Tag Archive | solat

Orang Islam pun sembah benda?

Bismillah.

Dalam Kelas Darjah 5.

Suria (Nama samaran):  Apa la sembah patung… patung tu tak hidup pun.   Ha..ha… Kita sembahlah Tuhan. [Nada mengejek]

Mei-Mei (Nama samaran):  Orang Islam pun sembah benda juga. [Dengan nada marah]

Suria:  Mana ada…

Mei-Mei :  Itu saya tengok awak dan kawan-kawan awak sembahyang sembah dinding… benda juga.

Suria:  Lho… kami sembah Allah, tuhan yang tidak nampak.  Bukan sembah dinding.

Mei-Mei:  Sama saja… dinding juga ada kat depan.

Suria:  Kami mengadap arah kiblat.  Jadi ada dinding atau tiada,  kami tetap mengadap arah yang sama.

 

PS:  Jangan tiru cara Suria.  Fokus pada penerangan apa yang benar tanpa mengejek kefahaman orang lain.

*********

Seorang Tuan Guru menaiki kapalterbang.  Lalu disapa seorang non-muslim, Tan (nama samaran),”Boleh saya bertanya sesuatu?”

Tuan Guru:  Iya, boleh.

Tan:  “Saya lihat  orang Islam pun sembah benda seperti agama lain yang menyembah tokong-tokong dan patung-patung.”

Tuan Guru:  Apa buktinya?

Tan :  Itu, mereka sembah Kaabah di Mekah.  Bukankah Kaabah itu adalah benda yang diperbuat dari batu-bata?

Tuan Guru:  Kaabah di Mekah sebagai simbol penyatuan umat Islam.  Allah yang menetapkan arah demikian.  Kami tidak menyembah Kaabah itu sendiri tetapi menyembah Allah yang tidak mampu dilihat mata zahir kita.

Tan :  Maksudnya samalah dengan penganut Budha atau Hindu yang menyembah patung-patung mereka.  Mereka hakikatnya menyembah Tuhan yang tidak nampak.  Patung-patung itu sebagai wakil sahaja.

Tuan Guru:  Penganut Islam menyembah Allah secara langsung, bukan menjadikan Kaabah sebagai perantara.  Kalau kami sembah Kaabah itu sendiri, makanya jika kami berada di atas kapal terbang seperti sekarang, kami perlu sembahyang meniaraplah sebab Kaabah berada di bawah.

Atau jika kami berada di dalam kapal selam, maka kami perlu solat baring menelentanglah sebab Kaabah berada di atas tanah.

Begitu juga, andaikata JWW Bush bawa lari Kaabah ke Amerika dengan kapal, kami tetap akan mengadap ke arah Baitullah yang berkedudukan di Mekah.  Sekali-kali kami tidak akan solat mengadap ke arah Amerika walaupun Kaabah di bawa lari ke sana atau perlu meniarap jika berada di atas pesawat dan juga menelentang jika berada di bawah laut.  Cara solat orang Islam tetap sama walau di mana mereka berada iaitu berdiri mengadap ke arah Kaabah di Mekah.

Berbeza dengan penganut agama lain yang menyembah patung-patung, di mana ada patung, ke arah patung itulah mereka mengadap.

~****~****~****~

112:1

Katakanlah Allah itu esa (satu).

Say, “He is Allah , [who is] One,

112:2

Allah itu tempat tumpuan segala.

Allah , the Eternal Refuge.

112:3

Dia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan.

He neither begets nor is born,

112:4

Dan tiada sesiapa pun yang serupa (sama) denganNya.

Nor is there to Him any equivalent.”

Al-Ikhlas 112: 1-4

Ummu Abbas

4 safar 1434H

12.19pm

Melbourne

Kali Pertama Mendengar Azan

Bismillah.

Khamis lepas, saya hadir kelas BI. Hari ini hari pertama. Hanya 4 muslimah yang hadir untuk belajar. Guru yang mengajar, Mrs Aneta warga Australia jati. Sedang dia bercakap, berbunyi suara azan dari handphone. Saya segera menutup suaranya.

Mrs Aneta meneruskan perbualan. Tiba-tiba terdengar suara, “Allahuakbar! Allahuakbar!…”. Azan berbunyi dari pembesar suara dalam bilik kuliah itu. Tempat kami belajar ialah pusat aktiviti Islam di tengah bandar Melbourne.”Ouh!… ” Mrs kelihatan terperanjat dek suara yang agak kuat sambil tangannya diletakkan di atas dada.

Salah seorang dari kami memberitahu, ” Itu suara memanggil kami solat”.

” Oh begitu. Kalau kamu mahu solat dahulu, pergilah”, beritahu Mrs Aneta meraikan kami.

” Tidak mengapa. Kami boleh solat selepas kelas”

” Pergilah. Saya tidak apa-apa”

Kami saling senyum antara satu sama lain. Salah seorang dari kami berkata, ” Ada tempoh masa untuk kami solat. Masih ada waktu lagi”.

” Ok”

Mrs menyambung bicara. Seketika kemudian, “Allahuakbar! Allahuakbar! Asyhadu alla ilaha ilallah.. “, kedengaran iqamah pula.

Sekali lagi Mrs kelihatan terperanjat.

Kami tersenyum-senyum sahaja melihat gelagatnya.

” Itu panggilan supaya bersedia untuk solat”

” Adakah kamu dipaksa bersegera untuk solat?”

” Tidak. Kami boleh solat selepas habis kelas. Ia sekadar pemberitahuan”

Mrs berbual lagi. Sekejap-sekejap berbunyi, “Allahuakbar”, menandakan Imam rukuk, sujud dan seterusnya. Setiap kali berbunyi, dia kelihatan terperanjat.

Saya berkata, ” Adakah ia (suara-suara) itu mengganggu awak?”

“Oh tidak… ini kali pertama saya mendengar suara seperti ini. Sungguh menarik!”

Saya menarik nafas lega bimbang dia merasa terganggu. Mendengar responnya, teringat kisah-kisah ramai non muslim kembali ke agama fitrah setelah mendengar suara azan. Terfikir juga, andai masjid di sini lebih bebas mengumandangkan azan, tentu lebih ramai non-muslim mendapat pendedahan tentang Islam dan berusaha mendekatinya.

Untuk makluman, semua masjid di Victoria, Australia tidak dibenarkan menggunakan pembesar suara setiap kali azan berkumandang. Ada masjid yang dibenarkan menggunakan pembesar suara tetapi untuk waktu Zohor sahaja.
Apa pun, saya bercadang memberitahu staf pusat supaya pembesar suara dimatikan di dalam bilik kuliah sewaktu imam sedang solat. Memadai dibuka semasa azan berkumandang sahaja. Bi iznillah (Dengan izin Allah).
Mrs Aneta berkata lagi, ” Adakah kamu semua diwajibkan solat termasuk kanak-kanak?”
“Untuk kami, ianya wajib.  Untuk kanak-kanak seperti dia iaitu bermula usia 7 tahun, mereka mula dilatih menunaikan solat.  Yang kecil itu tidak perlu”, saya menjelaskan sambil tangan menunjuk ke arah Aesya yang berusia 7 tahun dan Aleeya yang berusia 1 setahun setengah.
Mrs Aneta menganggukkan kepalanya.  Kelihatannya, kepalanya sarat dengan pelbagai perkara yang ingin diketahuinya.
Semoga Allah berikan hidayah kepada Mrs Aneta.
Ummu Abbas
10.37pm
St Lucia, Brisbane.
15 Dzul Qi’dah 1433H/ 1 Oktober 2012.

Bagaimana Allah Bergerak?

Aesya: Ummiii….. Allah bergerak macam mana?

Saya: Hmmm…

Belum pun saya temui jawapan yang sesuai…

Aesya: Adakah Allah bergerak seperti ini (sambil berlari) tanpa tangan dan kaki…?

Saya: (ketawa) Tak pe Aesya… Aesya solat dulu.

Sebenarnya saya belum temui jawapan yang sesuai. Aesya pula sedang bersiap untuk solat Asar sambil bertanya itu dan ini.

Saya perhatikan Aesya solat pada perbuatan dan bacaannya. Saya menyuruhnya membaca dengan kuat agar saya boleh semak bacaannya serta memperbetulkan mana yang salah. Sambil itu bolehlah saya fikir lagi apa jawapan yang sesuai.

Selesai solat, Aesya menyalami tangan saya dan saya menciumnya sambil memeluknya.

Saya: Aesya bertambah cantik bila Aesya solat.

Aesya tersenyum.

Saya: Aesya mahu tahu jawapan pada soalan Aesya tadi?

Aesya: Apa dia Ummi?

(La… sudah lupa pula)

Saya: Tadi Aesya tanya macam mana Allah bergerak.

Aesya: Ya… macam mana Allah bergerak?

Saya: Allah bergerak menurut caranya sendiri. Kita tidak tahu.

Aesya: Hmm… ok.

Alhamdulillah, mudahnya dia menerima penjelasan ringkas saya.

 

Saya:  Aesya, pergilah letak  bunga atau butterfly…

Aesya:  Aesya sudah letak Ummi.

Saya:  Untuk solat Asar tadi?

Aesya:  Ya.

 

Cepatnya dia.  Insya Allah… entry akan datang saya berkongsi salah satu cara saya menggalakkan anak-anak untuk solat 5 waktu di awal latihan mereka solat.  Bunga dan rama-rama itu ialah pelekat yang ditampal pada jadual solat Aesya setiap kali dia berjaya menunaikan solat.

 

Ummu Abbas

7 Rabiul Awwal 1433H

7.24pm

Melbourne

Usia Terbaik Latih Anak Mula Solat

Semalam ulangtahun kelahiran ke 7, anak perempuan sulung.  Aesya merupakan anak ke 4 dari 6 adik beradik.  Usia 7 tahun merupakan umur mumaiyyiz menurut Islam.  Ada beberapa perkara asas yang perlu diterapkan dalam usia begini;

1) Menyuruh anak solat.

2) Mengasingkan tempat tidur dari kedua ibubapa.

3) Mengasingkan tempat tidur dari adik-beradik lelaki yang berusia 7 tahun dan ke atas.

Sejak beberapa bulan lepas, saya mula mengajaknya solat sekali-sekala.  Juga melatih Aesya tidur di biliknya sendiri.  Alhamdulillah, Aesya sudah mampu berwuduk dengan sempurna dan juga tahu pergerakan dan bacaan asas dalam solat.

Latihan amali solat semasa berusia 5 tahun.

Beli Telekung Comel Untuk Galak Anak Solat

Saya belikan telekung solat untuk Aesya sejak dia berusia 4 tahun.  Bukan sebab usianya 4 tahun saya belikan telekung tetapi kerana saya terpandang telekung solat yang comel untuk kanak-kanak.   Saiz telekung itu pula sesuai dengan Aesya waktu itu dan paling penting, saya nampak ia boleh dipakai sehingga Aesya berusia 7 atau 8 tahun.  Lagi pun saya perlu bersedia sebelum bertolak ke Melbourne yang mana pada masa itu suami dalam proses menyambung pelajaran.  Bimbang juga bila sampai di Melbourne, susah pula mencari telekung solat untuk kanak-kanak.

Sejak dibelikan telekung, Aesya rajinlah solat pada masa itu.  Mengaji Quran pun pakai telekung solat.

Kehangatannya untuk solat sekadar sementara.  Namun saya membiarkan sahaja.  Begitulah yang saya lakukan pada abang-abangnya dahulu.  Saya mengingati pesan Nabi s.a.w,

Perintahlah anak-anak kamu mendirikan solat ketika berusia tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkan solat ketika berumur sepuluh tahun dan asingkanlah tempat tidur di antara mereka (lelaki dan perempuan).

(Hadis direkodkan Abu Dawud).

Semoga menjadi 'Qurratu 'Aini' dan anak solehah!

Pendidikan Menurut Sunnah Adalah Yang Terbaik

 

Saya meyakini setiap ajaran Islam adalah yang terbaik dari segi kualitinya kerana Islam datang dari Allah, pencipta alam dan pencipta manusia.  Selain al-Quran, Allah mengajar kita mengabdikan diri kepadaNya melalui Nabi Muhammad s.a.w.

Allah yang bersifat al-Latif sangat memahami psikologi manusia.  Jadi saya meyakini setiap langkah atau kaedah mendidik yang diberikan adalah bersesuaian dengan fitrah kejadian manusia.  Dalam konteks melatih anak-anak solat, saya mula menyuruh anak-anak solat setelah mereka berusia 7 tahun.  Sebelum berusia 7 tahun, memadai kita sentiasa solat di hadapan mereka.  Biasanya dapat dilihat tingkah laku manis mereka meniru perbuatan kita solat selepas anak-anak mula pandai berdiri meskipun kita tidak menyuruhnya.

Kadang-kadang, saya ajak mereka solat bersama namun jika mereka enggan dan mahu bermain-main, saya biarkan sahaja.  Saya pernah perhatikan seorang makcik yang bertegas pada kanak-kanak yang belum berusia 7 tahun agar menunaikan solat.  Saya agak tersinggung apabila dia bukan sahaja bertegas agar solat tetapi membanding-bandingkan pula dengan kanak-kanak lain yang mudah menunaikan solat sebelum berusia 7 tahun.

Saya bimbang jika bertegas sebelum masanya, anak-anak akan merasa jemu dan ‘tersiksa’ kerana kemampuan akal mereka untuk memahami dan emosi mereka untuk menjiwai belum mencukupi.  Akibatnya, tatkala mereka dewasa, mereka akan merasa bahawa agama adalah sesuatu yang menekan dan mengongkong kehidupan serta kebebasan mereka.  Jika mereka lakukan secara sukarela, alhamdulillah.  Pujilah mereka dan bersyukurlah kepada Allah.  Namun jika ada masa-masa mereka tidak mahu lakukan, biarkan sahaja kerana Allah lebih memahami fitrah mereka dibandingkan saya walaupun saya adalah ibu kandung.

Kadang-kadang saya mendengar cerita kawan-kawan mengenai anak mereka yang sejak kecil rajin mengikut orang tua bersolat.  Alhamdulillah jika ianya kehendak anak itu sendiri.  Namun saya sekali-kali tidak akan menyuruh anak-anak kecil solat sebelum tiba masanya semata-mata kerana mahu menyaingi anak-anak kawan.  Jika saya lakukannya, bererti saya melatih anak-anak solat kerana manusia (menandingi anak-anak orang lain), bukannya kerana melaksanakan perintah Allah.  Na’uzubillah.  Saya mahu anak-anak menikmati zaman kebebasan mereka sebagai kanak-kanak kerana apabila baligh, Islam telah menyediakan tanggungjawab yang berat untuk digalas sebagai khalifah Allah di muka bumi.

Tidak perlu risau jika anak-anak yang belum berusia 7 tahun belum mahu bersolat dan juga tidak perlu berbangga jika anak-anak suka bersolat sedangkan mereka masih kecil.  Rasa bangga atau ujub ibubapa dibimbangi akan merosakkan anak-anak itu tatkala mereka dewasa nanti.  Contohnya sudah banyak kes zina yang saya temui datangnya dari mereka yang mendapat pendidikan agama yang baik sejak kecilnya.  Mereka sudah melazimi solat dan pandai membaca al-Quran sejak kecil namun tetap terjerumus ke lembah dosa.   Ertinya, didikan yang baik dari kedua ibubapa di rumah belum menjamin keselamatan anak-anak dari ancaman maksiat yang besar di luar rumah.  Keikhlasan ibubapa mendidik anak-anak adalah paling utama bagi mendapat penjagaan dari Allah.

Pengalaman-pengalaman orang lain itu saya jadikan iktibar dan lebih bimbangkan masa depan zuriat sendiri.  Hanya Allah sebaik-baik penolong.

 

Sebelum Berusia 7 Tahun…

 

Saya berusaha agar mereka mengenal al-Quran, mengajar berwuduk, membaca al-Fatihah, mengenalkan mereka kepada Allah, konsep dosa pahala, percaya kepada perkara ghaib, akhlak yang baik seperti berdoa setiap kali mahu lakukan sesuatu, meninggalkan akhlak yang tidak baik dan sebagainya.

Mana yang sesuai diberi penerangan secara praktikal, saya praktikkan.  Contoh mengajak anak melihat saya berwuduk.  Mana yang perlu diberi penjelasan secara teori, maka bercerita sehingga mereka mampu memahami menurut kadar akal mereka.  Contoh bercerita tentang keesaan Allah, adanya nabi-nabi, wujudnya malaikat dan iblis dan lain-lain.

Video di bawah ini adalah salah satu kaedah yang baik menerangkan tentang ilmu Islam pada anak-anak. Biasanya saya ajak anak-anak menonton bersama.  Saya perhatikan kefahaman mereka dan akan menokok nambah mana-mana yang perlu ditambah penjelasannya.

Ummu Abbas

12.45pm

3 Rabi’ 2 1433H

Melbourne

Hamil Tapi Malas Solat

Assallammualaikum, akk.. ermm, untuk pengetahuan akan sy sedang pregnant almost 5 months.. Tapi, sy ni kurang menitikberatkan bab solat.. Akk tolong sy macam mana nak ubah sikap sy ni… n bagi tips untuk memudahkan bersalin n mengurangkn kesakitan ketika bersalin… sy berumur 22thn.. sy berkahwin pd usia yang muda.. so, banyak yang perlu sy belajar… sy nak jadi seorang ibu yang terbaik untuk bakal bayi yang sy lahirkan nanti… plz akak…..

White

*******************************
Tahniah White kerana bakal menjadi ibu. Alhamdulillah juga kerana sampai saat ini, Allah masih mengurniakan nikmat yang tidak terhingga buat kita semua terutama nikmat iman dan Islam.

Akak mohon maaf sebab tidak mampu mengubah sikap White yang kurang menitik beratkan bab solat kecuali White sendiri yang mahu dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengubahnya. Hatta Allah pun tidak akan mengubah sikap White kecuali White sendiri yang berusaha untuk mengubahnya. Continue reading

Adakah Kaki Wanita Aurat?

2010/01/10 at 6:44am

Assalamualaikum

Seperti yang Ummu Abbas ketahui Azie tinggal di Asia Barat dan di sini mazhab dan amalan yg diamalkan amat berbeza dgn kita di Malaysia.  Azie tak berapa pasti mazhab mana yg diikuti di sini…. kalau solat, terutama kaum wanitanya x menjaga aurat seperti kita..kaki tidak ditutup elok, memakai pewarna kuku yg boleh menghalang air dan bermcm2 lagi perkara yg bertentangan dgn amalan kita.  Betul ke ada mazhab yg membenarkan perkara2 seperti itu ?

Azie

**************************************

Wa’alaikum salam warahmatullah Azie,

Persoalan Azie sebelum ini adalah pelbagai topik.   Kak Nur jawab satu persatu supaya tajuknya boleh diasingkan.

Untuk lebih memahami, saya kemukakan contoh perbahasan fuqaha’ mengenai aurat wanita semasa solat.

Aurat wanita semasa solat ialah seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan.  Hal ini disepakati fuqaha’ berdasarkan dalil-dalil berikut;

Allah berkata,

وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا

…dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya. 

An-Nur 24:31 Continue reading

Hari-hari BerHIJRAH


Saya berazam untuk menjadi lebih baik pada tahun ini.

Sempena tahun baru, saya mahu berhenti merokok.

Dulu saya malas, saya harap sempena Ma’al Hijrah yang baru, saya bertambah rajin bekerja.

Saya mahu jadi ibu yang lebih sabar dan lemah lembut dengan anak-anak.

Setiap kali menyambut tahun baru, kedengaran ungkapan azam tahun baru, mahu berubah itu dan ini. Jika menyambut awal Muharram, perkataan HIJRAH begitu sinonim. Doa khusus juga dibaca di akhir dan awal tahun.

Bagus. Apabila ada hasrat mahu berubah, ia satu sifat terpuji berbanding mereka yang reda berada ditakuk lama. Sifat tidak mahu berubah ke arah yang lebih baik adalah bertentangan dengan fitrah insan yang dinamik dan progresif. Continue reading