Batas Aurat Dengan Sepupu Lelaki

Salam Kak.

Saya ada sepupu lelaki (sebelah bapa) yang sememangnya rapat dengan saya. Saya ingin bertanya,

– Adakah sepupu lelaki saya itu muhrim saya?

– Apakah batas aurat saya dengan sepupu saya?

– Adakah sepupu saya itu boleh menjadi wali saya?

Harapan saya, Kak Nur boleh membantu.

Salaam.

Calin

   

Assalamu’alaykum,

Adik Calin yang dikasihi Allah, 

Terima kasih kerana sudi berkongsi masalah di sini.  Keinginan mengetahui hukum-hakam di dalam Islam merupakan hidayah Allah.  Moga jawapan yang diberikan di bawah dapat dimanfaatkan bersama.  

1.  Sepupu lelaki tidak termasuk mahram.   

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan  janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.  

Surah al-Nur (24), ayat 31   

 2.  Oleh kerana sepupu tidak termasuk mahram, maka batas aurat adalah semua anggota badan kecuali muka dan tapak tangan.  Menurut Ibnu Abbas, pakar tafsir al-Quran, hadis berikut menafsirkan ayat 31 dari Surah al-Nur yang berbunyi ‘kecuali yang zahir daripadanya’  

Aisyah melaporkan bahawa Asma’ binti Abu Bakr  masuk menemui Rasulullah S.A.W sedangkan dia berpakaian nipis.  Lalu Baginda berpaling sambil berkata; “ Wahai Asma’!  Sesungguhnya seseorang perempuan apabila sudah datang haid, tidak boleh lagi dia dilihat kecuali ini dan ini”- sambil Baginda menunjukkan wajahnya dan dua tapak tangannya.” 

Direkodkan oleh Abu Dawud.  

3.  Iya, sepupu lelaki sebelah bapa boleh menjadi wali kepada perempuan setelah wali-wali berikut sudah tiada atau tidak mencukupi syarat asas;

·         Anak lelaki, cucu lelaki dan seterusnya

·         Bapa kandung

·         Datuk lelaki sebelah bapa kandung (sebahagian ulama meletakkan datuk di turutan ke empat iaitu selepas adik beradik lelaki seibu sebapa atau sebapa sahaja)

·         Adik beradik lelaki seibu sebapa kemudian adik beradik lelaki sebelah bapa kandung

·         Anak saudara lelaki sebelah adik beradik lelaki seibu sebapa kemudian anak saudara lelaki sebelah adik beradik lelaki sebapa

·         Bapa saudara sebelah bapa kandung 

Berikut adalah syarat wali yang disepakati pakar fikah (ulama’ atau fuqaha’);

·         Sempurna keahlian;  yakni baligh, berakal dan merdeka.

·         Agama wali sama dengan agama perempuan yang akan diwalikan iaitu Islam.    

Kak Nur cuba menjawab persoalan secara ringkas dan hal yang disepakati ulama sahaja.  Sekiranya masih terdapat kekeliruan, harap dapat dipanjangkan lagi persoalan. 

Di sini, Kak Nur ingin mengambil peluang menyentuh batas pergaulan perempuan dengan sepupu lelaki.  Lumrahnya di kalangan orang Melayu, sepupu dianggap seperti adik-beradik.  Apatah lagi mereka seringkali bersama sejak kecil berikutan ibu atau bapa mereka berhubung rapat sebagai adik-beradik.   Hakikatnya, kita perlu membataskan pergaulan dengan sepupu lelaki sama seperti lelaki ajnabi (bukan mahram) yang lain juga.   Situasi ini bergantung kepada didikan ibubapa masing-masing.   

 Moga kita diberikan kekuatan oleh Allah untuk melaksanakan kebaikan serta menjauhi kemungkaran.  

Kak Nur

8 Muharram 1429H/ Jan 17 

Hakcipta Terpelihara Kerana Cinta’s Weblog 2008

Advertisements