Archive by Author | ummuabbas

Tip Anak-Anak Mudah Bangun Sahur

Assalamu’alaikum.

 

Ramadan al Mubarak semua.

 

Menyelit sekejap di celah kekangan masa mengejar deadline artikel untuk Era Muslimah.

 

Moga bermanfaat. :)

 

Bismillah

Bagi ibu yang punya anak ramai atau tidak ramai tetapi masih punya anak, antara hambatan di bulan Ramadan ini ialah usaha mengejutkan anak bangun sahur.

Saya pun risau juga menjelang Ramadan baru-baru ini.

Alhamdulillah, sejak 6 hari ini, anak-anak mudah bangun untuk sahur termasuk yang akan berusia 7 tahun pada 25 Ogos ini.

Ikhtiar mudah sahaja sebab saya pun ibu yang biasa-biasa  iaitu manfaatkan masa berdoa di waktu tahajjud itu. Kita kan bangun awal untuk sediakan juadah. Kita ada banyak masa ‘double mustajab’ di Ramadan al Mubarak ini. Waktu tahajjud di bulan biasa pun sudah mustajab masa berdoa. Inikan pula di bulan Ramadan, penghulu segala bulan yang mana secara umumnya kita tahu kelebihannya.

Peruntukkan masa untuk solat sunat dua rakaat dan satu rakaat witir (Ini sungguh ‘simple’ untuk ibu-ibu biasa macam saya). Kemudian berdoa sahaja kepada Allah,

“Ya Allah, permudahkan urusanku hari ini. Mudahkanlah anak-anakku bangun untuk bersahur. Mereka hambaMu seperti aku juga. Tiada kekuatan untuk beramal kecuali dengan izinMu.”

Selepas doa, turun ke dapur dahulu untuk siapkan juadah. Dalam pukul 5 pagi, baru ke bilik anak-anak untuk kejutkan mereka.

Saya sentuh kepala mereka dan membaca ‘Basmalah’ sahaja sambil kejutkan. Ada juga yang tidak sempat jamah pun sudah bangun.

Alhamdulillah, mereka mudah bangun. Beberapa minit sebelum Subuh, mereka sudah selesai bersahur dan ada yang sudah selesai mandi untuk persediaan ke masjid bagi anak lelaki dan anak perempuan solat di rumah.

Yang penting juga ialah pastikan mereka tidur tidak lebih jam 11 atau 10 malam.

Semoga Allah tetapkan kemudahan ini dengan rahmatNya sehingga ke penghujung Ramadan.

 

Ummu Abbas

6 Ramadan 1435H

2.18pm

 

Jihad Wanita Tanpa Menumpahkan Darah

NOTA:  Artikel ini merupakan kesinambungan artikel ‘Mimpi Tawaf Menaiki Bas‘.

Jihad Wanita

 

Suatu hari Aisyah r.a berkata,“Ya Rasulullah!  Kita mengetahui bahawa jihad adalah sebaik-baik amalan. Oleh itu apakah kami kaum wanita tidak boleh ikut berjihad?”

Benar, wanita yang baik dan teguh imannya punya impian yang sama seperti kaum lelaki.  Mereka mahu berlumba-lumba dalam mengumpulkan ganjaran atau pahala di bank akhirat.  Juga memperolehi taqwa kelas pertama di sisi Allah swt.

“Bagi kamu semua (kaum wanita),  jihad yang paling baik ialah mengerjakan haji dan mendapatkan haji mabrur”.  Pantas sekali Rasulullah s.a.w menjelaskan tanda memahami keinginan mereka.  Hadis ini direkodkan Imam Bukhari.

hajj-guide

Seringkali Rasulullah s.a.w melayani segala pertanyaan dengan baik dari kaum wanita sama ada ia perkara yang tampak kecil atau besar.  Sedangkan waktu itu, umat Arab Quraisy sangat menghina kaum wanita.  Tidaklah sama kita memahami sesuatu perkara secara teori dengan pengalaman merasainya sendiri.  Semasa mengetahui hadis ini buat kali pertama,  terfikir, “Begitu mudah amalan kaum wanita untuk mendapatkan pahala jihad.  Tidak perlu bersusah payah menggalas senjata dan tidak perlu berdepan dengan risiko kematian.”

 

Alhamdulillah, penulis menerima jemputan haji seusai belajar bab haji berdasarkan 4 mazhab.  Jadi ada panduan yang jelas yang masih ‘fresh’ semasa menunaikannya.  Ilmu yang baru dipelajari lebih  mudah diingati bila terus diamalkan.  Ini salah satu kemudahan dan rahmat Allah yang wajib disyukuri.  Ia berlaku tanpa dirancang.  Saya tidak tahu akan mendapat rezeki menunaikan haji selepas mengambil subjek Fiqh Ibadah 2 itu.  Setiap amalan yang dibuat berdasarkan ilmu menambah keyakinan diri.  Antara keyakinan yang diperolehi ialah menunaikan haji tanpa mahram lelaki.

 

Syarat ditemani mahram lelaki bagi wanita adalah perkara biasa yang diketahui umum bagi menunaikan haji.   Ia memang benar berdasarkan pendapat 4 mazhab.  Namun terdapat pendapat dalam mazhab Syafie yang mengharuskan wanita bermusafir haji sesama wanita yang thiqah (boleh dipercayai) dan amanah (adil).  Jadi inilah pegangan kami yang tidak mempunyai mahram waktu itu.  Tiada syarat yang mengharuskan ‘menumpang mahram orang lain’ seperti menumpang kawan yang akan pergi bersama suaminya atau kawan yang ada mahram lain seperti adik-beradik lelaki, bapa saudara, bapa dan lain-lain. Jadi dua orang muslimah yang sudah berkahwin yang bersama anggota rombongan waktu itu bertindak selaku ‘orang tua’ sahaja kepada kami dalam memelihara kebajikan dan keperluan kami.  Ia juga salah satu mekanisme memelihara pergaulan antara lelaki dan wanita ajnabi.  Selepas taklimat umum diberikan kepada semua,  apa-apa hal yang berbangkit, penganjur akan berhubung dengan muslimah berstatus isteri-isteri itu untuk disampaikan kepada kami.

Kredit:  talkandroid.com

Kredit: talkandroid.com

Musim haji tahun 1995  jatuh semasa kami dalam fasa menghadapi peperiksaan akhir untuk semesta kedua.  Berlakulah sesuatu yang menarik di lapangan terbang tatkala kastam memeriksa barang-barang kami.  Kami tergelak melihat kastam yang kehairanan melihat beg-beg kumpulan kami yang setiap kali diselongkar, apa yang keluar ialah pakaian, buku dan nota-nota. Sedangkan beg-beg anggota rombongan lain yang terdiri dari pakcik makcik dipenuhi pakaian dan barangan makanan kering.  Semua barangan diperiksa teliti sebab itu ia memakan masa yang lama.  Setelah melalui fasa pemeriksaan yang memenatkan, baru kami bertolak ke Mekkah menaiki bas.

 

Kami tiba pada 8 Zulhijjah, justeru itu hanya sempat menunaikan sekali umrah, kemudian terus berniat haji.  Haji ini dinamakan Haji Tamattuk kerana menunaikan umrah semasa musim haji dengan niat berasingan untuk umrah dan haji.  Ia dikenakan denda membayar dam seekor kambing. 2 orang daripada kami menunaikan Haji Ifrad iaitu berniat haji sahaja.  Menurut mazhab Syafie, Haji Ifrad lebih utama kerana berada di dalam ihram lebih lama.  Manakala mazhab Hanafi berpendapat Haji Tamattuk lebih utama disebabkan membayar dam itu, ia membantu orang miskin.

wukuf

Perjalanan haji bermula.  Orang memang terlalu ramai.  Semua jalan penuh sesak tatkala jemaah mula bergerak ke Padang ‘Arafah untuk berwukuf.  Dikatakan mereka yang berjalan kaki dari Mekah lebih dahulu sampai dari mereka yang berkenderaan.  Bas memang bergerak lambat.  Tiada ruang dan peluang untuk bergerak laju.  Semua orang tertumpu pada tempat yang sama.  “Pernah berlaku jemaah haji Malaysia yang berwukuf di luar sempadan Arafah kerana memilih tempat yang selesa.  Jadi kita perlu berhati-hati supaya haji kita sah.  Paling penting sentiasa menurut arahan ketua rombongan,” jelas ustaz yang membimbing rombongan kami.

 

Rombongan memilih tempat berwukuf yang hampir dengan kemudahan bilik air.  Pada masa itu, pokok-pokok yang ditanam tingginya lebih kurang 1 meter – 2 meter sahaja.  Dedaunnya juga tidak lebat.  Kami tiada khemah sebagaimana jemaah haji Malaysia yang lain.  Sedikit atap dibuat dari selimut yang diikat pada dahan-dahan pokok bagi meredakan kehangatan mentari.  Disekeliling kami, ada jemaah yang tidur di bawah bas, tidak beratap langsung dan pelbagai gaya lagi.  Hanya zikrullah yang dapat menyabarkan hati-hati kami untuk bertahan di situ.  Kalau berjemur, berkumpul dan berasak-asak dengan orang ramai di dunia ini sudah perit rasanya, apa lagilah di Padang Mahsyar di akhirat kelak.

 

Pada masa wukuf ini jugalah, terfikir, “Cukuplah sekali menunaikan haji seumur hidup.  Tidak sanggup mengulanginya lagi”.  Rombongan memilih berada di sana pada waktu yang afdal.  Tengah malamnya, baru kami bertolak ke Muzdalifah.  Semua pergerakan haji seterusnya seperti melontar di jamrah, bermalam di Mina, tawaf dan sa’ie dilakukan dalam keadaan berasak-asak dengan orang ramai.  Situasi ini membuatkan kita memerlukan lebih tenaga untuk menunaikan semua amalan tersebut dengan baik.  Orang-orang tua atau perempuan hamil yang uzur diharuskan mewakilkan orang lain untuk melontar.  “Kita akan membuat Nafar Thani kerana ia afdal dan juga orang sudah mula berkurangan bagi menunaikan ibadah seterusnya di Mekah nanti,” begitulah antara pesanan ketua rombongan kami.  Alhamdulillah, dipandu oleh para ustaz yang faqih dan berpengalaman, rombongan kami sentiasa memilih melakukan ibadah yang paling afdal walaupun ia mungkin memakan masa yang lebih lama untuk menyelesaikannya.

Jamarat-Jamaraat-Hajj

Setelah melalui pengalaman melontar yang sungguh mencabar dan bermalam di Mina, kami pulang ke Mekah.  Sebaik sahaja tiba di Mekah, baru terasa keindahan menunaikan haji.  Perasaan ‘cukuplah sekali’ semasa wukuf bertukar kepada, “Ya Allah, aku ingin datang lagi”.  Benarlah sabda Nabi s.a.w… benarlah semua kata-kata Baginda s.a.w bahawa jihad bagi wanita ialah haji.  Amalan-amalan haji sahaja sudah cukup mencabar kudrat lemah seorang wanita.  Apatah lagi realiti jihad dalam peperangan fisabilillah.  Penulis amat bersyukur kepada Allah dengan nikmat menunaikan haji di usia muda ini.  Kefahaman terhadap maksud hadis bahawa jihad wanita adalah haji dapat dihayati sepenuhnya.

 

Allah yang bersifat maha pengasih dan maha penyayang begitu ber’murah hati’ mengurniakan ganjaran jihad buat kaum wanita dengan ibadah haji.  Semua itu adalah selari dengan keupayaan kaum wanita yang secara fitrah, fizikalnya lebih lemah dari lelaki.

 

Ummu Abbas

21 Rejab 1435H/ 20 Mei 2014.

Tanah Serendah Sekebun Bunga


 

Bolehkah wanita masuk perlawanan Taekwondo?

Salam, 

1) Adakah wanita dibenarkan menyertai perlawanan Taekwondo ?
2) Boleh ke tudung dimasukkan dalam baju ?
3) Boleh ke nak ikat tali pinggang taekwondo untuk wanita ?

 

Hajar

 

*******

Image

Bismillah

 

Pada asasnya semua jenis sukan boleh disertai wanita dengan syarat bersukan sesama wanita dan di hadapan penonton wanita sahaja.

Berkenaan pakaian, kembali kepada asas menutup aurat dan kadar aurat yang dibenarkan terdedah sesama wanita.  Tidak pakai tudung pun tidak mengapa.  Namun jika di hadapan penonton lelaki, pakai tudung labuh yang tidak dimasukkan ke dalam baju pun masih haram beraksi secara berlebihan di hadapan lelaki ajnabi.  Sementelah pula banyak pergerakan taekwondo yang tidak selayaknya ditonton oleh ajnabi.  Muslimah yang masih berada dalam fitrahnya yang suci pasti merasa malu membuat pergerakan-pergerakan tersebut di hadapan lelaki ajnabi.

 

Ini boleh difahami dari tertib dan pergerakan solat yang berbeza antara lelaki dan wanita.  Juga berbezanya pergerakan wanita dan lelaki semasa tawaf dan sa’ie.  Wanita secara umumnya adalah sumber fitnah bagi lelaki apabila mereka keluar rumah.  Justeru itu, Islam menggalakkan wanita tetap diam di rumah kecuali ada urusan penting untuk keluar.  Apabila ada keperluan untuk keluar pula, Islam menggariskan peradaban yang tinggi untuk para wanita beriman bagi memelihara maruah mereka dan juga ‘maintain’ anggun dengan kesopanan dan kesantunan dalam pergaulan di tengah masyarakat umum.

 

Saya respon secara ringkas sahaja dulu memandangkan kesuntukan waktu.

 

Moga ia bermanfaat.

 

Wassalam.

 

Ummu Abbas

17 Rabi’ul Akhir 1435H

 

 

Mohon maaf, lama menyepi…

 

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakaatuh.

 

Para pengunjung yang dikasihi Allah,

Saya baru kembali menjenguk ‘rumah maya’ ini setelah sekian lama ber’uzlah’  disebabkan beberapa faktor yang besar:

 

1.  Alhamdulillah kami telah kembali ke tanah air pada 27 November 2013.  Sekurang-kurangnya dua bulan sebelumnya, saya benar-benar sibuk dengan urusan berpindah rumah, shipping, travel ke Christchurch, kembali ke tanah air, membersih dan mengemas rumah yang sudah lama ditinggalkan.  Sehingga ke hari ini, hampir 2 bulan kembali ke Bumi Serambi Mekah, masih lagi dalam fasa membersih dan mengemas  rumah.  Keadaan diri yang berselang seli antara sihat dan tidak sedikit sebanyak melambatkan proses memulihkan keadaan rumah seperti sedia kala.

 

Terasa sangat perbezaan memasuki rumah baru dengan memasuki rumah yang sedia didiami tetapi lama ditinggalkan.  Situasi kedua lebih berat dari situasi pertama.

 

2.  Sebaik pulang, laptop yang sedia uzur baru dihantar ke ‘hospital’ untuk dirawat.  Al maklum kos penyelenggaraan yang lebih tinggi di Melbourne menyebabkan saya ‘bersabar’ dengan keadaan laptop yang uzur dan meneruskan penulisan setakat yang mampu  waktu itu.  Sudah agak lama menggunakan monitor berasingan.  Hampir 2 bulan berada di ‘wad’, alhamdulillah hari ini baru dapat melihat kembali laptop hadiah suami pada 2010 ini dengan sedikit ‘make up’ baru.

 

Jadinya ada banyak juga persoalan yang ditinggalkan yang belum sempat dijengah.  Mohon maaf kepada para pembaca yang meninggalkan komen atau pesan.

 

Insyaa Allah, saya berusaha respon mana yang termampu dan berdasarkan kepentingan terlebih dahulu.  Mana-mana persoalan yang sudah biasa dijawab dalam website-website dan blog-blog lain, mungkin saya tangguhkan dari memberi respon.

 

Mohon doa ikhlas dari ikhwah dan akhawat semua supaya Allah permudahkan urusan saya di sini, bolehlah saya meluangkan lebih banyak masa di sini ya…

 

Sekian.

 

Wassalam.

 

Sehingga berjumpa lagi.

 

Ummu Abbas

Kelantan Darul Na’im

Istighfar: Tip Mudah Menggamit Rezeki

Bismillahirrahmaanirrahiim.

 

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakaatuh.

 

Alhamdulillah, setelah lebih 2 bulan – rasanya jarak paling lama tidak update blog – hari ini bagai seperti mendapat nafas baru untuk kembali di sini.  Itu pun belum tahu kekerapannya bagaimana.

 

Saya biasa-biasa sahaja di sini.  Meneruskan rutin sebagai isteri, ibu dan da’ieyah ilallah (pendakwah di jalan Allah), insyaa Allah.  Segan juga mahu menggelarkan diri sebagai da’ieyah namun hakikatnya tetap da’ieyah kerana sekurang-kurang menyeru kepada diri sendiri dilakukan setiap hari menurut kemampuan dan dengan izin Allah jua.

 

Bukankah Allah berkata di dalam surah al-Tahrim ayat 6,

 

66:6

Maksudnya,

” Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu; neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”

Dalam ayat di atas, penegasan diberikan kepada diri sendiri dahulu dalam usaha menjauhi azab Allah swt.

*****

Saya mohon maaf kepada semua pengunjung yang soalannya belum sempat direspon.  Saya mendoakan mereka mendapat jawapan daripada orang lain andai ianya penting bagi penanya.

Untuk makluman, saya mendapat soalan-soalan di akaun Facebook peribadi, Page, email dan Whats App.  Saya dahulukan merespon yang difikirkan penting dan wajar didahulukan.  Contoh soalan yang melibatkan toharah bagi wanita kerana berkait dengan ibadah Fardu Ain iaitu solat.

Sekali lagi saya mohon maaf atas kekurangan dan kelemahan ini.

*****

Klik foto untuk sumber gambar.

Ada satu kisah menarik hati beberapa hari lepas yang ingin dikongsikan di sini.  Ia menyentuh hati saya untuk kesekian kalinya iaitu berkaitan dengan amalan istighfar.  Bila Allah kasihkan hambaNya, diberi taufiq kepada amalan yang sesuai dengan hamba tersebut.  Taufiq untuk lebih memberatkan beristighfar sepanjang masa sesuai buat diri saya yang banyak dosa ini.

KISAH IMAM AHMAD dan SI PEMBUAT ROTI

Suatu malam, Imam Ahmad bin Hanbal mahu menghabiskan malamnya di masjid, akan tetapi beliau dihalang oleh pengawal masjid. Sudah puas beliau mencuba namun tetap tidak berjaya.

Imam Ahmad pun berkata, “Saya akan tidur di tempat saya berdiri ini.”  Beliau benar-benar melakukan seperti yang dikatakannya. Namun, pengawal itu tetap berusaha menarik beliau menjauhi masjid. 

Kelihatan Imam Ahmad tenang dan tampak pada raut wajahnya ciri-ciri seorang insan yang mulia. Dalam situasi itu, seorang pembuat roti telah melihatnya. Lantas dia membawa Imam keluar dari kawasan masjid itu dan menawarkan kepadanya tempat untuk bermalam.

Maka Imam Ahmad pun beredar bersama pembuat roti itu dan beliau telah dilayan dengan layanan yang baik. Kemudian si pembuat roti itu pun meninggalkan Imam berehat dan dia pergi menguli tepung.  Imam Ahmad mendengar pembuat roti itu beristighfar tanpa henti sepanjang malam.  Ini membuatkan Imam Ahmad berasa kagum terhadapnya.

Apabila menjelang pagi, Imam Ahmad bertanya kepada pembuat roti itu tentang istighfarnya malam tadi: “Apakah kamu dapat hasil dari istighfarmu itu? Imam Ahmad sengaja bertanyakan soalan ini sedangkan beliau sudah mengetahui kelebihan dan faedah istighfar.

Pembuat roti menjawab: “Ya, demi Allah aku tidak berdoa dengan satu doa pun kecuali ia akan dikabulkan Allah. Cuma ada satu doa lagi yang masih belum diperkenankan.”

Imam bertanya: “Apakah doa itu?”

Pembuat roti pun berkata: “Aku mahu melihat Imam Ahmad bin Hanbal.”

Lantas Imam Ahmad berkata: “Akulah Ahmad bin Hanbal! Demi Allah, sesungguhnya aku telah dibawa oleh Allah kepadamu!”

KREDIT KEPADA FB

Fattabiouni Malaysia

*****

Rain Falling Background

Allah menyebut impak dari istighfar atau sentiasa memohon ampun dan maaf darinya dalam Surah Nuh ayat 10 – 12,

71:10

“Sehingga aku berkata (kepada mereka), `Mohonlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun.

 

71:11

“(Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu;

 

71:12

Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).

 

*****

Apa perasaan kita bila seseorang yang bersalah memohon maaf kerana menyakiti kita seperti berbohong, mengumpat, mencela dan sebagainya, kemudian dia mengulangi lagi perbuatan tersebut dengan sengaja dan acuh tidak acuh?  Pasti kita marah dan terasa dipermainkan.

Begitu jua Allah swt, tatkala kita mahu beramal dengan beristighfar, pastikan ia benar-benar lahir dari rasa bersalah, merasai banyak dosa, berazam meninggalkan segala laranganNya serta diiringi amal soleh.

Istighfar yang berkesan perlu diiringi mujahadah dalam menunaikan kewajiban dan menjauhi maksiat.

 

 

Ummu Abbas

1.05 am

24 Syawwal 1434H/31 Ogos 2013

Melbourne.

Apa yang Ibu harus kata ketika marahkan anak?

 

Pagi semalam, seperti biasa setiap Sabtu dua minggu sekali, halaqah ilmu kaum ibu Kg Vic North berlangsung di rumah saya.  Kaum ibu di sini ada yang belajar PhD dan ada yang mengikut suami menyambung PhD seperti saya.

 

Tema dan fokus kami ialah pendidikan anak-anak menurut sunnah.  Setelah ilmu dibentangkan, kami kongsi pengalaman dan ilmu masing-masing.  Satu ketika, dalam membicarakan pentingnya ibu memelihara kata-katanya kepada anak-anak, seorang dari kami berkongsi kisah seorang Ibu yang solehah.

 

~ Seorang anak kecil sedang bermain-main dengan tanah.  Si ibu pula sedang menyediakan hidangan untuk tetamu si ayah.  Juadah selesai dihidangkan menunggu tetamu yang akan tiba.  Tiba-tiba si kecil itu menabur debu tanah ke atas hidangan yang tersedia.  Lalu si ibu berkata, “ Pergi kamu!  Semoga Allah jadikan kamu imam kepada al-Haramayn”.  Anak yang dimarahi ibunya itu sekarang sudah membesar menjadi Imam al-Haramayn iaitu Imam al-Sudaisi yang terkenal itu.~

 

Subhanallah!  Kagum kami mendengar kisah tersebut.  Begitu makbulnya ungkapan seorang ibu kepada anaknya walaupun dalam keadaan marah begitu.   Lalu antara kami berkata, “Kalau begitu, kita sebut sahaja, ‘Wahai Menteri Besar!’.

Yang lain pula berkata, ‘Atau Wahai Tan Sri!’.  Kami sama-sama tergelak.   Iya, antara kita memang tahu ibu perlu mengawal kata-katanya kepada anak-anak dari perkataan yang tidak elok, namun kisah ini memberi iktibar bahawa ungkapan khusus atau spesifik begitu pun dimakbulkan Allah swt.

 

Lalu saya teringat tip ibu mertua.  Mak (panggilan saya kepada mertua) bercerita, “Mak kalau marah macam mana pun dengan anak-anak, Mak bersungguh-sungguh sebut dalam hati, ‘Berjuruhnya anak aku.  Berjuruhnya anak aku’.  Itu sahaja yang Mak ulang-ulang.”

  • Berjuruh dialek Kelantan bermaksud ‘Baik akhlaknya’.

Benar, saya lihat semua anak-anak Mak menjadi anak yang  baik dan berjaya pula dalam kehidupan masing-masing.  Anak-anak dimudahkan urusan agama dan dunianya.

 

Satu ujian besar buat para ibu untuk menuturkan kalimah berharga atau bernilai tinggi kepada anak-anak tatkala marah.  Ia tidak mudah jika tidak disertai ilmu dan keimanan yang tinggi kepada Allah swt.

 

Selepas habis halaqah ilmu itu, petangnya terjadi sesuatu dengan anak kelima yang berusia 6 tahun.  Lalu saya menyebut, ‘Ya Soleh!” Maksudnya “Wahai Anak Soleh!.”   Namanya Aqil.  Hari ini saya terasa pelik bila melihat Aqil begitu mudah membantu walaupun tidak disuruh.  Tidak sebagaimana biasa, kalau saya minta tolong, dia akan ikut ‘mood’.  Jika mahu, Aqil akan menolong.  Jika tidak mahu, Aqil akan diam atau beritahu dia letih dan  meneruskan permainannya.  Kemudian baru teringat apa yang saya seru dia semalam.  Mungkin berkat ‘doa’ tersebut.  Mengenangkan hal tersebut, hari ini saya ulangi lagi menyebut, “Aqil anak soleh”, sebaik melihat dia membantu bermacam-macam hal.

 

Jabir r.a. melaporkan bahawa Rasullullah SAW berkata,(maksud hadis), “
Janganlah kamu mendoakan yang tidak baik untuk diri kamu, anak-anak kamu dan harta kamu kerana boleh jadi doa kamu itu bertepatan dengan waktu yang mana waktu itu doa dikabulkan sehingga apa yang kamu mohonkan juga dikabulkan.  

Hadis direkod oleh Imam Muslim.

 

 

 

Ummu Abbas

 15 Sya’ban 1434H

 

Melbourne.

 

 

Kehidupan Muslim di Melbourne

Bismillah

Satu soalan singgah di blog ini;

Akak, Di Melbourne ramaikah rakyat Malaysia?? Di Australia ramaikah orang Islam??  Senangkah hidup di sana?? Ada gangguan anti Islamkah??

Jawapan:

Di bawah ini, saya lampirkan satu artikel yang pernah diterbitkan di sebuah majalah.  Artikel ini menceritakan kehidupan muslim di Melbourne secara ringkas dan sedikit penambahan di bawah ini.

Umumnya, sehingga kini muslim paling ramai di Sydney dan Melbourne.  Di bandar-bandar lain ada juga seperti Perth, Adelaide, Brisbane dan Hobart.

Di Melbourne warga  pelajar Malaysia lebih 8000 orang terdiri dari pelbagai bangsa.   Sebahagian kecil berkerja dan mendapat separuh kerakyatan (permanent resident).  Segelintir menurut pasangan yang dinikahi.

Kesenangan itu agak relatif sifatnya.  Saya mohon maaf kerana kurang memahami maksud ‘senang’ secara khusus dalam soalan di atas.

Melbourne CBD

Melbourne CBD

Makna Hijrah Ke Kota Melbourne

 

Suatu hari, dia mendapat perintah untuk berhijrah.  Seluruh pengikutnya turut diarahkan berhijrah.  Hijrah bukan sekadar pada perpindahan jasad dari satu tempat ke tempat yang lain. Bahkan hijrah ke arah sesuatu yang lebih baik pada keimanan, hubungan silaturrahim dan harta benda.  Dari pengorbanan meninggalkan harta, kampung halaman dan sanak saudara yang belum mahu beriman, Allah mengurniakan saudara-saudara baru yang tulus menyintai bernama golongan Ansar, sebuah negara dan juga harta rampasan perang.

 

 

Hijrah atau kembara ini jika diniatkan semata-mata kerana Allah akan memberi hasil positif pada dunia dan akhirat seseorang. Sebaliknya, jika tujuannya sekadar dunia, maka hanya dunia yang akan diperolehi.  Na’uzubillah. Dalam satu hadis berkenaan niat

‘Umar ibn al-Khattab r.a. berkata, ‘Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu”. 

 

Tahun baru hijrah 1434 menyaksikan kami bermastautin di Melbourne selama 2 tahun 2 bulan.  Alhamdulillah, ia juga menjadi saksi genap setahun saya menjadi penulis tamu di sini, menabur ilmu dan berbakti kepada masyarakat dalam ruang yang Allah berikan.

 

Salji hanya ada di pergunungan tertentu di Australia.

Salji hanya ada di pergunungan tertentu di Australia.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Di tengah Kota Melbourne. Kelihatan stesen tram.

Jika anda berjalan ke seluruh ceruk Kota Melbourne, anda akan dapati pelbagai bangsa menghuni Melbourne sama berganding bahu membangun dan memeriahkan kota.  Mereka sanggup berhijrah dari negara asal bagi memperbaiki kehidupan masing-masing.  Pernah saya bertanya jiran yang berbangsa Lubnan, “Adakah bangsa kamu berhijrah kerana lari dari suasana perperangan?”  Ummu ‘Abd berkata, “Tidak.  Bangsa kami memang gemar berhijrah untuk mencuba sesuatu yang baharu.”  Menurut pemerhatian, komuniti muslim Melbourne dikuasai majoriti Arab Lubnan dan bangsa Turki.  Selain itu terdapat muslim Somalia, Iraq, Afghanistan, Bangladesh, Arab Saudi, Malaysia, Indonesia, Bosnia dan lain-lain.  Jawapannya mengingatkan saya kepada masyarakat di kampung halaman iaitu Kelantan yang suka berhijrah untuk mencuba sesuatu yang baharu.

 

 

Jumlah muslim di Victoria melebihi 90,000 orang.  Faktor jumlah memungkinkan banyak masjid dan surau dibangunkan.  Antaranya masjid di Fawkner, Preston, Sunshine, Broadmeadow, Werribee, Roxburgh Park dan lain-lain.  Info lanjut boleh dilayari di  http://www.ummahdirectory.com.au.   Masjid-masjid ini biasa dipanggil (walaupun ia ada nama sendiri) menurut bangsa atau kumpulan yang mengurusinya seperti masjid Tabligh, masjid Bosnia, masjid Arab, masjid Turki dan terbaru yang sedang diusahakan ialah masjid Melayu.  Terdapat persatuan Melayu Singapura yang sedang mengumpul dana untuk membangunkan masjid Melayu.  Maksudnya di sini ialah prasarana dan kemudahan masjid mahu disesuaikan dengan budaya Melayu.  Bagi menyatukan umat Islam Victoria yang berasal dari pelbagai negara dan mazhab,   The Islamic Council of Victoria (ICV) ditubuhkan bagi memelihara kebajikan dan kepentingan mereka.  Lembaga Imam-imam Victoria (The Victorian Board of Imams) memainkan peranan membuat pengisytiharan penting seperti tarikh mula berpuasa dan tarikh hari raya.

 

 

Muslim di negara non-muslim ini kelihatan begitu berdikari dalam hidup mereka.  Mereka mempunyai banyak jenis perniagaan kecil dan besar, mereka membangunkan masjid dengan usaha sendiri, menubuhkan persatuan mengurusi bekalan daging atau makanan halal (Halal Australia), menubuhkan sekolah-sekolah Islam dan lain-lain.  Melihat mereka mengingatkan saya kepada bangsa Tionghua di tanah air yang kuat berdikari.  Memang ada ‘satu kuasa dalaman yang kuat’ menjadi momentum kepada para penghijrah ini membina hidup mereka di tempat orang.  Di dalam Islam, hukum berhijrah dari negara Islam kepada negara non-muslim dibahaskan ulama. Begitu juga sebaliknya. Yang menjadi persoalannya ialah wujudkah sebuah negara Islam di zaman ini.  Ada perbezaan antara negara yang dihuni oleh majoriti muslim dengan negara Islam.  Tinggal di negara yang diperintah non-muslim yang adil mungkin lebih baik dari tinggal di negara yang mempunyai pemerintah muslim yang zalim.

 

Hingga ke saat nota travelog ini dicatat, warga muslim di Australia masih bebas mengamalkan ajaran Islam sekurang-kurangnya di peringkat individu dan sesama komuniti muslim.  Sebahagian syiar Islam belum diizinkan pemerintah seperti masjid tidak dibenarkan menggunakan pembesar suara semasa azan dilaungkan.  Sedikit masjid dibenarkan menggunakan pembesar suara waktu solat Zohor sahaja.  Kelas-kelas pengajian Islam hidup subur di sini.  Sayangnya di sana terdapat ramai warga Arab terutama anak-anak yang membesar di negara ini sudah melupakan bahasa ibunda iaitu Bahasa Arab.  Ada di kalangan mereka hanya tahu Bahasa Arab ‘Ammi (bahasa pasar) serta tidak tahu berbahasa Arab fushah (bahasa standard).  Bahasa Arab mempunyai kaitan rapat dengan Islam kerana ia bahasa Al-Quran.  Al-Quran merupakan dustur pertama umat Islam.  Tidak dapat tidak mereka yang mahu berpegang teguh dengan ajaran Islam akan berusaha memahami al-Quran.

 

 

Antara Dua Benua

 

Pengalaman tinggal di Jordan semasa belajar dahulu dan di Australia sekarang memberi gambaran menarik dalam memahami erti hijrah. Para imigran muslim di sini sama ada menjadi lebih baik Islamnya atau sebaliknya.  Begitu juga di Jordan dahulu, sebahagian besar pelajar mendapat manfaat dari biah solehah (persekitaran baik yang ada) dan segelintir pelajar masih tetap cenderung kepada budaya hidup yang tidak Islamik.  Benarlah pesan Nabi s.a.w dalam hadis niat yang direkodkan oleh Imam Bukhari dan Muslim bahawa setiap amalan natijahnya berdasarkan niat atau tujuan ia dilakukan.

 

 

Hijrah bukan sahaja memberi kesan pada mata pencarian, bahkan lebih mendasar lagi ialah pada bentuk pemikiran seseorang.  Ada yang terpengaruh dengan cara berfikiran bebas sehingga melepaskan diri dari teraju prinsip al-Quran dan Sunnah.  Bentuk pemikiran ini,  apabila diredai oleh hati akan diterjemahkan dalam cara hidup seseorang. Oleh sebab itu, di dalam Islam, perkara pertama yang perlu dibentuk ialah aqidah.  Aqidah difahami dengan akal/pemikiran sebelum diserap dan diyakini oleh hati.   Dari tahap kepercayaan dan keyakinan yang ada, ia membentuk amalan dan akhlak seseorang.

 

 

Kembara di Bumi Kangaroo menjadikan hidup lebih berwarna-warni bagi penulis sekeluarga.  Hijrah yang sementara ini memberi makna mendalam pada fikiran, hati dan tindakan.  Orang mukmin setiap saatnya hanya ada satu tujuan tinggi dan mulia iaitu fikirnya kerana Allah, zikirnya hanya untuk Allah dan diam geraknya semata-mata mahu mendapat reda Allah.  Maka jika dia berhijrah, objektif yang ingin dicapai dari hijrahnya itu tidak lain dan tidak bukan semata-mata untuk meningkatkan lagi keimanan dan ketaqwaannya.  Jadilah dia seperti ikan di laut, tetap tawar walau airnya masin. Dan jadilah dia seperti buah kelapa yang hanyut, di pantai mana pun ia terdampar, ia akan hidup subur, memberi jasa kepada manusia sekeliling dengan segenap kebolehan dan kemahiran yang ada padanya.  Sabda Nabi s.a.w, “Sebaik-baik manusia ialah yang paling bermanfaat buat manusia lainnya”.

 

Hijrah begitu sinonim dengan travelog keimanan seseorang.  Perbaharui tujuan hijrah supaya hijrah kita tetap terhitung sebagai ibadah.

 

Ummu Abbas

Melbourne, Australia.

17 Rejab 1434H