat memberi kesegaran kepada jiwa, saya tidak sayangkan duit!  Sama seperti saya melaburkan sedikit wang untuk mengisi perut yang lapar dan menghilangkan dahaga.  Apa yang sering difikirkan ialah mahu melakukan sesuatu yang menguntungkan dunia dan akhirat.  Segala puji bagi Allah di atas taufik, hidayah dan inayahNya.

Tahniah diucapkan kepada penerbit dan semua staf yang menjayakan majalah Era Muslimah yang diberi nafas baru ini.   Ia sesuai dengan fitrah manusia yang bersifat dinamik, progresif dan anjal.  Semoga Allah memanjangkan kalimah hak melalui medium majalah ini ke segenap rumah penghuni di Malaysia tercinta ini.

Pra travelog ke Melbourne

Ogos 2010, tersurat sudah untuk saya sefamili menyambut Ramadan dan Eidul Fitri di Melbourne.  Langkah ke Melbourne bermula dengan separuh hati.  Sementelah saya pernah bermastautin di Sydney hampir 3 bulan pada tahun 2007.  Tahun tersebut masih hangat dengan isu Imam Masjid Lakemba mengumpamakan wanita yang mendedahkan auratnya ibarat daging yang terdedah.  Saya pernah melihat satu rancangan televisyen yang mempersendakan imam tersebut.

Saya punya persepsi negatif kepada mana-mana negara non-muslim disebabkan permusuhan mereka terhadap Islam dan umat Islam.  Meskipun negara mereka diwar-warkan sebagai negara maju dan ramai manusia terpesona dengan negara-negara barat, namun tidak begitu untuk diri saya.  Sebagai seorang yang suka mengembara, senarai negara-negara barat seperti Amerika, United Kingdom, Perancis dan lain-lain tidak termasuk dalam perancangan untuk saya melawatnya kecuali dengan satu sebab; yakni menyampaikan dakwah kepada mereka.

Hanya satu negara Eropah yang saya pernah bercita-cita melawatnya semasa belajar di Jordan yakni Sepanyol.  Ini adalah kerana Sepanyol merupakan bekas daulah Islam yang dulunya bernama Andalusia.  Saya juga belajar mengenai kesenian pada binaan tamadun Islam.  Salah satu binaan bersejarah Islam ialah Istana al-Hambra yang terletak di Granada.  Sebuah lagi negara non muslim yang saya bercita-cita menjejakinya ialah China disebabkan tamadunnya yang berkait rapat dengan Islam.  Alhamdulillah, kami sefamili direzekikan Allah melawat Beijing pada Februari 2010.

Kemajuan yang mengagumkan

Menyambut usia baligh dengan memahami pengertian syahadah La ilaha Ilallah, Muhammad Rasulullah, pemikiran saya dibentuk untuk mengagungkan sesuatu yang bernilai di sisi Allah dan RasulNya serta memandang rendah sesuatu yang tidak mendapat nilaian di sisi Allah dan RasulNya.

Al-insan madaniyyun bit tab’i’- Kata-kata Ibnu Khaldun ini memberi pengertian secara zahirnya fitrah manusia itu suka maju dalam apa jua bidang.  Ia bererti manusia tidak perlu diajar-ajar untuk memperbaiki gaya dan taraf hidup mereka atau diberi kuliah untuk membina peradaban.  Mereka akan berusaha sendiri.  Inilah yang antara maksud sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud, “Kamu lebih mengetahui urusan duniamu” [Hadis direkod oleh Muslim].  Berbeza dengan kemajuan pegangan hidup, spiritual dan akhlak, tanpa agama, manusia akan terkapai-kapai dalam kegelapan.

Benar sekali, jika kita mahu berbangga dengan pelbagai teknologi moden, teknologi sering berubah dan berkembang sejak zaman nabi-nabi terdahulu.  Namun semua teknologi itu tidak berjaya menjadi pemangkin memajukan akhlak manusia.  Bahkan ramai dari kalangan umat terdahulu tersungkur kehinaan bersama teknologi yang dibanggakan. Apa yang dicari oleh insan yang bermaruah serta bernilai tinggi ialah manusia-manusia yang tenang jiwanya, baik pengabdiannya kepada Allah dan indah akhlaknya.  Kemajuan insan inilah yang sentiasa diintai oleh saya.

Begitu anggun seorang insan yang mahir teknologi multimedia menggunakan kemahirannya mengajak manusia ke jalan Allah.  Tiba waktu solat, terus ke masjid mendirikan solat berjemaah, menghormati kedua ibubapa dan berlaku ihsan pada anak isteri.

Begitu agam sebuah bangunan pencakar langit yang di dalamnya sunyi dari bar-bar, kelab malam, arak, zina, pelacuran,  pendedahan aurat penghuninya dan rasuah.  Sebaliknya dimakmurkan dengan seminar-seminar ilmu yang mendekatkan diri kepada Allah atau untuk maslahah umum, perniagaan yang diasaskan atas prinsip muamalat Islam, para pengunjung yang memelihara aurat, tidak ber’couple’ dan sebagainya.

Justeru itu, peradaban barat yang menyaksikan runtuhnya nilai manusia tidak menarik perhatian untuk saya hidup bersamanya.

Musim Bunga di Melbourne

Travelog iman dan taqwa 

Jika kembara ke Melbourne nantinya akan memberi impak positif kepada keimanan dan ketaqwaan saya dan keluarga, maka melangkahlah dengan hati yang tenang.  Itulah maksud sms (pesanan ringkas) seorang sahabat yang mengenali peribadi saya.  Tiada siapa yang mengetahui akibat kepada agama, dunia dan akhirat seseorang hasil sesuatu pekerjaan kecuali Allah jua.  Maka padaNya jua saya memohon petunjuk.

Selain itu, saya menggalas tanggungjawab yang besar sebagai isteri untuk menemani suami menyambung pelajarannya di peringkat PhD.  Juga sebagai ibu kepada 5 cahayamata amanah dari Allah.  Kami turut mengambil kira kondisi kesihatan orang tua.  Alang-alang mereka masih sihat serta masih ada adik-beradik lain yang mampu mengambil berat urusan mereka, peluang menambah ilmu dan pengalaman di hadapan mata harus direbut.  Lebih-lebih lagi, saya melihat bidang pengajian suami merupakan fardu ain ke atas dirinya dalam situasi yang ada sekarang.  Fardu ain kerana ia penting untuk umat Islam yakni mengusahakan vaksin yang halal.

Allah berkata di dalam Surah Muhammad, ayat 7 yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (ugama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.”

Ummu Abbas

22 Rabi’ 2 1433H

8.30pm

Melbourne 3046

Sembang Aqidah Dengan Anak-anak

Antara cabaran berada di Melbourne ini ialah memilih pendidikan agama terbaik untuk anak-anak.  Alhamdulillah, memang ada sekolah-sekolah Islam yang ditubuhkan oleh komuniti muslim di sini namun bayarannya sememangnya mahal untuk kami yang bukan warganegara.  Paling kurang perlu mengeluarkan belanja Rm15k setahun untuk seorang anak.

Kelas-kelas fardu ain hujung minggu juga ada namun setelah meneliti silibusnya, mengambil kira yuran bulanan serta waktu menghantar dan mengambil anak-anak pada hujung minggu, saya membuat keputusan untuk mengajar sendiri anak-anak di rumah.   Impaknya rutin bertambah padat dengan tugasan baru.

Jika di Malaysia, anak-anak dihantar ke sekolah agama sejak di sekolah rendah.  Memang banyak beban mengajar agama kepada anak-anak terangkat.  Tinggal lagi saya perlu memastikan ilmu itu dihayati dalam kehidupan seharian, bukan sekadar dihafaz dan dijawab di dalam peperiksaan sahaja.

Anak Sulung di Ambang Remaja

Tahun ini, anak sulung mula memasuki sekolah menengah.  Oleh kerana usaha  menghantar ke sekolah agama terhalang dek ketidak mampuan kami, maka saya semakin serius memikirkan cara mengajar anak-anak di rumah secara berkala dan tetap.   Sebelum ini saya meminta mereka membaca sendiri buku-buku teks agama sekolah SRI Aman dulu.  Selepas mereka membaca, saya meminta mereka menerangkan semula apa yang difahami dan bertanya apa yang tidak difahami.

Silibus pendidikan Tingkatan Satu sekolah Yayasan Islam Kelantan sudah pun berada di tangan, alhamdulillah.  Ia dipesan khas dari adik yang mengajar di sekolah kelolaan YIK.  Sebagai permulaan saya mahu ulangkaji dulu pelajaran lepas kepada Abbas dan Azzam.

Teks Aqidah

Saya memulakan dengan subjek Aqidah- intipati utama manusia dijadikan.  Teks panduan yang digunakan ialah Buku Aqidah Tahun 6 di SRI Aman (silibus MUSLEH).

Buku Aqidah Tahun 6 menjadi pilihan kerana tajuk permulaannya ialah pengertian kalimah Syahadah.  Dua orang anak lelaki menjadi murid. Yang sulung menginjak usia 13 tahun dan yang kedua, menginjak usia 12 tahun.

Kenapa Islam?

Sebelum mula memberi syarahan tajuk, saya mahu menguji kefahaman mereka berkenaan Islam secara umum dahulu.

Saya: Kenapa Abbas dan Azzam berada dalam agama Islam?

Abbas: Sebab Allah suruh.

(Azzam masih berfikir)

Saya: Betul! Bagus, Ummi suka sebab Abbas dapat faham dengan baik. Ia memberi maksud kita berada di dalam Islam bukan kerana dilahirkan oleh ibubapa Islam tetapi kerana Allah sendiri yang memerintah demikian.

Ingat lagi Ummi cerita, sesungguhnya agama yang diterima di sisi Allah hanyalah Islam.

Abbas tersenyum sementara Azzam menanggukkan kepala tanda faham.

Mudahnya mengajar hanya dua orang murid. Saya boleh fokus memandang reaksi mereka berdua semasa mengajar.

Islam Dianuti Dengan Faham

Saya mahu memastikan anak-anak menganuti Islam dengan kefahaman yang betul, bukan kerana ikutan tanpa berlandaskan fakta.

Saya:  Ok, sekarang kita sudah tahu kenapa kita berada dalam agama Islam.  Rukun pertama sebagai syarat seseorang itu menganut Islam ialah mengucap Syahadah.  Abbas cuba ucap kalimah syahadah.

Abbas mengucap dua kalimah syahadah diikuti oleh Azzam.  Saya membetulkan makhraj sebutan yang masih kurang tepat terutama pada makhraj huruf ‘Ha’.

************

Nota:  Doodle Dakwah di atas merupakan imaginasi Nor Abdullah, ahli usrah online saya tatkala melihat coretan saya di Page Facebook.  Memang bagus imaginasi dia untuk dikartunkan # sebab sebenarnya umminyamengajar di rumah tak pakai tudung pun..hehe..Ini yang ‘best’ jadi guru pada anak-anak sendiri…pakaian gaya bebas#  Umminya mengajar pula duduk gaya santai.. duduk atas katil anak-anak… Azzam duduk di kiri Umminya di atas katil dan Abbas duduk atas kerusi pusing-pusing #Nasib baik kefahamannya tidak berpusing…# depan umminya.

Selepas menunjukkan Doodle di atas kepada anak-anak, Abbas berkata, “Ummi, Abbas seorang sahaja yang jawab begitu.  Azzam senyap je …”

“Oh ye ke… Ummi lupa”

Jadi untuk catatan dalam entry ini, ia sudah diperbetulkan semula dibandingkan catatan dalam Page.  Jazakillah buat Dik Nor Abdullah atas lakaran di atas.

Wassalam.

Ummu Abbas

12.25am

17 Rabi’2 1433H

Melbourne