Tag Archive | penyakit berjangkit

H1N1: Apa anda perlu tahu?

H1N1 Simptom

Penulis: Dr Zakuan Zainy Deris

TANDA mengidap jangkitan Influenza A H1N1 kebiasaannya adalah demam, batuk, berhingus dan sakit kerongkong. Terdapat juga tanda-tanda yang tidak khusus seperti sakit kepala, sakit badan, cirit birit, muntah dan lain-lain.

Kebanyakan orang yang dijangkiti hanya mendapat gejala ringan. Anggaran sekitar 10 peratus mendapat gejala yang teruk seperti pneumonia (jangkitan paru-paru), encephalitis (jangkitan otak), carditis (jangkitan jantung), jangkitan telinga tengah, kurang cecair badan serta menyebabkan penyakit yang telah dihidapi (seperti asma) bertambah teruk.

Jangkitan pandemik influenza A H1N1 tidak dapat dibezakan dengan selesema lain tanpa ujian makmal. Tanda klinikal pengidap H1N1 adalah sama dengan selesema lain. Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan menganggarkan sebanyak 95 % selesema sekarang adalah disebabkan influenaza A H1N1. Keadaan yang sama diperhati seluruh dunia. Dapat erti kata lain, semua kes selesema sekarang perlu dianggap sebagai influenza A H1N1. Sehubungan itu juga, ujian makmal untuk memastikan H1N1 secara umumnya tidak diperlukan untuk pengurusan pesakit.

*Perbezaan

Pada asasnya, kita hanya mempunyai sebahagian imuniti terhadap selesema bermusim iaitu influenza A H3N2. Influenza A H1N1 adalah asing dan badan kita masih belum mempunyai imuniti terhadap kuman ini. Terdapat kemungkinan kita akan mendapat selesema yang teruk apabila mendapat jangkitan influenza A H1N1.

Sejenis influenza A H1N1 juga menyebabkan kematian yang banyak dalam pandemik influenza pada tahun 1918-1919, dianggarkan sebanyak 50 juta orang. Namun kita sungguh bertuah kerana kadar kematian akibat jangkitan influenza A H1N1 terbaru ini adalah lebih rendah daripada dijangkakan walaupun kita tidak mempunyai imuniti terhadap virus ini, alhamdulillah. Berbanding dengan influenza A H5N1 (selesema burung) yang mempunyai kadar kematian lebih 50 peratus, influenza A H1N1 cuma melibatkan kematian sekitar kurang dari satu peratus.

Sehingga 16 Ogos 2009, Kementerian Kesihatan melaporkan kematian yang berkaitan dengan jangkitan influenza A H1N1 adalah 59 kes. Angka ini dijangka terus meningkat memandangkan beberapa kes masih dirawat di unit rawatan rapi serta wabak ini masih dalam peringkat awal. Jumlah mangsa yang dipastikan H1N1 melalui ujian makmal sehingga kini adalah lebih 2,000 orang. Jumlah yang dipastikan H1N1 adalah lebih kecil dari jumlah sebenar kerana ujian makmal hanya dilakukan untuk kes yang teruk sahaja.

Melihat kepada keadaan ini, tidak dapat disangkal lagi bahawa H1N1 merupakan satu bencana yang dahsyat untuk negara kita kerana bencana lain seperti banjir dan tanah runtuh hanya melibatkan beberapa kematian sahaja.

*H1N1 dan Selsema Babi

Influenza A H1N1 adalah kuman selesema yang biasa dalam persekitaran babi. Wabak H1N1 di kalangan babi pernah dilaporkan sebelum ini. Kali pertama influenza A H1N1 dikesan daripada babi adalah pada 1930. Tetapi strain (jenis) virus influenza A H1N1 terbaru ini tidak dipastikan daripada mana asalnya. Kemungkinan adalah percampuran genetik antara virus daripada burung, babi dan manusia di Amerika Utara. Ia dilaporkan sebagai selesema babi pada 24 April 2009. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menukarkan istilah ini kepada influenza A H1N1 supaya lebih menggambarkan penyebab sebenar kepada selesema ini. Tetapi istilah ‘selsema babi’ masih digunakan oleh media umum dan WHO masih mengekalkan swineflu dalam laman web H1N1.

Pada 11 Jun 2009, WHO mengisytiharkan influenza A H1N1 pandemik Fasa 6. Ini merupakan kali pertama WHO mengisytiharkan wabak pandemik selepas selesema Hong Kong pada 1968. Fasa 6 pandemik diisytiharkan apabila terdapat penularan wabak ini dari manusia kepada manusia secara mendadak dan melibatkan lebih dari dua benua. Malaysia melaporkan kes pertama influenza H1N1 pada 15 Mei 2009.

*Tempoh

Tempoh transmisi virus H1N1 bermula sehari sebelum gejala timbul sehingga tujuh hari selepas gejala bermula. Ini menyebabkan kawalan penyakit ini agak sukar kerana kita tidak dapat menjangkakan bila seseorang akan mendapat demam selepas dijangkiti. Bagi pesakit kanak-kanak dan pesakit kurang daya imuniti pula, tempoh ini mungkin lebih panjang, sehingga tujuh hari selepas gejala berakhir.

Kuman influenza A H1N1 dianggarkan boleh bertahan di persekitaran kita antara dua ke lapan jam. Di persekitaran yang kering dan panas, kuman ini akan mati dalam tempoh yang lebih singkat. Kuman ini boleh dibunuh dengan menggunakan sabun, alkohol dan ubat-ubat antiseptik.

*Rawatan

Secara umumnya, pesakit dengan gejala ringan dan tidak mempunyai penyakit sampingan hanya memerlukan rawatan untuk gejalanya sahaja iaitu ubat demam, batuk dan selesema. Pesakit juga perlu minum banyak air dan makan buah-buahan. Perokok dinasihatkan berhenti merokok. Pesakit yang mengidap gejala selesema perlu mengelakkan kunjungan ke tempat awam dan mengamalkan pengasingan diri sendiri. Bagi pesakit yang dinasihatkan kuarantin di rumah, mereka perlu memerhati tanda-tanda amaran.

Pesakit-pesakit selesema yang mempunyai penyakit sampingan seperti penyakit respiratori (asma, penyakit paru-paru kronik), obesiti, kurang daya imuniti, kanser, diabetes, penyakit jantung mahupun ibu yang hamil perlu mendapat rawatan antivirus lebih awal!

Kebanyakan pesakit tidak memerlukan rawatan khusus penyakit ini iaitu ubat antivirus. Dalam kes di Malaysia ubat antivirus yang digunakan adalah Oseltamivir (Tamiflu). Sebahagian kecil pesakit dianggarkan sekitar 30 peratus sahaja memerlukan ubat ini. Pesakit yang mendapat komplikasi sederhana dan teruk adalah kumpulan yang patut mendapat rawatan antivirus. Pesakit ini perlu dimasukkan dan diberikan rawatan dalam wad. Pesakit yang mempunyai penyakit sampingan dan pesakit dari kalangan anggota perubatan yang mendapat jangkitan ketika merawat pesakit juga perlu mendapat rawatan antivirus. Pihak Kementerian Kesihatan terus memantau keadaan ini dan kumpulan sasar antivirus akan berubah mengikut keperluan semasa. Pada waktu ini juga dicadangkan pesakit kanak-kanak kurang dari umur lima tahun dan pesakit yang mendapat demam berterusan lebih dari tiga hari juga perlu mendapat rawatan antivirus.

Pesakit yang mengidap gejala ringan tidak memerlukan rawatan khusus. Pertimbangan perlu diberikan kemudahan kesihatan yang mendapat kunjungan pesakit melampaui kemampuan mereka. Sudah pasti kakitangan kesihatan tidak mampu memeriksa dengan teliti setiap pesakit yang hadir. Namun begitu, sekiranya terdapat tanda amaran, mereka yang mengidap gejala ringan ini perlu diperiksa.

Bekalan antivirus adalah mencukupi. Kementerian Kesihatan telah menambah bekalan antivirus kepada 20 peratus jumlah penduduk. Ini adalah kerana kebiasaan bagi sesuatu wabak pandemik influenza yang mana 20 peratus daripada mereka yang dijangkiti akan mengidap gejala selsema. Ubat ini perlu mendapat preskripsi sama ada dari pengamal perubatan kerajaan atau swasta. Ubat ini tidak dijual di farmasi pada masa ini kerana terlalu mudah mendapat antivirus boleh menyebabkan tiadanya kawalan. Ia juga dibimbangi akan menyebabkan virus H1N1 menjadi kalis kepada ubat antivirus.

Antivirus dan vaksin adalah berbeza. Antivirus adalah ubat untuk membunuh virus, manakala vaksin pula untuk merangsang pembentukan antibodi bagi melawan virus. Antivirus seperti Oseltamivir (Tamiflu) diambil secara oral dan Zanamivir (Relenza) diambil secara sedutan adalah ubat untuk merawat jangkitan virus influenza A. Kadangkala antivirus digunakan sebagai pencegah bagi golongan yang terdedah kepada risiko jangkitan teruk seperti perempuan mengandung yang terdedah kepada pesakit H1N1.

Buat masa ini, masih belum ada vaksin untuk Influenza A H1N1. Vaksin selesema yang ada di pasaran sekarang ini hanya meliputi selesema bermusim iaitu H3N2. Ia tidak boleh mencegah H1N1. Namun begitu,Pusat Kawalan Penyakit (CDC) masih mencadangkan vaksin ini bagi tujuan mengelakkan selesema terutama di kalangan kumpulan berisiko. Ini juga bertujuan mengelakkan seseorang mendapat dua jenis selesema berbeza dan seterusnya menyebabkan percampuran dua strain kuman influenza berbeza dalam satu badan.

lawakhutan1

*Pengesahan

Terdapat tiga ujian pengesahan H1N1 iaitu melalui kaedah PCR, kultur virus atau ujian serologi. Ketiga-tiga ujian ini memerlukan kos yang tinggi dan sangat membebankan kakitangan makmal. Dalam fasa mitigasi ini, ujian makmal tidak lagi penting untuk pengurusan pesakit. Sebaliknya, ujian makmal seharusnya tertumpu kepada kelompok wabak selesema, pesakit yang menghidap gejala yang teruk serta pengesanan virus yang rintang kepada antivirus.

Banyak orang berpandangan bahawa arahan yang tidak tetap seperti sekejap tutup sekolah, sekejap boleh buka ataupun kumpulan sasar antivirus yang berubah-ubah sebagai satu kecelaruan. Sebenarnya ini bukan kecelaruan pengurusan. Secara peribadi, ini dianggap langkah yang bersesuaian dengan tahap wabak ini sendiri. Sebagai contoh, dalam fasa mitigasi, tidak semua pesakit boleh dimasukkan ke dalam wad begitu juga tidak semua sekolah boleh ditutup. Dalam suasana bencana, perubahan arahan dan strategi serta cara mengurangkan kesan bencana boleh berubah mengikut kesesuaian. Perubahan ini untuk kebaikan umum mengikut maklumat dan masalah semasa. Sebagai kumpulan yang terdedah dengan bencana ini, kita seharusnya peka dengan arahan semasa pihak berkuasa khususnya Kementerian Kesihatan.

Seperti dimaklumi, dalam fasa mitigasi, sekolah ditutup adalah sebagai langkah terakhir. Sekiranya sekolah ditutup untuk tempoh tertentu, pelajar hendaklah sentiasa berada di rumah dan memantau kesihatan diri. Pada masa yang sama pihak sekolah tidak dibenarkan untuk mengadakan sebarang aktiviti di dalam tempoh penutupan tersebut.

Sekiranya sekolah tidak ditutup, pelajar dinasihatkan untuk mengamalkan langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan jangkitan tersebut. Dalam fasa mitigasi ini pelajar atau guru yang mempunyai tanda selesema sepatutnya mengambil cuti. Tindakan penutupan sekolah hanya akan dilakukan oleh pihak sekolah atau institusi bila kehadiran pelajar sangat rendah dan pembelajaran tidak dapat dibuat dengan baik. Pihak sekolah bertanggungjawab untuk memutuskan status penutupan sekolah. Pihak sekolah boleh mendapatkan nasihat daripada pegawai kesihatan daerah jika perlu.

Ibu bapa atau penjaga dan guru hendaklah memastikan pelajar dan kakitangan yang mempunyai gejala selsema tidak hadir ke sekolah dan mereka perlu mendapatkan rawatan. Pihak sekolah diminta untuk membuat pemerhatian dan pemantauan terhadap murid sekolah setiap hari dan merujuk ke klinik untuk rawatan lanjut.

*Topeng muka

Adakah penggunaan topeng muka mencegah H1N1? Ini adalah satu perkara subjektif. Keterlaluan penggunaan topeng muka juga menyebabkan harganya meningkat dan sukar diperolehi dalam pasaran. Topeng kertas berkemungkinan tidak mempunyai kesan untuk mencegah penularan influenza A H1N1. Hanya topeng muka pembedahan (yang mempunyai tiga lapis, bahagian luarnya berwarna) mempunyai kesan sekiranya digunakan dengan betul. Penggunaan topeng muka bukanlah satu alternatif kepada penjagaan kebersihan diri, tangan serta muka dan hidung. Pihak kementerian mahukan supaya topeng muka tidak boleh digunakan lebih dari sehari dan dibuang atau ditukarkan sekiranya kotor, basah, tercemar atau terkoyak.

Memandangkan topeng muka di pasaran adalah terhad, dicadangkan hanya kumpulan khusus yang menggunakan topeng muka iaitu orang yang mempunyai gejala selesema dan orang yang menguruskan, berhubung langsung dan merawat pesakit selesema. Orang ramai boleh menggunakan topeng muka apabila mereka berada di khalayak ramai. Namun begitu, penggunaannya bukanlah alternatif kepada pengasingan diri (social distancing), penjagaan kebersihan tangan dan muka serta adab batuk dan sebagainya.

Hanya Allah mengetahui bila wabak ini akan berakhir. Kita berdoa semoga wabak ini selesai dengan cepat. Dijangkakan di akhir tahun ini vaksin akan memasuki pasaran. Dengan itu, insya-Allah vaksin berkenaan dapat mencegah penularan virus selesema ini.