Berbulan Madu di Majlis Berkhatan


Saya pun sudah lupa sebenarnya sehinggalah suami bercerita mengenainya (tajuk di atas) di dalam satu majlis perkongsian ilmu bersama pelajar di sini.

Pendahuluan

Impian saya sejak remaja ialah berjodoh dengan “doktor rohani” – ulama.  Takdirnya saya dijodohkan dengan “doktor jasmani”- pegawai perubatan.  Maka terjadilah apa yang telah terjadi.  Apa-apalah … doktor juga, kan?  Alhamdulillah.  Asalkan beragama dan baik akhlaknya.  Lelaki beragama ini bukan dapat dibaca pada title ‘ustaz’,’syeikh’, ‘ulama’ dan seumpamanya… tetapi dapat diketahui bagaimana dia hidup dengan agama.  Dengan lain perkataan, Islam adalah pilihannya untuk dijadikan cara hidup.  Perempuan pun begitu juga.

Menjadi Ratu Sejam Dua
Alkisahnya, pada hari pernikahan kami iaitu 26 November 1998, kami seperti ramai pengantin lain juga… sibuk menjadi raja@kuli sehari.  Menjadi ‘raja sehari’ [Sebenarnya sejam dua sahaja] semasa sesi bergambar bersama keluarga dalam bilik yang dihias sederhana.  Yang banyaknya menjadi  ‘kuli berhari-hari’ kerana sibuk melayan tetamu dari pagi hingga ke tengah malam pada hari walimah.  Hari-hari sebelumnya sibuk dengan persiapan mengadakan kenduri.  Hari-hari selepasnya pula sibuk dengan mengemas, memenuhi jemputan memanggil menantu dari sanak saudara dan terus ke program menghantar menantu.

Suasana walimah di Kelantan memang lumrah begini.   Pada hari kenduri, walau sudah dicatat dari jam 12 tengahari hingga jam 6 petang, lazimnya memang berlarutan hingga ke tengah malam.  Tidak seperti di beberapa buah negeri yang lain, yang mana saya perhatikan kenduri mereka ‘sharp’ berhenti jam 2 petang.  Jam 6 petang periuk belanga sudah siap berbasuh.

Penatnya badan usah diceritalah… tetapi hati bahagia… alhamdulillah.  Bahagia kerana baru mengecapi nikmat mawaddah dan rahmat seperti yang dijanjikan Tuhan.  Pada petang hari walimah, iaitu setelah tetamu mula reda,  si teruna yang baru bergelar suami saya itu meminta izin (baca: memaklumkan) untuk pulang ke rumahnya.   Ralat juga hati saya dibuatnya.   Baru sahaja datang sudah mahu balik.   Lalu saya berkata kepadanya dengan nada bergurau, “Jangan lupa untuk datang lagi ye…”  Suami membalas, “Mana boleh tak datang… insya Allah, Abang datang malam nanti”.  Inilah kesannya bila bersuamikan dengan orang yang kampungnya tidak berapa jauh dari rumah kita.  Kalau bersuamikan orang jauh, confirm dia tidak boleh buat macam tu.

Nasib baik dia memenuhi janjinya untuk datang semula malam itu.   Kami membuka hadiah-hadiah perkahwinan disaksikan keluarga dan membahagi-bahagikan sebahagiannya kepada keluarga terdekat.  Ia amalan biasa bagi kami.   Keesokan harinya, Cik Abang beritahu, “Hari ini ada majlis berkhatan di Kampung Dewan Beta.  Abang perlu bertugas sebab tidak cukup tenaga”.  Lalu saya menurut sahaja pemuda yang belum sampai sehari bernama suami itu ke tempat program.  Rupa-rupanya, selain bergelar doktor, dia juga bergelar ‘tok mudin moden’.  Kemahiran mengkhatankan orang ini perlukan pengalaman.  Ia tidak semestinya ada pada semua doktor.  Lebih-lebih lagi doktor wanita.

Tiba di tempat program/majlis berkhatan beramai-ramai itu, saya diperkenalkan kepada doktor-doktor dan pelajar perubatan muslimah yang membantu perkhidmatan kesihatan  di situ lalu ditinggalkan bersama mereka.  Suami langsung pergi bertugas.  Nasib baik sekadar bertugas bersama anak-anak lelaki yang akan baligh. Kalau macam Hanzalah, langsung bernikah lagi dalam tempoh bulan madu iaitu dengan bidadari syurga.  [Kalau  betul-betul jadi Hanzalah, lagi bagus.]
Tidak ada apa yang saya boleh buat di situ.  Seorang makcik menyapa dan dapat membaca dari air muka saya yang keletihan.  Lalu saya akui saya memang kepenatan dek beberapa hari yang sibuk dan kurangnya berehat.  Makcik itu mempelawa saya ke rumahnya dan diberikan sebuah bilik untuk saya berehat.   Di situlah saya berbulan madu pada hari pertama bersama suami.  Saya berehat (tidur) di bilik itu sepuas-puasnya.  Sementara suami bertugas mengkhatankan anak-anak orang kampung.

Alhamdulillah, rezeki saya dapat berehat:)

Ummu  Abbas

5.29pm

29 Jumada 2 1433H

Melbourne

 

Handzalah – Lirik Lagu Rabbani

Relakanlah perpisahan kita ini
Iringilah pemergian daku nanti
Dengan doa yang tidak berhenti
Moga Islam terus berdiri

Usapilah genang airmata kasih
Senyumanmu penguat semangat daku
Andai kita tak jumpa lagi
Ku semai cintamu di syurga

Berpisahlah dua jiwa
Meninggalkan kuntum cinta
Mekar di istana taqwa
Menyahut panggilan Allah

Dengan nama Mu Allah yang Maha Gagah
Langkah ku atur pasrah daku berserah
Menangkanlah kaum Muslimin
Hancurkanlah kaum musyrikin

Demi Islam ditegakkan

Hanzalah pergi ke medan jihad
Bersama dengan para sahabat
Bertempur hebat penuh semangat
Sehingga dia syahid akhirnya

Turunlah Malaikat ke bumi
Mandikan jasadnya simpati
Sucilah jasadnya mewangi
Diarak rohnya ke firdausi

Hening malam menyaksikan
Korban cinta dua insan
Baru diijab kabulkan
Rela menyahut seruan
Demi islam ditegakkan
Jihad menjadi pilihan

Hanzalah pergi ke medan jihad
Bersama dengan para sahabat
Bertempur hebat penuh semangat
Sehingga dia syahid akhirnya

Turunlah Malaikat ke bumi
Mandikan jasadnya simpati
Sucilah jasadnya mewangi
Diarak rohnya ke firdausi

About these ads

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s