Archive | April 24, 2012

Periksa Kehamilan: Doktor Lelaki atau Doktor Wanita?

Fiqh Keutamaan Dalam Memilih Perawat

 

Sebelum ke Melbourne

“Kak Nur mungkin hamil lagi tapi belum buat pengesahan di klinik. Apa pun, tanda-tanda alahan itu sudah ada.  Kalau tidak silap, Hafilah bersalin di sana kan?  Jadi Kak Nur mahu tahu beberapa hal berkaitan; [Salah satunya ialah]  Kemudahan untuk mendapatkan doktor perempuan.” 

Inilah antara soalan kepada seorang sahabat yang berada di Melbourne sebagai persediaan ke sana.  Waktu itu baru hamil anak ke 6.  Kandungan yang masih kecil memungkinkan saya melakukan proses x-ray bagi mendapatkan laporan pemeriksaan kesihatan (MC).    Laporan MC adalah wajib untuk mendapatkan visa ke Australia.  Alhamdulillah, saya berjaya mendapatkan ‘radiographer’ wanita di sebuah hospital swasta.

Respon Hafilah menggembirakan hati.  Berikut balasannya yang sudah diringkaskan,

“Kak Nor, tahniah atas kurniaan seorang lagi cahaya mata. Insya Allah proses bersalin di Melbourne tiada masalah. Tiada masalah untuk dapatkan doktor perempuan, cuma bersalin di sini biasanya diuruskan oleh midwife/bidan. Tiada doktor melainkan kalau ada komplikasi. Kak Nor tidak perlu risau untuk bersalin di hospital kerajaan di sini sebab memang ada hospital khas untuk wanita. Kak Nor boleh cek website www.thewomens.org.au.

Harapnya penjelasan Filah ni boleh menghilangkan kerisauan Kak Nor untuk bersalin di sini.“

Prosedur Melaporkan Diri

Ibu hamil perlu melaporkan diri ke hospital pilihan selewat-lewatnya semasa usia kandungan 20 minggu.  Sebelum itu, perlu mendapat pengesahan di klinik dan menjalani ‘scan’ (imbasan).  Allah yang mengetahui kesungguhan saya memelihara aurat walaupun ketika mendapatkan rawatan telah mempermudahkannya.  Melalui seorang kenalan baru di Melbourne, Rozi, saya terus ke klinik yang terdapat doktor muslimah.  Klinik itu pula tidak jauh dari rumah.  Segala puji untukMu ya Allah.  Prosedur memeriksa kehamilan memerlukan ibu membuka bajunya di bahagian perut dan ia adalah aurat.  Saya teringat fiqh keutamaan mendapatkan rawatan bagi wanita semasa belajar subjek Fiqh al-Muqaran di Jordan dulu. Turutannya seperti berikut:

Selesai memeriksa, Dr Luma menandatangi satu lembaran kertas merujuk kes saya ke pusat imbasan yang mempunyai sonographer wanita dan juga kosnya ditanggung oleh insuran kesihatan kami, Overseas Student Health Cover (OSHC).  Dr Luma memahami keperluan muslimah seperti saya tanpa saya perlu memintanya.  Saya segera membuat temujanji dengan Symbion Imaging dan meminta sonographer wanita.  Malangnya jadual sonographer wanita sentiasa berubah-ubah. Sedangkan saya diwajibkan melakukan ‘scan’ pada usia kandungan sekitar 20 minggu.  Mereka melayan permintaan saya dengan baik namun mereka tidak mampu memberi temujanji menurut jadual yang diperlukan.  Saya terpaksa menghubungi cawangan-cawangan lain namun jawapannya tetap sama.  Akhirnya kembali berusaha mendapat temujanji terdekat di cawangan berhampiran tempat tinggal.

Pada hari yang dijanjikan, saya ke sana.  Rupa-rupanya  terlepas tarikh pula.  Sebenarnya, pihak Imaging sendiri tidak dapat memberi tarikh yang bertepatan ada sonographer wanita.  Mereka hanya meminta saya mencuba dahulu datang pada tarikh tersebut.  Saya membuat temujanji lain.  Pagi-pagi hari lagi, pihak Imaging menelefon dan memberitahu sonographer wanita sudah meletak jawatan.  Mereka bertanya sama ada saya mahu teruskan temujanji dengan sonographer lelaki atau membatalkannya.  Dengan yakin, saya membatalkannya. Situasi  belum sampai ke tahap darurat untuk di’scan’ oleh sonographer lelaki.  Keharusan mendapat rawatan dengan sonographer lelaki ialah apabila sudah tiada langsung sonographer wanita. Juga jika keadaan kesihatan yang perlukan rawatan segera sedangkan pada masa itu tiada perawat wanita bertugas.

Usia kehamilan sudah sampai 20 minggu.  Selepas bertanya seorang kawan yang juga memelihara hijab, saya membuat temujanji dengan Lake Imaging dengan sangkaan dia di’scan’ oleh wanita.  Pada hari yang dijanjikan, saya tiba lewat sekitar 15 minit.  Penat kerana tersesat jalan belum habis, dimaklumkan bahawa saya tidak dibenarkan hadir temujanji pada hari itu kerana ia akan mengganggu temujanji pesakit selepasnya.  Sambil meminta tarikh lain, sempat bertanya staf di kaunter, “Ada sonographer perempuan?”

Staf wanita itu berkata, “Kami tiada sonographer wanita”.  Ya Allah! Tersesat jalan yang ada hikmahnya.    Dalam situasi begini, saya perlu berijtihad lagi.  Adakah sudah sampai ke tahap darurat untuk membolehkan membuka aurat di hadapan lelaki kerana mahu menjalani rawatan.  Akhirnya saya menyatakan dengan yakin untuk membatalkannya.  Pihak Imaging tiada masalah.  Dari aspek profesional dalam bekerja, saya dapat lihat ketinggian etika mereka untuk memberi keselesaan kepada pelanggan semaksimum mungkin.  Sedikit demi sedikit saya dapat melihat ruh-ruh Islam diamalkan oleh masyarakat non muslim di sini.  Mereka tidak marah-marah saya.  Bahkan sangat meraikan pilihan saya.  Tiada kritikan, tiada caci maki dan rungutan terhadap penampilan saya yang berjubah dan berpurdah yang begitu bersusah payah mencari sonographer wanita.

Apabila saya memohon maaf kerana terpaksa membatalkan temujanji, mereka hanya berkata, “No worries”.  Peristiwa mendapatkan sonographer wanita ini agak memeritkan namun disebaliknya, Allah telah menzahirkan sedikit demi sedikit hikmah saya ditakdirkan bermastautin di Melbourne.  Allah mahu saya melihat warna Islam yang tidak wujud di tanah air  dan juga di negara-negara muslim yang pernah dilawati sebelum ini.


Apabila Tidak Faham Hukum

“Ala kak… bukan ada apa pun… mereka cek perut sahaja”, kata seorang kawan yang juga pernah bersalin di sini.

“Suami kita kan ada… tiada masalah.  Lagi pun mereka cek sekejap kemudian siap”, ujarnya lagi.  Saya hanya mendiamkan diri.  Saya tahu dia tidak faham fiqh keutamaan dalam berubat bagi muslimah yang melibatkan soal aurat.  Kalaulah hukum ini saya sendiri yang gubal, mudahlah mengubahnya bila-bila masa yang saya suka.  Realitinya ia adalah hukum Allah yang sudah punya prinsip dan kaedah dalam mengamalkannya.

Isu ditemani suami adalah isu yang melibatkan soal khalwat antara lelaki dan wanita bukan mahram.  Dalam kes ini, jika seseorang muslimah terpaksa memilih jalan ketiga atau keempat ketika berubat, maka dia wajib ditemani mahram.  Dalam situasi lain, adanya mahram tidak membatalkan hukum wajib memelihara aurat di hadapan ajnabi.  Jadi usaha mendapatkan perawat perlulah menurut keutamaan yang pernah digariskan ulama.  Bukannya mengambil mudah dengan  menurut sangkaan semata-mata bahawa ia dibenarkan berdasarkan lojik akal atau disebabkan rasa malas berusaha.

Usia kandungan sudah melampaui 20 minggu.  Tarikh surat rujukan doktor juga sudah luput.  Akhirnya suami meminta saya merujuk semula kepada Dr Luma dan bertanyakan alternatif.  Dr Luma agak terperanjat kerana urusan ‘scan’ saya belum juga selesai.  Saya berterus terang bahawa sonographer wanita tidak berjaya ditemui. Dr Luma segera membuat surat lain dan merujukkan kes ke Victorian Medical Imaging.  Walaupun di sini perlu bayar sendiri secara tunai kerana mereka tidak menerima kad OSHC, namun alhamdulillah, akhirnya berjaya juga di’scan’ oleh sonographer wanita.

Perasaan saya semasa berada di dalam bilik ‘scan’ hanya Allah yang tahu.  Saya tersenyum tidak putus-putus.  Begitu juga suami yang kelihatan gembira maruah isterinya tetap terpelihara.  Kami berkomunikasi dengan sonographer wanita non muslim itu penuh mesra.

Ya Allah! Biarlah kami berkorban sedikit wang kerana mencari redaMu sehabis daya kami kerana kami sedar rezeki itu hanyalah pinjaman dariMu  untuk menguji usaha kami bertaqwa kepadaMu. 

Ya Allah!  Berkatilah bayi dalam kandunganku atas usaha kami ini dan jadikanlah dia dari kalangan hambaMu yang bersungguh-sungguh mentaatiMu.  Amin… ya Rabbal ‘alamin”.

 

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.  Surah Ali ‘Imran, ayat 102.

 

Ummu Abbas

8 Rabiul Awwal 1433H/31 Jan 12

Melbourne