Tag Archive | pahala

Hukum Sedekah Kepada Orang Kaya, Pencuri dan Pelacur

Bismillah.

 

“Kak Nur, apa hukumnya jika kita bersedekah kepada seseorang yang menipu dengan mengutip derma untuk masjid atau sekolah agama?  Bagaimana dengan sedekah kita itu?”

 
“Amalan kita dinilai berdasarkan niat dan cara.  Jika kita niatkan kerana Allah dan cara sudah bertepatan dengan syarak, maka ia tetap berpahala sekalipun penerimanya menipu.  Amalan penerima dinilai berdasarkan niat dan caranya sendiri.  Kita tidak menanggung apa-apa kerugian dari perbuatannya.”

“Itulah… andai kata kita bersedekah untuk membina masjid atau sekolah, maka sedekah itu tidak akan berpanjangan kerana masjid atau sekolah tidak dibina”, ujar penanya lagi.

Malam itu, saya memperkatakan tentang cabang-cabang sedekah jariah.  Soalan itu bagus saya kira kerana diri sendiri pun tidak pernah memikirkannya.  Lalu saya jawab, “Tentang perkara itu, serahkan sahaja kepada Allah menguruskannya.  RahmatNya terlalu luas”.

Seorang sahabat yang lain menyampuk, “Kalau ikutkan pendapat Ustaz Azhar Idrus, kita akan dapat dua pahala”.

“Dua pahala?  Macam mana?”

Masing-masing tersenyum dan tergelak.  “Ha..a betul.  Ada orang sebar poster jawapan Ustaz Azhar dalam Facebook berkenaan hal itu”, saya mengiyakan.

“Maksudnya pahala pertama ialah pahala bersedekah.  Pahala kedua ialah pahala kena tipu”.

Huku sedekah kepada penipu

“Pahala kena tipu?  Bagaimana boleh dapat pahala kena tipu?”

“Iya… bila kena tipu, kita bersabar… dapatlah pahala kena tipu”

“Ooo… begitu”.

Beberapa hari selepas Usrah Ibu Melbourne itu, saya menemui satu hadis yang menarik perhatian.  Ia ada kaitan dengan isu yang baru dibincangkan.  Pernah berlaku seseorang yang mahu bersedekah secara diam-diam, telah ‘terkena’ selama 3 malam berturut-turut.  Dia memilih waktu malam kerana tidak mahu perbuatannya dilihat orang.  Bagaimana cara dia ‘terkena’ ya… Ini dia kisah dari Rasulullah s.a.w.

Abu Hurayrah r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda;  Ada seorang lelaki berkata, “Malam ini aku benar-benar akan bersedekah.”  Lalu dia keluar membawa sedekahnya dan sedekahnya itu diserah ke tangan pelacur.  Keesokan harinya, ramai orang berbicara bahawa malam tadi ada pelacur diberi sedekah.

Maka lelaki (yang memberi sedekah) itu berkata, “Ya Allah, bagiMu segala pujian kerana sedekahku jatuh ke tangan pelacur.  Nescaya aku akan bersedekah lagi”

Dia pun keluar membawa sedekahnya lalu bersedekah kepada seorang yang kaya. Keesokan harinya orang ramai berbicara bahawa pada malam tadi seorang yang kaya diberi sedekah.  Pemberi sedekah itu berkata, “Ya Allah, bagi-Mu segala pujian kerana sedekahku jatuh ke tangan orang kaya.  Pasti aku akan bersedekah lagi”.

Lalu dia keluar untuk bersedekah.  Kali ini sedekahnya jatuh ke tangan pencuri. Keesokan harinya ramai orang membincangkannya bahawa seorang pencuri telah diberi sedekah. Pemberi sedekah itu berkata,“Ya Allah, segala pujian bagi-Mu, sedekahku telah ditakdirkan jatuh ke tangan penzina, orang kaya dan pencuri.”

Kemudian lelaki itu didatangi malaikat seraya berkata, “Sedekahmu telah diterima oleh Allah.  Adapun sedekahmu yang jatuh ke tangan pelacur, semoga dia berhenti dari perbuatan melacur. Yang jatuh ke tangan orang kaya, boleh jadi dia mengambil iktibar dan akan bersedekah pula.  Yang jatuh ke tangan pencuri, semoga dia berhenti mencuri.”

Hadis direkod di dalam Sahih Muslim dalam Kitab Zakat. No 1698.

Subhanallah… inilah antara rahmat Allah yang termaktub dari perbuatan baik kita walaupun mungkin regunya tidak seperti yang kita harapkan.  Kita merancang dan berniat, Allah juga merancang dan perancangan Allah itulah yang pasti berlaku dengan hikmah yang Dia sendiri lebih mengetahui.

Seseorang itu tidak menanggung dosa akibat perbuatan orang lain dan akan mendapat laba dari kebaikan yang diusahakannya.  Firman Allah dalam surah Faatir, ayat 18,

35:18

Seseorang pemikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain. Sekiranya seseorang yang berat tanggungan (dosanya) memanggil (orang lain) untuk memikul sama bebanan itu, tidak akan dapat dipikul sedikitpun daripadanya, walaupun orang yang diminta pertolongannya itu dari kerabatnya sendiri.  Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) hanyalah memberi peringatan kepada orang-orang yang takut (melanggar hukum-hukum) Tuhan semasa mereka tidak dilihat orang dan semasa mereka tidak melihat azab Tuhan, serta mereka mendirikan solat. Sesiapa yang membersihkan dirinya (dari segala yang dilarang) maka sesungguhnya ia melakukan pembersihan itu untuk kebaikan dirinya sendiri dan (ingatlah), kepada Allah jualah tempat kembali.

 

Ayat di atas sekaligus memberi pencerahan kepada persoalan yang saya timbulkan dalam entry sebelum ini iaitu, “Bagaimana jika yang menggunakan lebuhraya ini, niatnya berbuat maksiat di sesuatu tempat?”

Wallahua’lam.

Ummu Abbas

19 Muharram 1434H. Dic 3,12.

Melbourne; 2.32pm.

Teknik Mendorong Anak Cara Rasulullah s.a.w

Sebenarnya, saya patut berkongsi cerita mengenai Kajian Hadis Psikologi terlebih dahulu.  Oleh kerana saya teruja berkongsi apa yang sudah dipraktikkan bersama anak-anak dan melihat hasilnya, maka saya dahulukan hasil percubaan itu dahulu.  Insya Allah, ada masa mengizinkan, saya bercerita lagi mengenainya sedikit demi sedikit.

*********************

Pagi semalam saya cuba aplikasi teknik Rasulullah s.a.w mendorong orang lain melakukan kebaikan kepada anak-anak. Saya terus mempraktikkan selepas membaca percubaan seorang guru di sini.

Anak yang terpilih ialah Aesya, 6 tahun. Kebetulan dia yang masuk ke dapur dahulu semasa saya sedang menyediakan sarapan.

Saya berkata kepada Aesya, “Aesya, Ummi suka kalau Aesya boleh baca Quran dulu sementara Ummi siapkan sarapan”. (Ummi suka – aura positif yang mendorong)

Aesya tersenyum-senyum. Ini reaksi pertama yang berbeza daripada biasa.

Dia masih tidak bergerak. Saya faham sebab dia baru bangun dari tidur.

“Aesya, Ummi suka kalau Aesya baca Quran”, saya mengulangi sambil tersenyum.

“Ok Ummi tapi dua kali sahaja”

“Ok dua kali” (Kadang-kadang saya menurut kehendaknya yang mahu mengulang baca sebanyak dua kali sahaja. Situasi menang-menang )

“Tidak mengapalah… dia baca sedikit lebih baik dari tidak baca langsung”, saya berfikir sendirian.

Kali ini, Aesya bangun dengan senyuman masih menguntum dan berlalu untuk mengambil Quran.

Seusai baca Quran, saya berkata, “Kalau Aesya rajin baca Quran, Aesya cepat lancar dan akan dapat pahala”. (Menyatakan impak dari membaca Quran)

“Pahala itu apa Ummi? Apa ada kat dalam pahala tu…” (Erk… saya berfikir-fikir untuk memberikan jawapan)

“Pahala itu balasan baik yang Allah akan beri di akhirat”

“Selepas kita mati ye Ummi”

“Iya”

Aesya terus tersenyum-senyum sambil berlalu untuk menyimpan kembali al-Qurannya.

Hari ini, saya nampak Aesya mengaji dengan rasa seronok.

Situasi Perbandingan

Biasanya saya cakap dengan nada biasa, “Aesya, ambil Quran dan mari mengaji dengan Ummi di sini”. (Ayat perintah )

Biasanya diwaktu pagi, Aesya agak liat sedikit untuk mengaji. Sekarang ini cuti sekolah panjang, saya sudah beritahu anak-anak perlu mengaji lebih kerap dibanding pada hari persekolahan.

Kalau Aesya buat apa yang disuruh pun biasanya dengan wajah tidak ceria atau masam mencuka. Dia buat dengan rasa tidak seronok.

**************

Selepas praktik dengan Aesya, saya cuba lagi dengan anak-anak yang lain. Saya masih fokus pada lafaz, “Ummi suka….”. Saya mahu cuba sedikit demi sedikit.

Hasilnya memang berbeza jika disuruh tanpa lafaz “Ummi suka” di depan.

Anak-anak melakukan sesuatu dengan berwajah manis :). Alhamdulillah.

Ia menandakan mereka seronok melakukan pekerjaan mereka.  Ini yang kita mahu.  Bila mereka rasa seronok, itu tandanya mereka menunaikan dengan rasa relahati, bukan lagi secara ‘paksa rela’.

******************
Perkongsian dari seorang Ustaz yang terkenal warak dan lemah lembut semasa di Maahad Muhammadi dahulu.

“Bila ana suruh anak-anak berbuat sesuatu, ana gunakan perkataan ‘tolong’. Biarpun ibubapa ada hak memerintah anak-anak buat sesuatu namun ana elakkan guna lafaz perintah. Sebagai contoh; Tolong buka lampu. Jadi anak-anak akan terasa dia berbuat sesuatu kerana menolong ibubapa, bukannya kerana diperintah. Ia menimbulkan kesan berbeza.”

Benar, sejak saya mendapat satu lafaz begitu dari Ustaz Mokhtar itu, saya terus menggunakannya sehingga ke hari ini.

“Abbas, tolong Ummi angkat kain”

“Azzam, tolong Ummi vakum karpet, boleh?”

Mana yang kita sudah tahu, kita cuba amalkan dahulu.
Kemudian, kita tambah lagi ilmu kita… dan tambah lagi praktik, insya Allah.

Indahnya ISLAM :).

Ummu Abbas

12.46am
19 Safar 1433H
Melbourne