Archive | Julai 2012

“Kia Ora”

Uniknya ciptaan Allah. Burung Kiwi merupakan trademark New Zealand.

Bismillah.

 

Assalamu’alaikum warahmatullah.

 

Kesibukan yang tidak pernah surut… ditambah pula dengan kesibukan lain membuatkan saya bertambah jarang dapat bersama hobi ‘menulis’.  Semoga Allah ampunkan saya dan terus memberi rezeki ‘masa menulis’ agar dengannya saya dapat jadikan satu pelaburan penting di akhirat kelak.

 

Di sini saya lampirkan artikel yang pernah di terbitkan majalah Era Muslimah.  Moga ada manfaatnya.

 

Tajuk lain bagi artikel ini:  “Bila Sudah Rezeki”

 

Semasa bersiap-siap untuk datang ke Melbourne dahulu, saya berfikir, “Tidak mungkin kami akan ke New Zealand memandang kepada kedudukan kewangan famili”.  Dapat bermastautin di Australia buat sementara waktu pun satu kurniaan Allah yang cukup besar untuk dinikmati dan disyukuri.  Antara ilmu yang tidak dapat dikutip lewat kuliah dan kelas ialah ibrah-ibrah yang  dititip dari pengalaman hidup di rantau orang.

 

 

Sebenarnya, apabila berada di satu-satu negara, saya suka mengambil peluang melawat negara-negara berdekatan untuk mengenali lebih jauh bangsa-bangsa dan budaya yang Allah ciptakan di bumi ini.

 

Allah berkata di dalam surah Al-Hujurat, ayat 13,

“ Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”

 

 

Sepanjang tempoh belajar di Jordan dahulu, alhamdulillah, sempat menziarahi Mesir, Arab Saudi untuk menunaikan umrah dan haji, Turky dan Syria.   Mendekati manusia yang berbagai bangsa dan cara hidup mereka dapat meningkatkan ubudiyyah kepada Allah jika itulah matlamat kita.

 

 

Rezeki Yang Tidak Disangka

 

Benarlah janji Allah di dalam Surah Ibrahim, ayat 7, “Sekiranya kamu bersyukur, nescaya Aku akan tambahkan nikmatKu, sekiranya kamu kufur, sesungguhnya azabKu amatlah pedih”.   Saya sentiasa bermujahadah untuk merasa cukup dengan setiap pemberian Allah baik sedikit mahu pun banyak.  Dan cuba panjatkan segala puji dan syukur hanya untukNya di atas segala kurniaanNya.  Dalam masa yang sama, saya juga bermujahadah menahan diri dari merasa dengki dengan nikmat yang Allah anugerahkan kepada orang lain.   Mujahadah ini diiringi dengan perasaan mengharapkan pertolongan dan kekuatan dari Allah swt.  Tiada daya dan kekuatan melainkan dari Allah jua.

 

 

Biasanya, mujahadah begini menelurkan rasa tenang di jiwa tatkala kita berjaya menguasai nafsu yang sentiasa mengajak ke arah kejahatan.  Rasa tenang itulah menjadi dambaan hidup setiap hari.  Jadi saya merasa tetap bahagia  serta kaya raya walau berada dalam situasi  tidak cukup wang.

 

 

Siapa sangka ya… pada April lepas iaitu cuti Easter, saya dan famili berpeluang melawat Auckland, New Zealand.  Jarak Melbourne –Auckland ialah 2632 km.  Perjalanan menaiki pesawat memakan masa kira-kira 3 jam setengah.  Saya dijemput memberi ceramah kepada mahasiswi di sana.  Alang-alang tempatnya jauh juga, suami memutuskan untuk membawa semua anak-anak ke sana.  Kami tidak fikir akan ke sana beberapa kali jika tiada urusan penting.  Kemampuan masa dan kewangan normalnya agak terbatas kecuali diizinkan Allah.

 

 

“Kia Ora”

 

“Kia Ora”

Begitulah bunyi satu tulisan menyambut kami di Lapangan terbang Auckland.  Ia adalah salah satu tarikan buat saya apabila melawat sesebuah negara bila mana pihak kerajaan tempatan mengangkat identiti bangsa untuk dikenali pelancong.  Sama ada ia dari aspek linguistik, budaya berpakaian, etika pergaulan, desain bangunan atau kediaman dan sebagainya.  “Kia Ora” bermaksud “Hai” atau “Hello”.  Ia menunjukkan identiti bangsa Maori yang merupakan penduduk asal New Zealand.

 

 

Dua orang mahasiswi menyambut kami dan membawa ke supermarket.  Ia adalah atas permintaan kami sendiri memandangkan kami akan terus ke farmstay yang ditempah sejak awal.  Farmstay ialah rumah di kawasan ladang tradisional New Zealand.  Jadi jaraknya agak jauh dari kawasan bandar.

 

 

Kira-kira sejam dari Lapangan Terbang Auckland, kami tiba di Warkworth.  Sedikit terperanjat tatkala melalui jalan tidak berturap tar sepanjang 5km sebelum tiba di penginapan.  Waktu itu sudah malam, jadi pemandangan di kiri kanan jalan kelam sahaja.  Rumah penduduk pula jarang-jarang kelihatan.  Penduduk New Zealand berjumlah kira-kira 4.37 juta.

 

 

Kami disambut mesra oleh tuan rumah.  Sikap ramah semulajadi Simon mengingatkan saya kepada sikap ramah penduduk negeri asal kami iaitu Kelantan.  Simon bercerita, “Penduduk di South Island lebih peramah dan jujur.  Jika mereka bertanya khabar, ‘Hi! How are you?’, mereka benar-benar maksudkan itu.  Mereka mahu tahu keadaan awak.  Tetapi jika penduduk bandar di North Island ini, jika mereka bertanya,’Hi! How are you?’, maksudnya mereka mahukan duit awak”.  Rupa-rupanya Simon berasal dari Pulau Selatan New Zealand.  Kemudian ke Auckland kerana menyambung pelajaran.  Sehabis belajar, berkahwin dengan gadis utara dan terus menetap di sini.  Patutlah dia tahu dan faham benar  sikap semulajadi penduduk South Island.

 

 

Memandang kawasan rumahnya di kelilingi ladang, saya bertanya, “Adakah Kiwi di sini?”

Simon kelihatan terpinga-pinga dengan soalan itu,  “Kiwi apa?”.

“Bukankah di sini terkenal dengan burung Kiwi?”.

“Oh… burung itu susah ditemui sekarang.  Di sini jika disebut Kiwi, ia bermaksud penduduk New Zealand.  Contohnya saya sendiri.  Saya adalah Kiwi.”

 

Oh begitu rupa-rupanya.  Patutlah pada awalnya,dia seperti pelik bila ditanya begitu.  Kiwi sudah ada di depan mata, ditanya lagi.  Inilah peri pentingnya kita mengenal budaya tempatan sesebuah masyarakat.

 

 

Saya merasakan sesuatu yang unik di sebalik penciptaan Allah pada bangsa-bangsa manusia.  Dari manusia pertama bernama Adam dan pasangannya, Hawa, lahirlah beratus jenis bangsa manusia dengan ciri perbezaan pada paras rupa, warna kulit, bahasa dan budaya.  Semua itu adalah untuk menzahirkan kebesaran Allah dan betapa Allah maha kreatif mencipta sesuatu.  Kewujudan pelbagai bangsa itu hanya boleh disatukan dengan asas Islam sebagaimana Rasulullah s.a.w menyatukan pelbagai kabilah Arab yang asyik berkelahi pada masa dahulu imma mereka muslim dan juga non muslim.  Justeru sesuatu perjuangan yang diasaskan kepada bangsa sama sekali bercanggah dengan fitrah Islam.

 

Islam untuk semua.

Ramadan Bulan Efektif Untuk Menulis

Bismillah.

Alhamdulillah, diberi kesempatan lagi menikmati Ramadan tahun ini. 

Selain solat terawih, banyak membaca al-Quran, Ramadan juga bulan yang paling efektif untuk menulis.

 

Menurut pengalaman saya, Ramadan bulan paling efektif untuk menulis disebabkan faktor berikut:

1) Jimat waktu makan dan minum di siang hari…jadi masa terluang lebih banyak untuk menulis.

2) Jimat masa memasak dan melayan anak-anak makan di siang hari… tinggal yang kecil-kecil sahaja yang perlu dilayan.

3) Keadaan perut yang kosong menjadikan otak lebih efisien untuk mencari idea.

4) Keadaan perut yang berehat dari bekerja membuatkan badan lebih cergas untuk menaip.

5) Syaitan yang bercuti sebulan tidak dapat menganggu kita untuk ‘bermalas-malasan’ dalam menyebarkan ilmu. Syaitan takut jika lebih ramai manusia memahami agama, lebih susah untuk dia memperdaya.

 

Sedikit perkongsian di awal Ramadan :)

 

Selamat menyambut Ramadan buat semua ummat Islam.  Semoga kita layak memperolehi ijazah taqwa di penghujungnya.  Amin.

 

 

Ummu Abbas

2 Ramadan 1433H

9.07am, Melbourne.

Radio Australia: PAS mengubah persepsi umum dengan terus kekal dengan prinsip agama.

Terjemahan Transkripsi Temubual Puan Mumtaz Md Nawi  bersama ABC Radio Australia.

(Puan Mumtaz merupakan Naib Ketua Muslimat, Dewan Muslimat Pas Pusat sesi 2011-2013)

Jumaat, 16 Syaaban 1433H/6 Julai 2012, 5 petang.

Studio ABC Radio Australia.

 

 

Radio Australia:  PAS mengubah persepsi umum dengan terus kekal dengan prinsip agama.

Kami yakin rakyat Malaysia kini menuntut kepada keadilan sebenar dan kepentingan kepada penyertaan sama rata dan seimbang dari lelaki dan wanita. Jika tidak, kerajaan kita tidak akan menjadi kerajaan yang kuat. Ini terbukti melalui debat parlimen yang memperlihatkan bahawa penyertaan wanita dalam politik kini membolehkan mereka menyuarakan pendapat dalam parlimen dan kebanyakan mereka dari golongan muda.

Sejak Merdeka lagi, PAS telah menghantar wakil wanita utk menjadi ahli Dewan Rakyat dan senator di parlimen. Pada tahun 2004, parti ini membuka peluang semula kepada wanita untuk menjadi wakil rakyat. Andaian orang luar yang melihat PAS sebagai sebuah parti ortodoks, sebenarnya adalah tidak tepat kerana jika dilihat berdasarkan kepada kepelbagaian ahli jawatankuasa wanita di peringkat Pusat , daripada 20 ahli  17 dari mereka ialah para profesional yang terdiri dari doktor, peguam, akauntan dan pakar IT selain 3 orang yang secara langsung merupakan ustazah dan pakar agama.

Dari segi penyertaan dalam politik, PAS dilihat sebagai sebuah parti yang progressif. Bagaimana anda mahu menjelaskan tentang hukum syariah yang dilaksanakan di Kelantan dan negeri-negeri lain di bawah kuasa PAS?

Saya sendiri datang dari Kelantan. Syariah telah menggariskan tatacara umum syarat untuk menjaga aurat, pergaulan antara lelaki dan perempuan. Dari penyertaan wanita dalam politik, syariah tidak pernah menjadi penghalang.

Adakah semua wanita Muslim perlu memakai tudung?

Secara syariatnya ya. Sebagai kerajaan, kami menggalakkan para wanita menutup aurat. Memang ada segelintir rakyat yang masih  tidak menutup aurat.  Secara individu  kami tidak boleh memaksa kerana ia bertentangan dengan perlembagaan.

Apakah pemerhatian anda tentang PAS dan kerajaan sekarang UMNO sedang cuba untuk mengetengahkan dasar ISLAM masing-masing dalam usaha untuk memenangi undi MELAYU dalam Pilihanraya 13 akan datang?

Sejak penubuhan PAS dari awal kemerdekaan , kami mempunyai dasar tetap  dan  jelas untuk menegakkan  undang-undang Islam.  Sejak dari itu kami tidak pernah mengubah dasar kami.  Kami hanya mengubah pendekatan dan struktur yang digunakan, tapi bukan dasar-dasar kami. Kami amat komited dan berpegang dengan prinsip dan dasar kami.

Apa yang lebih menggembirakan, kesan dari komitmen yang konsisten ini, kini lebih ramai selebriti dan artis, serta golongan professional yang telah bersara mula menyertai PAS.  Bila UMNO mula cuba bersaing dengan kami dalam memperjuangkan Islam, mereka telah memperkenalkan pelbagai slogan hanya untuk mendapatkan perhatian rakyat.

Tahun 2004, mereka memperkenalkan Islam Hadhari. Selepas Islam Hadhari gagal pada 2008, mereka  mengubah kepada  1 Malaysia. Pada pertengahan 1 Malaysia ini, mereka  memperkenalkan pula nama baru ,Islam Wasatiyyah (Islam sederhana). Mereka terus mengubah dasar mereka semata-mata untuk menarik penyokong Melayu.

Sebaliknya  PAS lebih terbuka sekarang dengan menubuhkan dewan dari kalangan bukan Islam. PAS adalah satu-satunya parti Islam di dunia yang secara rasmi menubuhkan dewan penyokong yang terdiri daripada  golongan bukan Islam.

Adakan puan ingin mengatakan bahawa golongan bukan muslim secara keseluruhan telah  mula yakin dengan PAS kerana dahulu mereka mempunyai keraguan terhadap parti ini?

Ini adalah berdasarkan rekod PAS yang telah menjadi kerajaan Kelantan selama lebih 22 tahun dan mereka sendiri telah melihat apa yang berlaku di Kelantan dan hal ini  berkembang  dan juga dapat dilihat di negeri-negeri lain seperti Selangor, Kedah dan Pulau Pinang .

Apakah jangkaan anda akan prestasi Pakatan Rakyat dalam Pilihannraya Umum 13 yang akan datang?

Sekurang-kurangnya Pakatan Rakyat akan mampu menang separuh daripada negeri-negeri di Malaysia berdasarkan kepada perkembangan dan prestasi terkini kerajaan Pakatan Rakyat  Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan juga Kelantan dari segi pengurusan kewangan dan prestasi sifar korupsi di negeri-negeri ini. Jadi, rakyat akan memilih dan  memberi undi kepada  Pakatan Rakyat dalam pilihanraya yang akan datang.

Akhir sekali, terdapat kontroversi mengenai sekumpulan wanita yang menamakan kumpulan mereka sebagai “Kelab Isteri-isteri  Taat” . Kelab ini dikatakan sibuk memberi nasihat mengenai seks dan perhubungan untuk memenangi wanita Muslim.  Para pemerhati melihat kumpulan ini sebagai kumpulan kecil dimana aktiviti kumpulan ini dilihat sebagai semakin berkembang di kalangan komuniti  Muslim di Malaysia, apakah pandangan anda mengenai kelab ini?

Pada pandangan saya, kelab ini adalah kelab NGO terpencil yang membincangkan isu mengenai perkahwinan secara terperinci. Perkahwinan bukan sahaja mengenai seks bahkan meliputi segenap aspek kehidupan bermula daripada akad nikah sehingga ke akhir hayat. Pada pendapat saya isu yang diketengahkan oleh kelab ini hanyalah 5% daripada beratus-ratus isu rumahtangga. Saya berpendapat adalah tidak perlu untuk kita mengetengahkan isu seks tanpa had semata-mata kerana perkara ini tidak dianjurkan oleh Nabi Muhammad S.A.W. Kita perlulah mengikut apa yang diajarkan oleh Nabi Muhammad S.A.W.

Tapi adakah anda bersetuju dengan pandangan kelab ini untuk membincangkan isu-isu  memperbaiki hubungan seks secara terbuka dalam perkahwinan Islam?

Untuk memperbaiki hubungan seks agar rumahtangga bahagia adalah satu perbincangan yang sihat, tetapi untuk berbincang tentang hubungan seksual bukan menjadi fokus dan isu utama dan kami tidak sekali-kali mengiktiraf perbuatan seks secara paksaan.

Terjemahan bebas oleh Srikandi Islam.

Editor:  Puan Mumtaz Md Nawi

Doa Melihat Alam – Musim Main Salji di Melbourne

Bismillah

 

Sekarang ini musim orang main salji di Melbourne.  Mujurnya salji tiada di Melbourne itu sendiri.  Sesiapa yang mahu tengok dan main salji kena panjat gunung-gunung sekitarnya seperti Mt Bao Bao, Mt Buller dan Lake Mountain.

Antara ketiga-tiga gunung itu, pada pandangan sesetengah orang, Mt Bao Bao paling cantik walaupun jalan menuju ke puncak paling berbelit.

Ketiga-tiga tempat itu jaraknya dari Melbourne sekitar 2-3 jam perjalanan.

Pakaian untuk main salji biasanya disewa di kedai-kedai di kaki bukit.  Rantai tayar kereta wajib disewa.   Ini peraturan yang ada di sini.  Sewanya dalam AUD30/set.

Bila ke sana, saya ingatkan anak-anak kita mahu lihat alam ciptaan Allah.  Bukan bermain semata.   Jadilah musafir kita itu sebagai ibadah.  Apabila perjalanan kita menjadi ibadah, jiwa akan terisi dengan zikir, minda terisi dengan fikir.  Akhirnya membuahkan ketenangan di jiwa.  Bukan itu sahaja, perjalanan kerana ibadah juga dilindungi Allah… serta mendapat pahala.

“Bila kita melihat keindahan alam… apa yang kita ucapkan?”, saya bertanya anak-anak.

Mereka menggelengkan kepala.   Lalu saya mengajar doa itu kepada mereka.

Latar lokasi gambar: Warkworth, New Zealand.

Subhanallah!

 

Selaku hamba, tatkala melihat keindahan alam dan keunikannya, doa di dalam ayat di ataslah yang paling layak diucapkan kepada Pencipta Keindahan.

 

Orang-orang beriman itu sentiasa melihat sesuatu di sekitarnya dengan satu hasrat dan impian sahaja iaitu hati yang lembut kerana mengingati Allah.  Hati yang lembut mudah mengalirkan air mata bila mengenangkan Allah dan melihat kebesarannya.

 

Selain doa itu, saya lebih tertarik dengan ayat-ayat yang berada disekitar doa tersebut.

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orangorang yang berakal.                                                                             Ali Imran 3: 190

(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka”                                                                                                               Ali ‘Imran 3: 191

Allahu Allah…
Allah menceritakan sifat orang yang berakal ialah yang saatnya mereka

berdiri…

duduk…

dan berbaring mengiring…

Sentiasalah mereka menyebut-nyebut nama Allah dan mengingatiNya sambil terus berfikir tentang kejadian langit dan bumi.

 

Hati yang lembut kerana mengingati Allah akan terdorong menyuruh anggota badannya mentaati segala perintah Allah dan mencegah dari ‘melukai’ Allah swt.

 

 

Ummu Abbas

2.56pm

14 Syaaban 1433H

Melbourne