Cerpen Syawal: Pisang yang Berkulit

Karya:  Zakuan Zainy Deris

Bahrom masuk Islam. Lama sudah dia masuk Islam. Lima tahun lepas. Sepuluh tahun lepas. Entahlah. Bahrom pun tidak ingat sangat. Bahrom sudah masuk Islam lama dah.

Bahrom masuk Islam masa tua dah. Sudah berbini. Sudah ada lima anak. Payahnya hendak belajar agama. Payahnya nak elak makan bangkai. Payahnya nak lupakan tuak. Laparnya… tak boleh makan babi. Payah. Payah.

Bini dia lagi payah. Dulu mandi pakai berkemban kat Sungai Jelai saja. Sekarang ni dah masuk Islam. Tak boleh pakai macam tu lagi, kata Ustaz Zamri dari Pantos. Kena pakai tudung. Kena pakai baju kurung. Tak boleh menetek anak kat depan orang. Payah. Payah.

Anak-anak masuk Islam juga. Budak-budak mudah la sikit. Bahrom baca Fatihah tersekat-sekat. Budak-budak ni sekali harung saja. Bahrom kempunan tak boleh makan babi. Budak-budak boleh makan mi segera halal. Bahrom gian ketagih tuak. Budak-budak mana ada tagih menagih lagi. Bahrom sembuh bersunat dua minggu. Budak-budak tiga hari dah boleh main bola. Budak… budak…

Bahrom masuk Islam lama dah. Namanya sama macam dulu. Dulu Bahrom, sekarang pun Bahrom. Nama ayahnya dulu Busut, sekarang ni pun Busut. Nama Busut cuma dalam kad pengenalan biru. Kat kampung, orang panggil Puhut. Tapi dah mati orang tua tu. Cuma dalam kenangan saja. Nama bininya juga sama. Dulu Jenab sekarang Jenab. Nama anak-anaknya juga sama. Tak payah ubah kata Ustaz Zamri dari Pantos. Yang penting kena belajar agama. Yang penting kena ikut agama.

Bahrom perhatikan aliran Sungai Jelai. Dulu sungai itu la dia kejar biawak dan geriang. Kat situ dia tangkap ular sawa buat makan.  Kat situ la juga dia jumpa bangkai babi hutan yang dibuat kenduri satu kampong. Banyak jasa Sungai Jelai tu.

Bahrom tersenyum sendirian. Masa budak-budak dia sangka geriang berasal dari biawak. Biawak berasal dari mengkarung. Mengkarung berasal dari cicak. Sebab itu dia ada banyak balang kaca masa budak-budak dulu. Buat pelihara cicak. Cicak kecik, sekali ngap dah habis. Tunggu cicak bertukar jadi geriang, baru boleh makan seminggu, panggang atas dapur. Takut juga Bahrom, nanti cicaknya lebih bertukar jadi buaya. Nanti Bahrom dimakan oleh cicaknya. Bahrom tersenyum sendirian. Tapi tak ada pulak buaya kat Sungai Jelai walaupun kat rumahnya penuh cicak. Lepas sebulan, mati le cicak yang dipelihara. Tak ada pula cicak yang dipeliharanya jadi mengkarung. Tak ada pulak mengkarung jadi biawak. Tak ada pulak biawak jadi geriang. Dan tak ada pun buaya kat Sungai Jelai.  Bahrom tersenyum sendirian. Tuhan dah buat binatang tu lain-lain, sebut Ustaz Zamri. Kita ni Allah buat, bukannya asal dari monyet. Bahrom tersenyum sendirian. Air Sungai Jelai terus mengalir.

Jeti Kg Kuala Medang

Bahrom kena hilir Sungai Jelai ke Pantos setiap minggu. Kat Nyentil mana ada ustaz nak jadi imam solat Jumaat. Hari Jumaat hari agama. Hari Jumaat Bahrom belajar agama. Hari Jumaat tak boleh masuk hutan. Hari Jumaat Bahrom tak ada kerja. Hari Jumaat tak ada rezeki dari hutan. Harapkan Ustaz Zamri beri sikit beras dan ikan kering.

Bahrom masuk Islam dah lama dah. Dah lama dah Bahrom berulang alik ke Pantos. Dah banyak bot sangkut bertukar. Dah banyak diesel habis. Dah banyak perubahan Sungai Jelai. Dulu sungai tu bersih. Sekarang ni dah kotor. Penuh dengan keladak tanah hakisan pembalakan. Dulu airnya laju. Sekarang airnya berpusar-pusar. Dulu banyak pokok rendang. Sekarang sudah tumbang dihakis air. Dulu ikannya banyak. Sekarang nak kail seekor pun dua jam. Payah. Payah.

Bahrom masuk Islam lama dah. Masa belum Islam, dengan bini pun dia sering bertengkar. Dia mabuk. Dia suka main betina lain. Dia suka judi. Tak balik rumah. Duduk dengan budak bujang. Bininya marah. Muka bininya masam ditarik empat belas. Mulut becok. Sumpah seranah.

Lepas masuk Islam, bini dia suka kat dia. Senyum kat rumah. Bahrom minta apa pun, bininya senang ikut. Gosok belakang. OK. Urut . OK. Buat makan. OK. Kerat kuku. OK. Sikat rambut. OK. Semuanya OK. Semuanya beres. Senyum bininya memanjang. Senyum Jenab melebar.

Tahun ni Bahrom nak puasa penuh lagi. Macam tahun lepas. Macam tahun sebelumnya. Entah berapa tahun dah Bahrom puasa penuh. Dah banyak tahun rasanya. Bininya tak boleh puasa penuh. Masa datang bulan tak boleh puasa kata Ustaz Zamri. Anak-anaknya, yang lelaki puasa penuh bila cukup umur sepuluh tahun. Yang perempuan ikut dia la. Masih budak lagi.

Bahrom dah tahan lapar. Dulu, masa dia awal-awal puasa, macam nak mati rasanya.

………….. bersambung…….

********************************************************************

Nota:  Siaran penuhnya sudah ditarik balik atas sebab hak penerbitannya dimiliki oleh Aras Mega.  Sambungannya boleh dibaca didalam buku Antologi Cerpen Seharum Kasturi Putih.

 

“Seharum Kasturi Putih: Ritma suka duka medik. Sebuah antologi cerpen yang dihasilkan melalui gabungan tulisan 20 orang doktor dan ahli bidang kesihatan terbitan Aras Mega dengan kerjasama PAPISMA.”

 

 

About these ads

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s