Archive | April 2012

Ibubapa Yang Sayangkan Zuriatnya Wajib Guna Penyapu BERSIH

Bismillah.

“Ainon, mu ambil Sains Politik la… sesuai dengan mu.  Mu minat politik”, kata seorang kawan semasa di sekolah dahulu.

Penilaiannya mungkin disebabkan saya sembang-sembang hal politik semasa di sekolah… walaupun bukanlah kerap.

“Aku tidak minat sangat pun politik tetapi merasa bertanggungjawab untuk mengetahui perkembangan politik negara”.  Itulah jawapan ringkas saya.  Antara minat dan rasa bertanggungjawab adalah sesuatu yang berbeza.

Sekurang-kurangnya, saya tidak pernah berkelahi dengan kawan kerana politik.  Kawan-kawan saya terdiri dari anak YB UMNO, YB PAS, kerabat diraja Kelantan, anak petani, anak buruh, anak pegawai kerajaan, anak ahli korporat dan pelbagai lagi.

Saya pernah nyatakan sebelum ini bahawa bidang politik bukan bidang kegemaran.  (Kalau saya minat, pasti sudah saya menyambung pengajian master di bidang Siasah Syar’iyyah.  Realiti adalah sebaliknya)   Namun sebagai seorang ibu, saya melihat  ia berkait rapat dengan pendidikan anak-anak apabila anak-anak berada di luar rumah.

Bidangkuasa ibubapa dan tahap kemampuan ibubapa mendidik anak-anak hanyalah sekitar dalam rumahnya.   Di luar rumah, politiklah yang mencatur situasi baik atau buruk untuk anak-anak kita.  Kuasa politiklah yang menggubal segala undang-undang termasuk undang-undang jenayah.

Mutakhir ini, jenayah bagai hujan lebat menyimbah Malaysia… belum lagi dihitung dengan segala macam korupsi dari pihak kerajaan yang memerintah.  Kesan jenayah itu boleh menimpa sesiapa sahaja, diri kita, anak-anak, ibubapa, jiran-jiran dan lain-lain orang kesayangan.   Kesan korupsi pula membuatkan hidup kita serba tertekan.  Ringkasnya, kuasa undi rakyat menjadi penentu tenang atau resahnya sesebuah masyarakat.  Bahagia atau tidak bahagianya rakyat.  Selamat atau terancamnya negara dan pelbagai lagi.

Kuasa undi itu pula haruslah dapat digunakan secara adil saksama dan dalam suasana yang menjamin hak-haknya dapat ditunaikan secara benar.

Penyapu berjenama BERSIH 3.0 adalah satu cara membersihkan ketidak adilan dalam sistem pilihanraya di negara ini.  Jom BERSIH 3.0 !  Semoga ia menjadi salah satu amalan yang mengangkat kedudukan kita di sisi Allah di akhirat kelak.

Wassalam.

Ummu Abbas

11.25pm

Melbourne.

*************************************************************

Di bawah adalah amanat Tuan Guru Nik Aziz berhubung BERSIH 3.0.

Klik foto Tok Guru Nik Aziz :)

***********************

BERSIH 3.0 : MISI MENEGAK KEADILAN

Tanggungjawab untuk hadir ke Bersih 3.0 adalah wajib bagi seluruh rakyat di negara ini, khususnya bagi kita yang cintakan keadilan. Semua rakyat sewajarnya dapat hadir pada program Bersih 3.0 dengan untuk “Duduk dan Bantah” terhadap proses pilihan raya di Malaysia hari ini. Ia merupakan misi untuk menegakkan keadilan dalam negara ini.

Ini memandangkan ketidakadilan amat berleluasa dalam proses pilihan raya hari ini.  Ketidakadilan merupakaan suatu ciri kezaliman. Maka mana-mana pihak yang cenderung terhadap kezaliman adalah dikutuk oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT:

“Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam) dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas dari kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak? Iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri (Makkah) ini, yang penduduknya (kaum kafir musyrik) yang zalim, dan jadikanlah bagi kami dari pihak-Mu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan agama kami), dan jadikanlah bagi kami dari pihak-Mu seorang pemimpin yang membela kami (dari ancaman musuh).”

(Surah An-Nisaa’ 4:75)

Justeru kehadiran bersama Bersih 3.0 adalah sebahagian daripada ikhtiar kita bersama-sama dengan pihak yang memperjuangkan keadilan untuk semua rakyat. Oleh kerana itu, mana-mana pihak yang melakukan perkara kezaliman –– tidak berlandaskan Islam wajib kita tentang.

Tuntutan Bersih 2.0

Dalam lapan tuntutan Bersih 2.0 lepas, satu tuntutan ialah supaya dibuat senarai pemilih yang bersih. Ia berpunca daripada senarai pemilih yang adalah diragui, tidak bersih, serta didakwa ada pengundi hantu. Ia jelas perbuatan kotor dan bercanggah dengan kehendak Islam. Apakah pilihan raya akan adil sedangkan senarai pemilihnya kotor?

Andainya Pakatan Rakyat menang dalam pilihan raya akan datang dan mentadbir negara, kemudian melakukan sebagaimana Barisan Nasional buat sekarang, termasuk guna pengundi hantu untuk kekal berkuasa dan mentadbir negara; tentu saja Umno tidak mahu.

Kita yakin mereka –– Barisan Nasional –– tidak boleh terima. Soalnya, kenapa sampai sanggup adakan pengundi hantu, hingga sanggup pula bawa masuk rakyat asing dari luar negara yang mereka itu tidak ada kena mengena dengan kita. Jelas ia satu taktik semata-mata untuk mengekalkan kemenangan.

Peringatan Allah

Sebab itu atas setiap perbuatan mungkar pasti akan berdosa besar. Apakah pihak pemimpin Barisan Nasional atau pihak-pihak yang bersubhat dengannya tidak merasai berdosa bila pertahan benda yang mungkar dalam pilihan raya hari ini?

Peringatan Allah dengan firman-Nya:

“Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya.” (Surah Al-Anfaal 8:25)

Jika dihayati daripada kesan firman Allah ini, natijahnya semua pihak yang menggunakan kaedah yang zalim, di sisi Allah akan menerima dosa dan atas setiap dosa pasti diazab oleh Allah (melainkan mendapat keampunan-Nya).

Justeru jika kita menang atas peraturan yang mungkar (mengguna pengundi hantu, peraturan zalim), maka segala elaun bulanan atau segala bentuk yang diperolehi sebagai wakil rakyat, gaji, kereta dan semuanya adalah haram serta tidak sah di sisi Islam. Perkara ini bukan perkara main-main. Sebagai perjuang Islam, kita kena ingat akan Allah dan balasan akhirat.

Begitu pula, bagi mereka yang sanggup menerima tugas sebagai pengundi hantu. Kerja itu tetap haram, dan atas rezeki (upah) yang diterima sebagai imbuhannya juga haram. Duit yang digunakan dari hasil haram Allah tak akan terima, akhirat lagi kena azab. Ingatlah, kuasa Allah bukan macam manusia, kerana Allh Maha Berkuasa atas setiap sesuatu, Allah Maha Adil menilai segala perbuatan hamba-Nya.

Kerana itu, ‘wajib’ rakyat di seluruh negara keluar beramai-ramai untuk menjayakan Bersih 3.0 pada 28 April ini. Perkara ini telah saya sebutkan semasa Konvensyen Pakatan Rakyat di Alor Setar baru-baru ini.

Semoga tujuan Bersih 3.0 untuk menentang kezaliman dalam pilihan raya akan membawa kepada berlakunya proses pilihan raya yang adil, telus dan bersih. Sama-sama kita tegakkan keadilan demi keredaan Allah SWT dan Bersih 3.0 berjalan dengan jayanya.

Tuan Guru Nik Aziz

Periksa Kehamilan: Doktor Lelaki atau Doktor Wanita?

Fiqh Keutamaan Dalam Memilih Perawat

 

Sebelum ke Melbourne

“Kak Nur mungkin hamil lagi tapi belum buat pengesahan di klinik. Apa pun, tanda-tanda alahan itu sudah ada.  Kalau tidak silap, Hafilah bersalin di sana kan?  Jadi Kak Nur mahu tahu beberapa hal berkaitan; [Salah satunya ialah]  Kemudahan untuk mendapatkan doktor perempuan.” 

Inilah antara soalan kepada seorang sahabat yang berada di Melbourne sebagai persediaan ke sana.  Waktu itu baru hamil anak ke 6.  Kandungan yang masih kecil memungkinkan saya melakukan proses x-ray bagi mendapatkan laporan pemeriksaan kesihatan (MC).    Laporan MC adalah wajib untuk mendapatkan visa ke Australia.  Alhamdulillah, saya berjaya mendapatkan ‘radiographer’ wanita di sebuah hospital swasta.

Respon Hafilah menggembirakan hati.  Berikut balasannya yang sudah diringkaskan,

“Kak Nor, tahniah atas kurniaan seorang lagi cahaya mata. Insya Allah proses bersalin di Melbourne tiada masalah. Tiada masalah untuk dapatkan doktor perempuan, cuma bersalin di sini biasanya diuruskan oleh midwife/bidan. Tiada doktor melainkan kalau ada komplikasi. Kak Nor tidak perlu risau untuk bersalin di hospital kerajaan di sini sebab memang ada hospital khas untuk wanita. Kak Nor boleh cek website www.thewomens.org.au.

Harapnya penjelasan Filah ni boleh menghilangkan kerisauan Kak Nor untuk bersalin di sini.“

Prosedur Melaporkan Diri

Ibu hamil perlu melaporkan diri ke hospital pilihan selewat-lewatnya semasa usia kandungan 20 minggu.  Sebelum itu, perlu mendapat pengesahan di klinik dan menjalani ‘scan’ (imbasan).  Allah yang mengetahui kesungguhan saya memelihara aurat walaupun ketika mendapatkan rawatan telah mempermudahkannya.  Melalui seorang kenalan baru di Melbourne, Rozi, saya terus ke klinik yang terdapat doktor muslimah.  Klinik itu pula tidak jauh dari rumah.  Segala puji untukMu ya Allah.  Prosedur memeriksa kehamilan memerlukan ibu membuka bajunya di bahagian perut dan ia adalah aurat.  Saya teringat fiqh keutamaan mendapatkan rawatan bagi wanita semasa belajar subjek Fiqh al-Muqaran di Jordan dulu. Turutannya seperti berikut:

Selesai memeriksa, Dr Luma menandatangi satu lembaran kertas merujuk kes saya ke pusat imbasan yang mempunyai sonographer wanita dan juga kosnya ditanggung oleh insuran kesihatan kami, Overseas Student Health Cover (OSHC).  Dr Luma memahami keperluan muslimah seperti saya tanpa saya perlu memintanya.  Saya segera membuat temujanji dengan Symbion Imaging dan meminta sonographer wanita.  Malangnya jadual sonographer wanita sentiasa berubah-ubah. Sedangkan saya diwajibkan melakukan ‘scan’ pada usia kandungan sekitar 20 minggu.  Mereka melayan permintaan saya dengan baik namun mereka tidak mampu memberi temujanji menurut jadual yang diperlukan.  Saya terpaksa menghubungi cawangan-cawangan lain namun jawapannya tetap sama.  Akhirnya kembali berusaha mendapat temujanji terdekat di cawangan berhampiran tempat tinggal.

Pada hari yang dijanjikan, saya ke sana.  Rupa-rupanya  terlepas tarikh pula.  Sebenarnya, pihak Imaging sendiri tidak dapat memberi tarikh yang bertepatan ada sonographer wanita.  Mereka hanya meminta saya mencuba dahulu datang pada tarikh tersebut.  Saya membuat temujanji lain.  Pagi-pagi hari lagi, pihak Imaging menelefon dan memberitahu sonographer wanita sudah meletak jawatan.  Mereka bertanya sama ada saya mahu teruskan temujanji dengan sonographer lelaki atau membatalkannya.  Dengan yakin, saya membatalkannya. Situasi  belum sampai ke tahap darurat untuk di’scan’ oleh sonographer lelaki.  Keharusan mendapat rawatan dengan sonographer lelaki ialah apabila sudah tiada langsung sonographer wanita. Juga jika keadaan kesihatan yang perlukan rawatan segera sedangkan pada masa itu tiada perawat wanita bertugas.

Usia kehamilan sudah sampai 20 minggu.  Selepas bertanya seorang kawan yang juga memelihara hijab, saya membuat temujanji dengan Lake Imaging dengan sangkaan dia di’scan’ oleh wanita.  Pada hari yang dijanjikan, saya tiba lewat sekitar 15 minit.  Penat kerana tersesat jalan belum habis, dimaklumkan bahawa saya tidak dibenarkan hadir temujanji pada hari itu kerana ia akan mengganggu temujanji pesakit selepasnya.  Sambil meminta tarikh lain, sempat bertanya staf di kaunter, “Ada sonographer perempuan?”

Staf wanita itu berkata, “Kami tiada sonographer wanita”.  Ya Allah! Tersesat jalan yang ada hikmahnya.    Dalam situasi begini, saya perlu berijtihad lagi.  Adakah sudah sampai ke tahap darurat untuk membolehkan membuka aurat di hadapan lelaki kerana mahu menjalani rawatan.  Akhirnya saya menyatakan dengan yakin untuk membatalkannya.  Pihak Imaging tiada masalah.  Dari aspek profesional dalam bekerja, saya dapat lihat ketinggian etika mereka untuk memberi keselesaan kepada pelanggan semaksimum mungkin.  Sedikit demi sedikit saya dapat melihat ruh-ruh Islam diamalkan oleh masyarakat non muslim di sini.  Mereka tidak marah-marah saya.  Bahkan sangat meraikan pilihan saya.  Tiada kritikan, tiada caci maki dan rungutan terhadap penampilan saya yang berjubah dan berpurdah yang begitu bersusah payah mencari sonographer wanita.

Apabila saya memohon maaf kerana terpaksa membatalkan temujanji, mereka hanya berkata, “No worries”.  Peristiwa mendapatkan sonographer wanita ini agak memeritkan namun disebaliknya, Allah telah menzahirkan sedikit demi sedikit hikmah saya ditakdirkan bermastautin di Melbourne.  Allah mahu saya melihat warna Islam yang tidak wujud di tanah air  dan juga di negara-negara muslim yang pernah dilawati sebelum ini.


Apabila Tidak Faham Hukum

“Ala kak… bukan ada apa pun… mereka cek perut sahaja”, kata seorang kawan yang juga pernah bersalin di sini.

“Suami kita kan ada… tiada masalah.  Lagi pun mereka cek sekejap kemudian siap”, ujarnya lagi.  Saya hanya mendiamkan diri.  Saya tahu dia tidak faham fiqh keutamaan dalam berubat bagi muslimah yang melibatkan soal aurat.  Kalaulah hukum ini saya sendiri yang gubal, mudahlah mengubahnya bila-bila masa yang saya suka.  Realitinya ia adalah hukum Allah yang sudah punya prinsip dan kaedah dalam mengamalkannya.

Isu ditemani suami adalah isu yang melibatkan soal khalwat antara lelaki dan wanita bukan mahram.  Dalam kes ini, jika seseorang muslimah terpaksa memilih jalan ketiga atau keempat ketika berubat, maka dia wajib ditemani mahram.  Dalam situasi lain, adanya mahram tidak membatalkan hukum wajib memelihara aurat di hadapan ajnabi.  Jadi usaha mendapatkan perawat perlulah menurut keutamaan yang pernah digariskan ulama.  Bukannya mengambil mudah dengan  menurut sangkaan semata-mata bahawa ia dibenarkan berdasarkan lojik akal atau disebabkan rasa malas berusaha.

Usia kandungan sudah melampaui 20 minggu.  Tarikh surat rujukan doktor juga sudah luput.  Akhirnya suami meminta saya merujuk semula kepada Dr Luma dan bertanyakan alternatif.  Dr Luma agak terperanjat kerana urusan ‘scan’ saya belum juga selesai.  Saya berterus terang bahawa sonographer wanita tidak berjaya ditemui. Dr Luma segera membuat surat lain dan merujukkan kes ke Victorian Medical Imaging.  Walaupun di sini perlu bayar sendiri secara tunai kerana mereka tidak menerima kad OSHC, namun alhamdulillah, akhirnya berjaya juga di’scan’ oleh sonographer wanita.

Perasaan saya semasa berada di dalam bilik ‘scan’ hanya Allah yang tahu.  Saya tersenyum tidak putus-putus.  Begitu juga suami yang kelihatan gembira maruah isterinya tetap terpelihara.  Kami berkomunikasi dengan sonographer wanita non muslim itu penuh mesra.

Ya Allah! Biarlah kami berkorban sedikit wang kerana mencari redaMu sehabis daya kami kerana kami sedar rezeki itu hanyalah pinjaman dariMu  untuk menguji usaha kami bertaqwa kepadaMu. 

Ya Allah!  Berkatilah bayi dalam kandunganku atas usaha kami ini dan jadikanlah dia dari kalangan hambaMu yang bersungguh-sungguh mentaatiMu.  Amin… ya Rabbal ‘alamin”.

 

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.  Surah Ali ‘Imran, ayat 102.

 

Ummu Abbas

8 Rabiul Awwal 1433H/31 Jan 12

Melbourne

Memanah di Hamilton (Antara Menembak dan Memanah)

Foto belajar menembak yang saya upload dalam Facebook mendapat komen menarik iaitu teknik tambahan untuk berjaya semasa menembak.  Ia satu teknik yang saya tidak buat.  Patutlah asyik tersasar sahaja.  Baru saya faham, teknik menahan nafas merupakan salah satu cara agar tangan tetap stabil ketika tembakan dilepaskan.  Bila kedudukan tangan tetap, maka ia lebih berpotensi mendapat sasaran secara tepat.

Dari Warkworth ke Hamilton

Dari A Kiwi Farmstay, Kaipara Hill, kami berpindah ke Hamilton dan bermalam di hotel.  Pada asalnya, kami merancang untuk bermalam di Rotorua selama 3 malam tanpa singgah di Hamilton.  Dek kerana pada masa itu waktu cuti Easter, banyak penginapan yang sudah ditempah oleh pelancong.

Usaha menempah dari awal beberapa penginapan akhirnya dibatalkan oleh pengusaha dengan pelbagai alasan.  Ada yang mendahulukan keluarga walaupun keluarga memohon lewat dari kami dan ada yang mengutamakan pelanggan yang menempah untuk tempoh lebih lama.  Kami percaya dan yakini setiap ketentuan Allah ada hikmahnya.

Jadi kami terpaksa bermalam juga di Hamilton semalaman dan baki 2 malam di Rotorua.

 

Memanah di Hamilton

Seorang mahasiswi memberitahu saya, “Kami merancang untuk memanah di Hamilton.”

“Kak Nur mahu join jugalah.”

Pada hari itu, mahasiswi senior telah membawa pelajar-pelajar baru perempuan mengenali Hamilton dan melakukan aktiviti di sana.  Jumlah mereka semuanya 21 orang.  Selepas mengetahui waktu mereka akan memanah, saya merancang untuk bertolak ke Rotorua sebaik selesai acara memanah.

Jika di Warkworth, kami sekeluarga berpeluang belajar menembak,di Hamilton kami berpeluang belajar memanah pula.

Sesuatu yang menarik tentang memanah diberitahu Nabi s.a.w,

Uqbah bin Amir r.a melaporkan, ‘Saya mendengar Rasulullah s.a.w berkata di atas mimbar:

وَأَعِدُّوا لَهُمْ ما اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ، أَلآ إِنَّ الْقُوَّةَ الرَّمْيُ، ألا إن القوة الرمي، ألا إن القوة الرمي

“Persiapkanlah semua kekuatan yang kalian miliki.  Ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah memanah, ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah memanah, ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah memanah.”

Hadis direkod oleh Imam Muslim no. 1917

Nabi s.a.w mengulangi sebanyak 3 kali bahawa ada kekuatan pada aktiviti memanah.

Melihat busur (bow) yang bersaiz besar itu sahaja, sudah dapat dibayangkan perlunya modal daya tarikan yang kuat untuk melepaskan panah.  Itu yang lihat yang terzahir secara nyata sahaja.  Saya percaya lebih banyak rahsia yang tersembunyi di sebalik aktiviti memanah… mungkin baik untuk kesihatan jantung, paru-paru dan sebagainya.
Ia hanya hipotesis sahaja buat masa sekarang.  Saya katakan begitu  setelah mendapati sukan yang lebih tertumpu menggunakan kaki seperti bola sepak tetap memberi risiko sakit jantung pada pemainnya.  Saya tinggalkan isu ini kepada mereka yang pakar untuk mengulasnya.

Selepas instructor memberi penerangan, kami mula mempraktikkan ilmu yang dipelajari.  Saya sungguh teruja untuk mencuba.

Abbas (terlindung di sebalik tangan instructor) bersedia untuk memanah.

Benar, Kekuatan Adalah Pada Memanah

 

Memanah ada sedikit perbezaan dari menembak.  Memanah memerlukan lebih tenaga untuk menarik anak panah.  Teknik memegang dan melepaskan panah juga berbeza dengan teknik menembak.

4 ibrah menembak yang saya berikan sebelum ini adalah sama dengan ibrah dari aktiviti memanah.  Begitu juga dengan tip tambahan yang diberikan oleh Saudara Own di atas.  Ia juga relevan untuk memanah tepat pada sasaran.

Hubby pada mulanya melihat-lihat sahaja sebab dia tidak daftar untuk join. Selepas itu, dia juga mahu mencuba... Mana boleh lepas peluang... iya tak?

Oleh kerana memanah memerlukan lebih tenaga (atau mungkin juga kerana busur yang ada bersaiz besar), maka kanak-kanak berusia di bawah 11 tahun tidak dibenarkan mengambil bahagian.  Saya menggalakkan anak sulung, Abbas agar mencuba.  Saya gembira dan suka jika anak-anak dapat belajar sesuatu dari sunnah Nabi s.a.w ini.

“Ummi, beratlah… Abbas sudah pernah cuba di Adventure Park di Melbourne”

Pada mulanya Abbas menolak, akhirnya dia juga mahu mencuba lagi.  Mungkin teruja setelah melihat Umminya begitu bersemangat belajar memanah.

Selepas kali pertama melontarkan panah, walau tidak kena… saya terus merasa ingin mencuba lagi.  Saya tidak mudah berputus asa apabila mahu melakukan sesuatu yang diyakini baik walaupun banyak halangan.  Akhirnya saya mendapat juga satu sasaran.  Untuk rekod peribadi saya berpuas hati bagi latihan pertama kali ini.

Ramai adik-adik yang lain jauh lebih baik pencapaiannya walaupun sama-sama baru belajar.  Tahniah saya ucapkan atas percubaan dan pencapaian menarik.

Percubaan dari penulis dan adik-adik mahasiswi Auckland.

Seorang student berkata, "Dapat rumput pun jadilah"

Di sini saya temui satu forum menarik mengenai aktiviti memanah.  Sesiapa yang baru mahu belajar, info di dalam forum ini sangat membantu.

 

Ummu Abbas

9.54pm

28 Jumada 1 1433H/ 20 April 2012

Melbourne

Ibrah Dari Belajar Menembak

Bismillah.

Rasulullah s.a.w pernah berkata,

Kamu harus belajar memanah karena memanah itu termasuk sebaik-baik permainanmu.

Direkodkan Bazzar dan Thabarani dengan sanad yang baik

 

Sejak mengetahui tentang hadis galakan belajar memanah, saya menanam hasrat untuk melakukannya suatu hari nanti. Hadis di atas adalah umum untuk lelaki dan wanita. Jadi saya kira tidak salah saya menaruh minat untuk mempelajarinya.

 

Menembak Kias Kepada Memanah

Dalam catatan kembara ke Auckland baru-baru ini, saya telah ceritakan dalam entry sebelum ini bahawa kami menginap di farmstay. Tuan rumah pula seorang yang peramah dan baik hati. Semasa kami mengikutinya menghantar anak ke sekolah yang terletak di Bandar Warkworth, Simon dengan sukarela menunjukkan kami tempat-tempat menarik sekitar bandar tua tersebut.

Selepas itu, Simon membawa kami ke sebuah pusat sukan yang menyediakan aktiviti latihan menembak, bermain golf, baseball dan lain-lain. Saya merasa teruja ketika sampai ke The Range Warkworth itu. Hasrat lama yang terpendam sejak menetap di Kota Bharu akhirnya Allah makbulkan di Bumi Kiwi. Ia berlaku tanpa dirancang. Malahan Allah takdirkan semua itu melalui hambaNya yang belum pun memeluk Islam.

 

Semasa menetap di Kelantan dahulu, saya penah survey juga dan mencari kawan yang sama berminat belajar menembak di pusat di Pengkalan Chepa. Namun hasrat itu berlalu begitu sahaja dek budaya masyarakat awam yang tidak begitu memberi perhatian kepada sukan jenis ini. Sedangkan ia adalah jenis sukan yang disebut oleh Rasulullah s.a.w yang mana jika betul kaedah dan niat, ia menjadi ibadah di sisi Allah.

Sememangnya Rasulullah s.a.w tidak pernah menyebut perkataan menembak… iyalah zaman tersebut mana ada senapang dan pistol, kan? Namun realiti kita hari ini menembak dikiaskan kepada sukan memanah yang disebut Nabi s.a.w di dalam hadis di atas.

Saya juga begitu bersemangat mahu mendedahkan jenis sukan yang disebut oleh Rasulullah s.a.w kepada anak-anak lelaki. Bila saya sendiri mempelajarinya, saya dapat menghayati hikmah dan mengutip ibrah darinya untuk dikongsi bersama anak-anak.

 

Di Warkworth, pada sesi pagi itu, hanya saya, suami dan anak sulung yang berpeluang belajar menembak. 3 orang lagi anak tinggal di farmstay kerana mahu menonton kartun di TV.

Simon berkata kepada Abbas, “Itulah kan, mereka tidak mahu ikut tadi maka tidak dapat merasa belajar menembak”. Abbas tersenyum-senyum.

 

Simon yang baik hati itu memberi tunjuk ajar cara memegang senapang dengan betul dan melihat sasaran.

 

Dari depan; Suami, saya dan Abbas (anak sulung).

Simon sedang memberi tunjuk ajar kepada Abbas. Abbas dapat menembak 6 ekor sasaran.

Sophie yang berusia 3 tahun tidak ketinggalan mahu menembak sama. Sophie dapat 3 ekor. (Tak aci la kan sebab cikgunya tolong pegang senapang tu)

Masa untuk cikgu berposing pula :)

 

Bila berpeluang menembak, baru terasa ia bukan tugas yang mudah untuk mengena pada sasaran.  Apatah lagi untuk menjadi penembak tepat!

 

Sesi Petang

 

Waktu pagi saya hanya berkesempatan melatih diri membiasakan diri memegang senapang sahaja.  Petangnya, kami pergi lagi kerana membawa anak-anak yang tidak datang pada sesi pagi.  Ia satu aktiviti yang menarik dan menyeronokkan.  Lebih-lebih lagi dilakukan bersama keluarga.

 

Saya asyik menyiapkan kertas kerja di dalam kereta.  Bila laptop kehabisan bateri, baru saya berhenti dan melihat anak-anak berlatih.  Saya rasa tidak berpuas hati kerana paginya tidak mendapat walau satu sasaran.  Tanpa rasa putus asa, saya mencuba lagi dengan saki baki peluru yang ada.  Akhirnya, alhamdulillah, setelah mengubah sedikit kaedah yang diajar Simon, saya berjaya mendapat satu sasaran.

 

Ibrah Yang Terpendam 

 

1.  Ia melatih saya untuk  fokus pada sasaran dengan hati yang tenang.  Jika kita tidak tenang dan tidak fokus, sasaran mudah terpesong.  Saya dapat lihat sukan ini dapat melatih saya mengawal emosi dan menstabilkan kedudukan badan terlebih dahulu sebelum menembak sasaran.

Dalam apa jua tindakan yang mahu dilakukan, ia memberi signifikan bahawa saya harus fokus pada objektif dan berusaha menenangkan diri sebelum memulakan satu-satu tindakan.

 

2.  Ia melatih saya untuk menepati kaedah-kaedah asas yang relevan untuk mencapai target.  Kaedah asas itu ialah teknik memegang senapang dan juga cara melihat sasaran dengan tepat.  Kaedah dan teknik adalah usaha memenuhi syariatullah dalam berusaha. Kalau saya baca Bismillah 90 kali dan berselawat 70 kali pun tanpa berusaha mengikut teknik yang betul, saya tetap tidak akan berjaya membidik sasaran.   Dalam apa jua hal, syariatullah dan sunnatullah harus sentiasa berkerjasama untuk mencapai hasil terbaik.

 

3.   Selepas melihat Abbas berjaya menembak 5 sasaran, saya bertanya Abbas bagaimana dia lakukan.  Saya katakan bahawa terasa sukar sekali mencapai target dengan kaedah menyandarkan pangkal senapang ke bahu.  Abbas nyatakan dia cuba mengubah kedudukan senapang dari bahu asalkan ‘point’ yang dikehendaki benar-benar dapat dilihat dari arah senapang dihalakan.

 

Saya cuba mengikut kaedah yang Abbas gunakan barulah saya berjaya menembak target.  Pengalaman ini mengajar saya agar mengikut pada kaedah-kaedah asas sahaja.  Kaedah lain boleh diubah suai agar bersesuaian dengan diri kita dan kita juga merasa selesa dengannya.

 

Ia menjentik satu keyakinan bahawa sesuatu amalan yang sesuai dengan orang lain belum tentu sesuai dengan diri kita.  Begitu jua sebaliknya.  Dalam bidang fiqh yang saya pelajari, Islam mengatur prinsip-prinsip asas dan juga menyediakan kaedah-kaedah fiqh bagi menentukan permasalahan cabang yang bersifat fleksibel.

 

4.  Bersukan dalam Islam memberi manfaat pada jasmani, akal dan spritual manusia.  Bahkan ia juga menjadi ibadah di sisi Allah bila dilaksanakan dengan niat yang betul dan sentiasa mengingatiNya.

 

Ummu Abbas

12.56pm

25 Jumada 1 1433H/ 17 April 12

Melbourne

Sophie Minta Saya Buka Tudung

Sophie, ialah anak tuan rumah farmstay tempat kami menyewa di Warkworth, New Zealand.

5 April 12

Bandar Warkworth, North Island, New Zealand.

Suatu ketika, Sophie ditinggalkan di dalam kereta bersama saya oleh Simon (bapanya) yang mahu ke pasaraya. Suami dan anak sulung saya mengikut Simon.

Sophie berkata, “Bukalah tudung ini!” sambil tangannya memegang tudung yang saya pakai. Pada masa itu, saya sudah menanggalkan purdah kerana suasana yang aman.

“Saya tidak boleh”

“Kenapa? Bukalah”

Saya berfikir-fikir untuk mencari jawapan yang sesuai. Teringat juga untuk memberitahu ia satu kewajiban bagi muslimah dewasa namun terasa dia tidak mampu memahami jawaban begitu. Saya hanya mampu mengatakan ‘Saya tidak boleh lakukan’.

Hari ini, bila mengenang kembali peristiwa itu, terasa kesal setelah terfikir saya boleh sahaja menyebut perkataan ‘Allah’ di hadapannya pada masa itu dengan menjawab, “Allah yang suruh”. Bukankah fitrah bertuhankan Allah itu ada pada semua manusia sejak kecilnya?

Mendapat ‘perintah’ mendadak dari si kecil yang membesar di persekitaran bukan Islam begitu buat kali pertama membuatkan saya ‘buntu’ idea.

Ia berbeza jika ditanya oleh anak-anak orang Islam.

Ya Allah,ampuni daku kerana tidak mengambil peluang memperkenalkan namaMu kepadanya waktu itu.

Sebaik mengingati hal itu, Allah mengingatkan saya bahawa hakikat yang mengenalkan diriNya kepada semua makhlukNya adalah Dia sendiri. Manusia hanya perantara sahaja. Lagi pun, belum tentu masanya sesuai kerana tabiat kanak-kanak yang suka bertanya.

Kemungkinan dia akan bertanya bapanya, “Siapa Allah?” serta pelbagai kemungkinan lagi.

Saya hanya mampu mendoakan dari jauh agar Allah memelihara Sophie, 3 tahun dan Lukah, 5 tahun agar diberi jalan untuk mengenal pencipta mereka.  Moga kesucian mereka hari ini terus berkekalan hingga ke syurga abadi.

Juga semoga Allah berikan hidayah Islam kepada Simon.

Farmstay kami ialah rumah yang kelihatan di sebelah kiri. Rumah landlord ialah yang kelihatan di belakang kami. Penginapan ini berada di puncak bukit.

Mod: Terasa ingin berulang alik ke rumah Sophie untuk menjenguk mereka.

 

 

Ummu Abbas

10.39pm

20 Jumada 1 1433H/ 12 April 2012

Melbourne.

Kambing Yang Menyangka Dirinya Anjing

Bismillah.

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakaaatuh.

Alhamdulillah, hari ini merupakan hari ke 5 saya dan keluarga berada di North Island, New Zealand.

3 malam pertama, kami menyewa di sebuah farmstay di Taohua, utara Auckland untuk merasai kehidupan di ladang.  Hari ini saya mahu berkongsi satu perkara menarik yang terdapat di farmstay tersebut.

Nampakkan kambing putih di bawah?  Menurut tuan rumah, Simon, kambing ini menyangka dirinya anjing.  Ooo patutlah dia menyambut kedatangan kami sebagaimana dua ekor anjing tuan rumah menyalak-nyalak menyambut kami.

Simon memiliki dua ekor anjing, Trixie dan Kaizer.  Salah seekornya bertugas memburu binatang.   Selepas Simon bercerita demikian, barulah kami perasan kambing itu banyak mengikut tabiat Trixie dan Kaizer.

Semasa suami dan anak-anak mahu dibawa Simon bersiar-siar di kawasan sekitar kediaman, saya melihat sendiri kambing itu terlebih dahulu berlari-lari mengikut tuannya menaiki motor diikuti oleh Trixie dan Kaizer.  Namun oleh kerana ia memang seekor kambing, maka ia kelihatan cepat mengah dibanding dua ekor anjing itu tatkala tiba di bukit lain.

Tatkala Trixie dan Kaizer menyalak-nyalak, Si Putih ini tidak pula mengembek untuk meraikan kami… agaknya ia sedar jika ia mengembek, bunyinya lain…hehe… Lalu diam adalah lebih baik.   Sepanjang dua malam saya di sana, tidak pernah pula kedengaran ia mengembek.

Melihat gelagat kambing itu membuatkan saya teringat watak Ellie bersama Crash dan Eddie dalam cerita Ice Age 2.  Ellie, si mammoth betina itu menyangka dirinya seekor opposum  seperti Crash dan Eddie kerana dibesarkan oleh ibu opposum.

Manakala kisah Tarzan pula menunjukkan manusia bersikap seperti haiwan sekelilingnya kerana Tarzan membesar dan belajar dari haiwan.

Sebagai seorang ibu, saya melihat kisah-kisah ini mengandungi  hikmah yang mendalam dari aspek pendidikan.  Bila ia disebut pendidikan, konsepnya merangkumi semua bentuk pendidikan yang ada sama ada dari ibubapa kepada anak-anak, dari guru kepada murid, pemimpin dengan anak buahnya dan lain-lain.

Ewah!... siap tumpang berposing. Jinak sungguh kambing ini. Ini sudah lawan towkeh... dua ekor anjing itu tidak kelihatan pula.

Ia juga bersignifikan dengan hadis Nabi s.a.w yang berbunyi, “Setiap anak dilahirkan dalam fitrah.  Maka kedua ibubapanya lah yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi”

Hadis direkod oleh Bukhari dan Muslim.

Kisah kambing itu pula berkait rapat dengan hadis Nabi s.a.w yang berbunyi,

المرء على دين خليله فلينظر أحدكم من يخالل

Seseorang itu menurut agama rakannya. Maka perhatikan dengan siapa dia akan berkawan.

Hadis direkod oleh Abu Dawud, al-Tirmizhi dan Imam Ahmad.

Semasa saya mahu bertolak meninggalkan farmstay tersebut, kambing putih itu turut menghantar sehingga ke pintu pagar depan.  Lalu saya katakan padanya, “Saya akan rindukan awak”.   Symon tersenyum dan ketawa mendengar kata-kata saya.

6.34am

16 Jumada 1 1433H/ 8 April 2012

Hamilton

Di pinggir Sungai Waikato.

North Island, New Zealand.

Hujan Emas Di Institusi Baitul Muslim

Hujan Emas di Negara Orang

“Harga besen plastik ini AUD2.  Lebih kurang RM6.  Kalau di Malaysia, sudah boleh beli 3 buah.”

“Harga ikan AUD5 satu kilogram.  Maknanya RM15 sekilogram.”

“1 set Corelle 16 unit ini AUD39.90.  Eh… murahlah bang.  Baru RM120. Di Malaysia  Corelle yang sama nilainya lebih kurang RM390 ++.”

Kalau semuanya mahu didarab 3 untuk dinilai dalam Ringgit Malaysia (RM), banyaklah keperluan yang tidak terbeli.  Tidak dapat tidak, kena biasakan diri dengan nilai Dolar Australia (AUD).  Anggap AUD2 sama dengan RM2.  Baru kita tidak terasa serba mahal dan serba sayang wang untuk berbelanja walaupun pada bahan keperluan asas.  Fenomena dialog di atas biasa kedengaran di kalangan warga Malaysia semasa baru datang ke sini.  Ini disebabkan tukaran matawang ringgit ke AUD pada masa sekarang agak tinggi iaitu RM100 bersamaan AUD31-AUD32.  Pelajar ‘post-grad’ mendapat biasiswa dalam bentuk Dolar Australia.  Bila dicampur dengan gaji, legalah sedikit. Itu pun ramai yang berkerja sampingan.  Al Maklum, tangga gaji ikut kadar Malaysia tapi kos sara hidup menurut standard Australia yang tinggi dalam banyak hal terutama kos sewa rumah.  Bil elektrik, api, gas dan air juga tinggi.

Meskipun dikhabarkan mengenai kos sara hidup yang tinggi, namun tatkala menziarahi sambil berkenalan dengan warga Melayu yang sudah tinggal 2-3 tahun di sini, saya lihat kelengkapan rumah serba ada dari kategori ‘al-daruriyyat’, ‘al-hajiyyat’ sehinggalah ‘al-tahsiiniyyat’.  Malah banyak rumah yang memiliki permainan taman untuk anak-anak yang jarang kita miliki secara personal di Malaysia seperti trampolin, buaian dan gelongsor.  Rasa hairan bertamu juga. Rupa-rupanya banyak barangan rumah yang diperolehi secara percuma. Ada yang diberikan oleh pelajar yang sudah habis belajar atau diambil di tepi-tepi jalan.

Terdapat satu musim disebutHard waste collection’.  “Hard waste collection’ diadakan antara bulan April hingga Mei dalam tempoh 5 minggu.  Pada musim ini, ramai penduduk meletakkan barang yang tidak mahu digunakan di hadapan rumah sama ada ia masih elok atau sudah rosak.  Pelbagai barangan boleh didapati dari peti televisyen, tilam, meja belajar, alat permainan, kerusi, sofa, rak, almari dan lain-lain.  Jadi, kalau kita masih perlukan apa-apa barangan, bolehlah pusing-pusing kawasan perumahan mencari sesuatu yang masih elok.  Jika terlambat, sama ada ia sudah diambil orang atau Majlis Perbandaran Moreland sudah mengutipnya dengan lori.  Hal ini amat menarik jika dapat diamalkan di Malaysia juga.

Selain mendapat secara percuma, boleh juga dibeli barangan terpakai yang murah harganya di garage sale atau pasar minggu yang diadakan setiap hujung minggu.  Kebanyakan barangan ini adalah berkualiti dan baik kondisinya.  Jadi berbaloi membelinya daripada membeli barang baru yang murah tetapi tidak berkualiti.  Konsep berjimat cermat ini selari dengan firman Allah di dalam Surah al-A’raaf ayat 31, “Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang membazir”.

Makanan Halal dan Budaya Membawa Bekal

Bila disebut negara non-muslim, antara perkara utama yang difikirkan ialah sumber makanan halal.  Alhamdulillah, dek ramainya komuniti muslim dari pelbagai bangsa dan negara bermastautin di Melbourne, keperluan bertaraf fardu ain tersebut mudah diperolehi.  Jenis makanan mentah seperti ayam dan daging mudah didapati di kedai menjual daging halal kepunyaan muslim.  Bahkan biasanya ia dijual dalam keadaan siap dipotong dan dibersihkan.  Tanpa kawalan harga yang tegas oleh pihak kerajaan Malaysia, harga ayam di sini menjadi lebih murah dari Malaysia.  Sebenarnya, jika kita lihat harga dalam AUD tanpa menukar nilainya ke dalam RM, banyak barangan di sini jauh lebih murah harganya dibandingkan dengan kadar gaji dan upah  yang mahal di Australia.  Rakyat Australia memang beruntung dalam hal begini.

Jenis makanan lain seperti makanan dalam tin, biskut, coklat, ais krim dan sebagainya, kita perlu meneliti ramuan yang tercatat pada bungkusan.  Banyak juga yang halal.  Restoran makanan halal mudah didapati namun kami jarang membelinya kerana mahu berjimat-cermat.  Lagi pun, jarang restoran yang memenuhi selera orang Asia ada di sini.

Sudah menjadi budaya masyarakat tempatan membawa bekal ke tempat kerja dan sekolah. Perbelanjaan bertambah jimat.  Dek situasi setempat yang memaksa, ramai warga Melayu terikut-ikut budaya membawa bekal ke pejabat, universiti dan sekolah.  Alhamdulillah, dari aspek pendidikan dan rumahtangga, ia memberi kesan positif bila suami atau isteri  makan dari hasil tangan pasangan masing-masing.

Di sini, sebahagian besar pelajar di peringkat PhD terdiri dari para isteri.  Manakala suami mengambil alih tugas sebagai ‘surarumah’-  memasak, menguruskan anak-anak dan lain-lain.  Pun begitu, boleh dikatakan hampir semua suami turut berkerja separuh masa.  Alang-alang gaji buruh di sini mahal, tidak betah golongan yang fitrah semulajadinya berada di luar rumah terperap di dalam rumah sahaja.

Anak-anak  mendapat ‘hujan emas’ di sini tatkala perut mereka sentiasa di isi dengan masakan berair tangan ibu atau bapa.  Kasih sayang bertambah erat, insya Allah. Anak-anak juga mudah dibentuk dan lebih mudah mendengar kata orang tuanya.

Kredit to Cikpuan Nor di sesucihatiraudhah.blogspot.com

Berbeza di Malaysia yang mana kebanyakan anak-anak di era ibubapa berkerjaya asyik makan dan minum air tangan tukang masak di kedai-kedai.  Tukang masak yang tidak dikenali hati budinya.  Tukang masak yang tidak dapat dipastikan tahap kebersihan dalam menyediakan makanan.  Tukang masak yang entah baca atau tidak Bismillah serta zikrullah semasa berurusan dengan rezeki yang akan masuk ke dalam perut kita.  Juga tukang masak yang lebih suka menggunakan perisa makanan atau bahan-bahan yang memudaratkan jasmani dan rohani.

Kebanyakan mereka lebih mementingkan keuntungan kocek daripada keuntungan dalam mendapat kasih sayang Allah.  Akhirnya ia memberi kesan sampingan yang bukan sedikit kepada kualiti kasih sayang dalam rumahtangga baik antara suami isteri, lebih-lebih lagi antara ibubapa dan anak-anak.

Kebanyakan ibubapa tidak lagi dapat beralasan sibuk dari menitiskan air tangan mereka ke dalam perut cahaya mata sendiri.  Kami seolah-olah kembali ke zaman generasi sebelum tahun 90-an.  Lebih-lebih lagi, untuk mengupah pembantu rumah pun adalah sukar, sama ada disebabkan masalah visa atau kos upah yang lebih tinggi diperlukan.

Para isteri yang berkerjaya di Malaysia tetapi bercuti kerana menemani suami dapat menikmati hidup sebagai surirumah sepenuh masa serta melihat anak-anak membesar di depan mata.  Pada mulanya, di samping mempunyai tugasan di luar rumah dan tiada pembantu pula, terasa payah menghadapi rutin perlu memasak setiap hari dibandingkan di Malaysia, beli sahaja lauk pauk yang sudah dimasak.  Namun bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa.

Hujan Emas ke Dalam Institusi Keluarga

Hujan emas di negara orang rupa-rupanya bukan sahaja berbentuk material, bahkan menjadi ‘emas’ secara tidak langsung dalam mengukuhkan institusi keluarga.  Mungkin segelintir famili terkena tempias negatif namun semua itu tidak menganggu kaedah hukum fiqh yang dibina di atas perkara yang umum berlaku, bukannya pada perkara yang jarang berlaku. “Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhanmu yang hendak kamu dustakan?”  Al-Rahman, ayat 13.