Archive | Ogos 2012

Merdeka Dari Rahim Bonda

Bismillahirrahmaanirrahim.

31 Ogos juga bererti hari ulangtahun dua orang anakanda saya ‘merdeka’ dari rahim bonda mereka.(◠‿◠).  Alhamdulillah.

” Eid Meelad Sa’eed kepada dua anakanda, Abbas Zainy dan Azzam Zainy pada 31 Ogos. Semoga membesar menjadi anak-anak yang soleh.

Erti kemerdekaan bagi mukmin ialah merdekanya ruh dari memperturut hawa nafsu dan menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah swt.
Erti merdeka bagi sesebuah negara ialah bebas melaksanakan hukum Allah dengan mengembalikan hakimiyah kepada Allah semata.
Islam itu Tinggi dan tiada sesuatu pun yang mengatasinya.  Islam satu-satunya agama/cara hidup yang diredai ALlah.
Tidak lupa buat anakanda-anakanda yang sudah terlepas tarikh, Aziz, Aesya, Aqil dan Aleeya.”
Ummu Abbas
13 Syawal 1433H/31 Ogos 2012
2.47pm
Melbourne.

Berbuka dengan Kangaroo

Diberi makan.

Bismillah

Ini entry ketinggalan kapal terbang.  Apa pun saya mahu berkongsi juga sekurang-kurangnya dalam usaha mendokumentasikan pengalaman di sini, insya Allah.

********************

“Kak Nur, apa hukum makan daging kangaroo ye?”

“Setahu Kak Nur, hukumnya harus.”

“Oh… tetapi ada orang cakap tidak boleh sebab kukunya tajam.  Ada kawan suami beli daging kangaroo dan makan.”

“Daging kangaroo yang disembelih ada dijualkah?”

“Ada tapi jarang jumpalah.”

“Kalau begitu, bolehlah makan.  Sudah tentu ianya telah mendapat panduan dari syeikh-syeikh di sini.”

Teringat pula pertanyaan seorang sahabat tidak lama dahulu.  Selepas mengetahui terdapat kawan-kawan yang mencari daging kangaroo untuk dimakan, saya mula teringin juga merasainya.  Apa pun, eloklah kita pastikan dulu  secara ringkas status halalnya berdasarkan ilmu.

Ulama membahagikan kepada 2 kumpulan haiwan yang halal di makan iaitu haiwan darat dan haiwan air.

1) HAIWAN DARAT
Semua haiwan darat halal dimakan kecuali:

a) Haiwan yang disembelih tidak mengikut hukum syarak.
b) Babi.
c) Anjing.
d) Haiwan yang bertaring yang digunakan untuk mencakar dan membunuh iaitu
haiwan-haiwan buas seperti harimau, serigala, singa, gajah dan seumpamanya.
e) Burung yang mempunyai kuku pencakar atau makan menyambar seperti
burung helang dan seumpamanya.
f) Haiwan-haiwan yang diperintah oleh Islam membunuhnya iaitu seperti ular,
tikus, cicak, kala, burung helang, lipan dan seumpamanya.
g) Haiwan yang dilarang oleh Islam membunuhnya iaitu seperti semut, lebah
dan burung belatuk.
h) Haiwan yang dipandang jijik (keji) oleh umum seperti kutu, lalat, ulat
dan seumpamanya.
i) Haiwan yang hidup di darat dan di air (dua alam) seperti katak, buaya,
ketam batu dan seumpamanya.

2) HAIWAN AIR

Haiwan air ialah haiwan yang mampu hidup  di dalam air sahaja.
Haiwan air harus dimakan kecuali yang beracun, memabukkan dan
membahayakan kesihatan manusia.

Sekarang kawan-kawan bolehlah semak kangaroo itu termasuk dalam kategori mana ya.

****************

Petang akhir Ramadan 1433H di Melbourne bersamaan 18 Ogos 2012 , masyarakat postgrad Kg Vic North (KVN) telah mengadakan iftar berjemaah (iftar jama’ie) dan takbir raya.

Alhamdulillah, ini adalah salah satu bentuk sambutan Ramadan kelompok pelajar-pelajar muslim Malaysia saban tahun di Melbourne.  Saya sekeluarga menyambut Ramadan buat kali ke 3 di sini.   Bezanya tahun lepas, kami pulang beraya di Malaysia 5 hari sebelum 1 Syawal.

Sudah menjadi fitrah manusia, suka mencari kelainan agar hidup sentiasa ceria dan melalui pengalaman menarik.  Tahun ini, KVN menganjurkan program iftar dengan jamuan istimewa iaitu gulai ayam belanda (turkey) dan daging kangaroo goreng.  Alang-alang berada di Australia (OZ atau juga dieja Aussie) , menunya biarlah bermanhaj OZ.

Dek menunya yang berbeza dari kebiasaan, ramai jugalah yang teruja mahu merasa daging kangaroo [termasuk saya :) ].  Itu pun, ramai juga yang belum merasa daging ayam belanda.

Dimakan :) .  Daging kangaroo goreng.

Dewan Belle Vue lokasi berbuka KVN itu berhampiran rumah saya.  Ia juga merangkap dewan sekolah anak-anak.   Selepas Asar, si kecil tidur.  Lalu saya mengisi masa dengan menyiapkan bahan-bahan masakan untuk juadah di pagi 1 Syawal keesokan harinya.

Hampir Maghrib, si kecil masih tidur sedangkan suami dan anak-anak yang lain sudah ke dewan.  Saya memutuskan untuk berbuka di rumah sahaja mengambil kesempatan si kecil yang sedang tidur.  Saya juga lebih mudah solat.   Selesai solat, suami pulang untuk membawa kami ke dewan.  Alhamdulillah, sedang elok sahaja si kecil sedar dari tidurnya.

 

“Abang, daging kangaroo ada lagi?”

“Sudah habis”

“Alamak… bukankah baru sahaja menjamu selera?”

“Iyalah… orang ramai”

“Hmm… tidak mengapalah.”  Saya reda dengan rezeki yang sudah ditetapkan oleh Allah.  Saya sendiri lewat ke dewan.

 

*******************

Tiba di dewan, nasi juga sudah habis.  Saya mengambil roti, kuah gulai turkey dan sebuku turkey.  Alhamdulillah,  syukur dengan apa yang ada.

Saya mengambil tempat di kalangan kawan-kawan yang sedang makan.  Kak Sham yang jadi chef hari itu berkata, “Nur, nasi sudah habiskah?”

“Iya, sudah habis Kak Sham.”  Tersenyum.

“Kak Sham sudah tambah nasi tadi.  Tidak cukup juga.”

“Ok je… Nur suka juga makan roti dengan gulai.  Sudah biasa makan roti tanpa nasi.”  Tersenyum lagi.

“Oh begitu”

**********

Sedang makan-makan dan sembang-sembang.

“Nur, ini ada lagi daging kangaroo.  Bahagi-bahagi pada sesiapa yang belum makan.”  Suami menghulurkan pinggan plastik berisi sisa daging kangaroo berserta sos pencicah di dalam sudu plastik.

Alhamdulillah.  Segala puji bagi Allah yang menentukan rezeki setiap hambaNya.  Kalau sudah rezeki kita, tidak ke mana… betulkan?

Sambil merasa sedikit, saya hulurkan kepada kawan-kawan.  Semuanya menolak kerana sudah merasainya.  Akhirnya saya juga yang habiskan di rumah.

Dagingnya lembut, mudah digigit dan sedap.  Rasanya hampir sama dengan daging lembu serta tidak berbau.

Allah itu Maha Baik kan… jika kita berakhlak baik dengan segala ketentuanNya, Allah juga memperlakukan dengan baik dalam setiap urusan kita.  Tidak pernah rugi hamba yang berbaik dengan Allah swt.  Itu baru dalam perkara kecil, apatah lagi jika kita sentiasa menjaga perkara-perkara besar seperti melaksanakan yang wajib dan meninggalkan yang haram.

Belum terlewat rasanya untuk mengucapkan,

Wassalam.

Ummu Abbas

10.27am

3 Syawal 1433H/22 Ogos 12

Melbourne

Cerpen Syawal: Pisang yang Berkulit

Karya:  Zakuan Zainy Deris

Bahrom masuk Islam. Lama sudah dia masuk Islam. Lima tahun lepas. Sepuluh tahun lepas. Entahlah. Bahrom pun tidak ingat sangat. Bahrom sudah masuk Islam lama dah.

Bahrom masuk Islam masa tua dah. Sudah berbini. Sudah ada lima anak. Payahnya hendak belajar agama. Payahnya nak elak makan bangkai. Payahnya nak lupakan tuak. Laparnya… tak boleh makan babi. Payah. Payah.

Bini dia lagi payah. Dulu mandi pakai berkemban kat Sungai Jelai saja. Sekarang ni dah masuk Islam. Tak boleh pakai macam tu lagi, kata Ustaz Zamri dari Pantos. Kena pakai tudung. Kena pakai baju kurung. Tak boleh menetek anak kat depan orang. Payah. Payah.

Anak-anak masuk Islam juga. Budak-budak mudah la sikit. Bahrom baca Fatihah tersekat-sekat. Budak-budak ni sekali harung saja. Bahrom kempunan tak boleh makan babi. Budak-budak boleh makan mi segera halal. Bahrom gian ketagih tuak. Budak-budak mana ada tagih menagih lagi. Bahrom sembuh bersunat dua minggu. Budak-budak tiga hari dah boleh main bola. Budak… budak…

Bahrom masuk Islam lama dah. Namanya sama macam dulu. Dulu Bahrom, sekarang pun Bahrom. Nama ayahnya dulu Busut, sekarang ni pun Busut. Nama Busut cuma dalam kad pengenalan biru. Kat kampung, orang panggil Puhut. Tapi dah mati orang tua tu. Cuma dalam kenangan saja. Nama bininya juga sama. Dulu Jenab sekarang Jenab. Nama anak-anaknya juga sama. Tak payah ubah kata Ustaz Zamri dari Pantos. Yang penting kena belajar agama. Yang penting kena ikut agama.

Bahrom perhatikan aliran Sungai Jelai. Dulu sungai itu la dia kejar biawak dan geriang. Kat situ dia tangkap ular sawa buat makan.  Kat situ la juga dia jumpa bangkai babi hutan yang dibuat kenduri satu kampong. Banyak jasa Sungai Jelai tu.

Bahrom tersenyum sendirian. Masa budak-budak dia sangka geriang berasal dari biawak. Biawak berasal dari mengkarung. Mengkarung berasal dari cicak. Sebab itu dia ada banyak balang kaca masa budak-budak dulu. Buat pelihara cicak. Cicak kecik, sekali ngap dah habis. Tunggu cicak bertukar jadi geriang, baru boleh makan seminggu, panggang atas dapur. Takut juga Bahrom, nanti cicaknya lebih bertukar jadi buaya. Nanti Bahrom dimakan oleh cicaknya. Bahrom tersenyum sendirian. Tapi tak ada pulak buaya kat Sungai Jelai walaupun kat rumahnya penuh cicak. Lepas sebulan, mati le cicak yang dipelihara. Tak ada pula cicak yang dipeliharanya jadi mengkarung. Tak ada pulak mengkarung jadi biawak. Tak ada pulak biawak jadi geriang. Dan tak ada pun buaya kat Sungai Jelai.  Bahrom tersenyum sendirian. Tuhan dah buat binatang tu lain-lain, sebut Ustaz Zamri. Kita ni Allah buat, bukannya asal dari monyet. Bahrom tersenyum sendirian. Air Sungai Jelai terus mengalir.

Jeti Kg Kuala Medang

Bahrom kena hilir Sungai Jelai ke Pantos setiap minggu. Kat Nyentil mana ada ustaz nak jadi imam solat Jumaat. Hari Jumaat hari agama. Hari Jumaat Bahrom belajar agama. Hari Jumaat tak boleh masuk hutan. Hari Jumaat Bahrom tak ada kerja. Hari Jumaat tak ada rezeki dari hutan. Harapkan Ustaz Zamri beri sikit beras dan ikan kering.

Bahrom masuk Islam dah lama dah. Dah lama dah Bahrom berulang alik ke Pantos. Dah banyak bot sangkut bertukar. Dah banyak diesel habis. Dah banyak perubahan Sungai Jelai. Dulu sungai tu bersih. Sekarang ni dah kotor. Penuh dengan keladak tanah hakisan pembalakan. Dulu airnya laju. Sekarang airnya berpusar-pusar. Dulu banyak pokok rendang. Sekarang sudah tumbang dihakis air. Dulu ikannya banyak. Sekarang nak kail seekor pun dua jam. Payah. Payah.

Bahrom masuk Islam lama dah. Masa belum Islam, dengan bini pun dia sering bertengkar. Dia mabuk. Dia suka main betina lain. Dia suka judi. Tak balik rumah. Duduk dengan budak bujang. Bininya marah. Muka bininya masam ditarik empat belas. Mulut becok. Sumpah seranah.

Lepas masuk Islam, bini dia suka kat dia. Senyum kat rumah. Bahrom minta apa pun, bininya senang ikut. Gosok belakang. OK. Urut . OK. Buat makan. OK. Kerat kuku. OK. Sikat rambut. OK. Semuanya OK. Semuanya beres. Senyum bininya memanjang. Senyum Jenab melebar.

Tahun ni Bahrom nak puasa penuh lagi. Macam tahun lepas. Macam tahun sebelumnya. Entah berapa tahun dah Bahrom puasa penuh. Dah banyak tahun rasanya. Bininya tak boleh puasa penuh. Masa datang bulan tak boleh puasa kata Ustaz Zamri. Anak-anaknya, yang lelaki puasa penuh bila cukup umur sepuluh tahun. Yang perempuan ikut dia la. Masih budak lagi.

Bahrom dah tahan lapar. Dulu, masa dia awal-awal puasa, macam nak mati rasanya.

………….. bersambung…….

********************************************************************

Nota:  Siaran penuhnya sudah ditarik balik atas sebab hak penerbitannya dimiliki oleh Aras Mega.  Sambungannya boleh dibaca didalam buku Antologi Cerpen Seharum Kasturi Putih.

 

“Seharum Kasturi Putih: Ritma suka duka medik. Sebuah antologi cerpen yang dihasilkan melalui gabungan tulisan 20 orang doktor dan ahli bidang kesihatan terbitan Aras Mega dengan kerjasama PAPISMA.”

 

 

Papa Tertinggal Tungku Panas Atas Badan Mama

Saya terbaca catatan seorang kawan dalam Facebooknya beberapa hari lepas.  Tersenyum-senyum saya dibuatnya.  Saya sudah minta izin untuk dikongsikan di sini.  Insya Allah, di dalam jalinan kisah sering bersulam hikmah.

Empunya kisah merupakan seorang isteri yang sedang menyambung pelajaran di peringkat PhD di Melbourne.  Suami yang setia sudi menemani isteri dan menggalas tugas baru di sini iaitu ‘sura rumah’.  Kisah suami menemani isteri belajar bukanlah perkara baru.  Begitu juga dengan kisah suami yang suka membantu tugas isteri di rumah… ia sudah berlaku sejak dahulu.

Bagi saya, keistimewaan kisah ini ialah sikap cermat, berlemah-lembut dan layanan bersungguh-sungguh seorang suami kepada isterinya yang baru bersalin.  Lumrah pengalaman yang dipaparkan ialah tentang hal yang kurang enak mengenai suami yang isterinya dalam pantang.  Lupakan memori yang mengeruhkan hati itu, mari sama-sama kita ‘enjoy’ dengan catatan kasih seorang isteri yang begitu menghargai khidmat si Tuan Suami.

Bismillah.

Sebuah memori dalam diari seorang isteri terlukis gambaran cinta di hati.

“Diari sepagi insan bergelar Papa kepada 4 puteri (semasa Mama berpantang-hari ni hari ke-6)

5:00 am – Panaskan nasi dan lauk-pauk ala kadar untuk bersahur sambil panaskan tungku.

6:00 am – Solat Subuh.

6:30 am – Urut dan tungku Mama pada bahagian-bahagian utama (bahagian kaki) yang ada urat-urat peranakan sambil tersengguk-sengguk menahan mengantuk. Sekejap-sekejap Mama menjerit-jerit sebab tungku terlalu panas- Papa letak tungku kat badan dan tertidur.

7:30 am – Mandikan baby Hana (2 hari sekali atau masa midwife datang melawat). Lepas mandi, Papa sapu/lumur kanji kat badan baby- kulit jadi mulus dan cantik, dapat jauhkan penyakit kulit, letak minyak Yuyee kat perut dan tapak kaki.  Kemudian tungku baby dengan tungku Mama tadi- tak jumpa batu kecil untuk buat tungku baby- pasir pun tak de kat sini.

8:00 am – Papa bawa baby Hana yang dah wangi (kanji wangi ke?) untuk Mama susukan. Papa terus ke dapur untuk sediakan breakfast untuk kakak-kakak Hana – cornflakes/susu. Sambil tu, Papa sediakan lunches untuk kakak-kakak – sandwiches/ fruits/ chips etc – Papa dah cekap dah bab-bab ni sebab dah 3 tahun dok train.

8:30 am – Tengah enjoy kakak-kakak main dengan baby Hana, tiba-tiba Papa kata, “let’s go”…ooo kena pergi hantar kakak-kakak ke sekolah la pulak- semua kiss baby Hana, Kak Irah tersilap kiss tummy Mama..  Hari ni Mama tak sempat baca doa kat ubun-ubun kakak-kakak, biasa jadi rutin untuk Mama baca doa.

9:00 am – Papa barut perut Mama dengan pes asam jawa – paling senang dapat kat sini, kadang-kadang guna minyak panas jer.

10:00 am – Papa pergi kerja (hantar catalogue), kerja paling flexible untuk Papa yang kena minding 4 puteri. Masa ni Mama berehat dengan baby Hana – berehat means buat taik mata, untuk stay up sampai pagi dengan baby Hana… Begini la rutin pagi sepanjang tempoh berpantang.”

Masya Allah… membaca catatan di atas, bagai terngiang-ngiang titah Raja segala Raja yang berbunyi di dalam Surah al-Nisa’ ayat 19,

 4:19

Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan, dan janganlah kamu menyakiti mereka (dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian dari apa yang kamu telah berikan kepadanya, kecuali (apabila) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).

Apabila titah itu terlukis secara visual, keindahannya begitu mengagumkan hati yang melihatnya.  Bagaimanalah akhlak Rasulullah saw ye…?

Semoga Allah limpahkan rahmat dan keampunanNya pada si suami.  Semoga Allah berkati keluarga ini dan mengekalkan kebahagiaan mereka hingga ke syurga abadi.

Kasih Suami Rahmat Dari Allah

DYM Yang Dipertuan Agong datang bertamu ke rumah lalu berkata kepada suami kita, “Jaga isterimu baik-baik.  Beri dia makan, minum, pakaian dan pembantu rumah.  Curahkan kasih sayang sepenuhnya kepada isterimu.  Pada isterimu ada 3 perwatakan utama yang menyenangkanmu.  Pertama dia adalah kekasihmu tempat engkau bergurau senda.  Kedua dia adalah ‘seorang anak kecil’ yang mahu bermanja denganmu.  Ketiga dia adalah ibu kepada anak-anakmu yang mana kadang-kadang dia yang memanjakan dirimu.”

Andai kata peristiwa di atas berlaku secara langsung kepada kita, apa agaknya reaksi kita?

Tentu seronok bila seorang raja datang melawat dan menitahkan Tuan Suami supaya melayan kita dengan baik.   Itu baru raja bagi sebuah negara kecil seperti Malaysia.  Bagaimana jika yang datang itu seorang khalifah yang mempunyai wilayah kuasa yang jauh lebih luas?  Pasti bertambah teruja, bukan begitu?  Apa lagilah jika ia datang dari Raja segala Raja iaitu Allah SWT.   Justeru yang paling mengasihi dan begitu mengambil berat tentang diri kita hakikatnya Allah jua.

Ke mana lagi mahu ditumpahkan kasih dan pengabdian selain kepada Allah, Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.  Semoga separuh Ramadan yang tersisa terus menjadi ruang berlumba-lumba mencari cinta Ilahi serta bertaubat dari segala dosa.

Wassalam.

Ummu Abbas

11.18am, Melbourne.

15 Ramadan 1434H/ 3 Ogos 2012