Apakah Ketenangan Ini Akan Dirampas?

Aku baru selesai solat Zohor berjemaah dengan puteri tunggal berusia 2 tahun 8 bulan.  Semasa aku berada di tahiyyat akhir, jemari halusnya diletakkan di atas telekungku.  Aku biarkan saja sehingga salam kulafazkan, “ Assalamu’alaykum warahmatullah”.  Ku palingkan wajah ke kanan.  Assalamu’alaykum warahmatullah”.  Ku palingkan wajah ke kiri pula.  Lalu ku tatap wajah si kecil yang menunggu.  Rupa-rupanya dia tidak sabar menyalami kedua tanganku lalu menciumnya.  Ku balas dengan ciuman mesra penuh kasih seorang ibu ke pipi gebunya.  Kemudian dia menadah tangan mahu berdoa seraya menoleh kepadaku.  Hmm… rupanya dia mahu mendengar doa-doaku.  Salam dulu baru berdoa?  Tak mengapa… dia masih kecil.  Aku berdoa ringkas dan dia mengaminkan dengan meraup kedua tangan ke wajahnya.                                   

Kemudian, dia menaiki basikal kecilnya.  Sekadar duduk tanpa mengayuh.   Dia memandang aku sambil berkata,” Soyat doh…” (Dengan pelat dia.  Maksudnya sudah solat).  Entah kenapa, aku terasa ingin berbual dengannya.  Mahu menguji kebolehannya.  Aku mengiyakan dulu maklumannya,  

“ Widaad dah solat ye.  Widaad bagus.” 

Widaad mengulangi: “Hmm…Widaad bagus.”   

Kemudian aku menyambung,” Allah tu baik.” 

Widaad:  Allah tu baik (Dengan pelat dia) 

Aku:  Allah tu bijak. 

Widaad:  Allah tu bijak. 

Aku:  Allah tu cantik. 

Widaad:  Allah tu cantik.   

Bersungguh-sungguh dia cuba membetulkan sebutannya.  Lembut saja nada dan suaranya menuruti apa yang kucakapkan.  Aku sengaja tidak menyebut ‘maha’ kerana mahu meringkaskan ayat sesuai dengan usianya.  Nampaknya dia boleh ikut dengan baik patah perkataan yang kututurkan. 

Sebaik saja selesai menyebut 3 sifat Allah itu, hati ku tiba-tiba sebak.  Iya aku menyebutnya tanpa dirancang.  Aku sekadar mahu tahu, adakah anak seusia Widaad mahu dan mampu melafazkan kalimah-kalimah suci tersebut.  Kebelakangan ini, ku sering mengajarnya  2, 3 baris ayat dari surah al-Fatihah.  Dia suka mengikutnya walau agak sukar baginya menutur dengan betul. 

Dalam sebak aku merasa ketenangan.   Akhir-akhir ini, aku lebih menikmati ketenangan berada di rumah.  Bersama anak-anak.  Walau kerja rumah tidak pernah habis dari pagi sampai malam.  Ia bermula semenjak aku meningkatkan ingatanku kepada jambatan menemui Ilahi iaitu mati.   Hmm… dalam sebak, aku sebak lagi bila memikirkan saat indah usaha mencorakkan ‘kain putih nan suci bersih.’  Aku bimbang sekiranya suatu hari nanti ketenangan ini dikoyak dan dirampas oleh kerakusan dan himpitan material yang menggila di luar sana. Ia meracuni dan menyucuk hati sesiapa sahaja.  Baik yang faham Islam, lebih-lebih lagi yang hantu duniawi.  Aku pasrah pada ketentuanNya.   

1.44PM

26 Syawal 1428H/ 7 November 2007

 Ummu Abbas