Arkib

[Q&A PRU] Calon Non Muslim atau Calon Muslim?

Assalamualaikum 

:)

Di tempat saya mengundi diletakkan calon bukan Islam dan Islam.  Namun calon bukan Islam ini bertanding atas tiket parti yang saya pilih. Boleh  terangkan bagaimana membuat pilihan dalam keadaan ini?  Ada yang kata perlu dahulukan pemimpin Islam walaupun pimpinan partinya tidak bagus.  Tapi ada yang kata boleh pilih pemimpin bukan Islam untuk memenangkan parti yang pimpinannya bagus.

Wassalam 

:)

****************

Wa’alaikumsalam warahmatullah Alin :)

Semoga Allah menambah kasih sayang dan barakahNya dalam kehidupan Alin sekeluarga.

Saya suka melihat sikap terbuka dan positif yang ada pada Alin dalam menilai dan membuat keputusan.  Sifat bertanya dahulu dalam hal yang tidak diketahui dan difahami boleh memandu diri menilai dengan adil, seterusnya membuat keputusan yang tepat berdasarkan kefahaman.  Akhirnya kita terselamat dari menjadi mangsa kepada pihak berkepentingan selain kerana Allah swt.

Berhubung pertanyaan, ada dua entiti penting yang berbeza fungsi dan sifatnya wujud di dalam satu-satu perkumpulan;

1.  Parti atau kumpulan tertentu.

2.  Individu.

Dalam konteks parti-parti  politik di Malaysia, dasar-dasar parti akan menentu dan menghadkan segala tindakan pimpinan dan ahli supaya selari dengannya.

Parti yang menolak Quran dan Sunnah dari menjadi dasar atau dengan kata lain mengambil dasar selain Islam akan mempengaruhi segala perlaksanaan dan tindakan ahli.  Oleh sebab itu  sekiranya mana-mana ahli yang berniat menerapkan nilai-nilai Islam di dalam parti tersebut biasanya akan terbuang juga akhirnya.

Umpama seseorang yang mahu membersihkan tong sampah.  Walaupun pada asalnya dia seorang yang bersih, jika dia memilih kaedah membersihkan dengan memasuki tong sampah tersebut, akhirnya tong sampah tetap tidak bersih,   sebaliknya dirinya yang bersih akan turut terpalit sampah-sampah yang memenuhi tong.

Orang yang baik dan beriman akan berpegang teguh kepada prinsip untuk tidak bersama dengan mereka yang melakukan kezaliman.   Seandainya dia merelakan dirinya dicalonkan oleh parti yang menolak Islam sebagai dasar, sama ada dia jahil tentang parti tersebut, jahil berkenaan selok belok dan waqie’  politik Islam atau dia mempunyai kepentingan diri terhadap pencalonan itu.  Maka dari sudut mana pun, dia tetap mempunyai kelemahan yang menjejaskan integritinya sebagai calon wakil rakyat.

Apabila Allah melarang manusia melakukan kezaliman, dalam masa yang sama Allah juga mengancam sesiapa juga cenderung kepada kezaliman.

Allah berkata di dalam surah Hud ayat 113 ,

 

وَلَا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ اللَّهِ مِنْ أَوْلِيَاءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ

Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.

 

Jika cenderung sahaja mendapat kecaman keras dari Allah swt, apatah lagi menolong kezaliman tersebut sama ada dengan cara mengampu, mendiamkan diri tanda setuju, membiarkan diri dicalonkan, berkempen bahkan mengundi kumpulan mereka.

Allah melaknat pelaku zalim melalui surah Hud ayat 18., Allah menyatakan benciNya kepada kaum yang zalim melalui  ayat 57 surah Ali ‘Imran,  Allah tidak memberi hidayah kepada puak zalim melalui wahyu Al- Ma’idah ayat 51, ancaman mendapat azab yang pedih al Furqan 25;19 dan banyak lagi ayat-ayat lain yang mengancam perbuatan zalim.

Gambaran bagaimana kedudukan individu di dalam sesebuah parti.  Parti/kumpulan/jemaah mempengaruhi individu, dan bukannya individu mempengaruhi parti.

Gambaran bagaimana kedudukan individu di dalam sesebuah parti. Parti/kumpulan/jemaah mempengaruhi individu, dan bukannya individu mempengaruhi parti.

 

Justeru itu, parti yang meletakkan dasar menolak Islam sebagai cara hidup mesti ditolak oleh semua orang Islam yang beriman kepada Allah dan hari akhirat meskipun calonnya adalah tuan guru pondok.

Jabir melaporkan daripada Rasulullah s.a.w yang telah berkata Ka’ab bin ‘Ujrah, “ Semoga kamu dilindungi oleh Allah daripada pemerintahan orang-orang yang bodoh wahai Ka’ab.”

Ka’ab berkata, “Apakah pemerintahan orang yang bodoh itu?”

Rasulullah s.a.w berkata,

“Para pemimpin selepasku yang tidak mengambil petunjuk dan tidak mengamalkan  sunnahku.  Sesiapa yang membenarkan pendustaan mereka, menolong kezaliman mereka, mereka bukanlah dari golonganku dan aku juga bukan dari golongan mereka.  Mereka tidak dapat minum dari kolamku (pada hari kiamat).  Sesiapa yang tidak membenarkan kedustaan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, mereka itulah dari golonganku dan aku dari golongan mereka.  Mereka akan dapat minum di kolamku.”

Hadis direkodkan oleh Ahmad dan al Bazzar.

Parti yang mengambil Islam  bersumberkan al-Quran dan Sunnah sebagai dasar pula akan mempengaruhi segala perlaksanaan dan tindakan ahli supaya selari dengan dua sumber tersebut.  Sementelah pula, ‘bidang kuasa’ utama  diletakkan di bawah sistem syura ulama.   Maka ahli majlis syura ulama  inilah yang akan menjaga parti supaya tetap teguh di atas panduan al Quran dan Sunnah.  Tiada kuasa mutlak diberikan kepada individu pemimpin parti untuk menentukan hala tuju parti.

Keputusan berdasarkan syura lebih dekat kepada kebenaran dan lebih mendapat reda Allah swt berdasarkan hadis riwayat ‘Umar al-Faruq bahawa Rasulullah s.a.w berkata,

فَإِنَّ الشَّيْطَانَ مَعَ الْوَاحِدِ وَهُوَ مِنَ الإِثْنَيْنِ أَبْعَدُ

“Maka sesungguhnya syaitan bersama seorang (sendirian) dan dia dari dua orang, dengan lebih jauh.”

Apatah lagi jika ahli  syura terdiri daripada pakar-pakar agama (ulama) yang beriman, bertaqwa dan berakhlak mulia.

Sifat orang alim yang bertaqwa ialah akan sentiasa memastikan jalan hidup yang direntasinya bersesuaian dengan kehendak Allah swt dan menepati sunnah RasulNya.  Kelemahan diri yang tidak maksum dilengkapi atau dapat diatasi dengan  menggabungkan diri dalam jemaah dan berbincang dalam isu-isu ijtihadiyyah (yang tiada nas mutlak mengenainya).

Jika seorang individu yang alim dan bertaqwa sahaja sudah memelihara dirinya dari melakukan perkara yang dimurkai Allah walau dalam hal-hal makruh, maka apabila mereka berkumpul beramai-ramai, lebih mustahil para ulama ini akan bersetuju atau bersepakat dalam hal yang tidak diredai Allah swt sedangkan mereka mempunyai ilmu mengenainya.

Majlis syura ini bertindak menapis  segala cadangan/saranan ahli yang diangkat.  Mana-mana yang bertepatan dengan panduan wahyu akan disahkan seterusnya dilepaskan untuk dilaksanakan.  Mana-mana yang bercanggah dengan nas wahyu, ia tidak akan digazet untuk direalisasikan oleh ahli.

Ini termasuklah membenarkan calon non muslim bertanding atas tiket parti Islam ATAU membenarkan ahli/rakyat yang muslim mengundi calon non muslim dari parti yang mengadakan perjanjian persefahaman politik (tahalluf siyasi) dengan parti Islam.  Persetujuan mengadakan perjanjian persefahaman dibuat atas perkara ma’ruf yang diiktiraf Islam tanpa menggadaikan prinsip-prinsip Islam itu sendiri.  Semua itu sudah diteliti secara mendalam berdasarkan panduan wahyu  sama ada al Quran atau Sunnah RasulNya.

Allah swt berkata mengenai hamba-hamba yang takut kepadaNya di dalam surah Fatir ayat 28,

إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ

Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu.

Justeru itu dalam konteks ini, pengundi muslim yang mengundi calon-calon  non muslim  dalam kategori yang disebutkan di atas  hakikatnya memberi kepercayaan kepada keputusan barisan ulama yang berijtihad secara kolektif, bukannya memberi thiqah dan wala’  kepada batang tubuh calon-calon non muslim itu sendiri.

Wassalam.

Ummu Abbas

15 J/Akhir 1434H

Melbourne

Etika Menerima Video Lucah

Bismillah

 

Antara perkara yang tidak pernah terfikir 20 tahun yang lalu (iaitu di zaman remaja) ialah akan sempat berada di zaman penuh fitnah seperti sekarang.  Fitnah disuakan setiap hari kepada rakyat dalam pelbagai bentuk dan cara.  Paling tidak tersangka ialah bila mana ‘hamba politik’ sanggup menggadai etika diri dan maruah dengan menuduh liwat dan zina kepada musuh politik mereka.   

 

Ibubapa manakah yang rela anak-anak mereka dihidangkan dengan bahan lucah percuma oleh pemerintah mereka sendiri?  Dalam hal ini, mereka boleh menafikan namun ‘keizinan’ secara tidak langsung dengan edarannya tanpa dakwaan dari pihak berkuasa seolah-olah mereka bersekongkol dengan para pembuat dan pengedar tersebut.

 

Sebagai rakyat marhaen, yang bidang kuasanya terbatas, di samping bersuara, kita hanya mampu menahan diri dengan cara tidak peduli terhadap bahan-bahan tidak berfaedah tersebut.  Apatah lagi untuk menonton dan mempercayainya.

 

Kembali kepada Islam yang mensyaratkan 4 orang saksi yang adil sebagai keterangan yang diterima pakai dalam kes liwat dan zina.  Selain 4 saksi yang adil, bentuk keterangan lain adalah lemah dan tertolak secara automatik.  

 

Orang yang dituduh tetap suci dari kesalahan yang dituduhkan berdasarkan prinsip,

 ِاَلأَصْلُ  بَرَاءَةُ الذِّمَّة

Asalnya setiap seseorang adalah bebas dari tanggungjawab dan tidak terikat dengan sesuatu hak.

 

Secara ringkasnya, etika yang perlu ada pada setiap muslim bergelar mukmin tatkala beredarnya bahan-bahan kempen (bahan lucah) tidak bertamaddun ini ialah;

 

1.  Tidak menontonnya.  Hukum haram menonton aurat orang lain terpakai dalam semua keadaan.  Dalam hal keterangan yang boleh menyabitkan hukum hudud, 4 saksi yang adil itu melihat secara tidak sengaja keadaan dua orang yang berzina.  Bukan sengaja mencari kesalahan orang lain.

 

2.  Segera padamkan (delete) atau hapuskan bahan-bahan berkenaan supaya ia tidak tersebar lebih luas.

 

3.  Tidak menyebarkan kepada orang lain walau seorang.

 

4.  Memelihara diri dari mengulas sesuatu yang melibatkan maruah orang lain.  Orang-orang mukmin dalam menghadapi situasi ini mudah sahaja, langsung tidak percaya 100% selagi tidak didatangkan bukti 4 saksi yang adil.  Apatah lagi jika ia dikaitkan dengan peribadi yang terkenal baik dan memelihara maruah diri.

 

Ingat peristiwa al-Ifk – Fitnah kepada Aisyah r.a adalah ujian Allah untuk memisahkan atau dengan kata lain menapis golongan munafiq dari pengikut Nabi Muhammad s.a.w yang beriman.  Jika ada yang memilih untuk ragu-ragu seterusnya mempercayai berita-berita fitnah ini, secara tidak langsung dia menempatkan dirinya di dalam golongan munafiq.

 

5.  Ingat, jika ada yang cenderung kepada perbuatan zalim ini (perbuatan memfitnah), dibimbangi di dunia lagi Allah menguji dengan perkara yang sama terhadap mereka yang mempercayainya, di akhirat kelak, mereka bersama golongan yang rugi dan menyesali diri.

 

6.  Kepada pembuat/tukang upah, pengedit, penyebar video dan yang sewaktu dengannya, peluang bertaubat masih terbuka luas.  Kesenangan di dunia hanya sementara.  Azab di akhirat berganda-ganda.  Allah tetap menerima taubat selagi tidak berlaku syirik kepadaNya.  Sesungguhnya amalan baik yang mengiringi taubat dapat menghapuskan kejahatan yang pernah dilakukan.

 

7.  Mereka yang mengenali secara langsung pembuat, pengedit dan seumpamanya, cari reda Allah dengan mencegah perbuatan mereka.

 

Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik; [4]

Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah itu (dari kesalahannya yang tersebut) serta memperbaiki amalannya, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [5]

 

Al-Nur: 3- 4

 

 

Akhir kalam,

 

Petikan Surah Hud,

 

[111]

Dan sesungguhnya tiap-tiap seorang akan disempurnakan oleh Tuhanmu balasan amal mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam pengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.
[112]
Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.
[113]
Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.
[114]
Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.

 

Ummu Abbas

8 J/Akhir 1434H

11.28am

Melbourne

Mimpi Tawaf Menaiki Bas

Bismillah

Kaabah

Ia berlaku semasa di Tahun 3 pengajian di Jordan. Tanpa memahami maksudnya, saya biarkan mimpi tersebut berlalu begitu sahaja. Tidak lama kemudian, satu kumpulan pelajar senior mengiklankan tawaran menunaikan haji untuk siswa dan siswi. Ini kali pertama penyertaan dibuka kepada siswi. Sebelumnya hanya siswa yang menunaikan haji. Siswi berpeluang menunaikan haji jika mempunyai mahram sendiri seperti suami atau adik beradik lelaki.

Penyertaan terhad kepada 10 orang muslimah. Dua daripadanya dari kalangan yang sudah bernikah. Jadi hanya 8 tempat untuk diisi oleh siswi. Sebagai pelajar yang mempunyai belanja ‘cukup-cukup makan’ untuk hidup dan belajar di negara orang, saya memandang sahaja seorang demi seorang kawan-kawan mendaftarkan diri. Kos menunaikan haji dengan perjalanan menaiki kapalterbang itu ialah USD900 (Lebih kurang RM2250 waktu itu). Jika pergi melalui jalan darat, ia lebih murah. Namun waktu tidak mengizinkan untuk menggunakan jalan darat kerana Kerajaan Arab Saudi menutup pintu sempadannya lebih awal untuk musim haji.

Saya tumpang gembira melihat kegembiraan kawan-kawan yang mendaftar haji. Usia mereka juga masih muda iaitu antara 21 tahun hingga 24 tahun. Dipendekkan cerita, pada hari akhir tempoh mendaftar, saya mendapat rezeki yang tidak disangka berupa perbelanjaan menunaikan haji berserta keizinan ibubapa. Ironinya saya mendaftar sebagai peserta ke 10 pada malam akhir hari mendaftar. Keesokannya seorang kawan yang memang mempunyai simpanan wang mahu turut serta mendaftar namun penyertaannya sudah ditutup kerana penganjur bertegas mahu membawa 10 orang peserta muslimah sahaja. Lantas teringat kepada mimpi tawaf di Baitullah menaiki bas. Subhanallah! Inilah antara maksud mimpi tersebut. Mendapat ‘jemputan’ menunaikan haji pada tahun dianiaya merupakan nikmat besar dan juga hiburan dari Allah.

Lavender. Foto hiasan.   Kredit:  lavenderexperiment.blogspot.com

Lavender. Foto hiasan. Kredit: lavenderexperiment.blogspot.com

Benarlah janji Allah bahawa sesiapa pun tidak dapat menahan rezeki seseorang bila Allah telah tentukan demikian. Menurut lojik akal, kawan-kawan yang mempunyai simpanan itu lebih layak mendaftar haji tetapi kuota itu Allah simpan untuk saya hingga ke saat akhir tanpa sesiapa pun dapat mengusiknya. Subhanallah! Walhamdulillah! Allahuakbar!

Perbelanjaan Wajib

Bagi seorang anak gadis seperti saya waktu itu, kehidupan adalah serba ringkas. Jadi bila berpeluang, boleh terus menunaikannya tanpa perlu berfikir soal tanggungan lain. Yang penting perjalanan itu nanti mendapat izin dari kedua ibubapa. Membuat keputusan mendaftar haji waktu itu juga bererti saya tiada perbelanjaan lain untuk hidup dan membayar yuran pengajian bagi semesta akan datang. Saya fikir apabila Allah mewajibkan haji dengan syarat mampu, maka pada waktu itu saya telah memenuhi syarat tersebut pada saat-saat akhir. Allah jua yang memberikan kemampuan tersebut. Nekad menunaikan kewajipan tersebut kerana meyakini jika masih hidup selepas menunaikan haji, akan ada rezeki untuk saya. Andai ditakdirkan mati, maka berpuashati kerana mengembalikan rezeki tersebut kepada yang berhak yakni menunaikan kewajiban kepada Allah.

Apa sahaja kurniaan Allah merupakan pinjaman dan amanah. Apabila Allah mewajibkan zakat pada sebahagian harta tatkala cukup nisab dan haulnya, bererti ada hak orang lain yang Allah letakkan dalam harta tersebut. Bila konsep ini difahami, sesiapa pun tidak akan berfikir panjang untuk mengeluarkan bahagian yang bukan haknya itu. Samalah konsepnya bila tabungan kita cukup bagi menunaikan haji, maksudnya jumlah yang cukup untuk menunaikan haji itu tadi adalah ‘hak Allah’ yang wajib dikeluarkan semula bagi tujuan mengabdikan diri kepadaNya. Bila segala sesuatu yang ada ditangan dirasakan adalah milik mutlak kita, itulah faktor yang menahan diri dari mengeluarkan sesuatu yang realitinya adalah hak orang lain. “Sayangnya…” Perkataan ini mungkin terdetik tatkala melihat jumlah dalam bank RM12k atau lebih. Untuk mengumpulkan sebanyak itu, bukan mudah juga. Ujian sungguh ya…

Kenangan semasa berusia 10 tahun menerjah minda. Air mata mengalir tatkala mendengar Ibu mencurahkan pengalamannya menunaikan haji. Hari itu hari pertama kedua ibubapa tiba di rumah dan bersama kami semula, 8 orang anaknya (waktu itu). Kisah Ibu membuatkan saya teringin menunaikan haji. Keinginan tersebut berlalu begitu sahaja bersama zaman kanak-kanak yang penuh ceria dan asyik bermain. Secara tidak disedari, Ibu telah membentuk minda positif pada anaknya ini supaya mahu segera menunaikan kewajiban haji sebaik sahaja berpeluang tanpa menangguhkannya.

www.ju.edu.jo

Pintu masuk utama University of Jordan (Babu Ra’iisiy )  Kredit: http://www.ju.edu.jo

 

 

Solat istikharah yang memberi petunjuk supaya melanjutkan pengajian di Jordan rupa-rupanya menjadi pintu menunaikan ibadah haji dalam usia muda. Alhamdulillah, terasa lega yang amat seusai menunaikan permusafiran wajib. Selepas itu, hati bertambah tenang jika mahu melancong ke mana-mana negara selain dua Tanah Haram termasuklah ketika suami membuat keputusan untuk bermastautin di Melbourne buat sementara waktu. Kerinduan untuk menziarahi lagi Rumah Allah dan maqam Rasulullah s.a.w tetap ada namun peluangnya entahkan ada, entahkan tiada lagi sepanjang baki hayat ini. Hanya Allah yang maha mengetahui.

“Adik-adik, bila sudah kerja nanti, elok dibuat tabungan khusus untuk ibadah haji dan berusaha melaksanakannya sebaik cukup perbelanjaannya. Jika berkesempatan menunaikannya sebelum nikah, itu lebih baik. Seorang sahabat Kak Nur menjadi guru sebaik tamat belajar. Kak Nur kagum dengan dia sebab dia hanya menggunakan motor untuk ke mana-mana. Rumahnya yang berhampiran sekolah melayakkan dia berulang dengan berjalan kaki sahaja ke tempat kerja. Bila pulang ke kampung, dia banyak berada di rumah menolong kedua ibubapanya. Sahabat Kak Nur ini bukan kaki ‘tawaf kedai’. Belum sampai dua tahun dia mengajar, dia sudah mampu menunaikan haji bersama keluarganya. Waktu itu juga takdir Allah dia bertunang sebelum musim haji tiba. Namun dia nekad meneruskan niat melangsaikan kewajiban kepada Allah dan bernikah selepas pulang dari mengerjakan haji.”

Selepas merasai sendiri pengalaman menunaikan ibadah haji di usia muda, itulah yang saya kongsikan bersama adik-adik usrah ketika mereka berada di tahun-tahun akhir pengajian. Mengerjakan haji di usia muda tentulah tidak sama setelah usia menginjak tua. Ia seperti ahli sukan yang bersukan sebelum berusia 25 tahun dengan mereka yang bersukan selepas usia 30 tahun. Haji memerlukan kekuatan stamina dan kecergasan badan. Saya dapati sebahagian siswazah suka berbelanja banyak pada perkara yang kurang penting sebaik bekerja sedangkan mereka mendapat tarbiyah Islam. Seorang makcik yang saya temui di Mekah bercerita, dia mengumpul wang hasil menanam sayur selama berpuluh tahun. Makcik itu sudah sangat tua. Kalau tidak silap berusia 70 atau 80 tahun ke atas. Tempat bertanam sayur pula perlu menyeberangi sungai. Dia berasal dari Pahang. Selesai berkenalan dan bersembang, dia sempat hulurkan note RM50 kepada kami tatkala diketahui kami adalah pelajar dari Jordan. Pemurahnya makcik.

Allah berkata melalui Surah Ali Imran ayat 97 yang bermaksud,

3:97

“Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; di antaranya ialah Makam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari seluruh makhluk.”

 

Ummu Abbas

25 Rabi’ul Akhir 1434H/ 7 Mac

Menjalani Keyhole Surgery di Royal Melbourne Hospital

Bismillah

 

Baru sahaja tiba di rumah petang 27 Januari 2013, suami menerima surat dari Royal Melbourne Hospital menyatakan tarikh Keyhole Surgery untuknya ialah pada 31 Januari 2013.  Suami mengagak surat itu tiba sama ada hari Khamis atau Jumaat sebelumnya.  Kami ke Tasmania pada 22 Januari.  Waktu itu belum terima apa-apa surat.

Suami mengidap sakit batu karang hempedu.  Ia dikesan hujung Mei atau awal Jun 2012.  Lebih 6 bulan juga menunggu tarikh pembedahan.  Urusan booking tiket ke Tasmania dibuat lebih awal.  Maksudnya penyakit dikesan selepas urusan tempahan tiket selesai.

Perancangan menulis Travelog Tasmania terencat seketika.  Pun begitu, perjalanan masa dan pengalaman yang pelbagai memberi seribu warna hikmah yang tidak ternilai.  Saya bersyukur atas apa jua yang berlaku.  Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah.

Selagi setiap sesuatu itu didatangkan Allah kerana menzahirkan perhatian dan kasih sayangNya pada diri, maka semua disambut dengan reda.  Alhamdulillah.

Hari ini saya mahu berkongsi sedikit tentang Keyhole Surgery atau Laparoscopy Surgery.

 

 

Ummu Abbas

26 Rabi’ul Awwal 1434H
8.21pm

Melbourne

Bau Telur Busuk Yang Menginsafkan

Taman Jepun di Hamilton Garden

Taman Jepun di Hamilton Garden

“Bila dekat dengan tasik, kita akan tercium bau seperti telur busuk,” suami memberi info ketika perjalanan kami hampir ke daerah Rotorua.  “Abi, kenapa?,”  anak-anak bertanya.  “Ia bau sulfur”, suami menjelaskan.  Pada masa itu kami dalam perjalanan dari Hamilton ke Rotorua, sebuah daerah yang mengandungi 16 tasik.  Tasik Rotorua dikatakan bekas kawah gunung berapi yang meletus lebih 200 ribu tahun yang lampau.  Tasik ini berdiameter 22km.  Ia merupakan tasik kedua besar di New Zealand.  Tasik Rotorua terletak di zon gunung berapi Taupo, Utara New Zealand.

“Siapa yang kentut?”, anak-anak bising tatkala kami mula tercium bau busuk.  “Ha… inilah bau sulfur yang Abi cerita tadi.  Ini bermakna kita sudah hampir tiba di Rotorua.”  “Ooo…begitu”.  Benar bagai dikatakan suami.  Kami singgah di Bandar Rotorua sekejap dan meneruskan perjalanan ke tempat penginapan yang sudah ditempah awal iaitu di pinggir Tasik Rotoma.  Kami melewati Rotorua dengan iringan bau seperti telur busuk sepanjang perjalanan.  Tasik Rotoma juga dikatakan bekas kawah gunung berapi.

Semasa belajar tentang gunung berapi dalam subjek geografi, saya merasa takut dengannya. Saya percaya tiada siapa yang sanggup terkena percikan api yang kecil, inikan pula lahar gunung berapi yang membawa api bersamanya.  Setelah mendapat tahu Malaysia tidak termasuk dalam lingkaran gunung berapi, hati merasa lega. Walaupun pernah melawat Medan, Indonesia dan menyaksikan gunung berapi di sana namun dek melihatnya dari jauh, saya melihatnya seolah-olah kebanyakan gunung di Malaysia sahaja. New Zealand adalah sebuah negara yang termasuk dalam kawasan lingkaran gunung berapi.  Di pinggir kota Auckland terdapat kawah Mt Eden yang sudah mati.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Kawah Mt Eden

Antara Hamilton Garden dan Wai-O-Tapu.

 

Antara tempat menarik di Rotorua yang kami lawati ialah Wai-O-Tapu Thermal Wonderland.  Wai-O-Tapu adalah bahasa Maori bermaksud “Air Suci”.  Ia merupakan kawasan aktif geoterma.  Kawasan ini memiliki banyak kolam air panas yang terkenal dengan airnya yang berwarna-warni.  Wai-O-Tapu memiliki keindahan pemandangan yang tersendiri tetapi menakutkan.  Itu yang saya fikir.

Dari permulaan jalan masuk ke dalam kawasan Wai-O-Tapu, diteduhi dengan pepohon menghijau serta rendang, kami melintasi jambatan kecil yang terbentang di atas sebuah sungai yang mengalir jernih.  Persekitaran awal itu seolah-olah mengingatkan saya kepada syurga yang dijanjikan Allah kepada hamba-hambaNya yang beriman dan beramal soleh.  Iktibar yang diperolehi sama seperti melawat Hamilton Gardens yang sudah diceritakan dalam artikel bulan lepas.  Bezanya kawasan ini dihiasi dengan bau sulfur.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Huge Volcano

Di hadapan kami sudah menanti kawasan yang kelihatan membahang dan mengeluarkan asap.   Apabila dijenguk ke bawah, kelihatan air kehitaman mendidih.  Ya Allah… Subhanallah… Ia begitu menakutkan.  Sudahlah tebing-tebing curamnya kelihatan berdebu kesuraman, bau-bau sulfur pula semakin kuat menyengat hidung.  Banyak juga lubang-lubang kawah gunung berapi yang kami saksikan di sini.  Airnya bercampur lumpur.  Warnanya bermula dari warna kelabu kehitaman dan hitam.  Saya percaya tiada siapa pun yang sudi terjun ke dalamnya apatah lagi mendiaminya.  Segala gambaran buruk ada di situ.

Suasana yang kontra dengan Hamilton Gardens ini mengingatkan saya kepada azab neraka Allah.  Allah menjanjikan balasan buruk kepada muslim yang banyak melakukan maksiat serta tidak bertaubat.  Allah menjanjikan kediaman yang kekal di dalam neraka buat mereka yang tidak mempunyai kunci syurga.  Mereka itulah yang memilih kekufuran dan mati dalam keadaan kufur kepada Allah.  Banyak ayat-ayat yang memberitahu hal ini.  Antaranya firman Allah di dalam Surah Al Baqarah, ayat 39, “Dan orang-orang kafir yang mendustakan ayat-ayat keterangan kami, mereka itu ialah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.”

Ayat-ayat Allah daripada kejadian alam ini sudah cukup untuk memberi peringatan supaya bersungguh-sungguh menjauhi maksiat dan bertaubat segera dari dosa-dosa sebaik sahaja terkhilaf melakukannya.  Kita terlalu lemah dan mustahil suci dari dosa namun Allah Yang Maha Pengampun sentiasa menyediakan peluang bertaubat berserta rahmatNya yang terlalu luas.  Allah berkata di dalam Surah Al Nisaa’ ayat 110, “Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Sungai di pintu masuk ke kawasan Wai-O-Tapu

Sungai di pintu masuk ke kawasan Wai-O-Tapu

Wai-O-Tapu yang unik   

Selain lubang-lubang dalam dari kawah gunung berapi yang menyeramkan, Wai-O-Tapu menghidangkan kami kawasan air panas yang menarik.  Kolam-kolam air panas ini ada pelbagai warna seperti kuning kehijauan, merah dan berwarna pelangi. Setiap kolam diberi nama.  Sebuah nama kolam menarik perhatian saya iaitu The Devil’s Bath (Mandian Syaitan).  Kelihatannya nama itu sesuai kerana kolam itu berair panas dan berbau busuk.  Terdapat juga kawasan tanah berasap kesan dari haba yang mendap di dalamnya.  Ya Allah… terlalu banyak perkara realiti menafsirkan apa yang tersirat.  Ia berguna buat setiap hamba yang mahu berfikir tentang kebesaran Allah dan mempercayai bahawa setiap janji Allah pasti benar khususnya berkenaan syurga dan nerakaNya.

“Ummi… Abi, Aesya mahu balik.  Busuklah di sini”.  Anak-anak asyik merungut mahu balik kerana tidak tahan dengan bau sulfur.  Hmm… tiada manusia yang suka kepada perkara negatif seperti bau busuk ini.  Saya teringat perumpamaan yang menyatakan andai kata dosa-dosa itu berbau, nescaya ramai manusia akan menjauhi maksiat.  Namun Allah tidak takdirkan semua itu berlaku kerana mahu menguji keimanan setiap hambaNya.  Doa melihat alam tidak dilupakan tatkala melihat semua kejadian Allah yang hebat ini, “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.”

Busuuuk....

Busuuuk….

Anak-anak asyik berjalan sambil tangan menutup hidung.  Saya bernasib baik kerana memakai purdah.  Purdah cukup membantu menapis bau yang tidak menyenangkan itu.  “Busuk… panas…”  Anak-anak terus merungut.  “Sabarlah… banyak lagi kawasan menarik yang kita mahu lihat”.  Pujukan begitu kurang membekas.  Saya berfikir lagi akhirnya saya memberi panduan, “Cuba fikir yang tempat ini tidaklah berbau busuk seperti yang disangka dan jangan sebut lagi perkataan ‘busuk’, insya Allah, kita akan rasa biasa”.  Selepas berulang kali menyarankan, akhirnya anak-anak merasa kalih dengan bau itu.  Masing-masing tidak lagi menutup hidung dan rungutan menghilang begitu sahaja.  Alhamdulillah.

Info lanjut mengenai Wai-O-Tapu boleh didapati di website 
http://www.waiotapu.co.nz/
.

 

Ummu Abbas

Melbourne 

31 Dic 2012