Archive | Mei 2012

Dari Perompak Menjadi Ulama

Lokasi kegemarannya ialah antara Abyurd dan Sarkhas.  Dia melaksanakan tugasannya merompak harta orang ramai yang melintasi jalan itu.  Di sebalik kerjayanya sebagai perompak, si lelaki menyintai seorang gadis.

Pada suatu hari, si perompak ini memanjat dinding rumah si gadis untuk menemuinya.  Tiba-tiba dia terdengar suara membaca ayat al-Quran yang berbunyi,

57:16

“Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik – derhaka.”

Al-Hadid : 16

Tatkala mendengarnya beliau berkata, “Benar ya Rabb, inilah saatnya.” Lalu dia kembali dan mencari tempat untuk menginap di celah runtuhan bangunan.  Semasa berada di sana, dia mendapati serombongan orang melewati jalan itu. Sebahagian dari mereka berkata, “Mari terus berjalan.” Sebahagian yang lain pula berkata, “Tunggulah hingga pagi kerana Fudhail berada di sekitar sini dan dia akan merompak kita.”

Si perompak itu berkata, “Maka aku pun berfikir dan berkata, ‘Aku menghabiskan malam dengan berbuat maksiat sehingga ada sekelompok kaum muslimin di sini takut kepadaku.  Aku berfikir bahawa tidaklah Allah membawaku ke sini kecuali untuk mengambil pelajaran (agar menghentikan perbuatan tersebut). Ya Allah, sungguh aku telah bertaubat kepada-Mu. Dan menjadikan taubatku dengan berdiam (tinggal) di Baitul Haram (Makkah).”

Si Perompak yang bertaubat itu akhirnya menjadi ulama salafus soleh terkemuka di zamannya.  Dialah Imam Fudhail bin ‘Iyadh.

Petikan kisah Fudhail dari kitab;

Sumber: khayla.net/

[Nota:  Hatta seseorang yang pernah terlibat merompak harta negara@rakyat sekalipun atau membunuh 100 orang, pintu taubat masih terbuka luas asalkan masih meyakini kalimah syahadah sebagai anutannya.]

Kisah Fudhail mengingatkan saya kepada seorang pendakwah yang pada masa mudanya menjadi pemuzik.  Setelah mengubah haluan hidup 180º, dia menjadi ulama buruan ramai orang sekarang.  Di mana sahaja dia berceramah, ‘minta maaf’ kalau mahu disebut seribu yang hadir.  Angka itu tidak layak baginya  sekurang-kurangnya untuk tempoh sekarang.  ‘Main point’ saya bukanlah pada jumlah pendengar, bahkan pada keperibadian yang diusahakan.

Sesiapa sahaja mampu menjadi sepertinya asalkan ada kehendak disertai usaha yang ikhlas dan bersungguh-sungguh.

Tonton bola makan kuaci

Makan kuaci di atas kerusi

Dari Youtube ke pentas realiti

Ustaz Azhar Idrus nama diberi

Lebih awal dari kisah Fudhail serta lebih dahsyat lagi, ialah insan yang pernah menyembah berhala.  Bukan itu sahaja, dia juga pernah membunuh anak perempuannya hidup-hidup.  Yang mana satu kehidupan lampau yang paling teruk (sejarah hidup paling hitam)?  Dengan al-Quran, insan tersebut berubah 180º menjadi hamba kesayangan Tuhan.  Dia menjadi salah seorang 10 sahabat Rasulullah s.a.w yang dijamin syurga.  Bahkan makamnya adalah yang kedua berjiran dengan makam Rasulullah s.a.w selepas makam Abu Bakar r.a di Madinah sekarang.

Dengan Islam – berwahyukan al-Quran dan berteladankan sunnah, seseorang yang paling jahat mampu menjadi ‘malaikat’.  Bila Allah swt dikenali, segala dosa bisa dihapusi asalkan syirik dijauhi.

Tatkala hidayah mengetuk pintu hati,

Bersegera menyahut seruan Ilahi,

Bersihkan diri, solat didiri,

Ulama dicari ilmu dititipi,

Memilih sahabat berciri ukhrawi,

Agar diri tidak hanyut lagi,

Al Quran setia menemani,

Kandungannya menjadi akhlak diri,

Sunnah Rasul tanpa jemu diteladani,

Sehingga tercapai hasrat tertinggi,

Melihat wajah Allah, Rabbul Izzati.

************

57:16

“Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik – derhaka.”

Al-Hadid : 16

Ya Rabb… Irhamna waghfirlana.

Ummu Abbas

9.00pm

3 Rejab 1433H

Melbourne.

Berbulan Madu di Majlis Berkhatan


Saya pun sudah lupa sebenarnya sehinggalah suami bercerita mengenainya (tajuk di atas) di dalam satu majlis perkongsian ilmu bersama pelajar di sini.

Pendahuluan

Impian saya sejak remaja ialah berjodoh dengan “doktor rohani” – ulama.  Takdirnya saya dijodohkan dengan “doktor jasmani”- pegawai perubatan.  Maka terjadilah apa yang telah terjadi.  Apa-apalah … doktor juga, kan?  Alhamdulillah.  Asalkan beragama dan baik akhlaknya.  Lelaki beragama ini bukan dapat dibaca pada title ‘ustaz’,’syeikh’, ‘ulama’ dan seumpamanya… tetapi dapat diketahui bagaimana dia hidup dengan agama.  Dengan lain perkataan, Islam adalah pilihannya untuk dijadikan cara hidup.  Perempuan pun begitu juga.

Menjadi Ratu Sejam Dua
Alkisahnya, pada hari pernikahan kami iaitu 26 November 1998, kami seperti ramai pengantin lain juga… sibuk menjadi raja@kuli sehari.  Menjadi ‘raja sehari’ [Sebenarnya sejam dua sahaja] semasa sesi bergambar bersama keluarga dalam bilik yang dihias sederhana.  Yang banyaknya menjadi  ‘kuli berhari-hari’ kerana sibuk melayan tetamu dari pagi hingga ke tengah malam pada hari walimah.  Hari-hari sebelumnya sibuk dengan persiapan mengadakan kenduri.  Hari-hari selepasnya pula sibuk dengan mengemas, memenuhi jemputan memanggil menantu dari sanak saudara dan terus ke program menghantar menantu.

Suasana walimah di Kelantan memang lumrah begini.   Pada hari kenduri, walau sudah dicatat dari jam 12 tengahari hingga jam 6 petang, lazimnya memang berlarutan hingga ke tengah malam.  Tidak seperti di beberapa buah negeri yang lain, yang mana saya perhatikan kenduri mereka ‘sharp’ berhenti jam 2 petang.  Jam 6 petang periuk belanga sudah siap berbasuh.

Penatnya badan usah diceritalah… tetapi hati bahagia… alhamdulillah.  Bahagia kerana baru mengecapi nikmat mawaddah dan rahmat seperti yang dijanjikan Tuhan.  Pada petang hari walimah, iaitu setelah tetamu mula reda,  si teruna yang baru bergelar suami saya itu meminta izin (baca: memaklumkan) untuk pulang ke rumahnya.   Ralat juga hati saya dibuatnya.   Baru sahaja datang sudah mahu balik.   Lalu saya berkata kepadanya dengan nada bergurau, “Jangan lupa untuk datang lagi ye…”  Suami membalas, “Mana boleh tak datang… insya Allah, Abang datang malam nanti”.  Inilah kesannya bila bersuamikan dengan orang yang kampungnya tidak berapa jauh dari rumah kita.  Kalau bersuamikan orang jauh, confirm dia tidak boleh buat macam tu.

Nasib baik dia memenuhi janjinya untuk datang semula malam itu.   Kami membuka hadiah-hadiah perkahwinan disaksikan keluarga dan membahagi-bahagikan sebahagiannya kepada keluarga terdekat.  Ia amalan biasa bagi kami.   Keesokan harinya, Cik Abang beritahu, “Hari ini ada majlis berkhatan di Kampung Dewan Beta.  Abang perlu bertugas sebab tidak cukup tenaga”.  Lalu saya menurut sahaja pemuda yang belum sampai sehari bernama suami itu ke tempat program.  Rupa-rupanya, selain bergelar doktor, dia juga bergelar ‘tok mudin moden’.  Kemahiran mengkhatankan orang ini perlukan pengalaman.  Ia tidak semestinya ada pada semua doktor.  Lebih-lebih lagi doktor wanita.

Tiba di tempat program/majlis berkhatan beramai-ramai itu, saya diperkenalkan kepada doktor-doktor dan pelajar perubatan muslimah yang membantu perkhidmatan kesihatan  di situ lalu ditinggalkan bersama mereka.  Suami langsung pergi bertugas.  Nasib baik sekadar bertugas bersama anak-anak lelaki yang akan baligh. Kalau macam Hanzalah, langsung bernikah lagi dalam tempoh bulan madu iaitu dengan bidadari syurga.  [Kalau  betul-betul jadi Hanzalah, lagi bagus.]
Tidak ada apa yang saya boleh buat di situ.  Seorang makcik menyapa dan dapat membaca dari air muka saya yang keletihan.  Lalu saya akui saya memang kepenatan dek beberapa hari yang sibuk dan kurangnya berehat.  Makcik itu mempelawa saya ke rumahnya dan diberikan sebuah bilik untuk saya berehat.   Di situlah saya berbulan madu pada hari pertama bersama suami.  Saya berehat (tidur) di bilik itu sepuas-puasnya.  Sementara suami bertugas mengkhatankan anak-anak orang kampung.

Alhamdulillah, rezeki saya dapat berehat:)

Ummu  Abbas

5.29pm

29 Jumada 2 1433H

Melbourne

 

Handzalah – Lirik Lagu Rabbani

Relakanlah perpisahan kita ini
Iringilah pemergian daku nanti
Dengan doa yang tidak berhenti
Moga Islam terus berdiri

Usapilah genang airmata kasih
Senyumanmu penguat semangat daku
Andai kita tak jumpa lagi
Ku semai cintamu di syurga

Berpisahlah dua jiwa
Meninggalkan kuntum cinta
Mekar di istana taqwa
Menyahut panggilan Allah

Dengan nama Mu Allah yang Maha Gagah
Langkah ku atur pasrah daku berserah
Menangkanlah kaum Muslimin
Hancurkanlah kaum musyrikin

Demi Islam ditegakkan

Hanzalah pergi ke medan jihad
Bersama dengan para sahabat
Bertempur hebat penuh semangat
Sehingga dia syahid akhirnya

Turunlah Malaikat ke bumi
Mandikan jasadnya simpati
Sucilah jasadnya mewangi
Diarak rohnya ke firdausi

Hening malam menyaksikan
Korban cinta dua insan
Baru diijab kabulkan
Rela menyahut seruan
Demi islam ditegakkan
Jihad menjadi pilihan

Hanzalah pergi ke medan jihad
Bersama dengan para sahabat
Bertempur hebat penuh semangat
Sehingga dia syahid akhirnya

Turunlah Malaikat ke bumi
Mandikan jasadnya simpati
Sucilah jasadnya mewangi
Diarak rohnya ke firdausi

Non muslim Juga Pilih Perawat Sesama Jantina

Kadar Aurat Yang Boleh Dilihat Perawat

 

Banyak pengalaman yang telah ditempuhi dalam usaha memelihara hijab ketika mendapatkan rawatan perubatan.  Para pembaca yang berminat membaca catatan pengalaman tersebut, boleh “search” entry-entry lama di sini.  Antaranya ialah “Jangan Buka Tudung Semasa X Ray” dan  “Di Bilik Pembedahan:  Baju Lengan Pendek Pula!”

Faktor utama yang menjadi pemangkin usaha yang bersungguh-sungguh ialah hati yang mahu mendapat reda Allah dan kasih sayangNya.

Faktor lain yang memicu usaha ialah  faham prinsip dan kaedah hukum fiqh dalam beramal dengan sesuatu.  Jadi kita ada panduan bertindak  yang menepati kaedah syarak. Dunia adalah tempat bercucuk tanam, akhirat jua tempat tinggal yang kekal abadi dan tempat menuai hasil.  Jadi seboleh-bolehnya, peluang hidup yang hanya sekali mahu saya manfaatkan untuk mendapat sijil bahagia di akhirat kelak.  Semua itu hanya dapat dilakukan dengan taufik, hidayah dan pertolongan Allah jua.

Ada banyak hospital yang menjadi pilihan pelajar Malaysia bersalin di sini.  Saya memilih The Royal Women’s Hospital (The Women’s) selepas mendapat pandangan beberapa orang kawan.  Pada hari pertama berkunjung ke sana, saya duduk di ruang menunggu.  Setiap perawat akan keluar ke ruang menunggu untuk memanggil nama pesakit.  Tiba-tiba saya lihat ada lelaki yang berbuat demikian. Fikiran digaru pertanyaan, “Lelaki itu sebagai apa pula ya? Adakah dia doktor di sini juga?”  Saya menyangka semua petugasnya terutama doktor-doktor adalah wanita. Hati mula gelisah.  Bimbang perawat yang bakal memeriksa adalah lelaki.  Saya juga percaya suami yang menemani turut merasa tidak selesa dengan suasana tersebut.  Alhamdulillah, tidak lama kemudian, seorang wanita memanggil nama saya.  Lega!  Baru saya tahu, rupa-rupanya ada juga jururawat dan doktor lelaki bertugas.

Selepas peristiwa itu, saya selalu memastikan setiap rawatan susulan mendapat perawat wanita.  Setiap kali membuat temujanji, kita boleh meminta perawat wanita. Staf yang bertugas akan mencatat permintaan kita pada tarikh temujanji.  Alhamdulillah, sepanjang membuat pemeriksaan kehamilan, saya hanya diperiksa oleh jururawat dan doktor wanita sahaja.  Sebelum ke hospital saya sudah meninjau daripada pelajar Malaysia yang membuat praktikal perubatan di sana.  Hasilnya memang tidak ditemui doktor muslimah di bahagian obstetrik.  Jadi saya usahakan langkah kedua dalam memilih perawat bagi pesakit wanita iaitu perawat wanita non-muslim.

 

 

Disiplin Menentukan Darurah

Hukum asal menutup aurat adalah wajib.  Kadar aurat yang wajib ditutup berbeza berdasarkan siapa yang ada bersama wanita ketika itu sama ada lelaki ajnabi, muslimah dan wanita non-muslim.  Keutamaan memilih perawat adalah berdasarkan kadar aurat yang boleh terbuka kepada mana-mana individu itu tadi dan sifat adil serta amanah.  Kebolehan membuka aurat ketika rawatan adalah kerana menurut kaedah fikah yang berbunyi, Darurat mengharuskan perkara yang dilarang.  Maksudnya  setiap sesuatu yang diharamkan oleh syarak boleh bertukar menjadi harus ketika darurat.  Perkara haram yang  diharuskan  dalam keadaan darurat  ini dinamakan rukhsah.

Tahap darurah mesti menurut piawaian syariat juga dan tidak boleh diambil berdasarkan sangkaan.  Sebagai contoh:  Ibu hamil yang mampu membayar khidmat doktor wanita di pusat rawatan swasta wajib mengusahakan doktor wanita agar kewajiban memelihara aurat dapat diteruskan dibandingkan mendapat rawatan di hospital kerajaan tetapi tidak dapat memilih perawat wanita.  Terdapat kes-kes wanita hamil yang sanggup membayar kos yang mahal semata-mata mahu mendapatkan khidmat pakar perbidanan lelaki. Perkara ini bertentangan dengan tuntutan syariat Islam meskipun dikatakan pakar perbidanan lelaki lebih lembut dan sebagainya.  Jika sudah berkemampuan, keutamaan adalah mencari pakar perbidanan wanita juga.

Saya percaya wanita yang baik, faham dan menghayati agama akan berusaha memelihara auratnya bersungguh-sungguh.  Auratnya adalah maruahnya.  Auratnya adalah ekslusif untuk suaminya lebih-lebih lagi aurat yang paling berat bagi wanita.  Secara fitrah, wanita menjadi istimewa kerana miliki rasa malu yang tinggi berbanding lelaki.  Jadi ia menyongsang fitrah apabila ada yang sanggup mengeluarkan belanja yang mahal untuk memperlihatkan aurat yang paling  berharga kepada bukan mahramnya.  Saya juga percaya suami yang normal pasti tidak suka dan merasa cemburu lelaki ajnabi melihat aurat isterinya sama ada sedikit atau banyak.

Dalam satu kes di The Women’s, sepasang suami isteri beragama Kristian mendapatkan rawatan kehamilan.  Apabila masuk ke bilik perawat, si suami melihat doktor lelaki yang bertugas.  Dia lantas meminta digantikan dengan doktor wanita.  Doktor lelaki itu memberitahu bahawa setiap doktor sudah ada pesakitnya dan ada jadual masing-masing.  Si suami bertegas mahukan doktor wanita juga  yang memeriksa isterinya.  Akhirnya doktor lelaki itu terpaksa mengalah dan menyerahkan tugasannya kepada pelajar perubatan perempuan sambil memberitahu apa yang patut dilakukannya.  Pelajar itu adalah pelajar Malaysia yang menceritakan hal ini kepada saya.

Subhanallah!  Benarlah Islam itu agama yang sesuai dengan fitrah manusia.  Dalam situasi si isteri itu tidak pun menutup aurat seperti muslimah. Malah paling tinggi pun, pemeriksaan kehamilan hanyalah melihat bahagian perut, belum pun lagi melihat bahagian ‘pintu keluar bayi’, si suami begitu tegas tidak mahu doktor lelaki menyentuh dan melihat isterinya.  Saya terpegun mendengar cerita ini.  Terfikir betapa ramai muslim yang mudah sahaja menyerahkan isterinya kepada perawat lelaki tanpa usaha yang bersungguh-sungguh memelihara maruahnya terutama dalam kes bersalin.  Jika kita bersungguh-sungguh menjaga hak-hak Allah, Allah pasti bersungguh-sungguh juga memelihara kebajikan kita serta memberikan perlindunganNya.

Kadar Aurat Yang Boleh Dilihat

Satu kaedah fikah yang berkait rapat dengan kaedah yang diberikan sebelum ini ialah sesuatu yang diharuskan kerana darurat dihadkan menurut kadar darurat sahaja.  Aplikasi semasa memeriksa kehamilan, seorang doktor harus memandang aurat wanita di kawasan yang perlu sahaja.   Aplikasi dalam kes bersalin,  bahagian paha, betis dan kaki wajib ditutup bila diuruskan oleh perawat lelaki.  Manakala jika diuruskan oleh perawat wanita, maka bahagian paha hingga ke lutut wajib ditutup.  Saya pernah melihat seluar yang direka untuk wanita bersalin yang mana ia terbuka di bahagian saluran kelahiran sahaja.

Insya Allah, usaha-usaha mematuhi syariat ke tahap maksimum sedang diusahakan oleh para perawat yang menghayati agamanya.  Saya berharap usaha yang baik ini akan mendapat kerjasama dari semua pihak yang terlibat dalam bidang kesihatan sama ada pihak kementerian kesihatan, hospital-hospital kerajaan mahu pun swasta dan para perawat yang bertugas.

Apa yang kita belanjakan kerana mematuhi syariatNya akan diganti dengan rezeki yang lebih baik lagi.    Segala penat lelah dalam berusaha meraih redaNya pasti dibalas ganjaran yang besar di akhirat kelak.  Di dunia kita mendapat kasih sayang, rahmat dan keampunan Ilahi.  Di akhirat akan mendapat nikmat terbesar yang ditunggu-tunggu oleh semua mukmin iaitu menatap wajah Allah azza wajalla.  Jagalah Allah, Allah pasti menjagamu.

Allah berfirman di dalam Surah Saba’ ayat 39, “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya, dan Dia juga yang menyempitkan baginya.  Apa sahaja yang kamu belanjakan maka Allah akan menggantikannya.   Dia lah jua sebaik-baik pemberi rezeki.”

Ummu Abbas

Bajunya Hanya 3 Pasang

Bismillah.

 

Apa Nabi s.a.w kata tentang Zuhud?

Mungkin ada yang pernah menemui hadis di bawah.

Rasulullah s.a.w pernah berkata tentang zuhud antaranya ialah, “Zuhudlah kamu di dunia nescaya ALlah menyintai kamu, dan zuhudlah kamu apa yang ada pada tangan manusia, nescaya kamu dicintai oleh manusia.”


Sabda Rasulullah s.a.w lagi, “Apabila ALlah menghendaki seseorang itu baik maka dizuhudkannya hidup di dunia dan menjadikannya gemar kepada akhirat serta memperlihatkan kekurangan dirinya.”

 

Bunyinya macam bestkan!  Best bila kita adalah antara hamba yang terpilih menikmati ‘rasa zuhud’ seperti yang disebutkan Nabi s.a.w di atas.  Sifat Nabi s.a.w ialah cakap serupa bikin.   Oleh sebab itu, apa-apa yang disampaikan Baginda s.a.w terasa mudah menyerapi jiwa.

 

Saya berharap Allah sudi memilih saya untuk menikmati sifat zuhud seperti yang disebut-sebut Nabi Muhammad s.a.w.

 

Zuhud Seorang Isteri Mufti

Suatu hari, dalam sembang-sembang hal zuhud di MMP dahulu, seorang sahabat bercerita, “Ada seorang isteri mufti hanya miliki 3 pasang baju kurung yang dipakai untuk keluar rumah (maksudnya pakaian menutup aurat).  Namun keadaannya itu tidak disedari ramai kerana dia sering juga memakai baju yang berbeza.

Apa yang dibuatnya sehingga ramai yang tidak tahu isteri mufti itu hanya miliki 3 pasang baju sahaja?   Rupa-rupanya setiap kali isteri mufti itu membeli pakaian baru, dia akan segera sedekahkan yang lama untuk mengekalkan kuantiti 3 pasang baju.

Jumlah 3 pasang baju itu adalah menurut keperluan yang mustahak.  Pertama yang akan dipakai ketika keluar rumah.  Kedua ‘standby’ jika berlaku apa-apa pada pakaian yang sedang dipakai.  Ketiga pakaian yang sedang dibasuh.”

Terpegun juga kami mendengar kisah tersebut.  Timbul rasa ingin meneladani sikap tersebut.  Itulah yang membuatkan saya terfikir, bila dilihat almari baju semakin sesak dengan pakaian, yang patut dibuat adalah menyedekahkan baju-baju yang sudah berlebihan, bukannya menambah almari pakaian lain pula.

#Sebenarnya, kisah kezuhudan Rasulullah s.a.w dan para sahabat adalah lebih hebat.  Namun kisah isteri mufti di atas terasa sudah hebat jika dibandingkan dengan kehidupan ummah pada hari ini.  Tidak memiliki kerana miskin tetapi hati mengingini kemewahan tidak termasuk zuhud.  Yang dikatakan zuhud ialah mengambil sekadar keperluan walaupun mampu memiliki lebih dari itu.#

 

Keluhan Ustaz yang Zuhud pula…

Teringat pula satu keluhan seorang ustaz yang terkenal warak dan zuhud di MMP dulu.  Ustaz itu berkata, “Ana gerun melihat guru-guru wanita yang menukar fesyen pakaian setiap hari.  Jika ada 5 hari dalam seminggu waktu persekolahan, maka 5 pasang pakaiannya.  Jika sebulan, maka 30 pasanglah pakaiannya.

Ya Allah… bagaimanalah mereka akan menghadapi hari hisab nanti… ”  Keluhan itu dinyatakan dengan air mukanya benar-benar menampakkan kerisauan.  Seorang ustaz yang berkata dari lubuk hatinya yang sayangkan semua guru-guru itu.

Jika Ustaz sendiri berusaha bersungguh-sungguh mengurangkan bebannya di hari hisab di akhirat nanti… begitu jugalah harapannya pada insan-insan lain yang dikenalinya.

Ya Allah… lindungi Ustaz kami yang pemurah dengan ilmu, tidak lokek dengan senyuman dan  amat berlemah lembut dengan kami itu.

 

Hairan Seorang Isteri Dengan Kain Pelikat Suaminya.

 

Seorang sahabat yang baru berkahwin bercerita, “Suatu hari suami bertanyakan kain pelikatnya.  Saya beritahu belum basuh lagi.  Saya tidak tahu rupa-rupanya suami hanya ada 3 helai kain pelikat.  Sedangkan saya mengumpulnya sebelum membasuhnya.  Bila saya cadangkan agar dibeli sahaja yang baru, suami kelihatan kurang menyenanginya.   Bila ditanya kenapa ada 3 helai sahaja.  Suami menjawab satu untuk dipakai, satu untuk dibasuh dan satu lagi untuk ‘standby’.”

 

Sekadar catatan kenangan dari insan yang semakin hampir menemui tuhannya.  Moga Allah beri kekuatan mencapai zuhud para solihin sebelum ajal menjelang tiba.

Impian termasuk dalam kuota 4.9 billion masuk syurga tanpa hisab adakah akan tercapai?  Astaghfirullah.

 

Wala haula wala quwwata illa billahil ‘aliyyul ‘azhim.

 

Ummu Abbas

1.56am

21 Jumada 2 1433H/12 Mei 2012

Melbourne

Tiada Konsep Hijab Muslimah Di Dalam al-Quran

Jilbab Mukminah (Perempuan-perempuan Beriman) – Menutupi dan feminin.

Sedikit perkongsian dari KOM (Kuliah Online Muslimah) bertajuk “Hijab Mukminah”.

1.  Ayat-ayat Hijab diturunkan kepada wanita beriman sahaja.

2.  Di dalam Al-Quran, tiada konsep Hijab Muslimah. Yang ada hanya ciri HIJAB MUKMINAH (Perempuan-perempuan Beriman).

3. Perempuan-perempuan beriman bererti mereka yang percaya kewujudan Allah, meyakini dan dapat merasakan Allah sentiasa memerhatikannya, percaya dan yakin pada perkara-perkara ghaib. Kepercayaan dan keyakinan yang meresap di hati ini membuatkan tindakan dan tingkahlakunya sentiasa dipandu wahyu. Yang membuahkan individu mukminah yang berpegang teguh pada ajaran agamanya.

4. Bila konsep HIJAB MUKMINAH difahami dengan betul, para mukminah tidak mudah terpesona dengan kosmetik bahasa yang dicatatkan pada nama-nama fesyen seperti Busana Muslimah, Fesyen Islami dan sebagainya. Segala nama fesyen yang disandarkan kepada nama-nama Islami tetapi tidak menepati konsep yang dicirikan Surah Al-Nur ayat 31 dan Surah Al-Ahzaab ayat 59, maka harus dipakai di dalam rumah sahaja atau di hadapan mahram atau boleh juga dipakai di luar rumah dengan menyarung jubah atau abaya yang luas di luar pakaian tersebut.

5.  Konsep Hijab Mukminah lebih luas dari sekadar yang bernama JILBAB.  Hijab Mukmimah merangkumi cara berpakaian, cara berkomunikasi dengan ajnabi, menundukkan pandangan dan adab-adab keluar rumah.

Ummu Abbas

8.45pm

17 Jumadal 2 1433H/ 9 Mei 2012

Melbourne.