PIAGAM KELUARGA ISLAM

ميثاق الأسرة في الإسلام

وضعته اللجنة الإسلامية العالمية للمرأة والطفل

PIAGAM KELUARGA DALAM ISLAM

Digariskan oleh Jawatankuasa Islam Antarabangsa untuk Wanita dan Kanak-kanak

Islamic International Comitee for Women and Children (IICWC)

Penterjemah:  Nurul Akma Mohamed

Editor:  Wan Nor Ainon Wan Abdullah

Teks Artikel Piagam Keluarga Dalam Islam

Bab 1:    Prinsip, Nilai dan Konsep-konsep Umum

Bab 2 :   Tanggungjawab Ummah dalam Membentuk dan Melindungi Keluarga

Bab 3 :   Hubungan Suami Isteri

Bab 4 :   Hak dan Kewajipan Anak dalam Islam

Bab 5 :   Dari Keluarga Kecil hingga Keluarga Besar

Bab 1:

Prinsip, Nilai dan Konsep-konsep Umum

Fasal 1:          

Tujuan Tuhan Mengutuskan Manusia

Perkara 1:

Beribadah kepada Allah dan memakmurkan bumi.

Allah telah memuliakan manusia dan memberikan kelebihan kepadanya berbanding kebanyakan makhluk-Nya yang lain.  Kelebihan manusia yang utama ialah dilantik sebagai khalifah di bumi agar memakmurkan dunia  dengan melakukan pelbagai usaha bagi memenuhi keperluan dari sudut rohani dan jasmani, membangunkan masyarakat insani yang dipimpin oleh nilai-nilai murni yang benar, baik lagi adil, juga agar mencapai erti pengabdian diri kepada Allah dan beriman kepada-Nya semata-mata, mengesakan-Nya dari sudut ketaatan dan ibadah, bukan kepada selain-Nya, berpandukan manhaj para nabi dan rasul-Nya.

Perkara 2:

Melayakkan manusia untuk memikul risalah.

Untuk melayakkan manusia melaksanakan risalahnya di muka bumi, Allah telah mengurniakan mereka kemampuan dari sudut akal, jiwa dan jasad.  Dia juga telah mengutuskan para rasul untuk menunjukkan jalan yang paling lurus menuju kebenaran serta jalan menuju kejayaan di dunia dan di akhirat.

Fasal 2:

Fitrah Manusia dan Peraturan Alam Yang Universal.

Perkara 3:

Pemilikan akal dan kemahuan untuk merubah.

Allah mencipta manusia yang secara fitrahnya beriman kepada-Nya.  Dikurniakan kepadanya akal dan kemahuan yang boleh digunakan sama ada untuk menyelewengkan fitrah tersebut ataupun ke arah peningkatan,  bergantung kepada latar belakangnya dari segi ilmu pengetahuan, ketahanan rohani dan kedudukan sosial.  Kemahuan ini menjadi titik penentu pembalasan di akhirat, sama ada berbentuk pahala atau dosa.

Perkara 4:

Persamaan dari sudut asal kejadian dan kepelbagaian dari segi sifat.

Allah mencipta manusia semuanya sama dari aspek asal kejadian  yakni semuanya berasal daripada jiwa yang satu.  Rentetan daripada itu, mereka adalah sama dalam memiliki sifat-sifat yang umum.  Namun hikmah kebijaksanaan Allah telah menetapkan supaya mereka berbeza dalam beberapa aspek seperti sifat kuat atau lemah, dari segi bakat dan ketahanan emosi, fizikal dan intelektual.

Kepelbagaian manusia dalam beberapa sifat tersebut menjadikan tonggak kehidupan ini adalah berasaskan kepada konsep taaruf (saling berkenalan), taawun (saling membantu) dan takamul (saling melengkapi) di antara individu dan masyarakat, bukannya membawa kepada permusuhan dan kebencian.

Perkara 5:

Lelaki dan wanita saling melengkapi.

Seiring dengan kesatuan manusia dari sudut asal kejadian daripada jiwa yang satu, Allah telah mencipta  dengan kuasa-Nya pasangan lelaki dan wanita. Kehidupan tidak akan berterusan, bumi tidak akan makmur dan generasi manusia tidak akan berkembang biak tanpa gabungan antara keduanya, saling membantu dan saling melengkapi.  Itulah dia sunnatullah yang menjadi peraturan alam pada kejadian setiap makhluk dan perkara di dunia ini.

Daripada gabungan antara lelaki dan wanita inilah terbentuknya keluarga, yang menjadi unit yang pertama dalam kelompok manusia.

Fasal 3:

Khitab syarak yang sama namun tugasnya berbeza.

*Khitab syarak:  Gaya bahasa yang digunakan oleh syarak atau mesej syarak.  Maksud fasal ini ialah mesej syarak biasanya bersifat umum dan sama bagi lelaki dan wanita.  Namun terdapat perbezaan dalam sebahagian tanggungjawab sesuai wujudnya perbezaan naluri atau fitrah antara lelaki dan wanita.

Perkara 6:

Khitab taklif yang sama dan kesamaan dari segi hak dan kewajipan umum.

*Khitab taklif:  Mesej tanggungjawab.

Persamaan antara lelaki dan wanita dari segi fitrah kejadian telah membawa kepada dua perkara utama:

Pertama:  Persamaan mutlak di antara lelaki dan wanita dalam banyak aspek kehidupan yang umum, serta menganggap setiap mereka sebagai pelengkap kepada yang lain, penyempurna kepada risalahnya, teman hidup dan rakan kongsi di dalam kehidupan rumahtangga dan masyarakat.  Melainkan beberapa perbezaan yang diberikan khusus kepada setiap mereka dari segi fizikal dan emosi supaya setiap mereka dapat fokus kepada apa yang menjadi keistimewaan masing-masing.

Kedua:  Selari dengan persamaan ini juga, khitab syarak datang dalam bentuk yang sama terhadap kedua-dua lelaki dan wanita dalam setiap aspek yang menuntut persamaan keduanya seperti taklif perintah dan larangan, perkara halal dan haram, dosa dan pahala, pada hak dan kewajipan insan secara umum dan pada kemuliaan insan.  Pada masa yang sama, khitab syarak juga didatangkan secara khusus untuk setiap jantina pada perkara-perkara yang menuntut perbezaan.

Perkara 7:

Kepelbagaian bidang pengkhususan.

Sesungguhnya perbezaan setiap lelaki dan wanita dari segi ciri-ciri, bakat-bakat dan kemampuan fizikal dan emosi yang tertentu tidak menjadikan mana-mana jantina lebih mulia daripada jantina yang lain. Kemuliaan mereka terhenti pada keupayaan mereka untuk melaksanakan tugas dan pengkhususan masing-masing yang tidak dapat dilaksanakan oleh pihak yang lain. Inilah sunnatullah yang telah ditetapkan oleh Allah kepada manusia seluruhnya walaupun antara sesama lelaki ataupun sesama wanita sendiri.

Wanita dengan emosi, kelembutan dan sifat-sifat kewanitaannya menjadi punca kestabilan dan ketenangan emosi dan sosial di kalangan lelaki dan ahli keluarga.  Fitrah semulajadi dan kesabarannya yang tidak bertepi dalam menanggung kesusahan waktu hamil dan kelahiran, lalu mereka diberikan tanggungjawab keibuan untuk menjaga, menyusukan, mendidik serta menguruskan semua urusan anak-anak kecil. Lelaki pula dengan kekuatan dan tenaganya yang berpanjangan dituntut untuk mencari rezeki, memenuhi keperluan keluarga serta melindunginya.

Perkara 8:

Pembahagian tugas dan tanggungjawab serta perbezaan dari sudut undang-undang.

Sesungguhnya keadilan dan kemaslahatan menuntut supaya fitrah yang dikhususkan bagi setiap lelaki dan wanita ini diberi pengiktirafan melalui pengagihan tugas, tuntutan dan tanggungjawab untuk dilaksanakan mengikut pengkhususan masing-masing. Keadaan ini sudah tentu membawa kepada perbezaan skop undang-undang bagi setiap golongan lelaki dan wanita mengikut situasi ini.

Institusi keluarga merupakan medan terpenting yang memperlihatkan perbezaan ini dari sudut keupayaan, fizikal dan juga emosi lelaki dan wanita.

Perkara 9:

Keupayaan masyarakat untuk mengiktiraf keistimewaan fitrah.

Sesungguhnya perbuatan yang mengingkari perbezaan dan keistimewaan ini adalah sesuatu yang tidak dapat diterima oleh akal, fitrah dan juga syarak; kerana ia seolah-olah menghina fitrah kejadian yang realitinya sudah dimaklumi oleh semua orang dengan ilmu yang yakin dan terbukti.

Begitu juga, syarak tidak mengharuskan perbezaan ini terlalu diperbesarkan skopnya sehingga keluar dari skop yang dituntut oleh syarak atau yang disaksikan oleh fitrah kejadian kerana keadaan ini sudah tentu akan menyebabkan kezaliman terhadap wanita dan mereka-reka hukum syariat.  Kedua-dua keadaan ini akan membawa kepada kefasadan yang besar, kepincangan dari aspek sosial dan nilai yang mengancam masyarakat dengan kemusnahan dalam jangkamasa yang lama.

Tidak ada sistem sosial yang lain yang disebut dengan begitu terperinci di dalam al-Quran al-Karim sebagaimana yang telah disebut tentang sistem kekeluargaan dalam setiap aspeknya sepertimana yang diperincikan di dalam hukum-hukum syariat.

Fasal 4:

Perkahwinan dan Sistem Kekeluargaan.

Perkara 10:

Takrif.

Perkahwinan dalam Islam ialah satu ikatan yang sah di sisi syarak dan undang-undang di antara lelaki dan wanita secara berterusan.  Ia termeterai dengan kerelaan dan penerimaan penuh daripada kedua-dua pihak mengikut hukum-hukum yang telah diperincikan oleh syarak.

Perkara 11:

Haram bersekedudukan tanpa ikatan syarak.

Perkahwinan menurut syarak ialah satu cara yang telah ditentukan untuk mengharuskan perhubungan di antara lelaki dan wanita.  Ia juga merupakan satu-satunya asas untuk membentuk keluarga.

Islam telah mengharamkan segala bentuk hubungan antara lelaki dan wanita sekalipun ia diberi nama perkahwinan secara palsu.  Pada masa yang sama, ia turut mengharamkan semua faktor yang membawa kepada perhubungan yang haram.

Perkara 12:

Perkembangan ciri-ciri perkahwinan dengan peningkatan sosial insan.

Penciptaan manusia dari golongan lelaki dan wanita mendedahkan kehendak Tuhan untuk menjadikan perkahwinan sebagai satu fitrah manusia, satu keperluan sosial dan satu sistem asas bagi membentuk sebuah keluarga dan juga ikatan sosial yang menghubungkan antara unit-unit keluarga.

Ciri-ciri dan tatacara perkahwinan telah berkembang seiring dengan kemajuan manusia berbanding makhluk-makhluk yang lain dan ia dianggap sebagai satu cara untuk membersih serta menyucikan aspek seksual, moral dan sosial manusia.

Perkara 13:

Skop Keluarga.

Keluarga dalam Islam tidak hanya terhenti pada suami, isteri dan anak-anak sahaja.  Malah ia meliputi jaringan yang luas termasuk kaum kerabat yang terdiri daripada datuk, nenek, adik beradik, ibu dan bapa saudara sebelah ibu, ibu dan bapa saudara sebelah bapa dan lain-lain yang dihimpunkan oleh ikatan nasab, perkahwinan atau penyusuan di mana sahaja mereka berada.  Hubungan ini boleh berkembang luas sehingga meliputi seluruh anggota masyarakat.

Perkara 14:

Kepentingan institusi keluarga dan keperluan mewujudkan ketua keluarga.

Keluarga sebagai kumpulan manusia yang terdiri daripada lelaki dan wanita merupakan unit sosial yang pertama dan yang paling asas di dalam sesebuah masyarakat.  Ia juga memiliki elemen-elemen dan asas-asas binaan sebagaimana sebuah masyarakat.  Walau sebagaimana kecil dan sedikit pun jumlah ahli keluarga tersebut, mereka terikat dengan ikatan-ikatan yang berbentuk perasaan, kemasyarakatan dan juga harta benda, serta disusun atur oleh hak-hak dan kewajipan-kewajipan.  Urusan mereka tidak akan stabil tanpa adanya pemimpin yang menguruskan hal ehwalnya.  Inilah yang dikenali sebagai kepimpinan lelaki, yang merupakan satu bentuk pengurusan  tertakluk kepada garis panduan dan hukum syarak sebagaimana terdapat di dalam Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya.

Perkara 15:

Hikmah diharamkan perkahwinan sesama mahram.

Islam mengharamkan perkahwinan seorang lelaki dengan beberapa orang wanita yang sesama mahram, iaitu mereka yang mempunyai ikatan tertentu dari segi nasab keturunan, hubungan perkahwinan atau penyusuan.  Mereka disebutkan di atas asas kerabat sebagai satu usaha untuk menjaga hubungan baik mereka agar tidak putus serta terpelihara daripada punca-punca pergaduhan dan perselisihan.

Fasal 5:

Tujuan Berkeluarga.(Objektif Perkahwinan)

Perkara 16:

Menjaga keturunan manusia.

Tujuan pertama bagi sebuah institusi keluarga dalam Islam ialah untuk menjaga keturunan atau jenis manusia; untuk memakmurkan bumi dan meneruskan generasi.  Allah telah pun meletakkan keinginan nafsu seks di dalam tubuh manusia untuk menjadi wasilah semulajadi bagi kelahiran yang diizinkan syarak, dan bukannya seks itu yang menjadi tujuan.

Untuk mencapai objektif tersebut, Islam menghadkan perkahwinan yang disyariatkan hanya di antara individu lelaki dan wanita yang tertentu, dan mengharamkan sebarang bentuk hubungan di luar kerangka perkahwinan yang sah.  Ia juga mengharamkan semua bentuk perhubungan luar tabi’e yang tidak menjadi jalan ke arah kelahiran zuriat, serta tidak mengharuskan tindakan merancang keluarga tanpa keizinan kedua-dua belah pihak iaitu suami dan isteri.

Perkara 17:

Mencapai ketenangan, rahmat dan kasih sayang.

Agar hubungan suami isteri tidak hanya berlegar pada hubungan fizikal semata-mata, syariat telah mengingatkan bahawa tujuan ikatan ini adalah supaya setiap pasangan menjadi sumber ketenangan kepada pasangannya serta mencapai kasih sayang dan rahmat di antara mereka.

Dengan itu syariat memberi jaminan kepada setiap anggota keluarga dengan sebuah kehidupan bermasyarakat yang damai dan bahagia.  Tunggaknya adalah saling berkasih sayang, berbelas kasihan  dan bekerjasama di dalam senang dan susah, merealisasikan kestabilan, ketenangan jiwa dan sifat saling mempercayai.

Syariat juga menetapkan untuk mencapai tujuan ini, hukum-hukum dan adab-adab perhubungan yang baik di antara suami isteri dan hukum-hukum lain yang dapat memelihara suasana kehidupan berkeluarga dengan penuh kedamaian, kelembutan dan perasaan yang indah.

Perkara 18:

Memelihara nasab.

Nasab keturunan manusia yang disandarkan kepada asalnya.  Kesucian nasab yang terpelihara daripada percampuran merupakan satu tujuan syariat yang tersendiri yang lebih khusus daripada menjaga keturunan.

Demi menjaga tujuan ini, Islam mengharamkan zina, perbuatan menasabkan anak angkat kepada bapa angkatnya, mensyariatkan hukum-hukum yang khusus berkenaan iddah, memerintahkan supaya tidak disembunyikan kandungan di dalam rahim, meletakkan tatacara pensabitan dan pembatalkan nasab serta hukum-hukum yang lain.

Perkara 19:

Ihson.

* Menjaga maruah.

Perkahwinan yang sah akan memelihara maruah dan menutup pintu kejahatan seksual dengan menghalang seks bebas yang haru-biru.

Perkara 20:

Menjaga agama di dalam keluarga.

Keluarga merupakan pusat asuhan individunya, bukan hanya untuk menjaga jasad mereka semata-mata.  Lebih penting daripada itu ialah untuk menanam nilai-nilai agama dan akhlak yang murni di dalam jiwa mereka.  Tanggungjawab keluarga dalam aspek ini bermula sejak sebelum terbentuknya janin lagi, yakni bermula dengan memilih pasangan suami atau isteri yang baik, dengan mengutamakan neraca agama dan akhlak dalam pemilihan tersebut.  Tanggungjawab ini berterusan dengan mengajar akidah, ibadah dan akhlak kepada semua anggota keluarga, melatih mereka untuk mempraktikkannya, menyelia perlakuan mereka sehingga anak-anak menjadi cerdik serta dapat memikul beban tanggungjawab ke atas tindak-tanduk mereka dari segi agama dan undang-undang.

…….bersambung.

10 Muharram 1433/29 November 2011

Bab 2

Tanggungjawab Ummah dalam Membentuk dan Memelihara Institusi Keluarga

Fasal 1

Tanggungjawab Ummah Dalam Menyokong Perkahwinan

Perkara 21

Asas kepada tanggungjawab ini

Tanggungjawab ummah ke atas anggotanya di dalam Islam terbina di atas asas ikatan setiap mereka dengan sebahagian yang lain sebagaimana ikatan kesatuan dengan ahlinya.  Ummah terbentuk daripada beberapa keluarga yang terikat kukuh seperti satu jasad; bukannya daripada individu-individu yang terpisah-pisah.  Hal ini tidak akan sempurna melainkan dengan jalan perkahwinan.

Ummah yang bijak ialah yang mengambil berat tentang usaha merancang dan meletakkan cara yang betul dalam menyokong perkahwinan, menggalakkan perkahwinan di awal usia untuk meninggikan martabat manusia dan memberikan kekuatan kepada ummah serta menutup pintu-pintu akhlak yang buruk.

Perkara 22

Memudahkan jalan-jalan perkahwinan yang sah

Syariat mewajibkan ummah untuk memudahkan jalan-jalan perkahwinan yang sah dan membuang rintangan serta kesukaran yang merintangi jalan perkahwinan.  Antaranya ialah;

  1. Memberi jalan penyelesaian kepada masalah kewangan, terutamanya masalah pengangguran, kepadatan penduduk dan memberi bantuan material untuk mereka yang mahu berkahwin.
  2. Meningkatkan kepekaan ummah tentang kepentingan perkahwinan di dalam Islam serta hak individu untuk terikat dengan ikatan perkahwinan.
  3. Seruan dan penekanan kepada akhlak Islam yang seimbang dengan menepati garis panduan syarak dalam perhubungan yang diharuskan oleh syarak, yang sederhana di antara kekurangan dan kelampauan, kesempitan dan terlalu longgar.
  4. Penekanan terhadap usaha membanteras mas kahwin yang mahal, pembaziran dalam majlis perkahwinan dan menentang adat-adat masyarakat yang buruk di dalam hal perkahwinan dan mengambil sebarang usaha yang dapat menjamin unsur-unsur tersebut dapat disekat.

Perkara 23

Galakan untuk mengahwinkan golongan muda.

Syariat Islam menggalakkan supaya golongan muda dipercepatkan perkahwinan mereka untuk menyekat punca-punca penyelewengan moral dan seksual.

Fasal 2

Tanggungjawab Ummah Dalam Memelihara Dan Mengawal Keluarga.

Perkara 24

Asas kepada tanggungjawab ini.

Tanggungjawab ini terbina di atas dua tiang:

Yang pertama: ianya dapat mencapai tujuan syarak, kerana Islam menetapkan bahawa syarat asas perkahwinan dan pembentukan sebuah keluarga adalah untuk hubungan yang berkekalan  serta berterusan.  Juga menyempurnakan kewajipan menggalakkan perkahwinan yang tidak akan sampai tujuannya di sisi syarak melainkan apabila berkekalannya sebuah keluarga dengan melindungi kehormatannya dan memeliharanya.

Yang kedua:   Sesungguhnya ummah, apabila ia melindungi keluarga daripada faktor-faktor perpecahan dan keterbatalan, ia sebenarnya sedang melindungi ummah itu sendiri serta nilai-nilai sosial dan akhlaknya.

Perkara 25

Keseimbangan di antara hak dan kewajipan

Menyempurnakan akad perkahwinan dengan menetapkan syarat-syarat setiap pasangan suami isteri secara terperinci dan jelas.  Mengambil kira keadilan dan keseimbangan di antara hak dan kewajipan bagi setiap pasangan berpandukan prinsip dan garis panduan syarak adalah satu kemestian untuk memelihara kehidupan berkeluarga secara berterusan.

Perkara 26

Pendaftaran akad perkahwinan

Pendaftaran akad perkahwinan secara rasmi akan mencapai kemaslahatan di sisi syarak dan  masyarakat, agar dengannya usaha mengingkari hubungan perkahwinan dapat dielakkan di samping  terus menjaga hak-hak isteri dan anak-anak.

Perkara 27

Kesaksian terhadap akad perkahwinan dan menghebahkannya

Syariat mensyaratkan kesaksian ke atas akad perkahwinan sebagai satu kebersamaan ummah dalam membina keluarga dan sebagai satu tanda yang membezakan di antara hubungan yang sah dan tidak sah di antara lelaki dan wanita.  Digalakkan menghebahkan perkahwinan sebagai memaklumkan akad tersebut dan sebagai satu penerimaan masyarakat akan terbentuknya sebuah keluarga yang baru.

Perkara 28

Pendaftaran kelahiran

Pendaftaran kelahiran hendaklah dilakukan oleh pihak berwajib untuk menasabkan setiap anak yang baru lahir kepada ibu bapa kandungnya.  Tujuannya bagi  menjamin pembentukan keluarga yang sah serta sabit ikatannya sebagaimana ia dapat membentuk keanggotaan seorang individu ke dalam masyarakat dan tanahairnya.  Seterusnya membentuk rasa hormat daripada masyarakat dan Negara terhadap hak-hak individu tersebut.

Perkara 29

Penentangan terhadap bentuk-bentuk yang tidak sah dalam perkahwinan

Pemeliharaan ummah terhadap nilai-nilai sosial dan akhlak yang murni dan penentangannya terhadap  sebarang bentuk hubungan seksual dan bentuk-bentuk perkahwinan yang tidak syar’ie akan memelihara keluarga daripada musnah.  Seterusnya membawa kepada kebahagiaan dan kestabilan keluarga yang mana ia menjadi sebuah pusat penjagaan insan yang baru, sebagaimana ianya turut menyuburkan semangat untuk berkahwin melalui akad perkahwinan yang sah.

Perkara 30

Bersemuka menolak pemikiran yang songsang

Ummah wajib bersemuka menentang semua bentuk pemikiran songsang yang boleh menyebabkan hubungan lelaki dan wanita berbentuk persaingan dan pertarungan, atau sekadar hubungan fizikal dan kebendaan semata-mata yang membawa kepada kerugian sebelah pihak dengan menyebarkan kesedaran bahawa hubungan perkahwinan ini adalah sebuah hubungan kerjasama dan saling melengkapi.

Perkara 31

Menyebarkan kesedaran tentang nilai hubungan perkahwinan serta adab-adabnya

Menyebarkan kesedaran tentang nilai hubungan perkahwinan di dalam Islam bahawa ia tertegak di atas asas mawaddah dan rahmah (cinta dan kasih sayang), kestabilan emosi, perkongsian dalam menanggung beban dan saling berbincang dalam urusan hidup keluarga.  Semua itu dapat melindungi institusi keluarga daripada faktor-faktor perselisihan dan perpecahan.

…..bersambung.  [Baru sampai halaman ke 12 daripada 63 halaman.  Fail dengan Format saiz A4, font Calibri, saiz 11]

Fasal 3

Faktor Yang Melindungi Keluarga

Faktor agama: faktor pertama

Perkara 32

Membina keluarga di atas asas agama

Pembinaan keluarga sejak awal pemilihan pasangan berasaskan faktor agama dapat menguatkan dan mengekalkan binaan ini.

Perkara 33

Penekanan syariat terhadap akad perkahwinan

Disebabkan  pentingnya keluarga dalam pembinaan masyarakat, syariat meletakkan akad perkahwinan di tempat yang sangat penting dan menjaganya dengan garis panduan terperinci serta syarat-syarat yang lebih ketat dan banyak berbanding dengan akad-akad yang lain.

Perkara 34

Membenci perceraian dan menyempitkan ruang perceraian.

Syariat berusaha menyempitkan faktor perpecahan,  membenci perceraian dan mengelak darinya (perceraian).  Pada masa yang sama, ia mendorong setiap pasangan suami isteri agar lebih bersungguh-sungguh membina keluarga dengan tahap kesabaran dan ketahanan yang maksimum.

Ia juga menetapkan pelbagai cara penyelesaian masalah di antara suami isteri supaya mereka tidak cepat membuat keputusan untuk berpisah.

Perkara 35

Kepentingan zuriat dalam menguatkan perkahwinan

Syariat Islam menganggap zuriat keturunan sebagai objektif perkahwinan yang paling penting. Kewujudannya dapat menjadi faktor keengganan mana-mana pasangan untuk meleraikan ikatan perkahwinan.

Perkara 36

Perasaan yang menyedari pemerhatian tuhan

Faktor agama adalah berbeza daripada faktor kemasyarakatan dan kuasa perundangan kerana ia mencetuskan kesan yang mendalam kepada jiwa insan.  (Kesan tersebut ialah) merasa diperhati oleh Allah dan meyakini balasan akhirat dari sudut dosa dan pahala. Hal ini dapat menjadi satu perisai daripada terlerainya ikatan kekeluargaan dan juga kezaliman terhadap wanita ketika usaha-usaha yang zahir tidak lagi mendatangkan hasil dan ketika dalam keadaan yang tidak dapat dilihat atau dinilai oleh orang lain.

 

sambungan 17 Syawal 33/4 Sept 12

 

Faktor kedua: Faktor sosial

 

Perkara 37

Kesan masyarakat terhadap keluarga

 

Keluarga merupakan sebahagian daripada masyarakat dan sudah tentu ia terkesan dengan prinsip dan nilai-nilai akhlak yang menerajui masyarakat.

 

Perkara 38

Kesan adat dan budaya kepada upacara perkahwinan

 

Ikatan kekeluargaan yang mengiringi perkahwinan termasuklah hubungan pra perkahwinan dan neraca kesesuaian ataupun kufu di antara suami isteri serta faktor kejayaan alam perkahwinan banyak terkesan dengan adat dan budaya yang diamalkan di dalam masyarakat.  Justeru itu ia mestilah dibentuk dan diubahsuai mengikut acuan prinsip dan nilai kemasyarakatan dalam Islam.

 

Perkara 39

Isu keluarga suami atau isteri yang masuk campur dalam hal ehwal rumahtangga

Ahli keluarga suami atau isteri boleh masuk campur di dalam urusan perkahwinan sekadar yang diperlukan dalam menyempurnakan adat dan upacara perkahwinan yang menjadi realiti di dalam masyarakat.  Campur tangan ini hendaklah dihadkan seboleh mungkin supaya mengikut garis panduan syarak, sambil menanam pegangan yang kukuh terhadap nilai dan akhlak Islam supaya hubungan di antara pasangan suami isteri dan keluarga masing-masing dapat terus dieratkan.

 

Perkara 40

Jiran dan kesan kejiranan

Hubungan kemasyarakatan di antara keluarga-keluarga yang hidup berjiran diasaskan oleh dasar-dasar sosial yang dipraktikkan di dalam masyarakat.  Jiran juga memainkan peranan dalam mencetuskan masalah keluarga mahupun dalam menyelesaikan masalah-masalah tersebut. Oleh itu, hubungan kejiranan yang dibina di atas prinsip-prinsip dan nilai-nilai Islam dapat membantu untuk mengekalkan dan mengukuhkan ikatan keluarga.

 

Perkara 41

Kerjasama sosial di dalam keluarga.

 

Kerjasama sosial yang wujud di antara anggota keluarga memainkan peranan utama dalam mengukuh dan meneruskan hubungan kekeluargaan.

 

Perkara 42

Kepentingan yayasan-yayasan persendirian (NGO)

 

Yayasan-yayasan persendirian mahupun NGO memiliki peranan yang praktikal dalam hal ehwal yang membabitkan institusi keluarga.  Peranan ini semakin meluas sehingga meliputi yayasan-yayasan yang ditubuhkan untuk kepentingan –kepentingan berikut:

  1. Untuk memberi galakan dan memudahkan urusan perkahwinan.
  2. Untuk memberi kesedaran tentang hukum-hukum syarak yang berkait dengan keluarga serta memberi pendedahan terhadap kajian-kajian sosial dan psikologi yang berkait dengannya.
  3. Untuk menjaga maslahah para ibu, anak-anak, warga emas dan para isteri ketika berhadapan dengan situasi konflik rumahtangga dan juga masalah remaja dengan ibu bapa.
  4. Untuk menjadi medium yang mendamaikan anggota keluarga yang bermasalah.
  5. Untuk menjadi pusat-pusat asuhan, sekolah-sekolah, media dan masjid merupakan pusat pendidikan luaran yang dapat membentuk sifat dalaman anggota keluarga. Justeru itu hendaklah diambil berat dan memberi sokongan agar institusi-institusi ini dapat dibangunkan dengan baik serta dapat melaksanakan peranannya dalam memberi pendidikan yang betul dan sesuai dengan prinsip-prinsip Islam.

 

Faktor ketiga:  Faktor kuasa pemerintahan atau perundangan

 

Perkara 43

Neraca kejayaan sistem perundangan

 

Neraca kejayaan sistem perundangan yang menyusun hubungan perkahwinan bergantung kepada kejayaannya dalam menyelesaikan konflik rumahtangga, memberi keadilan dan keseimbangan di antara hak-hak dan kewajipan suami isteri dalam skop hukum-hukum syariat Islam.

 

Perkara 44

Memudahkan jalan penyelesaian konflik

 

Kerajaan hendaklah mempermudahkan prosedur penyelesaian dan memberikan keputusan terhadap konflik rumahtangga. Juga memberi jaminan kepada pelaksanaan hukuman sebaik sahaja ia diwartakan dengan bentuk yang sesuai dan terhormat sebagai satu usaha menjaga ikatan kekeluargaan serta tidak memudaratkan anak-anak.

 

Perkara 45

Tanggungjawab kerajaan dalam menjayakan ikatan keluarga

 

Di antara tanggungjawab kerajaan ialah:

  1. Membangunkan sistem-sistem jaminan sosial pada setiap tahap.
  2. Mengawasi  media massa serta mencegahnya daripada menyebarkan contoh dan model yang buruk yang menyebabkan golongan muda mengelak daripada memikirkan soal perkahwinan.  Juga mengawal media dari menggalakkan kerosakan akhlak dan moral yang membawa kepada roboh dan musnahnya ikatan kekeluargaan.
  3. Memasukkan pengetahuan ilmiah yang lazim ke dalam semua silibus pendidikan mengikut tahap setiap peringkat pengajian.  Objektifnya ialah menyediakan para pelajar lelaki dan perempuan yang berilmu dan faham bagi membentuk dan menjayakan institusi keluarga mengikut prinsip-prinsip syarak.
6 Komen

6 thoughts on “PIAGAM KELUARGA ISLAM

  1. Assalamuailaikum..
    Semoga penulis & keluarga penulis berbahagia & sihat sokmo…
    Info yang memberi maanfaat….terima kasih di atas perkongsian ilmu…

  2. Wa’alaikum salam warahmatullah Princess :)

    Belum siap lagi terjemahan dan editingnya. Jadi saya tidak galakkan copy paste buat masa ini. Harap dapat linkkan sahaja dulu ke sini … agar mudah pembaca bertanya jika ada sebarang kekeliruan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s