Tag Archive | Lebuhraya Kelantan

Lebuhraya Kelantan Lebuhraya Akhirat

Bismillah

Kelantan dan Lebuhraya

Rakyat Kelantan adalah antara mangsa yang dizalimi Kerajaan Pusat bernama BN.  Rakyat Kelantan adalah pembayar cukai sama seperti rakyat di negeri-negeri yang maju dari aspek pembangunan materialnya namun tidak mendapat hak samarata dengan pembayar cukai di negeri-negeri lain.  Keadaan di anaktirikan seperti ini saya saksikan sejak lebih suku abad.   Itu saya!… yang belum sempat merasai usia separuh abad.   Bagaimana dengan generasi ibubapa yang sudah melangkau usia separuh abad?  Dan mereka yang lebih berusia lagi?

Setiap kali cuti sekolah atau cuti raya atau cuti umum yang lain, boleh dirasakan peritnya beratur di atas jalanraya bermula di Kuala Lipis  atau Raub jika dari Kuala Lumpur.   Memasuki Merapoh, para kereta sudah pun boleh berlumba dengan kura-kura.  Kura-kura boleh menang berkali-kali dibandingkan berlumba dengan arnab.  Mereka yang mengambil jalan melalui Perak pun boleh sampai dahulu ke Kota Bharu walhal jalan itu lebih jauh.

Akhirnya berkat fikiran dari pemimpin yang ‘jjuruh‘ dan rakyat sentiasa dihatinya, satu usaha ‘berdikari’ dilancarkan iaitu kutipan derma untuk membina lebuhraya secara sendirian berhad.  Rakyat Kelantan yang matang dek latar belakang dan persekitaran universiti Islam yang ada segera menyahut dan memberi respon positif terhadap usaha ini.    [Kecuali ada sesetengah yang berfikiran singkat dan busuk hati menyindir usaha ini.  Lepas ini kita tengok, mereka akan pilih jalan mana bila lebuhraya sudah siap, insya Allah].

Selepas hak-hak cukai tidak diperolehi, rakyat masih sanggup ‘membayar lagi’  membantu kerajaan Islam yang dikasihi membina lebuhraya untuk mereka.  Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

‘Bravo’ rakyat Kelantan!  Alhamdulillah, rakyat Kelantan sanggup bersusah sedikit di dunia kerana keyakinan mereka terhadap kehidupan akhirat.  Dengan itu mereka lebih sanggup bersama Kerajaan Islam walaupun dianak tirikan dalam banyak perkara.  Biar dianak tirikan oleh Kerajaan Pusat asalkan tidak di’anak tiri’kan oleh Allah, pemilik Deen al-Haneef ini.   Teruskan usaha mempertahankan hak-hak Allah di Bumi Serambi Mekah…

Moga ‘Baldatun toyyibatun wa Rabbun ghofuur’ itu sentiasa dihidangkan buat generasi hari ini dan generasi mendatang.

Derma Rakyat Kelantan untuk lebuhraya Kelantan insya Allah menjadi aset lebuhraya akhirat menuju syurga abadi.   Bukankah mereka yang berharta dan habis hartanya untuk agama Allah dan maslahah umum akan cepat menuju syurga?  Tender membina lebuhraya akhirat ini juga terbuka kepada sesiapa jua yang bukan dari kalangan rakyat Kelantan walau di mana mereka berada.

Ini aset kekal selepas mati insya Allah.  Selagi lebuhraya ini digunakan umum dan sebanyak mana kenderaan yang melaluinya, semua pahala masuk terus menerus ke akaun peribadi penyumbangnya.

Sebelum Ada Yang Bertanya…

Bagaimana jika yang menggunakan lebuhraya ini, niatnya berbuat maksiat di sesuatu tempat?

Untuk persoalan ini, kita sambung ke rancangan lain, insya Allah.

Lebuhraya Akhirat

Ramai orang memilih menggunakan lebuhraya jika mahu cepat sampai ke destinasi. Jarang orang mahu menggunakan jalan kampung yang sempit, banyak simpang dan bengkang bengkok.

Namun bila masuk bab-bab akhirat, ramai pula yang  suka [tanpa disedari] ‘jalan kampung’ yang banyak persimpangan, bengkang bengkok dan sempit.

Jika mahu sampai ke destinasi akhirat dengan selamat, hanya lebuhraya Islam berpandukan al-Quran dan sunnah sahaja jawapannya.
Sambil menikmati keselesaan memandu di lebuhraya, selalu ingat ini juga :)
Ummu Abbas
13 Muharram 1434H
Melbourne/ 140am.