Archive | September 2012

Dalam Taman Berbunga Hidayah

Bismillah.

Rabu malam Khamis, 4 Dzul Qi’dah 1433H

 

“Ok, malam ini kita baca kisah yang ke 29 bertajuk Bayi Bercakap.  Siapa tahu nabi apa?”

“Nabi Isa”, salah seorang anak menjawab.

“Iya, benar.  Dia bercakap semasa baru dilahirkan, bukan macam ini… kalau macam ini, sudah besar sedikit”, jelas saya lagi sambil menunjuk kepada anak paling kecil, Aleeya yang berusia setahun setengah.

Lalu kisah ditata berselang seli ‘ibrah untuk santapan minda anak-anak.  Insya Allah, saya kongsikan ‘ibrah itu dalam entry akan datang.

 

Sabtu, 6 Dzul Qi’dah 1433H.
“Azzam bawa stroller. Abi bawa Aleeya”, kata Tuan Suami.

“Bas sudah sampai. Cepat… cepat… Iya, Azzam tolong bawa stroller, Abi dokong Aleeya dan biar Ummi yang kemas alas solat ini. Abbas, Aziz dan Aesya pergi beratur dahulu,” saya membahagi tugas sambil menunjukkan arah perhentian yang berhampiran.

Bas kecil (coaster) untuk bersiar-siar di sekitar National Rhododendron Gardens kelihatan tiba seusai kami solat berjemaah tengahari tadi.

Alhamdulillah. Bagusnya Tuan Suami buat keputusan solat dulu sambil menunggu bas tiba. Hati lebih tenang dan perjalanan terasa lebih berkat. Sedangkan anak sulung mahu kami bersiar-siar dahulu dek bimbangkan bas tiba lebih awal.

Tuan Suami dan semua anak-anak sudah mula menaiki bas.  Ditemani bunga-bunga Daffodil, saya melipat kain pelikat lama dan alas  yang dijadikan sejadah.

Baru sahaja mahu menaiki tangga menuju ke arah perhentian bas, seorang pemuda yang memerhati kami solat dari tadi menyapa, “Adakah kamu sembahyang tadi?”

“Iya.”

Pemuda itu berada bersama kawan-kawan mat salehnya di bahagian belakang semasa kami solat.

“Kamu sembah apa? Tuhan Bapa?”

Tersenyum di sebalik purdah dengan tenang menjawab, “Allah”.

Saya sengaja memilih perkataan ‘Allah’ dibandingkan ‘God’ kerana percaya serta yakin kalimah itu mampu menundukkan hati-hati manusia yang masih ikhlas mencari tuhan mereka yang sebenar.

Juga sengaja memilih lafaz “Allah” untuk menggerakkan pemuda itu mencari ‘Siapa Allah?’ selepas perbualan singkat itu.

” Allah?”, pelat-pelat dia mengulangi lafaz yang disebut tadi.

Saya menganggukkan kepala, “Ya. Hanya Tuhan yang satu”. Sedikit rasa gembira terulit di jiwa mendengar sebutan nama agung itu ditirunya.

“Kamu percaya kepada Jesus?”

“Iya”, tersenyum lagi.

“Dia adalah anak tuhan atau nabi?”

“Dia seorang nabi”.

Pemuda itu menganggukkan kepalanya sambil kelihatan reaksi wajahnya berfikir-fikir.

Keadaan tidak mengizinkan kami berbual panjang. Saya terus berlalu dan menaiki bas. Di atas bas, saya ceritakan semula perbualan itu kepada Tuan Suami dan anak-anak.

Ya Allah! Berilah hidayahMu kepada pemuda itu. Saya percaya dia sedang mencari sesuatu dalam hidupnya.

Kami solat berjemaah di sebelah bunga-bunga Daffodil ini. Amalan yang menyebabkan pemuda itu tertarik untuk bertanya.

Sehari selepas itu… Ahad 7 Dzul Qi’dah 1433H/23 Sept 2012.

 

Kami bertolak dari rumah untuk menyertai rombongan MECCA melawat sekitar Werribee.  Saya mengisi masa dengan membaca al-Quran di atas kereta.  Tilawah (bacaan) saya tiba pada ayat-ayat di bawah;

“Demi sesungguhnya! Telah kafirlah orang-orang yang berkata, “Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam”. Padahal Al-Masih sendiri berkata,”Wahai Bani Israil! Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu.  Sesungguhnya sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka pasti Allah haramkan kepadanya syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka.  Tiadalah seorang penolong pun bagi orang-orang yang berlaku zalim”. [72]

Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata, “Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga tuhan”. Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan yang Maha Esa. Dan jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang-orang yang kafir di antara mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya. [73]

Salah satu jenis bunga di Taman Rhododendron, Olinda.

Oleh itu tidakkah mereka mahu bertaubat kepada Allah dan memohon keampunannya (sesudah mereka mendengar keterangan-keterangan tentang kepercayaan mereka yang salah dan balasan seksanya)? Padahal Allah Maha pengampun, lagi Maha Mengasihani. [74]

Tiadalah Al-Masih Ibni Maryam itu melainkan seorang Rasul yang telah mendahului sebelumnya beberapa orang Rasul, serta ibunya seorang perempuan yang amat benar.  Mereka berdua memakan makanan (seperti kamu juga). Lihatlah bagaimana kami jelaskan kepada mereka (ahli kitab itu) keterangan-keterangan (yang tegas menunjukkan kesesatan mereka), kemudian lihatlah bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsu mereka dari menerima kebenaran yang jelas nyata itu). [75]

Katakanlah (wahai Muhammad), “Patutkah kamu menyembah sesuatu yang lain dari Allah, yang tidak berkuasa memberi mudarat kepada kamu dan tidak juga berkuasa memberi manfaat? Padahal Allah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”. [76]

*********

“Eh Bang, bacaan Nur sampai ke ayat berkenaan Nabi Isa ini… baru semalam pemuda itu bertanyakan hal ini dan baru beberapa hari lepas, Nur baca kisah ‘Isa a.s kepada anak-anak.  Menariknya!,” saya tidak dapat menyembunyikan keterujaan atas peristiwa yang berlaku.

*****

Pohon bunga yang dijual di taman.

Tiba waktu Asar, Tuan Suami berkata kepada ketua rombongan iaitu Haji Hamid (Presiden MECCA), “Kami mohon beransur dahulu ya”.

“Kita akan ke masjid Werribee sekejap lagi.  Singgahlah dulu”.

Mendengar perkataan masjid, kami terus bersetuju.  Sementelah kami mahu solat Asar dahulu sebelum pulang.  Masjid Werribee pun kami belum kenal lagi.  Sampai di hadapan pintu masuk ke kawasan masjid, ada sesuatu yang menarik perhatian [Lihat gambar].

 

“Eh Bang, bagusnya nama masjid ini.  Ini kali pertama Nur lihat nama masjid diletakkan sempena nama perempuan.  Biasanya nama lelaki sahaja.  Sesuai sangat kerana Maryam (Ibu Nabi ‘Isa a.s) pun ada mihrab sendiri”.

Subhanallah walhamdulillah!  Mengagumi apa yang Allah telah aturkan dalam kehidupan saya berkenaan kisah Nabi ‘Isa a.s ini.  Ia berlaku secara teratur dan saling berkait pada satu topik tanpa saya rancang.  Seolah-olah mahu saya menghadam kisah ini dengan mengingati dalil-dalil (fakta) yang jelas dari kalamNya sendiri.  Juga mendekati lagi perwatakan Maryam, ikon wanita suci yang mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah swt.  Insya Allah, semoga Allah mempermudahkan jalanNya untuk saya menghayati perwatakan Maryam a.s.

Dalam taman berbunga hidayah… Insya Allah.

Seru manusia kepada Islam dengan kasih sayang.

Ummu Abbas

9 Dzul Qi’dah 1433H

12.30am

Melbourne.

Imam al-Sudaisi: Jangan Tonton Filem Hina Nabi

Bismillah.

Kecoh!  Gegak gempita!  Geger lagi umat Islam seluruh dunia dengan filem terbaru, ” Innocence of Muslims” arahan Sam Bacile yang menghina Rasulullah s.a.w dan Islam.

Pelbagai reaksi umat Islam dan non-muslim yang menghormati hak-hak antara kaum dan agama terhadap isu ini.  Apabila ia dimuat naik ke youtube, trailer 14 minit ini lebih mudah diakses oleh sesiapa sahaja.  Jadi kemungkinan ada di antara umat Islam yang ‘cuba-cuba’ mahu lihat sejauh manakah dikatakan filem ini menghina Nabi s.a.w dan Islam?  Rentetan dari itu, Imam Al-Sudaisi berpesan; Jangan tonton filem yang menghina Rasulullah saw. Dibimbangi terlintas di fikiran ‘wajah palsu’ Nabi semasa menyebut nama Baginda s.a.w.

Sebarkan kerana ia penting bagi umat Islam.

(Terjemahan secara bebas oleh Ummu Abbas.  Saya ambil mafhumnya sahaja.)

Ummu Abbas:

1.  Pihak Google tidak serius menangani isu yang menyentuh sentimen agama ini, jadi kalau tidak setuju dengan perbuatan mereka yang menghina Rasulullah s.a.w, jangan tengok!   Apakah tindakan sewajarnya dari umat Islam terhadap Google itu sendiri?

2.  Pemimpin tanah air yang hina Islam di media perdana bagaimana pula?  Isu janggut Rasulullah, isu hudud dan lain-lain.  ~  Kalau tidak setuju dengan mereka yang hina Islam ~ jangan undi mereka!

3.  Ramai lagi dari kalangan umat Islam sendiri yang perleceh ajaran Islam seperti merendah-rendahkan amalan berjubah dan serban di kalangan lelaki, amalan berpurdah di kalangan wanita,  mengatakan politik suku agama suku dan lain-lain.  Apa tindakan umat Islam terhadap golongan ini?

Lampiran dari Facebook Imam Syeikh ‘Abdul Rahman al-Sudaisi, imam Masjidil Haram di Mekah.

Ummu Abbas

1 Zul Qi’dah 1433H

Melbourne, 10.44pm.

Bapa Borek Anak Rintik

Isi Kandungan 31 Kisah Nabi

Bismillah.

BTS (Bedtime story) malam kelmarin kisah Bapa Borek Anak Rintik.

Alhamdulillah, saya membacakan kisah-kisah nabi dari buku 31 Kisah Nabi sebagai Bedtime Story.  Asalnya saya membacakan untuk Aesya yang berusia 7 tahun atas permintaannya.  Setelah beberapa kali bercerita padanya, Aziz yang berusia 9 tahun turut tertarik untuk mendengar sama.  Melihat minat Aziz dan kemampuannya memahami ibrah-ibrah (pengajaran) yang diberikan, saya membuat keputusan supaya semua anak-anak mendengar sama, Abbas yang berusia 13 tahun dan Azzam yang berusia 12 tahun.  Yang kecil, Aqil dan Aleeya saya biarkan mereka berada di ruang yang sama.  Insya Allah, akan ada kesan untuk mereka walaupun mereka bermain-main sahaja.  Doa seorang ibu itu yang penting.

Tanpa niat mahu memanjangkan mukaddimah, saya kongsikan di sini ibrah yang diberikan dari Kisah 28, Bapa Borek Anak Rintik.

@@@@@@@@@@@@@@

” Kita dapat lihat bagaimana Nabi Zakariyya berfikiran jauh dalam merancang pemimpin yang akan menggantikannya. Setelah dibuat pemerhatian yang lama dan mendalam, dia dapati tiada yang benar-benar layak mengambil alih tugasnya sebagai da’ie seterusnya memimpin umatnya ke jalan yang benar.

Di kalangan yang menerima seruannya, tidak ditemui yang benar-benar ikhlas. Dalam resah dan gundahnya memikirkan nasib umatnya, Nabi Zakariyya diberi ilham melalui peristiwa Maryam yang mendapat makanan secara langsung dari Tuhan.Melihat Maryam diberi layanan sebaik itu oleh Allah, semangat Nabi Zakariyya pulih kembali untuk tetap berdoa tanpa putus asa kepada Allah. Lalu dia memohon anak yang dapat menggantikan tempatnya walaupun dia sudah melangkaui usia emas.Beliau meminta anak sebagai misi mencapai visi yang suci… bukan sekadar sebagai tempat bermanja dan bermain-main bagi menghabiskan sisa waktu.

Allah perkenan doa hamba yang soleh dan tidak berputus asa itu dengan kurniaan anak berpangkat nabi juga. “

*********************
~ Pentingnya pemimpin yang bertaqwa dan berkaliber merancang dan melatih pengganti.
~ Jangan putus asa dari rahmat Allah.
~ Saya memilih ibrah yang sesuai dengan usia anak-anak.  Jika ibrah itu sesuai untuk anak berusia 13 dan 12 tahun, maka saya beri perhatian lebih kepada mereka berdua.  Begitulah seterusnya.
Wassalam.
Ummu Abbas
7.18am
26 Syawal 1433H/13 Sept 12
Melbourne

Ya Allah! Suamiku mahu nikah lagi…

“Assalamualaikaum;

Saya ingin bertanyakan pendapat, saya dan suami telah berkahwin lebih 5 tahun tapi tidak dikurniakan cahaya mata.  Pada tahun lepas kami ada mengambil anak angkat. Sememangnya rumahtangga kami lebih bermakna dengan kehadiran si kecil ini.  Baru-baru ini saya mendapat tahu yang suami saya pernah menyatakan hasratnya untuk berkahwin lain kepada ibunya dengan alasan untuk mendapatkan zuriat (kejadian ini sebelum kami ambil anak angkat). Namun hasrat suami dibantah oleh keluarganya kerana mereka mengasihani saya.

Saya amat berkecil hati dengan suami dan saya nyatakan hasrat untuk berpisah dengannya agar dia dapat membina keluarga yang baru.  Saya tidak mahu dimadukan kerana tahu saya tidak mampu tanganinya begitu juga dengan suami.  Jadi lebih baik saya undur diri bagi membolehkan dia tumpukan kepada satu keluarga sahaja.  Kemudian suami menjelaskan yang dia tidak lagi mahu meneruskan hasrat berkahwin lain dan mahu tumpukan pada saya dan anak (angkat) kami.

Tetapi hati susah mahu percaya lagi pada kata-katanya sebab dari dulu saya pernah bertanya samada dia mahu berkahwin lain demi mendapat anak tapi dia nafikan sekerasnya, katanya tidak pernah terlintas pun tetapi di belakang saya dia menyatakan sebaliknya.  Saya berasa adalah lebih adil pada kami berdua sekiranya kami berpisah sahaja.

Sekiranya ada nasihat yang boleh dikongsi bersama saya, saya amat alu2 kan, terima kasih.”

Mar.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Wa’alaikum salam warahmatullah Mar.

Ummu cuba dapatkan pandangan kawan-kawan di Facebook.  Ini antara respon terpilih yang Ummu mahu kongsikan di sini.

Respon 1:

Pada pendapat saya Puan, masalah yang dihadapi Puan jadikan batu loncatan untuk mendekatkan diri dengan Allah swt.. bangun solat malam..luahkan isi hati, ketidakpuasan Puan pada-Nya …di situ Puan akan ketemui jawapannya..insyaAllah.

Respon 2:

Salam… sekadar pandangan saya :).  Sebelum itu, saya harap kita jelas dengan beberapa perkara:

1. Allah itu Tuhan kita dan MATLAMAT kita.  Akhirat itu Matlamat kita, Syurga itu Matlamat kita.  Sebaliknya segala di dunia ini hanyalah ALAT atau medium untuk mencapat matlamat di atas – seperti suami, anak-anak, pekerjaan, perkahwinan, ibubapa dan lain-lain.

2. Suami dan perkahwinan sebagai alat mencapai keredaan Allah – maksudnya, kita taat suami kerana Allah, bukan supaya suami tidak kahwin lain, tapi supaya Allah reda dengan kita walaupun ada masanya suami tidak hargai kita (contohnya).

3. Bila kita sedar, fahami dan hayati dengan sesungguhnya bahawa Allah itu Tuhan kita dan kita ini hambaNya, maka seharusnya kita tidak boleh jadikan hawa nafsu dan perasaan sebagai tuhan kita dan janganlah menjadi hamba perasaan sehingga sampai ke satu tahap di mana kita telah menidakkan hukum Allah lantaran hukum itu berlawanan atau menyelisihi perasaan dan nafsu kita. Berhati – hati bila berkata-kata, membuat keputusan dan tindakan jangan sampai keputusan atau tindakan kita menyebabkan kita menderita di akhirat. Biar menderita di dunia tidak mengapa asalkan tidak menyesal di akhirat. Memanglah kalau boleh kita mahu bahagia di dunia dan akhirat, tapi realitinya dunia ini bukan semuanya indah…. akhir sekali, jadikan rutin untuk membaca Zikir Pagi dan Petang (Hisnul Muslim) yang sahih dari Nabi saw, kerana di dalamnya ada ‘ayat2 pelindung’ yang melindungi kita dari hasutan syaitan.  Syaitan tidak datang menerkam dan menggigit leher kita macam vampire,  sebaliknya dia meniupkan kata – kata perasaan berbisa yang akhirnya membawa kita ke neraka. Bacalah nota di atas dengan rasional dan tenang, insyaAllah hati Puan akan terbuka untuk membuat keputusan yang sebaiknya untuk akhirat Puan :).

Maaf di atas coretan yang panjang ini. Semoga Allah merahmati dan melindungi Puan sekeluarga.

Respon 3 ~ 

Empunya pandangan ini boleh ditemui diblognya, Ummu Husna.

 ******************

Kak Nur, pertamanya Ina turut simpati dengan masalah yang sedang dialami oleh penanya. Sekadar cuba meletakkan diri di tempatnya seketika dan bagai merasakan gelodak perasaan yang sedang menyelubungi jiwanya saat ini. Namun, Ina percaya berat hati membaca luahannya, berat lagi dia yang menanggung beban perasaan yang menimpa.

Justeru itu, buat sahabat yang bertanya, saya tidak berhasrat untuk me’nunjuk ajar’ atau seumpamanya kepada puan. Saya tahu, ujian poligami itu berat bagi sesetengah wanita tetapi tidak kepada sebahagian yang lain. Sebagaimana ujian cahayamata, kewangan, kerjaya dan lain-lain.

Apapun puan, sepanjang 37 tahun usia saya di dunia ini, dengan pelbagai pengalaman dari orang sekeliling, saya mendapati, sememangnya ALLAH SWT menurunkan ujian atau lebih manis jika kita sebut sebagai CABARAN HIDUP dalam bentuknya yang pelbagai kepada setiap orang berdasar kepada kemampuan masing-masing.  Saya yakin puan pernah membaca firman ALLAH yang dekat maksudnya dengan kata-kata saya tadi.

Jika puan pernah membaca sebuah hadis nabi Sallallahu’alaihiwasallam ketika baginda ditanya “Siapakah orang yang paling berat ujiannya?”. Maka Baginda menjawab:

“Para Nabi, kemudian orang yang seperti mereka sesudahnya, dan orang semacam mereka berikutnya. Seseorang itu akan diuji sesuai dengan kadar agamanya. Apabila orang itu kuat agamanya maka semakin keras ujiannya. Kalau agamanya lemah maka dia akan diuji sesuai dengan kadar agamanya. Maka musibah dan ujian itu sentiasa menimpa seorang hamba hingga dia ditinggalkan berjalan di atas muka bumi dalam keadaan bersih dari dosa.”

(Riwayat Imam Tirmizi)

Lalu, tanggapilah setiap ujian sebagai penghapus dosa dan sebagai jalan yang ALLAH hamparkan seluasnya buat manusia yang lemah seperti kita untuk berjalan hampir dan hampir dan hampir kepada-NYA.

Dunia ini adalah medan kita membuat pilihan hidup. Namun, dek kelemahan kita sebagai manusia, selalu pilihan kita tersasar dari kebenaran, lantas ramai yang menyesal di penghujung jalan. Andai perasaan puan ketika ini merasakan perpisahan sebagai jalan terbaik, sebaiknya tanyakanlah dahulu kepada DIA Yang Maha TAHU agar pilihan puan tidak mengundang penyesalan nantinya kerana tidak semua yang kita rasakan baik, adalah baik di sisi Yang Maha Kaya.

Puan, tiada siapa yang mahu derita dalam perkahwinan, tetapi tidak ramai yang menyedari bahawa bahagia atau tidak sebenarnya, ia adalah pilihan diri sendiri.

Puan, pilihlah bahagia dengan ‘bertanya’ kepada pemilik BAHAGIA yang hakiki.  Saya doakan puan dilimpahi rahmat dan dipermudahkan dalam menilai dan membuat pilihan itu nanti, ameen.

Respon 4

Link ini diberikan;  Wanita Tidak Boleh Meminta Cerai

Respon dari Ummu.

Ummu setuju dengan semua pandangan pilihan di atas.  Tinggal lagi Puan perlu memilih pendapat (penawar) yang sesuai dengan keperluan Puan kerana Puan lebih mengetahui dan memahami diri Puan.

Ummu mahu menambah sedikit yakni berkenaan sifat bohong.  Sewajarnya setiap yang bernama muslim berusaha menuruti sifat wajib bagi para nabi iaitu ‘benar’.  Benar pada perkataan dan benar pada perbuatan.  Ummu percaya jika para suami jujur, ia lebih mengurangkan risiko penolakan dari pihak isteri.    Berdasarkan pengalaman poligami dua orang yang dikenali, tentangan peringkat awal adalah lumrah@normal namun ia lebih mudah diatasi berbanding berbohong dahulu kemudian baru berterus terang.

Isu besar yang timbul bukan lagi pada poligami tetapi isu sikap yang bertentangan dengan sunnah membuatkan para isteri ‘confuse’ pada sunnah poligami yang mahu diamalkan oleh suaminya.  Sikap adil pertama yang dinilai isteri ialah adil dalam mengamalkan sunnah.   Sifat adil ini boleh memberi keyakinan kepada isteri jika suatu ketika nanti si suami perlu bernikah lagi.

Seperkara lagi yang harus kita fahami ialah, dosa-dosa suami kita tidak menanggungnya.  Contoh dosa berkata bohong.  Jika kita sabar, memberi peringatan kesan buruk dari sifat berbohong dan ‘ignore’ sahaja sikap tersebut sambil mendoakan suami, kita mendapat ganjaran pahala yang besar.  Ada perbezaan antara apa yang orang lain lakukan pada kita dengan apa yang patut kita lakukan.

Jika mereka memilih sifat mazmumah, mereka derita… dan kita membalasnya dengan sifat mahmudah, kita bahagia kerana yang memberi bahagia adalah Allah, bukan suami.  Fakta ini mungkin lebih menjelaskan lagi pandangan Ina di atas.

Bahkan Ummu percaya, jasa dan kebaikan suami Puan realitinya lebih besar dari kelemahan yang ada.  Cuba kenang kembali apa yang menyebabkan Puan menyukainya dahulu.  Juga cuba hitungkan sebanyak mana kasih sayang dan rasa tanggungjawabnya pada keluarga yang sudah dicurahkan sepanjang perkahwinan Puan dengannya.

Andai kita mahu suami berlaku adil pada kita, seharusnya kita terlebih dahulu berusaha menilai suami secara adil juga.  Jika kita nampak kekurangannya, hitung juga kelebihannya selama ini.   Begitu pula bila kita melihat sumbangan yang telah  dilakukan dalam Baitul Muslim yang dibina, maka hitung juga kelemahan kita dalam menunaikan tanggungjawab sebagai isteri.

Berdasarkan pengalaman kawan-kawan Ummu yang dimadukan, walaupun ada yang berdepan dengan sikap suami yang melayakkan mereka menuntut fasakh, namun mereka tetap bertanyakan Allah apa keputusan terbaik untuk meneruskan kehidupan mereka.  Mereka patuh pada keputusan istikharah yang mana sehingga sekarang, Ummu lihat kehidupan mereka lebih harmoni dalam pernikahan di bandingkan berpisah.

Risiko berpisah adalah besar walaupun hidup dalam perkahwinan terasa derita.  Derita ada di mana-mana walau apapun keadaan kita.    Oleh kerana kita tidak tahu risiko mana yang lebih mampu kita hadapi, maka bertanya kepada Allah swt sebelum membuat keputusan adalah wasilah terbaik.

Perpisahan dari ikatan pernikahan ada 3 cara menurut fiqh;  Talak, khulu’ dan fasakh.

Talak hanya milik suami.  Khulu’ (tebus talak) dan fasakh boleh diusahakan pihak isteri dengan syarat-syarat tertentu.   Boleh rujuk dan dapatkan kaunseling di pejabat agama berdekatan berkenaan hal ini untuk mengetahui prosedur lanjut.

Bahagia itu adalah milik hati-hati orang beriman yang melakukan sesuatu perkara kerana Allah swt  sama ada meneruskan kehidupan bersama suami dengan memaafkan kekurangannya atau membuat keputusan berpisah.

Sekian dahulu dari Ummu.

Wassalam.

Ummu Abbas

10.55am

19 Syawal 1433H/ 6 September 2012

Melbourne.

Sehelai ‘Winter Coat’ Yang Memberi Makna

Foto hiasan

 Indahnya Menyintai Saudaramu

Wani (Nama samaran) ke kedai pakaian bersama kawan-kawannya. Mereka sama-sama mahu membeli pakaian musim dingin di negara yang baru mereka terokai itu.

Mereka berjalan bersama-sama dari satu kedai ‘bundle’ ke kedai yang lain. Satu ketika, Wani terpandang sehelai ‘winter coat’ berwarna hitam yang menarik hatinya. Belum sempat Wani memegang baju itu, seorang kawannya berkata, “Eh… eh… cantiknya baju ini. Saya berkenanlah”.

Wani teringat hadis yang mengatakan tidak beriman seseorang itu sehinggalah dia menyintai saudaranya sebagaimana dia menyintai dirinya sendiri. Wani lantas mendiamkan diri untuk memberi peluang kepada Dila (nama samaran) mendapatkan baju itu terlebih dahulu.

Wani gembira jika Dila gembira. Wani juga teringatkan ayat Allah yang berbunyi,

 وَٱللَّهُ خَيْرُ ٱلرَّازِقِينَ

Maksudnya, “Dan Allah sebaik-baik pemberi rezeki” (Surah Jumu’ah: 11).

Selepas Dila membeli baju itu, mereka berjalan lagi. Tiba di satu kedai, Wani terpandang sehelai ‘winter coat’ berwarna hitam juga tetapi lebih cantik dari yang tadi.  Terlintas juga rasa bimbang di hati Wani jika ada lagi kawan-kawannya yang menyukai ‘winter coat’ itu.  Namun Wani bermujahadah untuk mengutamakan kasih sayang Allah dari ‘benda’ yang sekelumit cuma.  Setelah memastikan tiada lagi kawan-kawannya yang mahukan ‘winter coat’ itu, Wani lalu membelinya kerana kawan-kawannya sudah menemui ‘winter coat’ kegemaran masing-masing.

Memang ada di antara kawan-kawannya yang berkenan tetapi mereka sudah tidak sanggup membeli lagi.

Wani bermonolog, “Syukur alhamdulillah. Benarlah janji Allah”.  Wani mendapat baju yang lebih baik, kasih sayang kawan-kawan dan paling berharga ialah kemanisan iman kerana mematuhi ayat-ayat Allah dan sunnah NabiNya.

“Tidak beriman seorang daripada kamu sehingga dia mengasihi saudaranya seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri.”

Hadis Riwayat Bukhari

Ummu Abbas

16 Syawal 1433H/ 3 September 2012

5.36pm

Melbourne