Archive | November 2012

Lebuhraya Kelantan Lebuhraya Akhirat

Bismillah

Kelantan dan Lebuhraya

Rakyat Kelantan adalah antara mangsa yang dizalimi Kerajaan Pusat bernama BN.  Rakyat Kelantan adalah pembayar cukai sama seperti rakyat di negeri-negeri yang maju dari aspek pembangunan materialnya namun tidak mendapat hak samarata dengan pembayar cukai di negeri-negeri lain.  Keadaan di anaktirikan seperti ini saya saksikan sejak lebih suku abad.   Itu saya!… yang belum sempat merasai usia separuh abad.   Bagaimana dengan generasi ibubapa yang sudah melangkau usia separuh abad?  Dan mereka yang lebih berusia lagi?

Setiap kali cuti sekolah atau cuti raya atau cuti umum yang lain, boleh dirasakan peritnya beratur di atas jalanraya bermula di Kuala Lipis  atau Raub jika dari Kuala Lumpur.   Memasuki Merapoh, para kereta sudah pun boleh berlumba dengan kura-kura.  Kura-kura boleh menang berkali-kali dibandingkan berlumba dengan arnab.  Mereka yang mengambil jalan melalui Perak pun boleh sampai dahulu ke Kota Bharu walhal jalan itu lebih jauh.

Akhirnya berkat fikiran dari pemimpin yang ‘jjuruh‘ dan rakyat sentiasa dihatinya, satu usaha ‘berdikari’ dilancarkan iaitu kutipan derma untuk membina lebuhraya secara sendirian berhad.  Rakyat Kelantan yang matang dek latar belakang dan persekitaran universiti Islam yang ada segera menyahut dan memberi respon positif terhadap usaha ini.    [Kecuali ada sesetengah yang berfikiran singkat dan busuk hati menyindir usaha ini.  Lepas ini kita tengok, mereka akan pilih jalan mana bila lebuhraya sudah siap, insya Allah].

Selepas hak-hak cukai tidak diperolehi, rakyat masih sanggup ‘membayar lagi’  membantu kerajaan Islam yang dikasihi membina lebuhraya untuk mereka.  Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

‘Bravo’ rakyat Kelantan!  Alhamdulillah, rakyat Kelantan sanggup bersusah sedikit di dunia kerana keyakinan mereka terhadap kehidupan akhirat.  Dengan itu mereka lebih sanggup bersama Kerajaan Islam walaupun dianak tirikan dalam banyak perkara.  Biar dianak tirikan oleh Kerajaan Pusat asalkan tidak di’anak tiri’kan oleh Allah, pemilik Deen al-Haneef ini.   Teruskan usaha mempertahankan hak-hak Allah di Bumi Serambi Mekah…

Moga ‘Baldatun toyyibatun wa Rabbun ghofuur’ itu sentiasa dihidangkan buat generasi hari ini dan generasi mendatang.

Derma Rakyat Kelantan untuk lebuhraya Kelantan insya Allah menjadi aset lebuhraya akhirat menuju syurga abadi.   Bukankah mereka yang berharta dan habis hartanya untuk agama Allah dan maslahah umum akan cepat menuju syurga?  Tender membina lebuhraya akhirat ini juga terbuka kepada sesiapa jua yang bukan dari kalangan rakyat Kelantan walau di mana mereka berada.

Ini aset kekal selepas mati insya Allah.  Selagi lebuhraya ini digunakan umum dan sebanyak mana kenderaan yang melaluinya, semua pahala masuk terus menerus ke akaun peribadi penyumbangnya.

Sebelum Ada Yang Bertanya…

Bagaimana jika yang menggunakan lebuhraya ini, niatnya berbuat maksiat di sesuatu tempat?

Untuk persoalan ini, kita sambung ke rancangan lain, insya Allah.

Lebuhraya Akhirat

Ramai orang memilih menggunakan lebuhraya jika mahu cepat sampai ke destinasi. Jarang orang mahu menggunakan jalan kampung yang sempit, banyak simpang dan bengkang bengkok.

Namun bila masuk bab-bab akhirat, ramai pula yang  suka [tanpa disedari] ‘jalan kampung’ yang banyak persimpangan, bengkang bengkok dan sempit.

Jika mahu sampai ke destinasi akhirat dengan selamat, hanya lebuhraya Islam berpandukan al-Quran dan sunnah sahaja jawapannya.
Sambil menikmati keselesaan memandu di lebuhraya, selalu ingat ini juga :)
Ummu Abbas
13 Muharram 1434H
Melbourne/ 140am.

Melihat Alam Dari Kacamata Hamba

*  Tajuk artikel ini diambil sempena tema jaulah Sambutan Pelajar Baru Auckland awal tahun ini yang mana saya diminta menyampaikan tazkirah ringkas mengenainya.

 

~~~~~~~~~~~~~~~~

Melihat Alam Dari Kacamata Hamba

New Zealand terkenal dengan landskap semulajadinya yang indah.  Jika Australia sudah cukup indah dipandang, saya kira New Zealand lebih indah. Kehijauan pergunungannya serta ladang-ladangnya menyegarkan pandangan mata.

Tinggal di rumah ladang di Warkworth menggamit kenangan pada kisah Heidi yang pernah dibaca semasa kecil.  Antara faktor saya menyukai kisah Heidi ialah latar lokasi yang menceritakan tentang pergunungan yang menghijau, segar dan berudara bersih.  Hari ini terasa kebesaran Allah yang mengizinkan saya melihat suasana itu walaupun tidak pernah memasang niat untuk berada di tempat begini suatu hari nanti.

Subhanallah!

3:191

(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka”

 

Ali ‘Imran 3: 191

Selaku hamba, tatkala melihat keindahan alam dan keunikannya, doa di dalam ayat di ataslah yang paling layak diucapkan kepada Pencipta Keindahan.

Hamilton Gardens

 

 

Hamilton Gardens memang indah.  Terletak kira-kira 131 km dari Auckland.  Di dalamnya dibina pula taman-taman indah bertema.    Terdapat 6 taman bertema negara tertentu iaitu Chinese Scholars Garden,   English Flower Garden, Japanese Garden of Contemplation,  American Modernist Garden, Italian Renaissance Garden dan Indian Char Bagh Garden.  Selain pepohon menghijau dan subur, bunga-bungaan baki dari musim bunga, terdapat tasik dan Sungai Waikato yang mengalir tenang.

Seperti biasa, di samping melihat pemandangan, saya juga tertarik dengan manusia yang ada di sekitarnya.  Saya memerhatikan reaksi pengunjung yang melawat.  Kebanyakan mereka non muslim.  Muslim yang ada pun adalah kami, anggota rombongan yang terdiri dari pelajar-pelajar Malaysia yang belajar di Auckland dan beberapa kerat pengunjung.

Mereka kelihatan mengagumi keindahan taman-taman serta begitu asyik bergambar.  Saya terfikir, “Alangkah bagusnya jika mereka melihat yang tersurat dari yang tersirat… taman-taman indah ini merupakan gambaran taman-taman syurga Allah yang jauh lebih indah di akhirat kelak.  Al Quran banyak menceritakan tentang syurga dengan sungai-sungai yang mengalir di dalamnya.  Ia disediakan untuk hamba-hamba yang beriman.”
Hari ini kita diberi nikmat menghuni taman dunia yang indah.  Adakah kita layak mendiami syurga Allah yang luas? Apabila terfikir hal begini, terasa ia satu gamitan dari Allah supaya sentiasa berusaha menjadi hambaNya yang baik.  Adakah solat saya sudah sempurna?  Adakah saya berusaha menunaikan perintah yang wajib dan menjauhi yang haram?  Terasa begitu rugi sekali, andai peluang yang ada untuk memburu syurgaNya di dunia ini tidak dimanfaatkan sebaik mungkin.

Jika di sini ada taman-taman bertema, syurga juga mempunyai tema tersendiri yang menunjukkan status yang berbeza.  Benar… benar sekali.  Fitrah manusia yang sukakan taman-taman itu tetap dapat direalisasikan selepas mati.  Yang pentingnya kunci syurga diperolehi dahulu iaitulah kalimah syahadah, “La Ilaha Illallah, Muhammadar Rasulullah”.  Merasa amat kasihan melihat para non muslim yang ramai itu.  Saya hanya mampu mendoakan mereka agar Allah berikan hidayah sama seperti Allah berikan hidayah kepada saya.

Menyebut tentang nikmat melihat keindahan alam, pagi tadi saya mendengar ucapan saudara seislam secara langsung dari Medan Ilmu, Kota Bharu.  Ukht ‘Alaa yang berasal dari Gaza berkata (Pada minit ke 1.14 dalam rakaman), “Gaza buminya lebih kecil dari Malaysia tetapi mempunyai pemandangan yang indah juga.  Apabila saya berdiri di tepi pantai untuk mencari ketenangan, apa yang saya nampak adalah penderitaan saudara-saudara saya.”

Saya kira menjadi tanggungjawab setiap muslim untuk merasa kebersamaan dengan saudara-saudara seaqidah di sana.  Apatah lagi Masjid al-Aqsa yang menjadi kiblat pertama umat Islam adalah milik semua umat Islam tanpa mengira di mana mereka berada.  Jika saya mampu merasa nikmat-nikmat duniawi tanpa gangguan dari mana-mana pihak, saya juga mahu saudara-saudara Islam di Palestin menikmati hal yang sama.

Keindahan alam ini lebih mampu dinikmati apabila saudara-saudara Islam di merata pelusuk dunia berada dalam keadaan aman seperti kita.  Mengambil berat urusan orang Islam yang lain salah satu ciri muslim yang beriman kepada Allah dan RasulNya.  Rasulullah s.a.w berkata,

“Sesiapa yang tidak mengambil berat akan urusan kaum muslimin maka dia bukanlah termasuk dalam kalangan mereka”. 

Hadis  direkodkan oleh Imam Baihaqi. 

Derita umat Islam Palestin derita kita juga.  Keperitan berdepan dengan kekejaman Basyar Asad di Syria keperitan kita juga.  Kezaliman yang dilakukan ke atas umat Islam di Rohingya merupakan penganiayaan kepada saudara kita.  Dalam melihat alam, saya sedar alam ini bersatu di semua sudut.  Antara benua dan lautan, antara langit dan bumi, antara cakerawala, bintang-bintang, bulan dan matahari. Ummat Islam di seluruh dunia juga perlu begitu. Mereka saling melengkapi bagi memakmurkan dunia ini dengan satu pemerintahan yang adil, menentang kezaliman dan memelihara kebajikan semua rakyat tanpa mengira bangsa, budaya dan agama.

Hati orang-orang beriman saling bertaut – jika mereka bahagia, kita turut bahagia.  Andai tidak dapat bersama mengharungi derita mereka, sekurang-kurangnya kita menghulurkan pertolongan dengan derma dan doa berpanjangan.

Ummu Abbas

7 Muharram 1434H

Melbourne

Kasih Tanpa Syarat Seorang Anak

Bismillah.

 

Petikan dari ‘wall’  Facebook seseorang [Mohon dihalalkan ye]

 

‘Nak tahu macam mana anak-anak kita layan kita nanti, lihatlah bagaimana kita layan ibu bapa kita sekarang.’

Penulis bersama ibubapa semasa menerima kunjungan mereka ke Melbourne Jun lepas. Foto hiasan.

~ Kebanyakan kes mungkin membenarkan kata-kata di atas.

~ Ada seorang wanita, sejak kecilnya dipelihara nenek. Ibubapa kandungnya bercerai. Masih di usia kanak-kanak, nenek meninggal dunia.  Kali pertama melihat bapanya ialah di saat dirinya akan mendapat gelaran ‘isteri’.

Selepas itu, dia menyusul tempat tinggal bapa kandungnya. Dia sentiasa menziarahi, membawa hadiah, bahkan membawa anak-anaknya yang lahir seorang demi seorang berjumpa datuk mereka. Bukan sahaja datuk, bahkan nenek yang pernah ‘membuang’ dia. Kadang-kadang, cucu-cucu itu dibiarkan bermalam di rumah datuk atau rumah neneknya.Tidak sesekali dia ceritakan apa yang pernah dialami semasa kecilnya kepada anak-anaknya. Jadi anak-anaknya kasih kepada datuk dan nenek tanpa apa-apa perasaan marah dendam. Wanita ini tetap melayani kedua ibubapanya dengan baik kerana takutkan Allah meskipun ibubapanya tidak pedulikan dia semasa kecilnya.

Anak-anak mengetahui kisah ibu mereka tatkala mereka telah dewasa. Itu pun melalui lidah orang lain.

~  Wanita di dalam kisah di atas berusaha menunaikan hak-hak zahir kedua ibubapanya.  Ada pun dari
sudut kasih sayang, dia mengakui lebih menyayangi arwah nenek dan ibu saudara yang membesarkannya.    Perasaan kasih merupakan anugerah Allah yang tidak dapat diusahakan.  Kedua ibubapanya bertuah kerana tetap dihormati anaknya namun mereka tidak mampu membeli kasih sayang anaknya.  Si anak tidak bersalah dalam hal ini.

~  Wanita yang baru mengenali bapanya semasa digerbang perkahwinan itu terus menyambungkan silaturrahim dengan keluarga sebelah bapanya.   Takdir Allah, bapanya tidak mempunyai anak perempuan dengan isteri barunya.  Lalu wanita ini dikasihi bapa dan datuknya.  Berkat silaturrahim yang dihulurkan, wanita ini mendapat hadiah sebidang tanah dari datuknya.

~ Berbuat baik kepada ibubapa adalah kerana ia perintah dari Allah swt.  Ikhlas dalam melakukannya menyebabkan seseorang tidak akan mengungkit takdir Allah ke atas dirinya.  Juga bukan kerana takut anak-anak membalas dengan perbuatan yang sama di usia tuanya.

~ Kadang-kadang, Allah beri teguran kepada ibubapa melalui akhlak baik anak-anak.  Rahmat Allah itu luas, tidak terjangkau.

~  Orang mukmin itu sentiasa menjadi sepohon rendang yang lebat buahnya.  Setiap kali dilempar batu, dia menyerahkan buah-buahan masak ranum kepada orang lain.

 

 

Ummu Abbas

6.53pm
22 Dzulhijjah 1433H/ 7 Nov 2012
 Melbourne.