Tag Archive | aqidah

Orang Islam pun sembah benda?

Bismillah.

Dalam Kelas Darjah 5.

Suria (Nama samaran):  Apa la sembah patung… patung tu tak hidup pun.   Ha..ha… Kita sembahlah Tuhan. [Nada mengejek]

Mei-Mei (Nama samaran):  Orang Islam pun sembah benda juga. [Dengan nada marah]

Suria:  Mana ada…

Mei-Mei :  Itu saya tengok awak dan kawan-kawan awak sembahyang sembah dinding… benda juga.

Suria:  Lho… kami sembah Allah, tuhan yang tidak nampak.  Bukan sembah dinding.

Mei-Mei:  Sama saja… dinding juga ada kat depan.

Suria:  Kami mengadap arah kiblat.  Jadi ada dinding atau tiada,  kami tetap mengadap arah yang sama.

 

PS:  Jangan tiru cara Suria.  Fokus pada penerangan apa yang benar tanpa mengejek kefahaman orang lain.

*********

Seorang Tuan Guru menaiki kapalterbang.  Lalu disapa seorang non-muslim, Tan (nama samaran),”Boleh saya bertanya sesuatu?”

Tuan Guru:  Iya, boleh.

Tan:  “Saya lihat  orang Islam pun sembah benda seperti agama lain yang menyembah tokong-tokong dan patung-patung.”

Tuan Guru:  Apa buktinya?

Tan :  Itu, mereka sembah Kaabah di Mekah.  Bukankah Kaabah itu adalah benda yang diperbuat dari batu-bata?

Tuan Guru:  Kaabah di Mekah sebagai simbol penyatuan umat Islam.  Allah yang menetapkan arah demikian.  Kami tidak menyembah Kaabah itu sendiri tetapi menyembah Allah yang tidak mampu dilihat mata zahir kita.

Tan :  Maksudnya samalah dengan penganut Budha atau Hindu yang menyembah patung-patung mereka.  Mereka hakikatnya menyembah Tuhan yang tidak nampak.  Patung-patung itu sebagai wakil sahaja.

Tuan Guru:  Penganut Islam menyembah Allah secara langsung, bukan menjadikan Kaabah sebagai perantara.  Kalau kami sembah Kaabah itu sendiri, makanya jika kami berada di atas kapal terbang seperti sekarang, kami perlu sembahyang meniaraplah sebab Kaabah berada di bawah.

Atau jika kami berada di dalam kapal selam, maka kami perlu solat baring menelentanglah sebab Kaabah berada di atas tanah.

Begitu juga, andaikata JWW Bush bawa lari Kaabah ke Amerika dengan kapal, kami tetap akan mengadap ke arah Baitullah yang berkedudukan di Mekah.  Sekali-kali kami tidak akan solat mengadap ke arah Amerika walaupun Kaabah di bawa lari ke sana atau perlu meniarap jika berada di atas pesawat dan juga menelentang jika berada di bawah laut.  Cara solat orang Islam tetap sama walau di mana mereka berada iaitu berdiri mengadap ke arah Kaabah di Mekah.

Berbeza dengan penganut agama lain yang menyembah patung-patung, di mana ada patung, ke arah patung itulah mereka mengadap.

~****~****~****~

112:1

Katakanlah Allah itu esa (satu).

Say, “He is Allah , [who is] One,

112:2

Allah itu tempat tumpuan segala.

Allah , the Eternal Refuge.

112:3

Dia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan.

He neither begets nor is born,

112:4

Dan tiada sesiapa pun yang serupa (sama) denganNya.

Nor is there to Him any equivalent.”

Al-Ikhlas 112: 1-4

Ummu Abbas

4 safar 1434H

12.19pm

Melbourne

Sembang Aqidah Dengan Anak-anak

Antara cabaran berada di Melbourne ini ialah memilih pendidikan agama terbaik untuk anak-anak.  Alhamdulillah, memang ada sekolah-sekolah Islam yang ditubuhkan oleh komuniti muslim di sini namun bayarannya sememangnya mahal untuk kami yang bukan warganegara.  Paling kurang perlu mengeluarkan belanja Rm15k setahun untuk seorang anak.

Kelas-kelas fardu ain hujung minggu juga ada namun setelah meneliti silibusnya, mengambil kira yuran bulanan serta waktu menghantar dan mengambil anak-anak pada hujung minggu, saya membuat keputusan untuk mengajar sendiri anak-anak di rumah.   Impaknya rutin bertambah padat dengan tugasan baru.

Jika di Malaysia, anak-anak dihantar ke sekolah agama sejak di sekolah rendah.  Memang banyak beban mengajar agama kepada anak-anak terangkat.  Tinggal lagi saya perlu memastikan ilmu itu dihayati dalam kehidupan seharian, bukan sekadar dihafaz dan dijawab di dalam peperiksaan sahaja.

Anak Sulung di Ambang Remaja

Tahun ini, anak sulung mula memasuki sekolah menengah.  Oleh kerana usaha  menghantar ke sekolah agama terhalang dek ketidak mampuan kami, maka saya semakin serius memikirkan cara mengajar anak-anak di rumah secara berkala dan tetap.   Sebelum ini saya meminta mereka membaca sendiri buku-buku teks agama sekolah SRI Aman dulu.  Selepas mereka membaca, saya meminta mereka menerangkan semula apa yang difahami dan bertanya apa yang tidak difahami.

Silibus pendidikan Tingkatan Satu sekolah Yayasan Islam Kelantan sudah pun berada di tangan, alhamdulillah.  Ia dipesan khas dari adik yang mengajar di sekolah kelolaan YIK.  Sebagai permulaan saya mahu ulangkaji dulu pelajaran lepas kepada Abbas dan Azzam.

Teks Aqidah

Saya memulakan dengan subjek Aqidah- intipati utama manusia dijadikan.  Teks panduan yang digunakan ialah Buku Aqidah Tahun 6 di SRI Aman (silibus MUSLEH).

Buku Aqidah Tahun 6 menjadi pilihan kerana tajuk permulaannya ialah pengertian kalimah Syahadah.  Dua orang anak lelaki menjadi murid. Yang sulung menginjak usia 13 tahun dan yang kedua, menginjak usia 12 tahun.

Kenapa Islam?

Sebelum mula memberi syarahan tajuk, saya mahu menguji kefahaman mereka berkenaan Islam secara umum dahulu.

Saya: Kenapa Abbas dan Azzam berada dalam agama Islam?

Abbas: Sebab Allah suruh.

(Azzam masih berfikir)

Saya: Betul! Bagus, Ummi suka sebab Abbas dapat faham dengan baik. Ia memberi maksud kita berada di dalam Islam bukan kerana dilahirkan oleh ibubapa Islam tetapi kerana Allah sendiri yang memerintah demikian.

Ingat lagi Ummi cerita, sesungguhnya agama yang diterima di sisi Allah hanyalah Islam.

Abbas tersenyum sementara Azzam menanggukkan kepala tanda faham.

Mudahnya mengajar hanya dua orang murid. Saya boleh fokus memandang reaksi mereka berdua semasa mengajar.

Islam Dianuti Dengan Faham

Saya mahu memastikan anak-anak menganuti Islam dengan kefahaman yang betul, bukan kerana ikutan tanpa berlandaskan fakta.

Saya:  Ok, sekarang kita sudah tahu kenapa kita berada dalam agama Islam.  Rukun pertama sebagai syarat seseorang itu menganut Islam ialah mengucap Syahadah.  Abbas cuba ucap kalimah syahadah.

Abbas mengucap dua kalimah syahadah diikuti oleh Azzam.  Saya membetulkan makhraj sebutan yang masih kurang tepat terutama pada makhraj huruf ‘Ha’.

************

Nota:  Doodle Dakwah di atas merupakan imaginasi Nor Abdullah, ahli usrah online saya tatkala melihat coretan saya di Page Facebook.  Memang bagus imaginasi dia untuk dikartunkan # sebab sebenarnya umminyamengajar di rumah tak pakai tudung pun..hehe..Ini yang ‘best’ jadi guru pada anak-anak sendiri…pakaian gaya bebas#  Umminya mengajar pula duduk gaya santai.. duduk atas katil anak-anak… Azzam duduk di kiri Umminya di atas katil dan Abbas duduk atas kerusi pusing-pusing #Nasib baik kefahamannya tidak berpusing…# depan umminya.

Selepas menunjukkan Doodle di atas kepada anak-anak, Abbas berkata, “Ummi, Abbas seorang sahaja yang jawab begitu.  Azzam senyap je …”

“Oh ye ke… Ummi lupa”

Jadi untuk catatan dalam entry ini, ia sudah diperbetulkan semula dibandingkan catatan dalam Page.  Jazakillah buat Dik Nor Abdullah atas lakaran di atas.

Wassalam.

Ummu Abbas

12.25am

17 Rabi’2 1433H

Melbourne


Jom Heboh di Kota Bharu Cipta Sejarah!

Pengunjung Jom Heboh waktu malam. 25 Mac 2010.

Jom Heboh di Kota Bharu Amat Meriah! 

 

  

Sekian lama si glamour ‘Jom Heboh’ (Dulu ‘Sure Heboh’) tidak dapat memasuki Kelantan,  tahun ini julung-julung kalinya karnival anjuran TV3 mendapat lesen oleh Kerajaan Islam Kelantan.  Sebenarnya bukan susah sangat bekerjasama dengan Kerajaan Islam Kelantan jika masing-masing mahu taat dan patuh kepada perintah dan meninggalkan larangan Allah Yang Satu.  Lagi pula pihak pengurusan TV3 sama aqidah dengan majoriti warga Serambi Mekah. 

Jika mereka mahu mencari cara lain yang tidak diredai Allah, itulah yang menimbulkan konflik berpanjangan.   Para penguasa di Negeri Cik Siti Wan Kembang hanya melaksanakan amanah sebagai Khalifah Allah di muka bumi.  Bila disebut Khalifah, maka mereka dan kita hanyalah wakil Allah di muka bumi.  Khalifah juga umpama duta bagi sesebuah negara di negara yang lain.  Apabila di sebut duta, maka duta bertanggungjawab membawa aspirasi dan mempertahankan prinsip negara yang diwakilinya.   Apa akan jadi jika duta Amerika di Malaysia contohnya tetapi membawa aspirasi dan prinsip negara Iran?  Pernahkah berlaku begitu?  Teruskan membaca